Artikel "Utama" Terkini
Guru Rugi RM791,000 Ditipu Macau Scam
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober –Seorang guru di sini terpaksa berputih mata apabila kerugian RM791,000 akibat ditipu oleh sindiket penipuan Macau Scam sejak akhir tahun lalu.
Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata, mangsa berusia 51 tahun itu menyedari dia ditipu apabila akaun bank miliknya hanya berbaki RM208 sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu, petang semalam.
Kerugian ditangung melibatkan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) 1 dan ASB serta dua pembiayaan peribadi dan akaun simpanan milik mangsa yang berasal dari Kampung Wakaf Tengah, Kuala Nerus.
Katanya, pada bulan Disember 2019 , guru lelaki terbabit telah dihubungi oleh individu mengakui sebagai pegawai bank memaklumkan bahawa mangsa masih mempunyai pinjaman tertunggak RM50,000 sebelum talian disambung kononnya ke Balai Polis Seri Kembangan, Selangor.
“Kemudian diberitahu bahawa mangsa telah terlibat dengan sindiket penggubahan wang haram berjumlah RM2.3 juta dan boleh ditangkap serta dikenakan tindakan undang-undang.
“Akibat terpedaya mangsa telah didorong mendaftar akaun RHB yang baru dan kemudiannya memasukkan semua wang simpanan ke dalam akaun berkenaan dan dalam masa sama telah dedahkan maklumat akaun berkenaan membolehkan sindiket membuat pindahan wang keluar daripada akaun RHB miliknya tersebut,”ujarnya.
Tambah Roslee, guru berkenaan telah memindahkan wang ke dalam akaun RHB miliknya sebanyak tujuh kali bermula daripada bulan januari 2020 dan tidak tahu bila pindahan wang dibuat daripada akaun RHB tersebut.
Katanya, laporan polis kemudian dibuat pada Sabtu lalu dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam perkembangan sama, Roslee turut menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dengan tidak melayan mana-mana nombor telefon tidak dikenali termasuk panggilan dari luar negara.
“Paling mustahak, usah dedahkan sebarang maklumat akaun bank anda kepada mana-mana pihak tidak dikenali.
“Jika ragu-ragu segera buat semakan pada portal dan aplikasi, Semak Mule bagi memeriksa akaun bank dan nombor telefon yang digunakan sindiket penipuan,” katanya.
12 Oct 20
7455
Terengganu FC Daki Tangga Ketiga Liga Super 2020
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober- Terengganu Football Club (Terengganu FC) berjaya menamatkan kedudukan di tangga ketiga CIMB Liga Super Malaysia 2020 setelah menang tipis 2-1 kepada Pahang dalam aksi terakhir liga, malam ini.
Beraksi di gelanggang sendiri, Sang Penyu nyata berkelebihan di atas kertas apabila turun dengan lima import berbanding Tok Gajah yang hanya menurunkan Adam Micheal Tull sebagai awang import.
Anak-anak buah Nafuzi Zain memulakan perlawanan dengan serangan awal ke kubu lawan, namun tidak berhasil dengan pelawat lebih banyak bertahan.
Pada minit ke-12, skuad kendalian Dollah Salleh mengejutkan tuan rumah apabila pemain tengah, Nik Muhammad Sharif Haseefy melakukan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti untuk Pahang mendahului 1-0.
Tiga minit berselang, Terengganu FC berjaya menyamakan kedudukan apabila Dominic Da Slyva dijatuhkan oleh Helmi Eliza dalam kotak penalti hasil serangan balas yang digerakkan Lee Tuck.
Penjaring terbanyak pasukan itu tenang menyempurnakannya. ‹Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Sang Penyu menggandakan asakan untuk mengatasi lawan.
Pada minit ke-61, Faris Ramli hampir menjarakkan kedudukan, namun sungkitannya yang melepasi jangkauan Helmi berjaya dikeluarkan Fazly Mazlan.
Terengganu FC akhirnya berjaya mengambil kesempatan atas kekurangan pasukan Pahang yang terpaksa bermain sepuluh pemain setelah Muhammad Hardee Shamsuri yang tercedera pada 10 minit terakhir perlawanan.
Lee Tuck muncul wira Sang Penyu apabila menolak mudah hantaran lintang pemain meningkat naik, Muhammad Azam Azmi Murad ke gawang Tok Gajah pada minit ke-82.
Tuan rumah cuba menambah gol, tetapi kedudukan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan.
Terengganu FC menamatkan liga dengan mengumpul 19 mata, di belakang Kedah di tangga kedua dan juara liga, Johor Darul Ta'zim.
11 Oct 20
2789
Mangsa Dipatuk Ular Layak Terima Bantuan Serangan Binatang Buas
MARANG, 11 Oktober - Mangsa yang dipatuk ular, Noraniza Abu Bakar, 30, layak dikategorikan sebagai penerima Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan sokongan laporan daripada Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu.
Kejadian malang, dipatuk binatang berbisa yang dikenalpasti daripada spesis ular senduk itu telah menimpa Noraniza, ketika terserempak dengannya di dalam bilik air.
Paling menyedihkan, mangsa yang tinggal di Kampung Sungai Kerak merupakan penghidap sakit kencing manis kronik menyebabkan kesan luka di kakinya menjadi lebih parah dan teruk.
Penolong Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu, Aniza Ibrahim berkata, berdasarkan kejadian yang menimpa mangsa, kami mengesyorkan agar mangsa memohon bantuan khusus itu bagi membantu meringankan beban mangsa atau keluarga mangsa yang terlibat dengan serangan binatang buas.
Penolong Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu, Aniza Ibrahim
"Peruntukan bagi bantuan ini adalah maksimum sebanyak RM20,000 untuk kes kematian atau kehilangan keupayaan kekal. Manakala bagi kes hilang upaya sebahagian, kadar bantuan ditentukan berdasarkan peratusan kategori kecederaan."
"Sepanjang tahun 2020, pihak Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu telah menerima dua permohonan melibatkan serangan beruk dan babi hutan, manakala pada tahun 2019 pula, dua kes melibatkan serangan babi hutan dan beruang matahari."
Beliau berkata, sebaik sahaja selesai menziarahi mangsa di rumahnya setelah mendapat maklumat daripada laman rasmi facebook Pusat Khidmat Masyarakat yang dimuat naik di Rhu Rendang Sejahtera Official.
Turut hadir adalah Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, Ketua Perhilitan Daerah Kuala Terengganu, Nik Norhafizah Daud, dan Pengerusi MPKK Sungai Kerak, Muhamad Azahar Bin Adam.
Antara kelayakan serta kriteria adalah mangsa atau waris mangsa diserang oleh binatang buas yang telah dikategorikan sebagai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Contohnya adalah seperti gajah, seladang, babi hutan, beruang, harimau, ular sawa, ular-ular berbisa, spesis primat (beruk, kera siamang, ungka, lotong dan kongkang) serta buaya.
11 Oct 20
10071
PKP, Fasa Ngeri Buat Peniaga
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober - Pandemik yang melanda dunia telah memaksa hampir seluruh negara melaksanakan 'lockdown' di tempat masing-masing termasuklah Malaysia dengan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menjejaskan para peniaga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, ia merupakan satu fasa yang sangat mengerikan terutama kepada para nelayan, petani, dan peniaga kecil kerana pengaliran ekonomi akan teruk terjejas.
Katanya, kesan besar sekiranya dilaksanakan semula PKP tahap pertama kerana pendapatan isi rumah akan terjejas teruk.
"Walaupun pengalaman PKP yang lalu banyak mengajar kita tentang nilai cakna semua pihak, termasuk dana peruntukan sebanyak RM250 bilion daripada kerajaan, namun sebolehnya kita tidak mahu ia berulang lagi kerana masyarakat di semua peringkat akan menanggung peritnya.
"Rata-rata peniaga yang saya temui di sekitar bandar ini melahirkan kebimbangan andai peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 ini memaksa pihak kerajaan laksanakan semula PKP seperti fasa pertama," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman semasa meninjau aktiviti peniaga baru-baru ini.
Tegas beliau lagi, semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak dalam peningkatan mendadak kes dalam negara ini perlulah mengambil langkah serius menjaga diri, keluarga, dan masyarakat bagi meredakan kembali pandemik tersebut.
"Mereka yang terbabit sama ada dalam kalangan pemimpin masyarakat ataupun orang ramai terutamanya yang ada sejarah berkunjung ke Sabah baru-baru ini, perlulah mengambil tanggungjawab dengan mewajibkan diri mengikuti segala langkah keselamatan yang telah diarahkan oleh pihak KKM," tambah beliau.
Ahmad Shah turut berharap semua pihak dapat mematuhi garis panduan pencegahan penularan COVID-19 yang ditetapkan oleh KKM serta mengambil panduan dari hadis Nabi SAW tentang kaedah membendung tersebarnya wabak dalam sesebuah negeri di samping munajat yang tidak pernah surut kepada Allah SWT.
10 Oct 20
1585
DUAT Gilap Skil Pengucapan Wanita Terengganu
Foto : Media DUAT
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Program Seni Pengucapan Daie Wanita Terengganu Sejahtera mampu mengasah kemahiran berkomunikasi dalam kalangan peserta, memberi pendedahan berkenaan strategi berhadapan dengan khalayak dan melatih peserta supaya berani berhujah di hadapan penonton dengan penuh keyakinan dan keberanian.
Pengarah program, Ilhami Nadhrah Hamzah berkata, program tersebut yang telah diadakan di Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu (PSKT) merupakan program latihan khusus untuk para wanita dalam Negeri Terengganu.
Menurut beliau, program yang menyasarkan golongan wanita meliputi pelbagai usia itu mendapat sambutan daripada peserta meski pun terpaksa berlangsung dalam suasana norma baharu.
“Ramai pihak yang menghantar wakil dan kalau saya boleh sebutkan, antara yang terlibat ialah para Daie Wanita Terengganu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES), Pertubuhan Ikatan Generasi Anak Terengganu (i-GenT), Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS) serta masyarakat awam.
“Kita ada dua tujuan utama program iaitu memfokuskan kepada peserta tentang strategi-strategi untuk menangani cabaran pengucapan awam dan penguasaan pentas yang efektif.
“Dan yang kedua ialah untuk menambahkan keyakinan diri para peserta untuk mengatasi perasaan gementar apabila berhadapan dengan orang ramai,”ujarnya.
Ilhami berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Program Seni Pengucapan Daie Wanita Terengganu Sejahtera dianjurkan oleh Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) dan dikendalikan oleh Perunding Pembangunan Wanita Ummah Training Centre, Mariyam Sa'ari yang juga merupakan Finalis Solehah TV Al-Hijrah telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor.
Beliau juga berharap program tersebut dapat membantu para peserta khususnya para daie dalam kalangan wanita Terengganu untuk memahami serta mengaplikasi ilmu pengucapan awam dengan cara penyampaian yang lebih berkesan dan efektif.
Ilhami bergambar bersama Zuraida.
10 Oct 20
317
Majlis Daerah Marang Wujud 'Task Force' COVID-19
MARANG, 10 Oktober - Majlis Daerah Marang (MDM) telah mewujudkan satu 'Task Force' khas untuk mengawal dan melakukan sanitasi bagi mengelakkan peningkatan kes COVID-19 terus berlaku di daerah ini.
Pasukan itu terdiri daripada Penguatkuasa MDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan agensi-agensi terbabit.
Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, mereka akan memantau secara lebih terperinci di seluruh kawasan rekreasi, premis perniagaan, pasar dan tempat-tempat lain di bawah pentadbiran MDM.
"Sementara itu, pasar awam dan pasar malam dibuka seperti biasa namun pihak kami akan lebih memperketatkan pematuhan Prosesur Operasi Standard (SOP) di kalangan peniaga dan orang awam.
"Manakala pasar giliran dan pasar pagi hanya dibenarkan untuk dibuka sekali sahaja pada setiap minggu," jelasnya ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman hari ini.
Menurutnya, aktiviti nyahkuman pula akan dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menganggu waktu operasi premis perniagaan.
"Proses sanitasi juga akan dilakukan di semua pasar awam setiap hari iaitu pada waktu malam kerana aktiviti perniagaan tidak dijalankan pada waktu tersebut," tambahnya.
Untuk rekod, satu pekeliling telah dikeluarkan melalui media sosial dan laman rasmi Facebook MDM, berkaitan arahan tersebut.
10 Oct 20
3689
Pantai Pulau Kekabu Ditutup Setiap Hari Minggu
MARANG, 10 Oktober - Pantai Pulau Kekabu akan ditutup sementara pada setiap hari minggu bermula semalam selepas peningkatan kes pandemik COVID-19 di Terengganu.
Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat ekoran kehadiran pengunjung yang terlalu ramai pada hari minggu.
"Ini menyebabkan pihak MDM khuatir akan berlaku peningkatan kes akibat daripada prosedur operasi standard (SOP) yang tidak dipatuhi oleh orang awam," jelasnya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Menurutnya lagi, langkah itu juga diambil kerana wujud kluster baharu, iaitu Kluster Bah Sahabat yang dikenalpasti di daerah ini.
"Penutupan Pulau Kekabu adalah berkuatkuasa pada hari minggu sahaja, bukan setiap hari namun sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke semasa," tambahnya.
Pusat rekreasi keluarga itu kembali menjadi tumpuan pelancong sebaik tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) tamat sehingga menyebabkan kesesakan dan agak sukar dikawal.
Sebelum ini, pihak MDM juga telah menetapkan peraturan kepada semua pengunjung iaitu perlu mengosongkan kawasan perairan pantai pada jam 6.30 petang.
10 Oct 20
3143
Terengganu FC II Lebur Rekod Tanpa Kalah Pulau Pinang
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober- Terengganu Football Club II (TFC II) berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Juara Liga Premier Malaysia 2020, Pulau Pinang apabila menang 1-0 dalam aksi terakhir liga, sebentar tadi.
Melayan kunjungan Harimau Kumbang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), penyerang tuan rumah, Jordan Mintah meledak gol tunggal perlawanan sekali gus menafikan penamat terbaik pelawat bagi musim ini.
Selaku tuan rumah, anak buah Roshadi Wahab memulakan perlawanan dengan bermain secara lebih terbuka untuk mendapatkan gol awal.
Namun, Pulau Pinang yang cemerlang sepanjang musim ini lebih banyak mendominasi perlawanan.
Pasukan kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid mempamerkan penguasaan dengan empat serangan sepanjang babak pertama, tetapi barisan penyerang mereka jelas terganggu dengan keadaan padang basah akibat hujan lebat.
Terengganu FC II pula berjaya mengawal asakan lawan dengan beberapa serangan balas.
Memasuki babak kedua, Pulau Pinang terus melakukan serangan bertali arus sambil tuan rumah lebih banyak menggerakkan bola melalui hantaran-hantaran jauh ke pasangan penyerang, Jordan dan Darren Lok.
Pada minit ke- 87, lorongan kemas Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob berjaya memecahkan kubu pertahanan lawan membolehkan Jordan berada dalam situasi satu lawan satu bersama penjaga gol lawan, Samuel Jacob Somerville.
Peluang itu disempurnakan Jordan dengan sungkitan mudah melepasi kawalan Somerville.
Keputusan kekal 1-0 sehingga tamat perlawanan melonjakkan Terengganu FC II ke tangga kedua liga dengan 22 mata.
Kedudukan tempat kedua masih terbuka kerana pesaing, Kuala Lumpur akan bertemu Kuching FA, dalam aksi liga yang ditangguhkan ke minggu depan berikutan sekatan perjalanan keluar masuk ke Sabah dan Sarawak akibat Covid-19.
09 Oct 20
3477
Sekatan Jalan Raya Dikuatkuasakan Di Seluruh Terengganu
MARANG, 9 Oktober - Sekatan Jalan Raya (SJR) bagi mencegah penularan COVID-19 dikuatkuasakan semula di 16 lokasi seluruh Terengganu bermula semalam.
Ketua Polis Negeri Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata, pelaksanaan secara bergerak pada setiap empat jam itu dapat mengawal pergerakan masyarakat yang keluar masuk dari satu-satu daerah.
"Kita juga menasihatkan mereka supaya mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang lama, jika hendak keluar ke tempat awam dan sebagainya.
"Pada masa yang sama, dengan adanya SJR ini, pihak polis boleh mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti penyeludupan manusia dan dadah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini semalam.
Menurut Roslee, pihaknya telah meningkatkan pasukan pematuhan di Terengganu dengan mewujudkan 93 pasukan berbanding 60 sebelum ini.
"Pasukan pematuhan ini dianggotai dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela dan lain-lain agensi akan membuat pematauan ke lokasi tumpuan awam di seluruh negeri," tambah beliau.
09 Oct 20
89594
15 Tahun Menunggu, Akhirnya Dapat Bekalan Air Bersih
SETIU, 9 Oktober - Penantian keluarga Siti Idayu Mohd Ali sejak 15 tahun lalu untuk memiliki air bersih akhirnya tercapai apabila bekalan air tersebut mula dipasang di rumahnya tiga hari lepas.
Kata Siti Idayu, 37, sebelum ini mereka sekeluarga terpaksa menggunakan air telaga yang kurang bersih dan apabila tiba musim kemarau, dia berulang alik ke rumah ibu dan bapanya untuk mendapat keperluan air.
“Apabila menggunakan air telaga, baju putih atau baju sekolah anak-anak bertukar kekuningan, air juga berbau dan terasa masam, malah kuku juga bertukar kebiruan namun kami terpaksa mengendahkanya.
“Saya berasa amat bersyukur setelah sekian lama, kami tujuh beranak yang tinggal di sini dapat menggunakan bekalan air bersih yang sangat diimpikan selama ini.
“Sebelum ini, kami tidak mampu menanggung kos pemasangan meter air yang agak besar kosnya kerana jauh daripada rumah orang lain, tambahan lagi suami hanya berkerja sebagai pengawal keselamatan," katanya kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman ketika lawatan diadakan ke rumahnya baru-baru ini.
Siti Idayu tinggal bersama lima orang anak, dan empat daripadanya masih bersekolah sementara anak bongsunya baru berusia 40 hari.
Kisah Siti Idayu itu mendapat perhatian dan simpati Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail yang terus mengambil beberap langkah proaktif.
Kata Shafizi, masalah keluarga itu diberikan keutamaan agar impian mereka untuk mendapat kehidupan yang lebih selesa direalisasikan.
“Isu ini mendapat perhatian daripada Pusat Khidmat Masyarakat Batu Rakit supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar segera, alhamdulillah bekalan air bersih telah disalurkan kepada keluarga terbabit.
“Terima kasih juga diucapkan kepada yang terlibat, pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Alor Damat.
“Kita juga akan terus membantu dan menyelesaikan masalah rakyat secara berperingkat dari masa ke semasa,” tambahnya lagi.
09 Oct 20
2516