Artikel "Utama" Terkini
Nelayan Terima Bantuan Bina Baru Rumah LKIM
MARANG, 5 Oktober – Seorang nelayan, Yusri Musa, 48, dari Kampung Kelulut kini mampu menarik nafas lega apabila bakal mendiami rumah lebih selesa.
Rumah yang masih dalam pembinaan itu adalah inisiatif Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersama Pejabat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang yang mahu golongan nelayan menikmati hidup lebih selesa.
Yusri bersama keluarga sebelum ini terpaksa tinggal di rumah yang agak daif dan serba kekurangan.
Pengurus LKIM, Zainal Abiden Mohamad berkata, Yusri adalah salah seorang daripada dua orang penerima bina baru rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang melalui LKIM.
Peruntukan untuk bina baru rumah yang berjumlah RM56,000 adalah bertujuan membantu nelayan melalui persatuan nelayan di mana pemohon di sekitar marang adalah seramai sembilan orang.
Tapak rumah bina baru milik Yusri
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, bantuan di bawah peruntukan ini merupakan satu nikmat yang sangat besar bagi mereka lebih-lebih lagi keluarga ini memang sangat memerlukan.
"Di pihak pusat khidmat, kami akan sentiasa mencari jalan untuk membantu mereka yang memerlukan melalui jabatan-jabatan yang menyalurkan peruntukan bina baru rumah seperti ini.
"Dalam kawasan Rhu Rendang, dua permohonan telah diluluskan, satu daripadanya adalah di Sungai Kerak di mana kita telah berusaha mengangkat permohonannya dan menyumbang bantuan untuk meratakan tanah serta meninggikan tapak tanah miliknya."
Beliau berkata ketika selesai tinjauan proses bina rumah milik Yusri bersama-sama Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman.
Sedikit sumbangan keperluan asas dan kewangan turut diserahkan kepada keluarga Yusri.
05 Oct 20
944
REPSOL Sumbang Kit Keselamatan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - REPSOL Oil & Gas Malaysia Limited telah menyumbang kit keselamatan COVID-19 kepada tujuh buah sekolah-sekolah rendah di sekitar Kuala Terengganu bagi mewujudkan keadaan pembelajaran yang selamat buat semua, baru-baru ini.
Selaku wakil REPSOL Oil & Gas Malaysia Limited, Muhammad Suip, berkata, syarikat tersebut menitikberatkan tanggungjawab sosial syarikat terhadap komuniti-komuniti di mana ia beroperasi.
"Oleh itu, kami telah mengatur inisiatif usaha pengumpulan dana di antara kakitangan dan juga dari syarikat REPSOL untuk membantu sekolah-sekolah menentang penularan pandemik ini.
"Kit keselamatan COVID-19 yang disumbangkan bertujuan membantu pihak sekolah memastikan persekitaran yang selamat bagi pelajar-pelajar, guru-guru dan kakitangan-kakitangan sekolah," katanya.
Antara sekolah yang menerima sumbangan tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Serada, SK Paloh, SK Pulau Rusa, SK Durian Mas, SK Kebor Ayer, SK Pulau Manis dan SK Bukit Petiti.
Sementara itu, setiap kit keselamatan yang disumbangkan mengandungi pendispen pembersih tangan automatik , dispensar pembersih tangan yang dipasang di dinding, pengisian semula pembersih tangan, topeng pelindung muka untuk tenaga pengajar, topeng pelintup muka & hidung bersaiz kanak-kanak dan termometer tanpa sentuh.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program kali ini.
"Setinggi-tinggi tahniah daripada REPSOL kepada semua 'frontliners' termasuk Kementerian Kesihatan, doktor dan pasukan paramedik dan juga semua agensi-agensi awam, swasta serta semua yang terlibat yang terus melangkah dengan tabah untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia walaupun risiko jangkitan wabak pada ketika itu adalah tinggi," tambahnya.
05 Oct 20
1212
Kakitangan Positif COVID-19, UniSZA Ditutup
KUALA NERUS, 4 Oktober - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan ditutup sementara bermula esok hingga 7 Oktober ini selepas seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19 semalam.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, penutupan Kampus Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut itu juga bagi membolehkan proses disinfeksi dilakukan secara menyeluruh.
Katanya, sebagai langkah kawalan pengurusan UniSZA turut memutuskan semua kakitangannya bekerja dari rumah.
"Arahan ini melibatkan semua operasi pentadbiran, kecuali staf yang terlibat dalam perkhidmatan perlu (essential services) seperti keselamatan, kesihatan, kewangan, hal ehwal pelajar dan kolej kediaman tertakluk kepada kelulusan naib canselor.
"Kebajikan pelajar yang masih berada di dalam kampus akan diuruskan oleh pihak universiti.
"Sepanjang tempoh penutupan, pengajaran dan pembelajaran (PDP) tetap diteruskan seperti biasa secara dalam talian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasan Basri.
Menurutnya, staf yang disahkan positif terbabit mempunyai sejarah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu dengan menaiki kapal terbang sama yang dinaiki oleh seorang individu yang pulang dari Sabah dan disahkan positif COVID-19.
"Sejurus UniSZA mendapat maklumat itu, staf yang terlibat diarahkan membuat saringan segera di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan keputusannya positif.
"Seramai 14 staf UniSZA telah dikenalpasti sebagai kontak rapat dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," jelasnya.
Tambah Hasan Basri, semua warga UniSZA yang mempunyai kontak dengan staf yang dikuarantin telah diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah selama dua minggu bermula 2 hingga 15 Oktober ini bagi mengelakkan penularan.
04 Oct 20
2151
Kemasukan Pelajar Ditangguh, UMT Sedia Kemudahan Bagi Pelajar Terkandas
KUALA NERUS, 4 Oktober – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menangguhkan kemasukan pelajar baharu dan sedia ada, Sesi 2020/2021 ke kampus pada 3 sehingga 8 Oktober untuk mengelakkan penularan COVID-19.
Naib Canselor universiti itu, Prof Dato' Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata, langkah berkenaan selaras dengan tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal pelajar-pelajar baharu pada 2 Oktober lalu.
“Dengan pendaftaran jumlah pelajar baharu seramai 2,480 pelajar, Minggu Jalinan Mesra (MJM) serta Majlis Ikrar Pelajar Baharu telah berjaya dilaksanakan pada akhir bulan September secara maya yang dihadiri oleh lebih daripada 2,000 pelajar, Dekan-dekan dan Pegawai-pegawai Utama UMT.
“Pada masa sekarang, UMT telah menerima sebanyak 12 orang pelajar yang telah mendaftar di Kolej Kediaman UMT dan daripada jumlah tersebut, dua orang pelajar telah memilih untuk tinggal di Kolej Kediaman. Manakala seramai 623 pelajar dalam kalangan pelajar Asasi STEM, Diploma, pelajar antarabangsa dan pemimpin pelajar masih berada di kolej kediaman," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Tambahnya, pihak universiti turut melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bagi semua program pengajian akan bermula pada 11 Oktober hingga 31 Disember 2020.
"UMT dengan kerjasama Yayasan YTL telah menyediakan inisiatif pelan data secara percuma kepada semua pelajar baharu dan bantuan tambahan kepada 300 pelajar lain yang tiada kemudahan peralatan pembelajaran secara maya,” ulasnya.
Bercakap mengenai kebajikan pelajar, Dr Nor Aieni berkata, UMT turut menyokong usaha KPT dalam berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan berkenaan penjadualan semula tiket penerbangan serta tiket bas bagi pelajar yang terkesan daripada penangguhan itu.
“Selain itu, kemudahan cafeteria dan koperasi untuk pembelian makanan dan keperluan harian disediakan bagi pelajar yang berada di kampus.
“Usaha lain seperti peruntukan RM0.667 juta untuk kebajikan pelajar golongan B40 dan golongan asnaf juga akan disalurkan dalam masa terdekat. Tambahan lagi, talian khidmat kaunseling untuk kesihatan emosi pelajar turut dibuka,” katanya.
04 Oct 20
647
Perkhidmatan Celcom Alami Gangguan
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Celcom Axiata Berhad (Celcom) mengesahkan rangkaian telekomunikasi syarikat terbabit mengalami gangguan di seluruh negara susulan beberapa masalah teknikal.
Disebabkan itu, jutaan pengguna syarikat terbabit tidak dapat mengakses Internet sejak tengah hari tadi.
Namun, menerusi laman sosial syarikat terbabit, mereka memaklumkan perkara ini dijangka dapat diselesaikan secepat mungkin.
Gangguan ini menjadi ‘trending’ di kalangan pengguna laman sosial dan ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati disebabkan masalah berkenaan.
Malah, ada antara pengguna Celcom kesal kerana mereka tidak dimaklumkan lebih awal mengenai gangguan berkenaan hingga berdepan kesukaran.
04 Oct 20
560
Pasar Buku Ganu, Pupuk Budaya Membaca
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Terengganu Development Management (TDM) Berhad menjadi pelopor dalam membudayakan amalan membaca dengan penganjuran Pasar Buku Ganu yang julung kalinya diadakan di Bandaraya Kuala Terengganu ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, program sebegini banyak manfaatnya kepada warga masyarakat dalam memupuk budaya cintakan membaca terutamanya bagi golongan kanak-kanak dan juga para remaja.
"Indeks kekerapan membaca di India adalah sebanyak 10 jam per minggu berbanding di negara kita yang hanya 3 jam per minggu.
"Oleh kerana itu, program sebegini sangat bermanfaat bagi mengembalikan semula minat serta budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Kanak-kanak sekarang pun sudah ramai yang mula leka dengan permainan atau pun video-video dalam gajet," jelasnya.
Justeru ujar beliau lagi, program ke arah kesedaran seumpama ini dan kepelbagaian acara santai yang bersesuaian seperti pertandingan dan sebagainya amat perlu diadakan demi untuk melahirkan generasi baharu yang tidak lagi terasing dengan budaya membaca.
"Semasa belajar di Jordan dahulu, antara tips untuk kekalkan ilmu yang dipesan oleh guru saya ialah mengajar, menulis dan membaca, di samping amalan membaca al-Quran yang dijadikan rutin harian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Pasar Buku Ganu yang berlangsung di dataran bersebelahan bangunan TDM Berhad, semalam.
03 Oct 20
464
Benam Felda 3-0, Terengganu Intai Tiga Teratas
JENGKA, 3 Oktober - Terengganu Football Club (TFC) mengintai peluang untuk menamatkan saingan Liga Super 2020 di kedudukan tiga teratas selepas berjaya membenam cabaran Felda United 3-0 di Stadium Stadium Tun Abdul Razak, Jengka sebentar tadi.
Jurulatih TFC, Nafuzi Zain berkata, bermain menentang Felda bukanlah satu perlawanan yang mudah kerana pasukan itu pastinya mahu bangkit selepas dibelasah Perak minggu lalu.
“Kita tahu mereka juga mahu menang bagi mengelak tersingkir daripada Liga Super, namun kesungguhan pemain TFC dalam bertahan dan menyerang malam ini memberikan kita tiga mata.
“Taktikal dan strategi yang kita terapkan juga berjaya memerangkap mereka, kita memanfaatkan kualiti yang ada pada Lee Tuck dan Sanjar Shaakmedov,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan.
Mengulas mengenai perlawanan terakhir menentang Pahang minggu depan, Nafuzi mahu para pemainnya terus fokus untuk terus meletakkan TFC di kedudukan terbaik.
“Ia bukan tugas mudah, Pahang ada kelebihan tersendiri, setiap pasukan ada gaya permainan tersendiri tetapi sudah tentu kita mahukan tiga mata apatah lagi beraksi di tempat sendiri,” katanya lagi.
Dalam perlawanan itu, TFC yang hadir sebagai pasukan pelawat bermula baik apabila menemui sentuhan jaringan menerusi tandukan Dominique Da Sylva seawal minit kelima hasil sepakan percuma Lee Tuck.
Beberapa minit kemudian, TFC terus hadir dengan beberapa peluang keemasan tetapi dinafikan oleh penjaga gol Felda, Mohd Muhaimin Mohamad.
Namun, gol kedua TFC hadir pada minit ke-38 selepas rembatan menarik Sanjar dari penjuru kotak penalti menembusi gawang gol Felda dan kedudukan 2-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Felda dilihat lebih banyak menguasai perlawanan bagi mencari gol untuk merapatkan kedudukan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu TFC.
Tetapi, segala-galanya berakhir buat Felda apabila Lee Tuck menjaringkan gol ketiga dan kemenangan TFC melalui sepakan percuma pada minit ke-65, kedudukan 3-0 kekal memihak Terengganu.
Keputusan itu melonjakkan TFC ke tangga ketiga liga berkongsi 16 mata dengan Kedah yang masih kekuragan satu perlawanan.
03 Oct 20
2478
COVID-19 : Terengganu Catat Sembilan Lagi Kes Baharu
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Terengganu mencatatkan sembilan lagi pertambahan kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini.
Ia sekali gus menjadikan kes aktif atau kes sedang dirawat keseluruhan di negeri ini meningkat kepada 20 kes.
Sembilan kes terbabit masing-masing membabitkan daerah Besut sebanyak lima kes, Dungun tiga kes dan Kuala Nerus satu kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes itu melibatkan warganegara iaitu tujuh daripadanya saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah.
"Manakala satu kes saringan kontak rapat kes positif COVID-19 iaitu kes ke-11477 yang melibatkan warganegara.
"Di samping satu kes saringan di Pintu Masuk (Domestik dan Antarabangsa) yang juga melibatkan warganegara," katanya dalam sidang media harian COVID-19 hari ini.
Semalam, sebuah sekolah rendah di Kuala Nerus ditutup sementara selepas seorang guru yang merupakan kontak rapat kepada pesakit yang pulang dari Sabah disahkan positif koronavirus (Covid-19).
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, guru, murid dan kakitangan sekolah terbabit disaring, diletakkan di bawah perintah pengawasan dan dikuarantinkan sebagai langkah awal pencegahan penyebaran wabak berkenaan.
"Salah seorang pesakit COVID-19 merupakan guru di salah sebuah sekolah rendah di daerah Kuala Nerus.
"Sebagai langkah kawalan, sekolah ini ditutup sementara mulai 2 Oktober 2020 dan aktiviti disinfeksi secara menyeluruh akan dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya dalam satu kenyataan.
03 Oct 20
1514
Tenggiri Challenge, Jejak Budaya Marang Ditangguh
MARANG, 2 Oktober - Beberapa program yang melibatkan orang awam di Terengganu ditangguhkan serta merta ekoran peningkatan kes positif COVID-19 di negeri ini sejak beberapa hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, penangguhan itu turut membabitkan program Terengganu Tenggiri Challenge 2020 di Pulau Kekabu dan Jejak Budaya Marang di Dataran Batu Putih.
"Ya, kita menangguhkan program-program ini selepas melihat bilangan kes positif COVID-19 di Terengganu semakin meningkat," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Dalam pada itu, antara aktiviti lain yang turut ditangguhkan ialah program bersih pantai.
"Dengan mengambil kira semua faktor dan langkah-langkah keselamatan serta saranan semua pihak bertanggungjawab, maka penganjur (UBSNT) memaklumkan program bersih pantai yang dijadualkan esok ditangguhkan," ujar kenyataan itu.
Sementara itu, pihak penganjur Karnival Rakyat Sayangi Kuala Nerus bersama YBM mengambil langkah membatalkan program.
"Memandangkan perkembangan semasa gejala COVID-19 pada masa ini, kami mengambil pendekatan untuk membatalkan karnival ini demi menjaga maslahah semua," ujar penganjur.
02 Oct 20
2718
Kakitangan Positif COVID-19, Sebuah Tabika Ditutup
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Terengganu mengesahkan sebuah taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di Al-Muktafi Billah Shah, Bukit Besi, Dungun ditutup bermula hari ini selepas seorang kakitangannya didapati positif COVID-19.
Pengarahnya Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi berkata, penutupan premis tersebut adalah inisiatif pihaknya sendiri bagi mencegah penularan wabak itu, bagaimanapun tempoh penutupan akan bergantung kepada penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu kelak.
"Hari ini juga kontak rapat kepada kakitangan tersebut telah menjalani ujian saringan COVID-19 termasuk 20 kanak-kanak yang belajar di tabika itu.
"Sehubungan itu, kita berharap ibu bapa tidak panik kerana Kemas Terengganu telah mengambil semua langkah perlu seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya buat masa ini semua tabika Kemas yang lain di seluruh Terengganu beroperasi seperti biasa. - BERNAMA
01 Oct 20
6098