lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Berjaya Majukan Sosioekonomi, Kurangkan Pengangguran
Terengganu Berjaya Majukan Sosioekonomi, Kurangkan Pengangguran
KUALA TERENGGANU, 24 Jun – Sosioekonomi di Terengganu tahun lalu berada pada landasan baik setelah berjaya mengurangkan kadar pengangguran ke bawah paras 4.0 peratus. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kadar orang yang tidak bekerja pada 2019 turun kepada 3.5 peratus berbanding 2018 yang merekodkan 4.8 peratus. Menurutnya, penurunan 1.3 peratus itu kebanyakkannya disumbang oleh sektor pembuatan dengan jumlah guna tenaga dalam sektor berkenaan melonjak kepada 3,274 orang sehingga Oktober 2019 berbanding 966 pada 2018.   “Di samping pada tahun lalu kita merekodkan 103,500 pekerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi terutamanya sebagai pengurus, profesional serta juruteknik dan profesional bersekutu. “Sekali gus ia menunjukkan kenaikan selepas hanya 102,100 dan 100,400 pekerja masing pada tahun 2018 dan 2017,” ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Mengulas tentang peluang perniagaan di Terengganu pula, trend kenaikan yang sama turut dapat disaksikan apabila berlaku pertambahan kepada 37,666 pada 2018 berbanding 37,246 pada tahun sebelumnya. “Manakala pada 2019 hampir semua sektor mencatatkan pertambahan peratus berbanding pada 2018, antaranya ialah sektor perkhidmatan (6.89 peratus), pembinaan (6.37 peratus), pembuatan (18.64 peratus), pertanian (8.62 peratus) serta perlombongan dan pengkuarian (17.51 peratus). “Laporan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita pada 2018 yang meningkat kepada RM30,216 daripada RM29,347 (2017) dan RM27,268 (2016) menunjukkan keselarian dengan peningkatan terbabit, selain pendapatan purata isi rumah bulanan turut meningkat kepada RM6,737 pada 2018 berbanding RM6,238 pada 2017 dan RM5,776 pada 2016, ia t,” jelas beliau. Sementara itu, kajian Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) mengesahkan perkembangan positif berkenaan dengan mengatakan kejayaan meningkatkan projek pada 2018 kepada 12 projek di negeri itu adalah penyumbang utama. Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Wan Mat Sulaiman berkata jumlah anggaran pelaburan mencecah RM4.9 bilion dan melibatkan 2,096 pekerjaan berbanding hanya RM177.8 juta dengan 344 pekerjaan pada 2017. “Selain itu, usaha meraih hasil juga dapat dilihat menerusi pengeluaran pada 2018 kayu balak getah meningkat kepada 23,796 metrik tan (2017 : 7,152), padi 74,914 metrik tan (2017 : 69,319) dan kenaf 1,731.6 metrik tan (2017 : 830.2). Jumlah ternakan kerbau, lembu, kambing dan bebiri juga meningkat kepada 134,401 pada 2018 berbanding 129,399 pada 2017. “Justeru, kenyataan rasmi seorang pemimpin daripada sebuah parti politik di Terengganu beberapa hari lalu adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan situasi yang sebenarnya,” tambah beliau.
02 Jul 20
183
Penantian 10 Tahun Penduduk SPKA Bakal Berakhir
Penantian 10 Tahun Penduduk SPKA Bakal Berakhir
MARANG,  24 Jun - Gangguan bekalan air yang membelenggu kira-kira 300 penduduk di Tanah Lot Skim Penempatan Kemudahan Awam (SPKA), Wakaf Tapai, di sini bakal berakhir selepas Syarikat Air Terengganu (SATU) bersetuju membina tangki simpanan dalam tempoh terdekat. Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, pihaknya bersetuju membina tangki simpanan bernilai RM100,000 itu menggunakan peruntukan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR). Katanya, kawasan yang bersesuaian untuk tujuan tersebut sudah dikenalpasti dan proses pembinaan dijangka akan bermula dalam tempoh terdekat. “Sekiranya tiada sebarang masalah teknikal terutama daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), penduduk di kawasan ini boleh mendapatkan bekalan air bersih sebelum Aidiladha ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada  Program bual bicara SATU bersama penduduk SPKA Wakaf Tapai di Dewan Sivik Wakaf Tapai di sini hari ini. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong. Menurut Ir Atemin, apa yang dialami penduduk di kawasan itu terutama membabitkan 20 keluarga adalah disebabkan kawasan berbukit-bukit, selain tinggal di tempat yang tinggi. “Paip utama yang sedia ada tidak dapat membekalkan air di kawasan itu lebih-lebih lagi ketika di waktu puncak. “Pihak kami berharap penduduk terbabit  bersabar kerana pembinaan tangki simpanan air itu memerlukan penelitian, penggunaan alat ganti ditempah khas dan bukan boleh dibeli mana-mana kedai,” katanya. Beliau turut memberitahu, Marang antara daerah yang turut disenaraikan bakal menerima loji air bernilai RM500 juta bagi menampung keseluruhan penduduk. “Daerah itu sebelum ini mendapatkan bekalan air dari loji air Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu. “Pihak kami tidak dapat membina loji di Marang kerana pelbagai faktor antara sungai yang ada tidak dapat membekalkan air secukupnya, selain berdepan masalah kawasan berbukit,” katanya.  
02 Jul 20
80
325 Terima Sumbangan KETENGAH Sempena Ramadan Di DUN Ajil
325 Terima Sumbangan KETENGAH Sempena Ramadan Di DUN Ajil
Oleh: Azhar Yusof HULU TERENGGANU, 16 Mei - Bertemakan  Sumbangan Tabung Amanah Masyarakat Ketengah Sempena Bulan Ramadan, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) meraikan 325 penerima yang terdiri dari golongan asnaf, anak yatim dan kurang upaya di Dewan Undangan Negeri(DUN) Ajil. ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata inisiatif sumbangan yang dihulurkan KETENGAH dapat meringankan beban kepada mereka yang terlibat lebih-lebih lagi menjelang hari raya yang berbaki lapan hari sahaja lagi. "Penerima pula dapat memanfaatkan sumbangan yang diterima bagi membeli keperluan hari raya. "Saya juga berterima kasih kepada KETENGAH kerana aktiviti sumbangan ini bagaikan satu tradisi yang mana dijalankan sejak dahulu lagi menfokuskan sumbangan kepada fakir miskin,anak yatim dan golongan kurang upaya,"ujarnya ketika menyampaikan sumbangan berkenaan di Kampung Lubuk Batu dan Kampung Peroh, Ajil semalam. Turut hadir Pengurus Pembangunan Masyarakat & Sosial Ketengah, Che Zamri Che Lah , KETENGAH memperuntukkan RM700,000  bagi 3,500 penerima yang terdiri dari golongan asnaf, anak yatim dan kurang upaya melibatkan tiga daerah iaitu Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu untuk Aidilfitri tahun ini. Sementara itu, penerima asnaf  Mat Jusoh Deraman, 75, terharu serta bersyukur menerima sumbangan Aidilfitri dan  bantuan itu akan dibelanjakan untuk membeli barangan dapur sempena Ramadan. Bantuan itu juga katanya dapat digunakan untuk menampung sedikit sebanyak perbelanjaan untuk menyambut Aidilfitri. Fauzi Ngah, 56, yang juga penerima terpilih berkata tidak ada apa yang mampu diluahkannya selain rasa syukur kepada Allah atas keprihatinan KETENGAH yang memberi bantuan. Dalam nada gembira, Fauzi mengucapkan terima kasih kepada Adun Ajil kerana prihatin dan sudi mengunjunginya untuk menyampaikan sumbangan, sekali gus dapat meringankan beban yang ditanggungnya.  “Alhamdulilah, saya terharu kerana dipilih menerima sumbangan ini. Pemberian wang tunai ini akan digunakan sebaiknya kerana tiada punca pendapatan.” katanya.
02 Jul 20
227
Berita Peniaga Durian Positif COVID-19 Palsu
Berita Peniaga Durian Positif COVID-19 Palsu
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Berita yang tular di media sosial mengenai seorang peniaga durian di Wakaf Tembesu positif COVID-19 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) adalah palsu. Menurut JKNT, setakat ini tiada pesakit wabak tersebut yang dirawat di HSNZ sebaliknya hospital itu hanya menerima seorang pesakit lelaki yang mengalami gejala ‘Severe Acute Respiratory Infection’ pada 20 Jun lalu. Keputusan ujian PCR Covid-19 bertarikh 21 Jun juga menunjukkan pesakit tersebut negatif  COVID-19.
02 Jul 20
74
Kerajaan Pertimbang Beri Kelonggaran Kepada Penjaja Jalanan
Kerajaan Pertimbang Beri Kelonggaran Kepada Penjaja Jalanan
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Kerajaan negeri sedia memberi kelonggaran sementara kepada penjaja jalanan termasuk yang berniaga di kawasan persimpangan lampu isyarat sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman berkata, kebenaran itu diberikan selepas peniaga termasuk penjaja mengalami kemerosotan jualan ekoran pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun tegasnya, langkah tersebut tidak bermaksud kerajaan membenarkan aktiviti itu dijalankan dengan tidak mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT). “Kita memahami sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu hingga sekarang semua orang susah disebabkan pergerakan terbatas. “Jadi, kita mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada rakyat dalam tempoh dua bulan ini untuk menjana kembali pendapatan mereka. Kita juga berbincang dengan pihak penguat kuasa untuk tidak mengambil tindakan kepada penjaja jalanan,” katanya sebagaimana dilapor Sinar Harian. Mengulas lanjut Mohd Nurkhuzaini berkata, setiap penjaja perlu mengikut peraturan ditetapkan ketika menjalankan operasi perniagaan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP Pemulihan. “Undang-undang ada, sebab itulah mereka perlu mengikut peraturan ditetapkan. Jika tidak mengganggu lalu lintas biarlah mereka untuk mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup. “Namun, peraturan seperti lalu lintas dilanggar, PBT akan arahkan mereka untuk berpindah ke tempat lain, bukan merampas barangan yang dijual,” katanya. Sebelum ini kerajaan negeri tidak membenarkan aktiviti menjaja di kawasan persimpangan lampu isyarat kerana ia menjadi kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Lalu Lintas 1959 serta Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan, Akta Kawalan Harga & Anti Percatutan 2011 serta Perintah Perlabelan Barang Sedia Bungkus 1993. Katanya, kerajaan dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah mengenal pasti mekanisme terbaik untuk membantu penjaja jalanan selepas larangan menjaja di persimpangan lampu isyarat dikuatkuasakan sejak Disember tahun lalu. “Antaranya kita tawarkan kiosk kepada penjaja terbabit, kita juga mengalu-alukan kepada pengusaha-pengusaha datang ke YPU bagi berbincang dan mencari jalan terbaik bagi memajukan perniagaan mereka,” tambah beliau.
02 Jul 20
114
Yayasan Terengganu Tawar Diskaun 15 Peratus Bayaran Pinjaman
Yayasan Terengganu Tawar Diskaun 15 Peratus Bayaran Pinjaman
KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) menawarkan diskaun sebanyak 15 peratus daripada jumlah baki pinjaman pendidikan kepada 21,000 peminjam mulai Julai depan. Pengarah YT, Ishamudin Hashim berkata, diskaun selama lima bulan itu turut memberi manfaat kepada 5,000 peminjam yang dikenakan tindakan undang-undang. “Tawaran itu diberikan kepada peminjam yang melunaskan bayaran secara sekali gus ia bagi menggalakkan orang ramai terus membayar hutang. “Peminjam yang membuat bayaran pinjaman sahaja akan menerima diskaun yang ditawarkan. “Bagi yang berhadapan dengan tindakan undang-undang, tawaran diskaun sebanyak 15 peratus hanya membabitkan baki pinjaman dan tidak termasuk kos lain, terutama kos guaman,” katanya sebagaimana dilapor Berita Harian hari ini. Tambah beliau, inisiatif tersebut diambil selepas mendapati ada antara peminjam yang hilang mata pencarian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan mulai 18 Mac lalu.  
02 Jul 20
220
Sistem Masuk.la Terengganu Dilancar
Sistem Masuk.la Terengganu Dilancar
KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Top IT Industries Sdn Bhd turut sama dalam usaha pelbagai pihak mengawal penularan pandemik COVID-19 dengan membangunkan sistem yang bernama Masuk.la. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, sistem Masuk.la merupakan sebuah aplikasi sesawang yang dibangunkan untuk memudahkan proses merekodkan kehadiran pelanggan khususnya rakyat Terengganu. "Pengguna boleh merekodkan kehadiran ke premis-premis kerajaan, rumah-rumah ibadat dan juga premis perniagaan melalui sistem ini. Dengan itu urusan mengambil data pengunjung akan menjadi jauh lebih tepat dan mudah. "Sistem ini merupakan sistem keluar dan masuk pelanggan di premis-premis menggunakan teknologi kod QR (bar code) yang ringkas. Ini kerana pengusaha premis perniagaan cuma perlu mendaftarkan premis untuk mendapatkan kod QR dan paparkan di premis perniagaan," katanya. Beliau berkata demikian pada satu sidang media sempena Majlis Pelancaran Sistem QR Code (Masuk.la) di KTCC Mall di sini hari ini. Tambahnya, pengunjung pula hanya perlu imbas kod QR bagi mengesahkan kehadiran mereka. Pendaftaran pengunjung dan pendaftaran premis perniagaan boleh dilakukan menerusi laman web https://masuk.la/. "Pengunjung premis dan pemilik perniagaan hanya perlu melayari web www.masuk.la untuk melakukan imbasan kod QR tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan lain," ujarnya. Pada masa sama, Ariffin turut memberitahu, sistem Masuk menggantikan kaedah penggunaan buku pendaftaran secara manual kepada automatik. Ia sekali gus meningkatkan kepantasan dan kecekapan pendaftaran pengunjung di premis-premis awam dan perniagaan. "Segala data yang direkodkan ini akan digunakan oleh pihak pengurusan sekiranya terdapat kes COVID-19 yang aktif. Melalui inisiatif ini, semua pengunjung ke premis-premis yang terlibat dapat dikesan dan dihubungi dengan mudah dan pantas," jelasnya. Lebih menarik, pihak urusetia menyediakan cabutan bertuah bagi penguna sistem bar code Masuk.la. Penilaian akan bermula 20 Jun sehingga 20 Julai 2020 di mana penguna yang bertuah akan terpilih daripada kalangan penguna yang mendaftar ke dalam sistem Masuk. Pemenang berpeluang memenangi sebuah motosikal Yamaha Y15ZR, motosikal Honda Beat atau iPhone XR.
02 Jul 20
192
CIP Bantu Syarikat 'Start Up' Pacu Kemampuan
CIP Bantu Syarikat 'Start Up' Pacu Kemampuan
Oleh : Ahmad Sabri Yusof KUALA LUMPUR, 21 Jun - Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim memaklumkan, pelancaran dua program baharu Cradle Investment Programme (CIP) iaitu CIP IGNITE dan CIP ACCELERATE oleh Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin, 19 Jun lalu dapat mencipta peluang pekerjaan lebih banyak dan menyumbang pertumbuhan positif ekonomi negara. Jelasnya, dengan pelancaran itu Cradle komited untuk memainkan peranan lebih aktif dalam membantu syarikat teknologi memanfaatkan sepenuhnya inovasi yang dibangunkan CIP. Dalam kunjungan bersama Khairy ke Pejabat Cradle Fund Sdn Bhd, pihaknya diberi penerangan terperinci oleh pihak Lembaga Pengarah Cradle Sdn Bhd, berkenaan fungsi dan peranan Cradle. "Ini merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja kedua-dua Menteri ke jabatan dan agensi di bawah seliaan MOSTI. "Dalam sesi lawatan itu, satu sesi taklimat telah dijalankan bagi memberikan penerangan yang lebih terperinci berkenaan fungsi dan peranan Cradle serta impak Cradle Investment Programme (CIP) terhadap pembangunan ekonomi negara dan sektor syarikat teknologi peringkat awal di Malaysia," katanya dalam satu hantara di Facebooknya, semalam. Hadir sama pada kunjungan itu, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ir. Dr Siti Hamisah Tapsir dan Timbalannya, Dr Mohd Nor Azman Hassan. Tambah Amzad, CIP IGNITE menawarkan geran bersyarat dan bantuan nilai tambah sehingga RM500,000 kepada syarikat teknologi pemula (start-up), PKS tempatan serta syarikat terbitan universiti dan institut penyelidikan. "CIP ACCELERATE pula menyediakan dana sehingga RM2,000,000 dan bantuan nilai tambah yang khusus untuk syarikat pemula teknologi tinggi dan syarikat terbitan universiti serta institut penyelidikan," jelasnya yang menyifatkan peluang itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi organisasi yang layak.  
02 Jul 20
54
Terengganu Perkenal Tiga Fasa Pakej Rangsangan Pelancongan
Terengganu Perkenal Tiga Fasa Pakej Rangsangan Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Kerajaan Terengganu memperkenalkan tiga fasa pelan rangsangan bagi memperkasa kembali industri pelancongan di negeri tersebut susulan pandemik COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, ia sebagai nilai tambah kepada sektor berkenaan dengan sasaran pelancong domestik. Katanya, menerusi fasa pertama yang lebih kepada menangani impak COVID-19 terhadap sektor pelancongan Terengganu, pihaknya giat mempromosikan pelancongan secara atas talian terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini. “Kita juga memberikan sumbangan kit penjagaan diri yang mengandungi pelitup muka, ‘hand sanitizer’, sarung tangan getah dan beberapa peralatan lain kepada kakitangan barisan hadapan dan pengamal media pada waktu PKP lalu,” ujarnnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dengan tajuk Mendepani COVID-19 : Pemerkasaan Industri Pelancongan Negeri Terengganu di Rancangan Assalamulaikum terbitan TV Alhijrah, hari ini. Ariffin berkata, menerusi pakej fasa kedua, bantuan ‘one off’ kepada pengayuh beca, pengusaha bot penambang, pemandu pelancong dan malim gunung yang layak merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk melestarikan pelancongan Terengganu. “Sementara, fasa ketiga pula lebih kepada usaha memacu pertumbuhan sektor pelancongan Negeri Terengganu,” ujarnya. Dalam pada itu, Ariffin memberitahu kehadiran pengunjung ke negeri itu semakin meningkat selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan PKPP yang membenarkan pergerakan rentas negeri. Katanya, Terengganu merupakan antara negeri terawal dikategorikan sebagai zon hijau dan selamat untuk dikunjungi. “Saya sarankan kepada seluruh rakyat Malaysia, pilihlah Terengganu sebagai destinasi utama untuk percutian anda kerana terlalu banyak keindahan di negeri ini termasuk, pulau, pantai, taman-taman semula jadi yang menjanjikan keseronokan,” ujarnya.  
02 Jul 20
71
Elektrik Percuma Untuk 4 Juta Pengguna Domestik
Elektrik Percuma Untuk 4 Juta Pengguna Domestik
PUTRAJAYA, 20 Jun - Seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik RM77 dan ke bawah atau penggunaan bawah 300kWj akan menikmati bekalan elektrik percuma selama tiga bulan apabila kerajaan memperkenalkan Bantuan Prihatin Elektrik tambahan. Manakala, penggunaan melebihi 300kWj pula akan menerima potongan bil sebanyak RM231 iaitu RM77 sebulan. Inisiatif terbaharu itu membabitkan bulan April, Mei serta Jun dan bayaran akan dikreditkan semula dalam bil Julai. Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan Bantuan PRIHATIN Elektrik Tambahan dalam kategori domestik di Semenanjung berjumlah RM942 juta bagi mengurangkan beban pengguna elektrik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Secara keseluruhan Bantuan PRIHATIN Elektrik Tambahan itu akan memanfaatkan 7.66 juta pengguna elektrik," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Menurutnya, bantuan itu adalah tambahan kepada diskaun bil elektrik di bawah Bantuan Prihatin Elektrik yang dilaksanakan sejak 1 April lalu. "Dengan pelaksanaan bantuan ini, jumlah diskaun yang diberikan kepada pengguna elektrik bagi tempoh 1 April hingga 30 September 2020 akan meningkat kepada RM2.2 bilion," katanya. Dalam pada itu, beliau berkata, TNB setuju menghentikan aktiviti pemotongan elektrik hingga 30 September. "Pihak TNB juga akan membuat pengumuman lain selepas ini berkait tarif elektrik yang terbaharu selepas membuat beberapa kajian," tambah beliau.  
02 Jul 20
169