lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

18 Tahun Tertangguh, Akhirnya 134 Terima Hak Milik Dan Borang 5A Tanah Terkilan Gong Cempedak - MB Terengganu
18 Tahun Tertangguh, Akhirnya 134 Terima Hak Milik Dan Borang 5A Tanah Terkilan Gong Cempedak - MB Terengganu
MARANG, 22 Julai - Seramai kira-kira 134 penduduk Marang menerima suratan hak milik tanah dan notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan Gong Cempedak Mukim Pulau Kerengga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, hari ini. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah tersebut membabitkan seramai 84 penerima hak milik tanah dan 50 penerima Borang 5A untuk RTB Gong Cempedak setelah proses penyerahan hak milik RTB itu tertangguh hampir 18 tahun lamanya. "Tanah berkelompok ini adalah tanah terkilan mukim Pulau Kerengga yang telah pun diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada tahun 2002 dan proses penyerahan hak milik RTB ini tertangguh hampir 18 tahun lamanya. "Alhamdulillah, pada hari yang bersejarah ini, kita telah berjaya merealisasikan janji dan manifesto kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu sekali gus mengembalikan tanah-tanah terkilan selepas pemerintahan kerajaan tahun 2004," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmi dan menyampaikan Suratan Hak Milik Tanah Dan Notis Borang 5A RTB Terkilan, Gong Cempedak Mukim Pulau Kerengga DUN Rhu Rendang Daerah Marang di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), hari ini. Hadir sama dalam majlis itu, isterinya, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Tengku Seri Bijaya Raja Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong. Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri turut menjelaskan, kerajaan negeri berusaha memastikan sebarang isu berkaitan dengan hak milik tanah diselesaikan dengan kadar yang segera dan memudahkan rakyat. "Kita seboleh-bolehnya akan cuba memastikan yang sebarang isu berkaitan dengan hak milik hartanah diselesaikan dengan kadar yang segera dan mudah. Akan tetapi, saya juga harap yang tuan-tuan dan puan-puan semua memahami satu perkara. "Iaitu, semua urusan berkaitan dengan hak milik tanah ini adalah perkara yang memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit. Bukan sahaja di Terengganu, tetapi di mana-mana sahaja di seluruh negara. "Ia sememangnya memakan masa dan harus diuruskan dengan berhati-hati dan teliti mengikut Kanun Tanah Negara (KTN)," katanya. Justeru, beliau amat berterima kasih kepada semua permohon yang sentiasa bersabar dan memahami komitmen semua pihak dalam usaha menyelesaikan perkara berkenaan.
22 Jul 20
3745
PN Mula Runding Pembahagian Kerusi Peringkat Awal - Ahmad Samsuri
PN Mula Runding Pembahagian Kerusi Peringkat Awal - Ahmad Samsuri
MARANG, 22 Julai - Gabungan Perikatan Nasional (PN) sudah mula berunding tentang pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang namun ianya baru di peringkat permulaan. Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan perkara tersebut ekoran pertemuan rasmi antara PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diwakilinya di ibu negara semalam. "Ya antara agenda pertemuan semalam adalah pengagihan kerusi di peringkat negeri, bagaimanapun kita belum membincangkan dengan lebih dalam tentang perkara itu. Kita lebih fokus kepada agenda penting iaitu memperkasakan kesatuan dalam PN. "Masing-masing ada 'wishlist' (kehendak) yang perlu diharmonikan. Maka akan ada pertemuan demi pertemuan untuk membincangkan perkembangannya dari masa ke masa," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau menyifatkan pertemuan tersebut sangat positif dan dalam keadaan mesra antara kesemua wakil-wakil parti. Turut mengiringi Ahmad Samsuri, pimpinan utama PAS termasuk Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor serta dua Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Dr Mohd Zuhdi Marzuki. Dalam pertemuan berkenaan, parti UMNO diwakili oleh Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Yaakob manakala Bersatu diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Terdahulu Ahmad Samsuri menyampaikan Suratan Hak Milik Tanah Dan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan, Gong Cempedak Mukim Pulau Kerengga DUN Rhu Rendang Daerah Marang di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM) di sini hari ini. Hadir sama dalam majlis itu, isterinya, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Tengku Seri Bijaya Raja Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.
22 Jul 20
1169
TDM Mulakan Penanaman Pertama Di Ladang Pelung Terengganu
TDM Mulakan Penanaman Pertama Di Ladang Pelung Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Kumpulan TDM Berhad mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) akan memulakan penanaman pertama secara rasmi tahun ini di Ladang Pelung, di sini. Pengerusi TDM Berhad, YM Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, selepas Ladang Pelung, program penanaman semula yang seterusnya adalah di Ladang Fikri, Jerangau, Pinang Emas, Pelantoh, Tebak dan Jernih dengan jumlah keluasan 1,440 hektar. "TDM optimis dan akan terus memberi tumpuan dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti yang disokong oleh asas-asas jangka panjang. "Kami amat komited di mana kemampanan dan persijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah membolehkan kami menikmati premium yang lebih baik daripada penjualan Minyak Kelapa Sawit Lestari Disahkan (CSPO) dan Minyak Tempurung Sawit Lestari Diperakui (CSPK) kami," katanya dalam satu kenyataan, semalam. Pada majlis tersebut, beliau telah menandatangani plak sebagai tanda penanaman pertama untuk tahun 2020 menggunakan teknik Sistem Informasi Geografi (GIS) dan Kenderaan Udara tanpa Pemandu (UAV). Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Ahli Lembaga Pengarah TDM Berhad, Mohd Kamaruzaman A Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Behad, Zainal Abidin Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn. Bhd., Mohd Ghozali Yahaya dan juga pengurusan dari bahagian perladangan. Jelasnya, inisiatif itu adalah tindak balas dari Rancangan Penciptaan Nilai (VCP) yang sedang berjalan di bahagian perladangan TDM. "Industri sekarang secara keseluruhan menghadapi cabaran besar seperti kenaikan kos bekalan dan kekurangan tenaga kerja. Kumpulan menyedari cabaran dan berusaha untuk menangani masalah tersebut. "Inovasi ini adalah sebahagian daripada inisiatif kami untuk mengurus kos operasi, mengurangkan kebergantungan pekerja secara manual dan mematuhi amalan dan prosedur pertanian yang baik," ujarnya. Untuk rekod, TDM Berhad diperbadankan pada tahun 1965 yang mana tanaman pertama adalah di Ladang Air Putih, Kemaman. Ladang TDM telah memasuki pusingan penanaman ketiga pada tahun 2012.
22 Jul 20
2303
COVID-19 : JKNT Nafi Ada Kes Di Kg Padang Jambu, Dungun
COVID-19 : JKNT Nafi Ada Kes Di Kg Padang Jambu, Dungun
  KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan terdapat kes baharu jangkitan Covid-19 di Kampung Padang Jambu, Dungun seperti tular di aplikasi facebook. Pengarah JKNT Dr Nor Azimi Yunus berkata, maklumat tular itu tidak tepat kerana tiada kes Covid-19 dikesan di Kg. Padang Jambu seperti mana yang ditularkan.  “Walau bagaimanapun, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Dungun ada menerima notifikasi seorang remaja perempuan yang mempunyai gejala Influenza Like Illness (ILI) pada 19 Julai 2020.  “Beliau telah diberikan rawatan dan dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk pemantauan lanjut.  “Ujian PCR bagi pengesanan Covid-19 telah dijalankan dan hasil keputusan yang diperolehi pada 21 Julai 2020 adalah negatif,” ujar beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini. Justeru, JKNT meminta orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan sebarang berita tidak sahih atau palsu yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat Katanya, pihak jabatan juga  amat menghargai keprihatinan masyarakat dalam mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan Covid-19 di Negeri Terengganu.  “Segenap lapisan masyarakat digesa untuk meningkatkan kawalan kendiri serta tidak merasa selesa dan alpa terdapat risiko jangkitan Covid-19 dalam komuniti,”tambah beliau.   
22 Jul 20
2083
Kerajaan Dukacita Mural Pemimpin Negara Diconteng
Kerajaan Dukacita Mural Pemimpin Negara Diconteng
Oleh : Azkar Zahidi KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kerajaan menzahirkan rasa dukacita apabila mural yang memaparkan beberapa pemimpin utama negara termasuk Yang di-Pertuan Agong di Taman Cahaya Alam, Shah Alam diconteng baru-baru ini. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim menegaskan, contengan mengandungi kata-kata kesat itu amat tidak wajar dan biadap serta bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang bersopan santun. “Kita haruslah jaga mentaliti kita seiring hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju, rakyat perlu mempunyai mentaliti kelas pertama. Walaupun berlainan parti politik, tidak seharusnya tindakan sebegitu dilakukan. “Kita sepatutnya berbangga kerana negara kita antara negara yang terbaik dalam menangani wabak pandemik COVID-19, bukannya dengan menulis perkara-perkara tidak elok seperti ini," ujar Ahmad Amzad ketika dihubungi pemberita. Menurut beliau, perkara tersebut bertambah serius apabila Sultan Selangor, Sultan Syarafuddin Idris Shah sendiri telah melahirkan rasa murka terhadap insiden terbabit. Dalam masa yang sama, beliau mahu tindakan segera diambil bagi menghukum dua individu yang tidak bertanggungjawab itu. "Saya berharap pesalah dikenakan tindakan yang sewajarnya dan orang ramai dapat mengambil iktibar daripada kejadian yang kurang bermoral seperti ini," tambah beliau.
21 Jul 20
391
Gangguan Air, Hakisan Pantai Setiu Bergema Di Parlimen
Gangguan Air, Hakisan Pantai Setiu Bergema Di Parlimen
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Isu-isu rakyat di kawasan Setiu melibatkan masalah bekalan air dan hakisan pantai mencuri perhatian Dewan Rakyat yang bersidang semalam. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir ketika membahas Titah DiRaja berkata, tiga kawasan dalam parlimennya iaitu Kampung Bari Kecil, Kampung Tanjung Gelam dan Kampug Pengkalan Maras dikesan menghadapi masalah tersebut. Katanya, kesulitan itu kian meruncing apabila ia memberi masalah dan mendatangkan rasa tidak selamat kepada komuniti setempat. “Tekanan air yang rendah disebabkan kebocoran paip yang sudah usang dan tidak diganti, ia menggangu masyarakat untuk melakukan aktiviti harian dengan sempurna.  “Isu hakisan di tiga kawasan yang agak kritikal dan memerlukan peruntukan segera sebelum datangnya musim tengkujuh nanti.   “Saya mengharapkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengambil satu tindakan segera bagi menyelesaikan masalah ini,” ujarnya. Dalam masa yang sama, Shaharizukirnain dalam perbahasannya itu turut membangkitkan beberapa isu nasional seperti pasaran buruh asing, cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 dan gantian cuti rehat oleh penjawat awam.
21 Jul 20
582
Dron Terhempas Di Menara Drawbridge, Punca 'No Fly Zone'
Dron Terhempas Di Menara Drawbridge, Punca 'No Fly Zone'
KUALA TERENGGANU, 21 Julai - Larangan menerbangkan dron dan memancing yang telah dikuatkuasakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan Drawbridge adalah untuk memastikan keselamatan struktur bangunan dan orang awam terjamin. Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd, Khalizan Mahmud berkata, kegagalan mengawal dron boleh menyebabkan risiko melanggar cermin bangunan termasuk ‘skybridge’ yang hampir keseluruhannya terdiri daripada panel kaca boleh retak atau pecah jika ada impak daripada pesawat udara tanpa pemandu terbabit. “Berdasarkan kes terdahulu, terdapat beberapa unit dron yang telah terhempas di atas bumbung menara dan kawasan persekitaran jambatan. “Selain itu, penggunaan dron di kawasan ini turut berisiko untuk melanggar dan tersangkut pada ‘Lightening Arrestor’, memberi gangguan kepada sistem frekuensi operasi (system bascule yang beroperasi menggunakan sistem gelombang frekunsi dan wifi) serta mendatangkan bahaya kepada pengunjung dan pemandu jika terhempas," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Menurut beliau, pihak pengurusan Terengganu Drawbridge juga terikat dengan peraturan yang telah diwartakan dalam Akta Penerbangan Awam 1969 dan Peraturan-Peraturan penerbangan Awam Malaysia 2016 iaitu setiap penerbang dron memerlukan permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menjalankan aktiviti penerbangan. “Kegagalan dalam mendapatkan Permit Penerbangan daripada CAAM akan dikenakan denda minima RM50,000 atau tiga tahun penjara bagi individu atau denda maksima RM100,000 untuk badan korporat,” ujarnya. Justeru katanya, bagi menjamin keselamatan persekitaran Terengganu Drawbridge, pihaknya telah menetapkan papan tanda ‘No Fly Zone’ di sekitar kawasan tersebut bagi setiap penerbangan dron dengan mendapat kelulusan permit dari pihak berwajib. “Bagi isu larangan memancing pula, kawasan larangan yang dimaksudkan adalah di bawah jambatan dan kawasan R.O.W jambatan sahaja. Ia adalah untuk memastikan kawasan ini bebas dari sisa-sisa umpan yang ditinggalkan oleh pemancing yang mencemarkan pemandangan dan bau busuk,” katanya. Khalizan berkata, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan keselesaan, keselamatan pengunjung dan bangunan Drawbridge dan sentiasa mengalu-alukan pandangan dari orang ramai untuk membaiki mutu pengurusan Terengganu Drawbridge. Kata beliau, pihaknya akan meletakkan garisan di tempat larangan memancing iaitu di bawah jambatan dan orang ramai masih boleh meneruskan aktiviti itu di kawasan sekitar yang lain. “Begitu juga dengan dron, hanya di kawasan struktur drawbridge sahaja (ia dilarang) dan ia dikuatkuasakan demi keselamatan bersama,” ujarnya. Dalam masa yang sama, Khalizan berkata, pihaknya amat menghargai minat dan berterima kasih kepada para penerbang dron yang telah memuat naik video-video yang dirakam di Drawbridge sekali gus membantu mempromosikan ikonik Terengganu di mata dunia. Difahamkan, larangan ‘No Fly Zone’ itu tular di laman sosial media dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.  
21 Jul 20
9727
Ahmad Samsuri Wakili Pas Pertemuan PN di KL, Malam Esok
Ahmad Samsuri Wakili Pas Pertemuan PN di KL, Malam Esok
BESUT, 20 Julai - Gabungan Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan pertemuan secara formal di ibu negara pada malam esok bagi tujuan perundingan antara PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Naib Presiden Pas, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turut mengesahkan pertemuan itu antara lain akan membincangkan soal pembahagian kerusi di samping gerak kerja dan persiapan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi pilihan raya.  "Malam ini tiada mesyuarat… malam esok baru ada mesyuarat di Kuala Lumpur… Ya, pertemuan tiga parti.  "Pas diketuai saya selaku Naib Presiden dan pemimpin parti lain," katanya ketika diminta mengulas isu berkenaan.  Terdahulu beliau hadir di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik & Bercampur dan melancarkan rumah patuh syariah atau Rumah Darul Iman (Rahman) di Dendong, Tembila, Besut di sini hari ini. Menurut Ahmad Samsuri, kerajaan PN akan memaklumkan kepada pihak media butiran mengenai pertemuan itu selepas perbincangan di antara mereka selesai.  "Bagi suasana tenang dan aman dulu sebelum kami bermesyuarat," katanya. 
20 Jul 20
2676
Sasaran 20 Ribu Unit RMM Tercapai Menjelang 2022
Sasaran 20 Ribu Unit RMM Tercapai Menjelang 2022
  BESUT, 20 Julai- Kerajaan negeri optimis akan mencapai sasaran 20,000 unit Rumah Mampu Milik dalam tempoh lima tahun menjelang 2022. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sehingga hari ini, sebanyak 62.78 peratus projek perumahan dalam pembinaan, dan telah siap serta dalam perancangan. "Sehingga akhir tahun ini dah kita dah capai lebih 12,000 unit dan cuma tinggal lebih kurang 8000 unit lagi untuk tempoh dua tahun setengah hingga tiga tahun. " Saya percaya dengan kerjasama pihak swasta yang agresif datang ke negeri Terengganu dan juga bersama dengan bantuan pihak kementerian, insyallah kita akan capai sasaran tersebut,"ujarnya. Beliau berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik & Bercampur dan Majlis Pelancaran Rumah Darul Iman ( RAHMAN) ' Rumah Patuh Syariah' di tapak projek di Dendong, Tembila, Besut, hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Kewangan Negeri , Dato' Zainal Abidin Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman dan Pengarah Urusan Wanland Metro Sdn. Bhd., Rosnizar Abdul Majid. Sementara itu, menurut Dr Alias Razak, kerajaan negeri juga telah meluluskan dua projek perumahan baharu iaitu RMM Bukit Gasing, Marang sebanyak 250 unit dan RPMM Bukit Tumbuh, Kuala Nerus sebanyak 160 unit. Katanya, ini termasuklah satu lagi projek perumahan yang masih dalam status perancangan iaitu projek RMM bagi tujuan perpindahan penduduk yang terlibat dalam binaan jalan Corniche Road pakej satu Kuala Terengganu City Centre(KTCC). "Kemudahan perumahan merupakan satu keperluan kehidupan rakyat yang perlu disediakan oleh pihak kerajaan dan membantu rakyat memiliki rumah kediaman sendiri yang bakal menjadi syurga kecil buat mereka,"tambah beliau.  
20 Jul 20
2303
Penduduk Pulau Redang Terima Sumbangan Musaadah COVID-19
Penduduk Pulau Redang Terima Sumbangan Musaadah COVID-19
KUALA NERUS, 18 Julai - Seramai 100 penduduk Pulau Redang menerima sumbangan bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung akibat pandemik COVID-19 yang melanda hebat seluruh dunia baru-baru ini. Pek barangan keperluan dengan nilai keseluruhan RM100,000 itu disumbangkan melalui kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) dalam program Musa'adah COVID-19 yang dilaksanakan kedua-dua pihak berkenaan di negeri itu. Dr. Zulkifli menyampaikan sumbangan Musa'adah Covid-19 kepada salah seorang penerima di Pulau Redang. Sumbangan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada penerima dalam Majlis Jalinan Mesra sempena lawatan kerjanya di Pulau Redang, Sabtu lalu. Pemangku Ketua Pengarah YaPIEM, Parihah Hassan menyatakan, selain daripada bantuan di Pulau Redang, program Musa'adah Covid-19 turut diadakan di Marang dan Kuala Nerus. "Kita juga turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM26,500 bagi membantu masyarakat di sana dengan kerjasama JAWHAR yang juga menyumbang RM25,000," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan.        
20 Jul 20
252