lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kawat Bubu RM100 Ribu Diagih, Bantu Nelayan Pantai
Kawat Bubu RM100 Ribu Diagih, Bantu Nelayan Pantai
KUALA NERUS, 22 Oktober - Kerajaan Terengganu memperuntukkan dana sebanyak RM100,000 melalui Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu untuk mengagihkan bantuan peralatan kepada nelayan di negeri tersebut, khususnya nelayan pantai bagi membantu peningkatan hasil tangakapan perikanan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, sebanyak 123 nelayan terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) di seluruh negeri menjadi penerima pertama program tersebut. "Kita agihkan kawat bubu, pukat dan juga kit keselamatan. Pada musim tengkujuh, biasanya nelayan akan isi masa dengan jahit pukat buat bubu, jadi pemberian ini kena pada masanya dan walaupun tak banyak, tetapi membantu menyelesaikan beberapa perkara. "Kita juga berharap kerajaan dapat memberikan peruntukan lebih besar pada tahun depan untuk memperbanyakkan lagi program bantuan semua sektor pertanian di mana, hasrat kita untuk memudahkan dari segi birokrasi dan sampai kepada kelompok sasar," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Agihan Bubu Kepada Nelayan daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu di Batu Rakit, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengarah Perikanan Terengganu, Rusman Rusdy. Jelas Dr. Azman, program bantuan itu merupakan peringkat ketiga bantuan kepada nelayan Terengganu. "Program ini baru dilancarkan tahun ini. Semasa dua tahun pertama, kita kenal pasti masalah sebenar nelayan terutama nelayan pantai iaitu kurangnya sumber perikanan dan pencerobohan. "Jadi, pada dua tahun pertama, Terengganu menjadi negeri paling aktif melabuhkan tukun dan unjam serta jadi satu-satunya negeri yang melaburkan dana untuk program ini. Manakala, tahun ini kita fokus beri bantuan, sesuai dengan susur galur permasalahan mereka," katanya. Tambahnya lagi, nelayan-nelayan di negeri itu turut berdepan masalah perlesenan bagi mencari hasil perikanan di perairan Terengganu. "Bagi isu perlesenan, kerajaan negeri telah menubuhkan pasukan petugas (task force) untuk kenal pasti jumlah dan kita telah angkat nama dan pemilik sampan belum berlesen di Terengganu dengan jumlah sekitar 800 buah sampan. "Alhamdulillah, ia telah diluluskan, cuma tinggal urusan adminisasi serta dokumentasi dan kita jangkakan dalam masa terdekat nelayan-nelayan kita akan dapat lesen," jelasnya. Sebanyak 123 penerima kawat bubu terdiri daripada 47 orang dari daerah Besut, Setiu (12 penerima), Marang (12), Dungun (8) dan Kemaman (26) dalam agihan secara terus, hari ini termasuk nelayan-nelayan di Kuala Terengganu iaitu seramai dua orang dan Kuala Nerus (16 penerima).      
22 Oct 20
984
Penduduk Tarik Nafas Lega
Penduduk Tarik Nafas Lega
MARANG, 22 Oktober - Setelah bertahun-tahun terpaksa melalui jalan rosak teruk akhirnya pengguna dan penduduk Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payong di sini lega apabila jalan baharu siap untuk digunakan. Sebelum ini, pengguna dan penduduk kampung berkenaan tiada pilihan dan terpaksa menempuh jalan berlubang besar dan rosak itu kerana ia merupakan laluan keluar terdekat yang menghubungkan dengan kawasan luar. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya bersyukur kerana proses pembaikian jalan sejauh sekitar dua kilometer itu berjalan lancar dan orang ramai tidak perlu lagi menempuh jalan rosak setiap hari. Menurutnya, tekanan dialami penduduk kampung berkurangan apabila laluan baharu lebih selesa itu mula dibuka. "Jalan yang menghubungkan antara jalan utama ke perkampungan dan tanah lot itu telah boleh digunakan sepenuhnya dan bakal dinikmati oleh warga setempat dengan penuh selesa dan selamat. "Pembinaan jalan dan penurapan ini adalah sebahagian daripada keperluan rakyat dan sememangnya kerja-kerja ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua," katanya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Mohd Nor berharap agar segala aktiviti harian masyarakat akan menjadi lebih teratur dengan adanya jalan baharu berkenaan. "Bermula daripada awal lagi kerja ini semua dalam proses pembikinan dan sekarang rakyat semua boleh menggunakan jalan ini dengan sebaiknya," tambah beliau.  
22 Oct 20
769
Lima Beranak Huni Rumah Usang Dapat Kediaman Baharu
Lima Beranak Huni Rumah Usang Dapat Kediaman Baharu
MARANG, 22 Oktober - Nasib lima beranak yang menghuni 'pondok' usang di Kampung Alur Tuman di sini mendapat perhatian apabila mereka bakal mendapat rumah baharu lebih selesa. Selepas lebih 30 tahun tinggal di rumah uzur dan daif itu, ibu tunggal, Zaidah Ghazali, 46, bakal menerima bantuan bina rumah baharu di bawah peruntukan khas Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan proses pembinaannya dijangka bermula dalam masa terdekat. Zaidah yang berkerja sebagai pembuat kuih tradisional selepas suaminya meninggal enam tahun lalu terpaksa berteduh di pondok itu bersama empat anak mereka. Menurut Zaidah, dia amat bersyukur apabila menerima bantuan tersebut dan tidak dapat membayangkan kegembiraan apabila akan tinggal di kediaman baharu "Saya berasa bersyukur setelah mendapat tahu saya akan menerima bantuan ini, dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas pembinaan jalan asas untuk ke tanah tapak rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam. Sementera itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, bagi mendapat kelulusan bina baru, syaratnya adalah rumah yang hendak dibina mestilah mempunyai jalan asas untuk ke tapak tanah. "Jalan itu telah dibina dibawah peruntukan ADUN Rhu Rendang yang juga Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ia bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan dan membawa masuk barang-barang yang diperlukan oleh tukang rumah atau kontraktor yang terlibat. Jalan Asas yang dibina ke tapak rumah Puan Zaidah di bawah peruntukan YAB ADUN Rhu Rendang "Kita telah berusaha membantu Puan Zaidah setelah mendapat aduan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Alur Tuman, dengan membangkitkan isu ini ke dalam mesyuarat Focus Group, pembasmi kemiskinan di Daerah Marang. "Puan Zaidah telah dijadikan sebagai calon peserta Mobile Team yang melibatkan beberapa jabatan untuk dibuat siasatan khusus berkenaan kelayakannya," ucapnya lagi. Sebelum ini, tinjauan telah dibuat oleh Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman.
22 Oct 20
10415
Pegawai Daerah Kemaman Serah Tugas
Pegawai Daerah Kemaman Serah Tugas
KEMAMAN, 22 Oktober - Mohamad A. Rahman @ Othman menyerahkan tugas dan jawatannya sebelum ini sebagai Pegawai Daerah Kemaman kepada Pegawai Daerah Kemaman yang baharu, Mohd Sophian Abu Bakar di sini pagi ini. Beliau yang berkhidmat di Kemaman bermula 3 November 2019 dan berakhir pada 21 Oktober 2020 tentunya meninggalkan banyak kesan kepada pegawai-pegawai di jabatan tersebut. Majlis Penyerahan Tugas Pegawai Daerah Kemaman disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kemaman. Mohamad A. Rahman mengakui, kenangan bersama pegawai-pegawai dan komitmen yang telah ditunjukkan sebagai satu kumpulan bagi menyelesaikan permasalahan di Kemaman merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. "Saya berharap kerjasama pegawai yang telah diberikan kepada saya dapat juga diberikan kepada Pegawai Daerah Kemaman yang baharu sekali gus dapat diterjemahkan dalam pembangunan Kemaman khususnya,” ujarnya. Beliau akan bersara dari penjawat awam bermula hari ini setelah 38 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam. Sementara itu, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid mengucapkan terima kasih kepada Mohamad A. Rahman atas segala jasa dan perkhidmatan yang telah disumbangkan. “Terima kasih diucapkan kepada Tuan Haji Mohamad A.Rahman @ Othman atas segala jasa dan perkhidmatan yang telah disumbangkan kepada kami warga Kemaman, selamat datang dan selamat bertugas diucapkan kepada Pegawai Daerah Kemaman yang baharu, Tuan Haji Mohd Sophian Bin Abu Bakar,” katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook miliknya. Majlis Penyerahan Tugas Pegawai Daerah Kemaman turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasek, Ir. Saiful Azmi Suhaili, ADUN Air Putih, Ab. Razak Ibrahim, Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh dan pegawai-pegawai kanan Pejabat Daerah Kemaman.
22 Oct 20
2630
Aputirich Venture Plt Yakin Jualan Terus Meningkat
Aputirich Venture Plt Yakin Jualan Terus Meningkat
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober— Ketika pandemik COVID-19 terus mengganas, banyak industri di seluruh dunia terjejas teruk akibat daripada kelembapan berterusan ekonomi, Aputirich Venture Plt, sebuah syarikat pengeluar produk berasaskan herba dan perunding kesihatan mampu meningkatkan hasil jualan mereka sehingga  mencapai RM370,000 dalam tempoh berkenaan. Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Rais Abdullah, beliau kini optimis untuk menyasarkan jualan sebanyak RM500,000 menjelang akhir tahun ini berdasarkan pendapatan yang telah diperolehi. “Walau banyak perniagaan lain terjejas disebabkan wabak ini, jualan syarikat kami masih memuaskan kerana pelanggan yang gembira dengan perubahan kesihatan mereka melakukan promosi mulut ke mulut secara sukarela. “Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas sehingga kini jualan kami  meningkat hampir empat kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas, dan merupakan hasil luar jangkaan,”ujarnya kepada pemberita di sini hari ini. Justeru itu katanya, syarikat yang memfokuskan penerangan pemakanan sihat, pengurusan psikologi serta penggunaan sumber bahan semulajadi seperti herba kepada orang ramai juga akan memperluaskan pasaran produk ke Singapura, Indonesia, Brunei dan Dubai bermula tahun depan. “Penggunaan serta perubahan herba dalam kehidupan makin diterima pada hari ini  kerana khasiatnya telah diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya yang memilih Terengganu sebagai tempat mencari rezeki setelah merantau di negera luar. Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2011 itu kini mempunyai tiga jenis produk iaitu RS24 (kapsul nutrisi semulajadi untuk ketahanan sistem imun badan), RS08 (minuman koko untuk masalah sembelit) dan RS04 (serbuk untuk masalah saraf serta angin dalam badan) yang berharga lingkungan RM139 hingga RM249 setiap satu. Jelas anak kelahiran Kedah itu, semua produk keluaran syarikatnya mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan pengesahan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.  “Syukur dengan semua kemudahan ini termasuklah bantuan dari Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu kerana memberi bantuan sebanyak RM1,500 untuk pelabelan dan pembungkusan produk pada tahun 2014," katanya. Lulusan Ijazah Sarjana (M.D) Psikologi di Universiti Andalas, Padang, Indonesia itu juga berhasrat untuk melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang sihat berasaskan sumber semulajadi termasuk melahirkan usahawan-usahawan dalam bidang ini. Berpengalaman selama 17 tahun dalam bidang perniagaan peringkat antarabangsa terutama di Singapura dan Indonesia sebelum berpindah balik ke Malaysia pada 2008, Dr Rais juga merupakan pengasas  kelab bola sepak iaitu Lion FC yang ditubuhkan pada tahun 2018.  “Sukan adalah satu platform terbaik bagi membuat promosi dan pengiklanan sesuatu produk dan sebab itu saya memilihnya sebagai salah satu strategi pemasaran yang berpotensi bagi memperkenalkan produk saya. “Setiap kali perlawanan diadakan, secara tidak langsung lebih ramai yang akan mengenali produk yang saya hasilkan dan itu merupakan satu kelebihan dalam pemasaran Aputirich Venture Plt,”ujarnya . Beliau  turut menasihatkan agar usahawan lebih kreatif mengiklan produk mereka melalui pelbagai medium untuk terus bertahan dalam perniagaan.
22 Oct 20
1586
Rumah Terbakar Ketika Menjerang Air
Rumah Terbakar Ketika Menjerang Air
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober – Sebuah rumah di Lorong Hj. Da, Kg. Che Kundur dikatakan terbakar gara-gara pemiliknya terlupa untuk mematikan api di dapur gas ketika menjerang air. Mangsa, Tengku Inong Tengku Ismail, 66, memaklumkan ketika kejadian berlaku beliau bersama dua orang cucunya keluar ke kedai gunting rambut yang berhampiran. “Selepas masak air, saya bawa cucu saya ke kedai untuk gunting rambut. Apabila saya balik ke rumah, saya terkejut melihat api sudah marak,” katanya kepada pemberita. Sebanyak tiga buah keluarga terlibat dalam tragedi kebakaran ini dan membabitkan 17 orang mangsa kesemuanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihak bomba mendapat panggilan pada jam 6.04 petang dan tiba di lokasi kejadian pada 6.12 petang. "Kita mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran dengan kebakaran. "Kebakaran itu menyebabkan sebuah rumah musnah seratus peratus manakala sebuah lagi musnah hampir 30 peratus. Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
22 Oct 20
883
Penginapan Hotel Terengganu Ketiga Tertinggi
Penginapan Hotel Terengganu Ketiga Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober – Terengganu sekali lagi menjadi di antara destinasi pelancongan pilihan rakyat Malaysia selepas Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mengumumkan peratus penginapan di hotel negeri ini adalah ketiga tertinggi. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata,  sehingga bulan Ogos Terengganu berada di tempat ketiga selepas Pahang dan Perak. "Alhamdullilah, walaupun pada Jun, Terengganu menduduki tangga ketiga manakala Julai tangga kedua, tetapi kita masih diantara ketiga tertinggi daripada segi peratusan penginapan pengunjung, berbeza dengan tahun sebelumnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan kerja menjejaki lokasi-lokasi bersejarah ulama Islam yang terdapat di sekitar Sungai Terengganu dan Sungai Nerus, semalam. Mengulas lanjut tentang kesan gelombang ketiga COVID-19 kepada sektor pelancongan negeri, Ariffin berkata, penyusutan ini sudah dijangka dengan seluruh negara merasa kesannya. "Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri pantai barat, anggaran penurunan adalah 20 peratus kerana pelancong barat menarik balik tempahan penginapan dan tidak boleh keluar berkunjung. Kebetulan juga musim monsun di pulau-pulau yang turut menyumbang kepada penurunan. "Walaubagaimanapun, masih ada lagi pengunjung yang datang seperti di Taman Tamadun Islam dalam jumlah kurang separuh daripada jumlah bulan lalu. "Perbincangan berterusan dengan penggiat industri pelancongan dan agensi bukan kerajaan (NGO) sentiasa diadakan dari masa ke semasa dalam menghadapi gelombang ketiga ini. Harapan tahun depan supaya keadaan akan reda, industri pelancongan Terengganu akan kembali meriah seperti bulan-bulan lepas," ujarnya lagi.
21 Oct 20
4476
Besut Bakal Jadi Hab Ukiran Melayu Tradisional
Besut Bakal Jadi Hab Ukiran Melayu Tradisional
BESUT, 20 Oktober - Kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan Besut sebagai Hab Ukiran Melayu Tradisional di Terengganu dan juga Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pihaknya yakin perabot kayu berukir masih mempunyai peminat tersendiri, malah pasarannya ketika ini juga boleh setanding dengan perabot moden jika diketengahkan mengikut trend semasa. "Ukir kayu adalah seni pertukangan tangan yang menjadi tradisi dalam masyarakat Melayu sejak turun-temurun lagi. Satu kerugian besar jika pening­galan ini tidak dijaga dan diwarisi golongan muda. "Bukan semua kayu boleh digunakan untuk buat kraf hiasan kayu. Untuk produk dalaman, kayu yang sesuai digunakan untuk ukiran adalah jati, angsana dan juga cengal," katanya semasa lawatan ke Kampung Raja, Besut semalam untuk melihat kemahiran ukiran kayu anak Melayu di sekitar kawasan berkenaan. Hadir sama Menteri Perusahaan,Perladangan & Komoditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Pegawai Daerah Besut, Rozali Salleh serta dua juruukir terkenal di Malaysia, Norhaiza Noordin dan Mohd Salizan Abd Rahman. Menurut Kharuddin, kementeriannya juga mempunyai hasrat yang sama dengan kerajaan untuk menjadikan Besut sebagai hab ukiran. "Tujuan hab itu berpotensi dijadikan bengkel besar bagi mereka yang terlibat dalam seni ukir untuk mereka dapatkan khidmat mesin dan sebagainya. "Oleh itu Malaysia dapat kembangkan lagi seni ukiran tradisional ini untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan dalam masa sama berusaha membawa nilai estetika serta nilai kesenian Melayu," tambah beliau.
21 Oct 20
704
YPU Perkenal Bantuan Tanpa Riba Terbaharu
YPU Perkenal Bantuan Tanpa Riba Terbaharu
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) memperkenalkan skim bantuan pinjaman terbaharu membabitkan peruntukan antara RM400,000 hingga RM500,000 sepanjang tahun ini. Dana Bantuan Industri Asas Tani (DUNIA) itu mula diperkenalkan tahun ini bagi membantu golongan usahawan memasarkan produk hiliran berasaskan haiwan ternakan dan sumber pertanian. Ketua Pegawai Operasi YPU, Zulkifli Yunus berkata, kelayakan pinjaman maksima tanpa riba itu diluluskan hingga RM30,000 dan ia bergantung kepada jenis perniagaan yang diceburi. “YPU akan melihat apa keperluan pemohon, sekiranya mahu membeli peralatan menyembelih haiwan atau kelengkapan memproses produk asas tani, kita akan membantu membelinya. “Jika mahukan modal pusingan, kita juga ada menyediakan peruntukan dalam jumlah tertentu. “Sebaliknya, sekiranya pemohon itu mahu membeli haiwan ternakan,  mereka perlu berhubung dengan Lembaga Pertubuhan Peladang yang memperkenalkan Skim Bantuan Modal Tani,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman. Zulkifli berkata, wujudnya idea memperkenalkan DUNIA, selepas melihat usahawan tani gagal memasarkan produk masing-masing secara konsisten kerana kekurangan modal. “Langkah itu sekurang-kurangnya  memberi ruang kepada usahawan  melebarkan ruang perniagaan masing-masing  sehingga ke luar Terengganu atau di pasaraya terkemuka. “Mereka perlu dibantu di mana sebelum ini hanya bertumpu kepada pasaran di kampung atau orang perseorangan sahaja sedangkan produk itu sangat berkualiti,” katanya.    
21 Oct 20
3584
Tempat Bersejarah Ulama Jadi Produk Pelancongan Baharu
Tempat Bersejarah Ulama Jadi Produk Pelancongan Baharu
KUALA TERENGGANU, 20 Oktober – Kerajaan negeri telah mengerakkan usaha bagi memajukan tempat-tempat bersejarah ulama islam terutamanya di sekitar Taman Tamadun Islam dan susur Sungai Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, sebuah jawatankuasa khas telah mengkaji dan mengenalpasti tempat-tempat yang kurang mendapat perhatian. Katanya, jawatankuasa tersebut juga menjadi penyelaras supaya komuniti dan pengusaha pelancongan mendapat manfaat dalam sektor tersebut.  "Pada hari ini kami telah melawat tempat peninggalan sejarah iaitu rumah dan surau Haji Abdul Rahman Limbong atau lebih dikenali sebagai Tok Limbong di Kampung Jongok Tong, Beladau Kolam, Kuala Terengganu. "Kita berbincang untuk membangunkan kembali rumah ini sebagai produk pelancongan bersejarah Islam di susur Sungai Terengganu, sambil memelihara keasliannya. Aktiviti Ratib Khas di surau Haji Abdul Rahman Limbong sentiasa diadakan oleh komuniti setempat, tetapi tidak diketahui ramai. "Rumah Tok Limbong telah diubahsuai kerana binaan lama yang rapuh. Pura Tanjung Sabtu pula mempunyai rumah lama dengan persekitaran yang cantik jika dibersihkan, kita akan cuba untuk istiharkan tempat-tempat sebegini sebagai tarikan pelancongan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan kerja menjejaki lokasi-lokasi bersejarah ulama Islam yang terdapat di sekitar Sungai Terengganu dan Sungai Nerus, di sini hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata Kompleks Tuanku Nur Zahirah yang merupakan kompleks songket juga mempunyai daya tarikan tersendiri untuk diketengahkan. Dalam perkembangan lain, Ariffin memberitahu, usaha komuniti Banggol Cempedak yang menjalankan penyedutan pasir sehingga menjadikan pesisir sungai di kawasan itu sebagai tempat pelancongan wajar diikuti. "Komuniti sebegini wajar dijadikan contoh dan Pejabat Dewan Undangan Negeri Alur Limbat akan berbincang lagi usaha dalam melengkapkan sektor sebegini," ujarnya lagi.  
20 Oct 20
1932