Artikel "Utama" Terkini
Cadang Bina Hospital APM- Mohd Redzuan
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Pembinaan hospital khusus bagi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan dicadangkan kepada pihak kerajaan sebagaimana hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ( Tugas-Tugas Khas), Dato' Seri Mohd Redzuan Yusof berkata ia sebagai penghargaan kepada lebih 2.2 juta sukarelawan APM yang berdaftar bagi mengenang jasa yang telah dicurahkan kepada masyarakat dan negara.
"Kita akan bawa kertas cadangan ini ke kabinet untuk dibentangkan, lagi cepat diangkat, lagi cepat dapat diulas.
"Tetapi ini cuma cadangan kalau Kabinet bersetuju Alhamdulillah, kerana ini menunjukkan kepekaan kerajaan terhadap kebaikan dan manfaat yang patut diberikan kepada pasukan APM yang dilantik sebagai sukarelawan,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media di Majlis perjumpaan Yang Berhormat Menteri Tugas-Tugas Khas bersama YAS Datuk Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Warga APM Terengganu di Camellia Grand Ball Room, Tingkat 7, Hotel Paya Bunga, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak dan Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.
Terdahulu, upacara pemakaian pangkat dan penyampaian watikah Pegawai Kehormat, Pegawai Bersekutu dan Pegawai Pasukan Pertahanan Awam melibatkan seramai 34 orang terdiri daripada kalangan kumpulan akademik dan professional.
Dalam majlis berkenaan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi , Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendahului penerimaan pangkat Pesuruhjaya Kehormat (PA) dan diikuti Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat yang menerima pangkat Kolonel Kehormat (PA).
Dalam pada itu, sebanyak RM4.1 juta telah diperuntukan bagi membeli 30 unit kenderaan pacuan empat roda bagi diagihkan ke negeri-negeri terjejas bencana banjir seperti Terengganu, Kelantan, Sabah dan Kedah.
Katanya, ia untuk pastikan tahap kesiapsiagaan APM lebih baik terutama menghadapi ancaman banjir yang akan datang.
“Tambahan aset ini merupakan proses yang berterusan bagi memastikan APM sentiasa berada dalam kesiapsiagaan sebaik mungkin.
“Banyak juga kenderaan lain yang perlu kita perbaharui termasuk ambulans misalnya bagi membolehkan kerja-kerja menguruskan bencana banjir di samping kecemasan lebih efektif dan efisien,” katanya.
20 Aug 20
3074
Penutupan Sebuah Masjid Di Kuala Nerus Bukan Sebab Saya - Khairuddin
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos -
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi , Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menafikan penutupan sebuah masjid di Kuala Nerus berkuatkuasa semalam berpunca daripadanya.
Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus didakwa melanggar SOP Covid-19 apabila tidak melakukan kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara awal bulan ini.
Beliau yang terpalit dakwaan tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat kenyataan lanjut berhubung perkara tersebut.
"Penutupan Masjid Seberang Bukit Tumbuh tiada kaitan dengan saya.
"Tunggu kenyataan daripada Kementerian Kesihatan, kita tidak mahu menimbulkan panik kepada rakyat dan InsyaAllah pihak kementerian akan buat yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media di Majlis perjumpaan Yang Berhormat Menteri Tugas-Tugas Khas bersama YAS Datuk Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Warga APM Terengganu di Camellia Grand Ball Room, Tingkat 7, Hotel Paya Bunga, di sini, semalam.
Dalam majlis yang sama, Khairuddin turut menerima watikah pelantikan sebagai Pesuruhjaya Kehormat (PA) daripada Mohd. Redzuan.
Ketika diminta mengulas tentang isu ingkar kuarantin yang semakin panas, beliau menyerahkan kepada KKM untuk membuat kenyataan terperinci.
“Pertama, sebagai menteri saya perlu akur kepada peraturan dan menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk membuat kenyataan,” katanya.
Sumber terdekat pemimpin PAS itu seperti dilapor media berkata Khairuddin menjalani pemeriksaan dan ujian khas Covid-19 sebaik tiba di tanah air dari luar negara pada 7 Julai lalu dan disahkan negatif wabak itu.
Untuk rekod, Masjid Seberang Bukit Tumbuh ditutup selama empat hari bermula petang semalam bagi aktiviti pembersihan dan nyahkuman.
20 Aug 20
2937
Disyaki COVID-19 : Beberapa Masjid, Surau Terengganu Dinyahkuman
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan menjalankan proses disinfeksi ke atas beberapa surau dan masjid yang dikunjungi oleh individu disyaki positif COVID-19.
Pengarah JKNT, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya telah menerima makluman awal mengenai kes tersebut pada 18 Ogos 2020.
Tegasnya, langkah proaktif telah diambil walaupun kes itu masih dalam proses ujian pengesahan di makmal.
‘’Individu tersebut tidak bergejala dan mempunyai sejarah pulang bercuti ke Terengganu pada 30 Julai sehingga 15 Ogos 2020. Sepanjang berada di Terengganu, beliau telah menziarahi sanak saudara dan kenalan di beberapa lokasi.
‘’Sebagai langkah proaktif untuk mencegah dan mengawal penularan, JKNT telah membuat pengesanan, pengasingan dan ujian saringan ke atas kontak-kontak rapat meskipun pengesahan kes beliau masih berjalan,’’ katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Mengulas lanjut, pihaknya mengesyorkan masjid dan surau yang terlibat ditutup kepada umum sehingga keputusan ujian pengesahan dan ujian makmal ke atas semua kontak diperolehi.
Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan situasi berkenaan kerana langkah awal sudah diambil.
‘’Masyarakat diminta untuk kekal tenang di samping sentiasa mematuhi ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) di setiap masa serta tempat bagi mencegah penularan wabak di Negeri Terengganu khasnya dan di Malaysia amnya.
‘’Ingatlah bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berkuatkuasa sehingga 31 Ogos 2020. Marilah kita sama-sama membudayakan amalan 3S/3C dan 3W sebagaimana saranan kementerian kesihatan Malaysia," tambah beliau.
19 Aug 20
10178
Mayat Lelaki Tanpa Identiti Ditemui Terapung
DUNGUN, 19 Ogos- Mayat seorang lelaki ditemui terapung di kawasan menyedut pasir di sungai Kampung Padang Pulut, Dungun, kira-kira pukul 1 petang tadi.
Mayat mangsa yang belum dikenali identitinya ditemui tidak berpakaian oleh pekerja di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat dianggarkan berumur 40-an dan sudah meninggal dunia kira-kira empat hari lalu,
"Berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak kita percaya lelaki itu sudah meninggal dunia kira-kira empat hari lalu.
" Namun pemeriksaan yang dijalankan pasukan forensik tidak menemukan sebarang unsur jenayah pada mayat mangsa," katanya di sini.
Menurut Baharudin, sehingga hari ini, pihak polis tidak menerima sebarang laporan mengenai orang hilang sepanjang minggu ini dan akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan waris mangsa.
"Sehubungan itu, mereka yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil membuat laporan polis," katanya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
19 Aug 20
1533
Hasrat Tunai Solat Subuh Berjemaah Tidak Kesampaian
SETIU, 19 Ogos – Hasrat seorang warga emas untuk menunaikan solat subuh berjemaah di surau tidak kesampaian selepas maut dirempuh sebuah van ketika menyeberang jalan di Kampung Renek.
Dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, mangsa, Mahyiddin Othman, seorang peniaga nasi ayam kampung berusia 73 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa pemandu van jenis Nissan Vanette yang juga merupakan peniaga dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Jerteh.
“Apabila sampai di Jalan Kampung Jabi, tiba-tiba mangsa yang berjalan kaki melintas dari kanan ke kiri jalan.
“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu itu melanggar mangsa walaupun telah cuba mengelak,” katanya kepada media.
Abdul Rozak berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut in Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menzahirkan rasa simpati kepada seluruh ahli keluarga arwah atas kejadian yang berlaku.
‘’Semoga Allah merahmati dan mengampuni Allahyarham yang meninggal dunia dalam perjalanan untuk ke rumah Allah. Takziah kepada seluruh keluarga dengan simpati yang mendalam dari kami,’’ ujarnya
19 Aug 20
975
Peruntukan RM41,250 Untuk Ringankan Beban Ulama Terkesan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM41,250 bagi membantu 165 para asatizah dan daie (ulama) di negeri ini yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan secara ‘one- off’ RM250 setiap seorang itu sebagai perghargaan kepada mereka yang sebelum ini mengorbankan masa dan tenaga menyampaikan ilmu kepada rakyat Terengganu.
“Bantuan ini mungkin tidak setimpal dengan jasa dan bakti ulama, namun diharapkan sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung para azatizah akibat pandemik COVID-19.
“Semoga anda terus istiqamah menunaikan amanah ilmu yang diberikan oleh Allah, dan doakan saya bersama barisan kepimpinan negeri dapat melunaskan amanah kepimpinan ini berpandukan syariatNya,” ujar beliau ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan One-Off kepada Dai’e Terkesan Akibat Penularan COVID-19 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Katanya, diharapkan para asatizah juga dapat meneruskan pembudayaan ilmu dan menggerakkan agenda penyatuan serta perpaduan ummah di negeri ini dalam berhadapan dengan cabaran semasa yang sangat mencabar.
“Kerjasama antara pihak kerajaan (umara) dan para asatizah dan daie adalah amat penting bagi mencapai matlamat negeri yang dirahmati Allah,” katanya.
19 Aug 20
265
Terengganu Nafi Gugur Syarat SPM Dalam Pelantikan Ahli Majlis PBT
Oleh : Suriati Ali
KEMAMAN, 18 Ogos - Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan ada menggugurkan syarat memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuatkuasa 1 Jun lalu sebagaimana yang tular di media sosial.
Katanya, pengecualian itu hanya diberikan kepada individu tertentu berdasarkan kes-kes yang dipertimbangkan dengan mengambil kira aspek kepemimpinan dalam komuniti.
"Semakan mendapati kurang daripada empat individu yang diberikan kelonggaran kelayakan SPM dalam pelantikan sebagai ahli majlis PBT.
“Berita itu kurang tepat, bukan kita menggugurkan syarat sebaliknya pengecualian diberikan kepada individu tertentu sekiranya ada.
“Sebolehnya kita mahu syarat itu dipenuhi tetapi kadang kala dalam komuniti ada individu tertentu yang mempunyai daya kepemimpinan tetapi tiada kelayakan SPM atas faktor demografi yang berbeza-beza dan mungkin ada segelintirnya tidak sempat mengambil peperiksaan itu suatu masa dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pecah tanah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Gong Chengal 2 di pekarangan Masjid Kampung Bukit Kukuran, Kemasik di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, pengecualian kelayakan SPM itu bukan bersifat kekal dan selepas selesai tempoh pelantikan bagi sesi 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2022, kerajaan negeri akan memperketatkan aspek berkenaan agar selari dengan ketetapan pihak kementerian.
Baru-baru ini, tular surat bertarikh 9 Ogos 2020 mengenai pengecualian syarat kelulusan SPM atau kelayakan diiktiraf seperti yang ditetapkan dalam tatacara dan kriteria bagi pelantikan dan penamatan ahli majlis PBT di negeri ini.
19 Aug 20
1866
DOSM Sasar 30 Peratus Rakyat Terengganu Respon Secara E-Census
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Terengganu menyasarkan lebih 30 peratus penduduk Terengganu mengisi borang soal selidik Banci Penduduk dan Perumahan (Banci 2020) secara dalam talian e-Census 2020.
Pengarahnya Mohd Sofi Ali berkata, bagi tujuan itu pihaknya dimaklumkan, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu sudah menghantar surat kepada semua jabatan supaya penjawat awam perlu menggunapakai perkhidmatan itu.
Katanya, pada masa sama, pelbagai saluran termasuk media elektronik, media cetak, pengiklanan papan tanda dan media sosial telah digunakan bagi mempromosi kaedah e-Census 2020.
“Sekiranya mendapat kerjasama penduduk, terutama penjawat awam, pihaknya yakin apa yang disasarkan itu mampu dicapai sehingga 30 peratus pada akhir September ini.
“Orang awam boleh mengisi soal selidik melalui portal banci (e-Census) https://ecensus.mycensus.gov.my/,” katanya ketika dihubungi UPDI.
Oleh itu beliau berkata, kaedah e-Census 2020 diperkenalkan mulai 7 Julai sehingga 30 September ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga dalam penularan wabak COVID-19.
"Inisiatif ini adalah sesuai dengan normal baharu sekarang, saya memilih dan selesa untuk mengisi data tersebut secara dalam talian. Saya berpendapat platform ini melicinkan urusan semua pihak serta mengurangkan risiko jangkitan COVID-19," jelasnya.
Tambahnya, untuk lebih terperinci, DOSM masih mengekalkan bancian secara bersemuka seperti yang diamalkan sebelum ini melibatkan tarikh yang ditetapkan adalah pada 7 hingga 24 Oktober depan.
“Bancian secara bersemuka ini akan menemui penduduk yang gagal respon secara dalam talian e-Census 2020.
“Dianggarkan seramai 3,260 pembanci dan 472 penyelia bertauliah akan dilantik oleh Pejabat Daerah kawasan masing-masing,” kata beliau.
Menurutnya, data banci yang terkini dan komprehensif akan menjadi sumber utama dan penting dalam penyediaan rancangan pembangunan Terengganu dan negara.
“Berdasarkan unjuran, dianggarkan bilangan penduduk Terengganu sehingga tahun ini, adalah sebanyak 1.3 juta membabitkan 290,000 tempat kediaman,” katanya.
19 Aug 20
428
Lebih 100 Anak Penyu Dilepaskan Di Pulau Tenggol
DUNGUN,19 Ogos – Lebih 100anak penyu dilepaskan di Pulau Tenggol baru-baru ini sebagai usaha untuk memastikan penyu dikekalkan sebagai khazanah laut negara berikutan ancaman kepupusan haiwan itu yang semakin membimbangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, pelepasan anak-anak penyu tersebut juga merupakan salah satu strategi pelancongan negeri Terengganu untuk mempelbagaikan produk tarikan pelancong.
“Produk yang sedia ada di Terengganu ini termasuklah pulau, pantai, Taman Tamadun Islam dan sebagainya.
“Kita menjangkakan jumlah pendaratan penyu di kawasan rizab Pulau Tenggol akan bertambah menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan rasmi ke Pulau Tenggol, baru-baru ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan ADUN Rantau Abang, Alias Harun.
Ariffin berkata, aktiviti pelepasan anak-anak penyu yang diadakan setiap tahun di Pulau Tenggol itu diharap dapat menambahkan jumlah kedatangan pelancong.
Sementara itu katanya, program pelepasan penyu dari sudut eko-pelancongan pula adalah memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penyu terhadap alam sekitar.
19 Aug 20
187
Sabasun Lambang Kejayaan Anak Melayu Tempatan
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos- Siapa yang tak kenal sabasun yang merupakan salah satu pasaraya hyperuncit terbesar milik anak melayu di Terengganu.Namun setiap kejayaan pasti ada pengorbanan serta cabaran tersendiri dan bagi setiap yang di atas, pasti bermula dari bawah.
Begitu juga Sabasun, bermodalkan lebih RM100 ribu hasil simpanan keluarga, dengan ruang jualan berkeluasan 3,000 kaki persegi dan dua unit kaunter pembayaran KONSEP HALALAN TAYYIBA pasaraya anak tempatan ini mampu mengembangkan perniagaan sehingga memiliki lima cawangan di seluruh negeri.
Pemilik rangkaian Pasaraya Sabasun Hyperruncit Sdn Bhd, Che Salmi Ibrahim, 52, berkata segala kejayaan ini bermula dari bawah dengan hasil usahasama dan kesepakatan keluarga yang telah melakukan pengorbanan wang ringgit dan juga masa.
“Pasaraya ini mula beroperasi pada 2 April 1995, dimana usia Sabasun sekarang menjangkau lebih dari 25 tahun dan pada waktu itu, kami bermula dgn tiga orang pekerja dengan dibantu oleh ahli keluarga yang lain dan perkataan Sabasun Hyperuncit bermakna sabasun tu akronim daripada dua perkataan iaitu sabar dan bersungguh-sungguh, manakala hyperruncit pula merupakan satu konsep yang berpaksikan pada glocal iaitu ‘’global technology local application’.
“Secara amnya, Sabasun masih lagi mengekalkan 100 peratus tenaga kerja yang terdiri dari anak tempatan, menjadikannya satu-satunya Peruncit berskala besar yang tidak menggunakan tenaga pekerja asing dan memakai resepi utama iaitu ‘ Pelanggan Adalah Majikan’.
“Sebenarnya, di sini kami tidak ada gelaran khusus untuk apa-apa jawatan, kita hanya menggunakan gelaran abang dan kakak malah semua kakitangan dan semua pembekal-pembekal panggil saya abang long sebab nak kurangkan barrier, tembok, pemisah antara pekerja dengan kita,” ujarnya.
Bapa kepada tujuh orang anak yang juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana daripada California State Universiti dalam bidang Psycho Linguistik berkata, pasaraya Sabasun membuka peluang pekerjaan kepada hampir 500 penduduk setempat, 350 orang usahawan muslim tempatan dengan 2200 produk industri kecil sederhana (IKS) dan mempunyai pilihan hampir 30,000 barangan yang menjana pendapatan lebih RM2.5 juta sebulan.
Tidak kedekut ilmu dan mengamalkan konsep sentiasa membantu anak melayu, Sabasun telah menubuhkan Unit Pembangunan Usahawan Sabasun Hyperuncit (UPUSH) bagi memperkasakan perniagaan anak tempatan .
“UPUSH adalah antara bentuk bantuan untuk anak-anak tempatan yang ingin menceburkn diri dalam bidang peruncitan / pembekalan yang mana mereka mempunyai modal tetapi tidak mmpunyai ilmu atau pengetahuan dan disitu unit ini mengambil penekanan untuk sama-sama membantu , beri ilmu , sokongan dan tunjuk ajar serta adakan seminar untuk peserta-peserta bawah bimbingan kita ni, dua hingga tiga bulan sekali secara percuma.
“Sebab untuk pastikan suatu program berjaya kepada Islam, anak melayu, Malaysia kita, kita jangan letakkan kepentingan duit didepan.
“Kalau yang baru nak mula ini, kebanyakan anak melayu bukan datang dari keluarga yang berada jadi, dalam bisnes biar tak bergaya asal tak papa. Fokus pada bisnes, tolak kepentingan diri kerana ada dua perkara disini apabila kita buat bisnes samada nak bina bisnes atau nak buat bisnes. Kalau buat bisnes, rumah semakin besar, kereta semakin banyak tapi perniagaan kekal macam tu je, tapi yang bina bisnes, bisnes dia berkembang walaupun kereta tak besar,” tambah Che Salmi lagi.
Menurutnya, untuk meningkatkan lagi kedudukan Sabasun sebagai pusat jualan untuk orang melayu dan IKS, beliau berhasrat dalam tempoh dua tahun akan datang untuk memastikan bahawa semua cawangan Sabasun berada di seluruh daerah di negeri Terengganu dan perancangan masa sederhana diantara dua hingga lima tahun untuk berkembang keluar ke negeri lain.
“Ini termasuk perancangan jangka panjang lima tahun keatas untuk mengadakan outlet Sabasun di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
“Di luar Terengganu, boleh dikatakan pesaing-pesaing majoritinya terdiri daripada yang bukan Islam dan disitulah kami nampak ada ruang dan peluang kerana apabila Sabasun dapat menawarkan produk-produk halal dan toiyiba yang belum pernah ditekankan oleh mana-mana supermarket bukan Islam sebelum ini dan Alhamdulillah insyaAllah pengguna Islam akan dapat membuat pembelian yang lebih meyakinkan,” ujarnya.
19 Aug 20
6527