lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kerajaan Peruntuk RM270,000 Laksana Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak
Kerajaan Peruntuk RM270,000 Laksana Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak
KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menghargai inisiatif Kerajaan Persekutuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang meluluskan bajet sebanyak RM270,000 bagi pelaksanaan 9 siri kursus asuhan awal kanak-kanak. Wan Mohd Zaki Wan Abdullah. Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, pelaksanaan kursus tersebut adalah bertujuan untuk menyediakan pengasuh-pengasuh yang berkelayakan dalam bidang perkembangan awal kanak-kanak secara atas talian (online) terutama di musim penularan COVID-19. "Kerajaan negeri berterima kasih kepada JKM Negeri dan Malaysia yang memberi kepercayaan dan amanah kepada YPKT sebagai pusat akreaditasi dan pelaksana Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) secara online. "Kursus Asuhan Dan Didikan Awal KAP merupakan kursus wajib di bawah Akta TASKA 1984 dan peraturan-peraturan TASKA 2012, di mana ia memberi penekanan kepada enam bidang perkembangan utama kanak-kanak di bawah umur empat tahun. "Modul tersebut diubah suai dan ditambah baik bersesuaian dengan kaedah terkini untuk merangsang pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Objektif utama KAP adalah bagi meningkatkan kualiti pengasuhan kanak-kanak serta meningkatkan profesionalisme para pengasuh," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kursus Asuhan Dan Didikan Awal KAP Secara Atas Talian (Online) Melalui Program Insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di Dewan Utama YPKT di sini hari ini. Simulasi kursus secara online. Seramai 10 orang peserta dari semua kawasan mendapat pentauliahan sebagai jurulatih dalam majlis tersebut. Turut diadakan simulasi kursus secara online dengan disaksikan oleh Wan Mohd Zaki. Hadir sama, wakil Pengarah JKM Negeri, Nurul Shahida Md Salleh, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri, Md Hilman Abd Rashid, wakil Pengarah Kesihatan Negeri, Azlina Ngah, Penolong Pengarah Jabatan Korporat dan Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Saiful Bahri Ramli dan wakil Persatuan Pendidik Taska Swasta Negeri Terengganu, Maryana Jusoh. Sehingga akhir tahun ini, dijangka seramai 300 orang peserta akan menyertai enam siri kursus secara online yang akan diadakan selama tiga bulan bermula 3 Ogos ini dan berakhir awal November nanti. Zalina Mohd. Sementara itu, menurut jurulatih kursus, Zalina Mohd, 52, pengasuh yang berkelayakan sangat digalakkan mengikuti kursus tersebut yang memberi pendedahan mendidik untuk meningkatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak. "Ia sekali gus membantu perkembangan anak-anak sekali gus menyumbang pembentukan modal insan mereka," ujarnya. 
27 Jul 20
1145
Wakil Rakyat Perlu Menjadi Pendengar Yang Baik
Wakil Rakyat Perlu Menjadi Pendengar Yang Baik
  KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Setiap wakil rakyat sewajarnya menjadi pendengar yang baik, selain perlu bijak meneroka ilmu pentadbiran dan ilmu komunikasi dalam menyelesaikan masalah rakyat. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN)  Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, apabila seseorang itu diamanahkan menjadi wakil rakyat, perkara tersebut perlu ada dalam diri, selain perlu berpegang kepada tiga perkara utama. Katanya, antaranya bertanggungjawab  kepada rakyat di mana perlu menjadi  pegawai kebajikan untuk menyelesaikan masalah komuniti dalam kawasan yang diwakili. “Kedua, tanggungjawab kita kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai ahli badan legislatif. “Kita perlu membuat persediaan dan 'homework' untuk bercakap dalam dewan sama ada untuk kemuka soalan, perbahasan usul-usul dan rang enakmen sebelum ia diluluskan dan juga dalam jawatankuasa terpilih yang diluluskan oleh DUN “Manakala yang ketiga sewajarnya bertanggungjawab kepada parti yang diwakili di mana perlu tertakluk kepada keputusan dan arahan parti dari masa ke semasa.,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemantapan ADUN Terengganu di Hotel Paya Bunga, di sini hari ini. Dato’ Yahaya, berkata walaupun banyak cabaran yang dihadapi, setiap wakil rakyat  mesti bergerak ke hadapan seiring dengan tuntutan dan perkembangan semasa. “Langkah itu  bagi mengukuhkan badan legislatif kita dengan pembaharuan yang tidak bercanggah dengan perlembagaan dan konsep perimbangan kuasa. “Saya berpendapat apa sahaja pembaharuan yang ingin dibuat mestilah dalam konteks saling bekerjasama dengan pihak eksekutif yang mentadbir kerajaan,” katanya.  
27 Jul 20
856
Kerjasama Bernama Radio, ManisFM Bakal Mantapkan Usahawan Bumiputera - Saifuddin
Kerjasama Bernama Radio, ManisFM Bakal Mantapkan Usahawan Bumiputera - Saifuddin
KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah mencadangkan ManisFM menjalinkan kerjasama dengan Bernama Radio untuk memantapkan lagi rancangan-rancangan berkaitan perniagaan dan keusahawanan bumiputera terbitannya. Katanya ini kerana program berkaitan keusahawanan yang diterbitkan Bernama Radio kini menerima sambutan menggalakkan dan kejayaan itu boleh dikongsikan dengan ManisFM yang merupakan sebuah stesen radio milik kerajaan negeri Terengganu. “Liputan di pantai timur ini ada cara tersendiri dan saya fikir ManisFM bersama Bernama Radio boleh bekerjasama meningkatkan lagi mutu rancangan perniagaan dalam bahasa Melayu dan juga meluaskan liputan dan capaian kepada para pendengar. “Pantai timur ini kelebihannya mempunyai ramai usahawan Melayu dan bumiputera termasuk wanita. Jadi itu satu kelebihan dari segi kandungan. Bernama Radio sudah ada pengalaman mengendalikan rancangan perniagaan dengan baik dan di sebelah sini (ManisFM) ada kandungan yang unik,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Turut hadir pada mesyuarat itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan beberapa ketua agensi serta jabatan negeri yang berkaitan. - BERNAMA
26 Jul 20
457
Capaian Internet Di Terengganu Akan Dipertingkat - KKMM
Capaian Internet Di Terengganu Akan Dipertingkat - KKMM
KUALA TERENGGANU, 26 Julai – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) komited untuk meningkatkan liputan capaian internet yang optimum, terutama 4G di negeri Terengganu.  Menteri KKMM, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya melalui Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi makmal infrastruktur digital sedang mengkaji kawasan-kawasan yang mempunyai impak kepada ekonomi serta penduduk untuk diberi keutamaan penambahbaikan akses jalur lebar.  “Di sebelah Pantai Timur termasuk Terengganu, kita kena bagi tumpuan lebih, contohnya liputan 4G di Terengganu capaian hanya sekitar 87.7 peratus, 3G pula 95.5 peratus manakala 2G 97.8 peratus.  “Apa yang kita hendak bincang dan akan perhalusi ialah bagaimana kita hendak optimumkan liputan 4G. Itu melibatkan soal pembinaan menara-menara baharu dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjung hormat ke Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan neger, Mohd Nor Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, dan beberapa ketua agensi serta jabatan negeri yang berkaitan. Mengulas lanjut, Saifuddin memaklumkan, Terengganu kini mempunyai 685 menara telekomunikasi dan ia tidak mencukupi untuk menyediakan liputan terbaik di seluruh negeri. “Oleh itu, kita memerlukan lebih 400 lagi menara telekomunikasi bagi mengoptimumkan liputan internet di sini, termasuk di pusat-pusat pelancongan dan pulau-pulau peranginan. “Termasuk yang sedang dibangunkan sekitar 34 menara, semua perkara ini sudah disebut dalam dewan rakyat, namun menjadi kekangan ialah kos yang besar untuk kita laksanakan sekali gus, jadi kita buat berperingkat mengikut keutamaan dan zon,” jelasnya. Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian juga akan meningkatkan usaha untuk melonjakkan industri nasyid ke peringkat yang lebih tinggi kerana ia merangkumi pelbagai aspek seperti seperti dakwah, pendidikan, produk halal, busana muslimah dan sebagainya. “Memanglah nasyid itu orang lihat sebagai sebahagian dari muzik, tetapi ia ada dunianya tersendiri yang sangat luas,” katanya.  
26 Jul 20
1988
Lesen Nelayan Kelas A Dibuka Semula, 800 terima Manfaat
Lesen Nelayan Kelas A Dibuka Semula, 800 terima Manfaat
Foto oleh : Hidayah Azlin  DUNGUN, 26 Julai - Seramai 800 nelayan aktif dan tulen di negeri ini bakal menerima manfaat apabila Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) Malaysia melalui Jabatan Perikanan Malaysia akan membuka semula Lesen Nelayan Sampan Zon A (kategori pesisir pantai) dalam masa terdekat. Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pemberian  lesen vesel nelayan kelas A itu bertujuan memudahkan urusan perlindungan insurans dan elaun sara hidup kerana ramai nelayan terpaksa turun ke laut dengan risiko sendiri. “Kita melihat bahawa ramai nelayan tulen bukan sahaja di Terengganu tetapi di negeri lain yang tidak mempunyai lesen dan terdapat juga dalam kalangan mereka yang berlesen bukan nelayan tulen.  “Justeru, dalam proses melesenkan nelayan tulen, pihak Jabatan Perikanan Malaysia juga akan melalukan pemutihan terhadap pemegang lesen yang ada sekarang ini. “Kita akan mewujudkan satu ‘database’ zon A yang melibatkan pemutihan dan pemberian lesen dimana di Negeri Terengganu sendiri lebih 800 nelayan sampan akan menerima manfaatnya,” ujar beliau sempena sesi ‘walkabout’ dan ramah mesra bersama nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim. Sementara itu, Dr Azman berkata, kerajaan negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada MAFI yang memberi perhatian terhadap masalah yang membelenggu nelayan negeri ini. “Saya berterima kasih kepada pihak MAFI khususnya Jabatan Perikanan Malaysia di atas respon yang sangat positif untuk menyelesaikan isu yang dihadapi nelayan kita yang mana didapati sebagaian besar daripada mereka ada yang ke laut sejak muda sampai ke tua tetapi tidak berlesen. “Di pihak kerajaan negeri kita melihat isu nelayan sampan atau nelayan zon A yang tiada lesen ini sebagai isu lapuk yang perlu diselesaikan,” ujarnya. Justeru katanya, kerajaan negeri telah menubuhkan ‘task force’ bersama jabatan berautoriti dan berkaitan termasuk Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu, LKIM Negeri Terengganu dan juga persatuan-persatuan nelayan yang diurusetiakan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah ini. “Sebelum ini, kita telah buat dua kali mesyuarat dan proses pemutihan di peringkat negeri dan selepas pemutihan akhirnya kita keluarkan sekitar 800 lebih nelayan sampan yang tidak berlesen dan telah diangkat permohonan kepada pihak kementerian,”ujarnya. Katanya, nelayan yang tidak berlesen terdedah kepada pelbagai risiko diantaranya jika terlibat dengan kemalangan atau bencana di laut tidak ada suatu pelindungan yang boleh melindungi mereka. “Mereka juga tidak dapat faedah seperti elaun sara hidup nelayan, subsidi minyak dan sebagainya dan yang merugikan negeri kita ialah bila tangkapan dibuat oleh nelayan tidak berlesen bermakna hasil tangkapan mereka tidak direkodkan,” ujarnya. Katanya, beliau turut dimaklumkan oleh pihak kementerian bahawa Terengganu adalah  negeri pertama yang ambil langkah ‘bottom to top’ dengan mengambil inisiatif sendiri cuba menyelesaikan isu ini dengan membawanya kepada peringkat kementerian. Disamping itu katanya, kerajaan negeri turut menekankan kepada program memperkaya sumber perikanan seiring pemberian lesen kepada nelayan. Dalam usaha menambahkan bilangan nelayan yang mempunyai lesen, dalam masa yang sama sumber perikanan turut diberi perhatian melalui program melabuhkan tukun dan unjam,” ujarnya.
26 Jul 20
1370
Sanitasi Awam Bakal Diteruskan Bagi Kekang Penularan COVID-19
Sanitasi Awam Bakal Diteruskan Bagi Kekang Penularan COVID-19
  MARANG, 26 Julai - Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia bakal meneruskan program sanitasi awam dan nyahcemar di seluruh negeri dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 yang semakin meningkat dalam tempoh terdekat.  Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Sri Dr Ismail Abd Mutalib, berkata walaupun sebelum ini pihaknya telah melakukannya secara menyeluruh ketika bermula wabak pandemik ini namun bagi menghalang peningkatannya, ia akan diteruskan seperti sebelum ini.  “Sebelum ini kita dah buat secara menyeluruh ketika bermulanya wabak  ini sehingga pelajar nak balik pun kita buat sanitasi termasuk bas mereka namun apabila keadaan dilonggarkan sedikit , masyarakat mula lalai , COVID-19 mula menular kembali pada hari ini. “Kita ada bincang mengenainya dan memutuskan akan meneruskan kembali proses sanitasi ini bagi menyekatnya kerana kita tak nak ia menular kembali. “Jika sanitasi dan nyahkuman ni menjadi salah satu faktor yang boleh menyekat penularannya, kenapa tidak kita teruskan sahaja,”katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/ 2020 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Dato' Mohammad Hamdan Wahid, Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak. Sementara itu, Dr Ismail  juga berkata pihak Bomba juga akan mengambil tindakan segera untuk melakukan proses sanitasi dan nyah kuman terhadap kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah.  Selain itu, katanya, ini termasuklah  membimbing pihak sekolah tentang kepakaran untuk proses nyah kuman untuk dilakukan oleh mereka.   
26 Jul 20
386
‘Marang River Cruise’ Produk Baharu Pelancongan Terengganu
‘Marang River Cruise’ Produk Baharu Pelancongan Terengganu
Oleh : Aziz Hambali MARANG, 25 Julai - Kerajaan Terengganu menerusi Pejabat Daerah Marang melancarkan produk pelancongan baharu di negeri itu selepas memperkenalkan pakej menelusuri Sungai Marang dari Dataran Batu Putih (DBP) terus ke Pulau Kapas. Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, inisiatif tersebut pastinya akan merancakkan kembali industri pelancongan domestik sejak pandemik COVID-19 melanda negara.  "Pakej ini tercetus rentetan hasil sumbangan sebuah bot laju daripada Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd yang menjadi pemangkin yang sangat besar untuk memajukan industri pelancongan  berasaskan sungai dan laut ini.  "Produk ini kita akan hebahkan melalui media sosial dan kemungkinan dilancarkan bersempena dengan program Jejak Budaya Marang yang akan berlangsung pada bulan September nanti," katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bot oleh Pengerusi Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd, Tengku Sri Temenggong Raja Dato' Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muttafi Billah Shah di sini baru-baru ini. Tun Ahmad Faisal menerima sumbangan bot dari Tengku Sri Temenggong Raja. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman. Mengulas lanjut mengenai sumbangan bot berkuasa tinggi itu, pihaknya berbesar hati dengan komitmen Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd apabila dimaklumkan akan potensi program menyusuri sungai dan 'floating market' di Marang. "Penghargaan tidak terhingga kepada Terengganu Silica atas pemberian sebuah bot berkuasa 150 kuasa kuda yang membolehkan program menelusuri Sungai Marang dan terus pergi ke Pulau Kapas terlaksana. "Uniknya pakej ini para pelancong akan memuduki Sungai Marang daripada DBP sampai di kuala Sungai Marang terus ke Pulau Kapas. Jadi ini adalah satu nilai tambah kepada pakej-pakej pelancongan yang Marang tawarkan. "Pelancong boleh membuat tempahan dengan operator yang akan kita lantik nanti dan pakej itu merangkumi aktiviti menelusuri sungai, makan pagi di DBP sambil melihat produk-produk di sepanjang sungai Marang. “Seterusnya ke Pulau Kapas menikmati jamuan tengah hari dan aktiviti di sana seperti snorkelling dan mandi manda sebelum pulang bergerak balik ke Marang sebelah petang itu, sebelum ini pakej-pakej begini diasingkan dengan pakej pulau dan sungai,” jelasnya.  
26 Jul 20
4371
Raya Dengan Rumah Baru
Raya Dengan Rumah Baru
KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Seramai 18 rakyat Terengganu bersyukur dan teruja dapat meraikan Aidiladha yang bakal menjelang dengan rezeki berganda selepas menerima kunci Rumah Mampu Milik (RMM) secara rasmi daripada kerajaan negeri, semalam. Seorang penerima, Zaini Harun, 37, dari Teluk Kalong, menyifatkan rezeki tersebut sebagai hadiah yang tidak ternilai baginya kerana impiannya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai. "Saya terlalu gembira pada hari ini. Tak sangka impian saya dan suami akhirnya menjadi kenyataan," ujarnya ceria. Penyerahan kunci itu sekali gus menamatkan penantiannya yang telah memohon selama 14 tahun. Zaini dan suami, Muhammad Zakri Zakaria, 37, sebelum ini pernah menumpang rumah orang tuanya dan turut menyewa beberapa buah rumah. Che Nor Haslida Deraman (kanan). Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Perumahan Rumah Kos Rendah (RKR) PMINT, Che Nor Haslida Deraman menjelaskan, majlis pengundian lot dan penyerahan kunci RMM kepada 18 penerima itu membabitkan lima kawasan. "Ia termasuk projek perumahan di kawasan RMM Perasing Jaya (3), RMM Teluk Kalong (4), RMM Batu 7 (3), RMM Paya Lawas (5) dan RMM Bukit Gasing (3)," katanya ketika ditemui pemberita di PMINT, semalam. Ahmad Waliyuddin Johari (dua dari kiri) menyampaikan kunci rumah kepada penerima dari DUN Bukit Besi. Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pegawai Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ahmad Waliyuddin Johari yang mewakili Pegawai Penyelarasnya, Haji Ghazali Sulaiman. Mengulas lanjut, katanya, majlis itu adalah inisiatif kerajaan negeri melalui PMINT untuk memudahkan penerima yang diluluskan mendapatkan kunci rumah secepatnya sebelum hari raya. "Hari ini hanya majlis ringkas melalui PMINT sebagai pemudah cara kepada 18 penerima ini. Ia disebabkan yang terlibat hanya sebahagian kecil di beberapa kawasan. Sekurangnya mereka dapat menarik nafas lega sebelum Aidiladha. "Mereka boleh pergi terus ke rumah hari ini. Isikan borang kerosakan jika ada dan laporkan dalam tempoh seminggu," tambahnya.    
24 Jul 20
5121
Speaker DUN Terengganu Kunjung Hormat MB Melaka
Speaker DUN Terengganu Kunjung Hormat MB Melaka
Oleh: Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN)  Terengganu, Dato’ Yahaya Ali mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali di Seri Negeri di sini baru-baru in . "Alhamdulillah kunjungan hormat pada petang ini sangat bermakna. Kami berpeluang berbincang berbagai topik dalam usaha mengeratkan kerjasama di antara kami khususnya melibatkan hal ehwal DUN," ujarnya ketika mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri Melaka. Hadir sama, Presiden Persatuan Anak-Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) Melaka, Dr Azlan Abd Aziz. Mesyuarat Jawatankuasa Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA). Menurutnya, kunjungan tersebut adalah kali pertama bersempena dengan Mesyuarat Jawatankuasa Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA). "YAB (Yang Amat Berhormat) Ketua Menteri sangat mesra dan saya fikir kita mempunyai ruang yang luas untuk meneruskan kerjasama. "Insya-Allah saya sudah sampaikan jemputan kepada beliau untuk melawat negeri Terengganu secara rasmi," ujar beliau. Yahaya menambah, perantau Terengganu juga diharap memberikan kerjasama yang baik kepada Kerajaan Negeri Melaka. "Yang paling penting adalah di mana pun kita berada, kita mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan masyarakat setempat. "Kita akan bekerjasama sama ada melalui saluran rasmi kerajaan negeri ataupun melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti PERANTAU," katanya.
23 Jul 20
342
Terengganu Sasar Bina Mini ‘Slipway’ Di Setiap Daerah
Terengganu Sasar Bina Mini ‘Slipway’ Di Setiap Daerah
Oleh : Hidayah Azlin SETIU, 22 Julai – Kerajaan Terengganu mensasarkan untuk membina mini ‘slipway’ di setiap daerah bagi memudahkan pembaikian kerosakan kecil bot nelayan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkara itu merupakan satu keperluan yang sangat kritikal untuk nelayan menyelenggara bot tanpa melalui jarak yang jauh. "Saya melihat keperluan ini perlu bagi setiap daerah supaya kerosakan-kerosakan kecil tidak mengambil masa yang lama. Contohnya kerosakan kipas, ia hanya memerlukan pembaikian dalam beberapa hari sahaja. "Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman akan menjadi fokus kita khususnya di daerah-daerah yang sebahagian besar terdiri daripada nelayan bot kelas A dan B yang memerlukan khidmat setempat," jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas meninjau projek pembinaan rumah sejuk beku dan mini 'slipway' di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang, semalam. Dr Azman (tengah) melihat keadaan semasa rumah sejuk beku. Mengulas tentang mini 'slipway' di Jeti LKIM yang menelan kos kira-kira RM50,000 itu, beliau memaklumkan binaan telah siap hampir 90 peratus dan dianggarkan mampu menampung bot dalam lingkungan 30 tan. "Hanya tinggal untuk pasang ‘wings’ untuk menarik bot, kebanyakkan daripada nelayan Marang sama ada nelayan sampan atau fiber, bot kelas A dan B kecil itu sahaja. Maka, dengan saiz ini kita kira sudah memadai.   "Insya-Allah selepas ini, sasaran kita ialah untuk membina sebuah kilang air batu di sini. "Sebahagian lagi usaha untuk mempertingkatkan lagi pengeluaran sektor perikanan kita dalam masa yang sama kita tangani isu-isu yang timbul dari semasa ke semasa," jelasnya. Tambahnya lagi, projek pembinaan rumah sejuk beku dan mini 'slipway' itu merupakan projek yang pertama dibiayai oleh kerajaan negeri di Malaysia.  Malah, satu-satunya ‘slipway’ yang berada di bawah kerajaan negeri dan ada di daerah Marang kerana di tempat lain dibina oleh pihak swasta. "Alhamdulillah projek bilik sejuk yang telah dimulakan pembinaannya di sekitar bulan Oktober tahun lepas siap dibina. Ujian operasi telah dibuat dan ia  beroperasi dengan baik.  "Ia akan dimanfaatkan oleh nelayan-nelayan Marang dalam kapasiti simpanan kira-kira 10 tan ikan atau hasil laut dalam satu-satu masa," katanya.
22 Jul 20
3996