lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Tiada Tempat Buat Pesalah Minuman Keras Di Terengganu
Tiada Tempat Buat Pesalah Minuman Keras Di Terengganu
Oleh : Aslam Wira MARANG, 16 Jun - Pertubuhan Amal Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad AMAR) mengulangi ketegasan mereka untuk membanteras individu Islam yang terlibat dengan arak di daerah dan negeri ini. Penasihatnya, Yusuf Abdul Hadi berkata, tindakan memberi amaran disusuli pencegahan kepada 'kumpulan' terbabit sedang dipertingkatkan di beberapa lokasi sasaran. "Malam ini kita turun ke Pulau kapas untuk 'mencari' mereka yang beragama Islam selepas mendapat laporan dan juga hasil pemantauan yang dilakukan sebelum ini. “Kita telah memeriksa setiap premis dan chalet yang beroperasi di sini, kita berikan amaran serta penjelasan terhadap kesalahan jenayah syariah (minuman keras) yang salah di sisi agama Islam," tegasnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas operasi tersebut di sini semalam. Turut terlibat adalah wakil Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Marang, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Ahli Majlis Daerah Marang dan Sukarelawan Penguatkuasa Syariah. Mengulas lanjut Yusuf berkata, pemantauan dan amaran berterusan akan dijalankan supaya setiap individu muslim lebih jelas dan mengambil serius terhadap undang-undang kesalahan jenayah syariah. “Kita akan memantau lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti secara berterusan dan meletakkan 'mata-mata' sebagai pemberi maklumat supaya tindakan tegas dapat diambil pada masa akan datang, bukan sahaja di Pulau Kapas, malah seluruh kawasan Marang khususnya dan Terengganu amnya. “Skuad AMAR juga berharap agar negeri kita mendapat keberkatan dan usaha yang dijalankan ini mendapat ganjaran daripada Allah SWT,” tambahnya lagi.  
02 Jul 20
63
Subsidi Upah Sehingga RM1,200 Setiap Pekerja
Subsidi Upah Sehingga RM1,200 Setiap Pekerja
Oleh: Mohd Asraf DUNGUN, 16 Jun - Usahawan digalak  membuat tuntutan bagi pelaksanaan Program Subsidi Upah (PSU) yang diumum kerajaan kepada pekerja setiap bulan. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Wan Hapandi Wan Nik berkata, usahawan di negeri ini turut digesa untuk menjadi ahli Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) agar dapat menerima manfaat dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). “Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh YPU, masih ramai lagi usahawan atau majikan yang belum membuat tuntutan. “Oleh sebab itu, YPU mengambil inisiatif untuk membantu para usahawan agar mendapat manfaat daripada program ini,” katanya. Tambah beliau lagi, YPU telah mendapat kerjasama dari PERKESO untuk memudahkan cara permohonan PSU ini. “Kita sangat mengalu-alukan semua usahawan yang belum membuat tuntutan untuk segera berdaftar sebagai sahabat YPU dan sekaligus mendapat manfaaf ini”, kata beliau. Pada 27 Mac lalu, kerajaan mengumumkan peruntukan RM5.9 bilion bagi program berkenaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan COVID-19. Kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini dan majikan yang memilih bantuan ini disyarat mengekalkan pekerja sekurang-kurangnya enam bulan. Dengan pakej tambahan ini syarikat-syarikat akan menerima lebih banyak manfaat dan bantuan.
02 Jul 20
34
Lelaki Meninggal Dunia Disyaki Akibat Kencing Tikus
Lelaki Meninggal Dunia Disyaki Akibat Kencing Tikus
KUALA TERENGGANU,  16 Jun - Seorang lelaki meninggal dunia manakala dua lagi rakannya dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas disyaki dijangkiti Leptospirosis atau kencing tikus. Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, mangsa dimasukkan ke HSNZ pada Ahad lalu dan disahkan meninggal dunia semalam. Menurutnya, dua rakannya dimasukkan ke HSNZ semalam dan keadaan mereka dilaporkan stabil. “Mereka disyaki terkena jangkitan kencing tikus berdasarkan simptom ditunjukkan dan kita sedang menunggu ujian darah semua mangsa,” katanya pada sidang media selepas hadir ke Majlis Ramah Mesra Media di Hotel Paya Bunga di sini hari ini. Dr Alias berkata, berdasarkan laporan ketiga-tiga mangsa bersama satu kumpulan seramai 12 orang telah mengunjungi sebuah air terjun di Dungun pada minggu lepas dan mula mengalami demam serta sakit badan. Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengunjungi mana-mana kawasan air terjun atau hutan lipur pada ketika ini bagi mengelak insiden sama berlaku apatah lagi di saat COVID-19 belum selesai. “Mereka dilaporkan disyaki terkena kencing tikus sewaktu mandi manda di kawasan air terjun. “Penyakit ini berpunca daripada tempat air terjun terutama musim kemarau di mana air sedikit jadi tikus akan cari air di anak sungai dan bila dia kencing dalam air ada kuman. Kebetulan pula mereka mandi dan terkena jangkitan. “Jadi kita minta orang ramai tidak pergi mandi manda di kawasan air terjun buat masa ini apatah lagi dalam tempoh PKP ini,” katanya.
02 Jul 20
65
Peniaga Boleh Operasi Ikut Waktu Lesen Perniagaan
Peniaga Boleh Operasi Ikut Waktu Lesen Perniagaan
KUALA TERENGGANU, 16 Jun - Waktu operasi premis perniagaan di Terengganu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan mengikut kelulusan pada lesen perniagaan masing-masing. Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kebenaran itu bermula 10 Jun lalu selepas negara ini memasuki fasa PKPP sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sehubungan itu menurutnya, peniaga boleh menjalankan perniagaan seperti biasa sebagaimana sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula namun harus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan. "Waktu operasi premis perniagaan sekarang kembali semula kepada kebenaran lesen diluluskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sama ada sehingga jam 12 malam, 10 malam atau 6 petang kerana ia berbeza bergantung kepada jenis perniagaan masing-masing," katanya hari ini. Bagi rumah ibadat bukan Islam pula, Dr Alias berkata, kerajaan turut membenarkan ia dibuka semula kepada orang ramai namun mereka yang ingin berkunjung harus mematuhi SOP ditetapkan. "Antara SOP itu adalah tidak berkongsi peralatan ibadah dengan orang lain, macam orang Islam mereka kena bawa sejadah sendiri dan mengambil air sembahyang di rumah," katanya. Sementara itu, Dr Alias memaklumkan, beliau berpuas hati dengan kadar kepatuhan rakyat Terengganu pada PKP yang mencapai kadar 98 peratus namun kecewa apabila ia menurun kepada 90 peratus selepas masuk ke fasa PKPP. Atas dasar itu katanya, pasukan penguatkuasa akan terus membuat pemantauan bagi memastikan SOP ketika berada di tempat awam dan premis perniagaan dipatuhi supaya tiada jangkitan COVID-19 baharu direkodkan. "Rakyat boleh keluar tapi kita kena jaga kita, jaga keselamatan dan kesihatan kita. Kalau kita mahu selamat jagalah SOP kerana kerajaan hanya beri garis panduan tapi untuk elak jangkitan kita kena patuh. "Orang kita bila tiada penguatkuasa yang memaksa, dia rasa selesa dan buat apa yang dia suka sedangkan apa yang dia suka itu membahayakan diri dia," katanya.
02 Jul 20
84
Rakyat Perlu Penjelasan Teknik Pengiraan Bil Elektrik Oleh TNB-Amzad
Rakyat Perlu Penjelasan Teknik Pengiraan Bil Elektrik Oleh TNB-Amzad
KUALA TERENGGANU, 14 Jun- Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dimohon membuat semakan semula bil yang dibuat aduan bagi meredakan keresahan rakyat dan memberi penjelasan yang lebih mudah bagi membantu rakyat memahami teknik pengiraan bil elektrik yang melambung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, jika ada kelemahan pada kaedah pengiraan sehingga berlaku tambahan bebanan kepada pengguna yang bukan akibat penggunaan elektrik yang luar biasa, tetapi oleh kaedah pengiraan yang mengikut blok tarif ditentukan yang bertambah luar biasa kerana ia dijumlahkan untuk tiga bulan, mesti dicari jalan untuk menjadikan hasil kiraannya normal dan tidak luar biasa bebanannya kepada rakyat. “Saya melihat dan mengikuti isu ini dengan teliti dan memahami rungutan rakyat khususnya dari kawasan parlimen saya di Kuala Terengganu. Pada pandangan saya ada kekeliruan dalam memahami teknik pengiraan bil elektrik sepanjang PKP. “Rakyat menerima bil yang luar biasa lebih tinggi dari kebiasaan bulanan mereka. Bila jumlah bil untuk tiga bulan sepanjang PKP dibahagi kepada tiga bulan bagi mendapatkan purata sebulan, purata sebulan itu sangat ketara luar biasa tingginya berbanding bil bulanan yang biasa. “Kerana itu rakyat perlukan penjelasan sama ada  kemungkinan berlaku kesilapan teknikal oleh pihak TNB dalam melakukan pengiraan. Mungkin juga hanya sebahagian pengguna terlibat dan saya dimaklumkan mekanisme pengebilan ini juga telah disemak dan dipersetujui oleh Suruhanjaya Tenaga (Energy Commission of Malaysia),” ujarnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau. Katanya yang juga merangkap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, beliau juga maklum bahawa kerajaan sudah mengeluarkan beberapa solusi untuk meringankan beban rakyat antaranya TNB tidak mengenakan caj berlebihan kepada para pengguna, pelan bayaran mudah ansuran sehingga 31 Disember 2020 serta diskaun pakej Rangsangan Ekonomi untuk tempoh penggunaan mulai 1 April hingga 30 September 2020. Justeru, beliau memohon orang ramai yang merasakan bil elektik mereka kurang munasabah dengan penggunaan supaya membuat aduan dan mendapatkan penjelasan daripada pihak TNB melalui talian khidmat pelanggan atau terus ke kaunter TNB.
02 Jul 20
41
Terengganu Benar Solat Jumaat Mulai 22 Mei
Terengganu Benar Solat Jumaat Mulai 22 Mei
KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat diadakan di masjid bermula 22 Mei selepas mendapat pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda walau bagaimanapun berkata, kebenaran yang diberikan itu tertakluk kepada beberapa syarat termasuk hanya diadakan di satu masjid utama dalam setiap daerah seperti masjid Wakaf Tembesu bagi Kuala Nerus. "Bilangan jemaah pula tidak melebihi 40 orang, termasuk imam dan khatib. "Pegawai Agama Daerah bertanggungjawab dalam mengenal pasti jemaah yang akan menghadiri solat Jumaat dan catatan ahli jemaah hendaklah dicatat dengan teliti," ujar beliau dalan satu kenyataan rasmi hari ini. Mengulas lanjut, katanya khutbah Jumaat hendaklah ditumpukan kepada rukun sahaja dengan tidak melebihi tujuh minit untuk kedua-dua khutbah. Jelasnya, jemaah yang diizinkan hadir pula hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran. "Individu yang berumur 60 tahun dan ke atas serta yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema tidak dibenarkan hadir. "Begitu juga mereka yang  mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah dan sebagainya juga tidak dibenarkan hadir. "Penjarakan sosial 1 meter, memakai penutup mulut dan hidung (face-mask) ketika menunaikan solat, berwuduk terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri mesti diamalkan," jelas beliau. Katanya lagi, semua yang hadir juga hendaklah terus beredar meninggalkan kawasan masjid setelah selesai solat. "Tidak dibenarkan berjabat tangan di masjid  setiap masa sama ada sebelum atau selepas solat. "Sembahyang sunat adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh berada di dalam masjid kecuali solat sunat Tahiyatul Masjid," katanya. Bagi memastikan aliran pengudaraan di dalam ruang solat, beliau menyarankan agar pihak masjid membuka semua jendela dan menggunakan kipas angin sahaja. Mengenai solat fardu berjemaah, Baginda turut memberi perkenan untuk diadakan pada tarikh sama di semua masjid tetapi hanya tiga orang sahaja dibenarkan iaitu ahli jawatankuasa dan pegawai masjid secara bergilir-gilir. "Solat fardu berjemaah bersyarat juga bermula pada 22 Mei, manakala, solat sunat tarawih dan Aidilfitri tidak dibenarkan di masjid dan surau sama sekali," tambah beliau.
02 Jul 20
151
Terengganu Buka Peluang Kepada Siswazah Jadi Petani Profesional
Terengganu Buka Peluang Kepada Siswazah Jadi Petani Profesional
Oleh : Hidayah Azlin  SETIU, 13 Jun – Kerajaan Terengganu menerusi Jabatan Pertanian Negeri membuka peluang seluas-luasnya kepada siswazah yang sedang mencari pekerjaan  untuk menceburi bidang pertanian termasuk sebagai pencantum pokok profesional. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, peluang tersebut dibuka untuk sesiapa sahaja yang berminat belajar dan menceburkan diri dalam sektor berkenaan. "Jabatan Pertanian Negeri menjemput sesiapa yang berminat terutamanya siswazah menganggur untuk menceburi bidang pertanian khususnya menjadi pencantum pokok secara profesional. "Selepas menjalani kursus secara intensif, pencantum-pencantum profesional ini akan membantu pekebun-pekebun atau pemilik pokok durian, mangga dan lain-lain tanaman bagi menjana pendapatan sendiri yang lebih lumayan dalam Program Pemulihan Dusun yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini. Tambah beliau, kaedah cantuman dewasa ini boleh dipraktikan untuk semua pokok seperti nangka biasa boleh dijadikan nangka madu. "Syaratnya mesti dari 'keluarga' yang sama. Tidak boleh nak cantum mempelam supaya berbuah durian. "Pokok durian kampung tidak perlu ditebang untuk tanam 'Musang King'. Pokok mempelam biasa juga tidak perlu dibuang untuk tanam Harum Manis. Pokok  asal boleh dikekalkan. "Yang perlu ialah tunas 'Musang King' atau tunas Harum Manis kita cantumkan pada pokok asal dengan kaedah cantuman dewasa. Maka insya-Allah akan berbuah pokok tersebut dengan 'Musang King' atau Harum Manis," jelasnya lagi. Sehubungan dengan itu, bagi yang berminat untuk berkecimpung dalam bidang itu, boleh berhubung dengan Pejabat Pertanian Daerah terdekat sekitar Terengganu bagi proses temuduga terbuka atau pertanyaan. "Kursus tersebut akan dijalankan dalam masa terdekat. Percuma sahaja asalkan minat nak belajar," ujar Dr Azman.
02 Jul 20
280
Boleh Doh Candat Sotong Di Terengganu
Boleh Doh Candat Sotong Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Kerajaan Terengganu secara rasminya membuka kembali program mencandat sotong bagi penggemar aktiviti tersebut di kalangan orang awam. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, kerajaan negeri telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) lengkap sebagai panduan mencandat sotong sesuai ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN). “Kita hendak buktikan kepada rakyat Malaysia bahawa program ini tiada masalah diadakan pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini. “Kami telah menyediakan SOP yang memang sangat ketat, seperti menyediakan penanda merah bagi menentukan jarak yang sepatutnya. Kemudian kita ada pencuci tangan, pemeriksaan suhu dan kita memastikan bahawa setiap bot mesti dan wajib mengikutinya,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan Demonstrasi Garis Panduan Aktivit Mencandat Sotong di Jeti Duyong & Marina Resort, di sini semalam. Tambahnya, sebuah bot mencandat yang biasanya memuatkan 10 hingga 15 penumpang akan dikurangkan kepada sekitar tujuh hingga lapan penumpang sahaja bagi mengekalkan pematuhan SOP. Namun, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat itu, harga bagi menyertai aktiviti itu dijangka tidak akan meningkat.   “Perkara ini memang diakui oleh pihak pengusaha sendiri, sebagai contoh bot, kalau dulu mereka bagi sewa RM1,500 satu malam, memang mereka pun mengakui tak boleh mengenakan kos sebegitu lagi dengan kapasiti penumpang kurang hampir separuh berbanding dulu. “Mereka kena fikir suasana baharu di mana sektor pelancongan amat terkesan dan menyediakan kaedah sepatutnya,” katanya. Jelasnya, isu yang paling utama mengakibatkan kos tinggi sebelum ini ialah minyak dan dengan pengurangan harga petrol kini, kosnya tidak akan tinggi. Ariffin juga menyatakan keyakinan bahawa industri pelancongan negeri itu akan kembali pulih secara perlahan-lahan. “Sebab dahulu fokus utama ‘mainland’ tanah besar untuk pelancong tempatan manakala pulau lebih kepada pelancong luar negara. “Sekarang kita fokus pelancong tempatan sebab itu kita yakin dengan pembukaan balik sempadan antara negeri ini kembali merancakkan pelancongan Terengganu. “Bahkan pengusaha di pulau-pulau telah mengubah strategi mereka dengan fokus kepada pelancong tempatan antaranya dengan mengurangkan harga bilik dan pakej menarik,” tambah beliau.
02 Jul 20
138
Solat Jumaat Pertama PKPP, Jemaah Patuh SOP
Solat Jumaat Pertama PKPP, Jemaah Patuh SOP
Oleh : Hidayah Azlin SETIU, 12 Jun – Hampir kesemua jemaah yang hadir solat jumaat dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Terengganu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah kawalan ketat yang dijalankan sebagaimana  ketetapan pihak berkuasa dipatuhi semua pihak. "Hampir 100 peratus daripada SOP yang ditetapkan berjaya dipatuhi di sini. Seramai 80 orang yang hadir mendaftarkan nama, diambil suhu badan masing-masing. "Terima kasih diucapkan kepada semua Ahli Jawatankuasa Masjid yang bertungkus lumus sejak daripada semalam lagi menyusun kedudukan para jemaah mengikut jarak yang telah ditentukan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Kampung Bukit Tanah, Jabi di sini hari ini. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, seawal 12.30 tengah hari para jemaah mula berpusu-pusu memenuhi ruangan masjid. Tambahan pula, pintu masjid ditutup tiga minit sebelum masuk waktu, iaitu pada jam 1.09 petang. "Khatib juga mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan menyampaikan khutbah ringkas. "Solat juga dilakukan dengan ringkas, bacaan ayat-ayat pendek serta tiada jemaah yang menunaikan solat sunat rawatib. "Alhamdulillah semua bersurai dengan tertib. Insya-Allah Jumaat minggu hadapan, saya yakin suasana akan menjadi lebih baik dan kita boleh meneruskan solat sebagaimana biasa," tambah beliau.
02 Jul 20
266
Sultan Mizan Imarah Masjid Sultan Ismail Chendering
Sultan Mizan Imarah Masjid Sultan Ismail Chendering
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Ismail, Chendering hari ini berikutan pengumuman kerajaan negeri untuk membuka kembali masjid-masjid dan surau-surau seluruh negeri kepada umum sejak ia ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lalu. Keberangkatan tiba Baginda diiringi kedua-dua puteranya, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja disambut oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Yahaya Ali. Sempena pembukaan masjid dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak masjid menghadkan seramai 360 orang jemaah sahaja dibenarkan solat Jumaat pada minggu ini. Sebahagian masjid melakukan proses jemputan untuk jemaah dalam qariah masing-masing. Manakala, ada juga masjid yang menerima jemaah secara ‘walk in’ mengikut masa dan kapasiti yang ditetapkan. Kesemua jemaah mengikut peraturan yang ditetapkan dengan melaksanakan kebersihan kendiri, penjarakan sosial dan membawa sendiri sejadah serta memakai pelitup muka.
02 Jul 20
445