lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

89 Projek Mesra Rakyat Bangunkan Parlimen Setiu
89 Projek Mesra Rakyat Bangunkan Parlimen Setiu
SETIU, 9 Oktober - Kira-kira 67,300 rakyat Setiu akan menikmati kehidupan yang lebih selesa apabila 89 Projek Mesra Rakyat (PMR) sedang dan akan dijalankan di seluruh Parlimen terbabit. Ahli Parlimennya, Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata sebanyak RM1.6 juta diperuntukan bagi membangunkan Parlimen Setiu dengan projek-projek seperti menaiktaraf jalan raya, membina dan membaik pulih tempat letak kereta, surau-surau serta gelanggang-gelanggang sukan. "Projek-projek ini dijalankan setelah saya mendapat maklum balas, mendengar luahan rakyat Setiu dan berbincang sendiri dengan setiap pengerusi-pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dari seluruh Mukim. "Setiap projek yang dilaksanakan tidak lain tidak bukan hanyalah semata-mata untuk melihat keselesaan rakyat Setiu itu sendiri," ujar beliau semasa melakukan lawatan ke beberapa tapak projek tersebut. Menurut Shaharizukirnain, pihaknya telah mengadakan pelbagai ikhtiar yang dilihat menguntungkan seluruh rakyat sejak memegang tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Setiu. "Saya akan sedaya upaya terus memberikan tumpuan untuk membawa kemajuan dalam Parlimen Setiu terutamanya di kawasan pedalaman seperti Mukim Hulu Nerus, Hulu Setiu dan Guntong agar mereka dapat menikmati kemudahan sama seperti mukim-mukim yang lain," katanya. Beliau juga berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri dan pusat atas respon yang positif, drastik dan cemerlang terhadap setiap isu-isu yang diajukan beliau selama ini.
09 Oct 20
518
COVID-19 : Jemaah Positif, Masjid Paya Resak Ditutup
COVID-19 : Jemaah Positif, Masjid Paya Resak Ditutup
  MARANG, 8 Oktober - Masjid Kampung Paya Resak di sini ditutup selama tiga hari bermula hari ini berikutan terdapat jemaah yang dikesan positif COVID-19 telah menunaikan solat Jumaat di masjid itu. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, arahan itu berkuatkuasa sehingga 10 Oktober depan supaya proses nyahkuman dapat dijalankan dengan rapi. “Terdapat individu disahkan positif COVID-19 semalam dan individu terbabit dipercayai telah menunaikan solat Jumaat di masjid itu pada 2 Oktober lalu. “Jadi masjid ini ditutup bagi kerja-kerja nyahkuman yang dilakukan mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak jangkitan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
08 Oct 20
6679
Pelajar Positif COVID-19, SMA Sultan Ismail Tutup Sementara
Pelajar Positif COVID-19, SMA Sultan Ismail Tutup Sementara
DUNGUN, 8 Oktober - Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Ismail di sini ditutup selama lapan hari bermula 8 sehingga 15 Oktober 2020 berikutan terdapat pelajarnya yang disahkan positif COVID-19. Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata penutupan ini bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit dan membolehkan kerja membasmi kuman dijalankan. "Terdapat kes positif COVID-19 yang telah disahkan pada 7 Oktober 2020 melibatkan seorang pelajar. "Sehubungan itu, saringan COVID-19 juga akan dilakukan terhadap murid atau guru yang menjadi kontak rapat dengan pesakit COVID-19 di sekolah tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini. SMA Sultan Ismail mempunyai 71 guru dan 823 pelajar.Sementara itu, seramai 29 pelajar dan lapan guru yang disaring merupakan kontak rapat pelajar berkenaan.
08 Oct 20
8798
Sagu Hati Untuk Warga Pusat Kuarantin DITC
Sagu Hati Untuk Warga Pusat Kuarantin DITC
KEMAMAN, 8 Oktober - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat melawat serta menyampaikan cenderahati untuk diberikan kepada 35 petugas barisan hadapan dan 51 orang yang dikuarantin di Darul Iman Terengganu Centre (DITC), Teluk Kalong, hari ini. Beliau turut berharap dan berdoa agar mereka yang dikuarantin itu tabah dalam menghadapi ujian ini. "Kami yang di luar ini sentiasa mengharapkan mereka yang dikuarantin ini termasuk teman-teman saya berada dalam keadaan baik dan keputusan ujian saringan COVID-19 negatif," ujarnya. Hanafiah juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada petugas barisan hadapan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khasnya di Kemaman, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kemaman, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan semua pihak yang terlibat dalam melancarkan segala urusan di sana. "Saya mengharapkan segala jasa dan pengorbanan kalian mendapat ganjaran yang baik daripada Allah S.W.T," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyerahkan 86 bungkusan mengandungi makanan dan minuman sebagai tanda cenderahati.  DITC sekali lagi dijadikan sebagai Pusat Kuarantin Khas COVID-19 di daerah Kemaman dan ianya mula beroperasi sejak 6 Oktober dengan jumlah setakat hari ini seramai 51 orang dikuarantinkan di sana.
08 Oct 20
1593
Terengganu Rakam Takziah Kematian KP Jakim
Terengganu Rakam Takziah Kematian KP Jakim
  KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Kerajaan negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato' Paimuzi Yahya yang meninggal dunia hari ini. Ucapan berkenaan dizahirkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah ketika dihubungi media sebentar tadi. "Allahyarham merupakan tokoh yang tidak asing dalam dunia dakwah. Terima kasih tidak terhingga atas jasa dan khidmat yang diberikan kepada negera dan masyarakat selama ini. "Mewakili kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham. Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh," katanya. Allahyarham meninggal dunia pada jam 1.00 tengah hari tadi di Hospital Sungai Buloh. Jenazah akan dibawa ke kediaman beliau di Kuang, Gombak untuk proses pengkebumian. Semalam, Ketua Unit Komunikasi Korporat Jakim dalam satu kenyataan memberitahu, Paimuzi bebas daripada pandemik COVID-19. Menurut kenyataan itu, Paimuzi menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 pada Selasa iaitu 6 Oktober lalu di Hospital Sungai Buloh dan keputusan didapati negatif. "Memandangkan faktor sejarah kesihatan beliau yang kurang memuaskan, maka pihak hospital mencadangkan supaya beliau ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bagi mendapatkan rawatan susulan," menurut kenyataan itu.  
08 Oct 20
1946
Galeri Muzium Negeri Ditutup Lima Hari
Galeri Muzium Negeri Ditutup Lima Hari
  KUALA TERENGGANU, 8 Oktober- Galeri Muzium Negeri Losong ditutup selama lima hari bermula 10 hingga 15 Oktober ini kepada orang ramai. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam laman sosial rasmi facebook, pihak muzium berkata ia sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan wabak pandemik Covid19. Justeru itu, semasa penutupan tersebut juga akan dilaksanakan sanitasi didalam galeri dan tempat yang sewajarnya. Namun begitu, pejabat masih beroperasi untuk orang ramai yang mempunyai urusan mengikut waktu rasmi.
08 Oct 20
1154
Panel Pemikir Dakwah Diwujudkan Di Setiap DUN Terengganu
Panel Pemikir Dakwah Diwujudkan Di Setiap DUN Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Panel Pemikir Dakwah Negeri Terengganu yang dikenali sebagai Penolong Pegawai DUAT bakal diwujudkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi merintis kerjasama membangunkan gerak kerja dakwah. Pengarah Akademi DUAT, Muhammad Ramlan Mahmood berkata, posisi itu penting bagi memastikan gerak kerja dakwah dapat dilakukan secara lebih bersasar ahli masyarakat.  "Secara umumnya, setiap DUN mempunyai anggota masyarakat yang berbeza baik dari segi budaya dan sosialnya, pegawai DUAT DUN ini ditugaskan untuk mengkaji ‘uslub’ dan pembawakan dakwah yang sesuai dan berimpak tinggi bagi masyarakat di kawasan masing-masing," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Daurah Mutun Islamiyyah peringkat daerah Kuala Terengganu di Dewan Auditorium, Kompleks Sukan Negeri Terengganu dekat sini baru-baru ini. Katanya lagi, para pegawai DUAT DUN berkenaan juga bertanggungjawab merencana penyatuan dan penyelarasan antara pondok atau pusat pengajian agama di tempat mereka agar kebajikan serta peranan mereka tidak terabai. “Usaha mewujudkan pegawai DUAT setiap DUN itu telah dimulakan dan setakat ini kita telah melantik seramai 27 pegawai DUAT yang ditempatkan di DUN masing-masing,” tambah beliau. Untuk rekod, program Daurah Mutun Islamiyyah diadakan di setiap daerah dengan pembelajaran kitab dan dikendalikan ahli panel yang berbeza-beza latar pendidikan
07 Oct 20
828
Hobi Memburu Bertukar Tragedi
Hobi Memburu Bertukar Tragedi
DUNGUN,7 Oktober - Mohd Suhaimi Damuri tidak menyangka hobinya memburu di hutan bertukar menjadi tragedi apabila ditembak rakan sendiri yang menyangkakan dirinya kijang dalam kejadian seminggu lalu di Hutan Besul. Katanya, akibat peristiwa itu dia telah dimasukkan ke hospital selama seminggu bagi menerima rawatan. "Kejadian itu disedari ketika sedang memasang jerat, saya terdengar bunyi tembakan yang sangat hampir dan tiba-tiba saya merasa sakit di badan. "Kejadian itu berlaku pada 25 September yang lalu, seminggu juga saya menerima rawatan di hospital dan mendapat kecederaan di bahagian pinggul dan serpihan peluru terkena di bahagian tulang belakang. "Kini terpaksa kerap juga ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan susulan," ujarnya. Mohd Suhaimi berkata demikian ketika diziarahi  Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di kediamannya semalam. Ghazali berharap Suhaimi akan segera pulih bagi meneruskan kehidupannya seperti biasa dan bersimpati diatas nasib yang menimpa dirinya. Terdahulu Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata kejadian tertembak rakan itu telah membawa kepada penahan dua lelaki bagi membantu kes siasatan. "Kedua-dua suspek penduduk tempatan. Suspek pertama mengaku dia dipanggil suspek kedua ke tempat kejadian untuk membantu mangsa yang cedera ketika memburu dalam Hutan Simpan Besul. Kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau," katanya. Beliau turut menyatakan bahawa suspek mengaku masuk ke hutan berkenaan adalah untuk memburu kijang di kawasan hutan terbabit tanpa mempunyai niat bagi menembak mangsa, kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.
07 Oct 20
9428
Beri Penekanan Serius Terhadap SOP Pelancongan - Ariffin Deraman
Beri Penekanan Serius Terhadap SOP Pelancongan - Ariffin Deraman
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Para penggiat industri pelancongan Terengganu diingatkan supaya memberi penekanan serius terhadap pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan pelancong bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata kerajaan negeri  juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan semua penggiat industri pelancongan terus melaksanakan SOP kepada pelancong. “Saya menyeru semua yang terlibat dalam aktiviti pelancongan seperti pengusaha hotel dan resort, homestay, agensi pelancongan, agensi selaman, pemandu pelancong memberi penekanan terhadap (SOP) dalam mengendalikan pelancong di negeri ini. "Semua pihak terlibat perlu serius dalam memastikan isu-isu yang melibatkan kesihatan dan keselamatan pelancong di Terengganu menjadi keutamaan. Antara langkah pencegahan yang perlu diambil oleh pemain industri (pelancongan) adalah dengan memastikan pengunjung wajib mendaftar menerusi sistem aplikasi MySejahtera, Masuk.la, dan CHaSe Covid-19 yang akan memudahkan pengesanan maklumat pelancong yang berkunjung ke negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam. Dalam pada itu, Ariffin berkata, sektor pelancongan Terengganu antara yang pertama pulih selepas gelombang pertama dan kedua COVID-19 dengan jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini mencatatkan peningkatan begitu memberangsangkan berbanding tempoh sama tahun lalu. Beliau berkata beberapa destinasi pelancongan di negeri ini turut mencatatkan peningkatan jumlah pelancong termasuk Pulau Redang yang menerima kedatangan 25,004 pelancong pada Ogos lepas berbanding hanya 11,640 pelancong pada bulan yang sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 114.8 peratus. Pada Ogos lepas juga Pulau Perhentian mencatatkan 41,420 pelancong berbanding 13,940 pelancong pada Ogos 2019 (kenaikan 197.13 peratus) dan Zoo Kemaman merekodkan 28,740 pengunjung berbanding 6,852 pengunjung pada Ogos 2019 (kenaikan 319.4 peratus). Bagi bulan yang sama, Taman Tamadun Islam mencatatkan 95,878 pengunjung berbanding 69,783 orang pada Ogos tahun lepas (kenaikan 37.4 peratus) manakala Lata Kolam Air Deru Ecopark menerima 23,956 pengunjung berbanding 16,006 pengunjung pada Ogos 2019 (peningkatan 49.67 peratus).- BERNAMA.  
06 Oct 20
306
PPS Banjir Bakal Perkemas SOP Baharu
PPS Banjir Bakal Perkemas SOP Baharu
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bakal diperkemaskan dengan prosedur operasi standard (SOP) terkini selaras norma baharu yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, ketika ini. Pengarah Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, perkara tersebut sedang diperkemaskan Sekretariat Pengurusan Bencana di pelbagai peringkat. "Kita juga merancang untuk melakukan latihan pengurusan di PPS dengan cara norma baharu yang dijadualkan pertengahan bulan ini, kerana kita tidak boleh amalkan cara lama seperti gotong-royong menyediakan masakan dan mengadakan solat jemaah secara beramai-ramai. "Setakat ini, jumlah PPS sedia ada yang direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih kekal sama sebagaimana dahulu, cuma kita dalam proses kemas kini kerana kita semua tahu ada PPS yang berskala kecil seperti dewan serbaguna mungkin tidak boleh digunakan lagi disebabkan faktor norma baharu ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Latihan Menyelamat Di Air APM Terengganu bersama Media: Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana (MTL) Tahun 2020/2021 di Pusat Rekreasi Kalang Warisan, Pulau Manis, di sini semalam. Jelasnya, latihan yang bermula sejak pagi tadi itu menerapkan latihan menyelamat di air, latihan balingan menyelamat mangsa lemas, pengendalian bot asas, dan latihan kecemasan asas sebagai kesediaan APM menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).  "Untuk makluman kita buat latihan mengikut SOP ditetapkan dengan penjarakan sosial dan skala kecil sebagaimana disarankan KKM kerana kita masih dalam pengurusan bencana Covid-19 yang mana kebiasaan baharu yang harus diterapkan. "Mengikut Jabatan Metorologi Malaysia (MET Malaysia), sekarang kita berada dalam musim peralihan dan dijangka tamat hujung bulan ini, mungkin permulaan musim tengkujuh akan diumumkan dalam minggu pertama kedua nanti.  Jadi, semoga latihan ini akan mempersiapkan anggota APM serta rakan media untuk menghadapi MTL," katanya. Tambahnya, seramai 350 orang anggota APM di Terengganu kini bersedia dan boleh digerakkan dalam tempoh enam hingga lapan jam jika berlaku banjir.  
06 Oct 20
1180