Artikel "Utama" Terkini
311 Mangsa Banjir DUN Ajil Terima Bantuan Banjir
HULU TERENGGANU, 27 Oktober - Seramai 311 mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri(DUN) Ajil menerima sumbangan Bantuan Pasca Monsun Timur Laut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bernilai RM155,500 semalam.
Adunnya, Maliaman berkata, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan serta pelbagai pihak yang tampil memberi sumbangan kepada mangsa banjir setiap kali bencana itu melanda.
“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka menghadapi musibah banjir, terutama dari segi menggantikan keperluan rumah yang rosak akibat bencana alam ini.
"Kerajaan negeri sangat berterima kasih kepada semua yang sudi memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk dan berharap jalinan erat ini akan terus berjalan lancar," katanya dalam satu majlis ringkas di Pejabat Daerah Dan Tanah Hulu Terengganu semalam.
Sementara itu, penerima, Zainon Awang Lah, 69, bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang tampil menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.
“Ini adalah sumbangan pertama yang saya terima untuk banjir kali ini. Ia sedikit sebanyak membantu saya sekeluarga untuk membeli barang dapur dan keperluan rumah.
“Lagipun, gelombang kedua banjir diramal berlaku, tidak lama lagi. Justeru, kami perlu bersiap sedia menghadapi musibah ini.
Bagi Anuar Sulaiman 47 pula, dia dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dia sekeluarga serta mangsa banjir lain.
“Memang banyak harta benda musnah, namun kami reda kerana banjir sudah menjadi lumrah alam tetapi sedikit sebanyak bantuan yang diterima setakat ini meringankan bebabn kami,” katanya.
26 Oct 20
293
Muara Sungai Cetek : Kerja-Kerja Awal Telah Dilakukan, Nelayan Tidak Dipinggirkan
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Kerajaan negeri menyangkal dakwaan sesetengah pihak berkenaan permasalahan nelayan di muara sungai Merchang dan muara sungai Ibai berikutan tiada tindakan diambil bagi menyelesaikan isu muara sungai cetek yang menjejaskan nelayan-nelayan untuk turun ke laut.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, apa yang berlaku tidak seperti yang diceritakan kerana kerajaan negeri melalui pemilik konsesi masing-masing telah menjalankan kerja-kerja pengorekan pasir bagi tujuan alur pelayaran seperti yang dijanjikan sebagai langkah penyelesaian jangka pendek.
"Video yang tular itu baharu tetapi bukan terkini. Apa yang berlaku sekarang pendalaman muara sungai sudah dimulakan sejak Ogos lepas dan sekarang ini melalui penyediaan laporan Method of Statement oleh pihak konsesi yang telah pun dipersetujui oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, maka kerja-kerja mendalamkan laluan pelayaran boleh dijalankan bagi mengatasi masalah muara sungai yang cetek.
"Nelayan sudah boleh keluar masuk walaupun ketika air surut. Alhamdulillah kerjasama baik dari persatuan nelayan setempat banyak membantu melicinkan usaha ini," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Sementara itu, tambahnya, di muara Merchang sekarang ini timbul isu simpanan pasir (stockpile) terlalu tinggi.
"Insya-Allah isu ini akan selesai dalam masa terdekat ini. Susulan itu, minggu lepas, pihak konsesi muara sungai Merchang telah mendapat kebenaran dari Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Timur dan jabatan yang berkaitan.
"Kita menjangkakan pada hujung minggu ini atau minggu depan jentera akan masuk dan kerja-kerja mengalihkan pasir dapat dijalankan di samping meneruskan kerja mendalamkan muara.
"Kajian Marine Risk Assessment (MRA) telah diluluskan dan pemeriksaan kapal telah dibuat. JLM telah mengeluarkan kelulusan operasi untuk kapal-kapal melakukan kerja-kerja pengerukan di Merchang dan melakukan aktiviti Ship-to-Ship (STS) di hab pelabuhan Dungun.
"Namun begitu, untuk muara Kuala Ibai, kerja-kerja mendalamkan alur pelayaran juga telah bermula cuma kebenaran untuk mengalihkan timbunan pasir masih belum diperolehi. Kita jangkakan selepas Akta Pengurusan Air dijangka dikuatkuasakan pada 1 Disember ini, semua muara di Terengganu akan dapat mengeluarkan pasir untuk dieksport insya-Allah," jelasnya.
26 Oct 20
2891
Sangkar Ikan : PDT Dungun Panggil Pihak Terbabit Untuk Berunding
DUNGUN, 26 Oktober - Pejabat Daerah dan Tanah Dungun (PTPD) akan memanggil pemilik syarikat Mad Paka Global Resources Sdn Bhd, Ahmad Abdullah dan pihak-pihak terlibat bagi berunding berhubung isu sangkar ikan air masin miliknya di Paka, dalam masa terdekat.
Pegawai daerah Dungun, Anuar Awang memaklumkan, rundingan tersebut akan dilaksanakan bertujuan mencapai kata putus berkaitan isu yang tular di media sosial, baru-baru ini.
"Sebelum ini, kita menerima aduan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa sangkar ikan tersebut memasuki kawasan hak laluan atau 'Rights Of Way (ROW)' projek JPS yang sedang berjalan.
"Sebelum operasi tempoh hari, kami telah mengeluarkan dua notis lebih dua bulan kepada pihak terbabit supaya sangkar tersebut dialihkan," jelasnya kepada pemberita ketika ditemui di PTPD, semalam.
Tambahnya, setakat ini pihaknya tidak melakukan apa-apa tindakan dan memutuskan pertemuan dengan pihak berkenaan dalam sesi rundingan secepat mungkin.
"Buat masa sekarang, kita 'hold' dulu projek ini sehingga rundingan dilakukan," katanya.
26 Oct 20
3852
ADUN AJIL Perjelas Isu Tular Kisah Lima Keluarga
HULU TERENGGANU, 25 Oktober - Kehidupan lima buah keluarga yang berpenghuni seramai 24 orang di Kampung Jerlan, Ajil sentiasa dalam perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Ajil, Maliaman Kassim.
Terdahulu kisah mereka yang masih tidak mendapat keperluan asas bekalan eletrik dan sumber air bersih kini tular di media sosial.
Maliaman berkata , isu berkenaan telah berlarutan sekian lama sebelum beliau memenangi DUN tersebut namun pihaknya tidak akan meminggirkan mana-mana penduduk.
“Untuk pengetahuan, pihak kami telah beberapa kali mengadakan siri ziarah menghantar sumbangan makanan termasuk menukar atap yang rosak di dua buah rumah tersebut dan terbaharu jalan tar telah diturap ke jalan yang menghubungkan ke penempatan itu.
“Begitu juga dengan isu bekalan elektrik, kami sudah membawa kes ini kepada pihak berkenaan dan melibatkan kos yang tinggi, RM 120,000 diperlukan untuk pemasangan tiang dan pencawang kerana kedudukan penempatan itu dari jalan utama kira kira 1.5 kilometer.
"Permohonan untuk mendapatkan bekalan elektrik ini pun sudah dipanjangkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar ( KPLB ) sejak dari 2019 lagi," ujarnya ketika menjawab tentang isu tular ini.
Tambah beliau lagi, apa jua permohonan masyarakat pihaknya akan terima dan perhalusi, serta cuba tunaikan dan tidak semua isu dapat diselesaikan segera.
"Kita akan selesai satu persatu, kami tak boleh pergi serentak. Sebab perkara ini perlu diperhalusi dengan diteliti, perlu mendapat pandangan agensi-agensi sebab ini kawasan pendalaman.
"Kita bantu sepanjang masa, kalau ada (masalah,) mungkin kes itu agak rumit. Jadi tuduhan (kami tak peduli itu) kalau ada 10 orang, seorang sahaja buat begitu," katanya.
25 Oct 20
10122
Kanak-Kanak 6 Tahun Maut Jatuh Flat
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Seorang kanak-kanak lelaki maut, disyaki jatuh daripada tingkap 15 di Flat Ladang Gemilang sekitar pukul 4, petang tadi.
Mangsa bernama Mohamad Aryan Defa Danish Mohd Azizul, berusia 6 tahun yang juga pelajar pra-sekolah Sekolah Kebangsaan Ladang, dipercayai terjunam melalui tingkap ruang tamu ketika ibunya, Nurul Amelia Ali, 34, keluar ke kedai berdekatan.
Mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik, dipercayai tidur bersendirian sebelum kejadian.
Amelia mengetahui insiden itu daripada suaminya Mohd Azizul Mohamad, 35, yang menerima panggilan tentang berita buruk tersebut daripada tuan rumah mereka pada pukul 4.20 petang.
Ibunya berkata, mangsa sempat bersalam dengannya sebelum tragedi tersebut.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Zahirah untuk tindakan selanjutnya dan dijangka dikebumikan di Perkuburan Islam Bukit Batu Buruk.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Assisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
25 Oct 20
5073
Pembinaan RMM Kampung Tajin berjalan Lancar
HULU TERENGGANU, 25 Oktober - Rumah Mampu Milik (RMM) Kampung Tajin kini dalam proses pembinaan dan dilaporkan berjalan lancar, seperti mana yang dijadualkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata sehingga hari ini, pembinaan RMM Kampung Tajin berjalan dengan baik dan akan siap tidak lama lagi.
"Sebanyak 250 buah unit RMM sedang dibina dan proses pembinaan berjalan dengan lancar setakat ini.
"InsyaAllah, saya jangkakan perumahan ini akan dapat disiapkan pada jun 2021," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak RMM di hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT), Kampung Tajin, baru-baru ini.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid dan Penyelaras Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kuala Berang, Mohamed Abdullah.
Menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri berkata, pihaknya turut berhasrat untuk membina sebuah masjid bagi kemudahan penduduk di kawasan Limau Rendang ini.
"Ada beberapa ekar tanah di sini (Limau Rendang) yang kita akan buat pengambilan untuk bina masjid. Ini kerana, masjid yang baru ini boleh digunakan oleh masyarakat dan pelajar di sekolah yang terdekat di kawasan ini," katanya.
25 Oct 20
7709
Kekal Tenang Dan Doakan Kesejahteraan Negara
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober – Rakyat Malaysia diseru supaya tidak berada dalam kekhuatiran, sebaliknya terus mendoakan keharmonian negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, terdapat segelintir pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan sengaja menimbulkan ketakutan dan salah faham kepada rakyat.
Menurut Zuraida, mereka sengaja menimbulkan pelbagai spekulasi dengan tujuan untuk memburukkan kerajaan dan pada masa yang sama menghakis kepercayaan rakyat.
“Macam-macam salah faham mengenai ‘darurat’ yang mereka timbulkan, rakyat cuba dimomok-momokkan dengan maklumat yang tidak tepat.
“Walaupun begitu, kita bersyukur apabila ada pakar-pakar perundangan yang tampil memberi penjelasan secara sukarela kepada rakyat.
“Jadi, menjadi kewajiban kepada kita untuk baca, hadam dan fahami tentang apa sebenarnya situasi sebenar yang berlaku pada hari ini,” ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Zuraida yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia menasihatkan rakyat supaya tidak ‘menelan bulat-bulat’ naratif yang dibawa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kebelakangan ini, suhu politik negara seperti tidak reda panasnya bahkan bertambah panas apabila ada ura-ura mengatakan ‘darurat politik’ bakal dilaksanakan disebabkan ‘drama kemelut politik’ yang semakin buruk.
“Apa-apa pun jua keputusan Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja Melayu nanti, pastinya itu yang terbaik.
“Sebagai seorang rakyat yang cintakan keamanan dan kestabilan negara, kita kekal tenang dan berdoa agar Allah pelihara negara kita dari sebarang kekacauan,” katanya.
25 Oct 20
418
Mohon Lesen, Jangan Ceroboh Tanah
SETIU, 24 Oktober – Orang ramai dinasihatkan agar tidak menceroboh tanah kerajaan sesuka hati walaupun bertujuan untuk memajukannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, mereka yang berminat untuk mengusahakan tanah bagi tujuan perusahaan akuakultur seperti sangkar ikan boleh memohon Lesen Menduduki Sementara (LMS).
Katanya, di seluruh Terengganu terdapat banyak lokasi tanah, tasik, kolam dan sungai milik kerajaan negeri yang telah dimanfaatkan oleh rakyat untuk aktiviti tersebut.
"Ramai yang sudah diberikan LMS, mereka bukan sahaja tidak diganggu, malah dibantu lagi oleh kerajaan.
"Dalam proses nak meluluskan LMS ini, pandangan teknikal daripada beberapa jabatan terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Daerah, Jabatan Perikanan, Jabatan Taman Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Plan Malaysia dan beberapa jabatan lain lagi akan dikaji.
‘’Sekiranya tiada apa-apa isu berbangkit, maka tiada masalah untuk permohonan LMS tersebut diluluskan kerana hasrat kerajaan adalah untuk memajukan industri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya ada isu berbangkit dengan lokasi tapak projek yang dimohon, maka perbincangan boleh dibuat untuk mencadangkan lokasi lain yang lebih sesuai.
"Hasrat kerajaan ialah untuk bantu rakyat dengan mengambil kira juga kepentingan pihak-pihak lain yang turut berkaitan.
"Tak boleh kita terus ceroboh begitu saja kerana negeri ini ada tuan yang jaga. Tuan yang jaga negeri ini menjaga amanah tanah, bumi dan air untuk rakyat keseluruhannya," tegasnya.
24 Oct 20
5844
Terengganu Kelima Tertinggi Dalam Pelaburan, Projek Perkilangan
KUALA TERENGGANU, 24 Oktober – Terengganu merupakan negeri kelima tertinggi dalam pelaburan dan projek perkilangan berdasarkan data daripada The Malaysian Investment Development Authority (MIDA) sehingga 5 Oktober.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kedudukan tersebut dicatatkan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.8 billion.
“Sabah yang pertama, diikuti dengan Pulau Pinang, Johor dan Selangor. Ini adalah pencapaian dan penambahan yang mendadak berbanding dengan tahun lepas. Penambahan pelaburan berbanding tahun lepas juga mencatat peningkatan sebanyak 185 peratus.
“Namun begitu, kita masih mencari peluang dan mencari pelabur tetapi ia bukan sesuatu yang mudah. Contohnya, potensi pelabur yang bersetuju dalam tahun ini mungkin dua tahun lagi mereka akan datang seperti pengalaman sektor pelaburan di Sarawak,” katanya ketika bersiaran di Studio TVDI, petang kelmarin.
Mengulas tentang empat kategori pelaburan, beliau berkata, tahap pertama adalah pelabur yang bertanya tentang potensi pelaburan, kedua mereka komited dengan menunjuk surat minat untuk berurus dengan lebih lanjut.
“Ada yang kita lulus tapak untuk bagi pelabur datang. MIDA mengeluarkan kelulusan untuk pelaburan dan perkilangan, kemudian ia akan mengambil masa untuk membangunkan kilang di tapak, dikenali sebagai tahap realisasi.
“Hasilnya, pelbagai projek industri yang sedang berjalan seperti di Teluk Kalong, Kerteh, Chendering dan lain-lain lagi. Potensi pelaburan untuk datang ke Terengganu juga kita ramalkan sebanyak RM5.78 billion bersama dengan peluang pekerjaan kepada negeri,” ujarnya lagi.
24 Oct 20
10463
Elak Dicekup, Cubaan Lari Melalui Tingkap Gagal
MARANG, 25 Oktober - Cubaan seorang lelaki untuk melarikan diri melalui tingkap bagi mengelakkan dirinya dicekup gagal apabila berjaya dikawal dan ditahan oleh penguatkuasa.
Pasangan yang masing-masing berusia awal 40-an dicekup dalam satu serbuan di sebuah rumah kira-kira jam dua pagi semalam.
Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar), Nasaruddin Samsudeng berkata, satu serbuan telah dilakukan dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Marang setelah menerima aduan daripada penduduk setempat.
Keadaan motor yang disembunyikan di dalam semak
“Dipercayai individu terbabit telah menyembunyikan motosikal miliknya di dalam semak bagi mengelakkan perbuatannya ke rumah wanita tersebut dihidu oleh orang kampung.
“Namun, perbuatannya itu tetap berjaya dikesan oleh si pengadu kerana pelik dan syak setelah kerap menjumpai motosikal disembunyikan di kawasan tersebut,"katanya
Katanya, pada malam ini, setelah mendapat maklumat, skuad Amar telah turun membantu Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) bagi membanteras perkara tidak bermoral ini.
“Kerjasama ini akhirnya berjaya dengan bantuan bilangan ahli dan sukarelawan Skuad Amar yang cukup sewaktu proses serbuan dijalankan di mana kita lihat cubaan melarikan diri berjaya digagalkan,” tambahnya lagi.
Pasangan tersebut akan didakwa di mahkamah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganh) 2001, Seksyen 29, iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.
Apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
22 Oct 20
438