lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

'Slipway' Mudahkan Pengguna Bot Di Kuala Berang
'Slipway' Mudahkan Pengguna Bot Di Kuala Berang
HULU TERENGGANU, 18 Oktober - Pembinaan 'Slipway' dengan kos hampir RM250 ribu bakal memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk menggunakan bot di Sungai Berang berhadapan dengan Kampung Buluh, Kuala Berang. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang berkata pembinaan 'slipway' ini bertujuan untuk menurunkan bot dengan mudah selain digunakan ketika kecemasan. "Pembinaan 'slipway' ini merupakan satu keperluan yang sepatutnya sudah lama ada di sini. Ianya bertujuan untuk menurunkan dan menaikkan bot dengan lebih mudah. Sekiranya ada keperluan misalnya kejadian mati lemas atau kecemasan di air, kita boleh menurunkan bot dengan lebih cepat dan mudah" jelasnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan 'slipway' berdekatan Jambatan Kampung Buluh petang semalam. Menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau berkata projek ini menelan kos yang agak besar, dan baru sahaja memasuki peringkat awal pembinaan. "Projek ini baru saja bermula kerja-kerja melantak cerucuk, dan saya berharap projek ini akan berjalan dengan lancar bagi memberikan kemudahan kepada orang ramai pada masa akan datang," katanya.
18 Oct 20
1866
Jambatan Baharu 'Hadiah' Buat Penduduk Kuala Por
Jambatan Baharu 'Hadiah' Buat Penduduk Kuala Por
HULU TERENGGANU, 18 Oktober - Jambatan baharu bakal menjadi 'hadiah' buat penduduk Kampung Kuala Por, Kuala Berang  yang dikelola oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Hulu Terengganu dengan kerjasama JPP Negeri Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh  yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri berkata jambatan baharu ini dijangka menelan kos hampir RM200 ribu. "Kos projek ini dianggar lebih kurang RM200 ribu, dan telah mula dibina dalam sebulan yang lepas. Alhamdulillah, ia hampir siap untuk gantikan jambatan yang lama," katanya kepada Urus Setia penerangan Darul Iman (UPDI) ketika melakukan lawatan ke jambatan tersebut di Kampung Kuala Por, baru-baru ini. Tambah Dr Mamad  lagi, jambatan baharu ini merupakan salah satu permintaan penduduk kampung, yang sekian lama memohon untuk menggantikan jambatan lama yang sudah uzur dan berisiko jika terus menggunakannya. "Apabila musim hujan, jambatan lama yang sebelum ini akan tenggelam kerana tiangnya ada yang patah dan runtuh. Ini juga berisiko kepada lori atau pun jentera yang melalui jambatan itu," jelasnya.     .
18 Oct 20
3106
Bina Longkang Atasi Masalah Banjir
Bina Longkang Atasi Masalah Banjir
HULU TERENGGANU, 17 Oktober - Kerajaan negeri melalui Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang meneruskan projek pembinaan longkang baharu  bagi menyelesaikan masalah banjir di Kampung Pantai Ali. ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata terdahulu Jabatan Kerja Raya (JKR) baru sahaja selesai membina longkang bagi menyelesaikan sebahagian masalah banjir di hadapan Sekolah Kebangsaan Pasir Tinggi, di sini. "Dengan terbinanya longkang ini, insyaAllah masalah banjir akan dapat diatasi. Akan datang, projek ini akan diteruskan lagi oleh Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) dengan kos bernilai RM100 ribu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak cadangan pembinaan longkang tersebut di hadapan Sekolah Kebangsaan  Pasir Tinggi pada 16 oktober selepas solat jumaat. Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau berkata projek ini akan ditambah baik lagi pembinaannya pada tahun hadapan. "InsyaAllah, tahun hadapan kita akan tambah lagi peruntukan berkaitan dengan permasalahan banjir di kawasan sekitar ini, terutamanya berdekatan Klinik Kesihatan di kampung ini," "Masalah ini sudah lama disuarakan oleh penduduk kampung dan insyaAllah kita akan bantu semampunya," katanya.
18 Oct 20
1204
Bantuan Mangsa Ribut Disegerakan
Bantuan Mangsa Ribut Disegerakan
KUALA NERUS, 18 Oktober - Kira-kira 92 rumah rosak akibat dilanda ribut  dengan sebahagian besar bumbung rumah tercabut dan diterbangkan angin kencang  menerima bantuan segera berupa kepingan atap asbestos dan juga perabung. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, kejadian jam 9.15 malam itu melibatkan 12 kampung antaranya Banggol Donas, Kampung Jeram, Paya Datu dan Tanjung Sabtu kepingan atap baru telah mula diedarkan kepada setiap mangsa bermula pagi semalam. YB Ustaz Ridzuan Hashim memantau pengagihan atap ke ruamh mangsa ribut “Kepingan atap telah kita edarkan ke setiap mangsa ribut agar pembaikan dapat dilakukan dengan segera. “Kita jangkakan pembaikan rumah rosak dapat diselesaikan dalam minggu ini agar rutin harian mangsa tidak terkesan”, ujar beliau lagi. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi rumah mangsa ribut pagi semalam. Menurutnya, Kampung Buluh Gading Dewan dan Buluh Gading Masjid paling teruk terjejas dengan 56 kediaman dilaporkan mengalami kerosakan akibat dilanda ribut yang berlaku antara 10 hingga 15 minit.  
17 Oct 20
412
Penerima Jadual 5A Dinasihat Jelaskan Bayaran Premium Segera
Penerima Jadual 5A Dinasihat Jelaskan Bayaran Premium Segera
SETIU, 17 Oktober – Semua penerima jadual 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Terengganu dinasihat agar menjelaskan bayaran premium tanah dengan kadar segera sebelum tamat tempohnya. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ini kerana proses pembahagian geran akan menjadi lebih panjang sekiranya premium itu lambat dibayar. "Jadual 5A ini ada tempohnya iaitu selama tiga bulan sahaja. Kalau tak sempat bayar, perlulah membuat rayuan untuk melanjutkan tempoh selama tiga bulan lagi. Selepas daripada itu, mengikut undang-undang apabila tamat tempoh tanah itu, ia akan menjadi milik kerajaan semula.  "Apabila kita mahu balik tanah itu semula, perlu melalui prosedur yang panjang bermula daripada bawah, perlu masuk mesyuarat Tanah Daerah semula, Pejabat Tanah dan Galian dan Mesyuarat Exco yang akan memakan masa bertahun-tahun untuk mengeluarkan balik jadual 5A itu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib di Surau Haji Omar, Apal di sini baru-baru ini. ​​​​​Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, terdapat segelintir rakyat sengaja tidak membayar premium tanah kerana tidak percaya kerajaan akan memberi tanah kepada mereka. "Beberapa bulan lepas kita bagi jadual 5A kepada lebih 150 orang untuk RTB Bukit Tasik. Namun setakat ini dimaklumkan oleh Pejabat Tanah, hanya 40 orang sahaja yang sudah membuat pembayaran. Ini bermakna masih berbaki 100 orang lebih lagi belum membayar. "Antara sebab orang tak mahu bayar bukan sebab tiada duit tetapi tidak berapa percaya kerajaan nak beri tanah, kerana sudah dibayar tapi masih tak dapat geran lagi. Padahal sudah dimaklumkan baru-baru ini, kita tidak bagi terus geran kerana kita mahu mengadakan majlis bagi meraikannya. "Insya-Allah, 40 orang yang membuat pembayaran itu akan mendapat geran dalam masa yang terdekat," katanya. Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menghiraukan kekacauan yang ditimbulkan untuk menggugat usaha murni kerajaan negeri.  "Kita sedia maklum isu tanah Pasir Tawar ini sejak bertahun-tahun lagi. Tapi bila kita betul-betul nak bagi, orang tak berapa percaya. Mungkin juga kerana trauma terhadap pemerintahan yang lepas. "Janganlah kita buat tak percaya tidak kena pada tempat. Berhati-hati tetap kena ada tetapi jangan buat tak percaya tidak kena tempat yang akhirnya urusan akan menjadi rumit. "Insya-Allah dia Jabi ini saya akan pertimbangkan semua sama ada untuk lanjutan tempoh, pengurangan kadar bayaran dan sebagainya," tambah beliau.
17 Oct 20
1993
43 Rumah Rosak Dibadai Ribut
43 Rumah Rosak Dibadai Ribut
KUALA NERUS, 17 Oktober - Sebanyak 43 buah rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading di sini rosak selepas dibadai angin kencang pada jam 8.45 malam tadi. Kebanyakan rumah mengalami kerosakan pada bahagian struktur dan bumbung termasuk yang ditimpa pokok. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, sehingga jam 12 malam sebanyak 43 buah rumah dari enam kampung telah terkesan dengan ribut tersebut. “Kita jangka akan ada pertambahan bilangan rumah yang rosak akibat kejadian ini dan pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sedang mengumpulkan maklumat kerosakan di kampung masing-masing. "Difahamkan juga, setakat ini tiada kemalangan jiwa yang berlaku. “Kali terakhir DUN ini dilanda ribut adalah pada September tahun lepas, mengakibatkan 150 buah rumah rosak,” ujar beliau. Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas kejadian ribut luar biasa yang berlaku malam tadi. Dalam perkembangan sama, beliau berharap agar orang ramai lebih bersiap siaga berikutan peralihan monsun timur laut sejak hujung September lepas dan dijangka berakhir awal November ini.
16 Oct 20
2413
'Dulu Beli Cermin Mata Kat Pasar Je'
'Dulu Beli Cermin Mata Kat Pasar Je'
HULU TERENGGANU, 16 Oktober - "Alhamdulillah dapat bantuan cermin mata ini kalau tidak, pakai spek beli dekat pasar saja untuk mengaji, " demikian luahan penerima bantuan, Faziah Ismail, 50. Penduduk Kampung Kedai Manir itu meluahkan rasa syukur apabila terpilih sebagai penerima sumbangan cermin mata (sesi pemeriksaan mata) anjuran Jabatan Kebajikan Malaysia JKM Daerah Kuala Terengganu dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat PKM Manir. "Kalau nak beli sendiri memang tak mampu sebab harga beratus, kalau nak mengaji atau isi borang tu memang pakai cermin mata yang beli harga murah-murah saja sebab rabun dekat. "Alhamdulillah, JKM Daerah Kuala Terengganu beri peluang kepada saya dan semoga sumbangan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang," katanya kepada Media Urusetia Penerangan Darul Iman UPDI. Menurutnya, dia yang sudah kematian suami sejak lapan tahun lalu sangat terharu kerana terpilih untuk sesi bantuan kali ini diadakan di Dewan Musolla Kompleks Al-Kawthar Kubang Lembek, Manir, semalam. Faziah sebahagian daripada 130 penerima yang hadir untuk sesi pemeriksaan mata bagi DUN Manir. Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Masyarakat DUN Manir, Rozali Mamat berkata, cermin mata itu diagihkan kepada warga emas dan golongan B40 yang mengalami masalah penglihatan di kawasan ini. “Ada yang berpendapat, pemberian ini tidak seberapa, namun ia amat bernilai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
16 Oct 20
906
WWF, Penduduk Lupus Barangan Elektrik
WWF, Penduduk Lupus Barangan Elektrik
SETIU, 15 Oktober - WWF Malaysia, syarikat H&M, Persatuan Wanita Kampung Mangkok (PEWANIS) dan penduduk Kampung Mangkok bertindak melupuskan barangan elektrik tidak terpakai bagi menjaga kelestarian alam sekitar. Pegawai Program berkenaan, Nur Syahirah Wahab berkata, aktiviti itu juga sebagai tanda sokongan bagi menjayakan Kempen Pengumpulan Buangan Elektrikal dan Elektronik sempena Hari Alam Sekitar Negara 2020. "Program yang diadakan pada hari ini banyak mengumpulkan barangan seperti televisyen, pencetak, radio, komputer, telefon bimbit dan banyak lagi. "Ini usaha kita menjaga alam sekitar dan menyedarkan masyarakat bahawa barangan sisa elektrikal dan elektronik perlu dihapuskan secara terkawal dan baik," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program pelupusan di Kampung Mangkok di sini hari ini. Program yang diadakan selama dua hari di Rumah Pink, PEWANIS Kampung Mangkok itu berjaya mengumpul lebih 100 barangan elektrikal dan elektronik.  
15 Oct 20
864
ADUN Paka Disahkan Negatif COVID-19
ADUN Paka Disahkan Negatif COVID-19
DUNGUN, 15 Oktober - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat memaklumkan hasil ujian saringan COVID-19 terhadap beliau disahkan negatif.  Satiful memaklumkan perkara itu menerusi satu kenyataan yang dimuat naik menerusi halaman Facebook rasminya bahawa beliau bebas daripada wabak itu. "Alhamdulillah, dua kali swab test, dua kali negatif," katanya.  Satiful diantara kontak rapat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato' Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif COVID-19 semasa mengadakan kunjung hormat di Kompleks Islam Putrajaya.  "Selepas 14 hari, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mari kerat gelang.  "Bebas dah ambe. Kalau jumpa tu tidak perlu larilah," ujarnya secara spontan dalam kiriman Facebooknya.   Justerus, beliau menzahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang berganding bahu menangani COVID-19.  "Terima kasih pihak 'frontliners' yang sedia berkhidmat, memikul tugas dan amanah," katanya.
15 Oct 20
1102
Terengganu Siap Siaga Hadapi Musim Banjir Norma Baru
Terengganu Siap Siaga Hadapi Musim Banjir Norma Baru
MARANG, 15 Oktober - Semua agensi yang terbabit dengan usaha dan operasi banjir kini berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal November ini sehingga penghujung Mac tahun hadapan. Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman. Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, bermula hari ini, Terengganu telah melaksanakan Simulasi Bencana Banjir yang dimulakan dengan daerah Marang. "Hari ini kita menjalankan proses simulasi ataupun latihan berkaitan dengan pengoperasian pusat pemindahan yang mana inisiatif daripada pihak Pengerusi Bencana Daerah iaitu Tuan DO (Pegawai Daerah) Marang untuk menjalankan program ini. "Sangat bagus dan kita telah lihat tadi bermula daripada proses awal pemindahan, 'penduduk yang terjejas banjir' dipindahkan dengan bot dan lori. Alhamdulillah pematuhan itu berlaku dengan baik yang mana dalam bot kita telah kurangkan orang dengan agensi-agensi yang terlibat untuk membawa mangsa berkenaan ke tebing tempat selamat dan dibawa menaiki lori. "Sama juga di dalam lori, kalau dahulu muatannya 40 orang, sekarang hanya 15 orang sahaja, tidak boleh bersesak-sesak dan sebagainya, dan terus dibawa ke pusat pemindahan yang dicadangkan. Ada dua kategori Prosedur Operasi Standard (SOP) kali ini sama ada digunakan di sekolah atau dewan. "'Partition' dijarakkan untuk mematuhi SOP berkenaan, bermula dengan pendaftaran, penjarakan fizikal diutamakan, semua mangsa yang dipindahkan diberi 'face mask' dan sebagainya. Itu adalah SOP yang diwajibkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kita harus patuhi dari masa ke masa. "'Food pax' juga kita sediakan yang mana kita telah disarankan oleh pihak Pengurusan Bencana Pusat, tidak ada lagi masakan secara gotong-royong dan sebagainya. Justeru bagi pihak Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, insya-Allah kita sudah bersiap siaga untuk menghadapi musim banjir kali ini dalam norma baharu. "Kita difahamkan ada lagi daerah lain yang akan dibuat mini latihan dan kita akan perkemaskan lagi SOP berkenaan dari masa ke masa," jelasnya ketika ditemui pemberita selepas Simulasi Bencana Banjir Peringkat Daerah Marang di Dewan Sivik Merchang di sini hari ini. Hadir sama dalam program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Penolong Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara, Negeri Terengganu, Mejar Nik Hazlizam Nik Othman dan Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris. Sulaiman Sulong. Dalam pada itu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong turut memberitahu, kerajaan negeri telah mengarahkan agar semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terlibat dalam simulasi tersebut untuk memberi pendedahan dan mengadakan persiapan awal di peringkat komuniti masing-masing. "Kita prihatin dan mengambil pendekatan melakukan satu tindakan awal bagi memastikan tidak berlaku kebimbangan di antara rakyat tentang persiapan dan persediaan menghadapi musim banjir. Saya juga mengharapkan kita semua sentiasa berhati-hati dan mendengar arahan pihak berkuasa dari masa ke masa," ujarnya.
15 Oct 20
831