lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Sedia Laksana PKPB
Terengganu Sedia Laksana PKPB
KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Kerajaan negeri bersedia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagaimana saranan kerajaan Persekutuan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia amat bertepatan dengan hasrat pihaknya untuk menyelamatkan ekonomi rakyat dan negeri yang agak lesu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tiga fasa sebelum ini. “Keputusan ini dibuat selepas melihat kebajikan rakyat dan perkembangan terkini kes COVID-19 di Terengganu yang bertambah baik,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini. Tegas Ahmad Samsuri, semua pihak perlu mematuhi setiap syarat yang ditetapkan dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya jika peraturan tersebut dilanggar.  “Kita tidak akan teragak-agak untuk membuat perubahan pada PKPB supaya kembali lebih ketat sekiranya pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah di tahap rendah dan memberi kesan pada status kesihatan rakyat. “Kerajaan negeri tetap memandang serius akan pelaksanaannya dan terus komited dengan apa sahaja langkah pencegahan, terutama pematuhan yang ketat SOP yang akan dinilai dari semasa ke semasa,” jelasnya. Pada 1 Mei yang lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan  pelaksanaan PKPB bermula esok bagi mengerakkan kembali ekonomi negara selepas rugi RM2.4 bilion sehari. Untuk rekod, kelonggaran pergerakan yang diberikan di Malaysia adalah berbeza dengan negara lain. Perbezaan ketara adalah pembukaan sempadan apabila melonggarkan sekatan, sebaliknya kawalan sempadan Malaysia tetap diperketatkan selain terus memantau wabak dalam masyarakat setiap hari dengan melihat lokaliti dan kumpulan sasar.
03 May 20
143
COVID 19- Pertubuhan Forum Udara Bersih Sasar Agih 4,000 PPE
COVID 19- Pertubuhan Forum Udara Bersih Sasar Agih 4,000 PPE
KUALA TERENGGANU, 2 Mei- Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (PFUBM) menyasarkan menghasilkan kira-kira 4,000 peralatan perlindungan diri (PPE) untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan dalam tepoh terdekat. Pengarah Projek Frontliner PPE Support Team Dr Noor Zaitun Yahaya, berkata sehingga kini 2,000 PPE berjaya dihasilkan bagi projek fasa pertama  dan telah diagihkan kepada pihak yang memerlukan, termasuk barisan hadapan di Kelantan dan Pahang. Katanya, PFUBM bersedia menghasilkan lebih banyak PPE sekiranya mendapat permintaan, terutama  daripada negeri yang masih mencatatkan kes baharu penularan Covid-19. “Dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk  Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) dan  Majlis Dakwah Negara Negeri Terengganu (MDNT), apa yang dirancang itu mampu dilaksanakan. “Projek penghasilan PPE dibiayai oleh dana sumbangan, NGO, badan korporat, serta orang ramai,”katanya. Beliau berkata demikian selepas  Majlis Penyerahan 148 Set Isolasi kepada barisan hadapan, termasuk Menteri Besar,  Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Hadir sama, Naib Canselor  UMT, Prof Nor Aieni  Mokhtar dan  Pegawai Eksekutif TESDEC, Dato’ Md Kamaru Al-Amin, Katanya, individu atau institusi yang berhasrat menyokong projek ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Malaysia Berhad (5630-6414-4012 atas nama The Clean Air Forum Society of Malaysia). "Semua sumbangan dikecualikan daripada cukai (tertakluk kepada kelulusan pihak LHDN). Para penyumbang boleh kemukakan bukti pembayaran untuk Resit Pelepasan Cukai yang akan diberi setelah transaksi berjaya dan boleh die-melkan kepada: cleanairmalaysia@gmail.com atau hubungi Dr Mohd Shahrir di talian 017 – 9681102," katanya.
02 May 20
212
3,000 Bungkus Gulai Ayam untuk Juadah Berbuka Puasa
3,000 Bungkus Gulai Ayam untuk Juadah Berbuka Puasa
KUALA NERUS, 1 Mei - Sebanyak 3,000 bungkus gulai ayam disediakan oleh Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir untuk masyarakat sekitar sebagai menu berbuka puasa. Pegawai Penyelaras DUN,  Mohd Fazil Wahab, berkata lauk berkenaan diberikan bagi meringankan sedikit perbelanjaan harian penduduk dan memberi kelainan sempena bulan puasa kali ini. "Kita agihkan gulai ayam ini sedikit sebanyak mengurangkan  kos untuk penyediaan lauk bagi berbuka puasa setiap keluarga yang berkenaan. "Sebelum ini kita dah agihkan bahan mentah, jadi apa salahnya kita berikan makanan yang boleh terus dimakan tanpa perlu dimasak," ujar beliau ketika ditemui di Perkarangan Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir, petang tadi. Gulai ayam diserahkan kepada Pengerusi MPKK untuk diagihkan ke kawasan masing-masing Menurut Fazil lagi, juadah ini sebenarnya menunjukkan kebersamaan Pejabat Khidmat Masyarakat dalam merasai denyut nadi rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) masih lagi dilaksanakan. "Kita agihkan lauk ini sebenarnya untuk kita berkongsi suka duka masyarakat yang berada dibawah jagaan kita. "Kita tahu bukan semua yang dapat merasa, tetapi ia memberi makna kepada keluarga yang serba kekurangan," tambah Fazil lagi Menurut beliau, semua lauk tersebut diagihkan kepada 19 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di dalam DUN Seberang Takir. "Ia  diwakili oleh Pengerusi MPKK untuk mengambilnya dan diagihkan kepada masyarakat dalam kampung mereka," katanya.
02 May 20
311
‘Serampang Dua Mata’ Terengganu Solusi Atasi Pertanian Terjejas Sepanjang PKP
‘Serampang Dua Mata’ Terengganu Solusi Atasi Pertanian Terjejas Sepanjang PKP
KUALA TERENGGANU, 1 Mei - Kewujudan Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) sebagai ejen bagi memasar hasil pertanian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi penyelesaian ‘serampang dua mata’ kerajaan negeri dalam membantu rakyat.   Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, TADC ditugaskan membuka 40 pusat pemasaran dan ia turut berhasil menyelesaikan beberapa isu rakyat.   “Bila kita cuba buka ruang pemasaran, dengan ‘outlet’ yang ada, kita dapat elakkan rakyat terlalu bertumpu ke pasaraya sahaja untuk mendapatkan keperluan.   “Kita realistik dengan bilangan pasaraya yang ada di Terengganu dan dengan kewujudan ‘outlet-outlet’ di kawasan berdekatan, TADC membantu masyarakat lebih mudah memperoleh bekalan makanan,” katanya.   Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi wawancara 'COVID-19 : Sektor Pertanian Turut Terjejas?' bersama TV Darul Iman semalam.   Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu menjelaskan, apa yang paling penting pelaksanaan tersebut membolehkan harga pasaran terkawal tanpa berlaku monopoli oleh pasaraya dan pihak-pihak lain.   “Ini serampang dua mata, kita kawal harga dan petani dapat pasar hasil. Memang tidak untung besar, tetapi petani tidak mengalami kerugian dan cara ini turut mendapat perhatian daripada negeri-negeri lain.   “Alhamdulillah, kita di Terengganu agak terkehadapan dalam menyelesaikan isu rakyat di peringkat bawah. Setakat ini, kita tidak ada isu tiada sumber,” katanya.   Menjawab tentang isu sektor di bawah portfolionya, Dr. Azman mengakui terdapat beberapa sektor yang masih terjejas dalam memasarkan produk mereka.   “Antara sektor yang terjejas adalah akuakultur seperti projek-projek sangkar ikan kerana kita merupakan antara pengeluar utama ikan bernilai tinggi iaitu siakap dan kerapu hibrid yang digunakan ekslusif di hotel dan restoran. Penternak perlu terus mengeluarkan belanja makanan ikan, tetapi tidak dapat menjual.   “Jadi, kita membantu dalam bentuk pemberian makanan ikan. Kita menyelesaikan sebahagian dan dalam masa sama berikhtiar melihat ruang pasaran yang ada untuk disalurkan, kita juga cuba permudahkan dari segi pergerakan,” jelasnya.   Beliau juga menegaskan petani, penternak dan nelayan perlu terus bergerak dan pihak berkuasa perlu permudahkan pergerakan mereka selaras saranan supaya rantaian makanan tidak putus dari awal sehingga akhir.   “Kita berkerja untuk memastikan bekalan berterusan dan harga stabil. Piawaian yang kita letak masih lagi terkawal dan tercapai.   “Kita akan terus memantau bersama jabatan-jabatan berkaitan dengan sedaya mampu kita cuba tanganinya secepat mungkin,” katanya.
01 May 20
293
Penternak Akuakultur Terima 100 Kilogram Ikan Kecil
Penternak Akuakultur Terima 100 Kilogram Ikan Kecil
KUALA TERENGGANU, 30 April – Kerajaan Terengganu sedang giat mengagihkan 100 kilogram ikan kecil kepada semua penternak akuakultur bagi meringankan beban golongan terjejas itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).   Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan itu sebagai sumber makanan alternatif untuk ternakan ikan selain pellet.   "Setiap penternak akuakultur di seluruh negeri mendapat 100 kilogram ikan kecil. Manakala  pengusaha pusat asuhan kerapu hibrid di Kampung Air Tawar dan Kampung Keluang, Besut akan diagihkan bantuan dalam bentuk pellet.   "Alhamdulillah, semalam selesai agihan di Sungai Cawat, Kuala Besut. Hari ini kita sambung lagi agihan makanan ikan untuk penternak sangkar air payau di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.   "Insya-Allah akan disambung lagi bagi daerah-daerah lain sehingga kesemua 577 penternak akuakultur berdaftar sama ada ikan air payau atau air tawar, pengusaha sangkar, kolam dan pusat asuhan disantuni," ujarnya. Dr Azman meninjau ternakan ikan sangkar. Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan makanan kepada penternak di sangkar ikan Kampung Pulau Ketam, di sini semalam.   Dalam pada itu, beliau berkata, berlaku sedikit kelewatan dalam urusan proses mendapatkan bekalan pellet.   "Kita pohon semua penternak ikan air tawar dan pengusaha pusat asuhan pembenihan bersabar menunggu giliran kerana proses untuk mendapatkan bekalan pellet melibatkan urusan tender yang mengambil sedikit masa.   "Kita selesaikan secara berperingkat. Semua 577 penternak ikan seluruh Terengganu akan dapat bantuan insya-Allah," tambah beliau.
01 May 20
1005
Pelajar IPT Di Terengganu Mula Pergerakan Pulang Ke Kampung Malam Ini
Pelajar IPT Di Terengganu Mula Pergerakan Pulang Ke Kampung Malam Ini
HULU TERENGGANU, 30 April - Pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) awam di Terengganu yang terkandas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan memulakan pergerakan pulang ke kampung halaman masing-masing bermula malam ini. Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata proses berkenaan melibatkan empat IPT awam dan pergerakan mereka  dijangkakan akan bergerak pada pada pukul 9 malam. "Pergerakan pelajar  akan berlaku pada malam ini yang melibatkan seramai 181 pelajar di Universiti Malaysia Terengganu ( UMT) yang mana 126 pelajar akan menaiki 11 buah bas, lapan orang menaiki dua buah van dan 14 pelajar lagi akan pulang menaiki kereta. "Daripada Universiti Sultan Zainal Abidin ( UniSza) seramai 23 orang dengan menaiki dua buah bas dan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun seramai 97 orang dengan menaiki tujuh buah bas. "Sementara itu dari Politeknik Kuala Terengganu  seramai 14 orang akan menaiki dua buah bas dan 11 pelajar Politeknik Hulu Terengganu juga akan menaiki dua buah bas," ujarnya kepada pemberita di sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, hari ini. Langkah membawa pulang pelajar yang terkandas di kampus dan sekitar susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu adalah antara sedikit kelonggaran yang diumum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis lepas Bagaimanapun, kerajaan hanya membenarkan pergerakan pelajar pulang dari kawasan zon hijau secara berperinggkat bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.
01 May 20
177
Pemuda Kampung Tengah Cukai Siap Sedia Bantu Penduduk
Pemuda Kampung Tengah Cukai Siap Sedia Bantu Penduduk
KEMAMAN, 28 April - Seramai lima orang pemuda sentiasa bersiap siaga membantu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tengah Chukai melancarkan segala bentuk bantuan untuk penduduk. Ketuanya, Abd Rahim Rahmat Noor berkata, mereka akan sentiasa bersiap sedia dan membantu sehingga selesai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 di seluruh negara ketika ini. "Matlamat kami di sini adalah untuk membantu memudahkan segala urusan penduduk kampung. "Setakat hari ini kami telah membantu mengagihkan sumbangan berbentuk wang tunai, beras, barangan dapur, lampin pakai buang, susu, ayam, roti dan sebagainya," ujarnya. Menurutnya lagi, semua bantuan yang diagihkan ini adalah daripada kerajaan negeri dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO). "Sumbangan ini dihantar oleh kami dari rumah ke rumah yang lain. Setiap rumah yang berada di bawah tanggungjawab MPKK Tengah Chukai diberi perhatian," katanya lagi. Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas selesai mengagihkan kurma dan takwim Ramadan kepada penduduk. Bantuan tersebut adalah sumbangan ikhlas daripada Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah mat.
01 May 20
466
Ramadan On Wheels Serikan Petang Puasa
Ramadan On Wheels Serikan Petang Puasa
KUALA TERENGGANU, 28 April- Jabatan Penerangan (Japen)Negeri Terengganu menggunakan pendekatan baharu secara kreatif dan inovasif melalui program ‘Ramadan On Wheels’ (ROW) bagi menyampaikan  tazkirah Ramadan  bermula fasa keempat arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam. ROW adalah sambungan daripada program `Info On Wheels’ (IOW)  iaitu hebahan melalui pembesar suara menggunakan kenderaan jabatan atau unit bergerak dengan menjelajah ke seluruh kawasan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai isu semasa dan terkini tentang pematuhan PKP. Pengarah Japen Negeri Terengganu, Azahar Ismail berkata, khusus untuk bulan puasa kali ini, pihaknya turut menyediakan audio tazkirah Ramadan selain masih mengekalkan hebahan agar orang ramai sentiasa mematuhi PKP. Azahar Ismail Katanya, audio tazkirah itu disediakan oleh Ibu Pejabat Japen Malaysia, Putra Jaya dan tazkirah yang disampaikan oleh penceramah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu berkisar kepada kelebihan bulan Ramadan sebagai bulan yang penuh dengan keberkatan. `Unit bergerak ini akan berada di kawasan penempatan seperti taman perumahan, rumah pangsa dan kampung bermula jam 5 petang setiap hari sehingga PKP fasa empat tamat kecuali hari cuti. "Kita ambil kesempatan tersebut apabila sambutan pada kali ini amat berbeza berikutan negara dilanda pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan serta tidak lagi dibenarkan menganjurkan majlis iftar dan berterawih secara berjemaah," ujarnya. Sempena program itu, Japen Negeri Terengganu turut menyediakan bungkusan juadah berbuka puasa kepada wakil penduduk untuk diagihkan kepada penduduk kampung terutama mereka yang terkesan dengan arahan PKP. Azahar menambah,  jabatannya telah melaksanakan sebanyak 5318 hebahan di seluruh negeri membabitkan 2005 kawasan bermula fasa pertama PKP hingga ke fasa ketiga. Pegawai Penerangan Daerah Kuala Terengganu, Ros Naini Arshad menyampaikan juadah berbuka puasa kepada wakil penduduk, Hanafiah Ismail. Katanya, pada ketiga-tiga fasa itu, pihaknya meminta orang ramai agar mematuhi PKP selain sentiasa berhati hati dengan berita palsu yang tular dalam media sosial. Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Terengganu, Ros Naini Arshad berkata, Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu memulakan program ROW fasa keempat di Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu semalam. Katanya, unit bergerak membuat hebahan agar orang ramai mematuhi arahan PKP dengan mengelilingi kampung dan berhenti di hadapan pasar mini bagi memperdengarkan tazkirah Ramadan. Beliau berkata, secara tidak langsung, program ROW dapat menghidupkan suasana Ramadan selain menyebarkan maklumat mengenai pematuhan PKP. Wakil penduduk Kampung Gong Baru, Hanafiah Ismail pula berkata, tindakan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu dengan menggunakan unit bergerak untuk menyampaikan tazikrah amat dialu-alukan kerana pihak masjid tidak dibenarkan mengadakan akitiviti sepanjang perintah PKP ini. `Dengan adanya tazkirah yang didengarkan oleh Pejabat Penerangan, sekurang-kurang orang ramai dapat merasai suasana Ramadan walaupun negara sedang dilanda pandemik Covid-19," katanya.
28 Apr 20
149
Lebih 100 Keluarga Terima Lauk Berbuka Puasa Setiap Hari
Lebih 100 Keluarga Terima Lauk Berbuka Puasa Setiap Hari
Oleh: Nizam at-TakiriKUALA NERUS, 26 April – Saat orang ramai menikmati juadah yang lazat ketika berbuka, tetapi masih ada insan yang tidak bernasib baik yang berbeza keadaan dan memerlukan sumbangan serta perhatian dari pihak tertentu.Ahli Parlimen Kuala Nerus, merangkap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menzahirkan rasa belas ehsan beliau kepada golongan tersebut.Katanya, Pusat Khidmat akan mengagihkan sumbangan yang berbentuk lauk-pauk kepada lebih 100 keluarga setiap hari di seluruh kawasan.“Pada Ramadan pertama, agihan adalah kepada 105 keluarga kurang berkemampuan dari tiga kampung iaitu Kampung Kubang Jela, Banggol Tuan Muda dan Paya Datu.“Sumbangan lauk-pauk tersebut diagihkan melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing mengikut kampung," ujarnya.Dr Khairuddin  berkata demikian di dalam satu kenyataan di media sosial milik beliau, semalam.Tambahnya, beliau berharap sumbangan seperti ini dapat menambah kenikmatan Ramadan dan memberi kegembiraan buat keluarga penerima.
25 Apr 20
281
Yayasan Terengganu Sumbang 65,000 Bantu Pelajar Di Mesir
Yayasan Terengganu Sumbang 65,000 Bantu Pelajar Di Mesir
Urusetia pelajar menyampaikan sumbang kerajaan negeri kepada salah seorang pelajar. Foto: FB Keluarga-keluarga Penuntut Terengganu Mesir (KPT).KUALA TERENGGANU, 26 April- Yayasan Terengganu memaklumkan, sebanyak RM65,000 telah disumbangkan pihaknya sebagai bantuan kecemasan untuk para pelajar Terengganu di Mesir yang terjejas dalam menyediakan persiapan Ramadan susulan pandemik Covid-19. Jumlah itu merupakan sebahagian bantuan kerajaan negeri yang turut disumbangkan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM), badan bukan kerajaan (NGO) dan individu kepada kira-kira 500 pelajar yang berdepan perintah berkurung di negara berkenaan.Sumbangan berupa barangan keperluan bantu pelajar hadapi perintah berkurung.Dalam satu kenyataan di laman Facebook Keluarga-keluarga Penuntut Terengganu Mesir (KPT) semalam, persatuan itu merakamkan rasa terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana membantu anak-anak negeri dengan  menyampaikan sumbangan kebajikan berupa barangan keperluan dan makanan.Persatuan tersebut memaklumkan segala sumbangan telah disampaikan dengan kerjasama Pegawai Atase Pendidikan Terengganu Mesir, Shahrudin Zainal."Bantuan ini diharap dapat meringankan beban anak-anak Terengganu bagi menjalani ibadah puasa serta situasi penularan wabak yang melanda ketika ini."Semoga ibadah puasa pada bulan Ramadan pada tahun ini menguatkan ketabahan hati dan mendapat ganjaran disisi Allah SWT," tulis sumber itu.Berdasarkan maklumat YT, seramai 103 pelajar di bawah tajaan yayasan itu yang belajar di luar negara juga telah menerima semua Elaun Sara Hidup (ESH) sehingga Mei 2020, pada Februari lalu.Dianggarkan, terdapat sekitar 1,000 ke 1,200 orang pelajar Terengganu di luar negara. Manakala, daripada 43,000 pelajar Terengganu di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara, terdapat kira-kira 1,150 pelajar masih terkandas di kampus masing-masing.Bagaimanapun, dilaporkan semua berada dalam keadaan baik di asrama atau kediaman sewaan masing-masing dengan pemantauan serta bantuan makanan dan minuman dari pihak IPT .
25 Apr 20
642