lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

PNK Besut Terima Bot Bubu, Sasar Pendaratan Lebih Banyak
PNK Besut Terima Bot Bubu, Sasar Pendaratan Lebih Banyak
BESUT, 15 Ogos - Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut menyasarkan lebih banyak pendaratan ikan dengan menggunakan bot bubu baru yang diterima persatuan itu melalui Skim Pinjaman Pembangunan Institusi Nelayan (SPIN) di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), hari ini. Pengerusinya, Tengku Harun Tengku Ismail berkata, bot Kelas C itu ibarat satu bonus kepada nelayan-nelayan di PNK Besut berikutan ia berkemampuan digunakan pada musim tengkujuh nanti. Tengku Harun. "Terima kasih kepada LKIM kerana mengeluarkan pinjaman ini. Kami telah buat perancangan jadi kami yakin bahawa dari segi sektor perikanan bot bubu ini kami boleh mencapai penghasilan lebih banyak dan boleh menjana penghasilan kepada persatuan. "Sebelum ini, kami sudah ada sebiji bot yang menjadi 'batu loncatan' untuk memperolehi bot kedua ini. PNK Besut menyasarkan untuk mendapatkan tiga bot bubu keseluruhannya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Bot Bubu PNK Besut di Komplek LKIM daerah itu, hari ini. Penyerahan tersebut disampaikan oleh Pengerusi LKIM, Dato' Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Faisal yang hadir bersama Ketua Pengarah LKIM, Othman Abdul Latif dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman. Syed Abu Hafiz (berbaju biru) melekatkan no pendaftaran bot diperhatikan Tengku Zaihan (kanan) dan Othman (dua dari kiri). Dalam pada itu, Syed Abu Hussin memaklumkan bahawa pihak LKIM menyediakan dana untuk mereka yang berusaha menambah bot baru ke dalam industri. "Tahun lepas, kita memperuntukkan sebanyak RM7 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di mana kita mendapat dana keseluruhan berjumlah RM34 juta. "Pada tahun ini, kita ada RM6 juta dan kita sudah keluarkan sebanyak RM2.2 juta untuk pembinaan empat buah bot bagi nelayan di Terengganu dan Kedah," jelasnya. Menurutnya lagi, bot yang diserahkan kepada PNK Besut merupakan bot kedua mereka di bawah skim berkenaan melalui pinjaman sebanyak RM550,000 dengan kadar faedah terendah iaitu dua peratus daripada LKIM dengan pembayaran selama enam tahun. Slipway di LKIM Besut. "Faedah yang rendah ini sebagai galakan kepada industri perikanan.Dana SPIN merupakan sokongan kepada persatuan nelayan. "Tahun ini sahaja kita telah menerima lebih 20 permohonan bantuan pinjaman bot, namun kita baru luluskan empat. Kebanyakannya untuk pembaikan dan menaik taraf bot-bot," katanya. Tambahnya, LKIM memerlukan lebih banyak lagi pendaratan untuk menjamin keperluan protein rakyat Malaysia. "Kalau untuk kegunaan rakyat, kita memerlukan setahun 1.4 juta tan dan sekarang kita mencapai angka tersebut. Cuma kita mahu kawal supaya tidak berkurang," katanya.         
15 Aug 20
2207
Hayati Sejarah Dan Semangat Pejuang Kemerdekaan
Hayati Sejarah Dan Semangat Pejuang Kemerdekaan
HULU TERENGGANU, 16 Ogos - Keberanian dan kecekalan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan wajar dihayati dan dihargai kerana sifat kepahlawanan mereka telah membawa kebebasan hari ini untuk mencorakkan masa depan negara tercinta.  Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, semangat yang ditiupkan ulama dahulu begitu padu hinggakan ramai sanggup mengetepikan kepentingan peribadi demi kelangsungan dan maruah agama, negara dan bangsa. "Mereka menyuntik rasa kesedaran kepada masyarakat agar bersama-sama menggalas tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan negara. “Telah tiba masanya untuk kita pula menyambung perjuangan mereka dalam mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara. Kita juga perlu mempertahankan kedaulatan tanah air kita ini dengan sebaik mungkin agar anak-anak dan generasi seterusnya akan turut dapat mengecapi kebebasan seperti mana yang kita miliki sekarang," ujarnya ketika merasmikan Program Merdeka @ komuniti info on wheels Dun Ajil di Dataran Kampung Tok Dor Pagi ini anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu semalam. Justeru itu katanya, mereka yang berjiwa merdeka dan patriotisme akan menghargai sejarah, pahit getir dan kegigihan perjuangan generasi terdahulu memerdekakan negara. "Malangnya, ada sesetengah pihak yang cuba mengubah fakta sejarah untuk mengelirukan generasi muda dengan maklumat dan informasi songsang yang menimbulkan kesangsian kepada fakta sebenar dan sejarah.  "Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. "Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang," jelas Maliaman. Tambah beliau lagi, semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patriotik yang tinggi.   
15 Aug 20
2735
Ayahanda Saudara Sultan Terengganu Selamat Dimakamkan
Ayahanda Saudara Sultan Terengganu Selamat Dimakamkan
    KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Jenazah Yang Amat Mulia Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 80, selamat dimakamkan di Makam Diraja Masjid Abidin , kira-kira jam 9.30 malam tadi. Allahyarham Tengku Sulaiman adalah ayahanda saudara kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Jenazah Allahyarham Tengku Sulaiman dibawa dengan usungan Seraja Diraja kira-kira dua kilometer pada jam 8.00 malam oleh anggota keselamatan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  dari Istana Maziah dan tiba di Makam Diraja Masjid Abidin  kira-kira 8.15 malam. Perarakan turut diiringi dua anakanda Sultan Mizan, Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az dengan berjalan kaki sehingga ke Makam Diraja. Sultan Mizan berkenan mencemar duli menziarahi pemakaman. Bacaan talkin diimamkan Mufti Terengganu, Dato' Dr. Zulkifli Muda. Turut hadir sama, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar dan kerabat-kerabat Diraja.   Jenazah sebelum itu tiba di di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dari Kuala Lumpur dengan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia pada jam 5.02 petang dan kemudiannya dibawa ke Balai Islam untuk penghormatan terakhir. Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman mangkat pukul 10.15 pagi tadi di Gleaneagles Hospital, Kuala Lumpur. kerana jangkitan pada paru-paru dan buah pinggang.
14 Aug 20
8360
Jenazah Ayahanda Saudara Sultan Mizan Tiba Di Terengganu Untuk Dimakam
Jenazah Ayahanda Saudara Sultan Mizan Tiba Di Terengganu Untuk Dimakam
    KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Jenazah Yang Amat Mulia Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk dimakamkan di Makam Diraja Masjid Abidin, di sini, malam ini. Jenazah Allahyarham tiba dari Kuala Lumpur pada kira-kira 5.02 petang dengan menaiki pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia. Ketibaan jenazah disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar dan kerabat-kerabat Diraja. Jenazah kemudian diiringi ke Istana Syarqiyah bagi disemayamkan dan untuk penghormatan terakhir sebelum ke Istana Maziah dan akan dibawa ke makam Diraja dengan usungan Seraja Diraja. Sultan Mizan diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke Balai Islam bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Tengku Sri Laksamana Raja. Turut  hadir memberi penghormatan terakhir, anakanda Sultan Mizan, Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’. Allahyarham Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman, 80, mangkat pukul 10.15 pagi tadi di Gleaneagles Hospital, Kuala Lumpur kerana jangkitan paru-paru dan buah pinggang.      
14 Aug 20
8245
COVID-19 : Kluster Piktawa Terengganu Berakhir
COVID-19 : Kluster Piktawa Terengganu Berakhir
  PUTRAJAYA, 13 Ogos - Satu kluster COVID-19 yang menular di kalangan rakyat Terengganu diisytiharkan tamat hari ini. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kluster Piktawa merupakan antara tiga kluster tersebut. Untuk rekod, kluster PUI Pitakwa, kes indeks kluster itu adalah seorang warga negara Malaysia (iaitu kes ke-8,737) yang pulang ke Malaysia dari Nigeria pada 11 Julai 2020. Saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati negatif namun tiga hari selepas ketibaan di Malaysia beliau perlu menjalani ujian ulangan bagi COVID-19 kerana mula mengalami gejala yang lebih teruk yang mana beliau dikesan positif serta dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu. Susulan itu, 44 kontak rapat dikenal pasti dan disaring terutama dalam kalangan ahli keluarga, penumpang dan krew kapal terbang, pemandu teksi serta rakan sekerja. Jumlah kes positif melibatkan kluster berkenaan adalah tiga yang kesemuanya membabitkan rakyat Terengganu
13 Aug 20
1589
Eksport Pasir : Asal Jasa Dilantik Kerana Miliki AP
Eksport Pasir : Asal Jasa Dilantik Kerana Miliki AP
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Pemilihan Asal Jasa Sdn Bhd sebagai pengambil dan pengeksport pasir di muara sungai Merang, Terengganu dilakukan secara professional di samping hanya syarikat tersebut yang mempunyai lesen eksport (AP). Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, tambahan pula semua pemilik konsesi pasir di muara sungai di negeri ini termasuk syarikat Terengganu Dredging (T-Dreg) tidak memiliki AP. “Dalam isu pasir ini ia melibatkan dua bahagian iaitu pemilik konsesi dan pemilik AP. Jadi T-Dreg selaku pemilik konsesi untuk eksport pasir telah melantik Asal Jasa untuk melaksanakan projek itu, ia menjadi hak pemilik konsesi untuk melantik syarikat mana yang memilki AP sebagai plaksana projek itu. “Sebelum kelulusan diberi kepada Asal Jasa, sebanyak lima syarikat telah dipanggil dan dianalisa kemampuan-kemampuan mereka, namun lima syarikat itu tiada AP. Kita juga tidak ada ‘favour’ untuk melantik mereka hanya kerana mereka dari Kelantan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 di Wisma Darul Iman kelmarin. Menjawab kekeliruan yang ditimbulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Kijal), Dato’ Seri Dr Ahmad Said itu, Nurkhuzaini turut menjelaskan, cita-cita besar T-Dreg sememangnya untuk menjadi payung kepada projek-projek berkenaan. “Namun, T-Dreg masih di peringkat awal penubuhan, jadi cita-cita besar itu akan berlaku melalui proses-proses secara berperingkat,” tambah beliau.  
13 Aug 20
2539
Warisan Pahlawan Resort  Terjemahkan Seribu Keindahan Seni
Warisan Pahlawan Resort  Terjemahkan Seribu Keindahan Seni
  HULU TERENGGANU, 13 Ogos - Seperti  berada di sebuah desa zaman silam apabila menjejak kaki di Warisan Pahlawan dan itulah keistimewaan penginapan yang mengekalkan binaan rumah tradisi berusia lebih 150 tahun sebagai antara pilihan penginapan pengunjung di sana di Kampung Pauh, kira-kira lima kilometer dari Bandar Kuala Berang. Resort yang berinspirasikan istana Terengganu pada era Sultan Mansor Shah ke-2 ini dilihat sebagai satu mahakarya cukup menarik terutama kepada peminat seni lama termasuk pelancongan di negeri ini. Rumah kayu yang lazimnya dikaitkan sebagai simbol kemiskinan dan ketinggalan zaman, kini dijelmakan sebagai satu simbol kemewahan dan kemegahan yang dari sisi lainnya, suatu yang mungkin berakhir sebagai bahan terbuang dan boleh lenyap begitu sahaja. Menurut pemiliknya, Tuan Mohd Anuar Tuan Ahmad, 34, rumah-rumah ini diberi nama sempena nama pahlawan dan ulamak Melayu iaitu Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Pauh,Tok Kenali dan beberapa orang lagi telah mula beroperasi pada bulan Julai 2008.  “Antara yang paling istimewa, terdapat sebuah  rumah berusia lebih dari 150 tahun yang merupakan salah sebuah rumah persinggahan Pahlawan Mat Kilau di Kampung Pasir Nering di zaman kepahlawanan Melayu. Sebahagian kecil komponen rumah yang hilang atau rosak telah diganti mengikut bentuk asal. “Di sini terdapat 11 buah rumah persis istana lama yang sarat dengan pelbagai motif ukiran melayu lama dan ada di antara bilik termasuk rumah yang disediakan tidak dilengkapi dengan penghawa dingin kerana mementingkan keaslian binaan rumah tradisi berkenaan. “Jika rumah lama ini, binaan asalnya tiada siling jadi saya hanya letakkan kipas tanpa penghawa dingin, jika memasang siling untuk diletak penghawa dingin, ia sudah tidak asli kerana suasana dan udara di dalam rumah pada waktu siang sangat selesa,” katanya yang turut dibantu isteri tercinta Nurullizah Mohd Noor, 33. Menurutnya, kadar sewaan di Warisan Pahlawan Resort bermula daripada serendah RM60 hingga RM250 semalam untuk sebuah bilik manakala bagi kadar sewaan rumah pula adalah dari RM250 hingga RM800 semalam bagi sebuah rumah yang mempunyai antara empat hingga enam bilik. Dia yang mewarisi legasi ayahnya,Tun Ahmad Tun Abdullah, 61, berkata hampir semua bilik-bilik di resort dilengkapi dengan katil kayu dan tilam kekabu termasuk seni hiasan lama menggunakan kayu dan  idea untuk membina resort unik ini merupakan ilham ayahnya yang sebelum ini mengusahakan kedai makan sebelum bersara. ‘”Minatnya yang mendalam  tentang seni bina melayu dan sanggup menjelajah ke serata tempat untuk membeli rumah-rumah lama yang ada dengan kos RM5,000 hingga RM10,000 berdasarkan keadaan rumah. “Ayah menghabiskan sebanyak RM3.5 juta untuk merealisasikan Warisan Pahlawan Resort sebagai pusat pelancongan yang mengekalkan konsep melayu lama dan kini mewariskan resort kepada anak-anaknya untuk dikembangkan lagi mengikut perkembangan semasa,”ujarnya lagi. Tambahnya, kos harga yang di tawarkan adalah berpatutan dengan  harga bilik dari RM40 sehingga RM100 dan harga satu rumah hanya dari RM250 hingga RM800 semalam yang mempunyai antara empat hingga enam bilik.Ini termasuk pakej seminar serta perkahwinan  dengan harga yang berpatutan dan terbaharu resort mereka menyediakan kemudahan kolam renang yang turut dibuka kepada orang ramai setiap hari. Kini dua beranak yang mempunyai minat yang sama ini  telah mengorak selangkah ke hadapan  dengan membina dan mengambil tempahan untuk membina rumah dan krafkayu yang berkonsepkan ukiran melayu tradisional. “Kos pasang siap bagi sebuah rumah antara RM150 ribu hingga RM300 ribu manakala krafkayu seperti gazebo  bermula dari harga RM10,000 ribu sehingga RM50,000 yang dibantu 10 pengukir tempatan termasuk dari Indonesia dan Thailand,” katanya.
13 Aug 20
8751
Terengganu Lulus Belia 18 Tahun Jadi Calon Pilihan Raya
Terengganu Lulus Belia 18 Tahun Jadi Calon Pilihan Raya
  KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Terengganu menjadi negeri terbaharu yang menurunkan had usia calon pilihan raya daripada 21 kepada 18 tahun apabila Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu meluluskan pindaan Enakmen Undang-Undang bagi diri Kerajaan Negeri Terengganu (Bab Yang Pertama) (Pindaan) 2020 hari ini. Usul yang dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat itu diterima sebulat suara 32 ADUN. Satiful berkata, pindaan itu selaras dengan perkembangan di peringkat Parlimen yang memberikan kelulusan kepada individu yang berusia 18 tahun menjadi calon Parlimen. "Jadi kita menuruti langkah itu dengan meluluskan pindaan ini sekali gus memberi kelayakan kepada mereka yang berusia 18 tahun menjadi calon ADUN mana-mana parti "Kita bersedia untuk melaksanakan ini walaupun ada negeri-negeri yang tidak bersedia dan menolak untuk melaksanakannya," katanya ketika ditemui media selepas penangguhan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Menurut beliau, pindaan itu boleh digunapakai sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang turut melibatkan DUN. "Ini pengiktirafan kepada orang muda dengan menjadi calon dan boleh mengundi pada usia 18 tahun," ujarnya.
12 Aug 20
3034
Parkir MBKT : Jana Untung Baharu, Hapus Kerugian
Parkir MBKT : Jana Untung Baharu, Hapus Kerugian
  KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Keputusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menswastakan kira-kira 6,000 tempat letak kereta bahu jalan adalah untuk menjana keuntungan baharu di samping menghapuskan kerugian yang dialami pihak berkuasa tempatan itu sejak empat tahun terdahulu.  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, MBKT kerugian lebih RM2.4 juta ekoran peningkatan kos perbelanjaan operasi termasuk membaiki kerosakan. Katanya, dengan penswastaan tersebut pihak berkuasa tempatan itu tidak lagi perlu menanggung kerugian sebaliknya akan menerima bayaran sekitar RM1.3 juta setahun manakala segala kerosakan pula akan ditanggung oleh syarikat terbabit. "Sejak tahun 2016, MBKT mengalami kerugian bersih melibatkan parkir sahaja berjumlah RM170 ribu, RM484 ribu bagi tahun 2017, RM850 ribu (2018) dan sebanyak RM918 ribu pada 2019. "Memang betul, sebelum ini MBKT memperoleh hasil sekitar tiga ke empat juta setahun berbanding RM1.3 juta yang diterima dari pihak pengurusan swasta, tetapi, kos operasi (OPEX) yang tinggi menyebabkan defisit, tidak betul kalau kita hanya kira pendapatan tanpa mengira OPEX," katanya. Beliau berkata demikian semasa membuat penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman semalam. Dr Alias turut memaklumkan, pihaknya telah melakukan beberapa inovasi dalam sistem tersebut namun MBKT tetap mengalami kerugian. "Jadi atas sebab itu kita memikirkan kaedah lain iaitu penswastaan, ditambah pula kita tidak dibebankan dengan servis dan kerosakan,” katanya sebagai menjawab kekeliruan yang ditimbulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Seri Dr Ahmad Said. Tambahnya lagi, daripada 70 orang kakitangan asal pengurusan parkir MBKT, 34 kakitangan dikekalkan dan 36 yang lain diserapkan ke jabatan lain serta pihak pengurusan swasta berkenaan namun, masih kekal berstatus kakitangan kerajaan yang tetap dan berpencen.
12 Aug 20
3249
Fitnah Rasuah : ADUN Kemasik Buat Laporan Polis
Fitnah Rasuah : ADUN Kemasik Buat Laporan Polis
  KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu berhubung fitnah yang tular di media sosial terhadap dirinya.  Ir Saiful menegaskan bahawa dirinya tidak pernah terlibat dengan permintaan sejumlah RM500, 000 dari seorang kontraktor. "Saya tidak pernah secara peribadi atau melalui mana-mana wakil saya, meminta sebarang imbuhan sepertimana didakwa. "Saya dengan ini memohon pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan ke atas fitnah ini dan seterusnya mengambil apa-apa tindakan yang perlu mengikut semua peruntukan undang-undang yang ada," ujarnya selepas membuat laporan tersebut.   Tegasnya, beliau langsung tidak mempunyai sebarang pengetahuan dan menafikan terlibat dengan dakwaan tersebut. "Setakat ini ia sangat memberi kesan kepada saya termasuk keluarga dan juga masyarakat yang berkaitan rapat dengan saya terutama sekali ia adalah satu fitnah," katanya.
12 Aug 20
2352