lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Elakkan Wujud Kluster Ibadah - Zulkifli
Elakkan Wujud Kluster Ibadah - Zulkifli
HULU TERENGGANU, 30 Julai - Orang ramai diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan ketika menyambut Hari Raya Korban bagi menggelakkan wujudnya kluster Ibadah dalam menangani penularan COVID-19. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Senator Dato' Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ia penting bagi memastikan tidak ada lagi penularan wabak pandemik atas nama ibadah seperti kes terdahulu iaitu kluster tabligh. Katanya, isu ibadah korban ini merupakan satu isu yang menarik untuk dilihat oleh semua pihak khususnya beragama Islam. "Kita telah mengeluarkan SOP ibadah korban dan kita telah noktahkan dan saya juga telah menyatakan dalam laman web termasuk facebook, instagram kami mengenai peraturannya. "Oleh kerana itu, jaga perkara ini kita hendak supaya tidak ada sebarang kluster ibadah, ibadah solat atau haji termasuk ibadah korban. "Yang ini kita akan tengok dari semasa ke semasa, saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya tidak berlaku kluster ibadah dan setakat ini Alhamdulillah, selamat selepas kita mengambil iktibar yang besar bila berlakunya kluster tabligh dulu,"  ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Yayasan  Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli : Cuci-cuci dan Musa'adah Pasca COVID-19 Terengganu di KUDQI, Kubang Lembik, Manir. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun dan Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasruddin Hassan. Terdahulu, seramai 100 yang terdiri daripada kumpulan masyarakat B40 dan miskin yang terkesan dengan musibah COVID-19 menerima bakul makanan (food basket) berupa barangan keperluan harian. Sementara itu, mengulas tentang pematuhan SOP di masjid, beliau berkata ia berada di tahap yang baik sehingga hari ini. "Alhamdulillah kita jaga penjarakan sosial dan kita ada SOP yang bagi saya cukup baik sudah dua bulan atau lebih kita mula solat Jumaat, nampaknya masih teratur dan terkawal.  "Kalau mengikut apa yang direkodkan oleh pihak polis dan apa yang saya dengar dalam perbincangan khususnya di Majlis Keselamatan Negara (MKN), lebih daripada 99.5 peratus yang mematuhinya, Alhamdulilah kepatuhan yang baik," katanya.
30 Jul 20
834
Alasan Kemiskinan Bukan Sebab Nilai Pendidikan Menjadi Luntur
Alasan Kemiskinan Bukan Sebab Nilai Pendidikan Menjadi Luntur
  Oleh : Azhar Yusof HULU TERENGGANU, 29 Julai -  "Faktor kemiskinan ibu bapa bukan alasan untuk anak-anak tidak menikmati pendidikan sempurna di negeri ini," tegas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan Dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim. Beliau berkata, kemiskinan itu wajar dijadikan cabaran ibu bapa bagi mengubah corak kehidupan masa depan anak-anak melalui pendidikan. Katanya, ibu bapa juga perlu menjadikan pendidikan sebagai agenda utama dalam keluarga kerana dengan pendidikan sahaja berupaya mengubah nasib keluarga dan keluar dari belenggu kemiskinan. “Kita harus pastikan semua anak kita yang menuntut ilmu agar mereka menjadi insan berjaya kerana belajar bukan satu prasyarat keperluan sahaja, jangan biar anak-anak kita tercicir dalam pendidikan. “Jadi tidak ada alasan untuk ibu bapa tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah hanya kerana kemiskinan. “Harapan kita, ibu bapa perlu berusaha untuk memberi rangsangan kepada anak-anak untuk minat ke sekolah dapat dicapai sekali gus meningkatkan prestasi pembelajaran  untuk berjaya dalam bidang pendidikan yang akan mengubah nasib sesebuah keluarga,” ujarnya. Beliau berkata demikian pada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas lawatan kerja ke sekolah-sekolah dalam DUN Ajil, di Sekolah Kebangsaan Peroh, hari ini. Maliaman  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil turut menggesa guru supaya berkongsi maklumat murid yang dikategorikan sebagai miskin tegar kepadanya agar dapat memastikan bantuan yang sepatutnya diberikan bagi memastikan ibu bapa dapat menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Jelasnya, ia bagi memastikan semua masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar mendapat pembelaan yang berterusan daripada kerajaan. Tambah Maliaman lagi, kepentingan pendidikan untuk anak-anak perlu disedari oleh ibu bapa bukan sahaja untuk mengubah keluarga malah negara ini.   
29 Jul 20
1615
Ta Win-PMINT Bangun Kawasan Industri Logam Bukan Ferus Pertama Di Asia Tenggara - MB Terengganu
Ta Win-PMINT Bangun Kawasan Industri Logam Bukan Ferus Pertama Di Asia Tenggara - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Ta Win Holdings Berhad (Ta Win) hari ini mengadakan usaha sama perjanjian dengan kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bagi membangunkan kawasan perindustrian logam bukan ferus pertama di Asia Tenggara (Terengganu Ecocyle). Majlis memeterai perjanjian antara pengilang terkemuka produk tembaga Malaysia dan PMINT itu disaksikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Ta Win diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulannya, Dato’ Sri Ngu Tieng Ung manakala PMINT diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Wan Adnan Wan Derahman. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar menyifatkan pemeteraian tersebut merupakan suatu pencapaian yang besar buat kerajaan negeri. "Kita sangat berbesar hati Ta Win memilih negeri Terengganu bagi projek seumpama ini. Ianya adalah suatu pencapaian yang besar bagi kerajaan negeri terutama dalam keadaan COVID-19 yang belum reda. "Kerajaan negeri berterima kasih dan sangat mengalu-alukan minat dan kerjasama pelabur-pelabur luar. Dijangkakan sebanyak 7,000 peluang pekerjaan akan dibuka kepada rakyat dalam tempoh sembilan tahun melalui usaha sama Ta Win dan PMINT ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU (Memorandum Persefahaman) PMINT Bersama Ta Win di Primula Beach Hotel di sini hari ini. Hadir sama menyaksikan MoU tersebut, Pengarah Eksekutif Ta Win, Tan Poo Chuan dan Pengarah Bersekutu Ta Win, Dato' Dr Rashdan Salleh. Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win Holdings Berhad, Dato’ Sri Ngu Tieng Ung berkata, Terengganu Ecocycle akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan kira-kira 500 hektar. "Seluas kira-kira 500 ekar tanah yang terletak di Kawasan Lembah Perasing, Mukim Hulu Jabor, Kemaman, Terengganu Darul Iman akan dibangunkan bagi projek ini. Terengganu Ecocycle akan dikembangkan dalam empat fasa dalam tempoh sembilan tahun, dengan jumlah kos pembangunan yang dianggarkan berjumlah RM2.4 bilion. "Ia akan merangkumi zon teknologi teras, zon teknologi sub-teras dan sokongan zon teknologi, di mana masing-masing berukuran kira-kira 85 ekar, 250 ekar dan 165 ekar. "Kami dengan senang hati memulai usaha sama ini dengan Kerajaan Negeri Terengganu. Dengan Terengganu Ecocycle akan menjadi yang pertama seumpamanya di Rantau Asia Tenggara, kita akan dapat mendorong perkembangan industri logam bukan ferus," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. Untuk rekod, Terengganu Ecocycle diilhamkan oleh Projek Eco-Town Kitakyushu Jepun, yang berjaya menggabungkan pemuliharaan alam sekitar, promosi industri dan dasar kesejahteraan masyarakat tempatan, ke arah tujuan negara mewujudkan masyarakat berasaskan kitar semula sumber yang mampan.
29 Jul 20
6599
Kerajaan Negeri Ambil Tindakan 776 Pemilik Tanah Perindustrian Tidak Diusahakan
Kerajaan Negeri Ambil Tindakan 776 Pemilik Tanah Perindustrian Tidak Diusahakan
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap 776 pemilik tanah perindustrian di seluruh Terengganu yang telah dikenal pasti tidak mengusahakan tanah tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, antara tindakan yang bakal dikenakan termasuk merampas kembali tanah tersebut untuk diberikan kepada pengusaha industri yang benar-benar layak. Menurutnya, sehingga kini pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 776 pemilik tanah yang tidak melakukan sebarang aktiviti perindustrian di tanah milik mereka. "Melalui Kanun Tanah Negara, kerajaan berhak mengambil balik, atau merampas (tanah), kalau tidak diusahakan dalam tempoh yang telah diberikan. "Jadi, sekarang kita sedang meneliti untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang gagal untuk mematuhi syarat ini, supaya boleh diberi peluang kepada orang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Terdahulu Tengku Hassan menghadiri Majlis Menandatangani MoU (Memorandum Persefahaman) Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Bersama Ta Win Holdings Berhad di Primula Beach Hotel di sini. Majlis memeterai perjanjian itu adalah untuk memperingati usaha sama bagi pembangunan Terengganu Ecocyle dan disaksikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win Holdings Berhad, Dato’ Sri Ngu Tieng Ung dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman. Justeru, beliau mengingatkan kepada pemilik tanah agar mengusahakan industri di tanah milik mereka atau berdepan tindakan dilucutkan hak terhadap pemilikan tanah.
29 Jul 20
6243
Mesin ATM Anak Ikan Beri Manfaat kepada Lebih 10,000 Penduduk
Mesin ATM Anak Ikan Beri Manfaat kepada Lebih 10,000 Penduduk
Oleh : Muhammad A Rahman SETIU, 29 Julai – Kewujudan Mesin Juruwang Automatik (ATM) di Stesen Minyak Petron Kampung Anak Ikan bakal memberi manfaat kepada lebih 10,000 penduduk di sekitar kawasan terbabit. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, rata-rata rakyat di kawasan terbabit melahirkan rasa lega apabila tidak perlu lagi bergerak sejauh 15 hingga 20 kilometer untuk melakukan transaksi harian. “Sebelum ini penduduk dari kampung-kampung sekitar seperti dari Kampung Bintang, Felda Selasih, Kampung Anak Ikan dan Kampung Tok Dor terpaksa ke Pekan Jabi. “Saya berterima kasih atas kesabaran penduduk setempat yang sudah terlalu lama menanti kehadiran sebuat mesin ATM di kawasan ini,” katanya selepas merasmikan mesin ATM Bank Simpanan Nasional di sini kelmarin. Menurut beliau lagi, kesukaran yang dihadapi rakyat itu sering diadu kepadanya dalam setiap pertemuan. “Alhamdulillah, hari ini masalah itu dapat diselesaikan dengan baik, semoga orang ramai dapat memanfaatkan mesin ATM ini,” tambahnya.
29 Jul 20
975
Golden Pharos Rangka Strategi Tangani Impak COVID-19
Golden Pharos Rangka Strategi Tangani Impak COVID-19
KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Anak syarikat Kerajaan Terengganu, Golden Pharos Bhd (GBP) merangka tiga strategi utama bagi menangani impak COVID-19 terhadap perniagaan syarikat terbabit. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Dato’ Nadza Abdul berkata, langkah pertama adalah dengan memaksimakan penggunaan Program Subsidi Upah (PSU) Perkeso yang berjumlah RM1.6 juta kepada 446 pekerja bagi tempoh enam bulan membabitkan lima anak syarikat.  Katanya, selain itu tindakan membekukan sementara segala program bukan kritikal, antaranya Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), pembayaran zakat dan segala aktiviti korporat, termasuk hari keluarga dan jamuan keraian kakitangan turut dilaksanakan. Pada masa sama, semua kakitangan tidak dibenarkan melakukan kerja lebih masa, tiada elaun bertugas luar kawasan dan pelbagai elaun berkaitan kini dibekukan. “Langkah ketiga, mengenal pasti beberapa perniagaan baharu dengan mengguna pakai sumber sedia ada di kawasan hutan termasuk menjana tenaga elektrik melalui projek pembinaan mini hidro. “’Projek itu kini dalam kajian kemampuan gunaan tenaga yang mampu dihasilkan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan GPB Kali Ke-33 di Primula Beach Hotel di sini hari ini. Hadir mempengerusikan mesyuarat itu, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri.  Dato’ Nadza turut memberitahu, GPB mencatatkan penurunan pendapatan sebanyak 18 peratus iaitu RM57.47 juta pada 2019 berbanding RM70.4 juta pada tahun sebelumnya. Manakala kerugian yang dicatatkan pada 2019 sebelum cukai adalah sebanyak RM 9.98 juta berbanding RM2.3 juta rugi (2018). “Keadaan itu disebabkan tiga faktor utama iaitu pasaran yang lemah dalam industri kaca, kelewatan dalam aktiviti pembalakan dan penggunaan standard perakaunan yang baharu di bawah Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS). “Faktor-faktor inilah yang menjadikan prestasi syarikat pada tahun 2019 tidak begitu memberangsangkan,” tambahnya lagi.
28 Jul 20
696
Pelancaran Bulan Kebangsaan, Kibar Jalur Gemilang Penuh Semangat Patriotik
Pelancaran Bulan Kebangsaan, Kibar Jalur Gemilang Penuh Semangat Patriotik
KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Terengganu hari ini berlangsung dalam suasana penuh semangat patriotik meskipun Malaysia masih dilanda wabak COVID-19. Pelancaran yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman dengan kehadiran terhad kepada 200 peserta bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Acara dimulakan dengan siaran amanat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipancarkan secara langsung ke seluruh negera. Usai mendengar amanat Perdana Menteri dan ucapan perasmian oleh Menteri Besar, majlis diteruskan dengan penyerahkan Jalur Gemilang dan disusuli dengan upacara menaikkan bendera oleh Pasukan Simpanan Tentera Laut DiRaja Malaysia dan nyanyian Lagu Negaraku dan Jalur Gemilang. Kemudian, bacaan ikrar rukun negara dan penyerahan bendera jalur gemilang sebanyak 2,000 keping setiap daerah yang diwakili oleh pegawai daerah, pegawai persekutuan, badan uniform, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta. Majlis tersebut diakhiri dengan gimik pelancaran melekatkan bendera Jalur Gemilang di kenderaan-kenderaan jabatan oleh Dr Ahmad Samsuri. Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, dalam situasi negara berhadapan pandemik COVID-19, acara sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini juga diadakan secara sederhana dan terpaksa dihadkan.  Katanya, pengalaman hidup semasa tempoh Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dahulu dan tempoh Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini telah banyak mengajar masyarakat erti kebebasan sebenar dan nilai sebuah kemerdekaan.  “Kita seumpamanya telah dijajah dan dikawal oleh satu kuasa lain yang mengawal pergerakan kita, mengawal kehidupan kita dan mengawal segala-galanya. Hingga kini kita tidak boleh bebas seperti biasa, akibat pandemik COVID-19.  “Oleh kerana itu, untuk kita merdeka daripada pandemik COVID-19 ini, ia sangat memerlukan kerjasama seluruh rakyat Malaysia untuk lebih berdisiplin, memiliki jati diri yang tinggi, semangat patriotisme yang kukuh mengikuti SOP yang ditetapkan oleh kerajaan,” ujarnya.
28 Jul 20
404
KPDNHEP Terengganu Rampas Jam Tangan Casio G-Shock Tiruan
KPDNHEP Terengganu Rampas Jam Tangan Casio G-Shock Tiruan
SETIU, 28 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Besut telah menahan seorang lelaki warga tempatan yang disyaki menjual jam tangan tiruan menerusi Ops Jeriji di sebuah premis perniagaan di sini semalam. Ketua Cawangannya, Azani Ismail berkata, dalam serbuan yang dijalankan kira-kira jam 12.00 tengah hari itu, sejumlah 125 unit jam tangan yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah jenama Casio G-Shock bernilai RM2,500 telah berjaya dirampas. "Operasi yang dijalankan adalah susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki jam tangan berkenaan adalah tiruan. Wakilnya turut menyertai serbuan yang dijalankan. "Mereka berjaya membongkar aktiviti peniaga yang tidak beretika semata-mata untuk mendapatkan keuntungan dengan cara yang mudah sehingga mengabaikan kepentingan pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun telah ditahan di tempat kejadian bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (ii) di bawah akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. Mengulas lanjut, kata Azani, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.  Sementara itu, pihak KPDNHEP Negeri Terengganu menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama dalam pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika yang cuba mengambil keuntungan dengan mudah. Pihak KPDNHEP Negeri Terengganu mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan maklumat melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
28 Jul 20
3171
15 Sangkar Penyembelihan Mudah Alih Digunakan Sempena Aidiladha
15 Sangkar Penyembelihan Mudah Alih Digunakan Sempena Aidiladha
Oleh : Fidee Aziz KUALA LUMPUR, 27 Julai – Sebanyak 15 sangkar penyembelihan mudah alih akan digunakan di Kuala Lumpur, Terengganu, Negeri Sembilan dan Johor dalam aktiviti korban sempena Hari Raya Aidiladha Jumaat nanti. Timbalan Menteri Sains,Teknologi & Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, penggunaan sangkar bernilai RM25,000 itu merupakan kesempatan yang baik untuk memperkenalkan inovasi baharu dalam aktiviti penyembelihan haiwan korban. Ahmad Amzad ketika ditemui media. "Malah inisiatif ini juga mampu mengurangkan tenaga orang ramai di dalam proses penyembelihan. "Dalam menghadapi COVID-19, antara faktor-faktor yang sangat penting kita mendidik masyarakat kita adalah aspek kebersihan. "Kaedah menggunakan sangkar ini kita dapat mempertingkatkan aspek kebersihan kerana sebaik sahaja lembu disembelih ia akan diletakkan di dalam troli dan akan dibawa ke tempat lain untuk diuruskan," katanya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan dan Latihan Pengendalian Sangkar Penyembelihan Mudah Alih di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini. Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata, sebagai sebuah kementerian yang menggalakkan inovasi, MOSTI akan sentiasa mencari jalan untuk menambah baik sistem sedia ada. "Inovasi ini akan mengundang keterujaaan pelbagai pihak apabila mula digunapakai pada ibadah korban tahun ini serta mendapat sambutan di seluruh negara," tambah beliau.
27 Jul 20
882
Tak Patuh SOP, 111 Premis Makanan Di Terengganu Diarah Tutup
Tak Patuh SOP, 111 Premis Makanan Di Terengganu Diarah Tutup
KUALA TERENGGANU, 27 Julai – Sebanyak 111 premis makanan di negeri ini diarah tutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan.  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan ia termasuk 14 premis yang dihentikan operasinya hari ini akibat kesalahan pelanggaran SOP. Katanya, kesemua kesalahan itu dikesan dalam Operasi Patuh Khas PKPP Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sejak 10 Jun lalu. “Daripada jumlah keseluruhan itu, Kemaman adalah paling tinggi apabila merekodkan 47 buah, diikuti Kuala Terengganu (32), Setiu (13), Besut (10), Dungun (8) dan Kuala Nerus (1), penutupan biasanya selama tiga hingga tujuh hari untuk premis terbabit mencukupkan syarat pematuhan SOP. “Antara kesalahan dilakukan ialah tidak merekodkan butiran pelanggan dan tiada penjarakkan dua meter antara meja pelanggan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika dihubungi hari ini. Dr Alias. Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, tempoh penutupan juga bergantung kepada tahap kebersihan premis. “Tindakan ini dilakukan di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” jelasnya. Tambah beliau, sehingga kini pihaknya telah memeriksa sebanyak 3,662 premis makanan serta mengesan sebanyak 115 kesalahan. “Angka itu mungkin bertambah memandangkan terdapat lagi beberapa daerah yang masih belum dijalankan. Penguatkuasaan akan dilakukan dari masa ke masa bagi memastikan masyarakat mematuhi SOP yang dikeluarkan sepanjang tempoh PKPP yang berakhir 31 Ogos nanti,” katanya. Tegasnya lagi, Ops pematuhan SOP bukan untuk mencari kesalahan masyarakat tetapi mahu memastikan tahap kepatuhan demi menjamin keselamatan orang ramai.
27 Jul 20
8887