lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Remaja Perempuan Ditemui Dibunuh Dengan Pergelangan Tangan Terputus
Remaja Perempuan Ditemui Dibunuh Dengan Pergelangan Tangan Terputus
HULU TERENGGANU, 1 November - Seorang remaja perempuan ditemui mati dibunuh dalam satu kejadian samun di rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong, hari ini. Dalam kejadian malang itu, mangsa, Siti Nor Surya Ismail, 19, ditemui tertiarap di ruang tamu dengan  pergelangan tangan kirinya putus dan juga tetakan di bahagian muka, belakang leher dan dada. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Assisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar ketika ditemui mengesahkan kejadian itu. "Kejadian dipercayai berlaku pada jam 9 pagi berdasarkan siasatan awal polis. "Pihak polis menerima  panggilan pada jam 3 petang dan menghantar pasukan ke lokasi kejadian. "Berdasarkan siasatan awal, suspek seorang yang berkemungkinan dikenali mangsa dan keluarga, pihak polis kini sedang giat memburu dan mengesan suspek," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi. Menurut Mohd. Marzukhi, barangan milik mangsa termasuk wang bernilai ratusan ringgit di samping dua telefon bimbit dan bag turut lesap berkemungkinan dirompak.  Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Zahirah untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Sementara itu, ayah mangsa , Ismail Muda, 58, ketika ditemui berkata, kejadian itu disedari anak bongsunya ketika pulang dari sekolah apabila mendapati kakaknya berlumuran darah. "Biasa arwah yang pergi ambil adiknya kat sekolah tetapi tengahari ni bila tak sampai, adiknya pulang dengan berjalan kaki ke rumah. "Anak saya terus telefon bila tengok keadaan mangsa sebaik sampai ke rumah dan beritahu pergelangan tangan mangsa putus serta berlumuran darah,"katanya. Tambah Ismail, ketika kejadian dia tiada dirumah dan mangsa sedang menjaga ibunya yang terlantar lumpuh akibat kanser otak. 
01 Nov 20
13873
Sedia Bantu Rancakkan Kembali Pelancongan Di Tasik Kenyir- Ariffin
Sedia Bantu Rancakkan Kembali Pelancongan Di Tasik Kenyir- Ariffin
  KUALA TERENGGANU, 1 November – Kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah)  melalui Jabatan Pelancongan negeri dalam memberi sokongan dan mempromosi pelancongan di Tasik Kenyir yang merudum ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang. Pengerusi Jawatankuasa  Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata pihaknya sentiasa merangka inisiatif dalam membantu industri pelancongan yang terjejas apabila berlakunya wabak pandemik COVID19 di Terengganu. “Dari segi bantuan belum ada lagi, tetapi promosi kita akan sentiasa buat melalui Jabatan Pelancongan secara  berterusan khususnya di Tasik Kenyir .  "Pihak kami akan berusaha tarik pelabur dan juga menarik pelancong di sekitar Pahang, Kelantan dan negeri-negeri  yang tidak berisiko. “Kerajaan negeri  akan sentiasa membantu beri sokongan dan mempromosi, insyaAllah apabila reda COVID19,  kita jangka orang ramai akan datang balik untuk melancong di Terengganu,”katanya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI), hari ini. Ariffin berkata demikian ketika diminta mengulas tentang 75 pengusaha pelancongan di tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia itu berdepan kerugian lebih RM1 juta akibat pembatalan tempahan rumah bot dan bot laju pada saat akhir, sepanjang bulan ini. Katanya lagi, isu ini bukan sahaja melibatkan Tasik Kenyir tetapi industri pelancongan di seluruh negeri turut mengalami kemerosotan. ‘’Kemerosotan ini bukan sahaja di Kenyir tetapi  juga melibatkan hotel-hotel  apabila tempahan yang agak besar menerima pembatalan tempahan apabila pengunjung-pengunjung dari pantai barat tersekat dengan PKPB. “Namun jika dibandingkan dengan pantai barat, sektor pelancongan di pantai timur khususnya Terengganu masih dapat bertahan kerana kita masih ada lagi kemasukan pelancongan dari negeri sekitar yang tidak terlibat dengan PKPB,” katanya. Untuk rekod, kehadiran pengunjung ke Tasik Kenyir bagi menggunakan kedua-dua perkhidmatan rumah bot dan bot laju cukup memberangsangkan sejak Julai lalu dengan seramai 7,882 orang diikuti 13,687 pada Ogos dan September (11,603 orang).
01 Nov 20
1330
TFC Rangka Strategi Kembalikan Kegemilangan Pasukan
TFC Rangka Strategi Kembalikan Kegemilangan Pasukan
KUALA NERUS, 31 Oktober - Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd sudah merangka beberapa strategi bagi mengembalikan semula kegemilangan bola sepak negeri dan menjana pendapatan kukuh untuk kelab. Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Ab Rasid Jusoh berkata menjadi hasrat utama pihak pengurusan untuk meletakkan TFC sebagai pasukan nombor satu di persada bola sepak negara, sekali gus mengulangi semula kejayaan Terengganu menjulang Piala Malaysia pada 2001. Justeru bagi mencapai objektif berkenaan, fokus juga akan diberi kepada aspek pengukuhan pemain dan barisan kejurulatihan supaya mereka menjadi aset bernilai tinggi yang mampu menjana pendapatan kepada pasukan. "Untuk tahun ini di bawah pengurusan baharu TFC Sdn Bhd, kita tetapkan misi 'Win Back Mission' bagi menjadikan TFC pasukan nombor satu negara dan pengurusan (pasukan) terbaik di rantau ini. "Kita ada beberapa perancangan..antaranya menjadikan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai tempat himpunan anak muda dengan pelbagai penganjuran acara yang boleh menjana pendapatan kepada kelab," katanya ketika ditemui pada program Jalinan Kasih Legenda Bola Sepak Terengganu bersama CEO TFC Sdn Bhd, di sini hari ini. Lebih 70 bekas pemain bola sepak Terengganu dari era 70-an hingga 90-an menghadiri program yang bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim dan berkongsi pandangan serta pengalaman dalam arena bola sepak. - BERNAMA
31 Oct 20
1077
Berakhirnya Derita 11 Tahun
Berakhirnya Derita 11 Tahun
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Setelah hampir 11 tahun terpaksa menghidu bau busuk limpahan air longkang, derita penduduk Lorong Kemunting kini berakhir. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pihaknya membina longkang baharu selepas longkang sedia ada gagal berfungsi dengan baik. "Kita dapati terdapat dua lapis longkang, longkang lama ditindih dengan longkang yang dibina kemudiannya tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah sehingga berlarutan selama hampir 11 tahun dan binaannya juga tidak sekata. "Dengan lemak-lemak melekat menjadikan air tidak dapat mengalir dengan baik menyebabkan ia melimpah masuk ke kawasan Sekolah Menengah Tengku Bariah dan baunya yang busuk menganggu keselesaan pelajar untuk belajar," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pembinaan longkang terbabit di sekitar Sekolah Menengah Tengku Bariah di sini semalam. Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lorong Kemunting, Ahmad Shukri Adha Ali bersyukur dengan terbinanya longkang baharu tersebut  kerana masalah yang menghantui pihaknya berjaya diselesaikan.  "Air longkang memang melimpah ke sekolah sehingga pernah satu ketika sampai ke paras peha dan telah menyebabkan kereta rosak," katanya.  
31 Oct 20
896
Sinar Baharu Buat Keluarga Norzaimah
Sinar Baharu Buat Keluarga Norzaimah
KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Kunjungan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan ADUN Wanita, Zuraida Md Noor ke teratak Wan Norzaimah Wan Muhammad bakal mengubah kehidupan ibu tujuh anak itu ke arah yang lebih baik. Sebelum ini, Norzaimah buntu untuk mencari sumber pendapatan tetap selepas ditinggalkan suami. Lebih parah, dia terpaksa membesarkan tiga anaknya yang disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU). Penderitaan 'ibu tinggal' itu mendapat perhatian pihak berwajib yang menziarahi keluarga terbabit semalam dan hasrat Norzaimah untuk membuka perniagaan serta mempunyai pendapatan tetap bakal termakbul. Menurut Zuraida, PKM dan pihaknya telah bersetuju untuk membantu Norzaimah dengan membelikan barangan keperluan perniagaan. "Hari ini adalah tindakan susulan dengan membeli kelengkapan untuk membuka kedai dan memudahkan urusan mereka untuk berniaga di tempat yang baru disewa di Kampung Pulau Kerengga. "Saya mengharapkan apa yang kita usahakan hari ini dapat membantu keluarga Norzaimah untuk berdikari dan ada sumber pendapatan tetap untuk menyara anak-anaknya. "Jiran-jiran dan masyarakat sekeliling juga perlu memainkan peranan penting untuk sama-sama dalam memberi bantuan di mana ibu ini berada dalam keadaan sedang diuji di samping mendoakan urusan perniagaannya agar berjalan dengan lancar," katanya ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas memberi bantuan kepada Norzaimah kelmarin. Hadir sama, Pegawai Khas PKM DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng. Sementara itu, Norzaimah menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada PKM DUN Rhu Rendang serta ADUN Wanita atas sumbangan yang diberikan. "Proses untuk memulakan perniagaan iaitu membuka kedai makan telah dimulakan dengan memohon lesen dan mengubah suai kedai yang baru disewa. "Saya juga mengambil upah menjahit baju sementara menunggu kedai ini dibuka sepenuhnya bagi menyara keluarga dengan dibantu oleh anak-anak terutamanya anak sulong saya," tambahnya lagi. Untuk rekod, keluarga Norzaimah telah menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat di samping mendapat perhatian sebagai penama Focus Group.
30 Oct 20
394
Dua kakitangan Positif COVID-19, Ketengah Ditutup 14 Hari
Dua kakitangan Positif COVID-19, Ketengah Ditutup 14 Hari
  DUNGUN, 29 Oktober - Ibu pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini ditutup selama 14 hari bermula 27 Oktober susulan dua kakitangannya disahkan positif koronavirus (Covid-19).  Pengurus Besar  Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dalam satu kenyataan berkata penutupan itu selaras dengan Notis Perintah Penutupan Premis Bagi Kawalan Perebakan Penyakit Berjangkit daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT). Katanya, agensi akan mengambil tindakan dan langkah-langkah perlu selaras dengan arahan-arahan Kerajaan yang berkuatkuasa.  "Sehubungan dengan itu semua kakitangan di ibu pejabat diarah bekerja dari rumah bermula 27 Oktober hingga 9 November. "Ia bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan secara menyeluruh serta memastikan premis pejabat selamat diduduki," katanya.
29 Oct 20
6213
Laksana Titah Agong, Fokus Bajet 2021
Laksana Titah Agong, Fokus Bajet 2021
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perlu dihayati masyarakat serta pemimpin negara dalam menghadapi COVID-19 dan perbentangan Bajet 2021. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, titah Baginda yang percaya terhadap kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat perlu diberi perhatian. “Seri Paduka Baginda telah menyatakan, bajet 2021 sangat penting dalam menangani pandemik, titah sebegini menunjukkan Baginda memandang berat perkembangan yang berlaku dalam negara. “Ramai yang belum faham bahawa Baginda mahu melihat suasana politik negara yang ada dalam negara diredakan dan tumpuan semua pihak tidak kira kerajaan atau pembangkang, seharusnya menyatukan rakyat bagi menghadapi masalah besar ini,” kata beliau selepas program Bulan Dakwah di Masjid Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, pagi tadi. Mengulas lanjut mengenai Bajet 2021, beliau berkata, kawasan Parlimen Kuala Terengganu ada permintaan khusus melibatkan isu kemiskinan dan infrastruktur di bandar raya. “Isu kesusahan hidup rakyat sentiasa memerlukan perhatian dan bantuan walaupun dianggap bandar raya, namun isu kemiskinan bandar perlu diberi perhatian bukan sekadar rupa luar dengan rumah dan bangunan batu tetapi isinya kosong. “Kedua, isu infrastruktur seperti sistem perparitan dan longkang juga memerlukan peruntukan untuk penambahbaikan kualiti. Hal ini demikian kerana, isu kesihatan seperti denggi dan kebersihan turut berhubung kait dengan saluran perparitan jadi ini harus dimantapkan lagi,” ujarnya lagi. Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), turut mengulas tentang rancangan penambahan peruntukan sektor tersebut yang sedang menghadapi cabaran COVID-19. “Negara kita dicabar dari segi cara kerja dahulu yang secara manual perlu disesuaikan dengan pengenalan digitalisasi teknologi. MOSTI sudah kemukakan saranan dan akan diulas dalam belanjawan nanti,” kata beliau.
29 Oct 20
196
Bulan Dakwah 2020, Ikhtiar Melestarikan Dakwah Dan Kebajikan
Bulan Dakwah 2020, Ikhtiar Melestarikan Dakwah Dan Kebajikan
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Sambutan Bulan Dakwah 2020 peringkat negeri Terengganu yang julung kali dianjurkan, dimulai dengan  program I-Khidmat Cuci-cuci Masjid dan Musa’adah COVID-19, dalam usaha melestarikan gerakan dakwah dan kebajikan di negeri ini. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau berharap program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dapat mencapai objektif dalam meringankan beban masyarakat B40 dan miskin yang terkesan dengan musibah COVID-19. “Pihak negeri mengucapkan terima kasih kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato' Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan pihak YADIM dalam menganjurkan bulan dakwah di peringkat negeri. “Pelaksanaan ini wajar khususnya pada bulan Rabiulawal, bulan lahirnya Rasullulah SWT, yang membawa dakwah untuk mendidik masyarakat. “Bagi program Musa’adah COVID-19, melibatkan pemberian bantuan makanan dan asas keperluan dapur kepada 30 golongan asnaf Qariah Kampung Gong Tok Nasek,” katanya. Beliau berkata demikian selepas program I-Khidmat Cuci-cuci Masjid dan Musa’adah COVID-19 di Masjid Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, pagi tadi. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said. Sementara itu, Penolong Pengarah YADIM negeri, Nasrul Hadi Saidin berkata, bulan dakwah dilaksanakan di seluruh negara dari 4 Oktober sehingga 30 Disember melibatkan kira-kira 2,000 program bersifat kebajikan dan dakwah kepada masyarakat setempat. “Program Cuci-cuci Masjid di Masjid Gong Tok Nasek pula melibatkan hampir 20 orang sukarelawan YADIM dan Rakan Siswa YADIM. "Kita menyambut mereka yang ingin menyertai dan 300 sukarelawan lagi dijangka menyertai. Program dalam perancangan seterusnya adalah Is’ad Al Usrah iaitu inisiatif untuk melaksanakan kerja pembaikian di kediaman asnaf,” ulasnya. Mengulas tentang kesan gelombang ketiga pandemik, beliau berkata, isu tersebut bukan kekangan tetapi cabaran untuk melaksanakan program dakwah secara kreatif dengan kapasiti dan peserta yang ada.
29 Oct 20
467
Terengganu Hasrat Jadi Model Kerajaan Digital Pintar - MB
Terengganu Hasrat Jadi Model Kerajaan Digital Pintar - MB
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Kerajaan negeri berhasrat untuk menjadi kerajaan digital pintar yang praktikal dan mampan menjelang 2030 sebagai persediaan memasuki era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Usaha mencapai hasrat tersebut dibuktikan dengan Terengganu selangkah ke hadapan menyediakan dan melancarkan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu dan Pelan Strategik Taman Maya AI (AI-Artificial Intelligence) Terengganu, hari ini. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mereka yakin ini dapat dicapai dengan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu yang berasaskan teknologi kepintaran buatan (AI) dan merangkumi 13 strategi pembangunan. "Bagi menggerakkan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Terengganu Advance Joint Digital Intelligent Developement Corporation (TAJDID Corporation Sdn Bhd). "Ia akan memfokuskan kepada Agenda Pendigitalan Negeri Terengganu dan Taman AI dengan membuat penyelarasan semula fungsi-fungsi syarikat-syarikat ICT kerajaan negeri yang sedia ada supaya syarikat-syarikat tersebut lebih berdaya saing," katanya pada majlis pelancaran pelan tersebut di sini. Hadir sama dalam majlis tersebut, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Exco-exco Kerajaan Negeri. Ariffin Deraman. Sementara itu, menurut Ariffin, sebagai permulaan, beberapa kamera litar tertutup pintar (CCTV pintar) dan lampu isyarat pintar yang mempunyai ciri digital yang lebih canggih akan ditempatkan di lokasi terpilih tahun hadapan. "Kami telah menguji dan menempatkan CCTV pintar di Masjid Pengadang Baru sebagai projek perintis. Kelebihan CCTV pintar ini adalah dapat memberikan gambaran yang sangat jelas bagi pengunjung sehingga berupaya mengenal pasti wajah, jantina dan usia yang dianggarkan. "Bagi lampu isyarat pintar, ia akan dipasang di persimpangan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai sebagai projek perintis tahun hadapan," ujarnya.
28 Oct 20
2945
YPU Belanja RM500,500 Bina Kiosk Untuk Usahawan
YPU Belanja RM500,500 Bina Kiosk Untuk Usahawan
BESUT, 28 Oktober - Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu telah membelanjakan sebanyak RM500,500 bagi membina kiosk perniagaan untuk usahawan di negeri ini.  Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sehingga September tahun ini, sebanyak 77 buah kiosk perniagaan telah dibina.  "Bagi Parlimen Besut sahaja, 18 unit telah dihantar ke lokasi terpilih seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, DUN Kota Putera dan DUN Kuala Besut melibatkan peruntukan sebanyak RM117,000.  "Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri agar gerai-gerai di Terengganu lebih bersih dan menarik sekaligus dapat menarik lebih ramai pelanggan dalam membantu meningkatkan hasil jualan pengusaha,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Sewa Program Gerai Maju di Besut, semalam.  Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Ahmad Farhan Abdul Wahab, Ketua Pegawai Operasi YPU, Zulkifli Yunus dan Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh.  Tambah Nurkhuzaini, beberapa syarat telah ditetapkan untuk memohon Program Gerai Maju tersebut.  "Kesemua kadar sewaan bagi 77 buah kiosk ini hanya serendah RM150 untuk sebulan.  "Permohonan gerai ini adalah untuk rakyat Terengganu yang berumur 18 hingga 55 tahun serta mempunyai pendaftaran perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan," katanya.  Nurkhuzaini juga berharap agar usahawan yang diberi peluang menyertai Program Gerai Maju dapat memberi tumpuan dan komitmen tinggi dalam menjalankan perniagaan sekaligus dapat meningkatkan pendapatan.  "Inilah masanya untuk kita membuktikan kepada kerajaan negeri bahawa pelaksanaan Program Gerai Maju ini merupakan salah satu program terbaik yang memberikan peluang kepada usahawan-usahawan untuk menjalankan perniagaan dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan.  "Dalam jangka masa panjang, program ini juga diharapkan menjadi contoh kepada peniaga-peniaga lain untuk menaiktaraf gerai-gerai mereka sepertimana kiosk ini yang lebih kemas dan mampu menarik lebih ramai pelanggan," katanya.  
28 Oct 20
1382