Artikel "Utama" Terkini
Mangsa Motosikal Terbakar Terharu Terima Sumbangan
Oleh : Mohd Rizauddin
DUNGUN, 9 Jun - "Saya sungguh terharu dengan sumbangan motosikal yang saya dapat ni. Terima kasih banyak ustaz. Saya doakan semoga Allah permudahkan segala urusan ustaz dan semua kakitangan Pejabat Parlimen Dungun," ujar Mohammad Radzi Mohamed.
Mohamad Radzi, 65, merupakan pemilik sebuah motosikal yang musnah terbakar di Bangunan Salwa, Sura Gate, pada 7 April lalu.
Katanya, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi itu dia berada di bilik sewanya di tingkat tiga bangunan tersebut selepas baru 10 minit pulang dari kedai runcit.
Mohamad Radzi berkata, dia tetap redha dengan dugaan yang dihadapi walaupun kejadian berkenaan menyebabkan satu-satunya kenderaan miliknya lenyap sekelip mata.
Bagaimanapun, sukar untuk digambarkan perasaannya apabila memperoleh sebuah motosikal baharu hasil sumbangan Pejabat Ahli Parlimen Dungun serta pihak kedai Aroma Kitchen yang turut mengadakan kutipan derma untuk menggantikan motosikalnya yang terbakar.
"Sekali lagi saya nak ucapkan terima kasih. Saya memang tidak menyangka Allah kurniakan rezeki sebegini kepada saya. Terima kasih juga kepada Aroma Kitchen kerana turut serta mengadakan kutipan derma. Semoga Allah membalas jasa kalian semua," ujarnya kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan itu di Tenox Motorbikes, di sini, semalam.
Penyerahan motosikal tersebut dilakukan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dengan disaksikan pemilik Aroma Kitchen sendiri, Jamilul Khairi Abd Rasid serta rakan kongsinya, Azidy Abdul Hadi.
Sementara itu, Wan Hassan berkata, inisiatif yang dilakukan oleh pihak Aroma Kitchen itu adalah satu contoh terbaik bagi anak muda.
Beliau juga menggalakkan agar lebih ramai lagi anak muda di Dungun khususnya terlibat dengan kerja-kerja kebajikan seperti yang dilakukan oleh mereka berdua.
01 Jul 20
457
Elakkan 3C, Amalkan 3W
KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Kerajaan negeri menyeru rakyat Terengganu mematuhi saranan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya terus mengamalkan pendekatan 3W dengan mengelakkan 3C sebagai kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian bagi mengawal penularan COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, konsep 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).
Katanya, peringatan itu termasuk elak bersalaman dan bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin, dapatkan rawatan segera jika bergejala, duduk di rumah serta elakkan amalan kunjung-mengunjung.
"Elakkan 3C, iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut, Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal mengingatkan, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok hingga 31 Ogos ini bukan tiket kebebasan rakyat.
"Kita mengalu-alukan keputusan kerajaan memberikan lebih banyak kelonggaran kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian untuk menggerakkan semula ekonomi rakyat.
"Bagaimanapun, ia bukanlah tiket untuk rakyat bergerak bebas tanpa peraturan. Paling penting adalah kawalan kendiri dan semua pihak bertanggungjawab mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," jelasnya.
01 Jul 20
566
Semua Masjid Di Terengganu Dibenar Solat Jumaat, Solat Jemaah
KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah diadakan di semua masjid serta surau bermula 12 Jun ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda berkata, kebenaran itu diberikan selepas mendapat pandangan daripada Pengarah Kesihatan Negeri, Ketua Polis Negeri dan Majlis Keselamatan Negera (MKN) Negeri Terengganu.
“Ia juga selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan kerajaan, maka kita bersetuju untuk memperluaskan kebenaran solat Jumaat kepada semua masjid dalam negeri Terengganu.
“Kita juga membenarkan solat fardu lima waktu secara berjemaah diadakan di semua masjid dan surau pada tarikh yang sama iaitu 12 Jun atau Jumaat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut beliau mengatakan, bilangan jemaah yang hadir adalah mengikut ruang keluasan setiap masjid dengan mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Susunan antara ahli jemaah yang terdiri daripada anak mukim mesti dijarakkan satu meter.
“Individu yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema serta mereka yang mempunyai penyakit kronik tidak dibenarkan hadir.
“Kanak-kanak berumur lima belas tahun ke bawah dan warganegara asing juga dilarang hadir,” katanya.
Katanya lagi, semua yang hadir juga hendaklah terus beredar meninggalkan kawasan masjid setelah selesai solat.
“Ahli jemaah juga mesti membawa sejadah sendiri dan berwuduk terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid dan surau,” tegasnya.
Bagi memastikan aliran pengudaraan di dalam ruang solat, beliau menyarankan agar pihak masjid membuka semua jendela dan menggunakan kipas angin sahaja.
01 Jul 20
212
Pasar Minggu, Pasar Malam Dan Pasar Tani Terengganu Dibenar Beroperasi Esok
KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Kerajaan Terengganu akan membenarkan operasi pasar minggu, pasar tani, pasar pagi dan pasar malam mulai esok, dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, waktu operasi yang dibenarkan bagi pasar pagi dan terbuka adalah dari 6 hingga 11 pagi; manakala pasar malam dari 4 petang hingga 10 malam.
"Alhamdulillah tinjauan yang dibuat dalam operasi pasar percubaan di Pasar Tani Padang Hiliran dan pasar malam di pekarangan Stadium Sultan Mizan baru-baru ini mendapati rakyat kita mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah kedudukan gerai ditetapkan antara 1.5 hingga dua meter dan lokasi kawasan perlu terbuka dan berpagar bagi mengawal laluan keluar masuk sehala.
"Pemeriksaan suhu badan akan dilakukan di laluan masuk dan pengunjung perlu menggunakan pensanitasi tangan selain digalakkan memakai pelitup muka.
"Bagaimanapun, peniaga tidak boleh menyediakan meja atau tempat makan, dan pelanggan hanya boleh membawa pulang makanan dibeli," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media di Wisma Darul Iman, hari ini.
Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal turut memberitahu, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah antara usaha kerajaan untuk menggerakkan semula ekonomi rakyat.
Tambahnya, kedai gunting rambut, termasuk perkhidmatan dandanan rambut dan kecantikan juga dibenarkan beroperasi mulai esok dengan syarat perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN.
"SOP yang lebih terperinci akan dikeluarkan dari masa ke masa. Peniaga juga akan diberi taklimat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui Majlis Bandaraya setiap daerah," jelasnya.
Terdahulu Kerajaan Pusat mengumumkan PKPP bermula esok hingga 31 Ogos ini bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.
01 Jul 20
496
Pengguna LPT2 Dijangka Meningkat 15 Peratus
KUALA TERENGGANU, 9 Jun – Polis Terengganu menjangkakan aliran trafik di lebuh raya Pantai LPT2 melonjak hingga 15 peratus hujung minggu ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), berkuat kuasa esok.
Ketua Polis Terengganu. Dato’ Roslee Chik berkata jangkaan lonjakan trafik itu, berikutan orang ramai mengambil peluang untuk pulang ke kampung masing-masing, susulan kelonggaran perjalanan rentas negeri diberikan kerajaan sepanjang PKPP.
“Bermula esok semua sekatan jalan raya akan ditarik balik dan orang ramai bebas merentas negeri seperti biasa.
“Kita jangkakan kemasukan ini dari Pantai Barat yang menggunakan LPT 1 dan LPT 2 untuk ke Kelantan dan Terengganu pada hujung minggu untuk pulang ke kampung masing-masing,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika dihubungi.
Tambah beliau lagi, pihaknya sedia membantu melancarkan pergerakan kenderaan di plaza-plaza tol serta membantu mengadakan rondaan dan pemantauan di laluan terbabit.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPP bermula Rabu ini hingga 31 Ogos depan, menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pelaksanaan PKPP antara lain membenarkan pergerakan rentas negeri selain beberapa aktiviti dilarang ketika PKPB yang akan berakhir esok.
01 Jul 20
76
151 Taska Di Terengganu Kembali Beroperasi, Utamakan Anak Frontliners
KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Sebanyak 151 buah taman asuhan kanak-kanak (Taska) milik kerajaan negeri dan swasta di Terengganu kembali beroperasi hari ini, selepas ia ditutup sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, ianya melibatkan 64 buah Taska Permata Keluarga dibawah kendalian Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan selebihnya milik pengusaha swasta.
“Keseluruhan taska YPKT yang dibuka hari ini adalah sebanyak 64 daripada 67 buah dimana bakinya akan dibuka dalam masa terdekat disebabkan masalah teknikal, manakala taska swasta pula sebanyak 87 buah.
"Setakat ini yang masih belum dibuka ialah Taska Perpaduan dan juga TASKA Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang dijangka dibuka semula 1 Julai ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Taska Permata Keluarga Kuala Terengganu di Jalan Sultan Omar, hari ini.
Katanya, daripada segi bilangan guru di YPKT pula, terdapat seramai 818 orang termasuk pembantu manakala anak-anak yang berdaftar di YPKT pada tahun ini adalah seramai 4,400 orang daripada 3,561 keluarga.
"Bagaimanapun hari ini, hanya 718 kanak-kanak diterima masuk selepas perbincangan bersama ibu bapa dengan keutamaan diberikan kepada ibu bapa yang perlu bekerja secara berpasangan serentak dan tiada penjaga,"ujarnya..
Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, bagi mematuhi kehendak prosedur operasi standard (SOP) dan panduan pencegahan penularan COVID-19 pasca Perintah Kawalan Pergerakan bagi keselamatan warga Taska, keutamaan kepada ibu bapa bagi penghantaran anak ke taska diberikan kepada petugas barisan hadapan (frontliners).
"Seperti petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Bomba dan penyelamat dan seumpamanya.
“Juga kepada ibu bapa penjaga kanak-kanak (dwi kerjaya) yang bekeperluan keluar untuk ke tempat kerja secara serentak,” ujarnya.
Katanya, kesemua taska yang beroperasi itu menyediakan beberapa SOP termasuk perlu mengisi borang akujanji serta akuan pengistiharan kesihatan kanak-kanak yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat pemantauan setiap hari terhadap taska yang mula beroperasi dimana satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk memastikan pengusaha taska mematuhi SOP ditetapkan,” ujarnya.
Justeru, beliau menasihatkan para ibu bapa agar mematuhi segala SOP yang ditetapkan agar anak-anak sentiasa dalam keadaan selamat sepanjang berada di bawah jagaan pihak taska.
01 Jul 20
370
RM5.4 Juta Untuk Sekolah Agama Rakyat, Pondok Dan Tahfiz Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Kerajaan negeri memperuntukkan RM5.4 juta bagi membantu sekolah pondok dan tahfiz yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata bantuan geran tahunan diagih lebih awal bagi meringankan beban mereka terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Katanya, peruntukan itu akan merangsang pihak terbabit untuk terus melaksanakan proses pengajaran bersesuaian sepanjang tempoh pelaksanaan PKP sehingga ia berakhir.
"Sehingga kini, terdapat 140 institusi pondok, tahfiz, sekolah-sekolah agama rakyat di Terengganu .
"Jadi kita serahkan peruntukan lebih awal untuk pihak mereka gunakan dengan cara terbaik mengikut kesesuaian Ahli Lembaga Pengarah (ALP) masing-masing," katanya ketika dihubungi Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan bagi Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM); Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ijazah Pertama.
"Oleh kerana masalah COVID-19, majlis untuk meraikan mereka yang cemerlang tidak dapat dilaksanakan tetapi kita tetap beri hadiah ini secara 'bank in' duit ini ke akaun masing-masing bermula bulan ini," ujarnya.
Bagi pelajar Terengganu yang berada masih di luar negara, kerajaan negeri turut memperuntukkan hampir RM400 ribu untuk bantuan COVID-19.
"Mereka ini yang masih berada di luar negara seperti Jordan, Turki, Mesir dan sebagainya menerima 100 dollar setiap seorang bagi meringankan beban menjalani kehidupan mereka di sana," ujar beliau.
01 Jul 20
392
Demi Wang Mudah, 59 Pemilik Akaun Keldai Ditangkap
KUALA TERENGGANU, 7 Jun - Demi memperoleh wang secara mudah menyebabkan segelintir individu sanggup menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) dan akaun bank kepada sindiket penipuan yang membabitkan beberapa modus operandi, antaranya pembelian atas talian, Macau Scam dan pinjaman tidak wujud.
Namun 59 pemilik akaun keldai (Mule Account) ini tumpas apabila Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu menjalankan Ops Mule sejak 25 April hingga 31 April susulan laporan kes penipuan yang diterima pihaknya meningkat mendadak sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun di seluruh negara dan hasil tangkapan tersebut membabitkan nilai kerugian hampir RM2 juta.
Katanya, seramai 56 sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menyimpan barang curi.
"Majoriti daripada mereka yang ditahan mendakwa kononnya diri teraniaya dan langsung tidak mengetahui akaun bank miliknya disalahguna pihak tidak bertanggungjawab.
"Tetapi alasan diberikan langsung tidak boleh diterima kerana kita yakin pemilik akaun pastinya tahu sebelum bersetuju menjual kad akaun bank kepada pihak tersebut," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.
Beliau juga berkata, berdasarkan siasatan, semua suspek adalah pemilik akaun (Mule Account) yang digunakan melalui taktik dan modus operandi terbaru sindiket penipuan melalui 'runner' yang memperdaya mangsa untuk menjual kad bank beserta nombor pin dengan tawaran harga sekitar RM200 hingga RM300 bagi setiap kad selain menjanjikan bayaran lumayan yang bakal diperolehi.
"Runner terbabit akan memperdayakan mangsa untuk membeli kad bank beserta nombor pin dengan harga RM200 hingga RM300 sebelum menjual semula kepada sindiket tersebut dengan harga mencecah RM1,000 hingga RM1,500 bagi setiap satu kad.
"Akaun bank tersebut akan digunakan anggota sindiket terbabit sebagai transaksi penyimpanan wang yang diperoleh hasil penipuan,"ujarnya lagi.
Justeru itu, orang ramai diingatkan supaya jangan mendedahkan maklumat bank dan peribadi dan jangan sesekali menyerahkan kad ATM, nombor PIN dan akses perbankan internet kepada pihak lain.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan panggilan dari pihak tidak dikenali kononnya ada berlaku kesilapan pindahan wang dan meminta agar dilakukan pindahan semula.
"Jika kita mendapati ada jumlah wang dimasukkan ke dalam akaun bank tanpa diketahui daripada mana, segeralah membuat semakan dengan pihak bank bagi menyelamatkan kita daripada menjadi mangsa keldai akaun,”tambahnya.
01 Jul 20
914
Mahu Jumpa Isteri Lain, Alasan Mohon Rentas Negeri
KUALA TERENGGANU, 7 Jun - Menziarahi isteri lain antara alasan segelintir warga Terengganu ketika memohon permit pergerakan untuk merentasi negeri dalam tempoh bermula 4 Mei sehingga hari ini.
Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata ia tidak ada masalah, hanya perlu menunjukkan surat atau dokumen yang berkaitan dan pihaknya akan menggunakan budi bicara jika lelaki yang mempunyai lebih satu isteri mahu melawat isterinya yang lain.
Jelasnya, pada mulanya, mereka ini tidak mahu memberikan tujuan asal keperluan merentas negeri namun akhirnya akur dan pihak Polis memberi kebenaran dengan melihat beberapa faktor.
“Ada yang memohon permit ini dengan alasan nak balik ke rumah isteri nombor dua atau tiga.Mereka datang jumpa dan bagi tahu yang isteri ada di sini seorang dan di sana seorang malah ada satu kes, di Terengganu dua orang dan di Johor seorang.
“Namun alasan yang paling popular dalam permohonan permit adalah berkaitan dengan urusan kerja,” katanya kepada pemberita di sidang media pencapaian Op Mule Siri 2/2020 JSJK di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dan Ketua JSJK Terengganu, Superintendan M.Zambri Mahmud.
Beliau turut berkata, pihaknya menerima hampir 500 hingga 700 permohonan permit merentas negeri setiap hari sepanjang tempoh ini
"Semalam sahaja, kita menerima 748 permohonan dengan pelbagai alasan namun enam daripadanya ditolak kerana gagal memberi alasan munasabah seperti tidak mengemukakan surat sokongan daripada majikan," ujarnya lagi.
Sementara itu, Roslee berkata sepanjang PKPB berlangsung, sebanyak 65,845 kenderaan yang ingin memasuki negeri ini telah diperiksa melalui sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan.
“Yang diarahkan pusing balik sebanyak 297 buah dan dalam tempoh itu juga sebanyak 33 kompaun dikeluarkan kerana tidak mempunyai surat atau permit untuk rentas negeri.
“Sebagaimana yang telah saya beritahu, kita ada buat satu SJR di Perasing dan di Kemaman memang kita ada tiga SJR, bila dia orang masuk, kita lencong ke RnR Perasing, di situ kita tapiskan 100 peratus. Tidak ada surat,ada kita bagi kompaun termasuk disuruh patah balik,”katanya.
01 Jul 20
210
Sambung Atau Tamat PKPB Diketahui Esok
PUTRAJAYA, 6 Jun - Status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diterus atau ditamatkan dijangka bakal diketahui esok.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menyampaikan perutusan khas mengenai perkara itu pada jam 3 petang.
Pengumuman itu sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia bagi mengetahui PKPB yang sedang berlangsung sehingga 9 Jun ini.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Muhyiddin bakal mengumumkan sesuatu esok dan akan menyentuh banyak perkara.
"Jadi kita tunggulah," katanya pada sidang akhbar harian mengenai perkembangan terkini PKPB di sini hari ini selepas ditanya mengenai kebenaran untuk golongan bujang yang ingin pulang bertemu ibu bapa.
01 Jul 20
131