lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Isteri MB Ziarah Mangsa Musibah Kebakaran
Isteri MB Ziarah Mangsa Musibah Kebakaran
MARANG, 6 Oktober - Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman sempat ziarah dua keluarga yang ditimpa musibah kebakaran di Bukit Payong, di sini. Ziarah tersebut diadakan sebaik sahaja, isteri Menteri Besar itu selesai dari tempoh kuarantin selama dua minggu yang berakhir pada hari ini. Menurutnya, salah seorang mangsa musibah kebakaran yang dikunjungi adalah merupakan rakan sekolahnya dulu. "Terasa sayu hati apabila melihat sisa-sisa dan keadaan rumah akibat dari kebakaran tersebut, dan saya mendoakan agar urusan mereka dipermudahkan selepas ditimpa ujian kesukaran ini. "Saya juga merasa amat bersyukur dengan nikmat kesihatan yang dikurnikan oleh Allah SWT setelah dikuarantin kerana masih berpeluang untuk bersama-sama menziarahi mereka yang ditimpa musibah ini."katanya. Beliau berkata melalui perkongsian facebook rasmi miliknya sebaik sahaja selesai program ziarah tersebut. Sedikit sumbangan juga turut diberikan kepada mangsa kebakaran bagi meringankan beban yang dialami. Turut hadir adalah, isteri kepada YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong iaitu Ustazah Zainun Abd Wahab .
06 Oct 20
946
Pejabat YPU Ditutup Sementara Untuk Sanitasi
Pejabat YPU Ditutup Sementara Untuk Sanitasi
  KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) menutup pejabat operasi YPU buat sementara waktu selama tiga hari bermula hari ini untuk sanitasi bagi membendung penyebaran COVID-19. Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata penutupan sementara ini merujuk kepada situasi COVID-19 yang semakin meningkat di Terengganu. “Untuk itu beberapa program yang telah dirancang oleh YPU akan ditawakufkan buat sementara waktu, manakala program yang boleh dilaksanakan secara dalam talian atau maya akan dilaksanakan seperti biasa. “Manakala inisiatif "Work From Home" telah dilaksanakan oleh pengurusan YPU dan ini adalah tertakluk kepada semua pegawai dan kakitangan yang terlibat,”katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau turut berkata, pihaknya amat prihatin dengan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan semua, sama ada pegawai dan kakitangan YPU mahupun pelanggan-pelanggan yang hadir ke pejabat untuk mendapatkan perkhidmatan atau khidmat nasihat.
06 Oct 20
1486
COVID-19 : Solat Hajat Seluruh Terengganu Malam Ini
COVID-19 : Solat Hajat Seluruh Terengganu Malam Ini
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Seluruh masjid dan surau di Terengganu diminta untuk mengadakan solat hajat selepas solat isyak hari ini sebagai ikhtiar bagi menghadapi ancaman wabak COVID-19 yang kembali meningkat. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, orang ramai yang tidak berkesempatan ke masjid dan surau juga digalakkan solat hajat di kediaman masing-masing. “Solat hajat ini dibuat bagi memohon pertolongan ALLAH SWT agar segera mengangkat wabak dan malapetaka dari bumi ini. "Saya menyeru pada semua rakyat di Terengganu untuk mengambil langkah penjagaan diri, anggota keluarga dan orang yang di bawah jagaan mereka ketika berdepan dengan ancaman pandemik. "Semoga Allah S.W.T melindungi kita semua," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
06 Oct 20
2067
JHEAT Ditutup Sementara Untuk Sanitasi
JHEAT Ditutup Sementara Untuk Sanitasi
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober- Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ditutup sementara bagi memberi laluan kepada proses sanitasi dan pencegahan awal COVID-19, di kawasan berkenaan. JHEAT dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi Facebook jabatan itu memaklumkan, kesemua operasi kaunter dan khidmat pelanggan kelolaan jabatan itu ditangguhkan, bermula hari ini hingga esok. “Untuk makluman semua, bangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dan Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus di Kompleks Seri Iman akan disanitasi pada Selasa, 6 Oktober. “Sehubungan itu, segala urusan kaunter dan pelanggan di tiga jabatan di atas tidak akan beroperasi buat sementara waktu dan semua pegawai serta kakitangan diarahkan untuk bekerja dari rumah,” menurut kenyataan itu. Urusan kaunter dan khidmat pelanggan akan beroperasi semula seperti biasa pada 7 Oktober (Rabu). “Segala kesulitan tuan puan dalam perkara ini amat dikesali dan didoakan semoga kita semua terhindar dari segala wabak penyakit yang tidak diingini,” ujar kenyataan tersebut.  
06 Oct 20
9034
Kampung Budaya Terengganu Ditutup Sementara
Kampung Budaya Terengganu Ditutup Sementara
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Produk pelancongan baharu iaitu Kampung Budaya Terengganu di Kompleks Muzium Negeri, Losong ditutup bermula semalam sehingga 31 Oktober 2020 berhubung peningkatan kes berkaitan pandemik Covid-19. Jabatan Pelancongan negeri dalam satu kenyataan berkata, penutupan ini juga dilihat sebagai usaha dan inisiatif pengurusan Kampung Budaya Terengganu bagi mengekang dan mengawal penyebaran pandemik Covid-19 selaras dengan pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara, Negeri Terengganu (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Arahan penutupan ini melibatkan keseluruhan operasi serta pengisian program dan aktiviti di Kampung Budaya Terengganu kecuali kakitangan yang terlibat dalam perkhidmatan perlu (essential services) seperti keselamatan dan penyelenggaraan tertakluk kepada kelulusan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu. “Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam memastikan penularan pandemik Covid-19 ini dicegah demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan bersama,” kata kenyataan itu semalam. Kenyataan itu turut menyatakan bahawa pihak pengurusan sentiasa memastikan tahap kesihatan kakitangan yang bertugas di Kampung Budaya Terengganu berada pada tahap terbaik sejak pembukaan Kampung Budaya Terengganu pada 3 September 2020, “Sepanjang pengoperasian Kampung Budaya Terengganu juga, pihak pengurusan sentiasa memastikan pengunjung untuk wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN dan KKM dipatuhi pengunjung,”katanya.  
06 Oct 20
5458
Dr Zulkifli Positif COVID-19, Mohon Doa Semua
Dr Zulkifli Positif COVID-19, Mohon Doa Semua
KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengesahkan beliau positif COVID-19 dan kini sedang menjalani rawatan. Beliau bagaimanapun berkata, kesihatannya berada dalam keadaan baik ketika ini. “Saya menyeru orang ramai yang menghadiri majlis melibatkan kehadiran saya dari 24 September hingga 4 Oktober agar menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di mana-mana klinik kesihatan segera. “Saya berdoa semoga Allah sembuhkan dan selamatkan rakyat Malaysia daripada COVID-19. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya Dr Zulkifli turut memohon maaf atas sebarang bentuk kelemahan dan kekurangan dirinya, namun menegaskan program yang diatur akan tetap diteruskan pihaknya. “Insya-Allah, bantuan Mus’adah Khas Siswa Siri 2 yang saya janjikan semalam kepada siswa yang terkandas, tetap akan diteruskan oleh agensi agama bawah saya. “Program Musa’adah Covid-19 yang diaturkan, akan terus dijalankan seperti biasa di seluruh Malaysia. Masih ramai memerlukan bantuan kewangan, barangan asas, makanan dan lain-lain dalam tempoh getir ini,” katanya.
05 Oct 20
986
MyHackathon Cari Pakar Media Sosial
MyHackathon Cari Pakar Media Sosial
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober- Terengganu menjadi destinasi kedua bagi Program MyHackathon 2020 mahu mencari lebih ramai pakar media sosial berkaitan penggunaan teknologi dan digitalisasi. Program di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan diusahakan Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) itu antara inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara  (Penjana). Tujuannya memberi fokus kepada pencarian penyelesaian segera menambah baik perkhidmatan terpilih kerajaan yang kini berdepan wabak COVID-19. Ketua Pegawai Operasi Cradle, Razif Aziz berkata,  pemenang siri MYHackthon 2020 ini akan menerima geran mengikut kategori yang disediakan. "MYHackathon 2020 menyediakan ekosistem untuk 'technopreneur' permulaan dan sedia ada mendapat pendedahan, dipupuk serta berkembang dengan sokongan kementerian dan agensi yang mengambil bahagian. "Mereka yang berumur 18 tahun ke atas boleh berkolaborasi dalam pasukan dua hingga lima orang dan menyertai secara suka-suka bagi menyuarakan idea mereka atau dengan memberi komitmen jangka masa panjang," katanya pada sidang media selepas siri jelajah promosi MYHackathon 2020 di sini, hari ini. Katanya, setakat ini pihaknya sudah menerima 120 permohonan dari Terengganu dan bermungkinan akan bertambah penyertaan dari semasa ke semasa. “MYHackathon 2020 terbahagi kepada dua kategori iaitu Sprint dan Marathon. Kategori Sprint Ideation terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas manakala, kategori Marathon pula adalah untuk mereka yang komited untuk melihat perubahan dan menyelesaikan masalah yang sudah dikenal pasti. “Sekiranya peserta dari kategori Marathon ini dipilih sebagai pemenang, mereka akan terus dapat membina penyelesaian dalam masa 12 bulan sehingga mencapai tahap perintis,” katanya. Secara keseluruhannya, sepanjang siri MYHackthon 2020 ini, 18 pemenang daripada kategori Sprint bakal memenangi sehingga RM10,000 setiap kumpulan manakala geran bersyarat sebanyak RM250,000 daripada Cradle pula bakal dimiliki 18 pemenang kategori Marathon.  
05 Oct 20
760
Selamatkan Lapisan Ozon Tanggungjawab Bersama
Selamatkan Lapisan Ozon Tanggungjawab Bersama
KEMAMAN, 5 Oktober - Kerajaan negeri komited melaksanakan pelbagai program sempena sambutan Hari Ozon sedunia yang disambut pada 16 September setiap tahun. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, program ini bagi menyebar luas kesedaran dan komitmen melindungi lapisan ozon di seluruh negara. Katanya, program-program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama agensi-agensi yang berkaitan  bagi mewujudkan persekitaran yang sihat. “Antara program yang berteraskan kelestarian alam sekitar telah dirancang dan dilaksanakan di negeri Terengganu seperti hari bumi, hari alam sekitar sedunia (WED), Kem Kesedaran Alam Sekitar di Tasik Kenyir dan banyak lagi. “Program alam sekitar ini akan dijalankan secara berterusan sehingga awal November 2020 yang melibatkan semua peringkat lapisan masyarakat dengan kerjasama strategik pelbagai pihak,”katanya.  Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Kelab Golf Petronas, Kertih, hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri, Ramli Abd Rahman dan Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd. Rahman. Tambah Dr. Alias, penggunaan bahan kimia secara berlebihan seperti Kloroflurokarbon (CFC) dan seumpamanya adalah bahan utama dikenalpasti sebagai penyebab fenomena penipisan lapisan ozon. ”Akibat daripada tangan-tangan manusia yang mengabaikan  kesedaran mengenai kepentingan penjagaan lapisan ozon maka kesannya akan dirasai oleh semua penduduk bumi,” tegasnya. Justeru itu, beliau berkata segala usaha yang dijalankan ini dapat menyemaikan rasa kecintaan rakyat Malaysia dalam menjaga kelestarian alam sekitar secara menyeluruh dan kesejahteraan, kualiti hidup rakyat terus terpelihara. “Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada urusetia dan kakitangan JAS Terengganu, Petronas Pantai Timur, agensi-agensi kerajaan serta semua pihak yang terlibat menjayakan majlis ini,” ujarnya.
05 Oct 20
674
Lagi Dua Sekolah Di Terengganu Ditutup Angkara COVID-19
Lagi Dua Sekolah Di Terengganu Ditutup Angkara COVID-19
KEMAMAN, 5 Oktober - Dua sekolah dalam daerah Kuala Nerus ditutup akibat penularan kes baharu koronavirus (COVID-19). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata dua sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir. Katanya, ia susulan terdapat pelajarnya disahkan postif COVID-19 yang mempunyai kontak rapat dengan salah seorang kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang juga disahkan positif  sebelum ini. "Kedua-dua sekolah ditutup bermula hari ini sehingga 11 Oktober. "Kita sedang mengesan kontak rapat pelajar berkenaan untuk  menjalani ujian calitan (swab test) sebagai langkah berjaga-jaga dan diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Ozon Negeri Terengganu 2020 di Kelab Golf & Rekreasi PETRONAS, Kertih. SMK Kompleks Seberang Takir mempunyai seramai 765 pelajar dan 82 guru manakala SK Kompleks Seberang Takir mempunyai 817 murid dan 63 guru. Terdahulu, Sekolah Kebangsaan Padang Kemunting di Kuala Nerus ditutup sementara bermula 2 Oktober selepas seorang guru yang merupakan kontak rapat kepada pesakit yang pulang dari Sabah disahkan positif COVID-19. Ia termasuk sebuah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) di Al Muktafi Billah Shah, Bukit Besi, yang ditutup bermula 30 September selepas seorang kakitangannya didapati positif pandemik berkenaan. Sementara itu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) juga ditutup sementara bermula hari ini hingga 7 Oktober  selepas seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19
05 Oct 20
17995
Lebih 45 Majikan Didakwa Tidak Carum Perkeso
Lebih 45 Majikan Didakwa Tidak Carum Perkeso
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober- Lebih 45 majikan di Terengganu telah didakwa di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tahun lalu atas pelbagai kesalahan tidak mendaftar, tidak mencarum dan gagal mendaftar caruman bagi pekerja. Pengarah PERKESO Terengganu, Farihah Che Husin memaklumkan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana caruman yang tidak dibuat oleh majikan buat pekerja mereka. "Saya ingin tegaskan, kita boleh mengambil tindakan di bawah akta tersebut, di mana majikan yang tidak mendaftar dan mencarum PERKESO pekerja boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya. beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyerahan Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000 kepada ibu Muhammad Solihin Mahamad, 24, bekas pemain Terengganu City Football Club (TCFC) yang meninggal dunia minggu lalu, di kediaman allahyarham di Kampung Bukit Depu, di sini hari ini. Jelasnya, PERKESO mendapat perkhabaran kematian pemuda itu melalui laman Facebook dan mendapati caruman terdahulu beliau bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBSNS), Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melayakkan ibunya untuk menerima Faedah Pencen Penakat hampir RM300 sebulan seumur hidup bermula 1 Oktober. "Dalam kes ini kita melihat, sepanjang perkhidmatan allahyarham bersama selama dua tahun bersama TCFC yang turut membantu pasukan itu menjuarai Piala FAM 2018, carumannya tiada dan sangat mendukacitakan kerana sekiranya ia dibayar, mungkin faedah yang bakal diperolehi ibu beliau akan lebih tinggi.  "Kami memandang serius kebajikan terutama atlet-atlet di negeri Terengganu dan sentiasa meneliti kelayakan dan tunggakan caruman mereka. Bukan persatuan bola sepak sahaja, setakat ini semua persatuan sukan negeri masih lagi belum mendaftar pekerja ataupun atlet dan kita tidak mahu terjadi seperti kes ini, yang mana warisnya hanya layak mendapat pencen yang dikurangkan sahaja," katanya. Tambahnya, hanya satu daripada 44 persatuan sukan di Terengganu iaitu Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berdaftar dan mencarum PERKESO bagi kebajikan pekerjanya. .        
05 Oct 20
1128