lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Anwar Sudah Tidak Releven, Wajar Berundur
Anwar Sudah Tidak Releven, Wajar Berundur
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tidak releven dalam politik tanah air selepas beberapa tindak tanduknya menggugat kestabilan negara. Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, rakyat boleh melihat dengan jelas beliau berbohong ketika sidang media petang tadi dengan mendakwa telah menyerahkan butiran lengkap sokongan yang diperolehi seperti akuan bersumpah ahli parlimen kepada Yang Dipertuan Agung. "Perkara tersebut diperjelaskan semula Istana Negara bahawa Anwar hanya memaklumkan angka tanpa sebarang senarai nama Ahli Parlimen atau bukti berkaitan. "Saya fikir beliau telah mengecewakan seluruh penyokong dia sendiri, negara sementelah lagi. Beliau akan menjadi semakin tidak relevan oleh peristiwa ini. "Mungkin sudah tiba ketikanya beliau memikirkan untuk mengundurkan diri," katanya dalam satu kenyataan semalam. Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi (MOSTI) itu berkata, pihaknya mengambil pendirian untuk tidak terlalu terbabit dalam sandiwara politik tidak berkesudahan itu. "Sebaliknya, kami (Perikatan Nasional) akan terus bekerja keras untuk memperbaiki kesejahteraan rakyat dan negara. Kita tidak mahu tumpuan kita disibukkan dengan permainan sandiwara politik yg merugikan semua pihak. "Kerana itu kita tidak terkejut apa yg berlaku hari ini. Kita tahu Anwar Ibrahim tiada angka itu," tambah beliau.
14 Oct 20
1474
Jangan Pandang Ringan Isu 'Sexual Grooming'- Zuraida
Jangan Pandang Ringan Isu 'Sexual Grooming'- Zuraida
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Orang ramai diseru supaya memberi perhatian yang serius kepada kes keganasan yang berlaku kepada anak-anak perempuan, terutamanya persediaan seksual atau 'sexual grooming'.  Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, sebanyak 3,308 kes penderaan yang melibatkan kanak-kanak direkodkan oleh pihak kerajaan. Zuraida berkata lagi, hal itu tambah merungsingkan apabila sebanyak 1,291 kes melibatkan penderaan secara seksual iaitu lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan. “Apa yang menjadi perhatian saya ialah, kanak-kanak perempuan lebih tinggi peratusan menjadi mangsa dera jika dibandingkan dengan kanak-kanak lelaki.   “Dan kalau dalam kes penderaan seksual pula, tambah memualkan apabila majoriti pelaku adalah mereka yang dikenali mangsa, seperti saudara terdekat dan teman lelaki. “Kita pun sendiri sudah banyak membaca didada-dada akhbar dan di media sosial, bermacam kes. Apa yang pasti, perkara ini akan meninggalkan kesan negatif dalam jiwa mangsa,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, semalam. Zuraida turut menyuarakan kebimbingannya mengenai polemik ‘sexual grooming’  terhadap anak-anak yang masih kecil. “Apabila kita bercakap soal ’sexual grooming’, kita sebenarnya sedang bercakap tentang masa hadapan generasi pewaris negara kita. “Cuba kita bayangkan, apa kesannya kepada negara kalau mereka membesar nanti, semuanya ber’otak kuning’? Sebab itulah bermula sekarang, masyarakat sudah perlu memainkan peranan masing-masing,”tegasnya. Sexual grooming menurut takrifan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah aktiviti jenayah yang menjadikan kanak-kanak sebagai rakan khususnya melalui internet dengan tujuan untuk memujuk mereka supaya menjalinkan hubungan seksual. Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman menunjukkan jumlah kes jenayah seks kanak-kanak meningkat sebanyak 20.3 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
13 Oct 20
1015
Isu Pandemik Sepatutnya Menjadi Keutamaan Semua
Isu Pandemik Sepatutnya Menjadi Keutamaan Semua
SETIU, 14 Oktober - Pemimpin Pembangkang dan Kerajaan seharusnya tidak membincangkan perkara-perkara yang dapat memberi impak negatif kepada kestabilan negara serta ekonomi. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, setiap sebaliknya perlu memberikan fokus kepada isu rakyat terutamanya dalam berhadapan dengan virus COVID-19 kini. "Semua pemimpin sama ada dari parti Kerajaan mahupun pembangkang mesti terus memberi tumpuan sepenuhnya terhadap isu rakyat terutama berkenaan dengan pandemik. "(Terdapat) golongan yang kritikal terjejas terutama peniaga-peniaga kecil, B40 malah yang terbaru golongan dari sektor penerbangan juga terjejas teruk," ujarnya semasa ditemuramah oleh wartawan semalam. Beliau juga gusar dengan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengumumkan bahawa Malaysia kini memasuki gelombang ketiga pandemik ini. "Ramai pihak yang terjejas akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu kini bimbang tentang nasib yang akan mereka terima akibat gelombang ketiga COVID-19. "Sepatutnya, kita haruslah mendahulukan rakyat daripada kepentingan peribadi," tambahnya lagi. Beliau menyeru agar seluruh rakyat Malaysia berjaga-jaga, mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan menyeru agar semua pimpinan menjalankan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka sebaik mungkin.  
13 Oct 20
265
Sistem Wakaf Dan Pinjam Bantu Pesakit Kronik
Sistem Wakaf Dan Pinjam Bantu Pesakit Kronik
MARANG, 13 Oktober - Sistem wakaf dan pinjam yang mula diperkenalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang akhir tahun lepas nyata membantu penduduk di daerah itu terutama pesakit kronik yang kurang berkemampuan. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, sistem yang diamalkan ini membantu dari sudut kebajikan mereka di samping menunggu bantuan daripada agensi berkaitan seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu serta Jabatan Kebajikan Masyarakat. "Seperti contoh, mereka yang menghidap sakit lumpuh di mana mereka memerlukan katil atau kerusi roda bagi meringankan pergerakan dan pengurusan kendiri serta keluarga. Penyumbang Wakaf Katil Pesakit "Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih serta penghargaan kepada semua penyumbang yang baik hati dan dermawan kerana sanggup memberi wakaf katil untuk kegunaan orang lain yang kurang bernasib baik. "Ini dapat mewujudkan masyarakat yang saling menyayangi dan bantu membantu antara satu sama lain sekaligus dapat merapatkan ukhuwwah serta melahirkan masyarakat yang perihatin." katanya. Beliau berkata ketika hadir menyerahkan sumbangan katil pesakit kepada ibu Muhamad Adafis Zakirai yang menghidap sakit lumpuh di Kampung Sungai Kerak. Di samping itu, pihak Dun juga sangat mengalu-alukan mereka yang berhasrat untuk membantu kami kerana di sana adanya satu ganjaran besar iaitu ganjaran pahala untuk bekalan akhirat. Turut hadir adalah, Setiausaha Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Wan Nelang Abd Rahman, dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sungai Kerak, Muhamad Azahar Adam.  
13 Oct 20
340
Bomba Sanitasi Taska Permata Keluarga Batu Burok
Bomba Sanitasi Taska Permata Keluarga Batu Burok
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu selesai melakukan operasi sanitasi atau nyah cemar di Taska Permata Keluarga Batu Burok, disini, hari ini. Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, sanitasi tersebut dilakukan berikutan maklumat yang diterima ada kontak kepada kontak rapat pesakit COVID-19 berurusan di taska itu. Katanya, langkah tersebut bagi memastikan 43 kakitangan dan 268 kanak-kanak di pusat jagaan bawah kelolaan YPKT itu kembali ke taman asuhan kanak-kanak (taska) berkenaan dalam keadaan selesa dan selamat selain tidak bimbang penularan wabak COVID-19. "Dengan kerjasama bomba, kita berjaya jalankan sanitasi untuk taska ini sebelum kita buat pembukaan balik esok hari. "Dalam operasi ini, lapan anggota bomba membantu melakukan kerja nyah kuman di tiga bangunan utama dengan mengambil kira aspek keselamatan dan langkah pencegahan awal untuk mengelak pandemik COVID-19," katanya kepada pemberita selepas proses sanitasi taska terbabit. Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah (Taska) YPKT, Nazri Yusoff. Katanya, YPKT terpaksa membuat penutupan sementara terhadap 17 buah daripada keseluruhan 68 taska dibawah kendaliannya sebagai langkah drastik dan ketat bagi membendung penularan wabak tersebut. “Kita ucapkan terima kasih kepada pihak bomba atas kerjasama ini, untuk esok hari kita akan buka sebanyak 12 buah yang mana secara puratanya taska ditutup sementara selama seminggu mulai 7 Oktober lalu,” ujarnya.
13 Oct 20
9418
OKU Nikmati Hasil Melon Manis
OKU Nikmati Hasil Melon Manis
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Walaupun dilahirkan sebagai orang pekak, ia tidak menghalang 25 ahli Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) untuk mengusahakan projek tanaman tomato ceri dan Melon Manis Terengganu (MMT). Tanaman yang diusahakan bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mula ditanam di kawasan lapang bersebelahan pejabat POPT, di Batu Buruk, di sini pada Julai lalu kini boleh menikmati hasil tuaian yang dianggarkan lebih 100 kilogram. Walaupun MMT kurang berkualiti atau mencapai tahap gred yang diperlukan, tetapi kesemua peserta yang pertama kali menyertai program itu cukup teruja menuai hasil sulung. Presiden POPT, Tengku Arman Harris Tengku Ismail berkata, inisiatif tersebut membuka ruang kepada ahli-ahli persatuan dan bukan ahli untuk menceburi bidang pertanian secara serius “Mungkin selepas ini ada di antara ahli mahu mengusahakan sendiri tanaman melon di kawasan terbiar milik masing-masing kerana mengetahui hasil yang bakal diperoleh cukup berbaloi. “Oleh itu dia cukup berharap ada pihak tertentu terutama kerajaan negeri menyokong apa yang diiusahakan ahli POPT terutama berkaitan suntikan modal dan kelengkapan pertanian,” katanya, Beliau berkata demikian selepas Program Penuaian Melon di Pejabat POPT Batu Buruk, di sini. Sementara itu, Pensyarah UMT (Falkulti Perikanan dan Sains Makanan), Dr Wan Zaliha Wan Sembok berkata, apa yang diusahakan itu adalah di bawah program Pindah Ilmu berkaitan penanaman MMT secara fertigasi. Kata beliau, pihaknya akan memperluaskan projek itu daripada 200 pokok kepada 2,000 sekiranya peruntukan yang disalurkan mencukupi. “Dengan peruntukan RM8,000, UMT hanya mampu menyediakan tanaman MMT tanpa bumbung, sekiranya berbumbung pasti hasil tuaian mampu mencapai gred premium. “Apa yang boleh dibanggakan, rata-rata ahli POPT menzahirkan kesungguhan dan teruja untuk kembali menanam melon manis. Walaupun pertama kali menyertai projek itu, hasil yang diperoleh agak memuaskan,” katanya  
13 Oct 20
949
Agong Tidak Terima Senarai Nama Ahli Parlimen Sokong Anwar
Agong Tidak Terima Senarai Nama Ahli Parlimen Sokong Anwar
  KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak menerima senarai ahli-ahli Parlimen yang menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa majlis menghadap di Istana Negara padi tadi. Istana Negara melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, susulan itu Yang di-Pertuan Agong telah memberi nasihat kepada Anwar supaya akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. "Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau. "Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan. Sementara itu, menyentuh tentang penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Yang Dipertuan Agong melahirkan rasa kegusaran dan menasihati seluruh rakyat Malaysia agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan berdisplin dalam menjaga kesihatan diri.
13 Oct 20
1694
Pokok Tumbang Hempap Kereta, Nyaris Ragut Nyawa
Pokok Tumbang Hempap Kereta, Nyaris Ragut Nyawa
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober – Hujan lebat serta ribut menyebabkan pokok tumbang menghempap sebuah kereta selain menghalang laluan dalam kejadian di Jalan Sultan Mahmud berhampiran Jambatan Kuala Ibai malam tadi. Ketika kejadian, pemandu kereta berkenaan, Shahriza Abdullah, 37, bersama isteri dan dua anaknya dalam perjalanan dari Marang menuju ke Kuala Terengganu. Isteri Shahriza telah mengalami kecederaan ringan di bahagian muka  dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, sebuah jentera bersama sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.30 malam. Katanya, kedua-dua mangsa berjaya keluar daripada kenderaan mereka dengan bantuan orang awam sebelum bomba tiba. "Kejadian itu turut menghalang pergerakan lalu lintas kerana pokok berkenaan tumbang dan melintang di tengah jalan. "Kita mengambil masa kira-kira 30 minit untuk kerja-kerja pembersihan pokok berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini. Dalam pada itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Mohd Izzat Abdullah turut meninjau keadaan mangsa di HSNZ. “Saya bagi pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk mengambil maklum tentang kejadian ini dan akan mengambil tindakan susulan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” katanya. Keadaan kereta mangsa ketika kejadian  
13 Oct 20
870
Persaraan Ibni Amin Kehilangan Besar Buat Sukan Terengganu
Persaraan Ibni Amin Kehilangan Besar Buat Sukan Terengganu
  KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Persaraan Ibni Amin Busu daripada jawatan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) disifatkan satu kehilangan besar buat penggiat sukan dan atlet di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, persaraan itu akan dirasai warga MSNT berikutan kepakaran, ilmu pengetahuan dan pengalaman luas dimiliki Ibni Amin dalam memimpin atlet Terengganu mencapai beberapa kejayaan cemerlang. “Saya percaya ramai warga MSNT terutama yang pernah berkhidmat di bawah seliaan Ibni Amin akan merindui keperibadian beliau yang tampak bersahaja tetapi tegas ketika menjalankan tugas. “Kepakaran, ilmu pengetahuan dan pengalaman luas menyerlahkan aura kepemimpinan beliau, sekali gus membolehkan visi jabatan di bawah pimpinannya dapat dilaksanakan dengan cemerlang,” katanya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Wan Sukairi berkata, antara kejayaan yang pernah dilakukannya ketika memegang jawatan pengarah MSNT adalah membawa Terengganu menjuarai Sukan Malaysia beberapa tahun berturut-turut. “Cabaran memang berbeza pada setiap tahun, namun ketika beliau komited dengan tugasan hingga melakar banyak kejayaan buat negeri  “Semasa pentadbiran beliau juga, ramai atlet berprofil tinggi berjaya dilahirkan,” katanya.
13 Oct 20
1426
Waspada Peralihan Monsun Timur Laut
Waspada Peralihan Monsun Timur Laut
SETIU, 13 Oktober - Warga Terengganu dinasihatkan untuk berwaspada dengan fasa permulaan peralihan monsun timur laut yang dijangka berlaku antara hujung September hingga awal November ini Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, berkata, beberapa persiapan yang telah diaturkan oleh Urus Setia Bencana Daerah termasuk di daerah ini yang dipengerusikan Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar. Katanya, antara langkah itu ialah menghantar bekalan keperluan makanan dan asas ke pengkalan hadapan yang melibatkan dua DUN, Langkap dan Permaisuri. "Selain itu, bilangan pusat pemindahan banjir ditambah bagi memastikan tidak berlaku kesesakan dengan mangsa banjir dan juga 'Standard Operating Procedure' (SOP) akan ditambah baik," katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat jawatankuasa bencana daerah di Pejabat Daerah Setiu petang semalam. Zul Bhari yang juga anggota mesyuarat jawatankuasa bencana daerah turut menasihatkan masyarakat supaya membuat persiapan awal bagi penduduk yang berisiko berlaku banjir. Peralihan monsun timur laut juga mengakibatkan angin kencang beserta ribut, laut bergelora yang membahayakan kepada aktiviti perikanan dan hujan lebat yang kemungkinan berlaku banjir di kawasan rendah.
12 Oct 20
4158