lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Korban Perdana Serlahkan Semangat Veteran dan Belia
Korban Perdana Serlahkan Semangat Veteran dan Belia
  Oleh: Ahmad Mawardi HULU TERENGGANU, 2 Ogos -Majlis Korban Perdana peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir berjaya menyerlahkan semangat perpaduan antara golongan veteran dan belia dalam menjayakan di sini, semalam. ADUN Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, berharap budaya itu akan diteruskan pada masa akan datang dan semua peserta yang terlibat dapat menghayati ibadah korban sebaik-baiknya. “Penglibatan peserta dan petugas menunjukkan bahawa majlis ibadah korban adalah komitmen untuk semua dan ia bukan tugas orang vateran sahaja sebaliknya semua perlu terlibat. “Saya memuji semangat petugas kerana sejak awal pagi sudah mula hadir untuk menjayakan majlis ibadah korban ini. "Malah, saya juga ingin memastikan lebih ramai anak muda dapat belajar dan terlibat untuk ambil alih melakukan ibadah korban pada masa akan datang,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban Perdana 1441H di dataran belakang Kompleks Tarbiah Al-Kawthar Kubang Lembek Manir. Terdahulu, sebanyak 30 ekor lembu dikorbankan pada hari raya pertama dan kedua, manakala tiga ekor lembu sado mendapat perhatian dalam majlis tersebut. Menurut Hilmi, daging-daging korban tersebut diagihkan kepada asnaf terpilih di 22 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Manir masing-masing untuk dinikmati dan dirasa bersama.
02 Aug 20
371
Ibadah Korban Sucikan Jiwa, Erat Silaturahim
Ibadah Korban Sucikan Jiwa, Erat Silaturahim
HULU TERENGGANU, 1 Ogos- Kesediaan kerajaan memperhalusi pelaksanaan ibadah korban wajar dipuji walaupun dalam senario pandemik dan  wajib dipatuhi atas kriteria kepentingan umum yang dibenarkan syarak. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, walaupun dengan ‘kekangan’ prosedur operasi standard (SOP), namun ibadah korban dapat dilaksanakan dengan sempurna demi menghidupkan syiar Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S. "Jika kita benar-benar memahami sejarah berlakunya ibadah korban serta menghayati kisah Habil dan Qabil, maka ia akan mendidik jiwa sosial yang tinggi atau dalam erti kata lain, peka terhadap sosio-ekonomi dalam masyarakat. "Ini kerana ibadah korban memberi impak tinggi terhadap sosial masyarakat dengan mengeratkan hubungan silaturahim antara adik-beradik, jiran tetangga, sahabat handai dan ramai lagi. "Ibadah korban merupakan rahmat Allah SWT kepada manusia tanpa mengira pangkat, darjat, usia dan bangsa,"ujarnya. Menurut Maliaman, korban juga mendidik manusia memberi sesuatu yang terbaik dan bernilai kepada orang yang dikasihinya. "Ibadah korban juga dapat melatih dan mendidik individu Muslim itu untuk bersikap dermawan. "Perkara ini jelas menunjukkan bahawa Islam mengambil berat masalah yang dihadapi oleh golongan yang kurang bernasib baik,"tambah beliau.
01 Aug 20
501
Muafakat Semua Pihak, Jayakan Ibadah Korban
Muafakat Semua Pihak, Jayakan Ibadah Korban
Kebimbangan umat Islam khususnya di negara ini mengenai Aidiladha dan ibadah korban berakhir, sekali gus boleh menarik nafas lega apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaannya. Ini membuktikan mesej kerajaan hari ini yang amat mengambil berat hal ibadah umat Islam dan hak Muslim untuk melaksanakan korban yang menjadi simbolik kepada pengabdian hamba kepada Allah SWT. Pada masa sama, kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sangat tegas mengawal penularan wabak COVID-19 melalui arahan tetap serta garis panduan pelaksanaan ibadah lain dengan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Tanpa kerjasama dan muafakat semua kementerian, kerajaan sukar memperhalusi hal ehwal umat Islam di negara ini dalam situasi penularan wabak mengorbankan ratusan ribu nyawa. Ia bukan sekadar jawatan dan duduk di kerusi pejabat, sebaliknya memerlukan pengorbanan hampir semua agensi kerajaan sesuai dengan peranan masing-masing. Pengorbanan ini memerlukan kerahan fizikal, mental dan emosi tanpa pengecualian. Kesediaan kerajaan memperhalusi pelaksanaan ibadah korban wajar dipuji walaupun dalam senario pandemik. Ini bertepatan dengan Islam yang mendidik manusia agar menyediakan strategi dan tindakan kemudian barulah menyerahkan semua urusan kepada-Nya. Pengorbanan perlu menyeluruh dan konsisten. Ia bukan sekadar dibaca dan didengar, bahkan membabitkan pengorbanan dalam menyokong usaha kerajaan. Ibadah korban normal baharu ini wajib dipatuhi atas kriteria kepentingan umum yang dibenarkan syarak. Umat Islam ditegah memperlekeh dan tidak memperdulikannya. Contohnya, kepatuhan aktiviti berkaitan ibadah korban adalah mengelakkan menerima kehadiran tetamu dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) dan pesakit bawah pemantauan (PUS). Jamuan secara berhidang atau layanan pramusaji juga dibenarkan kecuali bufet layan diri. Selain itu, penganjur perlu melaporkan program korban yang akan dijalankan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Tepat pada masanya untuk umat Islam menekuni falsafah di sebalik pelaksanaan korban ini dengan berkorban mematuhi syarat baharu. Pada masa sama, pihak penganjur boleh memberi idea lebih baik untuk pelaksanaan sembelihan lebih efisien dan sistematik sesuai dengan pelaksanaan 3S, iaitu elakkan sesak, sempit dan sembang dalam jarak dekat. Kawalan terhadap pelaksanaan ibadah korban penganjur sama ada masjid, surau atau individu memperlihatkan normal baharu, sekali gus lambang ketinggian iman dan Islam. Dengan melihat kepatuhan terhadap pelaksanaan korban dalam era PKPP ini, kita juga mahu umat Islam meluaskan ciptaan kreatif dan inovatif khususnya di masjid dan surau agar seiring kemajuan teknologi memudahkan Muslim melaksanakan ibadah. Penggunaan alat pengimbas suhu auto, khutbah lebih padat dan bertenaga sehingga teknologi mesin penyembelihan akan menjadi norma baharu dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Dengan pengorbanan semua, segala pendekatan direncana kerajaan selepas ini akan membawa perubahan ketara dalam masyarakat dan umat Islam di negara ini khususnya. Kerajaan sudah melaksanakan tanggungjawab secara serius memastikan rakyat berada keadaan terkawal. Cuma, jika bukan kita menyokongnya, siapa lagi hendak dipersalahkan. Penulis adalah Pensyarah Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia.  
01 Aug 20
747
Korban Lembu ‘Sado’ Jadi Perhatian
Korban Lembu ‘Sado’ Jadi Perhatian
  Oleh : Azhar Yusof HULU TERENGGANU, 1 Ogos -  Seekor lembu baka Charolais seberat 970 kilogram (kg) menjadi perhatian penduduk sekitar  apabila dikorbankan di Ajil sempena sambutan Aidiladha tahun ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, ini kali pertama pihaknya membeli lembu baka ini untuk ibadah korban sejak program korban perdana diadakan kira kira empat tahun lalu. Katanya, lembu baka Charolais bernilai lebih RM15,000 ini dibeli bersama seekor lagi lembu baka Belgian Blue dan 15 ekor lembu baka tempatan dengan peruntukan dari kerajaan negeri untuk diagihkan kepada Unit Daerah  Mengundi (UDM) Ajil. "Proses penyembelihan lembu sado  ini memerlukan tenaga kerja hampir 10 orang dan mengambil masa lebih sejam. "Jumlah daging yang berjaya diperolehi daripada lembu baka ini sebanyak 420 kg berbanding lembu kampung hanya 80 kg hingga 120 kg seekor. “Kta lerakkan sebanyak 600 gram bagi setiap bungkusan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan dan penduduk sekitar,” katanya. Beliau berkata demikian pada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas berakhirnya ibadah menyembelih haiwan korban di perkarangan kediamannya hari ini. Sementara itu, tukang sembelih, Mohd Amirul Ibrahim, berkata, proses penyembelihan lembu ini tidaklah sesukar seperti melihat fizikalnya yang besar. "Cuma proses menumbangkannya memerlukan lebih fizikal manusia dan masa,"ujarnya.
01 Aug 20
4230
Pergolakan Politik Sabah Bukan Perkara Pelik – Abdul Hadi
Pergolakan Politik Sabah Bukan Perkara Pelik – Abdul Hadi
  MARANG, 31 Julai - PAS menyifatkan pergolakan politik di Sabah bukan perkara pelik kerana situasi pertukaran kerajaan yang silih berganti sememangnya cukup sinonim dengan negeri itu sejak dari dahulu.  Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, terpulang kepada rakyat Sabah dan pemimpinnya untuk mencari jalan terbaik dalam menyelesaikan kemelut perebutan kuasa itu. Bagaimanapun, beliau berharap pergolakan tersebut dapat dikendalikan mengikut peruntukan Perlembagaan dan pendekatan politik yang sihat. “Parti Warisan Sabah (Warisan) bukan parti majoriti semasa penubuhan kerajaan negeri (selepas pilihan raya umum), jadi kedudukannya tidak kukuh dan kalau (kerajaan negeri) jatuh, kita tidak pelik. “Terpulang kepada rakyat Sabah dan pemimpin politiknya jika mahu melakukan pilihan raya, mereka lebih tahu. Sabah sudah ada pengalaman buat Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di Kampung Rusila, di sini hari ini. Pergolakan politik Sabah kian memuncak apabila Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. Krisis di negeri itu mula tercetus apabila bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa mendapat sokongan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan berhak menerajui kerajaan baharu. Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, PAS akan terus mengukuhkan kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) di samping Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN). Ketika ditanya adakah PAS terkejut dengan pendirian UMNO untuk tidak menyertai PN sebagai komponen dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau berkata, terpulang kepada parti itu untuk membuat keputusan. “Terpulang kepada parti masing-masing, tentunya jawatankuasa pimpinan parti itu sudah buat perbincangan.  “Bagi PAS, kita dan UMNO sama-sama bersetuju untuk MN dan dalam masa sama kita akan teruskan dengan PN,” katanya Sumber : Utusan Malaysia
31 Jul 20
5413
Terengganu Benar Aktiviti Agama, Kemasyarakatan Di Masjid, Surau Bermula Esok
Terengganu Benar Aktiviti Agama, Kemasyarakatan Di Masjid, Surau Bermula Esok
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan dilakukan di masjid serta surau di negeri berkenaan bermula esok. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda walau bagaimanapun berkata, kebenaran perluasan aktiviti-aktiviti tersebut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa. "Kebenaran menyampaikan kuliah atau pengajaran agama kepada semua pemegang tauliah yang dilantik MAIDAM turut diberikan. "Jawatankuasa masjid dan surau dikehendaki membuat pemantauan supaya SOP dipatuhi oleh semua yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini. Menurut beliau, sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan tertakluk kepada arahan pihak berkuasa. "Sultan Mizan Zainal Abidin juga menyeru kepada rakyat jelata supaya tidak mengambil ringan akan arahan pihak berkuasa dalam mendepani wabak COVID-19," tambah Osman.  
31 Jul 20
3220
YADIM Santuni 100 Asnaf  Di DUN Manir
YADIM Santuni 100 Asnaf  Di DUN Manir
  Oleh: Ahmad Mawardi HULU TERENGGANU, 31 Julai - Seramai 100 orang asnaf yang terkesan dengan penularan Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, menerima sumbangan (food basket) mengandungi barangan keperluan harian daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu, semalam. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, program yang berlandaskan dakwah itu mengajak kepada kebaikan dan kebajikan serta perkongsian rezeki secara bersama-sama. "Ia suatu tugas yang harus dipikul dan bekerjasama dalam menjalankan gerakan dakwah dan membantu masyarakat. "Program bantuan ini adalah tanda sokongan usaha dan keprihatinan agensi-agensi kerajaan kepada golongan asnaf dari usaha tanggungjawab sosial,” katanya. Beliau yang juga ADUN Manir  berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Program Yadim Peduli : Cuci-Cuci dan Musa’adah Pasca Covid-19 Terengganu di Dewan Tuan Guru Harun Taib Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah, Kubang Lembik, Manir.  Majlis perasmian dan serta penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.   Turur hadir , Yang Dipertua YADIM,  Ustaz Nasruddin Hassan dan Ketua Pengawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh. Sementara itu, program ini dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan pembahagian peserta sebelum kerja mencuci dan sanitasi dimulakan, seterusnya diakhiri pembahagian bantuan PASCA Covid19 kepada asnaf.
31 Jul 20
248
Sultan Terengganu Solat Sunat Aidiladha Di Masjid Al-Muktafi Billah Shah
Sultan Terengganu Solat Sunat Aidiladha Di Masjid Al-Muktafi Billah Shah
  KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 300 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini, hari ini. Sultan Mizan tiba jam 8.00 pagi dengan berpakaian baju Melayu berwarna ungu muda turut ditemani Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua’az. Mengiringi baginda bertiga, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato' Osman Muda  Solat sunat Aidiladha hari ini diimamkan Mufti Terengganu, Dato' Dr Zulkifli Muda mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Selesai menunaikan solat sunat Aidiladha, baginda bersama kedua anakanda menziarahi makam diraja yang terletak di kawasan Masjid Al-Muktafi Billah Shah. Terdahulu semua jemaah yang hadir  dilihat mematuhi segala SOP dengan memakai pelitup separuh muka dan membawa sejadah sendiri. Pihak pengurusan masjid juga membuat pemeriksaan suhu badan terlebih dahulu bagi memastikan hanya jemaah yang sihat sahaja menunaikan solat.  
31 Jul 20
2438
Ahmad Samsuri Serah 33 Lembu Korban
Ahmad Samsuri Serah 33 Lembu Korban
  Oleh : Aslam Wira MARANG, 30 Julai – Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menyerahkan 33 ekor lembu kepada kawasan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) parlimen Marang untuk dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha esok. Pengagihan itu melibatkan DUN Rhu Rendang sebanyak 23 ekor, manakala DUN Alur Limbat, Pengkalan Berangan dan Bukit Payung masing-masing menerima sumbangan dua ekor. Ahmad Samsuri yang juga Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang tidak ketinggalan untuk menyerahkan empat ekor lembu korban kepada Maahad Darul Quran, Rusila. Beliau yang hadir ketika menyerahkan haiwan itu sangat menghargai usaha semua pihak yang bermurah hati memberi sumbangan bagi menjayakan sambutan ibadah korban. “Semoga amalan baik dan pemberian ini dikurniakan pahala sedekah daripada Allah SWT,” kata Menteri Besar Terengganu itu ketika menyerahkan lembu korban di Kampung Rhu Muda, Darat Pak Chan, Batangan, Gong Beris dan Kelulut di sini. Turut hadir, Pengarah Permint Granite HCM Sdn Bhd, Ahmad Farid Dato’ Isa @ Ghazali, Pengarah Majlis Tindakan DUN Rhu Rendang, Hassan Awang. Antara yang telibat dalam sumbangan lembu korban tersebut adalah Permint Granite HCM Sdn Bhd sebanyak, Terengganu Incoperated (Terengganu Inc.) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Al-Hikmah.
30 Jul 20
850
Perutusan Hari Raya Aidiladha 1441H 2020M Menteri Besar Terengganu Darul Iman
Perutusan Hari Raya Aidiladha 1441H 2020M Menteri Besar Terengganu Darul Iman
Erti Pengorbanan Di Saat Getir Bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah rahmat-Nya yang tidak terhitung, kita masih lagi diberi peluang meraikan Hari Raya Aidiladha pada tahun yang mencabar ini. Sambutan Aidiladha tahun ini amat signifikan kepada umat Islam di dunia termasuk di Malaysia apabila berhadapan serangan virus pandemik COVID-19 menuntut pengorbanan di saat yang getir.  Amat menyedihkan bagi umat Islam terpaksa berkorban apabila tidak dapat menunaikan ibadah haji yang menjadi rutin tahunan bagi yang berkemampuan.  Walaupun Malaysia kini di ambang pemulihan, ramai yang masih terkesan akibat kemerosotan sektor tertentu sekali gus menjejaskan sosio-ekonomi rakyat terutama golongan B40 dan sebahagian M40. Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional bersama Kerajaan Negeri sudah pasti ingin mencari solusi terbaik menyelesaikan isu-isu kelangsungan hidup rakyat sehingga pulih ke tahap yang normal.  Kami sedar, walaupun ada keputusan tidak popular dan tidak digemari, tapi itulah pengorbanan yang terpaksa dilalui demi kebaikan kita bersama.    Ia menuntut pengorbanan semua rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama dengan sifat kesabaran, semangat perpaduan dan kesatuan untuk mengembalikan kestabilan serta menjamin keselamatan negara.  Apatah lagi umat Islam yang menyambut Aidiladha setiap tahun sepatutnya lebih menghayati erti pengorbanan ini dan digalakkan untuk berkongsi serta membantu antara satu sama lain. Bermula tahun ini juga, Terengganu telah mengisytiharkan cuti Hari Arafah yang merupakan negeri pertama merintis inisiatif ini agar kita dapat pengajaran melalui sirah Nabi Muhammad SAW. Selamat pulang ke kampung halaman dan berhati-hati di jalan raya. Saya mewakili Kerajaan Negeri Terengganu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Terengganu.  Terima kasih sekali lagi kepada semua yang mencurah bakti, masa dan tenaga serta segala pengorbanan selama kita mengharungi saat getir sepanjang tahun ini. 
30 Jul 20
1008