lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Program Khas Asasi Imtiaz Berjalan Lancar
Program Khas Asasi Imtiaz Berjalan Lancar
KUALA TERENGGANU, 20 Oktober - Program Khas Asasi Imtiaz untuk pelajar tingkatan satu bagi Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2020 di seluruh negeri ini berjalan lancar. Timbalan Pengarah (Operasi), Yayasan Terengganu, Mazlan Che Wil berkata, walaupun program tidak dapat dilaksanakan secara bersemuka disebabkan pandemik COVID-19, pelajar, guru dan ibu bapa menunjukkan komitmen yang begitu baik selama enam bulan program diadakan bermula Januari hingga 30 Jun lalu. “Program khas asasi Imtiaz mengandungi enam modul antaranya, personaliti, bahasa, bahasa Arab dan Inggeris, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Schoolwide Enrichment Model (SEM) serta al-Quran. “Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, disebabkan negara berdepan dengan wabak COVID-19, para pelajar perlu menyelesaikan semua tugasan di rumah berdasarkan modul yang diberi menerusi pemantauan oleh guru serta ibu-bapa masing-masing,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Perasmian Penutup Program Khas Asasi Imtiaz Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2020 secara sidang video yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat di Pejabat Yayasan Terengganu, hari ini. Mazlan berkata, program yang diperkenalkan sejak 2006 ini lebih kepada membentuk akhlak dan sebagai persediaan kepada pelajar yang baru mengikuti pengajian di Imtiaz . Katanya, walaupun tidak hadir ke sekolah dalam tempoh berkenaan, pelajar mampu mencapai keputusan yang memberangsangkan. “Tahniah kepada anak-anak pelajar, guru-guru, ibu bapa dan semua yang terlibat kerana terbukti COVID-19 tidak menjadi penghalang untuk belajar, ini terbukti apabila 50 peratus pelajar yang mengikuti program khas asasi ini berjaya menghafal lima juzuk al-Quran dan ada yang sampai 14 juzuk walaupun hanya dipantau secara online oleh guru,” ujarnya.      
20 Oct 20
686
JKM Kenal Pasti 568 PPS Di Terengganu
JKM Kenal Pasti 568 PPS Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 Oktober – Sebanyak 568 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dapat menampung 135,045 mangsa banjir di seluruh negeri itu telah disenaraikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini. Pengarahnya, Zuhami Omar berkata daripada jumlah itu, 151 PPS terdapat di Besut dengan kapasiti 14,390 orang diikuti 99 PPS di daerah Hulu Terengganu (12,060 orang) dan Kemaman (73 PPS untuk 41,800 orang). “Sementara itu, sebanyak 73 PPS di Dungun pula boleh memuatkan 16,205 orang, 73 PPS di Setiu berkapasiti 18,050 orang, Marang (51 PPS untuk 13,050 orang), Kuala Nerus (24 PPS untuk 10,070 orang) dan Kuala Terengganu (24 PPS untuk 9,420 orang). "Kami sedang mengenal pasti beberapa lagi lokasi sesuai dijadikan PPS kerana dalam situasi pandemik Covid-19 ini, penting untuk amalkan jarak fizikal di setiap PPS nanti dan jumlahnya akan dimuktamadkan dalam satu mesyuarat Rabu ini," katanya kepada pemberita, semalam. Zuhami berkata beberapa lokasi tambahan juga sudah dikenal pasti untuk dijadikan PPS bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Jelasnya, ia melibatkan premis berkapasiti besar, sekolah, dewan orang ramai, balai raya dan pusat komuniti. Sementara itu, Zuhami berkata, pihaknya sedang mengagihkan barangan keperluan dan makanan untuk kegunaan mangsa banjir di semua 17 mini depoh dan 152 pangkalan hadapan di seluruh negeri itu. "Semua barangan ini dijangka selesai dihantar pada minggu depan. Bagi bekalan untuk Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Kampung Pasir Raja di Dungun pula, penghantaran akan dilakukan sebelum Rabu ini (21 Oktober). "Ia mencukupi untuk tempoh dua minggu, namun sekiranya berlaku situasi luar jangka (banjir semakin buruk dengan pertambahan mangsa), kita akan dapatkan bekalan barangan ini dari beberapa pasar raya. "Terdapat sekurang-kurangnya lima pasar raya di setiap daerah yang boleh menghantar bekalan barangan keperluan ini dalam situasi mendesak," katanya.  
20 Oct 20
4188
'Terima kasih Setiu' - Sophian
'Terima kasih Setiu' - Sophian
SETIU, 19 Oktober - Tiada kata-kata yang dapat dilafazkan oleh Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar selain ucapan terima kasih dalam majlis perpisahan beliau semalam. Mohd Sophian bakal menjawat jawatan sama di Daerah Kemaman dan dijadual melaporkan diri pada 22 Oktober ini. Beliau yang memulakan tugas sebagai Pegawai Daerah Setiu pada pertengahan Januari tahun lalu dilihat sedih ketika ucapan ringkas majis yang dijalankan di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mukim Pantai di Kampung Padang Saujana. "Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang saya berada di Setiu, tentunya satu pengalaman yang amat bermakna bagi saya berada di Setiu. "Insya-Allah kalau ada kesempatan saya akan datang lagi ke Setiu dan saya mohon maaf banyak-banyak kalau ada perkara-perkara yang menyinggung perasaan tuan-tuan semua sebelum ni," katanya. Beliau berkata demikian ketika dalam ucapan ringkas pada majlis jamuan makan tengah hari hari dan perpisahan yang diadakan di rumah Pengerusi MPKK Kampung Padang Saujana. Beliau turut berpesan supaya para pemimpin masyarakat terus memberikan komitmen yang jitu terhadap amanah yang dipegang.
19 Oct 20
863
Tasik 'Pepsi Blue' Dibangun Sebagai Kawasan Pelancongan
Tasik 'Pepsi Blue' Dibangun Sebagai Kawasan Pelancongan
MARANG, 19 Oktober - Terengganu mahu menjadikan kawasan bekas pelombongan emas, Tasik Lubuk Mandi atau lebih dikenali sebagai Tasik 'Pepsi Blue' di Rusila sebagai lokasi pelancongan baharu di negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, perkara itu akan diperincikan menerusi perbincangan dengan pegawai daerah di samping wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terlibat dalam masa terdekat. "Walaupun kawasan bekas lombong emas ini telah ditutup bertahun-tahun tetapi kita tahu ada yang menceroboh masuk semata-mata untuk melihat keindahan panoramanya dan bergambar hingga lokasi ini viral di media sosial. "Jadi kita fikir kalau diolah dengan baik mungkin Tasik Lubuk Mandi boleh menjadi destinasi pelancongan seolah-olah di Kawah Putih, Bandung, Indonesia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di sini semalam. Hadir sama, Pegawai Daerah, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman. Menurut Ariffin, sekiranya dibuka kelak, tentunya aspek keselamatan menjadi keutamaan. Ujarnya, sistem keselamatan seperti mengenakan syarat tertentu untuk pengunjung termasuk larangan mandi serta mengadakan aktiviti atas air berkemungkinan akan diaplikasikan. "Antara kemudahan yang dikenal pasti perlu diwujudkan bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terjamin ialah laluan pejalan kaki di samping pembinaan pagar di sekeliling tasik bagi mengelak insiden jatuh. "Tasik Lubuk Mandi mulai menjadi perhatian ramai pada 2015 selepas video beberapa remaja terjun ke tasik berwarna biru itu tular di media sosial," katanya. Tambah beliau, inisiatif memperkenalkan Tasik Lubuk Mandi itu sekali gus bakal melengkapkan pakej pelancongan di Marang yang ketika ini terkenal dengan tarikan seperti Masjid Rusila, Pulau Kekabu, Dataran Batu Putih dan Kampung Jenang. "Tentunya manfaat ekonomi akan turut dinikmati penduduk setempat menerusi kegiatan perniagaan di kawasan tasik," katanya.  
19 Oct 20
6316
Polis Terengganu Lupus Dadah RM1.5 Juta
Polis Terengganu Lupus Dadah RM1.5 Juta
KUALA TERENGGANU, 19 Oktober - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kontinjen Terengganu menyerahkan sejumlah barang kes narkotik bernilai lebih RM1.5 juta kepada Kualiti Alam Sdn. Bhd. untuk dilupuskan.  Ketua Polis Terengganu, DCP Dato' Roslee Chik berkata, dadah pelbagai jenis tersebut merupakan barang rampasan terkumpul Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri berkenaan sepanjang tahun 2018 dan 2019. "Barang kes yang dilupuskan ialah metaphetamin (pil kuda) sebanyak 6,778 gram, syabu (4,239 g), heroin (3,188 g), ganja (5,459 g), ubat batuk (2,117 liter), daun ketum (308 kilogram), cecair ketum (1,048 liter), Nimetazepam(aramin5) sebanyak 347 g dan estacy (21 g). "Jumlah ini, keseluruhannya melibatkan sebanyak 3,602 kertas siasatan dan telah mendapatkan perintah mahkamah untuk dilupuskan," katanya.  Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Untuk Program Pelupusan Barang Kes Narkotik Terengganu Tahun 2020 di ibu pejabat kontinjen Terengganu, hari ini. Roslee turut memaklumkan, sepanjang tahun 2020, JSJN Terengganu telah menunjukkan kemampuan apabila berjaya mendapatkan rampasan dadah bermula Januari sehingga Oktober dengan nilai keseluruhan lebih RM3 juta. "Ini merupakan peningkatan kes dengan nilai lebih 100 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya.    
19 Oct 20
1910
Bakar Guna Sabut Rahsia Keenakan Roti Sekaya Dapur Kayu
Bakar Guna Sabut Rahsia Keenakan Roti Sekaya Dapur Kayu
  HULU TERENGGANU, 19 Oktober - Keunikan roti dengan inti kaya yang padat dan dibakar menggunakan sabut kelapa di dalam tin minyak  menyebabkan Roti Sekaya Dapur Kayu cukup dikenali penduduk Kampung Bukit Gemuruh dan kawasan sekitarnya. Pemiliknya, Maziah Abd Rahman, 32,  berkata roti berkenaan cukup  istimewa kerana dihasilkan dengan menguli tepung dan memproses sekaya menggunakan tangan selain membakarnya dengan kayu api dan sabut yang membangkitkan aroma tersendiri yang sentiasa menjadi rebutan peminat tegarnya sejak 26 tahun lalu  Rasa intinya yang lemak manis selain kelembutan roti bakarnya terutama apabila dimakan ketika masih panas membuatkan roti bakar Maziah habis  lebih kurang sejam selepas ia mula dijual. Jelas Maziah, ramuan roti dan sekaya tersebut merupakan resipi turun temurun milik keluarga sejak tiga dekad lalu. Bagaimanapun, katanya,  resipi tersebut baru sahaja dikomersialkan untuk memulakan perniagaan pada Februari tahun lalu selepas ayahnya, Jusoh@ Yunus Mamat dan ibu, Fatimah Salleh berhenti menjualnya sejak 26 tahun lalu. Menurutnya, cubaannya meniaga kembali roti berkenaan bermula secara suka-suka untuk memenuhi hidangan keluarga namun ia mendapat permintaan dalam kalangan penduduk setempat. “Segalanya berlaku tanpa dirancang, dari nak buat untuk makan bersama keluarga tetapi mendapat sambutan dan permintaan menggalakkan selepas mak menghantarnya untuk dikongsikan dengan jiran-jiran terdekat. “Saya tidak pernah merancang untuk berniaga roti semula  tapi rata-rata mereka yang pernah merasai dan merindui roti mak saya meminta saya menjualnya kembali,’’ tambah ibu kepada dua anak itu. Menariknya, ada dalam kalangan pelanggan memberitahu roti dihasilkan Maziah sama rasanya dengan roti yang dihasilkan oleh ibu dan ayahnya. “Ramai pelanggan berpuas hati dan membeli kembali selepas mencuba untuk kali pertama malah ada antara mereka teruja apabila memakannya kerana mengimbau kembali zaman kanak-kanak satu ketika dahulu,” katanya  Dalam pada itu, katanya, penjualan roti berkenaan juga meningkat didorong oleh promosi dari mulut ke mulut pembeli. Tambahnya, permintaan roti turut meningkat ketika Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) berikutan penularan koronavirus (Covid-19) sejak 18 Mac lalu. “Boleh dikatakan secara purata saya menghabiskan 35 hingga 50 kilogram sehari  untuk membuat 200 bekas roti dan 100 biji telur serta 20 biji kelapa untuk menghasilkan sekaya yang mampu bertahan untuk dua hari. “Alhamdulillah, pada bulan Ramadan tahun ini, permintaan Roti Sekaya Dapur Kayu meningkat berbanding pada bulan puasa tahun lalu dan hari-hari biasa. Maziah berkata, roti kami dijual pada harga RM5 sebekas mengandungi 10 biji roti berintikan sekaya dan pilihan terbaharu kelapa atau kacang. “Saya buat roti sehari selepas pelanggan membuat tempahan dan kemudian suami saya akan menghantar kepada pelanggan dan ada juga yang membelinya sendiri di rumah kami. “Setakat ini saya menggunakan platform media sosial sahaja untuk mempromosi dan menjual roti ini,” katanya. Sehingga kini, roti bakar sekaya masih  menerima sambutan yang luar biasa dan tempahan bukan sahaja dari kawasan setempat malah turut diperoleh dari luar. Bagi sesiapa yang ingin membuat tempahan bolehlah menghubungi Maziah ( 0167870017) atau membuka laman sosial facebook Roti Sekaya Dapur Kayu untuk maklumat lebih lanjut.  
19 Oct 20
11368
Demam Denggi Di Terengganu Catat Penurunan
Demam Denggi Di Terengganu Catat Penurunan
  KUALA TERENGGANU, 19 Oktober – Kebanyakan daerah di Terengganu mencatat penurunan kes demam denggi, kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus dalam satu kenyataan hari ini. Katanya, sebanyak 349 kes demam denggi direkodkan setakat 17 Oktober lepas, iaitu penurunan 30.2 peratus (151 kes) berbanding 500 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lepas. Daerah yang mencatatkan bilangan kes denggi tertinggi merupakan daerah Kuala Terengganu (192 kes) diikuti dengan daerah Kuala Nerus (52 kes), Kemaman (26 kes), Dungun (25 kes), Besut (24 kes), Marang (15 kes), Hulu Terengganu (10 kes), dan Setiu (5 kes). “Semua daerah menunjukkan penurunan kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019 dan sehingga 17 Oktober 2020, tiada kes kematian denggi yang dilaporkan di negeri ini. “Sebanyak 21 episod wabak telah berlaku di  Terengganu sehingga 17 Oktober  iaitu 17 episod di daerah Kuala Terengganu, dua  episod di daerah Hulu Terengganu, satu  episod di daerah Kuala Nerus dan satu  di daerah Dungun.Sementara itu, satu  wabak aktif dilaporkan di Kompleks Perdana, PDRM, Dungun,”katanya. Justeru itu, Dr Nor Azimi turut menasihatkan orang ramai supaya meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes (bekas menakung air) di dalam dan di luar rumah masing-masing serta di tempat kerja. Katanya, ini merupakan antara langkah-langkah pencegahan demam denggi yang perlu diperkasakan untuk menurunkan kadar jangkitan denggi. Beliau juga meminta masyarakat melakukan semburan untuk membunuh nyamuk terutama pada awal pagi dan lewat petang termasuk mengurangkan aktiviti di luar rumah pada waktu berkenaan untuk mengelakkan digigit nyamuk. “Orang ramai dinasihatkan segera ke klinik berdekatan jika mempunyai simptom demam denggi,”ujarnya.  
18 Oct 20
1211
Bangkit Semula , Permint Plywood Sasar Keuntungan Dalam Tempoh Lima Tahun
Bangkit Semula , Permint Plywood Sasar Keuntungan Dalam Tempoh Lima Tahun
  KUALA TERENGGANU, 18 Oktober -SEBUT sahaja perniagaan papan lapis atau ‘plywood’, pastinya ramai tidak mengetahui industri itu sebenarnya telah dikuasai usahawan melayu bumiputera di negeri ini sejak 1983 dan pernah berdiri setanding dengan syarikat bukan bumiputera yang lain sebelum ‘berehat buat seketika’ untuk satu tempoh yang agak panjang. Anak syarikat Golden Pharos Bhd (GPB), Kilang Papan Lapis Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB) kini kembali bangkit dan menyasarkan keuntungan yang bakal dicapai sebanyak RM5 juta dalam tempoh tiga hingga lima tahun dan tanpa sebarang kerugian. Pegawai Bertugas PPSB, Ahmad Bazli Razali berkata, kepimpinan yang sedang mentadbir kini telah menyediakan satu asas yang kukuh bagi mencapai sasaran berkenaan sekaligus merangka beberapa strategi untuk mencapainya. Katanya, Permint Plywood hari ini mengumumkan strategi pemulihan utama bagi mengembangkan kembali sektor perniagaan berasaskan  venir untuk pasaran tempatan dan juga antarabangsa. “Kita telah menyediakan asas yang kukuh untuk kepimpinan baru pada masa akan datang terutamanya kepada kepada kilang  di mana akan ada pulangan yang besar dan ianya salah satu ikhtiar yang dilakukan pada hari ini. “Apa yang kita mahu dan impikan, Permint Plywood kembali kepada zaman kegemilangannya sejak ia mula beroperasi pada Mei 1983  malah pernah  menjadi salah satu penyumbang kepada ekonomi kerajaan negeri sebelum ditutup pada 2005 dan kembali beraksi pada 2018,”ujarnya. Justeru itu katanya, pelbagai perancangan telah dibuat termasuk menambahbaik hasil keluaran dan mencipta beberapa idea baharu seperti menghasilkan minyak gaharu dengan pokok Karas bagi menjana pendapatan kilang dan bakal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini. “Karas dikenal pasti sebagai tumbuhan yang mampu menjadi komoditi perdagangan yang amat mahal dan boleh memberikan pulangan lumayan kepada pengusahanya. “Oleh itu pengusaha tempatan perlu merebut potensi ini sebagai sumber pendapatan tambahan sambil membantu menjadikan Terengganu sebagai negeri yang bersaing dalam pengeluaran produk utama dalam penghasilan minyak gaharu. Dalam pada itu sebagai langkah permulaan untuk berdiri setanding dengan syarikat lain setelah lama berehat suntikan dana perlu untuk Permint Plywood bangkit bagi mengembangkan kembali sektor perniagaan berasaskan  venir untuk digunakan untuk merekatkan permukaan berbagai jenis kayu perindustrian seperti kayu MDF, papan zarah, kayu berlapis untuk produk perabot atau tujuan lain bergantung pada kualiti kayu. Pengerusi Lembaga Pengarah PPSB, Maliaman Kassim, yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan Dan Pengajian Tinggi berkata, venir kayu di Permint Plywood diperbuat daripada kayu semula jadi dan juga  kayu terbaik.  “Dari sebatang kayu, kita mengupas banyak lapisan venir nipis, biasanya ketebalan dari 0.5mm ke 3.0 mm, ia dipanggil venir.... majoriti spesifikasi produk venir adalah bersaiz 4x8 kaki untuk pasaran tempatan dan antrabangsa.Daripada sebatang kayu balak ia mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 1m3 (Cubic Meter) venir bergantung pada ketebalan  venir yang ditempah oleh pembeli.  “Sehingga kini banyak permintaan produk Face dan Back venir yang telah diterima oleh PPSB. Kemampuan mesin mengupas sedia ada mampu mengeluarkan gred yang terbaik seperti B/BB dan BB/CC untuk venir daripada PPSB yang mampu untuk menembusi pasaran Australia, India dan Taiwan sehingga hari ini. “Namun kita ada permasalahan utama anak syarikat di bawah GPB itu adalah kesemua mesin pengeringan venir mengalami kerosakan dan kos pembaikian dan pembelian ‘steam boiler’ membabitkan kira kira RM 2.4 juta,”ujar beliau. Tambahnya, buat masa sekarang operator kilang terpaksa menggunakan pengeringan secara manual dan ini menyebabkan produk pengeluaran terlalu sedikit kerana faktor cuaca dan proses pengeringan secara manual mengambil masa yang agak lama. “Jika venir tidak dikeringkan dengan secara betul, produk venir akan mengalami kerosakan dimana kulat atau fungus akan melekat di permukaan venir seterusnya menjadikan harga produk ini jatuh atau pembeli tidak akan berminat untuk membelinya dengan kuantiti yang banyak  “Sekiranya pembaikian serta pembelian mesin-mesin pengeringan venir ini dapat beroperasi semula,saya yakin hasil pengeluaran produk akan meningkat berkali ganda dan mencipta nilai tambah baharu kepada pelanggan serta membolehkan mereka meningkatkan lagi jumlah kapasiti pembelian yang lebih banyak,” jelas Maliaman.  
18 Oct 20
4899
63 Mangsa Ribut Terima Bantuan Segera
63 Mangsa Ribut Terima Bantuan Segera
KUALA NERUS, 18 Oktober – Sebanyak 63 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang terjejas akibat kejadian ribut menerima  bantuan segera. Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Mohd Fadhil Wahab berkata, untuk fasa permulaan kesemua keluarga itu diberikan bantuan atap. “Kesemua 19 MPKK sudah melaporkan kejadian semalam dan saya meminta mereka menguruskan penghantaran atap dan membaiki segera,” katanya ketika ditemuramah selepas meninjau kawasan kejadian di sini kelmarin. Menurut beliau, kejadian hujan lebat berserta angin kencang itu turut menumbangkan pokok-pokok dan menyebabkan bekalan elektrik terputus. Sementara itu, seorang penerima bantuan, Rosmawati Muhammad, 56, terharu dengan tindakan pantas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru yang terus menyalurkan bantuan selepas kejadian. “Bantuan ini merupakan bukti bahawa kerajaan hari ini prihatin kerana memahami masalah rakyat,” katanya. Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan, Fadhil Asyraf, 31, berkata mereka sekeluarga amat terharu dan bersyukur dengan bantuan yang diberikan itu. “Saya amat berterima kasih kepada kerajaan terutamanya MPKK kerana mengambil berat isu masyarakat setempat seperti kami yang terjejas akibat bencana angin ribut semalam,” katanya.
18 Oct 20
669
Rakyat Terengganu Dijemput Utarakan Cadangan
Rakyat Terengganu Dijemput Utarakan Cadangan
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober – Rakyat Terengganu dijemput untuk mengutarakan sebarang cadangan dan soalan bersempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 Kali Ketiga, yang dijadualkan berlangsung pada bulan November tahun ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata peluang yang seluasnya dibuka kepada semua penduduk Terengganu tanpa mengira status jantina, agama dan bangsa untuk sama-sama menyumbangkan ‘buah fikiran’.   Zuraida berucap ketika Sidang DUN yang lalu. “Kami buka kepada segenap lapisan masyarakat untuk suarakan apa hasrat dan isi hati mereka kepada kerajaan negeri, berilah sebanyak mungkin respon supaya suara anda didengari. “Tambahan pula Sidang DUN kali ini melibatkan pembentangan bajet Kerajaan Negeri Terengganu jadi rugi sekiranya tidak diambil peluang. “Soalan berkaitan isu wanita, sosial ekonomi, pendidikan dan agama, hiburan, sukan, kerjaya, pembangunan & infrastuktur atau apa sahaja soalan yang berkaitan Kerajaan Terengganu boleh diutarakan kepada kami,” ujarnya. Zuraida berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, pagi tadi. Beliau juga sangat mengalu-alukan cadangan serta idea untuk memantapkan lagi pembangunan wanita, pembangunan modal insan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu. Orang ramai yang mahu menyumbangkan pandangan, bolehlah merujuk halaman media sosial ADUN Wanita (Zuraida Md Noor) bagi mendapatkan pautan atau mengimbas kod QR untuk mengisi borang secara atas talian sebelum 24 Oktober 2020 (Sabtu).
18 Oct 20
530