lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Elakkan Aktiviti Di Kawasan Rekreasi Air Terjun Belukar Bukit
Elakkan Aktiviti Di Kawasan Rekreasi Air Terjun Belukar Bukit
Oleh : Muhammad Najib Ismail HULU TERENGGANU, 18 Jun - Orang ramai dinasihatkan agar tidak menjalankan sebarang aktiviti di kawasan rekreasi air terutamanya di Air Terjun Belukar Bukit dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata, kawasan air terjun tersebut pernah diwartakan sebagai kawasan larangan untuk aktiviti rekreasi berikutan banyak tragedi telah berlaku yang melibatkan kehilangan nyawa. "Untuk tahun ini sahaja telah terjadi dua tragedi mati lemas di kawasan tersebut. Kejadian pertama pada bulan Mac dan kejadian kedua pada hari ini. "Keadaan cuaca hujan dan ribut setiap petang di Hulu Terengganu menyebabkan kawasan sungai dan kawasan rekreasi ini airnya agak tinggi dan deras, ia berisiko tinggi kepada pengunjung-pengunjung. "Oleh kerana itu, orang ramai hendaklah sentiasa peka dengan keselamatan masing-masing dengan menghindari aktiviti rekreasi terutamanya di Belukar Bukit ini dan termasuk di kawasan rekreasi di air yang lain," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemubual pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang selepas berlakunya insiden kejadian lemas di Belukar Bukit. Tambahnya, keadaan air terjun atau sungai yang jernih dan cetek tidak boleh dijadikan ukuran untuk orang ramai merasa selamat melakukan aktiviti rekreasi kerana ‘kepala air’ boleh berlaku sekiranya hujan di hulu sungai dan puncak bukit. "Ia dapat dielakkan sekiranya orang ramai mengambil iktibar daripada kes yang banyak dilaporkan di media cetak, elektronik dan sosial," ujarnya lagi. Terdahulu, mangsa terbaharu, Muhammad Affizie Irffanshah Mazita@Jamal, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Zainal Abidin telah dilaporkan mati lemas di air terjun tersebut tengah hari tadi.  
02 Jul 20
548
Pelepasan Benih Jalin Kelestarian Populasi Ikan Terenggan
Pelepasan Benih Jalin Kelestarian Populasi Ikan Terenggan
BESUT, 22 Jun - Sebanyak 27,350 ekor benih ikan dilepaskan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) di Ampang Jajar, Hulu Besut hari ini bagi membantu meningkatkan populasi ikan air tawar di kawasan tersebut. Jumlah benih ikan yang dilepaskan terdiri daripada 230 ekor Kelah, 2,500 ekor Baung dan sebanyak 24,620 Lampam Sungai dengan kos bernilai kira-kira RM20,000. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Helmi Harun menyifatkan program tersebut merupakan salah satu langkah penting kepada kelestarian biodiversiti kawasan setempat. “Program seumpama ini akan meningkatkan hasil dan suatu mata rantaian supaya populasi ikan tidak pupus yang mana kita juga tahu terdapat banyak ancaman kepada spesies ini daripada faktor semula jadi dan perbuatan manusia. “Kita patut bersyukur dengan keadaan negeri kita yang baik persekitarannya. Kita harap, seluruh masyarakat menyedari kepentingan menjaga alam sekitar serta kepentingan menjaga ketulenan dan keaslian negeri kita,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelepasan benih ikan bersama JPNT dan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) bagi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (KETARA), hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengarah JPNT, Rusman Rusdy, Jurutera Projek IADA KETARA, Haslina Alias serta Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, Mat Daik Mohamad. Dalam pada itu, Rusman memaklumkan bahawa program yang dilaksanakan merupakan salah satu kaedah pengembangan populasi ikan air tawar di negeri itu. “Ini kali keempat pelepasan benih bagi tahun ini di mana kita biasanya lepaskan di perairan umum seperti tasik, sungai dan di kawasan komuniti. “Untuk tahun ini, keseluruhannya telah dilepaskan sebanyak 80,000 ekor terdiri daripada spesies Baung, Lampam Sungai dan Udang Galah,” jelasnya. Menurut beliau, JPNT berusaha mencapai sasaran pelepasan benih sebanyak 250,000 setahun bagi memastikan usaha tersebut mampu memberi impak kepada nelayan darat yang bergantung harap kepada hasil hidupan air tawar untuk menampung kehidupan mereka.
02 Jul 20
234
Percutian Keluarga Dalam PKPP Berakhir Tragedi
Percutian Keluarga Dalam PKPP Berakhir Tragedi
HULU TERENGGANU, 18 Jun  - Keghairahan percutian 18 sekeluarga dari Kampung Kemunting, Batu Rakit, Kuala Nerus, yang berkelah  di kawasan air terjun Belukar Bukit di sini, pagi tadi berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya ditemui lemas. Dalam kejadian sekitar jam 11  pagi itu, mangsa, Muhammad Affizie Irffanshah Mazita @ Jamal, 14 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Zainal Abidin, telah berenang secara bersendirian sempat meminta tolong sebelum dilihat tenggelam. Salah seorang ahli keluarga,  Hairizan  Al Bukhari iaitu bapa saudara mangsa yang menyaksikan kejadian itu bertindak turun untuk menyelamatkan mangsa tetapi gagal.Sementara itu, ahli keluarga lain pergi untuk mendapatkan bantuan daripada penduduk bagi menghubungi pasukan penyelamat. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.45 pagi. "Jam 12.00 tengahari  anggota bomba telah sampai tempat kejadian dan menjalankan misi menyelamat dan pada 12.15 tengahari mayat telah dijumpai oleh anggota bomba dan orang awam. "Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. Sementara, Mohd Adli turut menasihati orang ramai supaya tidak berkunjung ke lokasi pusat rekreasi air terjun dan sungai kerana lokasi berkenaan masih belum dibuka. "Petugas- petugas keselamatan yang ada masih belum diaktifkan dan berisiko jika berlaku bencana yang tidak diingini," katanya.
02 Jul 20
69
Terengganu Lancar Buku Keluarga Mawaddah & Rahmah
Terengganu Lancar Buku Keluarga Mawaddah & Rahmah
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dalam usaha membina keluarga masyarakat Terengganu yang bahagia dan berkualiti dengan melancarkan Buku "Keluarga Mawaddah & Rahmah" di Wisma Darul Iman hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, inisiatif tersebut diyakini berupaya meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat berkaitan peranan individu khususnya wanita dalam institusi kekeluargaan. "Alhamdulillah saya sangat berbesar hati kerana buku ini berjaya disiapkan. Inilah salah satu cita-cita dan harapan saya, iaitu satu lagi pendedahan kepada masyarakat khususnya wanita yang terdiri daripada ibu, isteri dan anak-anak kita. "Tentang bagaimana mereka memahami sebaik mungkin kehidupan seorang wanita berlandaskan kehidupan Rasullah bersama isteri-isteri dan anak-anak Baginda. Dengan sebab itu, hari ini penulis membentangkan semula kepada kita supaya kita dapat memahami peranan dan cabaran tersebut. "Justeru saya mengharapkan kita dapat memberi tumpuan membaca dan memahami buku ini di peringkat awal dan seterusnya bertanya guru masing-masing bagaimana menjalani kehidupan berkeluarga mengikut syariat Islam," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Buku "Keluarga Mawaddah & Rahmah", di sini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor. Hanafiah turut berterima kasih kepada penulisnya, Dr Hamdan Muhammad yang menganalisa dan melihat sendiri apa yang berlaku kepada kaum wanita dalam era globalisasi malah berkongsi ilhamnya dalam buku tersebut. "Bagi pihak kerajaan negeri, jutaan terima kasih kepada Dr Hamdan yang menulis dengan sebaik mungkin. Tulisannya sangat ringan dan mudah difahami. Itulah yang cuba ditonjolkan dalam cabaran dunia masa kini di mana berlakunya perceraian, masalah rumah tangga dan kerosakan akhlak. "Beliau menulis sebuah buku mengenai kasih dan cinta antara satu sama lain untuk menjadi pedoman dari awal dilahirkan sehinggalah berkeluarga dan akhirnya bertemu Allah SWT," jelasnya. Buku "Keluarga Mawaddah & Rahmah" terbitan Pustaka Damai Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah (MTT) boleh ditempah dengan menghubungi Fatimah Harun (0163114272) atau Hanasidah (0129450527).
02 Jul 20
177
Tiga Mahkamah Di Terengganu Bakal Ditambah Baik
Tiga Mahkamah Di Terengganu Bakal Ditambah Baik
Oleh : Izzat Al-Qushairi/Hidayah Azlin SETIU, 22 Jun - Sekurang-kurangnya tiga Mahkamah Majistret di negeri ini telah dikenal pasti untuk proses penambahbaikan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata sebahagian daripada bangunan terbabit sudah pun dalam proses berkenaan dan ia termasuk mahkamah di Setiu yang beroperasi sejak 32 tahun lalu. Katanya, kos pembinaan Mahkamah Majistret Setiu yang baharu itu dijangka berjumlah RM15 juta dan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan. “Di Terengganu ini, kita jangkakan di Setiu akan dibina sebuah bangunan Mahkamah Majistret baharu. “Kemudian mahkamah di Marang dan Kemaman yang mempunyai bilangan kes yang tinggi kerana bandar besar, kedua-duanya akan ditambah baik,” katanya selepas lawatan kerja ke Mahkamah Majistret Setiu di sini hari ini Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof dan Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari Abd Rahman. Katanya, walaupun mahkamah tidak melibatkan ramai orang tetapi langkah tersebut wajar diambil bagi memudahkan mereka yang berurusan dengan institusi berkenaan. “Satu, keselesaan kepada pentadbiran mahkamah itu sendiri. Kedua, keselesaan kepada petugas-petugas seperti pihak polis, pendakwa raya, pihak jabatan-jabatan dan yang ketiga paling penting adalah keselesaan kepada orang awam. “Berdasarkan keputusan perbincangan, mahkamah ini akan ada jangka pendek dan jangka panjang. Jangka pendek akan cari bangunan yang baru manakala jangka panjang apabila segala urusan tanah sehingga ke peringkat pusat selesai,” tambah beliau. Difahamkan sebanyak 82 bangunan mahkamah di seluruh negara termasuk Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret dijangka akan menjalani proses penambahbaikan.
02 Jul 20
58
Hospital Dungun Perlu Disiapkan Segera-Wan Hapandi
Hospital Dungun Perlu Disiapkan Segera-Wan Hapandi
Dungun, 18 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik menggesa pihak berkaitan menyiapkan segera pembinaan Hospital Dungun. Katanya, proses pembinaan hospital berkenaaan bermula tahun 2016 dan tarikh siap asal difahamkan pada 22 Februari tahun lalu bagaimanapun telah mengalami kelewatan disebabkan masalah tertentu. “Pihak berkenaan perlu mempercepatkan pembinaan, kerana dari apa yang saya lihat, projek ini bermula empat tahun lalu tetapi sehingga hari ini masih tidak siap-siap,” katanya. Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke tapak hospital bagi meninjau perkembangan projek berkenaan. Menurut Wan Hapandi, Hospital Dungun baharu akan dilengkapi dengan kapasiti 110 katil dan 10 kepakaran disediakan antaranya kecemasan, perubatan, pediatrik, obsterik dan ginekologi, anestesiologi, ortopedik, psikiatrik, pergigian dan patalogi. “Jika hospital ini siap sepenuhnya, ia akan membantu mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu bagi para pesakit yang sedang menunggu giliran untuk bertemu pakar,” tambah beliau. Mengulas lanjut, beliau berkata memandang hospital ini masih belum siap dibina, pesakit yang ingin mendapatkan rawatan susulan atau pembedahan perlu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) atau Hospital Kemaman. Menurut Wan Hapandi, sebelum ini, beberapa siri pertemuan dengan pihak berkaitan telah diadakan untuk membincangkan perkara berkenaaan termasuk pada  26 Mac 2019, bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh dan pihak kontraktor, Nukima Sdn Bhd yang turut disertai beliau bagi membincangkan perkembangan projek. Katanya, pembinaan hospital Dungun telah mengalami sedikit kelewatan disebabkan beberapa masalah termasuk pertindihan di peringkat awal melibatkan urusan tambun tanah, berkaitan dengan peruntukan ketika berlaku perubahan Kerajaan Pusat dan disebabkan kekangan tenaga kerja. Wan Hapandi berkata, beliau berharap agar hospital ini dapat disiapkan dengan segera dan dapat digunakan sepenuhnya demi rakyat Dungun.
02 Jul 20
392
YADIM Sasar 2,000 Penerima Peduli Musaadah Covid 19 Terengganu
YADIM Sasar 2,000 Penerima Peduli Musaadah Covid 19 Terengganu
Oleh: Ahmad Ezani Razali KEMAMAN, 17 Jun - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu menyasarkan seramai kira-kira 2,000 orang penerima sumbangan bagi Program Peduli Musaadah Covid 19 Terengganu. Pengarahnya, Mahadi Awang berkata, rata-rata sasaran tersebut terdiri daripada keluarga nelayan dan fakir miskin bagi seluruh negeri Terengganu. "Hari ini kita hadir di daerah Kemaman bagi menyantuni dan memberikan sumbangan kepada mereka yang turut terjejas pendapatan harian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu. "Semalam kita berada di Dungun. Hari ini pula di Kemaman. Insya-Allah, kita akan terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan sumbangan di seluruh negeri Terengganu secara berperingkat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai menyantuni penduduk dan memberikan sumbangan di Kampung Kuala Kemaman di sini hari ini. Dalam program tersebut YADIM turut menyelitkan program YADIM Lestari : Cuci-Cuci. Menurutnya, YADIM akan memilih sama ada surau, masjid atau madrasah untuk program gotong-royong membersihkannya. "Ia bersesuaian dengan tuntutan agama Islam bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman. Jadi kita ingin melihat tempat-tempat ibadah terutamanya terjaga daripada segi kebersihan," katanya lagi. Hadir sama menjayakan program itu, kakitangan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai dan jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Kemaman. Sumbangan yang diberikan berbentuk barangan keperluan harian. YADIM memperuntukkan hampir RM80,000 bagi melaksana dan menjayakan keseluruhan program tersebut.
02 Jul 20
238
ExxonMobil Serah Sumbangan, Tunai CSR Untuk Sektor Kesihatan Dan Pendidikan Terengganu
ExxonMobil Serah Sumbangan, Tunai CSR Untuk Sektor Kesihatan Dan Pendidikan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 Jun - ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (ExxonMobil) terus menunaikan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikatnya dengan menyerahkan sumbangan kepada beberapa agensi di bawah sektor kesihatan dan pendidikan Terengganu. Pada Majlis Penyerahan Sumbangan Sempena Program CSR Exxonmobil yang berlangsung di Wisma Darul Iman hari ini, ExxonMobil yang diwakili Pengerusi dan Presiden, Subsidiari-subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Edward Graham telah menyerahkan ‘mock check’ kepada kerajaan negeri yang diwakili Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum disampaikan kepada para penerima. Di majlis itu, ExxonMobil menyumbang sebanyak RM130,000 untuk pembelian peralatan perubatan aset kritikal rawatan COVID-19 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang diwakili Pengarahnya, Dr. Nor Azimi Yunus. Sementara RM17,000 disumbangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) yang diwakili Pengarahnya, Salim Ab Ghani untuk Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu dan sebanyak RM30,000 untuk Program Anugerah Pelajar Cemerlang STEM ExxonMobil serta sepuluh unit laptop untuk English Theme Parks di Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Kemasik. Selain itu, sebanyak RM75,000 juga disumbangkan kepada Pengarah JPNT bersama wakil UKM untuk program ExxonMobil-UKM STEM Club Teachers (Secondary Schools) Training Programme, dan jumlah yang sama untuk program ExxonMobil-UM STEM Teachers (Primary Schools) Training Programme juga kepada Pengarah JPNT bersama wakil UM. Sebanyak RM10,000 pula disumbangkan kepada Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu bagi Program Kesedaran Dan Pendidikan Hari Alam Sekitar Peringkat Negeri serta 25 unit laptop untuk Perpustakaan Negeri dan empat Perpustakaan Daerah melibatkan Hulu Terengganu, Jerteh, Dungun dan Chendering.
02 Jul 20
305
11,500 Unit Rumah Mampu Milik Dalam Pembinaan
11,500 Unit Rumah Mampu Milik Dalam Pembinaan
KUALA TERENGGANU, 17 Jun - Kerajaan negeri berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran membina 20,000 unit Rumah mampu Milik (RMM) patuh syariah di seluruh negeri ini dalam tempoh empat tahun hingga 2022 seperti digariskan dalam manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu. Berkongsi perkembangan ​projek perumahan yang rancak dibangunkan serta dirancang, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, sehingga kini sebanyak 11,500 unit RMM sedang dalam pembinaan bagi membolehkan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40) memiliki rumah yang lebih selesa dengan harga yang rendah. “RMM yang sedang dibina adalah di empat lokasi iaitu di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus; Kampung Tempinis, Besut; Kampung Gong Cengal, Kemaman dan Kampung Tajin di Hulu Terengganu. “Insya-Allah dalam tahun ini juga dua projek RMM baharu kita akan lancarkan iaitu di Bukit Gasing, Marang dan Bukit Tumbuh, Kuala Nerus,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangi Perjanjian Usahasama Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik Dan Bercampur Di Kawasan Dendong Mukim Tembila Daerah Besut Terengganu antara kerajaan negeri dan Wanland Metro Sdn Bhd yang disaksikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, hari ini. Dr Alias berkata, kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 5,000 unit RMM setahun bagi membolehkan pembinaan 20,000 unit RMM di seluruh negeri mampu direalisasikan. “Kalau diikut jumlah 11,500 unit yang sedang dalam pembinaan sekarang ini telah melepasi sasaran tahunan kerana apa yang disasarkan adalah sebanyak 5,000 unit setahun. “Melalui RMM ini rakyat yang berpendapatan rendah akan dapat memiliki rumah seluas 800 kaki persegi dengan harga RM80,000. Dalam projek ini kerajaan negeri hanya mengenakan bayaran harga tanah sebanyak RM1,000 bagi setiap lot rumah,” katanya.
02 Jul 20
511
Terengganu Lanjut Tempoh Lesen Motosikal Percuma
Terengganu Lanjut Tempoh Lesen Motosikal Percuma
KUALA TERENGGANU, 17 Jun - Kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) 2019 yang sepatutnya tamat pada 15 Mei 2020 yang lalu kepada tarikh baharu berakhir 31 Ogos 2020. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia ditetapkan berikutan beberapa faktor terutama disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu. Katanya, program LMTS dilanjutkan sehingga 31 Ogos 2020 bermula sekarang selepas terhenti seketika sepanjang tempoh fasa PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan wabak COVID-19. "Atas beberapa sebab termasuk berlaku PKP, ia menyukarkan peserta menjalani ujian dan latihan mendapatkan lesen. "Bagaimanapun alhamdulillah, dengan beberapa kelonggaran yang diberikan dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), peserta dibenarkan meneruskan program LMTS ini. "Justeru saya menyeru agar peserta-peserta yang menerima surat tawaran mendapatkan lesen motosikal percuma ini dapat berbuat demikian secepat mungkin di Institut Memandu (IM) daerah masing-masing," katanya pada satu sidang media di pejabatnya di Wisma Darul Iman hari ini. Sehingga hari ini, beliau memaklumkan, jumlah peserta yang masih belum menyempurnakan program LMTS 2019 adalah seramai hampir 7,000 orang merangkumi semua daerah. "Sebaik sahaja tamat tarikh pada Ogos ini, kita akan menutup penyertaan kepada peserta LMTS 2019 dan membuka penyertaan kepada peserta LMTS 2020 pula. Peluang tidak akan dibuka lagi selepas penyertaan ditutup. "Ini kerana tempoh satu tahun lebih adalah peluang yang sangat lama diberikan kerajaan negeri kepada peserta-peserta. "Kita mengharapkan agar mereka lebih serius mengambil peluang ini dan dapat mengikuti program sehingga berjaya," tegasnya. Dijangkakan seramai 15,000 orang peserta LMTS 2020 dari lapan daerah seluruh Terengganu akan menerima surat tawaran daripada Pejabat Daerah masing-masing seawal Julai ini. Program akan berlangsung selama setahun sehingga 31 Ogos 2021. Untuk rekod, LMTS merupakan satu daripada 20 manifesto Kerajaan PAS yang dijanjikan untuk  rakyat negeri Terengganu.  
02 Jul 20
92