lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Maritim Malaysia Tahan Tujuh Bot Haram Vietnam
Maritim Malaysia Tahan Tujuh Bot Haram Vietnam
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tujuh bot nelayan Vietnam sejak Khamis menerusi Op Kuda Laut yang dilaksanakan bermula akhir Jun lalu. Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, Op yang bertujuan mengekang pencerobohan nelayan asing di perairan negara itu berjaya merampas hasil laut berupa ikan berkualiti, ikan baja dan ikan campur seberat lima tan. "Turut dirampas peralatan menangkap ikan bernilai RM10.5 juta termasuk rampasan diesel 10,000 liter. "Semua bot terbabit ditahan di tujuh lokasi berasingan oleh tiga Kapal Maritim (KM) iaitu Tegas, Mulia 2 dan Gemia yang menjalankan operasi selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu di lokasi antara 115 batu nautika hingga 134.5 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, katanya dalam satu kenyataan hari ini. Muhammad Suffi Mohd Ramli. Menurut beliau lagi, tangkapan antara 8.45 malam hingga 3 pagi itu turut berjaya menangkap 86 awak-awak termasuk tekong berusia antara 16 hingga 68 tahun. "Mereka ditahan kerana tiada lesen dan pengenalan diri serta tiada kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia. "Semua tahanan dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk proses saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). "Kes kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia," katanya. Antara awak-awak yang berjaya diberkas. Tambah Muhammad Suffi, sejak Op Kuda Laut dilancarkan pada 24 Jun lalu, pihaknya menahan 25 bot nelayan Vietnam di perairan Terangganu yang turut membabitkan penahanan 281 awak-awak dan tekong warga Vietnam. "Kami akan terus melaksanakan rondaan di perbatasan sempadan negara bagi menghapuskan pencerobohan nelayan asing khasnya dari Vietnam yang tidak serik memasuki perairan negara dan mengaut hasil laut secara haram," tegasnya.  
19 Jul 20
1878
Terengganu Hargai Usaha Pasukan Ragbi Tamatkan Penantian 37 Tahun
Terengganu Hargai Usaha Pasukan Ragbi Tamatkan Penantian 37 Tahun
KUALA TERENGGANU, 20 Julai -  Kerajaan negeri menghargai usaha Pasukan Ragbi Negeri Terengganu  menamatkan penantian 37 tahun bagi menjulang kejuaraan dalam Kejohanan Ragbi Piala Agong dengan suntikan sebanyak RM150,000 sebagai penghargaan. Pengerusi Jawarankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah mengulas bahawa beliau memahami betapa besarnya nilai kesabaran dan kerja keras untuk muncul juara dalam kejohanan tertinggi bagi sukan ragbi di negara kita. Wan Sukairi menyampaikan replika cek kepada Yang Dipertua PRNT, Amir Amri Mohamad. "Kesabaran dan kerja kuat dari setiap lapisan warga kerja tidak kira di peringkat Majlis Sukan Negeri mahupun persatuan dan juga atlit – atlit sendiri akhirnya membuahkan hasil. Lebih membanggakan Persatuan Raqgbi Negeri Terengganu (PRNT) turut menyumbang dalam kejayaan skuad 7 sebelah yang sekali lagi merangkul kejuaraan di peringkat kebangsaan tahun lalu setelah mengulangi kejayaan yang sama pada tahun 2017," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Meraikan Kemenangan Skuad Ragbi Piala Agong dan Skuad Ragbi 7 sebelah Sepasukan Kebangsaan Negeri Terengganu Tahun 2019 di Hotel Primula, Sabtu lalu. Tambahnya, kejayaan itu turut menjadikan pasukan tersebut dilantik sebagai ikon Negeri Terengganu oleh Jabatan Pelancongan Terengganu (Tourism Terengganu) sebagai pemangkin kepada Tahun Melawat Terengganu 2020. "Matlamat utama kita semua adalah bagi memartabatkan dan mengharumkan nama negeri kita iaitu Negeri Terengganu Darul Iman dalam bidang sukan secara amnya dan sukan ragbi tempatan secara khususnya sekali gus membawa motto Terengganu, Maju, Berkat, Sejahtera ke peringkat yang lebih dikenali," katanya.    
19 Jul 20
480
Kekal Solat Jumaat Hanya Satu Sesi
Kekal Solat Jumaat Hanya Satu Sesi
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kekal dengan keputusan hanya satu sesi solat Jumaat diadakan, termasuk di Wilayah Persekutuan. Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, berikutan itu, jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dalam ruang yang lebih besar. "Ini termasuk ruang tepi masjid dan kawasan yang sesuai dengan SOP (prosedur operasi standard) penjarakan sosial. Kalau ada khemah yang disediakan oleh pihak masjid jemaah boleh solat di situ dengan bawa sejadah dan patuhi garis panduan yang ditetapkan. "Bagaimanapun ia tertakluk kepada pentadbiran agama negeri. Saya difahamkan setakat ini seluruh negeri menjalankan keputusan satu sesi solat Jumaat sahaja," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Program YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) Peduli : Pasca Musa'adah Covid-19 Warga Nelayan Terengganu di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini hari ini. Melalui program itu, seramai kira-kira 120 orang nelayan yang terjejas pendapatan harian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu menerima sumbangan 'food basket' daripada YADIM. Kesemua mereka turut menerima bantuan berupa sejumlah wang tunai yang disampaikan sendiri oleh Zulkifli termasuk sumbangan berjumlah RM10,000 kepada seorang warga nelayan yang menghadapi musibah kebakaran rumah baru-baru ini. Beliau memuji usaha YADIM menyantuni para nelayan sebagaimana tema YADIM Peduli dan mengharapkan agar bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka, sekurang-kurangnya untuk meneruskan kehidupan dengan sebaiknya. Hadir sama dalam program tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Hilmi Harun, Yang Dipertua (YDP) YADIM, Nasruddin Hassan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah YADIM Terengganu, Mahadi Awang. Nasruddin Hassan. Sementara itu, menurut Nasruddin Hassan, YADIM bertindak sebagai agensi prihatin dan bertanggungjawab menggerakkan aktiviti dakwah bahkan kebajikan. "Itulah hasrat kita untuk meringankan beban mereka. Malah nelayan juga adalah 'frontliner' yang membawa pulang sumber bekalan hasil laut ke tanah besar bagi keperluan 'food security' kepada kita umumnya," ujarnya yang dilantik sebagai YDP yang baharu menggantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz, baru-baru ini. Untuk rekod, sebanyak kira-kira RM80,000 diperuntukkan YADIM bagi membantu 1,000 nelayan di 10 kawasan di Terengganu.
19 Jul 20
1029
Rezeki Terima Rumah Selepas 18 Tahun Menyewa
Rezeki Terima Rumah Selepas 18 Tahun Menyewa
Oleh : Aslam Wira MARANG, 18 Julai - Asri Yahya, 42, mengucapkan rasa syukur setelah menerima bantuan bina rumah baharu dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) semalam. Asri yang berniaga gerai makan di Kampung Sentul Patah hanya mampu menyewa rumah sejak 18 tahun lalu. Lebih mendukacitakan dia juga terpaksa menyara isterinya yang mengidap penyakit thyroid dan tiga orang anak yang masih kecil. Namun, segala-galanya berubah apabila Asri antara mereka yang terpilih untuk memiliki rumah setelah melepasi syarat-syarat tertentu. Menurut Asri, permohonan rumah yang diterima itu adalah kali keenam selepas memohon bantuan rumah daripada RISDA, Rumah Mesra Rakyat dan Perumahan Kos Rendah sebelum ini. "Saya bersyukur, dengan lulusnya permohonan ini, kami sekeluarga tidak perlu menyewa dan boleh difokuskan kepada kos pembelajaan anak yang bakal melanjutkan pelajaran nanti," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini. Asri Yahya. Dalam pada itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, bantuan itu merupakan bantuan di bawah KPLB dengan kerjasama Pejabat ADUN Rhu Rendang, Pejabat Daerah Marang dan Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu melalui pemerhatian pihak e-Kasih. "Dengan bantuan ini, isi rumah ini terkeluar daripada senarai pemantauan berkala yang dikhaskan kepada golongan yang memerlukan. "Selama dua tahun kita berkerjasama dengan jabatan dan agensi, bagi menurunkan paras atau tahap kemiskinan dan miskin tegar di DUN Rhu Rendang. "Tambahan lagi, ini merupakan hasrat Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang," tambah beliau.
18 Jul 20
598
MOSTI Tawar Pemula Niaga Bantu Kawal Perairan Negara
MOSTI Tawar Pemula Niaga Bantu Kawal Perairan Negara
Oleh : Fidee Aziz KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengalu-alukan pemula niaga dalam sektor teknologi untuk bekerjasama membantu mengawal perairan negara yang terancam dengan kehadiran nelayan asing. Timbalan Menterinya, Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya membuka ruang kerjasama itu bagi penggunaan teknologi dron atau UAV melalui syarikat startups di bawah MAGIC untuk membantu operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). “Kami mengalu-alukan mana-mana 'Start-Up Technology Company' yang mempunyai kelebihan bidang ini untuk membantu penguatkuasa dalam menjaga perairan negara," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Lawatan Rasmi Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said ke APMM Negeri Terengganu di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah APMM Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dan Pengarah APMM Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli. Selain itu katanya, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) turut menawarkan perkhidmatan pencerapan melalui satelit bagi mengesan lokasi tumpuan berlakunya pencerobohan nelayan asing. Terdahulu, Amzad melakukan tinjauan udara dengan menaiki pesawat Bombardier CI-415 milik APMM di sekitar perairan negara bagi melihat sendiri kaedah penundaan bot nelayan asing ke Pengkalan Maritim Kuala Terengganu.  
18 Jul 20
990
Laksana Penguatkuasaan Terhadap LGBT Bukan Ancaman
Laksana Penguatkuasaan Terhadap LGBT Bukan Ancaman
KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri menjelaskan pelaksanaan penguatkuasaan terhadap kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bukan merupakan satu ancaman kepada golongan tersebut. Jelasnya, ia sekadar pemerkasaan dari sudut pelaksanaan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) yang mempunyai penguatkuasaan, pendakwaan dan sebagainya.  "Seperti apa yang sedia ada dalam enakmen-enakmen setiap negeri, boleh dilaksanakan selama mana mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan saya amat tekankan mengenainya. "Sebagaimana kita tengok pihak Polis dan pihak berkuasa lain menjalankan SOP mereka dengan baik, begitulah seharusnya bagi bahagian penguatkuasaan agama di negeri-negeri," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Seminar Murabbi Ummah di Duyong Marina & Resort, hari ini. Tambahnya, kerajaan juga telah menyatakan kesediaan untuk bertemu dan berbincang dengan kumpulan berkenaan bagi memberi kefahaman berkaitan isu berkenaan. "Kita akan ada dialog dan perbincangan dan akan cuba menjelaskan pada mereka hasrat kita selain sedia mendengar penjelasan mereka. "Bukanlah kerja kita nak tangkap setiap orang. Kerja kita ialah melihat setakat mana kesilapan yang kadang-kadang boleh mempengaruhi masyarakat, dari segi norma kehidupan manusia itu sudah dilanggar," katanya. Beliau juga menegaskan akan mengusahakan tindakan sepatutnya kepada sebahagian individu transgender yang dilihat sewenang-wenangnya memberikan pengaruh kepada masyarakat.
18 Jul 20
824
Satu Juta Benih Anak Ikan Di Tasik Kenyir Setiap Tahun
Satu Juta Benih Anak Ikan Di Tasik Kenyir Setiap Tahun
  HULU TERENGGANU, 18 Julai - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Jabatan Perikanan Malaysia akan membekalkan satu juta benih anak ikan setiap tahun dalam usaha memulihara sumber berkenaan di Tasik Kenyir. Menterinya, Dato' Seri Dr. Ronald Kiandee berkata ia menunjukkan keprihatinan  yang serius kementeriannya dalam memajukan Tasik Kenyir di bawah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah). Jelas beliau, ia juga bertujuan bagi meningkatkan stok ikan darat dan sumbernya dalam menjamin bekalan makanan serta meningkatkan sosio-ekonomi nelayan darat di sungai dan juga tasik.  "Dijangkakan projek sebanyak  satu juta benih ikan akan diusaha untuk ditaburkan di tasik ini pada setiap tahun oleh Jabatan Perikanan Malaysia. "Jadi pusat-pusat penternakan benih ikan yang ada di negeri ini dan di negeri berdekatan akan dijadikan penternakan khusus untuk pengeluaran benih bagi satu juta benih ikan untuk Tasik kenyir setiap tahun," katanya. Ronald Kiandee Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Program Libat Urus  bersama myKomuniti Perikanan (myKP) Pengkalan Gawi dan Program Pelepasan Benih ke Perairan Umum di Sungai Leban, Tasik Kenyir, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, Pengerusi Ketengah, Dato' Razali Idris, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Dato' Munir Mohd Nawi dan Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa. Sementara itu, sebanyak 25,000 benih ikan pelbagai jenis dilepaskan iaitu 500 ekor ikan kelah, 500 ekor ikan temoleh, 1,000 ekor ikan sebarau, dan 23,000 ekor ikan lampan ke Sungai Leban yang diperoleh dari Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok, Pahang.  Terdahulu, seramai lapan orang penerima daripada Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir yang terdiri daripada nelayan darat menerima bantuan berupa jaket keselamatan dan tong insulasi. Ronald berkata bantuan ini disalurkan khusus bagi memperkukuhkan program dan aktiviti perikanan berkelompok yang dijalankan oleh setiap myKP yang memohon. "Bantuan individu ini juga mampu meringankan bebanan kumpulan sasar terutama nelayan darat yang terkesan akibat daripada penularan wabak Covid-19 di negara ini,"tambah beliau.
18 Jul 20
989
Pencegahan Berterusan, Gerunkan Pelaku Maksiat
Pencegahan Berterusan, Gerunkan Pelaku Maksiat
Oleh : Aslam Wira KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Pencegahan berterusan terhadap aktiviti kurang sopan di kawasan-kawasan tumpuan mendatangkan kesan positif berikutan tiada tangkapan dibuat dalam operasi di Drawbridge semalam. Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar), Nasaruddin Samsudeng berkata, perubahan baik yang berlaku itu memberi isyarat bahawa orang ramai mula sedar tentang kesalahan jenayah syariah. "Walau bagaimanapun, operasi dan pemantauan secara berterusan akan sentiasa dilakukan bagi membendung aktiviti tidak bermoral di sini. "Sekali gus menjayakan hasrat kerajaan negeri untuk menyifarkan aktiviti tidak sihat dalam masyarakat," tambahnya lagi. Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas melakukan operasi yang dibuat di perkarangan Drawbridge, semalam. Dalam operasi berkenaan, Skuad Amar Wanita turut digerakkan bagi membantu pemantauan. Menurutnya, pendedahan skuad Amar Wanita adalah sebagai pendekatan dakwah kepada kaum ibu terutamanya berkaitan penutupan aurat dengan sempurna mengikut tatacara Islam yang sebenar. "Langkah ini juga untuk menyambut seruan kempen indahnya hidup bersyariat yang sedang berjalan dalam negeri," ujarnya. Seramai 45 orang sukarelawan yang terdiri daripada Skuad Amar, Pegawai Penguatkuasa Syariah dan sukarelawan Syariah Kuala Terengganu serta Kuala Nerus terlibat dalam operasi berkenaan. Operasi yang bermula sekitar jam 8 malam sehingga 1.00 pagi itu merupakan operasi kali kedua yang dijalankan di sekitar Drawbridge.
17 Jul 20
5613
Dua Lagi Positif COVID-19 Di Terengganu
Dua Lagi Positif COVID-19 Di Terengganu
PUTRAJAYA,17 Julai - Terengganu mencatatkan dua lagi kes positif COVID-19 hari ini membabitkan kontak rapat individu yang baru pulang dari Nigeria semalam atau kes 8737 kluster PUI Pitakwa. Ia menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri ini adalah 114 termasuk satu kematian. Kedua-dua mangsa yang merupakan isteri serta anak kes 8737 tidak menunjukkan gejala jangkitan dan mereka telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes baharu itu antara 18 kes positif yang dilaporkan iaitu 10 kes import mendapat jangkitan dari luar negara dan lapan kes penularan tempatan. Katanya, dengan pertambahan kes berkenaan ia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 8,755 dengan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan 92 kes. "Hanya tiga kes pulih yang dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini sebanyak 8,541 kes atau 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya dalam kenyataan. Beliau turut memaklumkan, tiada pertambahan kes kematian dicatatkan hari ini dan angkanya kekal 122 kes bersamaan 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
17 Jul 20
11408
Kerajaan Negeri Suntik RM20,000 Rangsang Aktiviti Tambahan Bagi Zoo Kemaman
Kerajaan Negeri Suntik RM20,000 Rangsang Aktiviti Tambahan Bagi Zoo Kemaman
KEMAMAN, 17 Julai - Kerajaan Terengganu mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Taman Rekreasi & Zoo Kemaman sebagai rangsangan tambahan kepada pusat pelancongan tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, peruntukan berkenaan  bagi membantu penganjuran aktiviti tambahan untuk menarik pengunjung terutamanya aktiviti melibatkan komuniti. Ariffin dan Hanafiah ketika ditemu bual media. "Pelbagai pakej pelancongan menarik dapat diwujudkan sebagai aktiviti tambahan bagi pengunjung zoo contohnya program menyusuri sungai dan mengintai kunang-kunang yang merupakan antara aktiviti yang cukup menarik. "Di samping itu, kita turut menawarkan potongan harga tiket masuk sebanyak 50 peratus sehingga 31 Ogos ini," katanya kepada media sewaktu lawatan kerja sehari ke Taman Rekreasi & Zoo Kemaman, semalam. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat; Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Abdul Rasid Jusoh dan pegawai-pegawai Majlis Perbandaran Kemaman (MPK). Menyusuri sungai antara tarikan unik di Zoo Kemaman. Tambahnya, lokasi itu menerima peningkatan kehadiran pengunjung mendadak selepas dibuka semula, baru-baru ini. "Sekarang ini, kita yakin akan menerima kedatangan pelancong jauh lebih ramai berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Walaupun dalam suasana PKP ini kita tidak dapat jangkakan anggaran yang datang tetapi kami mendapati kehadiran meningkat sekitar 1,000 sehingga 3000 pengunjung sehari pada hujung minggu," katanya. Beliau turut menjelaskan, pihaknya akan berkerja lebih keras dengan melihat kembali perancangan pembangunan zoo Kemaman bagi menyahut usaha mempergiatkan pelancongan domestik khususnya kedatangan pelancong tempatan. Tourism Terengganu turut bertindak memperkasakan lagi promosi pelancongan terutamanya di Zoo Kemaman dengan pelbagai promosi selain memasukkannya dalam pakej pelancongan kolaborasi tiga negeri di pantai timur. "Saya menyeru semua pihak supaya bersama-sama menggerakkan promosi khusus bagi Taman Rekreasi & Zoo Kemaman. "Saya juga mencadangkan kepada ejen pelancongan supaya membantu memperkenalkan Kemaman kerana lokasinya yang berada paling hampir dengan pantai barat memudahkan pelancong luar berkunjung ke sini," katanya.
17 Jul 20
3949