lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Jawatan GLC : ‘Individu Dilantik Untuk Selesaikan Kepincangan’
Jawatan GLC : ‘Individu Dilantik Untuk Selesaikan Kepincangan’
  KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Pelantikan beberapa individu ke jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri adalah untuk menyelesaikan kepincangan, termasuk pengurusan dan tatacara kewangan syarikat selepas mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2018. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelantikan itu dibuat secara kontrak berdasarkan pengalaman dan kelayakan individu berkenaan. "Individu berkenaan dilantik secara kontrak antara dua dan tiga tahun untuk membantu kerajaan menyelesaikan pelbagai permasalahan dihadapi GLC. "Mereka mempunyai keluarga dan menetap di negeri ini dan pernah memegang jawatan beberapa GLC sebelum ini. "Individu berkenaan juga mampu menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi GLC dalam tempoh yang singkat," katanya ketika ditemui media selepas penangguhan Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di Wisma Darul Iman semalam. Mengulas lanjut dakwaan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said itu, beliau menegaskan selepas segala permasalahan itu yang dihadapi berjaya diselesaikan kerajaan negeri akan menyusun semula GLC dengan melibatkan anak tempatan. "Apabila syarikat milik kerajaan itu kembali pulih, kerajaan negeri akan memberi peluang kepada anak tempatan untuk menerajuinya," katanya. Untuk rekod, antara pelantikan jawatan GLC yang dipersoalkan Ahmad Said, TDM Berhad mengumumkan peningkatan pendapatan sebanyak tujuh peratus kepada RM425.1 juta bagi tahun 2019 berbanding RM397.9 pada tahun sebelumnya. Pengerusi TDM, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi tersebut meskipun 2019 adalah tahun yang penuh cabaran termasuk perang perdagangan, ketidaktentuan ekonomi global dan pemulihan harga minyak sawit mentah pada suku berakhir 2019. TDM juga memaklumkan akan memulakan penanaman pertama secara rasmi tahun ini di Ladang Pelung. “Selepas Ladang Pelung, program penanaman semula yang seterusnya adalah di Ladang Fikri, Jerangau, Pinang Emas, Pelantoh, Tebak dan Jernih dengan jumlah keluasan 1,440 hektar,” tambah Raja Dato’ Idris baru-baru ini.
12 Aug 20
4981
B40 Kini Layak Mohon Kad Sejahtera
B40 Kini Layak Mohon Kad Sejahtera
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Golongan B40 dengan pendapatan purata perkapita keluarga di bawah RM280 setiap bulan kini layak membuat permohonan untuk mendapatkan manfaat kesihatan melalui program Kad Sejahtera yang dilancarkan pada Julai tahun lepas. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata ketika ini proses permohonan sedang dilakukan untuk golongan B40 melalui pelbagai termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). "Sejak dilancarkan pada Julai 2019, penerima manfaat Kad Sejahtera ialah seramai 12,126 bagi tempoh  hingga Disember 2019. "Pembayaran yang telah dituntut atas penggunaan yang dibuat oleh pemilik kad sejahtera pula ialah sebanyak RM364,388 bagi tempoh September 2019 hingga 31 Disember 2019 pula," katanya menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wan Hapandi Wan Nik pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Menjawab soalan tambahan Wan Hapandi yang mahukan penjelasan mengapakah jumlah tuntutan sangat sedikit sehingga menggambarkan seolah-olah program itu tidak mendapat sambutan daripada rakyat Terengganu, Dr Alias berkata ia adalah program baharu dan terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi jumlah tuntutan yang sedikit itu. "Ini mungkin ada yang masih tidak tahu tentang program ini dan saya minta Yang Berhormat perlu berperanan untuk beri penerangan supaya rakyat dapat nikmati manfaat ini. "Selain itu, jumlah penyertaan klinik swasta juga masih kurang, mungkin sebab mentaliti yang menganggap bayaran kerajaan nanti lambat dan ambil masa tiga atau empat bulan, jadi tak banyak yang mahu jadi klinik panel program ini,"katanya lagi. Menurutnya lagi, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk program Kad Sejahtera itu dengan anggaran penerima seramai 20,000 orang setahun.     
12 Aug 20
4645
Dakwaan Pengusaha Nanas Dihalau Kerajaan Tidak Benar
Dakwaan Pengusaha Nanas Dihalau Kerajaan Tidak Benar
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kerajaan negeri menghalau pengusaha nanas MD2 di Bujal, Kijal sehingga menyebabkan kerugian RM350,000 adalah tidak benar. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemilik tanah termasuk pihaknya tidak pernah mengganggu atau menghalau Sofea Pineapple Farm yang sedang mengusahakan 15 ekar tanaman. "Sewa tanah pun pemilik tanah tak ambil daripada pengusaha. Malah pengusaha menambah lagi lima ekar keluasan kawasan bertanam menjadikan 20 ekar kesemuanya. "Kebun nanas tersebut masih ada sampai hari ini. Projek ini dalam kawasan Kijal. Saya pernah menjadi orang tengah bagi mencari titik persepakatan antara tuan tanah dan pengusaha," katanya ketika ucapan penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah DYMM Sultan pada Persidangan DUN Terengganu Penggal Ketiga Kali ke-14 hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi mengelakkan pengusaha mengalami kesukaran selepas tuntutan tanah oleh pemilik, Sofea Pineapple telah diberi lot tanah kerajaan secara Lesen Menduduki Sementara (LMS) di belakang SM Imtiaz Kijal. "Proses bagaimana tanah tersebut dikembalikan kepada tuan yang berhak telah melalui prosedur yang sepatutnya. Tanah tersebut milik Hamdan Ahmad, Geran Pajakan Negeri bernombor 1815 dengan tempoh pajakan selama 30 tahun, seluas 44.2 ha.  "Tempoh pajakan tamat pada 18 Februari 2009. Tahun 2008 lagi Hamdan sudah mengisi Jadual 1 dan angkat permohonan untuk sambung pajakan tetapi tak ada keputusan.  "Malah sebahagian tanah telah diberi milik kepada orang lain. Selepas pertukaran kerajaan Mei 2018, barulah permohonan diproses semula. Urusan permohonan tanah tersebut dua kali masuk Jawatankuasa Tanah Daerah (JKTD) Kemaman sebelum diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan dibuat keputusan," tambah beliau. Semalam, ketika sesi perbahasan usul perutusan titah Diraja, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato' Seri Dr Ahmad Said turut membangkitkan isu berkenaan dan memohon penjelasan kerajaan.
11 Aug 20
5203
JPKK Terengganu Bakal Dianggotai PAS, Umno Dan Bersatu
JPKK Terengganu Bakal Dianggotai PAS, Umno Dan Bersatu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Keanggotaan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Terengganu atau sekarang dikenali sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan dianggotai oleh PAS, Umno dan Bersatu mulai tahun depan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha itu adalah selaras dengan hasrat pihaknya untuk maju ke hadapan bersama rakan-rakan gabungan baharu. “Saya juga telah berbincang dan memaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim bahawa cadangan penambahan komposisi dalam JPKK adalah dengan bilangan yang sesuai, insya-Allah ia akan dimuktamadkan dan dilaksanakan bermula pada awal tahun 2021. “Dalam debaran ini, kita mengharapkan keharmonian baharu dapat diwujudkan dan ditambah baik dalam JPKK yang dijenamakan semula nanti.  "Sekiranya ini dapat dicapai, saya yakin kita mampu untuk membuka ruang di struktur pentadbiran masyarakat di segmen yang lain pula,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menjelaskan, pemerkasaan kerjasama itu juga akan berterusan ke peringkat tertinggi apabila wakil rakyat semua parti dilibatkan dalam jawatankuasa-jawatankuasa khas bagi membincangkan pemerkasaan ekonomi dan industri Terengganu. "Perubahan ini perlu dilakukan dengan cermat agar ia tidak menyebabkan sebarang kejutan di bawah sana. "Hal ini perlu dirundingi secara berlapang dada, kerana parti-parti yang ada dalam Dewan ini juga perlu berkira-kira dengan suasana rakan-rakan kita di negeri-negeri lain juga, seperti Johor, Melaka, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan," ujarnya. Tambah beliau, pihaknya akan terus memperkukuhkan saluran pertemuan, dan perbincangan sesama rakan gabungan, supaya setiap perbezaan dapat dirungkaikan.
11 Aug 20
6734
Dua Budak, Guru Taska Pulang Dari Kedah Jalani Kuarantin
Dua Budak, Guru Taska Pulang Dari Kedah Jalani Kuarantin
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Dua kanak-kanak dan seorang guru di Taska Permata yang diselia Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) masing-masing kini menjalani kuarantin secara sukarela di rumah selepas pulang berhari raya di Kubang Pasu, Kedah. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Hanafiah Mat berkata, mereka tiada kaitan dengan Kluster Sivagangga, cuma kuarantin itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga selain turut melakukan saringan kesihatan di klinik berdekatan. "Prosedur di Taska Permata turut memerlukan borang khas diisi oleh mereka yang merentas kawasan (luar Terengganu), dari situ kita dapat tahu ada yang pulang ke Kubang Pasu, Kedah. "Tiga individu yang dikuarantin ini ialah dua kanak-kanak dari Taska Permint Jaya dan Taska Wakaf Tembesu manakala seorang dewasa itu ialah guru yang bertugas di Taska Bukit Perah dekat Hulu Terengganu. "Guru itu yang berusia 33 tahun, cuma ada gejala batuk dan selesema jadi pihak Taska Permata dan YPKT menasihatkannya agar menjalani kuarantin di rumah," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini. Mereka dikuarantin sejak 3 Ogos lalu dan tempoh kuarantin bagi kanak-kanak ialah tujuh hari manakala individu dewasa selama 14 hari. - Bernama  
11 Aug 20
3578
Terima Kasih ‘Front Liners’ – MB Terengganu
Terima Kasih ‘Front Liners’ – MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Kerajaan Terengganu hari ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan yang membantu mengawal penularan wabak COVID-19. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengorbanan dan jasa bakti petugas ‘front liners’ sepanjang ‘tempoh sukar’ pandemik wajar diberi penghormatan. “Saya juga ingin mengambil kesempatan ini, untuk menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga atas pengorbanan dan jasa bakti petugas barisan hadapan iaitu Majlis Keselamatan Negara, para doktor dan seluruh petugas kesihatan. “Tidak dilupakan juga Anggota Keselamatan dan Beruniform  seperti Polis, Tentera, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Bomba dan Penyelamat, anggota RELA, MPKK, NGO-NGO dan orang perseorangan yang telah berkorban masa dan tenaga, merisikokan diri untuk memastikan kawalan terhadap Pandemik COVID19 dapat diurus dengan baik,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.
11 Aug 20
439
Kerajaan Negeri Komited Maksimakan Potensi Tanah Terbiar
Kerajaan Negeri Komited Maksimakan Potensi Tanah Terbiar
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Terengganu komited memaksima potensi tanah-tanah terbiar dan tanah kerajaan yang belum dieksploitasi sepenuhnya. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa (Task Force) Pemulihan Tanah Terbiar bagi mencari solusi untuk memajukan kira-kira 8,000 hektar tanah terbiar di seluruh negeri pada 6 Mei lalu.  Katanya, fungsi jawatankuasa berkenaaan antaranya bertujuan mengenal pasti tanah terbiar dan pemilikan di setiap daerah yang melebihi 0.4 hektar dalam satu kawasan. "Selain mengenalpasti punca dan faktor yang menyumbang kepada tanah-tanah tersebut terbiar tidak diusahakan, jawatankuasa ini juga bertanggungjawab menyediakan pengkalan data dan pelan tindakan tanah terbiar. “Termasuk mengemukakan cadangan ‘business model’ yang bersesuaian bagi pemulihan tanah terbiar termasuk aspek pemasaran, penyertaan petani tempatan dan pelabur luar,” ujarnya. Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut Dr Azman berkata, setakat ini ia sudah berada di peringkat akhir penyedian pengkalan data. Sementara itu katanya, Pelan Strategik Pertanian Negeri 2019-2023 sedang diterjemahkan di tapak tanah pertanian, laut, kolam, tasik, ladang, kandang dan kilang.  “Kerja keras di peringkat pentadbiran disokong arahan atasan yang jelas akan membawa sektor pertanian negeri melangkah ke hadapan dengan lebih kemas,” ujarnya.
11 Aug 20
537
Terengganu Lucut Hak Tanah Tidak Diusahakan Pemaju
Terengganu Lucut Hak Tanah Tidak Diusahakan Pemaju
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Kerajaan negeri melaungkan ketegasan untuk bertindak melucutkan hak dan merampas tanah-tanah kawasan industri yang tidak diusahakan pemaju di seluruh negeri. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar memaklumkan,Terengganu ketika ini secara keseluruhannya memiliki sebanyak 29 kawasan industri berkeluasan 10,621 hektar. "Mengikut Jawatankuasa Perancangan Negeri Terengganu pada tahun 2018, kita dapati hampir 45 peratus kawasan industri yang diberi milik tidak diusahakan di seluruh negeri. "Peratusan ini melibatkan 776 daripada 1,705 lot tanah dan jika mereka masih tidak mengusahakannya dalam masa terdekat, kita akan ambil semula dan menawarkannya kepada mereka yang berminat untuk mengusahakannya," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, kerajaan negeri juga tidak dijelaskan akan masalah yang menyebabkan tanah-tanah terbabit terbiar. Oleh demikian, kerajaan negeri juga bersetuju untuk melaksanakan sistem 'Smart Map' yang akan mengemukakan status dan kedudukan tanah secara lebih terperinci sebagai penambahbaikan berhubung isu tanah.  
11 Aug 20
4719
Terengganu Tubuh Pasukan Khas Pantau Projek ECRL
Terengganu Tubuh Pasukan Khas Pantau Projek ECRL
  KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Kerajaan negeri menubuhkan pasukan pemantau di peringkat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memastikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu mendapat manfaat secara menyeluruh. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr  Mamad Puteh berkata, beliau akan memastikan rakyat di negeri ini akan mendapat peluang pekerjaan daripada serendah-rendah jawatan iaitu sebagai buruh sehingga ke peringkat profesional. “Pada masa yang sama mampu membuka peluang perniagaan baharu dan pertumbuhan bandar-bandar kecil di kawasan sekitar,” katanya. Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Katanya, kerajaan memandang serius perkara itu dengan turut mengadakan beberapa langkah lain “Kita sudah mengadakan perbincangan dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bagi memastikan pelbagai peluang yang bakal perolehi. “Perbincangan turut dibuat antara tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan untuk menjadikan kita ini pasukan yang kuat bagi tujuan yang sama,” katanya. Dr Mamad turut memberitahu, disebabkan peruntukan untuk membina jajaran projek ECRL itu dikecilkan daripada RM66 bilion kepada RM44 bilion, Stesen Bukit Besar berkemungkinan  dibatalkan dan dicadangkan dipindah ke Durian Guling. "Oleh kerana stesen Pengkalan Berangan dekat dengan Durian Guling maka Stesen Pengkalan Berangan dipindahkan ke Bandar Permaisuri. “Perbincangan dengan MRL sudah dibuat supaya ada kemudahan sistem pengangkutan canggih antara Bukit Besar dan Durian Guling,”katanya menjawab soalan tambahan ADUN Seberang Takir, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.  
11 Aug 20
1705
Tiga Strategi Terengganu 'Lupus'kan Kemiskinan Nelayan
Tiga Strategi Terengganu 'Lupus'kan Kemiskinan Nelayan
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Terengganu menggariskan tiga tumpuan utama bagi menangani isu kemiskinan di kalangan nelayan negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim menyatakan, kerajaan negeri menilai isu kemiskinan membelenggu sebahagian daripada 8,985 nelayan negeri itu iaitu nelayan pantai akibat kekurangan hasil tangkapan. "Oleh itu, daripada tahun 2018 hingga tahun ini kita telah melabuhkan 51 tukun konkrit di seluruh perairan negeri melibatkan nilai RM1 juta untuk meningkatkan sumber perikanan. "Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM190,000 untuk melabuhkan 245 unjam dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia di seluruh daerah," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, langkah itu berhasil meningkatkan sumber perikanan serta menyumbang kepada pertumbuhan dalam sektor pertanian sebanyak enam peratus. "Isu kemiskinan juga berkaitan dengan kediaman dan tempat tinggal yang mewujudkan kedaifan hidup. "Tahun ini, 150 buah rumah bakal dibangunkan kerajaan negeri bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)  sebagai penempatan semula para nelayan Terengganu dengan kerjasama modal berjumlah RM34 juta iaitu sebanyak RM13 juta daripada kerajaan pusat dan bakinya RM21 juta dari negeri," katanya. Tambah ADUN Jabi itu, seramai 800 nelayan tempatan juga berdepan isu pemilikan lesen nelayan sampan. "Ketiadaan lesen menyebabkan mereka tidak layak mendapatkan bantuan perikanan, elaun sara hidup, subsidi minyak dan pelbagai kemudahan lain. "Jadi, kerajaan negeri telah menubuhkan  jawatankuasa khas dan pemutihan dibuat untuk memastikan mereka berdaftar. Kita dipuji Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dengan menjadi negeri tunggal menyelesaikan hal ini melalui jawatankuasa khas," katanya. Menurutnya, hasil inisiatif itu pihak kementerian juga bertindak mengumumkan pembukaan kembali lesen nelayan sampan. Terdahulu, kerajaan negeri juga menyediakan pinjaman mudah melalui Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) untuk pembelian sampan dan enjin yang kini telah berhasil membantu lebih 30 nelayan pantai.
11 Aug 20
1264