Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Benarkan Ziarah Kubur Ikut SOP
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Kerajaan negeri membenarkan aktiviti ziarah tanah perkuburan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah walau bagaimanapun menegaskan, umat Islam diminta supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Jelasnya, SOP seperti tidak membenarkan berlaku perhimpunan ramai dan pengamalan penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka ketika menziarahi tanah perkuburan perlu diutamakan bagi mengelakkan wabak COVID-19 kembali menular.
“Kita minta jangan terlalu lama berada di tanah perkuburan selain elakkan bersalaman antara satu lain,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sebelum ini, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat termasuk semasa Aidilfitri, umat Islam di Terengganu dilarang melakukan aktiviti ziarah ke tanah perkuburan kerana kadar jangkitan COVID-19 masih tinggi.
02 Jul 20
381
TEKUN Ikrar Pacu Usahawan Bumiputera Melalui Pembiayaan Mikro
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional berikrar untuk terus memacu usahawan bumiputera ke tahap tertinggi melalui pembiayaan mikro yang dilaksanakan agensi terbabit.
Pengerusi TEKUN Nasional, Shaharizukirnain Abdul Kadir yang baru dilantik ke jawatan itu berkata, pihaknya akan cuba mencari kaedah terbaik membantu rakyat termasuk meneruskan segala agenda berkesan yang dirancang oleh pengerusi yang lepas.
“Sasaran kita golongan B40 dan M40 terutamanya yang terkesan dengan PKP baru-baru ini. Saya akan cuba membuat kerjasama dengan setiap agensi yang berkaitan terutamanya diperingkat negeri-negeri.
“Saya bercadang untuk membuat lawatan rasmi ke negeri-negeri dengan mengadakan kunjungan hormat kepada kerajaan negeri disamping berdialog bersama para usahawan secara terbuka,” ujarnya.
Belia berkata demikian kepada pemberita selepas dilantik menggantikan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor yang melepaskan jawatan tersebut pada 15 Mac yang lalu.
Hadir sama sesi taklimat TEKUN ialah Pengarah Urusan Dan Ketua Pengarah Eksekutif TEKUN, Dato' Adam Abdul Ghani, di Menara TEKUN kelmarin.
Mengulas lanjut, beliau akan mengadakan Mesyuarat Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional dalam masa terdekat bagi merangka pelan strategik baharu disamping menambahbaik apa yang sedia ada untuk meningkatkan prestasi TEKUN dalam membantu usahawan.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi atas kepercayaan dan amanah yang diberikan ini.
“Saya akan berusaha sedaya upaya saya untuk menggalasnya sebaik mungkin,” tambah beliau.
01 Jul 20
825
Malaysia Tangguh Hantar Jemaah Haji Tahun Ini
PUTRAJAYA, 11 Jun - Kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk menangguhkan penghantaran jemaah haji tahun ini, berikutan penularan wabak COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, langkah itu dibuat setelah mengambil kira keutamaan kesan kesihatan kepada penduduk negara ini.
"Saya ingin mengumumkan kepada semua rakyat Malaysia, bagi musim haji 1441H ditangguhkan ke tahun depan.
"Tabung Haji akan mengeluarkan kenyataan dan soalan lazim berkaitan penangguhan haji ini," katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Mengulas mengenai kemungkinan penambahan kuota haji tahun depan berikutan penangguhan penghantaraan jemaah tahun ini, Zulkifli berkata, jumlah itu bergantung kepada perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi selepas musim haji tahun ini.
Beliau sebelum ini memaklumkan jumlah jangkitan COVID-19 melebihi 100,000 kes antara pertimbangan kerajaan Malaysia membenarkan jemaah ke Makkah atau sebaliknya.
01 Jul 20
52
Kes Demam Denggi Di Terengganu Meningkat Pasca PKPB
KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Sebanyak 84 kes demam denggi telah didaftarkan di Terengganu dengan peningkatan ketara dapat dilihat bermula awal Mei sehingga 6 Jun sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga 6 Jun.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia berikutan terdapat peningkatan pergerakan di kalangan masyarakat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menggantikan PKP.
Katanya, sehingga 6 Jun lalu, kejadian kes denggi di negeri Terengganu adalah sebanyak 176 kes berbanding 318 kes pada tahun 2019 dalam tempoh yang sama dengan penurunan sebanyak 44.5% (142 kes).
"Berbanding tahun lepas, kes denggi menunjukkan penurunan. Namun terdapat kenaikan pada graf kes bermula awal tahun ini terutama selepas PKP berakhir dan digantikan dengan PKPB.
"Memandangkan fasa PKPB telah beralih ke fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), akan terdapat lebih banyak pergerakan di kalangan masyarakat dan kebarangkalian untuk dijangkiti denggi akan meningkat," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tinjauan ke lokaliti wabak di Lorong Seri Tanjung, Kuala Terengganu di sini hari ini.
Menurutnya, daerah yang mencatatkan bilangan kes denggi tertinggi merupakan daerah Kuala Terengganu (99 kes) diikuti dengan daerah Kemaman (19 kes), Kuala Nerus (17 kes), Besut (14 kes), Dungun (11 kes), Marang (8 kes), Hulu Terengganu (5 kes) dan Setiu (3 kes).
Semua daerah menunjukkan penurunan kes kecuali daerah Kemaman yang menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019. Sehingga 6 Jun 2020, tiada kes kematian denggi yang dilaporkan di negeri Terengganu.
Sehingga 6 Jun 2020, beliau memaklumkan, sebanyak tiga belas (13) episod wabak telah berlaku di negeri Terengganu iaitu sepuluh (10) episod di daerah Kuala Terengganu, dua (2) episod di daerah Hulu Terengganu dan satu (1) episod di daerah Kuala Nerus.
Bagaimanapun semua wabak merupakan wabak terkawal dengan lima (5) episod wabak masih aktif dan semua wabak aktif tersebut adalah di daerah Kuala Terengganu.
Justeru katanya, orang ramai diingatkan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan demam denggi.
"Saya ingatkan semua bahawa 'vaksin' utama denggi adalah memperkasakan tingkah laku masyarakat menjaga kebersihan rumah masing-masing. Amalkan gotong-royong kendiri di samping mematuhi Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Luangkan masa 10 minit setiap minggu untuk aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes (bekas menakung air) di dalam dan di luar rumah masing-masing serta di tempat kerja jika anda sudah kembali bertugas.
"Dan juga rumah-rumah yang telah lama ditinggalkan kerana PKP perlu dibersihkan dengan segera kerana boleh menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes jika terdapat bekas-bekas yang menakung air," tegasnya.
01 Jul 20
65
Kedai Gunting Rambut Mulai Operasi
KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Tinjauan di beberapa kedai gunting rambut di sekitar Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu semalam mendapati tukang gunting dilihat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan dengan memakai penutup muka plastik, pelitup muka, sarung tangan dan apron plastik.
Pengusaha Jo BarberShop, Faizul Aziz, 44, berkata, pihaknya mematuhi sepenuhnya SOP digariskan kerajaan sebagai langkah berjaga-jaga selain memberi keyakinan kepada pelanggan.
"Kami sebagai pengusaha kedai gunting amat gembira dengan keputusan kerajaan membenarkan operasi perniagaan berjalan setelah menunggu berbulan-bulan dalam usaha sama mengekang penularan wabak COVID-19.
"SOP yang ditetapkan akan sentiasa dipatuhi bagi menghargai peluang ini. Hanya dua orang pelanggan dibenarkan masuk bagi setiap sesi gunting rambut dengan jarak kerusi lebih dua meter antara pelanggan.
"Tukang gunting kami pula perlu memakai penutup muka plastik dan pelitup muka sepanjang masa dengan sarung tangan pakai buang berbeza bagi setiap pelanggan manakala apron plastik dipakai pekerja diganti setiap tiga pelanggan.
"Namun apron plastik digunakan pelanggan pula akan dibuang selepas setiap pelanggan.
"Kami juga akan menyah cemar dan melakukan proses sanitasi setiap peralatan termasuk gunting, sikat, mesin rambut selain tempat duduk pelanggan setiap kali seorang pelanggan selesai menggunting rambut," jelasnya ketika ditemui pemberita dalam tinjauan di sini semalam.
Menurutnya, harga yang dikenakan pula adalah RM15 seorang dan operasi kedai bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.
Sementara itu, pelanggan Kedai Gunting Razali, Rosli Mat Nasir, 56, berkata, beliau merasa lega dengan kebenaran operasi kedai-kedai gunting rambut.
"Alhamdulillah akhirnya dapat juga mendapatkan khidmat menggunting rambut. Rasa lebih yakin dengan rambut yang kemas," ujarnya.
Terdahulu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkhidmatan guntingan dan dandanan rambut serta kecantikan dibenarkan beroperasi mulai semalam dengan SOP yang ketat.
01 Jul 20
109
144 Usahawan Terengganu Terima Dana Tabung Pemulihan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menyampaikan sebanyak RM1.5 juta kepada 144 usahawan bagi membantu perniagaan mereka yang terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM4 juta yang diperuntukkan kerajaan bagi tujuan itu.
"Selepas wabak COVID-19 melanda, YPU sendiri mengambil inisiatif membantu usahawan kita dengan mewujudkan segmen baharu iaitu Bantuan Pemulihan COVID-19 Terengganu.
"Permohonan yang kita terima lebih, tetapi yang kita luluskan ini yang terawal dan didapati terjejas teruk. Insya-Allah peruntukan ada baki lagi. Cuma, kita terima permohonan diluar jangka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek bagi Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) kepada usahawan di bawah skim berkenaan bagi meningkatkan prestasi Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) dalam negeri.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah timbalannya, Hilmi Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Ahmad Farhan Wahab.
Jelas Nurkhuzaini lagi, permohonan yang diterima YPU kini mencecah RM11 juta.
"Kita cuba lihat bagaimana nanti, kalau kerajaan negeri pertimbangkan tambahan, kita akan proses.
"Cuma, kita sarankan usahawan turut mencuba tawaran daripada kerajaan Persekutuan contohnya melalui PERKESO iaitu skim subsidi upah, begitu juga dengan Perbadanan Usahawan Kecil Sederhana (SME CORP) dan yang terbaru MARA dan Perbananan Nasional Berhad (PNB) yang boleh dimanfaatkan," katanya.
Berkenaan skim TUGAS, Mohd Nurkhuzaini menyatakan, keseluruhan dana yang telah dikeluarkan berjumlah hampir RM3 juta yang mula diproses sejak awal tahun lepas.
Tambahnya, seramai 77 usahawan menerima pembayaran pertama TUGAS bagi tahun 2020 hari ini dengan jumlah dana sebanyak RM815,401.52.
"Sejak dilancarkan pada Januari lalu, kita telah menyediakan dana kira-kira RM28 juta kepada 2,740 usahawan dalam negeri," katanya.
01 Jul 20
257
Sekolah Dibuka 24 Jun, Libatkan Pelajar Peperiksaan Awam
PUTRAJAYA, 10 Jun - Semua sekolah di seluruh negara akan dibuka semula mulai 24 Jun ini namun hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara pada tahun ini, kata Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Beliau berkata ini membabitkan pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa.
Katanya Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah telah diedarkan ke sekolah-sekolah pada 4 Jun lepas sebagai panduan agar persiapan rapi dapat dibuat sebelum sesi persekolahan bersambung kembali. - BERNAMA
01 Jul 20
46
Polis Kemaman Rampas Dadah Bernilai RM1.71 Juta
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kemaman berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bernilai RM1.71 juta dianggarkan rampasan terbesar di Terengganu bagi tahun ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik memaklumkan, melalui Ops Mega yang dilaksanakan pada 8 Jun itu, pihak polis telah berjaya menangkap tiga lelaki berbangsa Melayu dan seorang wanita Melayu dalam dua serbuan berbeza sekitar jam 5.30 pagi hingga 12.30 tengahari di sebuah rumah tidak bernombor di Kemasik, Kemaman.
“Pada serbuan pertama, kita berjaya merampas sejumlah dadah jenis Heroin, Syabu dan pil kuda bernilai RM1.05 juta serta wang tunai berjumlah RM63,318.
“Pihak polis juga merampas sepucuk pistol tiruan jenis Beretta daripada salah seorang suspek dan menyita sebuah kereta jenis Honda Civic milik mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) PDRM Terengganu, hari ini.
Jelasnya, susulan kejayaan itu, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah lagi rumah di kawasan sama dan berjaya menahan seorang wanita serta menjumpai 3710 gram tongkol mampat Heroin, 15.44 gram Syabu dan 1,400 pil kuda dianggarkan bernilai RM252,916.
“Sindiket ini dipercayai mengedarkan dadah berkenaan di sekitar Terengganu dan Pahang serta mereka turut dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket yang ditumpaskan di Hulu Terengganu, baru-baru ini,” katanya.
Kesemua suspek berumur antara 20-an sehingga 40-an itu didapati positif Methaphetamine dan kini direman selama tujuh hingga 14 hari untuk siasatan.
01 Jul 20
341
Hotel, Resort, Houseboat Dan Homestay Terengganu Dibuka Semula
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Kerajaan Terengganu membenarkan sebahagian aktiviti pelancongan di negeri Terengganu termasuk membuka semula semua hotel, resort, houseboat dan homestay, dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri pada masa ini juga sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif pelan pemulihan agar sektor pelancongan dapat dipulihkan.
"Kita mengharapkan sektor pelancongan dapat kembali menjadi tulang belakang kepada ekonomi rakyat di negeri ini.
"Justeru kerajaan negeri bersetuju membuka semula semua hotel, resort, houseboat dan homestay yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan homestay di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Semua aktiviti pelancongan seperti selam skuba, snokerling, hiking, aktiviti bot di pulau dan tasik, paragliding, perkhemahan, riadah, membeli belah, aktiviti Taman Eco Rimba dan lata rekreasi juga dibenarkan mulai 15 Jun ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, kerajaan turut membenarkan aktiviti jualan tiket, aktiviti bot, restoran dan jualan umum di jeti-jeti ke pulau-pulau peranginan di dalam negeri Terengganu dan juga di Tasik Kenyir.
"Kebenaran adalah termasuk membuka semula Tasik Kenyir dan hotspot kawasan pelancongan di Tasik Kenyir seperti Santuari Kelah, Kenyir Elephant Conservation Village (KECV), Taman Herba bermula 12 Jun ini.
"Taman Tamadun Islam (TTI), Draw Bridge Tower, Zoo Kemaman dan lain-lain tempat lawatan umum juga dibuka manakala muzium negeri dibuka pada 16 Jun dan muzium-muzium daerah, Rumah Warisan Haji Su, Kota Lama Duyong turut dibuka secara berperingkat," jelasnya.
Beliau turut mengingatkan agensi dan jabatan yang terlibat memainkan peranan penting agar garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dapat dipatuhi dan diamalkan agar wabak COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya walaupun dengan kelonggaran yang telah dibenarkan.
"Pematuhan SOP dan 'new normal' ini akan memastikan pelancong boleh bercuti ke negeri Terengganu dengan selamat dan yakin ke mana-mana tempat-tempat ingin mereka lawati," ujarnya.
Terdahulu Kerajaan Pusat mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari ini hingga 31 Ogos bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.
01 Jul 20
507
Rakyat Diminta Patuh SOP Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 10 Jun – Seluruh rakyat termasuk ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di Terengganu perlu bertanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya wabak COVID-19 tidak menular kembali.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata imej buruk boleh terpalit pada institusi agama Islam secara am jika ada kluster jangkitan baharu dikenal pasti berpunca dari masjid dan surau.
Beliau berkata, walaupun pemantauan dilakukan penguat kuasa agama di setiap daerah, dikhuatiri kebarangkalian ada masjid dan surau terbabit tidak mengikut garis panduan ditetapkan sehingga boleh meningkatkan risiko jangkitan COVID-19.
"Saya berharap semua di antara kita memberi kerjasama setika hadir ke masjid, malah berkemungkinan kita akan menarik semula kebenaran ini bagi masjid atau surau yang didapati tidak mematuhinya," katanya.
Mohd Nor berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini bagi mengulas kebenaran solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di semua masjid serta surau di Terengganu.
Mengulas lanjut, SOP yang ditetapkan itu juga perlu dijadikan sebagai norma baharu sehingga keadaan kembali pulih seperti sedia kala.
Semalam, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memberi kebenaran kepada semua masjid mengadakan solat Jumaat bermula 12 Jun.
Manakala kebenaran sama turut diberikan untuk solat fardu berjemaah kepada semua masjid dan surau bermula pada waktu Asar Jumaat ini.
01 Jul 20
57