lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

100 Kakitangan Sokongan Wisma Darul Iman Terima Sumbangan
100 Kakitangan Sokongan Wisma Darul Iman Terima Sumbangan
KUALA TERENGGANU, 6 Mei - Seramai 100 orang pekerja kontrak kebersihan dan pengawal keselamatan daripada kumpulan sokongan Kompleks Wisma Darul Iman menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan harian asas daripada Syarikat Muaz Maju Sdn Bhd. Pengarah Urusan Muaz Maju Sdn Bhd, Mohd Azrul Dato' Seri Haji Zakaria berkata sumbangan  ini bagi meringankan beban dan menghargai jasa mereka yang bekerja semasa negara ini ditimpa wabak. " Saya dan masyarakat sangat menghargai jasa dan sumbangan pekerja kontrak kebersihan dan pengawal keselamatan yang komited menjalankan tugas dalam tempoh wabak yang berlaku dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerana ia merupakan satu tugas yang berisiko. "Oleh itu, saya merasa terpanggil untuk memberikan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian kepada mereka yang bertugas," ujarnya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam. Beliau turut berkata sumbangan ini juga bersempena Program CSR Covid-19 yang telah diteruskan di beberapa buah tempat sebelum ini. " Program CSR yang dilaksanakan ini telah dibuat di beberapa buah tempat antaranya mengagihkan sumbangan kepada para petugas barisan hadapan seperti polis dan petugas kesihatan di hospital. "Program ini juga bertujuan membantu pihak yang kurang berkemampuan dan juga merupakan rentetan siri bantuan yang diadakan pada bulan Ramadan," jelasnya. Penyampaian sumbangan diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh di Kompleks Wisma Darul Iman baru-baru ini. Dr Mamad berkata beliau sentiasa akan menyokong usaha baik mana-mana pihak tertentu dalam menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. "Saya mengucapkan jutaan terima kasih buat syarikat Muaz Maju Sdn Bhd yang menghargai jasa pekerja kontrak kebersihan dan pengawal keselamatan yang sedang bertugas ketika PKP sedang berlangsung," ujarnya.
06 May 20
426
Kelonggaran PKP Peluang Rakyat Lunas Kewajipan
Kelonggaran PKP Peluang Rakyat Lunas Kewajipan
KUALA TERENGGANU, 5 Mei – Keputusan kerajaan Persekutuan memberikan kelonggaran kepada rakyat untuk keluar setelah melalui 46 hari Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) membuka peluang kepada rakyat untuk menjalankan kewajipan masing-masing. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan di media sosialnya, semalam menyatakan bahawa menunaikan tanggungjawab mencari rezeki buat keluarga khususnya mereka yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap adalah wajib. "Adapun solat di masjid itu adalah fardhu kifayah atau sunnah muakkadah (mengikut khilaf ulama’), maka perkara wajib perlu didahulukan," tulisnya. Jelasnya, kenyataan ini bagi menjawab pertikaian sesetengah pihak yang mempersoalkan mengapa kerajaan memberi kelonggaran kepada rakyat untuk keluar sedangkan masjid tidak dibenarkan lagi untuk dibuka kepada umum. Beliau turut berkongsikan kisah Imam Hassan Al-Banna yang menunaikan solat berjemaah di sebuah masjid tanpa azan setelah melihat dua ‘muazzin’ berkelahi untuk melaungkan azan bagi mengutamakan perkara wajib iaitu menyatukan orang Islam (solat berjemaah) berbanding perkara sunat iaitu azan. “Bagaimanapun, kelonggaran tersebut hendaklah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha memastikan penularan wabak Covid-19 berjaya dihentikan demi kesihatan serta kesejahteraan rakyat,” tambahnya. Muhammad Khalil turut berharap agar masyarakat dapat memberikan kerjasama yang baik dalam mengikuti segala arahan dan peraturan yang telah ditetapkan agar penularan wabak ini dapat dibendung.
06 May 20
46
Terengganu Tidak Benarkan Orang Ramai Makan Minum Di Restoran Dan Gerai Makanan
Terengganu Tidak Benarkan Orang Ramai Makan Minum Di Restoran Dan Gerai Makanan
KUALA TERENGGANU, 6 Mei - Kerajaan Terengganu tidak membenarkan orang ramai makan dan minum di premis restoran atau kedai makan berkuatkuasa serta merta sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, premis makanan dan minuman hanya dibenarkan menjual secara bungkus, penghantaran dan pandu lalu. Katanya, premis bukan Islam hanya dibenarkan beroperasi bermula 7 pagi hingga 10 malam, manakala peniaga Islam beroperasi pukul 3 petang hingga 10 malam dan makanan restoran makanan segera 12 tengah hari hingga 10 malam. "Walaupun kerajaan pusat membenarkan makan dalam restoran, tapi memandangkan suasana beberapa hari yang kita perhatikan ini, agak sukar untuk orang kita mengikuti sop ini, maka kita tidak benarkan makan di kedai. "No dine in (tidak boleh makan dalam premis) cuma take-away(bawa pulang) sahaja. "Itu satu kelainan sikit yang telah kita setuju oleh majlis pusat kerajaan negeri  kerana menimbangkan atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) juga," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas  mengadakan lawatan ke premis jualan di Pasar Payang, hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed. Tambah Alias, keputusan dibuat selepas mesyuarat bersama JKNT yang memohon kerajaan negeri mempertimbangkan supaya tidak membenarkan makan di restoran atau di premis-premis kedai makanan buat masa ini "Tunggulah sampai 12 Mei, mungkin ada perubahan-perubahan yang baharu. "Kita nak pastikan dengan bersungguh-sungguh supaya rakyat Terengganu selamat, tidak ada kluster baharu atau jangkitan baharu COVID-19 ini," katanya.
06 May 20
630
Polis Perketat Pemantauan Di Kawasan Tumpuan
Polis Perketat Pemantauan Di Kawasan Tumpuan
KUALA TERENGGANU, 5 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketat kawalan dan pemantauan di kawasan tumpuan awam bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan seperti jarakan sosial diamalkan sepenuhnya. Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata, perkara itu dilaksanakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula semalam yang menyaksikan sekatan jalan raya di negeri itu dikurangan kepada 20 berbanding 49 sebelum ini. “Kita berikan tumpuan kita kepada perkara lain pula selepas sekatan jalan raya dikurangkan dalam PKPB ini, tumpuan ini bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi orang ramai,” katanya kepada media. Menurut beliau, pihaknya juga akan terus memperketat kawalan di setiap pintu sempadan negeri termasuk ‘lorong-lorong tikus’ dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus bagi mengelak wujudnya kluster COVID-19 dari luar Terengganu. “Saya telah arahkan petugas untuk membuat pemeriksaan yang cukup ketat dan rapi. “Sekiranya tidak mempunyai sebarang surat atau tujuan yang kukuh, orang dari luar tidak boleh masuk ke Terengganu supaya tidak ada kluster import baharu,” tambah beliau.
06 May 20
250
Awas, Jika Tidak Patuh PKPB!
Awas, Jika Tidak Patuh PKPB!
KUALA TERENGGANU, 4 Mei- Kerajaan Terengganu mengingatkan rakyat negeri itu supaya mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu dengan sebaik mungkin. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak menyatakan, keputusan kerajaan negeri menerima pakai PKPB tertakluk kepada perkembangan semasa dan boleh ditarik balik sekiranya didapati tahap pematuhan kepada ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) rendah. "Walaupun PKPB ini dilaksanakan, hakikatnya kita masih berada dalam PKP Fasa keempat dan kehidupan seharian kita tetap akan berlangsung dalam suasana norma baharu. "Kami berharap, kesedaran serta kawalan kendiri setiap individu dapat dioptimumkan dan perkara-perkara berkaitan  amalan penjarakan social (social distancing), keluar rumah hanya bila perlu, kerap membasuh tangan dengan sabun atau ‘sanitizer’ dan memakai ‘facemask’ hendaklah terus diamalkan," tulisnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan melalui laman Facebooknya, semalam. Jelasnya, tempoh PKPB bermula semalam menyaksikan beberapa kelonggaran diberikan berbanding berbanding PKP Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3. "Antara kelonggaran itu termasuklah kebenaran beroperasi untuk premis-premis tertentu sebagaimana yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertujuan merancakkan semula sektor ekonomi sekaligus membantu rakyat keseluruhannya yang terjejas akibat larangan yang dikenakan sebelum ini. Pekerja pasaraya melakukan pemeriksaan suhu ke atas pelanggan yang datang. "Selain itu, kelonggaran dari segi waktu operasi juga diberikan kepada premis perniagaan untuk beroperasi sehingga selewat-lewatnya jam 10.00 malam berbanding sebelum ini yang terhad sehingga jam 8.00 malam sahaja," katanya. Stesen Minyak yang beroperasi dari jam 7.00 pagi hingga 8.00 malam sebelum ini turut dibenarkan memanjangkan tempoh operasi tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
06 May 20
337
Hanafiah Santuni 318 Anak Yatim
Hanafiah Santuni 318 Anak Yatim
KEMAMAN, 4 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat menyantuni seramai 318 orang anak yatim di sekitar kawasan Chukai dalam beberapa pertemuan yang telah dijalankan secara ringkas dan berperingkat. Beliau ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada pihak Cakna Anak Yatim Kemaman dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh DUN Cukai yang telah terbabit secara langsung atau tidak dalam menjayakan program pada kali ini. "Menyantuni anak yatim sememangnya menjadi program tahunan buat kami di sini setiap kali tibanya bulan Ramadan. "Alhamdulillah, tahun ini kita berjaya juga menyantuni anak-anak yatim di sini walaupun dalam majlis yang begitu ringkas tidak seperti tahun-tahun lepas. "Kebiasaannya kita turut mengadakan majlis berbuka puasa dan sebagainya," katanya lagi. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis yang berlangsung di Dewan Balairaya Taman Fikri 2, baru-baru ini. Ianya selaras dengan situasi negara yang kini yang dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, Mohd Nur Syamil, 17, mengucapkan terima kasih kepada Hanafiah yang telah memberikan sumbangan kepadanya. "Insya-Allah, kami akan menggunakan duit sumbangan yang diberikan ini sebaik yang mungkin dalam menghadapi Ramadan pada tahun ini," ujarnya.
06 May 20
107
Kawal Kendiri, Elak Timbul Kes Positif Baharu - Exco
Kawal Kendiri, Elak Timbul Kes Positif Baharu - Exco
KUALA TERENGGANU, 4 Mei – Seluruh rakyat Terengganu diingatkan agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan membuat kawalan kendiri bagi mengelakkan timbul kes positif baharu di negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri,  Mohd Nor Hamzah berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini bukan bermaksud masyarakat bebas bergerak dan boleh melakukan segala aktiviti seperti biasa. “Kita masih berada dalam tempoh perintah kawalan pergerakan, cuma dilonggarkan beberapa sektor terutamanya membabitkan ekonomi, itu pun secara bersyarat. “Dalam erti kata lain, aspek kesihatan untuk membasmi wabak COVID-19 masih perlu kita utamakan, terus amalkan langkah keselamatan yang dilaksanakan oleh kerajaan. “Kita tidak mahu negeri kita mempunyai kes baharu atau peningkatan pesakit secara mendadak sebagaimana yang berlaku di Selangor kelmarin,” katanya ketika dihubungi media hari ini. Mengulas lanjut, Mohd Nor menegaskan, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang ingkar SOP termasuk menarik balik PKPB sebagaimana pengumuman Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. “Saya menyeru supaya setiap rakyat menjaga disiplin, kawalan kendiri itu lebih penting daripada undang-undang. “Contohnya jika tiada undang-undang yang menyekat untuk membawa anak keluar rumah, maka kita perlu bertanya dengan diri sendiri apakah perlu membawa anak pergi ke tempat ramai atau sebaliknya. “Tidak semua perkara mesti ada undang-undang kerana kawalan kendiri itu lebih penting sebenarnya,” katanya.
06 May 20
54
Jangan Bawa Anak Semasa Beli Barang Keperluan – Polis
Jangan Bawa Anak Semasa Beli Barang Keperluan – Polis
KUALA TERENGGANU, 4 Mei – Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak ketika keluar untuk membeli barang keperluan harian termasuk juadah berbuka puasa. Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata, hasil tinjauan di beberapa lokasi secara rawak, pihaknya berjaya mengesan sebahagian penjaga yang mengambil sikap sambil lewa dalam hal itu semasa bulan Ramadan ini. Tegasnya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak boleh dipandang mudah dan masih berjalan walaupun dilonggarkan bersyarat. “Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihati mereka yang membawa dua atau tiga anak menaiki motosikal untuk tidak melakukan sedemikian. “Kita masih dalam PKP, jadi kena patuh dengan peraturan-peraturan serta SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita. Tambah beliau lagi, setakat ini pihaknya masih melakukan sekatan jalan raya di seluruh negeri walaupun jumlah anggota telah dikurangkan semasa operasi itu. Jelasnya, pihaknya turut melakukan rondaan dan pemantauan di lorong-lorong tikus bagi mengehadkan pergerakan orang ramai dalam usaha memutus rantaian COVID-19.
04 May 20
183
Majikan, Pekerja Perlu Patuhi SOP
Majikan, Pekerja Perlu Patuhi SOP
KUALA TERENGGANU, 4 Mei- Semua majikan dan pekerja perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ketika beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini. Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, langkah itu perlu bagi memastikan usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dapat dilakukan dengan sebaiknya. "Kepada yang terpaksa bekerja contohnya pekerja pembersihan, kita nasihatkan kepada majikan mereka supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia. "Majikan perlu memastikan pekerja dalam keadaan sihat, mengekalkan amalan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter, amalan sanitasi yang betul, mensanitasi peralatan yang digunakan untuk kerja pembersihan dan lain-lain yang perlu, " ujarnya ketika bersiaran dalam Wawancara Khas COVID-19: APM Dan Komitmen Barisan Hadapan di TV Darul Iman, semalam. Semeentara itu, beliau yang juga merangkap Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, rakyat Terengganu khususnya perlu meningkatkan kawalan kendiri dalam usaha mencegah penularan COVID-19 terutamanya dalam tempoh PKPB ini. Katanya, setiap individu seharusnya memainkan peranan dalam mendisiplinkan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa. "Tanggungjawab menjaga diri dan keluarga adalah daripada disiplin kita dan kita mesti melakukan kawalan kendiri demi keselamatan  bersama," ujarnya.
04 May 20
228
PKM Dan SCAM Agih Juadah Berbuka Kepada Warga Emas
PKM Dan SCAM Agih Juadah Berbuka Kepada Warga Emas
HULU TERENGGANU, 3 Mei - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Manir bersama Skuad Cakna Masyarakat Hulu Terengganu (SCAM )telah mengadakan program agihan juadah berbuka kepada warga emas terpilih bersempena bulan Ramadan kali ini. Agihan juadah itu diketuai oleh Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir Ustaz Shuqiman Tahar bersama Ahli Jawatankuasa SCAM, Jusoh Mohamad, serta empat wakil SCAM yang turut hadir bersama-sama dalam program tersebut. Menurut Ustaz Shuqiman, edaran juadah berbuka kepada warga emas ini sebagai tanda kebersamaan serta ingin berkongsi kegembiraan bersama-sama mereka. "Di bulan yang mulia ini, menjadi tanggungjawab membantu orang yang memerlukan. "Program agihan seumpama ini akan berlangsung sepanjang bulan Ramadan disamping sumbangan kebajikan kepada golongan asnaf serta golongan yang memerlukan di sekitar DUN Manir," katanya ketika ditemui selepas program berkenaan semalam. Sebahagian edaran juadah tersebut disempurnakan oleh Adun Manir, Hilmi Harun kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk diagihkan kepada warga emas yang telah dikenalpasti. Lebih 70 bungkus nasi beriani dan kurma telah berjaya diedarkan dalam lanjutan siri pertama yang diadakan minggu lepas.
03 May 20
68