Artikel "Utama" Terkini
Tabung Haji Kini 'Online'
SETIU, 5 Oktober - Urusan Tabung Haji (TH) kini boleh dilakukan secara atas talian melalui aplikasi terbarunya THiJARI.
Pengurus TH Setiu, Wan Mohd Kamil Wan Abdul Ghani berkata, aplikasi terbaru itu akan membantu pengguna untuk membuat urusan seperti pindahan simpanan, ringkasan akaun, pendaftaran haji dan tawaran haji.
"Insya-Allah aplikasi ini membantu pelanggan Tabung Haji yang mana kita tidak lagi menggunakan sistem buku seperti yang diamalkan oleh perbankan lain," katanya ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman turut mendaftarkan aplikasi ini dalam satu majlis ringkas pagi tadi.
Majlis ringkas itu juga dihadiri oleh kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan turut mendaftar sama.
05 Nov 20
791
Permint Granite Sumbang RM1 Juta
KUALA TERENGGANU, 5 November - Permint Granite Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menyumbang RM1 juta kepada kerajaan negeri bagi membantu rakyat yang terjejas banjir.
Pengerusi Permint Granite Sdn. Bhd, Che Ghani Che Ambak berkata, pihaknya terpanggil untuk sama-sama membantu kerajaan negeri meringankan beban rakyat yang terkesan.
“Kita turut merasai kesusahan yang dialami mereka terutamanya golongan yang terlibat dengan banjir setiap tahun.
Ditambah lagi dengan suasana sekarang yang mana wabak COVID-19 masih berpanjangan, jadi kami rasa bertanggungjawab untuk bersama-sama mengurangkan keperitan mereka,” ujarnya kepada pemberita.
Katanya, sumbangan berkenaan merupakan antara tanggungjawab sosial korporat (SCR) yang dilaksanakan Permint Granite saban tahun.
05 Nov 20
1495
Kerajaan Negeri Bantu Keluarga Mangsa Bunuh, Siti Nur Surya
KUALA TERENGGANU, 5 November - Kerajaan negeri sedia membantu dan membuat pemantauan secara berkala kepada keluarga Allahyarhamah Siti Nur Surya Ismail, 19, yang ditemui mati dibunuh dengan kesan tetakan di Kampung Lubuk Batu, Telemong, baru-baru ini.
Hanafiah Mat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya akan melakukan yang terbaik bagi membantu keluarga ini meneruskan kehidupan mereka, terutamanya ibu mangsa, Zaini Musa, 55, yang terlantar lumpuh akibat kanser otak.
"Bagi pihak kerajaan negeri, saya dan YB (Yang Berhormat) Dr Mamad yang berkesempatan hadir pada hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian yang sangat mendukacitakan ini. Kita sangat mengharapkan selepas dari ini, tiada lagi kejadian seumpama ini berlaku.
"Untuk selanjutnya kita serahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan sewajarnya. Elakkan sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan keraguan pada mana-pihak sehinggalah perkara ini benar-benar dipastikan oleh pihak yang bertanggungjawab.
"Kerajaan Terengganu akan beri sokongan dari segi moral, bantuan kewangan dan sebagainya kepada keluarga mangsa. Untuk hari ini, saya serahkan sumbangan mewakili Pengerusi Darul Iman di samping bantuan serta khidmat kaunseling dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Tabung Darul Iman akan diberikan dari masa ke masa," jelasnya ketika ditemui pemberita sewaktu menziarahi keluarga mangsa di Kampung Beladau Selat di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puted, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu.
Terdahulu, pelajar perempuan Tingkatan Enam yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan Siti Nur Surya Ismail, dengan mengelar beberapa kali pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus, direman kelmarin di Mahkamah Majistret Marang selama tujuh hari sehingga Isnin depan.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan kerana membunuh.
05 Nov 20
932
UniSZA Sedia Kelas Tuisyen Percuma
KUALA NERUS, 5 November – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melebarkan program kemasyarakatannya dengan menyediakan kelas tuisyen percuma khusus untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) menerusi Program 3T (Teens Tuition Teens).
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, buat permulaan, seramai 40 pelajar dari keluarga B40 di daerah Kuala Terengganu yang menetap di Flat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang telah dipilih untuk program kali ini.
Katanya, ia melibatkan empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, SMK Seri Budiman, SMK Padang Negara dan SMK Chendering.
“Program dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA (MPP) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Ladang itu akan diadakan selama dua tahun bermula pada 2 November 2020 sehingga 22 Disember 2022 bertempat di Bilik Kuliah, Kampus Perubatan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, program ini bertujuan untuk memenuhi sebahagian daripada keperluan Pelan Strategik UniSZA iaitu menjadikan UniSZA sebagai Hero Komuniti yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat khususnya di daerah sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Menurutnya lagi, seramai 20 orang fasilitator terdiri daripada pelajar Asasi (PUSPA) dan pelajar Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (FPP) diambil sebagai tenaga pengajar sepanjang program berlangsung.
“Sebanyak enam mata pelajaran yang akan diajar iaitu Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden dan Prinsip Akaun pada tahun ini dan tahun 2021 pula kami rancang untuk kembangkan kepada pelajar Daerah Kuala Terengganu seramai 120 orang dan akan melibatkan 10 mata pelajaran.
“Dua aliran utama bagi program ini ialah Sains dan Perniagaan yang melibatkan subjek Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden dan Prinsip Perakaunan,” jelas Mohd Afandi.
05 Nov 20
911
Kereta Terbabas Ke Dalam Parit, Bukit Bauk
DUNGUN, 4 November - Sekitar jam 7:45 petang tadi, sebuah kereta proton wira 1.5 didapati terbabas hingga jatuh ke dalam parit di selekoh Bukit Bauk, Dungun, di sini.
Kejadian itu berlaku sewaktu jalan tersebut sedang basah kerana hujan, dan mangsa terbabas seorang diri selepas stereng keretanya gagal dikawal di selekoh gelap dan licin tersebut.
Bagaimanapun mangsa, Ahmad Fahmi, 23, tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius di anggota badan.
Namun kenderaan dipandu beliau dalam keadaan teruk, kesan kemalangan keretanya sepanjang 50 meter hingga masuk ke dalam parit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Kemasik), Ir. Saiful Azmi Suhaili bersama mangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Kemasik), Ir. Saiful Azmi Suhaili yang pertama sampai ke tempat kejadian datang membantu mangsa sewaktu dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke Kerteh.
“Alhamdulillah kereta dapat hidup lagi selepas berlaku kemalangan yang teruk. Bolehlah saya hidupkan dan nyalakan lampu, supaya ada orang perasan saya sedang mengalami kemalangan ini.
“Saya dari Dungun ingin ke Kerteh untuk pergi ke rumah tunang saya di sana. Sebab mereka adakan jamuan makan pada malam ini selepas solat isyak, tetapi apakan daya saya terbabas dan tak dapat datang awal ke sana," kata mangsa.
04 Nov 20
2024
SOP Masjid, Surau Masih Kekal
KUALA TERENGGANU, 4 November - Terengganu masih mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) lama di semua masjid dan surau di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya yakin SOP yang menekankan penjarakan 1 meter, mereka yang bergejala dilarang hadir dan khutbah Jumaat dipendekkan sudah memadai.
Katanya, pada masa yang sama jemaah masjid mudah mematuhi SOP kerana mereka tidak hadir dalam kumpulan ramai.
"Sekiranya ada pihak yang mahu mengadakan majlis tahlil atau kesyukuran, digalakkan untuk membungkus dan membawa pulang hidangan, bukannya makan di masjid.
"Kita perlu sentiasa peka dengan arahan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM), sekiranya ada SOP baru, pastinya Terengganu akan patuh," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Mohd Nor turut memberitahu, kerajaan melalui Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) telah melaksanakan Info On Wheels (IOW) dan Program Sepakat @ Komuniti membabitkan kira-kira 50,000 masyarakat di seluruh Terengganu.
Katanya, hebahan IOW dilaksanakan melalui melalui pembesar suara dan kekerapan secara purata sebanyak 20 kali sebulan.
"Manakala Program 'Sepakat @ Komuniti' yang melibatkan kerahan masyarakat setempat dengan kehadiran maksimum 200 peserta di setiap Dewan Undangan Negeri.
"Hebahan bukan sahaja melibatkan kawasan bandar tetapi juga di pedalaman, kawasan Orang Asli dan kawasan tumpuan ramai," katanya.
04 Nov 20
452
Penternak, Nelayan Dan Petani Perlu Waspada
KUALA TERENGGANU, 4 November – Penternak, nelayan dan petani di seluruh negeri ini dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dalam menguruskan sektor masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, walaupun ketiga-ketiga sektor berkenaan berjalan sepanjang tahun tanpa musim namun langkah berjaga-jaga tetap perlu diambil.
"Contoh penternakan akuakultur seperti ikan kerapu yang sensitif dengan perubahan kadar kemasinan air. Penternak perlu pastikan terutamanya yang berada di laguna, kawasan kuala, muara yang biasanya berlaku penurunan kadar kemasinan air dengan mendadak apabila air dari hulu turun.
"Mereka perlu memastikan bahawa apa yang diternak itu dituai sebelum daripada tiba musim tengkujuh sebab bila kadar kemasinan air menurun, ikan yang sensitif akan mati.
"Untuk padi, sekarang ini tengah rancak dituai. Apabila hujan turun, memang kerja-kerja menuai akan ditingkatkan lagi dengan sedaya upaya supaya boleh disiapkan dalam tempoh terdekat. Kita berharap tidak ada padi kita yang rosak disebabkan banjir," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Wisma Darul Iman, semalam.
Menurutnya lagi, isu kekurangan kilang padi tahun lalu telah pun diselesaikan dengan jaya.
"Walaupun berlaku pecutan diperingkat tuaian, Terengganu sudah mampu menampung dan memproses sendiri.
"Jadi sebanyak manapun padi dituai di Terengganu khususnya di kawasan jelapang padi Besut dan IADA Ketara, ia mampu ditampung untuk diproses oleh kilang-kilang kita," jelasnya.
Sementara itu, pihakya telah memohon kepada pihak kerajaan negeri supaya peruntukan tabung bencana pertanian negeri sebanyak RM5000,000 ditingkatkan pada tahun depan.
"Sektor pertanian sangat terdedah dengan bencana sebab ia berada di lapangan terbuka samaada pertanian, penternakan dan akuakultur.
"Kita mohon supaya dipertingkatkan lagi dengan angka yang munasabah dan mengharapkan di ucapan bajet pada akhir November nanti Menteri Besar akan mengumumkan satu berita gembira>" tambah beliau.
04 Nov 20
2150
Hadiah Untuk Nelayan, Tempat Baiki Bot Siap Dibina
MARANG, 4 November - Kesukaran membaiki bot dalam kalangan nelayan di daerah ini akhirnya berjaya diatasi selepas 'mini slipway' di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang siap dibina.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ‘mini slipway’ yang boleh menarik bot seberat sekitar 30 tan ke darat itu dibina dengan kos kira-kira RM460,000 dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Katanya, tempat membaiki bot berkenaan siap seperti yang dijadualkan sekali gus menyelesaikan masalah nelayan yang terpaksa menempuh perjalanan jauh sehingga ke daerah lain bagi tujuan itu.
"Saya melihat 'mini slipway' (tempat membaiki bot) ini boleh memenuhi keperluan nelayan kerana kerosakan kecil seperti kerosakan kipas yang memerlukan pembaikan selama beberapa hari, boleh dilakukan di 'mini slipway' seperti ini.
“Sebelum ini nelayan sekitar Marang terpaksa pergi ke Pulau Duyong, Kuala Terengganu apabila bot mereka mengalami kerosakan yang akhirnya membuang masa, tenaga meningkatkan kos dan sebagainya.
“Maka tahun ini kerajaan negeri menghadiahkan dua keperluan yang sangat diperlukan nelayan Marang iaitu tempat membaiki bot ini dan bilik sejuk beku di jeti LKIM Marang dengan kapasiti simpanan kira-kira 10 tan ikan dan hasil laut dalam satu-satu masa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek 'mini slipway' di Marang, semalam.
Katanya, diharapkan nelayan di kawasan Marang dapat manfaatkan sebaik mungkin dua kemudahan yang disediakan kerajaan negeri ini sekaligus berupaya mempertingkatkan lagi pengeluaran sektor perikanan negeri.
04 Nov 20
1449
Sasar Keluarkan Beras MyGAP April Depan
MARANG, 4 November - Kerajaan negeri menyasarkan untuk mengeluarkan beras dengan jenama Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) Terengganu menjelang April tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut jawatankuasa khas untuk beras MyGAP Terengganu telah memutuskan Konsortium Kilang Padi di Baruh Masin, Jabi akan dijadikan kilang untuk memproses beras MyGAP.
Katanya, langkah tersebut akan menjamin kualiti beras yang tinggi selepas melalui audit pensijilan yang ketat.
“Di Terengganu ada seluas 413 hektar kawasan padi yang telah mendapat pensijilan myGAP, cuma sebelum ini sangat rugi apabila daripada jumlah itu ada yang tidak diproses dengan betul walaupun kita ada petani yang ada pensijilan myGAP.
“Kita tidak ada jenama beras dengan kualiti myGAP. Ini menyebabkan kita fikir perlu untuk mewujudkan satu rantaian yang lengkap daripada petak sawah, sehingga ke mesin padi, pengangkutan, kilang proses, pembungkusan dan pemasaran,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kilang Padi Bukit Kor Sdn Bhd, Marang, semalam.
Tambah beliau, rantaian tersebut perlu lengkap dan semuanya dalam perancangan pihak kerajaan negeri.
04 Nov 20
911
2021, Tahun Bertuah Petani Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 November – Tahun 2021 bakal menjadi tahun bertuah kepada seluruh warga tani di negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkembangan itu selari dengan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semasa perasmian sidang Dewan Undangan Negeri lalu.
"Kita mempunyai agenda yang besar menjelang tahun 2021. Selaras dengan itu, kita nampak ruang-ruang yang agak menceriakan untuk warga tani Terengganu dengan peruntukan bajet yang jauh lebih besar berbanding dengan tahun sebelumnya.
"Kalau kita tengok berdasarkan pada laporan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2019, peningkatan ekonomi Terengganu berlaku pada kadar 3.3 peratus meningkat sedikit berbanding dengan 2.8 peratus pada tahun 2018 dan peningkatan ini daripada dua sektor iaitu pertanian dan perkhidmatan.
"Ia terbukti pergerakan dan rangsangan ekonomi negeri ini dirangsang oleh sektor pertanian. Ini kerana hampir 70 peratus orang melayu beragama Islam di Terengganu berada dalam sektor ini sama ada sektor pertanian, penternakan, perikanan atau akuakultur," katanya kepada ketika ditemui media di Wisma Darul Iman hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan usaha untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri akan terus berjalan.
"Jadi, kalau kita nak bantu rakyat dan mahu merangsangkan ekonomi supaya bergerak, kita perlulah tengok di mana majoriti rakyat kita berada. Tidak lain tidak bukan, sektor pertanian inilah yang perlu digerakkan.
"Saya nampak ada ‘hint’ yang menggembirakan dan tunggulah ia di masa depan, insya-Allah,’’ ujarnya.
03 Nov 20
1920