lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kuih Che Abas Demam, Uniknya Nama Hanya Di Terengganu
Kuih Che Abas Demam, Uniknya Nama Hanya Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Mei - Mendengar nama kuih Che Abas Demam pasti menimbulkan rasa ingin tahu dikalangan netizen tentang bagaimana rupa dan rasa makanan unik yang hanya boleh didapati di Terengganu dan sangat sukar ditemui. Adunan sagu yang kenyal dimakan dengan kuah santan yang dicampur dengan ikan, bawang dan halba memberikan satu citarasa yang cukup beraroma serta membangkitkan keinginan untuk mencubanya malah tidak mustahil boleh membuka selera orang demam. Kini makanan tradisional Terengganu yang hampir dilupakan kembali viral dengan harga serendah RM3 untuk jualan atas talian setelah diperkenalkan kembali oleh pihak pengurusan Hotel Permai. Pengurus Besarnya, Noralizan Abd Rahman berkata idea untuk menghidupkan kembali kuih tradisi ini adalah cetusan idea tukang masak hotel yang mencipta kelainan dalam mempromosikan hidangan mereka. “Kuih Che Abas demam adalah satu hidangan istimewa kerana jarang dikenali ekoran sukar diperoleh dan Hotel Permai memperkenalkannya semula kepada generasi sekarang. "Warisan tradisi tidak seharusnya dilupakan. Ia perlu dikekalkan dan ditonjolkan semula kepada masyarakat supaya ianya tetap dikenali biarpun zaman telah berubah," katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui hari ini. Tambahnya, terdapat juga empat jenis lagi kuih tradisional Terengganu popular ketika Ramadan iaitu  koleh lemak sambal ikan, puteri mandi susu, onde-onde dadih dan sira labu yang dijual serendah RM3. Sementara itu, Chef Mat Andri Abas, 49 berkata idea untuk membuat kuih Che Abas Demam adalah untuk mengetengahkan kuih yang telah lama wujud tetapi suram kerana kurang promosi mengenainya. "Jadi saya dan pihak hotel membuat keputusan untuk hidupkan balik dan ketengahkan sebagai salah satu menu yang terdapat sepanjang bulan Ramadan kali ini," ujarnya lagi. Menurut Mat Andri, setiap hari beliau memerlukan lima hingga 10 kilo sagu bersama 10 kilo santan pekat untuk menghasilkan 500 bekas Che Abas Demam mengikut tempahan pelanggan atas talian.
30 Jun 20
1380
Jangan Berkumpul Di Taman Awam! - MBKT
Jangan Berkumpul Di Taman Awam! - MBKT
KUALA TERENGGANU, 11 Mei - Seluruh rakyat Terengganu diseru agar tidak berkumpul di taman-taman awam bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19. Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkata, aktiviti berkenaan boleh menyebabkan berlaku kesesakan dan memudahkan wabak pandemik merebak. "Pihak MBKT menyeru kepada orang awam agar tidak berkumpul dan bersesak-sesak di taman-taman awam seperti di Taman Awam Batu Buruk di sini. "Aktiviti sebegini boleh menyebabkan penularan wabak COVID-19, yang boleh menjadikan Kuala Terengganu kembali ke zon merah (zon aktif)," tegas MBKT dalam satu hantaran di facebook rasmi mereka. Ketegasan itu disuarakan selepas pihaknya mendapati orang ramai berkumpul dalam kumpulan yang ramai. Susulan itu juga, difahamkan pihak MBKT telah meletakkan penghadang bagi menghalang orang ramai memasuki Taman Awam Batu Buruk. Hasil tinjauan pihak kami beberapa hari lalu mendapati, terdapat ramai keluarga yang berbuka puasa di Taman Awam Batu Buruk. Kanak-kanak dan bayi juga dikesan dibawa bersama-sama dalam aktiviti tersebut. Tindakan tersebut pastinya menimbulkan keresahan pihak lain pada saat wabak COVID-19 belum reda sepenuhnya.
30 Jun 20
132
Pelanggan Bertambah, Pasar Raya Terus Kekal SOP
Pelanggan Bertambah, Pasar Raya Terus Kekal SOP
KUALA NERUS, 11 Mei - Beberapa pasar raya terkemuka seperti Mydin akan terus memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan berjalan lancar walaupun berlaku peningkatan pelanggan susulan keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada 4 Mei. Penolong Pengurus Mydin Gong Badak, Suzana Romeli berkata, pengurusan pasar raya telah menetapkan penjarakan sosial dan mengehadkan jumlah pelanggan. “Dalam satu-satu masa, hanya sekitar 100 pelanggan dibenarkan berada di kawasan membeli iaitu tidak lebih dua orang untuk satu keluarga walaupun ada yang datang lebih dua orang. “Setakat ini apa yang dilaksanakan berjaya dipatuhi semua rakyat Terengganu, tiada berlaku ketidakpuasan hati mana-mana pihak. “Kami juga akan terus mengikuti saranan daripada pihak kerajaan dalam memastikan semua pihak mendapat kebaikan dan COVID-19 ini berjaya dihapuskan,” katanya ketika ditemui media semalam. Dalam pada itu, menurut peniaga pakaian wanita, Farah Azullia Jusoh, 35, dia bersyukur kerana kerajaan membenarkan peniaga sepertinya untuk berniaga seperti biasa. “Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya memang tiada pendapatan untuk diri, keluarga dan anak-anak. “Jadi setelah kerajaan membenarkan saya berniaga sedikit sebanyak ia mengembirakan saya lebih-lebih lagi untuk menyambut kelahiran anak keempat bulan Ogos nanti,” ujarnya. Sementara itu, bagi pasangan adik beradik, Nur Zahidah Zakaria, 21, dan Nur Aishah Zakaria, 24, kelonggaran pergerakan yang diberikan kerajaan digunakan sebaik mungkin untuk melunaskan tanggungjawab membeli barangan keperluan untuk keluarga. “Namun, kami masih berhati-hati, keluar rumah dengan jaga jarak dengan orang lain, gunakan ‘hand sanitizer’ serta pakai penutup mulut dan hidung,” tambah mereka. Dalam tinjauan kami pada pagi semalam juga mendapati, masih terdapat segelintir orang ramai yang tidak mematuhi SOP PKPB terutamanya membabitkan pembeli di pasar awam.
30 Jun 20
85
TDM Catat Pertumbuhan 3 Peratus Suku Pertama 2020
TDM Catat Pertumbuhan 3 Peratus Suku Pertama 2020
KUALA TERENGGANU, 30 Jun - TDM Berhad mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak tiga peratus bagi suku pertama 2020 yang berakhir pada 31 Mac 2020. Pengerusi TDM, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, pertumbuhan itu disumbangkan oleh kedua-dua bahagian Perladangan dan Penjagaan Kesihatan iaitu sebanyak RM107.8 juta, berbanding RM104.7 juta berbanding suku sebelumnya. "Pada suku pertama tahun ini, perniagaan Perladangan mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi iaitu sebanyak tiga peratus terutamanya disebabkan oleh harga purata minyak sawit mentah (CPO) dan Isirong Sawit (PK) yang lebih tinggi. "Sementara itu, perniagaan Penjagaan Kesihatan kami terus menunjukkan pendapatan yang lebih tinggi pada suku tersebut dengan kenaikan pendapatan sebanyak tiga peratus yang disumbangkan oleh pendapatan purata yang lebih tinggi bagi setiap pesakit iaitu sebanyak enam peratus kepada RM7,142 berbanding tahun sebelumnya. "Peningkatan ini juga disumbangkan oleh peningkatan jumlah katil operasi sebanyak dua peratus dan pembukaan Cath Lab sejak Mac 2019," katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini. Bagaimanapun, tambahnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai 18 Mac 2020, mengakibatkan jumlah pesakit yang lebih rendah ke hospital Kumpulan tersebut. "Untuk itu, hospital kami telah membuat persediaan dan persiapan yang relevan iaitu menanggung perbelanjaan tambahan untuk alat ujian COVID-19, peralatan perlindungan diri untuk pelapik depan dan barang pakai buang yang lain," katanya. Menurutnya, Kumpulan optimis dan akan terus memberi tumpuan dalam meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan kos pengeluaran yang disokong oleh asas-asas jangka panjang. "Kami amat komited di mana kemampanan dan persijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) telah membolehkan kami menikmati premium yang lebih baik daripada penjualan Forum Pensijilan Mapan Minyak Sawit (CSPO) dan Minyak Tempurung Sawit Lestari Diperakui (CSPK) kami," ujarnya.  
30 Jun 20
59
Balik Beraya Tak Dibenarkan - PM
Balik Beraya Tak Dibenarkan - PM
PUTRAJAYA, 10 Mei - Perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri bagi berhari raya masih tidak dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hingga 9 Jun ini. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tahu ramai sedih kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga. Namun katanya, larangan sedemikian harus dilaksanakan bagi menjamin keselamatan dan mengekang penularan COVID-19 sepenuhnya. “Dalam tempoh lanjutan PKPB ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan membabitkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai. “Jadi saya nak mengingatkan saudara-saudari mengenai larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuat kuasa dalam tempoh ini. “Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan,” katanya pada perutusan khas, hari ini. Beliau turut memohon rakyat Malaysia agar bersabar dalam menjalani kehidupan dalam fasa sekarang. “Bersabarlah, bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara,” tambah beliau.
30 Jun 20
50
PKPB Dilanjut Sehingga 9 Jun
PKPB Dilanjut Sehingga 9 Jun
PUTRAJAYA, 10 Mei - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilanjutkan sehingga 9 Jun bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). “Walaupun kita telah mencapai banyak perkembangan positif dalam memerangi COVID-19, usaha kita masih belum berjaya sepenuhnya. “Langkah-langkah masih perlu diambil bagi memerangi wabak ini dan dari segi pandangan umum rata-rata rakyat mahukan kerajaan mengambil langkah wajar bagi membendung wabak ini,” ujarnya dalam Perutusan Khas hari ini. Menurut beliau lagi, semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi PKPB akan kekal berkuatkuasa untuk tempoh empat minggu lagi. “Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tambah Muhyiddin.
10 May 20
207
Petugas Kebersihan 'Wira Tak Didendang' Diraikan Di Hulu Terengganu
Petugas Kebersihan 'Wira Tak Didendang' Diraikan Di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 10 Mei - Di saat dunia memerangi wabak Covid-19, ada wira tidak didendangkan yang tidak ketinggalan menjalankan amanah dengan memastikan persekitaran sentiasa dalam keadaan yang bersih dan terjaga. Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid berkata peranan petugas barisan hadapan (frontliner) seperti doktor, jururawat, polis dan tentera dalam memerangi Covid19 tidak perlu dipersoalkan lagi. Katanya, beliau turut menganggap petugas kebersihan juga merupakan barisan hadapan atau wira yang perlu diberi penghargaan. "Petugas-petugas kebersihan sanggup berhadapan dengan risiko untuk dijangkiti disaat mereka terpaksa kerja walaupun dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Mereka ini banyak membantu negeri kita dalam memastikan setiap kawasan terjaga kebersihannya terutama ketika wabak ini melanda. "Sebab kita mengambil keputusan untuk memberi sedikit tanda penghargaan sebagai membalas segala jasa dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai dari sudut agama itu sendiri," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Barangan Keperluan Kepada Pekerja Kebersihan Hulu Terengganu di Pusat Tarbiyyah Kawasan Hulu Terengganu, hari ini. Seramai 185 petugas dari 10 syarikat kebersihan  di daerah ini menerima sumbangan barangan keperluan asas sempena Ramadan kali ini.
10 May 20
191
Pasukan 'Taskforce' Pantau Pematuhan PKPB Seluruh Terengganu
Pasukan 'Taskforce' Pantau Pematuhan PKPB Seluruh Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu telah menubuhkan pasukan 'taskforce' bagi memantau kepatuhan orang ramai terhadap PKPB di negeri itu bermula semalam. Pasukan tersebut turut dianggotai pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu dan RELA. Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, MBKT berkata, 'taskforce' terbabit akan menjalankan rondaan di premis perniagaan, tapak binaan, taman rekreasi awam, pasar awam, pasar borong dan pusat pengangkutan awam. "Turut diberi tumpuan adalah kawasan pasar raya, rumah ibadat, hotel dan rumah tumpangan. "Kesemua mereka juga ditugaskan untuk menangani masalah ketidakpatuhan arahan PKPB di kalangan peniaga, pengurus, pengusaha, penjaja serta orang awam," ujar kenyataan tersebut. Ujar kenyataan itu lagi, pasukan itu akan melakukan rondaan mengikut dua sesi. "Sesi satu seawal jam 8 pagi hingga 4 petang dan sesi kedua bermula jam 4 petang hingga 12 malam. "Setiap pasukan yang bertugas akan dianggotai tiga orang polis, dua ATM, tiga MBKT, tiga orang KPDNHEP, dua pihak APM dan dua RELA menjadikan 15 anggota kesemuanya. "Pihak kami berharap agar orang awam termasuk peniaga, pengusaha, pengurus serta penjaja memberikan kerjasama yang padu dengan mematuhi sepenuhnya arahan PKPB yang ditetapkan," tegas kenyataan itu.
08 May 20
325
JHEAT Tetapkan Arahan Tatacara Akad Nikah
JHEAT Tetapkan Arahan Tatacara Akad Nikah
KUALA TERENGGANU, 6 Mei- Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menetapkan arahan tatacara bagi pelaksanaan majlis akad nikah di Negeri Terengganu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) / Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disebabkan ancaman wabak COVID-19. Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad, berkata, arahan tatacara bagi pelaksanaan majlis akad nikah itu berkuatkuasa 3 Mei. Menurut beliau, majlis akad nikah hendaklah dilaksanakan di lbu Pejabat JHEAT atau Pejabat Agama Daerah (PAD) bagi tujuan keselamatan, pematuhan tatacara serta kemudahan pemantauan. Tegasnya, pelaksanaan di premis persendirian, masjid, surau atau tempat- tempat awam yang lain adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan khas daripada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju' Orang lslam Negeri Terengganu. "Pemohon hendaklah mendapatkan kebenaran daripada Ketua Polis Negeri atau Daerah (Permit Pengecualian Kawalan Pergerakan) jika perlu. "Pegawai Agama Daerah akan menentukan tempoh waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual yang akan disusun oleh pihak PAD dengan mengambil kira perbincangan dengan pihak pemohon," ujarnya dalam satu kenyataan. Katanya, kehadiran orang ke majlis perlu diminimakan (tidak melebihi 10 orang dewasa) dan keutamaan kepada yang berkeperluan untuk hadir seperti seorang jurunikah, pengantin lelaki, pengantin perempuan, seorang wali, serta masing- masing dua orang saksi bagi pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Menurut beliau, tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dipendekkan dan tidak melebihi 20 minit. "Semua yang hadir pada majlis akad nikah berkenaan hendaklah didaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon dan diserahkan kepada PAD atau wakilnya dan perlu menggunakan hand sanitizer (penyahkuman) sebelum dan selepas majlis akad nikah,"ujarnya. Sementara itu katanya, upacara adat istiadat dalam majlis tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali. "Jika mana-mana pihak yang tidak mematuhi tatacara ini, PAD atau wakilnya dengan kuasa Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju' Orang lslam Negeri Terengganu boleh menangguhkan majlis tersebut. "Dokumentasi yang berkaitan majlis akad nikah seperti pendaftaran dan pengeluaran sijil perakuan nikah hendaklah ditangguhkan dan disempurnakan selepas tamat tempoh PKP," jelasnya.
06 May 20
205
JHEAT Tetapkan SOP Bagi Proses Pengeluaran Kebenaran Berkahwin
JHEAT Tetapkan SOP Bagi Proses Pengeluaran Kebenaran Berkahwin
KUALA TERENGGANU, 6 Mei- Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memutuskan untuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi proses pengeluaran kebenaran berkahwin di Negeri Terengganu berkuatkuasa 3 Mei. Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad, berkata, penetapan SOP itu merujuk kepada situasi semasa berkaitan dengan pelanjutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) / Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disebabkan ancaman wabak COVID-19. Katanya, pemohon hendaklah menghubungi talian hotline Bahagian Undang-Undang Keluarga JHEAT atau Pejabat Agama Daerah (PAD) bagi mendapatkan pertanyaan dan penjelasan cara dan kaedah yang sepatutnya dilakukan. "Membuat permohonan kebenaran berkahwin secara atas talian melalui emunakahat.terengganu.gov.my. "Cetak dan sempurnakan borang permohonan (termasuk tandatangan pihak-pihak), serta sediakan semua dokumen yang diperlukan sebagaimana senarai semak borang," ujarnya dalam satu kenyataan. Katanya, borang yang telah sempurna beserta semua dokumen perlu diambil gambar dan dihantar ke nombor hotline yang berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp. Sementara itu, Mat Azmi berkata, Pendaftar akan membuat semakan awal pada borang dan dokumen yang telah dihantar oleh pemohon melalui whatsApp hotline. "Jika borang adalah lengkap dan Pendaftar berpuas hati, Pendaftar akan menetapkan satu tarikh yang sesuai untuk pemohon hadir sendiri ke PAD yang berkenaan untuk menghantar borang permohonan beserta dokumen yang diperlukan, bayaran fi yang berkaitan dan terima borang kebenaran berkahwin atau sokongan berkahwin pada hari yang sama," ujarnya.
06 May 20
589