Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Mampu Proses Padi Sendiri
MARANG, 3 November - “Keperluan kilang padi di Terengganu sudah mencukupi dan tidak perlu lagi dihantar ke Kedah untuk diproses,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim.
Menurut beliau, setakat ini terdapat empat kilang padi yang beroperasi di Terengganu iaitu Kilang Padi Bukit Kor di Marang, Kilang Bernas di Bukit Kenak, Jerteh dan Kilang Mutiara Timur di Kerandang, Jabi selain Kilang Konsortium Lembaga Pertubuhan Peladang di Baruh Masin Jabi yang mula operasi April lalu.
“Dengan kapasiti empat buah kilang padi yang ada di Terengganu sekarang ini, ia telah mencukupi untuk menampung keperluan pemprosesan pengeluaran padi bersih kita sekitar 60,000 metrik tan setahun.
“Pengeluaran ini telah berjaya mencukupkan dalam sekitar 53 peratus daripada kadar kecukupan sara diri (SSL) untuk 1.2 juta penduduk di Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika megadakan lawatan ke Kilang Padi Bukit Kor Sdn Bhd di Marang, hari ini.
Katanya, sebelum ini padi-padi yang dikeluarkan daripada kawasan jelapang padi dan kawasan sawah di Terengganu terpaksa dihantar ke Kedah untuk diproses disebabkan masalah tidak cukup kilang.
“Jadi apabila kilang Konsortium Lembaga Pertubuhan Peladang telah beroperasi di tambah kilang padi daripada Bukit Kor dicampur dengan kilang Bernas dan Mutiara Timur, alhamdulillah satu daripada keperluan utama dalam rantaian pengeluaran beras Negeri Terengganu kita berjaya cukupkan,” ujarnya.
03 Nov 20
1221
Tambun Tanah Perlu Ikut Prosedur
MARANG, 3 November - Masyarakat setempat sewajarnya mengikut prosedur tertentu sekiranya mahu menambun dan meratakan tanah milik masing-masing bagi mengelak berlakunya kejadian banjir dan air bertakung.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata,, masalah air bertakung disebabkan punca tambunan tanah yang tiada aliran air kini menjadi satu permasalahan yang sangat besar lebih-lebih lagi ketika menjelang musim tengkujuh.
Katanya, terdapat beberapa aduan daripada penduduk berkenaan masalah air bertakung, banjir, air melimpah ke dalam rumah dan sebagainya kerana tambunan tanah daripada tuan tanah.
"Sebagai seorang jiran yang hidup dalam komuniti, kita perlulah lah mengambil berat isu seperti ini bagi mengelakkan timbulnya sebarang pertelingkahan di antara satu sama lain.
"Rata-rata tanah yang ditambung tidak mengikuti prosedur yang betul, ketiadaan saliran air, longkang dan sebagainya mendatangkan musibah kepada orang lain jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab.
"Baru-baru ini, satu tinjauan telah diadakan di Kampung Bukit Rhu Rendang bersama-sama Majlis Daerah Marang bagi melihat keadaan tanah yang ditambung yang dipercayai tidak mengikuti prosedur yang betul kerana menutup saliran serta laluan air, "katanya.
Menurutnya lagi, keadaan yang menyebabkan beberapa buah rumah mengalami masalah banjir sehingga air melimpah ke dalam ruang rumah dan sebagainya telah diserahkan kepada pihak MDM untuk melakukan perbincangan diantara tuan tanah bagi menyelesaikan masalah tersebut.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya melaporkan terus kepada MDM dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) jika terdapat sebarang aktiviti tambunan tanah yang dilihat tidak menepati ketetapan yang betul, tambahnya lagi.
03 Nov 20
4223
Banduan Bertani, Menternak Di Penjara
KUALA TERENGGANU, 2 November – Seringkali kita melihat sektor pertanian diceburi oleh golongan B40 di kawasan pedalaman dan bandar, namun tiada siapa menduga bahawa banduan turut berkecimpung dalam bidang tersebut semasa berada di dalam tahanan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, beliau dimaklumkan ada tahanan di Penjara Marang mengusahakan sektor tersebut
"Topik kita tetap hal pertanian walau dalam penjara. Menarik sekali apabila dimaklumkan, di Penjara Marang ada diusahakan penternakan ikan keli dan pertanian kontan. Hasilnya pula mampu menampung keperluan banduan penghuni penjara serta boleh dijual juga kepada masyarakat sekitar.’
"Di samping wang hasil jualan akan disimpan dalam akaun amanah bagi kegunaan banduan bila dibebaskan nanti, ia juga mempersiapkan banduan dengan kemahiran pertanian untuk berhadapan dengan dunia luar nanti," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan daripada Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisional Nik Robidin Ab Rahman serta rombongan di Wisma Darul Iman hari ini.
Sementara itu, beliau berkata telah bersedia untuk memberikan komitmen untuk kerajaan negeri menunaikan hasrat pihak penjara memiliki sebuah ‘cool room’ agar bahan mentah pertanian boleh disimpan dengan lebih sempurna.
"Malah, jabatan-jabatan di bawah Portfolio Pertanian Negeri juga akan diminta memberikan sokongan fizikal dan teknikal untuk merancakkan lagi aktiviti pertanian dalam penjara.
"Kita sentiasa membuka tangan seluas-luasnya bagi mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk berada di bidang ini bagi mengembangkan industri pertanian," tambah beliau
03 Nov 20
1595
Liga Bola Sepak MAKSAK Kuala Terengganu Buka Tirai
KUALA TERENGGANU, 3 November - Liga Bola Sepak Friendly Majlis Kebajikan dan Sukan Aggota Kerajaan (MAKSAK) Kuala Terengganu membuka tirai kejohanan, Ahad lalu dengan perlawanan pertama antara Ibu Pejabat Kontijen Terengganu (IPKT) dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ FC).
Pengerusi Persatuan Pengadil Daerah Kuala Terengganu, Hamdan Awang yang bertindak sebagai penganjur liga memaklumkan, pertandingan berkenaan diadakan buat pertama kali bagi engeratkan hubungan antara kakitangan kerajaan di daerah terbabit bertempat di padang bola sepak Lagoon, Chendering.
"Jadi, untuk kali pertama ini hanya melibatkan lapan pasukan sahaja iaitu pasukan IPKT, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu (IPDKT), Jabatan Hal Ehwal Agama Kuala Terengganu, HSNZ, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Pejabat Perhutanan Terengganu dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
"Pertandingan ini mungkin akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan MAKSAK dan berkemungkinan akan membuka Division kedua sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua pihak," katanya.
Perlawanan pembukaan antara kedua pasukan itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul hadi dan berkesudahan HSNZ FC menewaskan IPKT FC dengan jaringan 4-2.
03 Nov 20
1428
MB Terengganu Bertugas Dari Katil
KUALA TERENGGANU, 3 November - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memulakan tugas dari katil Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) selepas selesai jalani pembedahan lutut semalam.
Katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, walaupun masih tidak boleh berjalan, dan berdiri tetapi minda harus sentiasa cergas untuk melaksanakan amanah.
"Tengah hari semalam, iaitu tidak sampai 24 jam selepas 'operation', saya sudah minta Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu dan Ketua Polis Terengganu supaya datang ke bilik wad saya untuk memberi taklimat mengenai kedudukan terkini COVID-19 dan isu keselamatan di Terengganu.
"Fail-fail di pejabat Menteri Besar yang memerlukan tugas saya untuk ditandatangani juga saya minta dibawa ke bilik wad.
"Saya juga memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, sekiranya ada perkara yang memerlukan MB membuat keputusan, sila terus bawa kepada saya walaupun semasa saya berada di dalam kamar wad," ujar Ahmad Samsuri.
Dalam masa yang sama, beliau memohon maaf sekiranya ada sebarang kekhilafan yang dilakukannya.
"Saya akui kelemahan diri saya dalam pelbagai perkara dan bukanlah 'superman' yang boleh melakukan berbagai-bagai kerja yang luar biasa, tetapi sesungguhnya saya merasa insaf bahawa rakyat sentiasa memerlukan keputusan dan tindakan pemimpin kerajaan dalam urusan seharian," tambah beliau.
Petang kelmarin Ahmad Samsuri selesai menjalani pembedahan lutut selepas mengalami kecederaan ‘anterior cruciate ligament (ACL).
Setiausaha politiknya, Muhyidin Abdul Rashid berkata, Ahmad Samsuri telah dinasihatkan oleh doktor untuk mengurangkan pergerakan fizikal yang boleh memberi kesan pada proses penyembuhan.
“Proses penyembuhan dijangka sekurang-kurangnya selama enam minggu.
“Pembedahan ini dilakukan kerana kecederaan dalaman pada ligamen lutut akibat terseliuh kerana menahan badan daripada jatuh semasa aktiviti riadah,” katanya.
03 Nov 20
1460
Bekas Rakan Sekolah Ditahan Untuk Siasatan Kes Bunuh Remaja Perempuan
HULU TERENGGANU, 2 November - Seorang pelajar sekolah tingkatan enam ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang remaja perempuan di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong, semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata remaja perempuan berusia 19 tahun itu ditahan pada 8.15 pagi tadi di Balai Polis Telemong ketika suspek tampil bersama ibunya untuk memberi keterangan pada peringkat awal.
"Walaubagaimanapun hasil keterangan yang diberikan agak mencurigakan dan pihak polis mendapati terdapat beberapa kecederaan dibahagian tangan suspek yang mungkin disebabkan pergelutan diantara suspek dan mangsa.
"Pihak polis kemudian telah membuat pemeriksaan di rumah suspek dan menemui beberapa barangan, milik mangsa yang disamun," katanya kepada pemberita di sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini, hari ini.
Mohd Adli berkata, penemuan bahan bukti berkenaan, suspek yang juga bekas rakan sekolah menengah mengaku berada di lokasi kejadian pada jam 9.00 pagi semalam.
"Suspek yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa dikatakan datang untuk berbual sebelum membawa kepada pergaduhan mulut dan suspek bertindak ganas dengan mengambil pisau pemotong sayur yang ditemui di ruang tamu.
"Suspek menggunakan pisau berkenaan untuk menetak tangan mangsa hingga putus dan kemudiannya melarikan barang-barang milik mangsa,"ujarnya.
Jelas beliau, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai bunuh dan bukan samun dan bunuh.
Menurutnya lagi, suspek akan dibawa ke mahkamah Marang esok untuk perintah tahanan reman bagi siasatan lanjut.
Terdahulu dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi semalam, mangsa Siti Nor Surya Ismail, 19, ditemui dalam keadaan tertiarap di ruang tamu kediaman setingkat tersebut dengan kesan kecederaan lain pada bahagian muka dan badan.
02 Nov 20
11116
Burhanuddin Dilantik Pengarah Eksekutif Baharu Terengganu Inc.
KUALA TERENGGANU, 2 November - Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) bagi menggantikan Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak yang melepaskan jawatan, berkuatkuasa semalam.
Burhanuddin Hilmi, 50 sebelum ini merupakan Ketua Pegawai kewangan Kumpulan Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) iaitu sebuah syarikat berteknologi tinggi yang mengeluarkan peralatan serta kelengkapan kapal terbang Airbus dan Boeing dan berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang korporat dan kewangan termasuk audit dan baik pulih perniagaan serta perancangan strategi perniagaan.
Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan di beberapa konglomerat Malaysia dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) selain memiliki pengalaman dalam pelbagai industri termasuk minyak dan gas, perkilangan serta penerbangan.
Seawal kariernya, pemegang Ijazah perniagaan antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu telah menyertai beberapa syarikat kewangan terkemuka antaranya KPMG dan PricewaterhouseCoopers (PwC).
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi Terengganu Inc, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melalui satu kenyataan yang dikeluarkan syarikat itu berkata, kerajaan negeri yakin dengan kemahiran dan pengalaman dimiliki Burhanuddin.
"Beliau akan meneruskan kemampanan dan daya saing Kumpulan Terengganu Inc dalam memperkukuhkan strategi perniagaan anak syarikat kumpulan bagi memanfaatkan pelaburan untuk rakyat," katanya.
02 Nov 20
2047
Projek Rumah Terbengkalai Padang Setengge Hampir Pulih
Oleh : Suriati Ali
HULU TERENGGANU, 2 November - Projek Perumahan Padang Setengge di Kuala Berang yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu kini hampir siap dibangunkan sepenuhnya.
Berdasarkan kemajuan projek, fasa ketiga kini 99 peratus siap manakala fasa keempat pula 77 peratus siap dan kedua-dua fasa itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, kejayaan merealisasikan harapan 234 pembeli rumah projek terbengkalai yang ditinggalkan kerajaan terdahulu merupakan satu kejayaan bagi pihaknya.
"Pada masa sama mampu disiapkan mengikut jadual walaupun berdepan beberapa masalah tertentu, antaranya berdepan dengan faktor cuaca dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Kerja Ke Kawasan Projek Perumahan di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said @ Mat Ali.
Menurut beliau, berdasarkan rekod, anggaran kos pembaikian rumah terbengkalai di Padang sentegge itu adalah antara RM8.5 hingga RM10 juta.
"Tidak ada kos tambahan yang dikenakan kepada pembeli dan semuanya akan ditanggung oleh kerajaan negeri melalui pihak Lembaga Tabung Amanah Warisan," jelasnya.
Difahamkan, projek di kawasan perumahan Padang Setengge bagi fasa tiga dan empat itu dilaksanakan secara berperingkat bermula 2011 melibatkan 234 unit rumah.
Berdasarkan jadual, pemaju sepatutnya menyerahkan kunci kepada pembeli pada Ogos 2014 namun gagal dilaksanakan.
Sebanyak lebih 100 unit rumah di fasa 4 selepas itu ditinggalkan terbengkalai oleh sub-kontraktor dalam keadaan 75 hingga 80 peratus siap kerana kegagalan SePurnama sebagai kontraktor utama projek tersebut dalam melunaskan hutang kepada sub-kontraktor yang telah melaburkan sebahagian besar modal untuk menyiapkan projek.
Akibat daripada itu, berlakulah saman-menyaman antara sub-kontraktor dan kontraktor utama sehingga mahkamah memutuskan kontrak kepada SePurnama batal dan syarikat tersebut diisytihar muflis oleh insolvensi dan yang menjadi mangsa adalah pembeli yang terpaksa menanggung beban.
02 Nov 20
4999
UMNO, Bersatu Anggota Baharu JPKK Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 November – Penjenamaan semula Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri akan bermula pada 1 Januari 2021 dan dianggotai ahli UMNO serta Bersatu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sebahagian negeri sedang dalam proses pelaksanaan, MPKK sedia ada akan tamat tempoh pada 31 Disember 2020 dengan penjenamaan semula tersebut.
“Buat masa sekarang di Terengganu, terdapat 1,047 buah MPKK di serata negeri diikuti tiga MPKK di Kampung Baru Cina yang ditadbir urus oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), menjadikan kesemua cawangan sebanyak 1,050 MPKK dari Kemaman sehingga Besut.
“Pihak berkuasa negeri bersetuju untuk menjemput rakan-rakan parti dalam Perikatan Nasional seperti UMNO dan Bersatu dalam menganggotai JPKK menjelang tahun hadapan dengan tambahan lima kuota lantikan bersama 15 anggota jawatankuasa lain.
“Komponen tiga parti akan memenuhi jawatankuasa tersebut bagi memupuk lagi semangat muafakat dalam menjaga kampung dan sebagai pelaksana dasar kerajaan serta berperanan dalam pembangunan dan keselamatan di peringkat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mesyuarat pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Terengganu di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Iman hari ini.
Mengulas lanjut mengenai langkah yang diambil kerajaan itu, beliau berkata, kajian dan pemutihan semula akan dijalankan kerana sebahagian MPKK mempunyai bilangan rumah yang terlalu banyak dan kurang daripada minima 100 buah rumah.
“Pejabat Bahagian Khidmat Pengurusan Setiausaha Kerajaan (SUK) sedang membuat kajian tentang perkara ini dan insya-Allah akan mencadangkan kerajaan dengan data dan maklumat. Ini supaya JPKK dapat berfungsi dengan lebih efisyen.
“Proses lantikan akan bermula dengan makluman tamat tempoh dan kekosongan MPKK sedia ada yang dimaklumkan oleh kerajaan negeri melalui pejabat SUK kepada Pejabat Daerah. Kemudian, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pusat Khidmat Masyarakat akan mencadangkan nama-nama melalui borang yang disediakan untuk angkat ke Jawatankuasa Panel Penilaian Anggota setiap daerah.
“Peringkat daerah akan mengesahkan nama tersebut seterusnya diangkat kepada pihak berkuasa yang melantik iaitu Menteri besar. Proses ini tidak rumit,” ulasnya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah memberhentikan bayaran geran kepada MPKK buat tahun 2020.
“Sebelum ini pada tahun 2019, RM10,000 disalurkan kepada setiap MPKK. Tahun ini, kerajaan negeri mengambil alih penyaluran geran dan memutuskan bantuan secara ‘one-off’ RM4,000 disebabkan COVID-19. Insya-Allah tahun hadapan kerajaan akan beri komitmen dalam isu ini dan akan diputuskan tahun depan,” katanya lagi.
02 Nov 20
3904
MB Terengganu Jalani Pembedahan Lutut ACL
KUALA TERENGGANU, 1 November – Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selesai menjalani pembedahan lutut selepas mengalami kecederaan ‘anterior cruciate ligament (ACL), reconstruction and cartilage repair’ di sebuah hospital pada petang tadi.
Setiausaha politiknya, Muhyidin Abdul Rashid berkata, Ahmad Samsuri telah dinasihatkan oleh doktor untuk mengurangkan pergerakan fizikal yang boleh memberi kesan pada proses penyembuhan.
“Proses penyembuhan dijangka sekurang-kurangnya selama enam minggu.
“Pembedahan ini dilakukan kerana kecederaan dalaman pada ligamen lutut akibat terseliuh kerana menahan badan daripada jatuh semasa aktiviti riadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyidin memaklumkan, Ahmad Samsuri walau bagaimanpun akan tetap berusaha untuk meneruskan urusan pentadbiran seperti mesyuarat kerajaan, agensi, syarikat berkait kerajaan (GLC) dan menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti biasa.
01 Nov 20
1734