lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Terus Perkasa Digitalisasi
Terengganu Terus Perkasa Digitalisasi
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Terengganu mengambil langkah untuk terus menggalakkan digitalisasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan sejajar dengan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).  Setiuasaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azhar berkata, melaluinya lebih banyak perkhidmatan secara dalam talian atau e-kaunter akan dibangunkan untuk merancakkan usaha digitalisasi dan automasi. Katanya, justeru itu, setiap penjawat awam seharusnya lebih kreatif dan berinovatif dalam mendepani gelombang IR 4.0 dengan memanfaatkan kelebihan komunikasi baharu dalam melaksanakan tugas harian. “Hari ini, sebarang maklumat dan promosi menjangkaui media arus perdana, di mana lebih menumpukan penggunaan  facebook, twitter atau Instagram. “Ia menjadi sumber utama kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini terutama di kalangan belia,” katanya. Beliau berkata demikian dalam teks yang dibacakan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Dato’ Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang, di Hotel Permai di sini hari ini. Menurutnya lagi, semua penjawat awam perlu lebih peka dan melengkapkan pengetahuan diri dan kemahiran, terutamanya berkaitan teknologi maklumat (ICT). “Langkah itu penting bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan, sekali gus menjamin sistem penyampaian perkhidmatan kita yang lebih produktif, berkualiti dan cemerlang. “Ditegah menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan maklumat atau melemparkan tuduhan palsu dan kritikan terhadap kerajaan secara melulu,” katanya.  
27 Aug 20
671
Penyertaan Bersatu Kukuhkan Muafakat Politik
Penyertaan Bersatu Kukuhkan Muafakat Politik
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam Muafakat Nasional (MN) diyakini mampu memperkukuhkan persefahaman politik sekali gus menghasilkan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan MN yang menerima penyertaan Bersatu adalah petanda positif dan sangat dialu-alukan semua pihak. “Saya ada baca satu kajian yang mengatakan bahawa peratusan rakyat yang bersetuju dan mahu tiga parti ini iaitu PAS, UMNO dan Bersatu bergabung adalah tinggi. “Alhamdulillah, saya juga sangat teruja dengan perkembangan semasa ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Manis FM dan Bernama Radio di Damai Lounge, U2, Wisma Darul Iman hari ini. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS menegaskan, situasi terkini politik itu akan dipastikan bergerak dengan jaya termasuk penerimaan di peringkat akar umbi. Katanya, peranan pimpinan setiap parti dalam memberi penjelasan sangat penting bagi merealisasikan hasrat dan matlamat MN. “Sudah menjadi adat, perkara baharu ini biasalah, ia memerlukan sedikit masa sebelum ia mampu difahami dan dilaksanakan dengan sempurna di peringkat sana. “Samalah macam anak-anak kita pergi sekolah, hari, minggu dan bulan pertama masih belum dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam persekitaran baharu, selepas beberapa tempoh barulah semuanya akan serasi. “MN benda baharu, jadi mereka memerlukan sedikit masa untuk mereka membuat ubah suai kefahaman dan cara bertindak dalam masyarakat,” tambah beliau.
27 Aug 20
525
Penguatkuasa Syariah Sukarela Dilantik Bagi Cegah Maksiat
Penguatkuasa Syariah Sukarela Dilantik Bagi Cegah Maksiat
HULU TERENGGANU, 27 Ogos - Kerajaan negeri melalui pejabat agama daerah secara rasminya telah melantik penguatkuasa syariah sukarela bagi melaksanakan tugas 'amar makruf nahi mungkar' yang dianggotai oleh lelaki dan wanita di kawasan berkenaan. Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid berkata bilangan penguatkuasa syariah sukarela ini dianggotai oleh pelbagai lapisan masyarakat setelah melalui syarat yang ditetapkan. "Kita secara rasminya telah melantik penguatkuasa sukarela ini dengan setiap masjid mempunyai empat sukarelawan dan mereka semua ini mempunyai keinginan bagi melaksanakan amar makruf nahi mungkar serta menerapkan nilai Islam dalam kehidupan bermasyarakat, "Pelantikan ini tidak terhad kepada lelaki, bahkan kita juga melantik mereka yang dari kalangan wanita bagi mengatasi masalah atau maksiat yang berlaku di tempat ini," katanya.     Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Terengganu berkata demikian, ketika merasmikan Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah bagi daerah Hulu Terengganu yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, baru-baru ini. Menurutnya, usaha ini merupakan satu kewajipan apabila menjadi pemerintah bagi menangani maksiat yang berlaku di dalam negeri. "Ini merupakan satu kewajipan bagi kita dalam membanteras maksiat yang berlaku di persekitaran kita. Maksiat ini suatu perkara yang Allah murka dan kerajaan perlu buat sesuatu bagi menanganinya dan ini adalah satu usaha yang dibuat oleh kerajaan negeri," jelasnya.   Turut hadir dalam perasmian seminar itu ialah  Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Zulkefli Othman, Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) , Adnan Abdullah, Pegawai Agama Daerah Hulu Terengganu, YM Engku Omar Amirudin Engku Ali, Ketua Sukarelawan Syariah Daerah Hulu Terengganu, Encik Mohd Syarif Jusoh, Ketua Sukarelawan Syariah Negeri Terengganu, Saudara Yasin Muda.
27 Aug 20
1415
Projek Alam Mutiara Fasa 1 Penuhi Syarat Amalan Terbaik MBKT
Projek Alam Mutiara Fasa 1 Penuhi Syarat Amalan Terbaik MBKT
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos- Projek Pembangunan Bercampur (Alam Mutiara Fasa 1), Mukim Pengadang Buloh berjaya memenuhi amalan-amalan terbaik rekabentuk fizikal persekitaran yang ditetapkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, projek penswastaan oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dengan usahasama pemaju Tentuan Dacing Sempurna Housing Sdn. Bhd itu telah mematuhi 11 syarat ditetapkan MBKT. “ Majlis penyerahan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) dan kunci bagi projek ini diadakan sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada pemaju kerana telah melaksanakan semua syarat kelulusan. “Pihak kerajaan negeri mengharapkan skim pembangunan ini akan menjadi contoh dan ikutan oleh pemain-pemain industri lain dan seterusnya menjadi penanda aras baharu kualiti pembangunan perumahan di Terengganu,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis tersebut, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Shahidan Embok serta Setiausaha LTAWNT, Abd Razak Abd Rahman. Menurut beliau, pihak pemaju telah melaksanakan syarat kelulusan berkaitan amalan-amalan terbaik dalam rekabentuk fizikal persekitaran antaranya mereka bentuk laluan pejalan kaki yang bersambungan dan mesra pengguna ke arah menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk. ‘Taman rekreasi yang lengkap, tanaman pokok-pokok teduhan bagi mewujudkan suasana persekitaran yang nyaman, kemudahan infrastruktur dan ulititi yang lengkap, disamping pembinaan bonggol dan papan tanda bagi melancarkan lalulintas dan keselamatan penduduk, susun atur dan reka bentuk kediaman yang mengambil kira 'natural surveillance'. “ Juga lorong belakang rumah teres dinaiktaraf untuk landskap dan pencahayaan, hutan nipah didikekalkan sebagai ekosistem semulajadi sungai, menyediakan parker OKU serta ramp di laluan beranda kedai, perletakkan feeder pillar dan fire hydrant yang teratur serta menerapkan ciri-ciri Manual Saliran Mesra Alam (MSMA),” ujarnya. Alias berkata, projek berkenaan yang telah diluluskan Kebenaran Merancang pada 19 Disember 2017 dan kelulusan pelan bangunan pada 21 Mac 2018 siap dalam jangkamasa dua tahun mengikut  tempoh ditetapkan. “Ianya mengandungi 21 unit kedai pejabat dua tingkat, 73 unit rumah teres dua tingkat dan lain-lain kemudahan berkaitan di atas tapak tanah seluas 20.85 ekar. “Harga jualan bagi projek kormesial ini adalah sekitar RM399,000 hingga RM420,000 bagi kediaman teres dan antara RM650,000 hingga RM685,000 untuk kedai pejabat,” ujarnya.  
27 Aug 20
3452
RM76 Juta Untuk Dua Masjid, Bangunan Persekutuan Di Hulu Terengganu
RM76 Juta Untuk Dua Masjid, Bangunan Persekutuan Di Hulu Terengganu
  HULU TERENGGANU, 27 Ogos - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM76 juta bagi pembinaan dua masjid baharu dan bangunan Persekutuan di kawasan Parlimen Hulu Terengganu. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid, berkata tender untuk pembinaan masjid baharu  Kampung Langgar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang dan Masjid Kampung Jak di DUN Ajil membabitkan peruntukan keseluruhan RM6 juta akan dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR). "Setakat ini reka bentuk masjid di Kampung Langgar yang boleh menampung kira-kira 1,000 jemaah dan masjid di Kampung Jak, yang boleh menampung kira-kira 200 jemaah sudah siap. “Pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan,”ujarnya. Terdahulu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu bersama Jurutera JKR Daerah Hulu Terengganu, Alif Zuwairi Baharuddin melawat tapak projek pembinaan masjid baharu di Kampung Langgar. Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu  juga berkata bagi kemudahan penduduk di Parlimen Hulu Terengganu berurusan, cadangan telah dikemukakan untuk menempatkan semua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di satu lokasi secara berpusat. Tambah beliau, kerajaan negeri telah meluluskan tapak seluas kira-kira 20 hektar bagi membolehkan projek pembinaan bangunan guna sama persekutuan dibina. Menurutnya lagi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada dasarnya bersetuju dengan cadangan tersebut untuk menempatkan semua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di lokasi itu. Justeru itu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri kini sedang membuat penilaian serta kajian terutamanya peruntukan yang dianggarkan melebihi RM70 juta. "Semua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di daerah Hulu Terengganu sudah diarah membuat kertas cadangan termasuk keluasan lantai diperlukan. "Jika projek bangunan usaha sama Persekutuan itu siap, masalah jabatan dan agensi kerajaan yang terpaksa menyewa bangunan persendirian serta menumpang jabatan lain selesai, selain mampu memberi keselesaan kepada penduduk membuat urusan," katanya.
27 Aug 20
452
Abdul Hadi Serah Laporan Perkembangan Timur Tengah Kepada PM
Abdul Hadi Serah Laporan Perkembangan Timur Tengah Kepada PM
KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyerahkan Laporan Eksekutif kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang antara lain menerangkan situasi terkini politik dan ekonomi di rantau itu serta impak terhadap kepentingan Malaysia. Abdul Hadi, dalam hantaran di laman Facebook beliau, berkata, ia juga bertujuan menggariskan peluang kerjasama dalam bidang agama Islam, pelaburan, perdagangan dan pendidikan selaras dengan kepercayaan yang dipertanggungjawabkan kepadanya. "Laporan tersebut turut mengandungi beberapa syor dan agenda bertindak, khususnya dalam usaha menarik pelaburan dari Timur Tengah pada pasca koronavirus (Covid-19) yang perlu disegerakan, seterusnya memanfaatkan potensi kerjasama dalam pelbagai bidang demi kebaikan Malaysia, umat Islam dan dunia keseluruhannya. "Saya turut berkongsi hasil pertemuan dengan enam duta kepada negara-negara Timur Tengah di Malaysia iaitu Arab Saudi, Yaman, Qatar, Iran, Oman dan Afganistan serta beberapa negara lain yang sedang diatur," katanya. Beliau berkata, pertemuan itu adalah bagi mendapatkan maklum balas langsung serta mengeratkan hubungan dua hala melibatkan kerjasama dalam bidang pelaburan, perkongsian pintar dan kestabilan politik. - Bernama
26 Aug 20
629
Kerajaan Komited Bangunkan Generasi Belia Berkualiti
Kerajaan Komited Bangunkan Generasi Belia Berkualiti
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Kerajaan negeri komited untuk melahirkan belia berkualiti dalam kalangan rakyat Terengganu. Manifestasi ini dibuktikan melalui penubuhan Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) serta mewujudkan peluang buat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia menimba pengalaman melalui persidangan dewan yang dianjurkan. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pelaksanaan strategi itu akan membolehkan belia berkualiti dibangunkan secara menyeluruh. "Ia merupakan satu tanggungjawab kerajaan negeri untuk melahirkan generasi pelapis yang benar-benar mampu menyumbang kepada negeri dan masyarakat," ujarnya ketika berucap merasmikan Program Bengkel Modul 10 Sifat Belia Sejahtera di Dewan Permata, Permai Hotel di sini semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abdul Razak. Mengulas lanjut, Hishamuddin menegaskan, UBSNT ditubuhkan bukan bertujuan untuk memperkukuhkan cengkaman politik sebaliknya bertujuan memandu dan melahirkan generasi belia berwibawa. "Bengkel pada hari ini bertujuan untuk membentuk satu modul yang mampu menggarap usaha pembinaan generasi kini terus sambung menyambung peranan antara satu sama lain," tambah beliau.
26 Aug 20
314
Promosi Pelancongan: Terengganu, Perak Wujud Kolaborasi 'Menang Menang'
Promosi Pelancongan: Terengganu, Perak Wujud Kolaborasi 'Menang Menang'
Oleh : Suhaimi Taib IPOH, 25 Ogos - Kerajaan Terengganu dijangka bekerjasama dengan Perak bagi mempromosikan produk pelancongan di kedua-dua negeri secara kolaborasi 'menang-menang'. Kedua-dua negeri itu mempunyai banyak produk pelancongan yang unik bersumberkan alam semula jadi dan sejarah setempat.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pertemuan hari ini adalah untuk perbincangan awal antara beliau dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Perak, Datuk Nolee Ashikin Mohd Radzi. "Hari ini adalah pertemuan awal kerana kita ada persamaan daripada segi produk-produk pelancongan yang berbeza dan mempunyai keunikan masing-masing.  "Jalinan perjalanan (perhubungan) akan jadi lebih baik dengan pembinaan lebuhraya melalui Simpang Pulai (Perak) ke Terengganu, " katanya ketika bercakap kepada pemberita di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.  Ariffin mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Nolee di bangunan tersebut diiringi kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.  Sementara itu, Datuk Nolee mengucapkan ribuan terima kasih atas kunjungan hormat Ariffin dan rombongan.  Beliau berkata, kerajaan negeri Perak akan mengadakan kerjasama dengan kerajaan Terengganu, memandangkan daripada segi jalan raya Perak tidak jauh dari Terengganu.  "Kerajaan negeri Perak akan mengambil peluang ini untuk mempelajari (tentang penghasilan dan pengurusan) produk-produk pelancongan negeri Terengganu seperti Tasik Kenyir dan lain-lain, " jelasnya.  Menurutnya, negeri Perak mempunyai pengusaha-pengusaha bot dan unit pengurusan pantai.  "Kami baru sahaja mengisytiharkan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai awal tahun ini.  "Daripada segi pengendalian itu kita akan belajarlah dari Kerajaan Negeri Terengganu," jelasnya. 
25 Aug 20
1672
Tiga Exco Terengganu Bertemu Mata Dengan PERANTAU Perak
Tiga Exco Terengganu Bertemu Mata Dengan PERANTAU Perak
Oleh : Suhaimi Taib IPOH, 25 Ogos – Seramai tiga orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu bertemu mata dengan kira-kira 150 orang ahli Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) di Majlis Ramah Mesra di sebuah hotel di sini semalam. Exco Kerajaan Negeri itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah serta Pengerusi Jawatankuasa, Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat. Mereka bertiga menjawab semua soalan yang dikemukakan oleh ahli PERANTAU termasuk isu berkait dengan kemudahan caravan di destinasi pelancongan bagi menarik pengunjung ke Terengganu. Cadangan itu dikemukakan seorang ahli PERANTAU berasal dari Besut, dia menyatakan bahawa kerajaan Terengganu perlu menyediakan kemudahan tersebut termasuk punca air dan elektrik di tapak berkenaan bagi manfaat pelancong yang memerlukan kemudahan itu. “Saya menjadi ahli Persatuan Caravan Malaysia telah melawat negeri Terengganu tetapi saya dapati tidak ada kemudahan disediakan untuk tapak perkhemahan itu sedangkan Terengganu mempunyai banyak tempat menarik,” jelasnya. Ariffin ketika menjawab soalan berkaitan menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan berusaha mewujudkan tapak berkenaan dan menyediakan kemudahan itu sedikit masa lagi. Sementara itu, Ariffin turut melancarkan rakan pelancongan Terengganu di majlis yang sama mengajak ahli PERANTAU negeri itu mempromosikan tempat-tempat menarik di Terengganu di negeri tersebut. Pelancaran rakan pelancongan itu dibuat dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Terengganu.
25 Aug 20
695
Kibar Jalur Gemilang, Bangkitkan Semangat Patriotisme
Kibar Jalur Gemilang, Bangkitkan Semangat Patriotisme
DUNGUN, 25 Ogos - Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli meminta orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, tempat kerja atau kenderaan bagi menunjukkan rasa cinta terhadap negara. Katanya, setiap orang perlu menunjukkan semangat dan komitmen tinggi untuk mengibarkan Jalur Gemilang kerana usaha itu menjelaskan rakyat di Malaysia khususnya Terengganu bersatu hati mempertahankan pengisian nikmat kemerdekaan. "Apa maknanya sambutan Hari Kebangsaan sekiranya tiada kibaran Jalur Gemilang secara meluas dan meriah. Ia adalah ‘roh’ yang menghidupkan suasana dan lambang kecintaan kita kepada negara," katanya. Beliau yang ditemui ketika program agihan Jalur Gemilang turut menyatakan bahawa tema sambutan ‘Malaysia Prihatin’ harus dijadikan landasan kesedaran bahawa setiap rakyat perlu mengambil berat antara satu sama lain dan bersatu-padu dalam apa jua perkara lebih-lebih lagi apabila seluruh dunia sedang berusaha menentang pandemik COVID-19. Mengulas lebih lanjut, beliau mengatakan amalan kibar Jalur Gemilang amat penting bagi menyemarakkan sambutan serta menjadi bukti bahawa rakyat di Malaysia cintakan bumi Malaysia.   "Pemimpin dan rakyat mesti ‘sehati sejiwa’ dalam merealisasikan perkara berkaitan semangat patriotisme ini. Perasaan menyayangi dan mencintai Malaysia akan menjadikan kita lebih kuat dan berdaya tahan dalam mengharungi segala cabaran. "ia wajar dijadikan prinsip kehidupan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Hakikatnya tema sambutan Hari Kebangsaan kali ini melambangkan semangat kesepaduan, solidariti rakyat tidak kira di mana juga mereka berada," tambahnya.
25 Aug 20
435