Artikel "Utama" Terkini
Kayuhan Merdeka Terokai Marang Semarakkan Semangat Patriotisme
MARANG, 22 Ogos - Program Kayuhan Merdeka Terokai Marang menjadi medan terbaik untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata, aktiviti yang menjadi kesinambungan daripada program sebelum ini itu juga turut bertujuan untuk memperkenalkan keunikan produk dan lokasi menarik di daerah tersebut.
"Ini inisiatif terbaik bagi menyemarakkan lagi suasana bulan kemerdekaan di daerah Marang dengan mengibarkan Jalur Gemilang di sepanjang kayuhan yang bermula dari Dataran Marang sehingga ke Dataran Batu Putih dan berakhir di Kampung Jenang," katanya ketika merasmikan program itu hari ini.
Turut hadir sama dalam program itu, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fathil Abd Ghani.
Menurutnya, ia adalah kesempatan terbaik apabila imej atau budaya tersebut dapat ditonjolkan ketika Terengganu dikunjungi ramai tetamu.
"Mengambil kira limpahan pelancong domestik di musim PKPP ini, Program Jejak Budaya Marang 2020 telah tercetus bagi menggantikan Pekan Budaya yang menjadi program tahunan di seluruh Terengganu.
"Memandangkan situasi PKPP yang masih berkuatkuasa, orang ramai tertumpu kepada pelancongan domestik seperti di Pulau Kapas yang menerima kunjungan hampir 5,000 pelancong setiap minggu," katanya lagi.
Untuk rekod ujarnya, program itu diadakan selama sebulan bagi menarik pelancong ke daerah Marang khususnya yang bercuti di Pulau Kapas dan pengunjung luar untuk mengisi cuti mereka dengan pelbagai program menarik yang disediakan sepanjang berada di Terengganu.
"Sebanyak 13 program dan aktiviti menarik telah dijadualkan bagi program ini antaranya aktiviti kesenian, kebudayaan dan keunikan pelancongan di Marang seperti Night Fishing di Merchang dan Jenang, Sehari di Dataran Batu Putih, persembhan Dikir Barat, Rodat dan Busking, Demonstrasi Krafttangan, Sukan Rakyat serta banyak lagi program menarik", katanya.
22 Aug 20
422
Khairuddin Mohon Maaf, Pulang Semula Gaji Empat Bulan
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali membuat permohonan maaf terbuka selepas gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib.
Sebagai menebus kekhilafan itu juga, beliau berkata, semua gaji sebagai Menteri bagi bulan Mei hingga Ogos 2020 akan didermakan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Gaji Mac dan April 2020 juga telah disumbangkan sebelum ini ke Tabung tersebut sebagaimana keputusan Kabinet.
"Saya juga akan terus bekerja keras dan melipat-gandakan lagi segala usaha dan tenaga saya untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai Menteri bagi memastikan semua rakyat yang terlibat di bidang perladangan dan komoditi, khususnya lebih sejuta pekebun kecil B40 sentiasa mendapat manfaat dan terbela kebajikan mereka," ujarnya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Terdahulu, KKM telah mengenakan kompaun RM1,000 kepada Ahli Parlimen Kuala Nerus itu atas kesalahan terbabit.
Mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), semua individu yang baru tiba dari luar negara sama ada warga negara atau warga asing perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan virus COVID-19.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataannya, berkata Mohd Khairuddin melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342].
"Ekoran kegagalannya mematuhi peraturan mengikut akta berkenaan, Pegawai Diberi Kuasa (PDK) sudah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada beliau pada 7 Ogos lalu dan beliau sudah membayarnya," ujar KKM dalam kenyataan rasmi.
Menurut KKM, Mohd Khairuddin pulang ke negara ini dari Turki pada 7 Julai lalu sebelum menjalani ujian pengambilan sampel 'nasopharyngeal swab' kali pertama pada hari yang sama yang didapati negatif.
"Ujian kedua dan ketiga juga didapati negatif," jelas kenyataan itu lagi.
22 Aug 20
1577
Lebih 10,000 Pengunjung Dijangka Meriahkan Festival Kebudayaan Terengganu
KUALA NERUS, 22 Ogos- Lebih 10,000 pengunjung tempatan dijangka hadir memeriahkan Festival Kebudayaan Terengganu 2020 yang akan diadakan di enam lokasi terpilih sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus bermula 27 Ogos sehingga 6 September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, penganjuran festival tersebut merupakan cetusan baharu untuk mengumpul dan menghimpunkan kesemua seni budaya warisan negeri.
"Terengganu lazimnya dikenali kerana pulau dan pantainya yang cantik, tetapi sebenarnya negeri ini memiliki khazanah seni warisan budaya yang amat tinggi nilainya.
"Dalam usaha mempromosi produk seni budaya warisan Terengganu, festival ini diharap dapat membawa kembali kegemilangan, kebudayaan dan warisan seperti senibina, masakan tradisional, tarian tradisional, dan sebagainya.
"Ciri-ciri ini telah lama hilang ditelan zaman sehingga kian dilupakan masyarakat setempat apatah lagi pelancong asing," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kursus Kampung Budaya di Quinara Al Safir Resort, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rasid Jusoh dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharum Tun Abdul Razak.
Katanya, Festival Kebudayaan Terengganu juga dapat dijadikan platform dalam mengetengahkan dan memperkenalkan kebudayaan, kesenian dan warisan yang ada di Terengganu kepada dunia.
"Selain memartabatkan seni warisan budaya, kita juga mahu generasi sekarang dan akan datang supaya kenal, dan tahu erti menilai khazanah kesenian dan kebudayaan yang kita ada ini agar ianya tidak ditelan zaman," ujarnya.
Ariffin berkata, kebanyakan program atau aktiviti sempena festival berkenaan adakan di beberapa lokasi di Kuala Terengganu.
"Kita ingin menjadikan Bandaraya Kuala Terengganu ini sebagai hub pelancongan kepada pelancong, baik dari dalam negeri, luar negeri ataupun dari luar negara.
"Di samping mereka berkunjung ke Terengganu, mereka berkesempatan untuk singgah dan turut serta dalam festival yang julung kali diadakan dalam skala yang besar ini dan jarak untuk satu lokasi ke lokasi yang lain tidak jauh," katanya.
Katanya, enam lokasi terbabit akan menonjolkan seni budaya warisan negeri dengan tema yang berlainan.
"Sebagai contoh, Primula Beach Hotel berkonsepkan Perkampungan Nelayan, justeru pengunjung akan disajikan dengan pameran nelayan berkolek, pertunjukkan kebudayaan, bicara kebudayaan, dan juga seni kraf Terengganu.
"Permai Hotel (wau sobek), Warisan Sari (alunan gamelan sari), Paya Bunga Square & Hotel (flying gasing), Terradala (caritera langkasuka) dan di Duyong Marina & Resort (cerita duyong)," ujarnya.
22 Aug 20
7858
100 'Penebuk Buah' Ditembak Mati
SETIU, 21 Ogos – 100 ekor tupai ditembak mati dalam program Mengurangkan Musuh Tanaman Tupai di sekitar kebun durian Kampung Kuala Kubang, Jabi hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, aktiviti itu merupakan program komuniti untuk mengurangkan makhluk perosak yang memusnahkan kualiti durian dan buah-buahan lain.
"Di sini adalah antara kawasan kebun durian tersohor di Jabi. Durian Kuala Kubang ada jenama dan kualiti tersendiri. Sayangnya banyak yang ditebuk tupai.
"Saya sedar pencinta haiwan tidak akan bersetuju dengan langkah ini. Peminat lagu 'Anak Tupai' Halim Yazid pun akan marah. Tapi operasi ini dah jadi satu keperluan disebabkan banyaknya buah yang rosak angkara tupai.
"Apabila berlaku konflik, akan ada pihak yang terpaksa menjadi mangsa. Kita memahami sesama makhluk Allah, tetapi manusia menjadi keutamaan kita," katanya selepas program terbabit.
Katanya lagi, program seumpama itu akan dibuat secara berterusan kerana ia merupakan isu utama yang dibangkitkan oleh orang kampung.
Sementara itu jelasnya, Jabatan Pertanian juga akan menekankan sistem pengairan serta pembajaan yang teratur di kebun-kebun durian bagi menghasilkan buah yang berkualiti.
"Persetujuan telah dibuat bersama Perhilitan. Insya-Allah, program selepas ini mensasarkan khinzir dan kera.
"Mudah-mudahan langkah yang diambil di samping banyak lagi program di bawah Jabatan Pertanian, kita boleh tingkatkan lagi hasil untuk orang kampung kita khususnya dalam musim buah," tambah beliau.
21 Aug 20
10204
Tiga Penyelesaian Tadbir Urus Kerajaan Terengganu
Oleh : Suhaimi Taib
MASAI, 21 Ogos - Terengganu melaksanakan tiga gerak kerja pemerintahan termasuk membaiki kelemahan pentadbiran kerajaan, memastikan kestabilan pentadbiran dan melaksanakan manifesto pilihan raya ke 14 (PRU14) yang lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri itu bergerak berdasarkan tiga perkara termasuk memperbaiki kelemahan kerajaan yang berlaku sebelum tahun 2018.
“Tetapi dalam usaha islah (memperbaiki) ini ada jalan mudah dan ada jalan susah, ada jalan singkat dan ada jalan yang perlu mengambil masa agak lama.
“Contohnya Taman Ilmu Tembila Besut, satu projek yang besar yang diketahui umum dan ia terbengkalai, ada masalah, sehingga hari ini kita (kerajaan) bawa penyelesaiannya di mahkamah.
“Begitu juga dengan projek Pelancongan Pulau Bayas Tasik Kenyir Hulu Terengganu diselesaikan mengikut keperluan dan manfaat untuk rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Anak-anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) Johor di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Kamaruzaman Abdullah, Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (Duat), Ustaz Ramlan Mahmood, Presiden Perantau Prof Dr Kamaruzaman Yussof, Ketua PERANTAU Johor, Zulkifli Ibrahim.
Mohd Nor seterusnya berkata, perkara kedua ialah kerajaan perlu menjaga kestabilan pemerintahan dan pentadbiran dengan tidak melakukan kezaliman dan balas dendam supaya kesejahteraan itu dirasai semua pihak.
“Budaya politik matang kita laksanakan dengan ambil masa yang tertentu bagi merealisasikan hasrat murni ini,” jelas beliau.
Tambahnya, gerak kerja ketiga ialah melaksanakan program untuk rakyat sebagaimana terkandung dalam manifesto pilihan raya tersebut.
“Alhamdulillah, saya melihat seluruh manifesto yang kita rangka ada yang sudah bermula pergerakannya dan dilaksanakan, ada yang sedang dalam perancangan dan akan dilaksanakan.
“Sementara itu ada yang agak lambat sedikit untuk dilaksanakan kerana memerlukan masa yang panjang. Sebagai contoh Bandar Baharu Lestari,” jelasnya lagi.
Katanya, dalam manifesto itu kerajaan berhasrat untuk melaksanakan banyak lagi bandar-bandar baharu lestari agar pembangunan tidak berpusat hanya di Kuala Terengganu dan di Sura Dungun dan beberapa bandar lain lagi.
“Macam mana kita mahu memperluaskan bandar-bandar ini ke kawasan lain, ini mengambil masa yang agak lama dengan menyusun dan merancang dengan teliti, peringkat demi peringkat,” ujarnya.
21 Aug 20
971
Hanafiah Terima Anugerah Pangkat Kolonel Kehormat APM
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dianugerahkan pangkat Kolonel Kehormat (PA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kelmarin.
Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata, beliau berbesar hati atas penganugerahan itu dan menyifatkannya sebagai pembakar semangat untuknya terus membantu masyarakat.
"Terima kasih Yang Berhormat Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan APM yang telah mengiktiraf diri saya untuk menerima anugerah ini.
"Lebih 30 tahun saya berkecimpung dengan rakyat atau masyarakat di negeri ini. Susah senang bersama mereka samada ketika banjir, tanah runtuh, ribut dan seumpamanya," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Tetap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu juga pernah melakukan misi bantuan sehingga ke luar negara seperti Sudan dan Kemboja.
"Semoga kita semua akan terus sama-sama berganding bahu bagi melindungi masyarakat awam daripada kesusahan dan sebarang bencana samada bencana alam atau bencana buatan manusia," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika selesai Majlis perjumpaan Yang Berhormat Menteri Tugas-Tugas Khas bersama YAS Datuk Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Warga APM Terengganu di Camelia Grand Ball Room, Tingkat 7, Hotel Paya Bunga, di sini, kelmarin.
Dalam majlis berkenaan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendahului penerimaan pangkat Pesuruhjaya Kehormat (PA).
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, dan Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.
21 Aug 20
5688
TDM Jelajah 12 Lokasi Bersejarah
HULU TERENGGANU, 21 Ogos - Bersempena Bulan Kemerdekaan 2020,TDM Berhad (“TDM” atau “Kumpulan”) julung kali menganjurkan Program Gateh Jejak Sejarah dengan menjelajah tempat-tempat bersejarah di Kuala Berang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Zainal Abidin Shariff, berkata cetusan idea bagi meningkatkan budaya intelektual dan kesedaran sejarah sebelum kemerdekaan di kalangan kakitangan Kumpulan TDM disamping dapat meningkatkan jati diri dengan memahami sejarah dan warisan.
"Saya difahamkan bahawa Kuala Berang ni adalah satu tempat yang banyak unsur-unsur bersejarah seperti Batu bersurat telah ditemukan di sini dan juga kalau kita lihat daripada asal sejarah kerajaan Kesultanan Terengganu ni pun berpusat di Kuala Berang.
"Di samping itu kerajaan Kesultanan dan sebagainya termasuk ulama-ulama yang merupakan waris-waris daripada Nabi dan sebagainya yang diceritakan bertapak di sini.
"Ia satu perkara yang wajar kepada generasi muda untuk lihat semula bagaimana kita pada satu waktu dulu adalah satu bangsa yang gagah berpandukan agama Islam dan ulama,"ujarnya.
Zainal berkata demikian kepada pemberita di pelepasan Program Gateh Jejak Sejarah sempena bulan Kemerdekaan di Dataran Kuala Berang, semalam.
Antara tempat-tempat bersejarah yang dilawati sempena program Gateh Jejak Sejarah Siri 1 ini ialah Tapak Surau Tok Abdul Rashid, Kampung Buluh , Telaga Tok Abdul Rashid, Kubur Tok Abdul Rashid, Tanah Batu (tempat Asal Batu Bersurat) dan Memorial Batu Bersurat.
Tanah Batu
Pada masa yang sama, turut menziarahi Makam Tuk Raja Ri, Kubur Tuk Gajah (Imam Perang Rasu bin Shahrum), Makam Syeikh Abdul Qahar, Masjid Kampung Dusun, Makam Shariff Muhamad Al Baghdadi, Makam Tok Kawah dan Makam Syeikh Abdullah (Tuk Pauh).
Geduk di Masjid Kampung Dusun
Tambah beliau, program jelajah siri seterusnya masih dalam perancangan dan akan dikembangkan ke setiap daerah dengan penyertaan yang lebih meluas.
"Saya dapat maklumat sebenarnya permintaan lebih daripada apa yang kami mampu sediakan pada hari ini jadi atas dasar itu saya berhasrat untuk mengadakan ulangan dan buka kepada rakan-rakan seterusnya kepada umum jika terus mendapat sambutan," katanya.
21 Aug 20
2812
Pulau Redang Terengganu Simpan Seribu Khazanah Alam
Foto : Cg Jefri Asmadi
SETIU, 22 Ogos - Perairan Pulau Redang merupakan kepulauan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis flora dan fauna dari Laut China Selatan di mana ianya menjadi idaman bagi setiap penyelam dari dalam mahupun luar negara.
Seorang pengunjung, Razali Awang, 50, yang ditemui di Pantai Teluk Dalam di pulau itu baru-baru ini berkata, dia amat teruja dan merasa berbaloi dengan pakej percutian mereka kali ini.
Razali Awang
"Saya amat teruja dengan kehidupan laut yang ada di sekitar pulau ini seperti terumbu karang dan ikan yang bermacam warna dan bentuk terutama sekali batu karangnya yang pelbagai.
"Ini kali pertama saya menjejakkan kaki di pantai yang pasirnya begitu halus dan putih dan amat berlainan sekali dengan pantai kami di Kemaman," ujarnya lagi.
Razali yang juga pengerusi di sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Kemaman menjadikan Pulau Redang sebagai destinasi program rehlah bersama guru-guru dan kakitangannya.
Aktivi snorkeling
Dia menyarankan agar kemudahan asas seperti jalan ke Pantai Teluk Dalam dinaiktaraf oleh pihak berkenaan bagi keselesaan pengunjung memandangkan pulau tersebut mempunyai produk pelancongan yang bertaraf dunia terutama sekali batu karangnya.
Salah satu batu karang yang terkenal di pulau tersebut adalah Batu Karang Hijau ataupun lebih dikenali sebagai 'The Green Coral'.
20 Aug 20
677
Tokoh Maal Hijrah, Tidak Jemu Lakukan Kerja Amal
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Berpangalaman luas menganjurkan pelbagai program peringkat antarabangsa, tidak jemu menyertai kegiatan sosial dan kemanusiaan antara faktor, Hussain Ismail dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Terengganu.
Anugerah itu disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pagi ini.
Hussain yang kini menjawat jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Kemaman Supply Base S/B, GLC Terengganu membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta pakej ummrah.
Penerima lain, Ab Rahman Ishak, dianugerahkan Tokoh Bilal Cemerlang dan Mohamad Ghani (Tokoh Imam Cemerlang) masing-masing layak membawa pulang wang tunai RM5,000.
Hussain yang pernah menjawat jawaran sebagai guru berkata, anugerah itu sebenarnya bukan untuknya seorang malah buat rakan seperjuangan yang tidak pernah jemu melakukan kerja-kerja amal.
“Apa yang diterima itu juga sebenarnya anugerah dari Allah S.W.T supaya mendorong diri untuk terus berbakti kepada masyarakat islam di negera ini mahupun di negara luar,” katanya.
Anak jati Kampung Tebakang, Bukit Payong itu memiliki 9 orang anak hasil perkongsian hidup dengan Rosemunainah Noor Assmuni. Semua anak-anak berjaya menamatkan pengajian universiti luar negara dan dalam dalam negara.
Lebih menarik, hasil didikan pasangan itu juga, semua anak-anak Hafiz dan Hafizah.
20 Aug 20
1520
Masyarakat Perlu Berubah - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Masyarakat islam di negeri ini sewajarnya berazam untuk sentiasa melakukan perubahan yang terbaik dan bukannya bersikap selesa dengan pencapaian yang ada.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada masa yang sama setiap insan perlu sentiasa bersikap positif dengan apa jua keadaan, selain perlu kreatif, inovatif dan optimis untuk mecorak kehidupan masing-masing.
Katanya, sikap seumpama itu sewajarnya perlu ada ada diri, selain perlu mencontohi sikap Rasulullah SAW.
“Rasulullah SAW dan para sahabat berjaya membebaskan diri dan pegangan mereka daripada penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh Musyrikin Quraisy.
“Konsep ini lebih dekat dengan hati kita rakyat Malaysia, apakala kita menyambut kedatangan tahun baharu hijrah, pada saat yang sama kita sedang menyambut bulan kemerdekaan negara, simbolik kepada pembebasan daripada cengkaman penjajah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuaka Terengganu, pagi ini.
Ahmad Samsuri, berkata kemerdekaan cukup mahal, tidak ternilai harganya, tidak boleh ditukar beli dengan harta dunia. dan dengan kemerdekaan dan kebebasan inilah, peradaban Islam dapat mentadbir dunia.
“Oleh kerana itu, pertahankan kemerdekaan ini, seperti bidalan orang tua-tua, adat bernegeri memagar negeri, adat berkampung memagar kampung (erti : tidak mementingkan diri sendiri dan dan buat sesuatu untuk kebaikan bersama).
“Nilai kedua adalah Pembebasan atau Kemerdekaan. Hijrah menunjukkan Penyatuan.
“Ketiga, Hijrah menonjolkan nilai penyatuan yang kukuh, yang telah diasaskan tapaknya oleh Rasulullah SAW untuk generasi terkemudian mengikut lakaran jejak langkah baginda,” katanya.
20 Aug 20
485