Artikel "Utama" Terkini
Perkasa Kempen Memartabatkan Undang-Undang Syariah
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan berterusan kepada usaha untuk memantapkan undang-undang syariah dalam teori dan juga praktikal.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, kempen bersifat ilmuwan seperti Bengkel Pemahaman Undang-Undang Keterangan, wajar diadakan setiap tahun dalam bagi menambah baik undang-undang syariah di negeri di samping berkolaborasi bersama pegawai syariah negeri lain.
“Acara sebegini memenuhi hasrat memantapkan kemahiran advokasi di kalangan pengamal undang-undang serta menguatkuasakan lagi undang-undang keterangan dalam prosiding perbicaraan di makhamah syariah.
“Selain itu, ia juga bertujuan untuk memastikan ilmu pengetahuan berkenaan undang-undang syariah dikuasai dengan baik sekali gus melicinkan perjalanan prosiding.
“Program sebegini adalah suatu keperluan supaya imej pegawai undang-undang syariah Terengganu akan terus dimartabatkan serta menjadi lebih kompeten, bergerak seiring dengan pemahaman undang-undang sivil,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Pemahaman Undang-Undang Keterangan anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu (JPSNT) di Camellia Grand Ballroom, Paya Bunga Hotel, malam semalam.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu merangkap Ketua Pendakwa Syarie Negeri Terengganu, Mustafar Hamzah, Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M.Rozi Bidin dan Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ramalingam Rajamanickam.
Bengkel tiga hari tersebut dianjurkan oleh Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu melibatkan 30 orang peserta terdiri daripada ketua pendakwa syarie dan ketua pegawai penguatkuasa syariah dari Terengganu dan negeri-negeri lain, dengan kerjasama Fakulti Undang-undang UKM.
28 Oct 20
677
Henti 'Politicking', Patuhi Titah Agong
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Ahli politik diseru supaya mentaati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, titah baginda bertepatan dengan keadaan semasa negara yang sedang berperang menentang wabak COVID-19.
Menurut Zuraida lagi, seruan ‘no politicking’ (meninggalkan permainan politik) wajar disahut oleh semua ahli politik tanpa mengira parti atau blok, sebaliknya bersatu sebagai satu bangsa dengan tujuan serta matlamat yang satu iaitu membebaskan negara daripada kemelut virus tersebut.
“Kita diseru untuk meninggalkan ‘politicking’ yang berlebihan, sebaliknya menumpukan segenap usaha bersama rakyat Malaysia untuk melawan wabak COVID-19.
“Ingatlah barisan hadapan yang sedang mengorbankan masa-masa senang mereka bersama keluarga demi untuk negara, serta rakyat yang terhimpit desakan ekonomi kerana pandemik ini.
“Semoga Allah mengurniakan bantuan dan petunjuk-Nya kepada kita,” ujarnya ketika ditemuramah oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.
Beliau yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Pusat mengingatkan bahawa aulawiyat (keutamaan) bagi Malaysia ialah memastikan negara pulih sepenuhnya, baik dari segi kesihatan mahupun ekonomi, maka perkara yang tidak berkaitan perlu diketepikan buat masa sekarang.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda bertitah, mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ (mainan politik) yang boleh mengganggu-gugat kestabilan pemerintahan negara termasuklah sebarang tindakan tidak bertanggungjawab, yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan yang sedia ada.
Pada masa yang sama, Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang bakal dibentangkan, adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan terutamanya oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.
27 Oct 20
299
Pelihara Sumber, Peraturan Perikanan Darat Dipinda
HULU TERENGGANU, 27 Oktober – Kerajaan negeri sedang meminda Peraturan Perikanan Darat Terengganu 1988 (Pindaan 1993) supaya sumber dan biodiversiti dapat dipelihara dengan lebih bersepadu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, penyusunan semula punca kuasa itu penting untuk mengawal dan menguruskan sumber perikanan darat.
"Akta yang sedia ada cuma sekadar melindungi perikanan marin di laut sahaja. Jadi kita perlu buat enakmen supaya ada punca kuasa untuk kita menguatkuasakan peraturan yang berkaitan dengan perikanan darat.
"Kaedah tangkapan menggunakan peralatan yang dilarang seperti tuba, pukat, bom dan sebagainya boleh merosakkan sumber dilarang sama sekali. Hanya memancing dibenarkan bagi mengekalkan kelestarian dan kelangsungan untuk satu tempoh yang panjang.
"Kita ingin menjadikan Tasik Kenyir ini sebagai daya tarikan aktiviti rekreasi seperti memancing kerana ia tidak merosakkan sumber. Saya meletakkan sasaran dikuatkuasakan pada tahun 2021, insya-Allah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelepasan Sejuta Benih Ikan di Tasik Kenyir, hari ini.
Mengulas tentang majlis itu, Dr Azman memaklumkan, dalam siri keempat itu, sebanyak 400,000 benih udang galah, 20,000 ikan lampam, 35,000 ikan terbol dan 30,000 ikan baung dilepaskan dengan anggaran nilai pasaran berjumlah RM120,000.
"Jumlah keseluruhan benih ikan yang dilepaskan di seluruh negeri Terengganu bagi Program Pelepasan Sejuta Benih Ikan Ke Tasik Kenyir adalah sebanyak 940,260 ekor benih. Dengan anggaran nilai pasaran kira-kira RM270,000," jelasnya.
Tambahnya, kawasan tersebut juga telah digazetkan sebagai kawasan larangan tangkapan ikan.
"Di samping kerajaan berusaha menggiatkan program pelepasan benih ikan, udang ke perairan untuk meningkatkan populasi dan biodiversiti, masyarakat turut berperanan menjaga sumber ini.
"Purata dalam 60 peratus anak benih yang dilepaskan boleh membesar menjadi dewasa. Tujuan kita nak meningkatkan populasi perikanan di perairan negeri Terengganu sama ada tasik atau sungai," katanya.
27 Oct 20
1215
Pemilik Bangunan Disaran Jalankan Pemeriksaan Keselamatan Berkala
KUALA TERENGGANU, 27 Oktober - Pemilik bangunan disaran melakukan kerja-kerja penyelenggaraan struktur bangunan secara berkala mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan keselamatan penghuninya terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu perlu bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti yang menimpa Mohamad Aryan Defa Danish Mohd Azizul, 6, yang maut setelah tergelincir dari tingkat 15 flat Ladang Gemilang 1 Ahad lalu berulang lagi.
Beliau berkata, kerajaan melihat insiden berkenaan sebagai iktibar, selain memandang serius isu keselamatan penghuni flat dan kondominium di negeri ini.
"Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga ini atas kemalangan yang berlaku.
"Saya harap kerja-kerja 'maintenance' sesebuah bangunan kediaman khususnya dibuat dengan baik dari semasa ke semasa. Saya juga akan panjangkan perkara ini (keselamatan bangunan) dalam mesyuarat Exco esok untuk tindakan lanjut.
"Difahamkan ketika kejadian, besi pada tingkap cermin nako kediaman mangsa longgar yang menyebabkan budak itu boleh buka cermin dan hulur kepala.
"Kepada semua pemilik bangunan kondominium serta flat yang ada di seluruh negeri Terengganu ini diminta buat pemeriksaan bagi memastikan kediaman tersebut selamat," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah keluarga arwah Mohamad Aryan di rumah datuknya di Jalan Kenanga Batu Burok, di sini hari ini.
Sementara itu, Hanafiah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa.
"Sesi kaunseling sangat membantu terutama kepada ibu bapa mangsa yang pastinya sedih dan trauma berikutan kehilangan anak tersayang.
"Saya telah berbincang dengan kaunselor kita daripada JKM dalam masa tiga empat hari ini supaya datang berjumpa keluarga ini untuk memberi nasihat dan motivasi kepada mereka ketika menghadapi saat-saat sukar ini," ujarnya.
Katanya, diharapkan seluruh keluarga arwah tabah menghadapi ujian Allah ini.
27 Oct 20
1923
Terengganu Lancar Program Mencari Safawi 2.0
SETIU, 27 Oktober - Sebuah program pencarian bakat-bakat baharu bola sepak di peringkat akar umbi yang dinamakan Mencari Safawi 2.0 dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, hari ini.
Mengambil inspirasi kejayaan pemain kelahiran Dungun, Safawi Rasid yang kini berjaya melebarkan bakatnya di Eropah, Wan Sukairi menzahirkan matlamat untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu sebagaimana pemain tersebut di bawah satu program yang dirancang oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).
"Program ini akan bermula hujung tahun ini di mana pihak JPNT akan melakukan pencarian bakat berumur 12 tahun di setiap daerah yang akan dikumpulkan sebagai sebuah pasukan.
"Matlamat kita adalah melahirkan seberapa ramai atlet dan membekalkan negeri serta negara dengan atlet berbakat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran tersebut di Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas, hari ini.
Turut hadir, Pengarah JPNT, Salim Ab Ghani dan Timbalan Pengarah MSNT, Noor Zatil Aqmar Mohamad Nor.
Tambahnya lagi, biarpun kejayaan Safawi lebih dilihat hasil daripada pembangunan juara bertahan Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) ia tetap membanggakan.
"Apa yang penting kita telah memulakan sesuatu yang baik untuk rakyat kita dan negeri. Soal masa depan, soal mereka mencari tempat dan berkembang di luar, itu soal lain seperti Safawi yang mendapat pendedahan lebih baik dan peluang lebih besar di tempat lain. Itu bergantung kepada kelebihan masing masing.
"Program ini akan ada nilai tambah berbanding program sedia ada. Kita tengok dulu hasilnya dari masa ke masa di mana ada keperluan untuk diperbaiki, dinilai dan di tambah baik," katanya.
27 Oct 20
1407
Hobi Bernilai Ribuan Ringgit Jadi Taruhan
KUALA TERENGGANU, 27 Oktober - Bagi sesetengah orang, mainan mungkin menjadi simbol kebudak-budakan, tetapi bagi pengumpul mainan pula, ia adalah harta karun yang mempunyai nilai estetika, kreativiti dan harga yang tiada tandingan.
Kini, permainan figura aksi bukan sahaja menjadi rebutan peminat cilik bahkan juga menjadi kegilaan pengumpul di kalangan orang dewasa dan bekerjaya.
Hardi Syafiq Maula Ali, 33, merupakan salah seorang peminat yang obses dengan koleksi ini dan kini mempunyai lebih dari 2,000 figura super hero di rumahnya.
Antara figura aksi yang memenuhi koleksi beliau adalah Ironman, Scoobydoo, Hellboy, Ninja Turtles, Dragonball, One Piece,Hulk, Pitt, Akira, Hulkbuter, King Sharp, King Sharp Jack Hammer, Women Hulk, Captan America, Antman, Spiderman, Venom, Thanos Team Black Older, Jurasic Park, Tamiya Kit dan Tamiya Dash.
Selain itu, beliau juga turut mengumpul Bandai, Tamiya, Hasbro, Bampesto, Takara Tommy, Ixo, Yoshimura dan Minichamps.
Ayah kepada dua anak yang berusia 5 hingga 11 tahun berkata minat mengumpul figura aksi bermula sejak tahun 2007 setelah bekerja sebagai Tukang Kimpal Minyak dan Gas (Welder) dan mempunyai pendapatan sendiri.
“Bila mula kerja , ada duit sendiri baru saya beli sebab dulu masa kecil-kecil, nak beli permainan pun fikir banyak kali. Bukan apa, kita ni tak naklah jadi anak yang suka minta mak ayah untuk memenuhi permintaan kita , orang susahkan. Lainlah orang tu, hari-hari boleh dapat mainan masa kecil-kecil dahulu. Jadi apabila sudah besar, sudah bekerja dan ada duit sendiri, inilah masanya untuk kita repeat balik hajat yang tertangguh zaman kanak-kanak.
“Lagipun bagi saya, ia bukan satu bentuk pembaziran sebab kita berbelanja terhadap sesuatu barang yang mempunyai nilai yang tinggi pada masa akan datang. Contohnya koleksi Transformer G1, saya pernah ditawarkan sehingga RM9,000 untuk dijual,”katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Hardi berkata koleksi kesayangannya adalah figura Cybercorp tahun 1988 dari seorang rakan di Jepun bernilai hampir RM8,000 yang mengambil masa tiga tahun untuk melengkapkan koleksi berkenaan.
Katanya, kesemua koleksi berkenaan datang dari luar negara seperti Jepun, United State, Singapura, Mexico termasuk dalam negara sendiri.
“Saya suka merantau secara solo (backpacker) ke seluruh negeri untuk mencari koleksi yang saya perlukan kerana lebih memberi kepuasan.
“Selain itu, saya juga dapatkan stok daripada persatuan koleksi figura aksi yang terdapat di negara kita dan menyertai pameran-pameran yang dianjurkan,” tambah Hardi yang turut mendapat sokongan dari isteri, Nor Fatma Ismail, 33.
Katanya setakat ini semua koleksi berkenaan ditempatkan di dalam almari kaca di sebuah bilik kediaman keluarga di Bukit Besar.
“Dalam sehari, saya boleh habiskan masa dua jam bersama koleksi kesayangan dan bersyukur setakat ini, kelurga termasuk isteri dan anak-anak menyokong penuh hobi ‘rare’ ini.
“Jika ada rezeki saya berhasrat untuk membuka sebuah kafe retro dan tempat pameran mainan, di mana bukan sahaja orang ramai boleh datang minum dan menjamu selera, malah saya dapat menempatkan koleksi mainan untuk dipamerkan kepada pengunjung.
27 Oct 20
2240
Tohmahan Terhadap Marzuki Tidak Benar
KUALA TERENGGANU, 27 Oktober – Beberapa dakwaan terhadap Timbalan Presiden (II) Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Marzuki Sulong berkait pengurusan entiti itu disifatkan sebagai tidak benar.
Sekretariat Agung PBSNT dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tohmahan itu termasuk laporan marzuki mencampuri urusan pemilihan pegawai dan pemain Terengganu Football Club (TFC).
“Ketua jurulatih pasukan masing-masing TFC, TFC II, TFC III dan TFC IV telah diberi kuasa penuh untuk memilih pegawai dan pemain yang diinginkan seterusnya dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan bagi mendapatkan persetujuan terutamanya isu kewangan.
“Kuasa penuh yang diberikan memperlihatkan Terengganu FC di bawah bimbingan Irfan Bakti sebelum ini berjaya menamatkan saingan selaku naib juara Liga Premier 2017 dan layak ke Liga Super 2018, berada di pentas akhir Piala Malaysia, manakala TFC II menjuarai Piala Cabaran Edisi Pertama, TFC III juara Piala Presiden dan TFC IV naib juara Piala Belia 2018,” jelas PBSNT.
Menurut kenyataan itu, pelantikan Marzuki sebagai salah seorang daripada enam orang Ahli Lembaga TFC Sdn.Bhd adalah merupakan persetujuan ketetapan Kongres PBSNT yang dicapai secara kolektif pada 2017.
“TFC Sdn.Bhd merupakan anak syarikat PBSNT yang memiliki 10 peratus pegangan saham dan Kongres bersetuju Ahli Lembaga Pengarah adalah berdasarkan jawatan yang disandang seperti seorang Presiden PBSNT, dua orang Timbalan Presiden PBSNT, seorang Setiausaha Agung PBSNT, seorang Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan Negeri dan seorang Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu bagi peringkat permulaan penubuhan.
“Oleh yang demikian, Marzuki adalah merupakan Timbalan Presiden PBSNT pada masa ini dan beliau secara automatik menjadi salah seorang Ahli Lembaga Pengarah TFC,” kata kenyataan itu.
Tambah PBSNT, pengalaman beliau dalam arena bola sepak negeri dan negara banyak membantu TFC menempa beberapa kejayaan.
“Hubungan baik dengan Tunku Mahkota Johor selaku Pengerusi MFL (sebelum ini) dan pengurusan tertinggi MFL, projek perintis menaiktaraf padang yang diperkenalkan MFL tersebut dan TFC adalah salah sebuah pasukan yang terpilih. Akhirnya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin telah berwajah baru dan mempunyai padang yang berkualiti tinggi yang siap sepenuhnya pada awal tahun 2020.
“Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang juga banyak membantu dalam pembangunan pemain muda di peringkat Piala Presiden dan Belia.
“Marzuki tidak pernah menerima apa-apa bayaran atau elaun sebagai Timbalan Presiden PBSNT dan sejak 2017 beliau tidak memegang apa-apa jawatan dalam pasukan. Beliau telah memberikan khidmat bakti yang tinggi demi melihat kemajuan bolasepak Terengganu berada dipuncak kecemerlangan,” ujar PBSNT
27 Oct 20
3020
Konsep Bersepadu Pembangunan Tanah Lapang Akan Dirangka
SETIU, 27 Oktober – Satu konsep pembangunan bersepadu akan dirangka bagi memanfaatkan kawasan tanah lapang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi.
ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, suasana di lokasi itu akan menjadi lebih tersusun apabila penstrukturan dan penempatan lengkap yang disertakan dengan binaan seperti rumah kedai, rumah kediaman dan taman rekreasi.
"Isu perumahan adalah satu isu yang besar, malah kerajaan negeri sangat memandang serius namun apabila kita tidak mampu untuk menyelesaikan semua benda dalam masa yang singkat, langkah perlu laju.
"Birokrasi pula perlu diminimakan seminima yang mungkin agar dapat memberi khidmat yang paling baik dan cepat kepada rakyat," katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Rumah Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) di perkarangan Surau Gong Berangan di sini baru-baru ini.
Beliau turut memaklumkan, Projek Rumah Mampu Milik (RMM) di Tempinis sedang giat berjalan dan tanah seluas sekitar sembilan ekar disebelahnya akan turut dibangunkan bagi mengurangkan isu perumahan di DUN Jabi.
"Secara dasarnya kerajaan sudah bersetuju untuk dijadikan sebagai tapak rumah mampu milik. Kita sudah batalkan semua nama peserta terkilan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kerana tidak mahu tanah, mereka mahu rumah.
"Saya sudah bercakap dengan pemaju untuk membuat rumah empat tingkat sebab sebab nak suruh kalau kita sihat naik turun naik tangga dan utamanya ramai boleh mengambil manfaat," jelasnya.
Tambah beliau, sebanyak lima buah rumah PPTS masing-masing di Kampung Tempinis, Kampung Anak Ikan Dalam, Kampung Gong Pasir, Kampung Gong Dasar serta Kampung Gerong siap dibina mengikut masa ditetapkan.
"Ada dua lagi yang akan dibina di Renek yang terbakar dan yang baru terbakar bebrapa hari lepas di Seri Tanjung. Insya-Allah yang terlibat dalam bencana kita akan uruskan seberapa segera.
"Kita akan tengok sekiranya keperluan kita untuk baiki rumah sudah semakin kurang kita akan tambah dengan bilangan untuk bina baru, asrat kita sebenarnya nak buat lebih daripada bilangan tahun ini cuma dalam masa yang sama kita perlu kurangkan peruntukan untuk baiki rumah," ujarnya.
27 Oct 20
259
APM Siap Sedia Hadapi Banjir Dengan SOP Norma Baharu
KUALA TERENGGANU, 27 Oktober – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM) Terengganu serta agensi berkaitan dalam pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini bersedia mengikuti norma baharu akibat pandemik COVID-19 bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, latihan dan ‘table talk’ telah diadakan untuk menyelaraskan pengurusan PPS norma baharu menjadikan negeri ini antara yang terawal mengadakan program sebegitu agar semua daerah memahami prosedur tugas, operasi dan logistik.
“Contohnya sebelum pandemik, operasi melibatkan 20 orang anggota penyelamat menaiki sebuah lori, sekarang kita telah tukar prosedur tersebut dengan penambahan bahagian logistik seperti lori APM, lori Polis, lori Bomba dan lain-lain.
“Katakan kita perlu hantar 50 orang anggota, jadi kini 10 sahaja selori untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan penjarakan sosial, bot-bot begitu juga.Di peringkat PPS pula, kita bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) (agensi pengurusan PPS) dalam memastikan pusat tersebut mengikuti jarak fizikal yang betul.
“Cabaran di menggunakan sekolah adalah ia bertindan dengan takwim sekolah yang telah berubah. Dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), kita mendapat maklumbalas dan mungkin akan menutup sekolah sementara mengikut budi bicara,” katanya ketika bersiaran di Studio TVDI, semalam.
Mengulas mengenai SOP di sekolah (PPS), bilik darjah akan disesuaikan seperti satu bilik dua keluarga berbanding empat, sekali dengan pendinding.
“JKM juga memaklumkan tidak membenarkan memasak di PPS, namun begitu, ia mengikut kesesuaian pusat daerah masing-masing seperti di Kuala Nerus menggunakan ‘Caterer’ manakala kaedah sesuai akan dirangka seperti di Hulu Besut dan Hulu Terengganu,"jelasnya lagi.
Beliau yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, turut mengulas, dua cabaran dalam pengendalian bencana banjir norma baharu adalah proses pemindahan dan keadaan mangsa di PPS.
“Contoh senario proses pemindahan seperti pukul dua atau tiga pagi dengan jumlah bot sedikit bersama arus deras, pasukan mungkin akan buat keputusan untuk selamatkan dan pentingkan nyawa dulu.
“Cabaran PPS pula, contohnya terlalu ramai hadir dan komuniti hanya ada satu dewan kecil, jadi sekretariat daerah berkenaan akan cari alternatif dengan menggunakan rumah atau tadika sebagai tempat sementara.
“Alhamdullilah, dengan kerjasama JKM, APM, setiap Pejabat Daerah yang masih berterusan akan memastikan keselamatan penduduk dalam menghadapi bencana norma baharu ini,” ujar Che Adam.
27 Oct 20
727
JPNIN Terengganu Agih 3,254 PPE
KUALA TERENGGANU, 27 Oktober - Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu mengambil Inisiatif menjahit dan mengagihkan 3,254 Peralatan Perlindungan Diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan.
Pengarah jabatan itu, Burhanuddin Daud berkata, PPE berkenaan disediakan melalui dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan 28 sukarelawan jiran wanita di dua Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang menjahit 3,000 PPE.
Katanya, KRT terbabit adalah Kampung Besol dan Taman Madani AMBS, Dungun.
"Manakala fasa kedua melibatkan KRT Che Lihah dan Gong Pasir yang bersedia menjahit 254 PPE secara sukarela dalam tempoh terdekat.
"Semua peralatan PPE itu sudah dan akan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk diagihkan kepada mana-mana pihak yang memerlukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan PPE dan Poster Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Hotel Sumai, di sini semalam.
Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.
Kata Burhanuddin, JPNIN terhutang budi dengan semangat sukarelawan KRT yang sanggup membantu menjahit PPE tanpa sebarang upah.
"Sikap seumpama itu, sewajarnya dijadikan contoh, walaupun kebanyakan mereka adalah suri rumah, sanggup meluang masa melakukan kerja-kerja amal," katanya.
26 Oct 20
356