Artikel "Utama" Terkini
Kalang Warisan, Lokasi Pelancongan Berasaskan Komuniti Terbaharu Terengganu
Oleh : Suhaimi Taib
MARANG, 30 Ogos - Kalang Warisan Kampung Pulau Manis, Serada di sini menjadi contoh Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) terbaharu di Terengganu yang diwujudkan dengan kerjasama penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, destinasi itu pernah dikunjungi sehingga 1,000 orang sehari.
Menurut beliau terdapat sejarah warisan berhampiran pengkalan kampung yang diwujudkan selepas pandemik COVID-19, ketika pelancong domestik mencari alternatif destinasi pelancongan dalam negeri.
Warisan sejarah itu ialah Makam Tok Ku Pulau Manis atau nama sebenar Sharif Abdul Malik Sharif Abdullah seorang ulama dan dianggap wali meninggal dunia, tahun 1736.
"Dengan sejarah dan apa yang di sini, saya yakin tempat ini lebih maju di masa akan datang," katanya ketika bercakap kepada media di Majlis Semarak Merdeka 63 di destinasi pelancongan itu di sini baru-baru ini.
Turut hadir Penolong Setiausaha Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Raja Faisal Raja Haron.
Katanya, kerajaan Terengganu sedang memajukan beberapa tempat lain termasuk Dataran Batu Putih dan Dataran Banggol Cempedak.
"Kedatangan penyunjung di Dataran Batu Putih, semakin hari semakin ramai.
"Di Banggol Cempedak pun semakin ramai pwngunjung dan semua projek ini ada kait mengait antara satu sama lain," jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Alur Limbat.
Beliau berkata, kerajaan akan mewujudkan jejak (trail) dari Kuala Terengganu dan pelancong boleh membuat pilihan ke mana destinasi yang hendak dituju.
30 Aug 20
3144
Semarak Merdeka Dengan Erti Hijrah Yang Sebenar
MARANG, 30 Ogos - Bulan kemerdekaan pada tahun ini sangat istimewa kerana berada di dalam bulan Muharram ketika mana seluruh umat islam memperingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW, untuk memerdekakan jiwa, akidah, keyakinan, kepercayaan manusia dan yang paling utama memerdekakan sistem di dalam negara ketika itu.
Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, keadaan ini menguatkan lagi sambutan bulan kemerdekaan sebagai umat islam seiring dengan erti hijrah yang sebenar.
"Kita juga menyambut hari kemerdekaan tiada lain melainkan bagi menunjukkan rasa besarnya erti kemerdekaan dan menghargai jasa para pejuang yang mengadaikan segala jiwa raga serta harta benda bagi memerdekkan negera daripada penjajah.
"Kita yang hidup di zaman ini walaupun tiada penjajah dan penguasa kerana mereka telahpun meninggalkan tanah air kita, tetapi pemikiran kita masih dikuasai dengan belenggu nilai-nilai, tingkah laku dan akhlak yang merosakkan.
Menurutnya lagi, cabaran masyarakat pada hari ini, adalah dari pelbagai sudut termasuk media baru dan teknologi maklumat yang penuh dengan unsur fitnah, propaganda dan provokasi.
“Justeru, kita perlu lebih teliti dalam menerima sesuatu berita kerana dikhuatiri termakan fitnah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.”
Beliau berkata ketika hadir merasmikan program Semarak Merdeka Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang di Pentas Budaya Pantai Peranginan Kelulut, semalam.
Turut hadir adalah Pengarah Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Hassan Awang, Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, Mohamad Embong.
Beliau yang juga ADUN Bukit Payung turut menyampaikan hadiah dan cenderahati kepada petugas barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia Marang, Pejabat Kesihatan Marang, Angkatan Pertahanan Awam Marang, Anggota Rela Daerah Marang, dan Jabatan Amal Malaysia sebagai tanda menghargai pengorbanan mereka.
Penyerahan bendera jalur gemilang juga turut diserahkan kepada seluruh cawangan dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Dun Rhu Rendang.
30 Aug 20
707
Terengganu FC 'Ratah' Sabah
KUALA NERUS, 29 Ogos- Terengganu Football Club (Terengganu FC) sekali lagi mempamerkan semangat untuk mengekalkan kedudukan di Liga Super Malaysia apabila mudah mengatasi Sabah FA 4-0, sebentar tadi.
Beraksi di laman sendiri, tuan rumah jelas menguasai perlawanan dengan serangan seawal minit kedua oleh kapten pasukan, Lee Tuck yang ditampan penjaga gol Sabah, Wan Azraie.
Terengganu FC tidak menunggu lama untuk mendahului pelawat.
Pada minit ke-12, rembatan Faiz Nasir hasil hantaran silang pemain muda, Mohd Syafiq Ismail ditampan pertahanan lawan muntah di kaki Dominic Da Silva yang mudah menolak masuk bola ke gawang Sabah.
Terkejut dengan gol tersebut, Sabah cuba mengatur serangan namun benteng anak didik Nafuzi Zain kemas menghalang bola dari gawang pasukan.
Terengganu terus menggandakan asakan, hasilnya pada minit-43, Sanjar Shaakhmedov menyudahkan lorongan Lee Tuck untuk tuan rumah selesa dengan kedudukan 2-0.
Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Sabah menukar corak permainan dengan memasukkan Mickeal Kassy Guy dan Maxsius Musa.
Namun, beberapa serangan pelawat berjaya dipatahkan tuan rumah.
Pada minit ke-70, Dominic berjaya mengumpan bola leret kepada Faiz namun kuisannya ditampan Wan Azraie, bagaimanapun bola muntah tersebut berjaya disudahkan Sanjar untuk gol kedua peribadinya malam ini.
Terengganu FC terus mengatur serangan, kali ini pemain gantian, Faris Ramli menyumbat mudah ke gawang Sabah setelah menerima bola dari Lee Tuck hasil lorongan sempurna Dominic menjadikan kedudukan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
29 Aug 20
1017
Pusat Penyelidikan Buluh Pertama Malaysia Dibina Di Terengganu
Oleh : Suriati Ali
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos - Surau Buluh yang akan berfungsi sebagai Pusat Penyelidikan Buluh akan dibina dalam tempoh terdekat di Dataran Tembesu, Kuala Nerus.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pusat bernilai RM400,000 itu menjadi rujukan pengkaji dan penyelidik termasuk Lembaga Perinsustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Katanya, ia akan mengguna pakai manual aplikasi buluh dalam industri pembinaan yang terbaharu.
"Manual ini akan menjadi rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin membina bangunan menggunakan buluh sebagai struktur utama.
"Penggunaan buluh dalam industri tradisional juga perlu ditranformasikan termasuk menghasilkan papan komposit, papan lantai, perabot, bahan binaan bangunan dan pelbagai produk biomas," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) diantara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Bamboo Jungle Adventures Sdn Bhd (BJA) dan Golden Pharos Berhad di Hotel Paya Bunga, di sini hari ini.
MTIB diwakili Ketua Pengarahnya, Mohd Kheiruddin Mohd Rani manakala BJA diwakili Pengarah Urusannya, Anum Nazahah Ahmad Mazlan dan Golden Pharos diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nadzarudin Abdul Razak.
Majlis bersejarah berkenaan turut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, langkah itu secara tidak langsung berupaya menjadikan Dataran Tembesu sebagai pusat pelancongan dengan adanya surau dan pusat penyelidikan yang diperbuat daripada buluh.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kementerian juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membangunkan projek ‘Model Ladang Hutan Buluh’ di Terengganu.
"Pelaksanaan projek ini adalah selama lima tahun dan diharapkan projek tersebut akan menjadi panduan kepada pemain-pemain industri yang lain untuk menceburi bidang perladangan dan seterusnya menyumbang kepada bahan mentah bagi pembuatan produk berasaskan buluh," katanya.
29 Aug 20
3272
ADUN Sura Peruntuk RM34,500 Sebulan Bantu Asnaf
DUNGUN, 29 Ogos - Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura memperuntukkan lebih RM34,500 sebagai bantuan kepada 345 golongan asnaf setiap bulan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, asnaf yang terdiri daripada keluarga susah, ibu tunggal, ibu terabai dan sesiapa yang mencukupi syarat layak menerima bantuan berkenaan.
“Bermulai Julai 2020 lepas, setelah kita bermesyuarat, kita putuskan untuk tambah lagi jumlah penerima sumbangan bulanan ini.
"Daripada 230 orang meningkat kepada 345 iaitu hampir sekali ganda dan jumlah peruntukan juga bertambah kepada RM34,500,” katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, program yang dinamakan sebagai Sumbangan Bulanan Al Mustadh’afin ini telah bermula sebelum pilihanraya umum (PRU) 14 dan diteruskan sehingga sekarang.
Tambah beliau lagi, penerima sumbangan sentiasa ditukar setiap bulan.
“Kita buat sistem giliran dimana nama yang sama tidak boleh dapat berturut turut kecuali atas beberapa sebab dan faktor.
"Setidak-tidaknya dengan cara ini hampir semua orang akan merasainya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Wan Hapandi memaklumkan sekiranya ada pihak yang mengetahui atau mengenali keluarga yang terabai atau layak, segera maklum kepada MPKK terdekat untuk dibantu.
29 Aug 20
405
Penerbangan Dron Sekitar Drawbridge Pada 30,31 Ogos Tidak Dibenarkan
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos - Penerbangan dron di Drawbridge serta kawasan sekitarnya tidak dibenarkan pada Ahad dan Isnin ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties, Khalizan Mahmud berkata, larangan itu akan bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.
"Hal ini kerana pesawat-pesawat udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan berlegar di sekitar Drawbridge bagi tujuan eksesais.
"Bagi mengelakkan gangguan frekuensi pesawat dan sistem operasi Terengganu Drawbridge, serta menghalang insiden yang tidak diingini," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kerjasama daripada semua pihak untuk tidak menerbangkan dron pada waktu tersebut sangat diharapkan.
28 Aug 20
19625
Enam Lokasi, Enam Tarikan Berbeza Ketengahkan Warisan Budaya Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos -
Terengganu Cultural Festival atau Festival Kebudayaan yang menghimpunkan warisan kebudayaan dan kesenian tradisional negeri mula beraksi di enam lokasi terpilih selama 11 hari bermula 27 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata, enam hotel dan pusat penginapan serta beberapa lokasi pelancongan terpilih di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan dijadikan sebagai lokasi festival.
"Festival Kebudayaan ini adalah cetusan idea baharu untuk menghimpunkan kesemua warisan seni budaya bagi menggantikan Festival Pantai di enam lokasi sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
"Kita ingin menjadikan Bandaraya Kuala Terengganu ini sebagai hub pelancongan kepada pelancong, baik dari dalam negeri, luar negeri ataupun dari luar negara.
"Antaranya nelayan berkolek di Primula Beach Hotel, cerita duyong di Duyong Marina & Resort, wau sobek (Permai Hotel), alunan gamelan sari (warisan sari), flying gasing (Paya Bunga Square & Hotel) serta caritera langkasuka di Terradala. di mana setiap produk mempunyai tema tersendiri,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Pelancaran Festival Kebudayaan di Primula Beach Hotel, di sini, semalam.
Tambahnya selain bertujuan memulihara dan memelihara khazanah seni budaya negeri, program itu juga dapat memartabatkan kebudayaan dan kesenian yang ada agar terus diwarisi generasi akan datang.
Ariffin turut berkata, Festival Kebudayaan kali ini tidak dijalankan secara 'mass market' memandangkan negara masih dilanda pandemik koronavirus (Covid-19) dan terikat amalan operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.
"Semua lokasi yang terpilih akan mempraktikkan SOP yang ketat dan pengunjung dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan sebagai usaha mengekang penularan Covid-19," katanya.
28 Aug 20
1119
Durian Sungai Serai Jadi Tumpuan
MARANG, 29 Ogos - Durian di Kampung Sungai Serai menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong dari luar negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu Ariffin Deraman berkata, ia berikutan 'raja buah' di kawasan terbabit mempunyai keenakkan yang tersendiri berbanding kawasan lain.
"Durian di sini adalah antara durian yang terbaik di Negeri Terengganu. Sehingga sekarang orang ramai tidak pernah putus untuk mendapatkan durian dari kampung ini.
"Rasa durian yang unik dengan rasa manis serta tekstur yang lembut memang tidak dapat dikalahkan dengan durian di tempat lain lain membuatkan pencinta durian ingin terus menikmatinya," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui di dalam program Makan Durian 2020 di Puncak Bukit Sungai Serai kelmarin sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ke-63 yang bakal disambut Isnin ini.
Turut hadir sama dalam program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong serta Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Tambahnya lagi, beliau bercadang untuk menjadikan tempat itu sebagai salah satu tempat pelancongan yang menarik untuk kawasan Marang dan negeri.
Dalam program yang dianjurkan oleh MPKK Sungai Serai, Pejabat Dun Pengkalan Berangan dan Pejabat Daerah Marang itu, penduduk turut menyediakan hidangan sampingan berasaskan durian antaranya pulut durian, serawa durian dan bubur durian.
Sebanyak 20 kilogram beras pulut serta 10 kilogram santan digunakan untuk menyediakan hidangan sampingan berkenaan untuk dijamu kepada pengunjung.
27 Aug 20
638
Bernama Radio, Manis FM Terbit Program ‘Khabar Pantai Timur’
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Radio dan Husa Network Sdn Bhd, Manis FM bakal menerbitkan program ‘Khabar Pantai Timur’ bermula 3 September ini.
Ia selepas kedua-dua entiti terbabit memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Majlis menandatangani MoU menyaksikan Bernama diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Ketua Pengarangnya, Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Penyiaran (TV dan Radio Bernama) Roslan Ariffin.
Manis FM pula diwakili Pengurus Besar Husa Network Sdn Bhd, Ozarizan Mohd Nor dan Pengurus Operasi Husa Network Sdn Bhd Zaid Talib.
Mokhtar Hussain.
Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah.
Program bual bicara ‘Khabar Pantai Timur’ mengetengahkan isu semasa, perniagaan dan keusahawanan yang akan bersiaran selama 30 minit di Bernama Radio dan Manis FM setiap Khamis pukul 7.30 pagi selama 13 minggu.
Jalinan itu turut mengetengahkan usahawan berjaya sebagai pencetus inspirasi, malah ia membuka ruang kepada usahawan baharu terutamanya masyarakat yang terlibat dalam bidang pertanian dan Industri Kecil Sederhana (IKS).
Kerjasama antara Bernama Radio dan Manis FM dicetuskan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah selepas melakukan lawatan kerja ke Terengganu baru-baru ini bertujuan memantapkan pengisian dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.
27 Aug 20
961
Lahirkan Kesedaran Semarak Kemerdekaan -Wan Sukairi
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-63 empat hari lagi, kerajaan negeri menyarankan seluruh rakyat Terengganu bersama-sama menyemarakkan kempen sambutan kemerdekaan dengan memasang bendera di premis kediaman dan kedai masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri lebih suka mengambil pendekatan kesedaran yang datang daripada masyarakat sendiri untuk menyemarakkan kemerdekaan.
"Itu yang lebih penting. Kalau mereka sedar, kita tidak perlu arah pun mereka akan pasang, semangat ini memang perlu ada dalam diri kita. Sesuai dengan keadaan negara yang berdepan cabaran Covid-19 ini, kita tidak mahu ambil pendekatan menguatkuasakan pemasangan bendera.
Wan Sukairi menyerahkan bendera kepada salah seorang daripada wakil MPKK-MPKK di DUN Wakaf Mempelam.
"Saya rasa, Jalur Gemilang ini ramai di antara kita bukannya pasangkan setiap hari, jika begitu lebih baik. Hanya sempena kempen bulan kemerdekaan, jadi kita harap ada kesedaran dan semangat daripada rakyat sendiri.
"Appalah sangat harga sehelai Jalur Gemilang jika hendak dibandingkan dengan tanggungjawab yang perlu dilahirkan rakyat untuk menunjukkan kasih dan cinta kita kepada negara kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Merdeka @ Komuniti dan Kempen Kibar Jalur Gemilang daerah Kuala Terengganu di Dewan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, hari ini.
Jelasnya, program usaha sama pusat khidmat bersama Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Terengganu (Penerangan) dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu dimulakan dengan kayuhan sejauh lapan kilometer oleh kira-kira 250 peserta di kawasan Wakaf Mempelam dan berhenti di beberapa tempat seperti sekolah serta kedai-kedai bagi menyampaikan Jalur Gemilang l[epada masyarakat.
"Insya-Allah, dengan sambutan ini rakyat akan menyemarakkan lagi kempen menaikkan bendera di premis masing-masing samada kedai atau kediaman untuk kita menaikkan semangat patriotik kasih dan sayang kita kepada negara.
"Di samping kita agihkan Jalur Gemilang kepada masyarakat dan pelajar-pelajar. Kita juga mneyerahkan bendera kebangsaan itu ke kedai yang kita singgah dan kita harap kedai-kedai lain yang tidak menerima agihan ini turut mengibarkan Jalur Gemilang sempena kemerdekaan ini," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Penerangan Terengganu, Mohd Othman Abu Bakar menyatakan kekecewaan berkenaan peristiwa-peristiwa melibatkan pemasangan bendera terbalik dan isu-isu patriotik.
"Jabatan Penerangan samada di negeri atau persekutuan telah melaksanakan pelbagai program berbentuk patriotik serta panduan cara memasang bendera saban tahun tetapi, masih ada yang tidak faham.
"Ini satu perkara yang sangat mendukacitakan dan kita harap pihak terbabit lebih prihatin, jika tidak tahu rujuk dahulu. Isu yang sangat sensitif ini tidak patut berlaku.
"Bendera adalah lambang kedaulatan sesebuah negara, kita sebagai rakyat Malaysia jangan mengambil mudah dalam menyantuni bendera kita seperti gantung bendera yang sudah lusuh, membiarkannya di lantai serta memasang secara terbalik," pesannya.
Tambahnya, bendera merupakan satu simbol yang utama sesebuah pemerintahan, mana-mana negara sekali pun.
"Dalam contoh mudah, perkara pertama seseorang atlet lakukan apabila memenangi perlawanan ialah menjulang bendera negaranya sebagai bukti cintanya, menunjukkan bendera itu penting.
"Pastikan bendera yang kita dipasang dipantau selalu, gantikan dengan yang baru jika sudah lusuh sebagai memartabatkan bendera. Ini sikap yang perlu ada dalam masyarakat," katanya.
27 Aug 20
686