lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Madrasah Tahfiz Persis Taj Mahal Bakal Dibina
Madrasah Tahfiz Persis Taj Mahal Bakal Dibina
MARANG, 25 Ogos - Sebuah madrasah tahfiz atau dikenali sebagai Madrasah Tahfiz Al-Ayyubi yang seni binanya bercirikan negara sruktur binaan negara Timur Tengah dan Taj Mahal bakal dibina di daerah ini.  Pengarah Madrasah, Ustaz Abu Bakar Salleh berkata, institusi itu dibangunkan melalui konsep wakaf sememangnya dan mendapat kerjasama yang baik daripada penduduk sekitar.  "Kita menjangkakan madrasah ini bukan sekadar bakal dipenuhi anak-anak pelajar tetapi juga para pengunjung akan turut membanjiri persekitarannya bagi menyaksikan keindahannya dan bergambar kenang-kenangan.  "Signifikan pembinaan ini juga dengan visi 'Kampung Kita, hafal al-Quran' dan misinya ialah 'satu rumah satu hafiz' bagi melahirkan generasi celik al-Quran, menghafal dan beramal dengan ilmu penyuluh hidup dunia dan akhirat.  "Insya-Allah kita akan membina sebuah tahfiz empat tingkat berkonsepkan Taj Mahal. Bukan saja kami nak jadikan sekolah tahfiz ini sebagai tarikan. Untuk pelajar-pelajar datang ke sini mengaji menghafal tetapi juga sebagai tarikan pengunjung," jelasnya ketika ditemui pemberita baru-baru ini. Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Madrasah Tahfiz Al-Ayyubi, Masjid Mujahidin, Kampung Bukit Gasing, pada 20 Ogos yang lalu. Orang ramai yang berminat untuk terlibat sama menyumbang kepada pembinaan madrasah ini boleh menyalurkan ke akaun Bank Rakyat Madrasah Tahfiz Al-Ayyubi (111431007464).  
25 Aug 20
1346
Ahli Parlimen Setiu Selar Pengisian 'Kakak Kondom'
Ahli Parlimen Setiu Selar Pengisian 'Kakak Kondom'
KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Video 'Kakak Kondom' berkaitan seks selamat yang menjadi tular baru-baru ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir. Menurut beliau, video tersebut bukanlah untuk memberikan penerangan berkenaan pendidikan seks selamat semata-mata tetapi beragenda untuk mempromosi seks bebas dalam kalangan anak muda.  "Naratif yang dibawa bagi memastikan individu bebas melakukan seks selamat tanpa perlu ikatan perkahwinan dilihat semata-mata menjerumus ke arah penzinaan.  "Walhal penzinaan amat dilarang sekali di sisi Islam sama ada zina selamat ataupun tidak sebagaimana yang telah difirmankan Allah," tegas beliau dalam kenyataan medianya hari ini. Tegasnya lagi, ajaran yang dibawa oleh 'Kakak Kondom' ini juga dilihat tersasar jauh dari adat dan budaya kita dan ia adalah jarum halus bagi mempromosi budaya barat ke dalam masyarakat Malaysia yang 55 peratus daripadanya adalah Melayu Islam. "Perkara ini dilihat turut menyimpang daripada norma budaya hidup masyarakat Malaysia yang bukan sahaja menolak seks bebas selamat tanpa ikatan yang sah malah meneuralisasi budaya barat ke negara kita sama sekali tidak diterima," jelasnya lagi. 'Kakak Kondom' adalah salah satu inisiatif oleh Yayasan Aid’s Malaysia dan One Condoms MY yang bertujuan untuk mendidik masyarakat berkenaan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial melalui seks bebas yang selamat. 
25 Aug 20
3393
Damar Hitam Ditemui Semula Di Lata Tembakah
Damar Hitam Ditemui Semula Di Lata Tembakah
  Oleh : Suriati Ali BESUT, 24 Ogos - Shorea kuantanensis atau Damar hitam merupakan spesies endemik di semenanjung yang kebanyakkannya boleh ditemui di kawasan Hutan Dipterokarpa Tanah Pamah kini dijumpai semula di Lata Tembakah di sini. Ketua Pengarah Perhutanan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Dato’ Mohd Ridza Awang berkata, pada asalnya spesies Shorea kuantanensis telah direkodkan hanya ditemui di hutan Simpan Bukit Goh, Kuantan Pahang pada tahun 1936. “Jurnal berkaitan spesies tersebut telah dihasilkan oleh Profesor Peter Ashton pada tahun 1978 di dalam Garden Bulletin Singapore Volume 31, Part 1:41. “Spesies berkenaan telah dilaporkan pupus pada tahun 2010 menerusi Research Pamphlet No.129, Malaysia Plant Red List Peninsular Malaysia Dipterocarpaceae akibat pertukaran status guna tanah kawasan Hutan Simpan Bukit Goh kepada ladang sawit. “Namun, pada tahun 2014 spesies tersebut ditemui semula di Taman Eko Rimba, Lata Tembakah, Kompartmen 47, Hutan Simpan Pelagat, Besut oleh Mohd Nasir Mohd dan Salleh Endut yang merupakan pegawai yang bertugas di JPSM,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media penemuan semula pokok Shorea kuantanensis yang dianggap pupus di Malaysia di Taman Eko Rimba, Lata Tembakah, hari ini. Mohd Ridza (berbaju biru). Mohd Ridza berkata, penemuan semula itu telah dipanjangkan kepada Profesor Peter Ashton dan beliau mengesahkan spesimen yang ditemui di Taman Eko Romba berkenaan sama dengan Damar hitam yang dilaporkan pupus di Hutan Simpan Bukit Goh. “Penemuan semula pokok Shorea kuantanensis juga telah mendapat pengesahan dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia menerusi artikel dalam A Bulletin Supporting Plant and Animal Conservation in Malaysia, Issue No 31 (2020). “Terkini, hasil bancian terhadap tiga batang pokok tersebut telah merekodkan saiz ukuran diameter paras dada diantara 28.0 cm hingga 75.6 cm,” ujarnya. Katanya, susulan penemuan itu JPSM dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu telah mengambil langkah pemeliharaan dan pemuliharaan spesies Damar hitam ini secara in-situ dan ex-situ dengan penubuhan petak hutan yang mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi atau 'High Conservation Value Forest' (HCVF) di Kompartmen 47, Hutan Simpan Pelagat, Besut. “Penubuhan petak HCVF ini akan dapat memastikan Shorea kuantanensis dapat diurus dan dipulihara secara efektif bagi mengelakkan kepupusannya,” ujar beliau. Selain itu katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menerusi pengagihan anak benih Damar hitam untuk ditanam di kawasan bersesuaian sekitar daerah Kuantan.
24 Aug 20
7469
Jangan Lupa Jasa Pejuang Kemerdekaan Terdahulu
Jangan Lupa Jasa Pejuang Kemerdekaan Terdahulu
KEMAMAN, 24 Ogos - Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh menyeru kepada seluruh rakyat agar tidak melupakan pengorbanan pejuang terdahulu yang memerdekakan Malaysia. "Kita jangan lupa pengorbanan nyawa dan darah yang telah dicurahkan oleh pejuang terdahulu dalam memerdekakan negara kita yang tercinta ini. "Antara mereka adalah Tuan Guru Haji Hasan Munas (Tok Janggut), Tuan Guru Haji Abd Rahman Limbong, Dato' Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Dol Said, Dato' Maharaja Lela dan lain lag. "Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah sesuatu yang sukar, maka kitalah generasi yang mengisi kemerdekaan dan kita jangan lupa dan leka dengan anugerah ini," ujarnya dalam program Konvoi Merdeka anjuran Pejabat daerah Kemaman di Bukit Kuang kelmarin. Ustaz Hazri (paling kanan) dan Mohamad A. Rahman (dua dari kanan) Turut hadir dalam program tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat, Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad A. Rahman, wakil Pejabat Penerangan Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan Angkatan Pertahanan Awam Kemaman. Dalam program berkenaan, pihak Pejabat Daerah Kemaman juga turut mengagihkan Jalur Gemilang kepada semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di DUN Kijal dalam usaha menyemarakkan suasana kemerdekaan di setiap kampung menjelang 31 Ogos nanti.    
24 Aug 20
584
Kedatangan Pelancong Ke Terengganu Meningkat 165 Peratus
Kedatangan Pelancong Ke Terengganu Meningkat 165 Peratus
Oleh : Suhaimi Taib KUALA LUMPUR,  24 Ogos - Kedatangan pelancong ke Terengganu meningkat sebanyak 165 peratus dan paling tinggi  berbanding dua negeri di Pantai Timur, Pahang dan Kelantan.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,  Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, walaupun kemungkinan kedatangan pelancong ke negeri Pahang agak ramai namun peratusan kehadiran mereka lebih tinggi ke Terengganu.  Katanya,limpahan pelancong ke Pantai Timur ini sudah dijangka berdasarkan kajian pelancongan domestik yang dijalankan Tourism Malaysia pada bulan April lalu. "Dalam keadaan biasa kita percaya kita boleh mendapat 5.5 juta pelancong tahun ini walaupun tiga bulan kekurangan kehadiran pelancong bermula Jun lalu dengan trend kehadiran pelancong yang sangat tinggi ke Terengganu sejak akhir-akhir ini," jelasnya.  Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita di Wisma Berita Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) di sini hari ini. Katanya, kerajaan Terengganu mengadakan promosi pelancongan secara berterusan melalui pelbagai medium termasuk Rancangan Selamat Pagi Malaysia RTM. "Di samping itu akibat viral dalam sosial media,  ramai pelancong datang mencari destinasi popular pelancongan Terengganu termasuk Restoran Nasi Dagang Atas Tol, Kuala Terengganu, Jambatan Angkat Muara Sungai Terengganu,  Sentuari Kelah Tasik Kenyir Hulu Terengganu,  Pulau Redang,  Pulau Perhentian dan lain-lain," tambahnya.  Katanya,  kerajaan negeri juga akan menganjurkan Festival Kebudayaan Terengganu mulai 27 Ogos hingga 6 September ini sebagai cetusan baharu untuk menghimpunkan semua seni budaya warisan rakyat negeri itu.  Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Korporat,  Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata, Jabatan Pelancongan Malaysia memuji langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri Terengganu kerana menganjurkan festival Kebudayaan Terengganu. Katanya, festival itu dapat menunaikan permintaan rakyat Malaysia untuk melancong dalam negara.  "Sebab kita sedia maklum selepas bulah Jun lepas, ramai rakyat Malaysia mencari tempat untuk melancong di hujung minggu. "Setidak-tidaknya dengan penganjuran seperti ini dapat memenuhi permintaan bukan sahaja menghidupkan budaya rakyat negeri Terengganu tetapi terhadap produk-produk pelancongan lain," ujarnya.   
24 Aug 20
3878
Isu Atlet Angkat Berat, Terengganu Minta Menteri Campur Tangan
Isu Atlet Angkat Berat, Terengganu Minta Menteri Campur Tangan
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos - Kerajaan negeri kesal dengan tindakan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) yang tidak membenarkan dua atlet Terengganu bertanding dalam sukan angkat berat pada Sukan Malaysia (SUKMA) Johor Mac 2021. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, alasan yang diberikan berkait dengan isu doping terhadap kedua-dua atlet itu pada SUKMA Perak dua tahun lalu adalah tidak munasabah. Ini kerana katanya, atlet tersebut telah digantung selama lapan bulan bermula September sehingga Mei 2018, selain telah memulangkan kembali pingat-pingat yang diperoleh (1 emas, 1 perak dan 2 gangsa) kepada Majlis Sukan Negara Malaysia (MSNM). “Selepas habis tempoh pergantungan dan mengikuti beberapa program pendidikan, atlet-atlet ini telah pun dibenarkan bertanding dalam kejohonaan peringkat negeri dan juga antarabangsa. “Yang menghairankan kenapa mereka tidak dibenarkan bertanding dalam SUKMA Johor,” katanya. Beliau berkata demikian pada Sidang Media di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Wan Sukairi berkata, keputusan itu dilihat kurang bijak dan tidak adil sama sekali kerana atlet yang berlatih untuk mewakili negeri ke SUKMA Johor tidak dibenarkan. “Sebaliknya membenarkan salah seorang daripada mereka mewakili negara," jelasnya. Melihat keadaan itu, kerajaan Terengganu bimbang kerana di sebalik isu berkenaan seolah-olah ada perkara yang telah dirancang. “PABM sepatutnya memperjuangkan nasib atlet-atlet negara tanpa mengira dari negeri mana mereka lahir atau bertanding, bukannya menghukum secara tidak berprinsip. “Oleh itu, bagi mengelak  isu ini bertambah keruh, pihak kami meminta Menteri Belia dan Sukan Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican masuk campur, kerana Terengganu bersama beberapa pihak berkaitan mahukan keadilan,”katanya      
23 Aug 20
1136
Elak Beli Alat Timbang Dan Sukat Secara Atas Talian
Elak Beli Alat Timbang Dan Sukat Secara Atas Talian
HULU TERENGGANU, 23 Ogos - Para peniaga tidak digalakkan membeli alat timbang dan sukat melalui jualan secara atas talian kerana ia tidak di tentu sahkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP). Timbalan Menterinya , Dato' Rosol Wahid berkata pihaknya memandang serius perkara ini bagi mengelak pengguna tertipu.  Katanya, penggunaan alat penimbang yang tidak di tentu sahkan juga merupakan kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972. "Ramai peniaga-peniaga yang menggunakan ataupun membeli alat timbang sukat ini  melalui platform atas talian kerana harganya murah tapi kita nak maklum walaupun murah tapi ia tak di tentu sahkan.  "Itu satu kesalahan jadi kita berharap peniaga di luar sana yang ingin mendapatkan timbang sukat ni carilah daripada pengedar yang telah dilantik dan disahkan oleh KPDNHEP, " ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengagihkan Alat Timbang dan Sukat kepada 46 peniaga buah buahan di Pasar Buah Ajil dan di Kampung Gaung, hari ini. Turut hadir pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia. Dalam program tersebut, sebanyak 30 Alat Timbang Sukat Digital dan 16 Alat Timbang Neraca Spring disumbangkan kepada peniaga.  Rosol juga berkata, KPDNHEP turut merampas alat timbangan yang bernilai RM349,600 melibatkan 2,729 peniaga kerana melanggar Akta Timbang dan Sukat 1972.  "Jumlah rampasan yang melibatkan nilai kompaun sebanyak RM378,500 itu dibuat hasil pemeriksaan di 337,546 buah premis seluruh negara bermula Januari sehingga kini," ujarnya
23 Aug 20
1110
Penduduk Sangka Air Sungai Pueh Tercemar Angkara Kilang Sawit
Penduduk Sangka Air Sungai Pueh Tercemar Angkara Kilang Sawit
HULU TERENGGANU, 23 Ogos - Dakwaan penduduk di sekitar Sungai Pueh yang menyangka sungai tersebut tercemar akibat operasi Kilang Sawit Vila Sutera, Bukit Kapah mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak. Dr Alias Razak. Beliau turun sendiri ke kilang itu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu dan penguatkuasa bagi meninjau keadaan sebenar yang berlaku. Dakwaan itu turut mengaitkan pencemaran sungai mengakibatkan kematian ikan sangkar yang diternak oleh penduduk di sini. Hasil tinjauan pihaknya mendapati tiada pencemaran air sungai yang berlaku seperti yang disangka. Daripada pemerhatian yang telah dilakukan serta dibantu dengan penerangan oleh pihak JAS dan pihak kilang, didapati air Sungai Pueh masih selamat untuk didiami hidupan. "Hari ini kita melawat kilang sawit di Bukit Kapah kerana beberapa kali kita terima aduan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sini mengatakan air Sungai Pueh tercemar kerana operasi kilang dan disyaki air itu menyebabkan ikan dalam sangkar yang diternak mati. "Bagaimanapun itu hanya sangkaan orang kampung, JAS yang mengambil perhatian isu ini telah beberapa kali turun dan mengambil sampel air sungai ini. Setelah mendapat taklimat, siasatan telah dibuat dan tinjauan ke lokasi mendapati air Sungai Pueh memenuhi kriteria JAS. "Kita juga telah melakukan penilaian oksigen dan sebagainya, hasil pemeriksaan tersebut mendapati bahawa pelepasan efluen terolah ke dalam alur air (Sungai Pueh) adalah mematuhi had piawai yang telah ditetapkan oleh pihak JAS sekalipun warna air yang dilepaskan daripada takat pelepasan akhir sistem pengolahan efluen berwarna agak gelap.  "Dapat disimpulkan bahawa dengan cuaca panas dan kering pada masa sekarang menyebabkan air sungai menjadi cetek dan warna air sungai kesan dari pelepasan efluen terolah kilang sawit berkenaan adalah tampak ketara gelapnya. "Justeru bagi pihak kerajaan negeri, saya ucapkan terima kasih kepada pihak pengadu dan pihak JAS Terengganu atas tindakan pantas yang diambil," jelasnya kepada pemberita selepas tinjauannya ke lokasi di sini baru-baru ini. Untuk rekod, sebanyak tiga kali pemeriksaan telah dijalankan oleh pihak JAS ke atas premis tersebut pada tahun ini dan dua daripadanya merupakan pemeriksaan secara mengejut.  Turut serta dalam lawatan itu, Timbalan Pengerusinya, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah JAS Negeri Terengganu, Ramli Abd Rahman.
23 Aug 20
12927
Jumlah Penagih Dadah Wanita Di Terengganu Masih Terkawal
Jumlah Penagih Dadah Wanita Di Terengganu Masih Terkawal
    HULU TERENGGANU, 23 Ogos - Masalah jenayah dadah di kalangan wanita di Terengganu masih lagi terkawal dan tidak membimbangkan berdasarkan rekod terkini. Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata berdasarkan statistik Januari hingga Jun 2020, hanya terdapat 188 orang penagih dadah wanita di negeri ini. Katanya, remaja wanita seawal usia 14 tahun adalah antara penagih dadah yang dikesan terbabit dengan penagihan dadah, selain mereka berusia lingkungan 20 sehingga 35 tahun. "Walaupun peningkatan penagihan dadah dalam kalangan wanita tidak banyak, ia masih perlu dilihat secara serius mulai sekarang kerana kita tidak mahu statistik ini terus meningkat. "Sokongan masyarakat dan pelbagai agensi lain diperlukan supaya dapat membantu pihak polis mengurangkan gejala penagihan dadah di negeri ini," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Program Penutup 'Community Policing' Jihad Dadah sempena penghayatan Bulan Kemerdekaan ke-63 di Sungai Kuala Menjing, hari ini. Dalam pada itu, sebanyak 12 tangkapan telah berjaya dibuat melalui serbuan yang dilakukan kepada 16 rumah dan enam sarang penagih dadah dalam kawasan zon operasi. Menurut Rosli, ia merupakan hasil fasa pertama projek " Jihad Dadah" yang telah dilaksanakan di daerah Hulu Terengganu bermula 20 hingga 23 Ogos baru-baru ini sempena Penghayatan Bulan Kemerdekaan ke 63.
23 Aug 20
2374
PIKAT Kunjungi Pusat Pertanian Bandar Isteri MB
PIKAT Kunjungi Pusat Pertanian Bandar Isteri MB
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Setelah dikunjungi oleh pelbagai peminat dan pengusaha pertanian, kini giliran Persatuan Isteri Wakil-wakil Rakyat Kedah (PIKAT) pula yang mengunjungi Pusat Informasi Pertanian Bandar milik Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman di Seri Setia semalam. Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Isteri Menteri Besar Kedah, Puan Jusmalailani Jusoh sendiri yang bersama-sama rombongan seramai hampir 24 orang. Antara hasil tanaman salad di Seri Setia Tuan Faizah berkata, beliau menyambut baik kedatangan rombongan ini ke negeri Terengganu kerana dengan pertemuan ini, akan memberi pelbagai manfaat dan kebaikan dari kedua-dua belah pihak. "Di sini terdapat satu Pusat Informasi Pertanian Bandar yang diusahakan sendiri sebagai contoh dan kempen pertanian bandar di negeri Terengganu. "Rasa teruja untuk menunjukkan hasil tanaman dan sayur-sayuran yang terdapat di sini, malah sesiapa yang datang ke sini, saya akan benarkan mereka membawa pulang dan mengambil hasil tersebut." "Aktiviti tanaman ini juga boleh dipraktikkan di tempat atau rumah masing-masing sebagai menyokong aktiviti kempen pertanian bandar." Beliau berkata ketika berucap dalam majlis kunjungan hormat tersebut di Kediaman Rasminya, Seri Setia. Di samping itu, beliau yang juga Pengerusi Isteri Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') sempat menunjukkan hasil seni lukisan, dan jahitan yang dihasilkan sendiri olehnya.  
23 Aug 20
1826