Artikel "Utama" Terkini
Seni Diorama : Antara Sejarah Dan Kenangan
KUALA TERENGGANU, 10 November - Pada pandangan pertama, ia mungkin nampak seperti kedai-kedai di tepi jalan yang anda dapat lihat di bandar dan pekan, sekitar Terengganu.
Tetapi lihat lebih dekat, maka anda akan menyedari sebuah model 3D yang dihidupkan dengan tekstur realistik daripada bumbung zink berkarat hingga cat putih yang terkelupas pada rumah kedai.
Karya seni kecil tersebut adalah campuran seni bina dan warisan mengambil inspirasi permandangan di Kampung Cina dan kedai lot di Bandar Besut, moden dan tradisional, dengan kisah dan kenangan tersendiri, dibina dengan tangan Mohd Ihsan Mohd Saidi, 34, minda kreatif di belakangnya.
Berasal dari Besut dan juga seorang ayah kepada tiga anak, Ihsan berkata, hobi sampingan ini bermula empat tahun lalu dengan membina rumah kampung tradisional, dilengkapi suasana persekitaran asal di kampung nelayan sekitar 1990-an.
“Saya bermula dengan membina rumah tradisional kecil dengan hanya bahan murah yang mudah didapati seperti batang aiskrim, lidi sate dan barang dari kedai RM2.
“Kemudian setelah berkongsi gambar projek di Facebook saya, ia mula mendapat perhatian, reaksi dan pertanyaan daripada orang lain kian membakar semangat saya untuk membawa hobi ini ke tahap seterusnya.
"Miniatur bernama Kedai Lot terdiri kedai elektronik, ‘Car Wash’ dan restoran semuanya inspirasi daripada pekerjaan dan memori kehidupan saya di Besut.
“Harga dan masa untuk membina diorama ini bergantung kepada skala dan saiz dikehendaki (1/43, 1/32, 1/64) dan bahan yang digunakan.
“Sebagai contoh, replika liang lahad ini berharga RM40 sementara Lot Kedai dalam lingkungan RM800 kerana bahan berkualiti tinggi seperti putty filler, cat, pvc board dan alat-alat lain,” katanya kepada pemberita.
Mengulas lanjut hobi diorama sebagai perniagaan sambilan, Ihsan mengulas, tawaran dan komisen untuk diorama kediaman tradisional telah datang negeri-negeri di seluruh Malaysia seperti Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan banyak lagi.
"Pelbagai agensi, jabatan kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) juga mengupah saya mencipta diorama bagi pameran berskala besar yang terdiri daripada Rumah Kampung mini.
“Projek terbesar yang saya laksanakan adalah komisen daripada sebuah agensi kerajaan dengan harga sekitar RM4000, iaitu persisiran pantai yang dipenuhi pokok bakau untuk menunjukkan kesan kakisan pantai.
“Anggaran pendapatan kasar kira-kira RM2000 sebulan menjual diorama bersaiz sederhana dengan harga RM200 hingga RM300," ceritanya.
Ihsan yang juga kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, membincangkan rancangan masa depannya untuk membuka kedai diorama dilengkapi dengan pelbagai alat dan bahan hobi tersebut untuk pendatang baru dan pakar bangunan miniatur di Terengganu.
Bagi mereka yang berminat, boleh menghubungi ‘Sam Diorama & Miniature’ di 013-7146510 atau Facebook di mohd.sam.samsam2710, Instagram di @sam_252252, dan Youtube di ‘Sam diorama Chanel’ untuk maklumat lebih lanjut.
10 Nov 20
3778
Jadikan Masjid, Surau Sebagai Pusat Pembangunan Masyarakat
HULU TERENGGANU, 10 November - Fungsi masjid atau surau sebagai institusi menimba ilmu agama perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam, kata Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Ajil, Maliaman Kassim.
Beliau berkata, selain bersolat, masjid dan surau memainkan peranan mustahak sebagai tempat bagi masyarakat Islam berkumpul dan menganjurkan aktiviti selain yang menjurus kepada aspek keagamaan.
“Tidak salah jika ahli jawatankuasa masjid menganjurkan aktiviti (sukan) seperti pertandingan sepak takraw, badminton dan sebagainya di pekarangan masjid.Jadi, ahli jawatankuasa masjid harus menetapkan di mana untuk membina gelanggang permainan untuk golongan tersebut.
“Program-progam tuisyen juga boleh dianjurkan selain pertandingan nasyid, tilawah al-Quran, zikir dan sebagainya yang mampu membentuk golongan belia,” katanya.
“Seiring dengan peredaran masa dan perkembangan masyarakat serta pembangunan minda dan fizikalnya memberikan isyarat bahawa institusi masjid juga perlu berkembang untuk mengimbangi keperluan dan perkembangan masyarakat Islam," katanya ketika ditemubual selepas Program Sambutan Maulidur Rasul di Masjid, Kampung Gunong, semalam.
Dalam pada itu, Maliaman turut menyeru semua ahli masjid dan surau di negeri ini agar lebih aktif menganjurkan aktiviti keagamaan yang dapat menarik pembabitan golongan belia.
“Saya menyeru semua ahli jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini agar memahami kehendak golongan berkenaan (belia) agar tugas untuk menarik penyertaan mereka dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan lebih mudah.
“Aktiviti mengimarahkan atau menyemarakkan masjid tidak sewajarnya tertumpu kepada penglibatan warga emas sebaliknya menuntut kehadiran generasi muda dan wanita,” ujarnya.
10 Nov 20
2278
Teruskan SOP Ketat Demi Hulu Terengganu Kekal Hijau
HULU TERENGGANU, 10 November - Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat tetap diteruskan demi mengekalkan Hulu Terengganu sebagai daerah hijau yang bebas daripada wabak pandemik COVID-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hari semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac sehingga sekarang semua agensi-agensi yang terlibat dalam penugasan COVID-19 di daerah sangat tegas dalam penugasan mereka.
"Kita akan terus gunakan dan kekalkan konsep sebelum ini kerana kita nampak keberkesanan operasi-operasi yang dilaksanakan.
"Manakala tahap kepatuhan warga masyarakat di Hulu Terengganu ini juga amat baik daripada permulaan hinggalah sekarang," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah, hari ini.
Tambah beliau, sekitar 100 pegawai dan anggota polis terlibat yang akan dibantu sekurang-kurangnya 20 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk sekatan jalan raya(SJR) di Hulu Terengganu.
"Untuk itu kita telah mengadakan tiga SJR iaitu di kawasan Batu 18 Ajil-Wakaf Tapai, keduanya di sempadan Telemong- Manir dan ketiga adalah SJR bergerak.
"Tujuan SJR ini diadakan adalah untuk pemeriksaan ke atas kenderaan-kenderaan yang sama ada masuk ataupun keluar ke kawasan daerah ini supaya mematuhi SOP PKPB yang telah ditetapkan," ujarnya lagi.
Mohd Adli turut berkata, pihaknya juga mempunyai pasukan yang membuat pemantauan dan pemeriksaan di premis-premis dan tempat-tempat tumpuan orang ramai.
Katanya, pasukan pertama melibatkan gabungan agensi di mana pasukan ini dibahagikan kepada dua syif untuk siang dan waktu malam.
"Kita ada tiga pasukan khas lagi dari PDRM yang melibatkan pegawai dan anggota polis sebagai pasukan task force.
"Mereka akan membuat pemeriksaan di pasar raya- pasar raya, premis-premis, bank-bank dan tempat-tempat orang ramai bagi tujuan memastikan pematuhan SOP dilaksanakan.
"Tujuan pasukan ini sekiranya terdapat kesalahan-kesalahan yang melanggar syarat-syarat ataupun SOP PKPB ini maka tindakan kompaun dilapangan akan terus diambil dan denda sebagaimana semua sedia maklum RM1,000 bagi setiap kompaun yang dikeluarkan," jelasnya.
Untuk rekod, sejak PKP pada 18 Mac sehingga sekarang, Hulu Terengganu menjadi satu-satunya daerah yang kekal sifar jangkitan COVID-19 di negeri ini.
Sementara itu, polis Terengganu turut melakukan sekatan jalan raya selama 24 jam di 11 lokasi daripada 29 lokasi yang diaktifkan dan daripada jumlah itu, sekatan di 18 lokasi yang selebihnya dilaksanakan secara bergerak di seluruh daerah.
10 Nov 20
2552
Selesai Lantikan JPKK Menjelang Tahun Baharu
BESUT, 10 November – Kerajaan Terengganu menyasarkan lantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diselesaikan menjelang tahun baharu 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, berikutan itu senarai cadangan keanggotaan JPKK perlu disiapkan selewat-lewatnya akhir bulan ini.
"Berbaki lebih kurang tiga minggu lagi untuk kita menyiapkan senarai. Akhir bulan 11 ini akan diangkat ke Pejabat Daerah yang juga memerlukan masa dalam tempoh sekitar 10 hari. Maknanya 10 Disember ini, senarai cadangan daripada Pejabat Daerah khususnya di Besut akan diangkat ke Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK). Seterusnya, pelantikan akan dibuat oleh pihak berkuasa melantik iaitu Menteri Besar.
"Makluman kekosongan ini akan dimaklumkan segera. Jadi ambillah perhatian terhadap jangka masa yang telah ditetapkan. Semoga menjelang 1 Januari 2021 kita boleh memberikan watikah pelantikan dan boleh memulakan tugas menjelang tahun baru.
"Saya mengharapkan setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) serta Pejabat Pegawai Penyelaras DUN boleh mengambil tindakan yang sepatutnya agar kita tidak terlewat daripada waktu yang ditentukan.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Taklimat JPKK kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Daerah Besut di Kota Putera Square semalam.
Mengulas lanjut, kerajaan negeri mengesyorkan agar perbincangan dengan parti PN diadakan bagi mencadangkan calon-calon mengikut beberapa kriteria yang perlu dipatuhi.
"Kita tidak tentukan bagaimana bentuk perbincangan yang mesti dibuat. Namun, biarlah berdasarkan kepada kesesuaian dan situasi setempat.
"Antara syaratnya ialah mestilah warganegara Malaysia, berumur di antara 21 tahun sehingga 65 tahun, penduduk tetap, tidak muflis, tiada rekod atau sabitan terlibat dalam mana-mana kes jenayah, sihat mental dan fizikal, bebas dari penyalahgunaan dadah, aliran pemikiran dan daya kepimpinan yang boleh diterima oleh masyarakat dan seterusnya mengamalkan nilai integriti dan kepimpinan yang berwibawa.
"Bagi jawatan pengerusi dan setiausaha disyaratkan agar tiada pertalian keluarga. Syarat-syarat ini mesti digunapakai oleh semua parti dan syarat-syarat tambahan telah ditetapkan daripada masa ke semasa berdasarkan kepada keperluan." katanya.
Walau bagaimanapun jelasnya, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai kuasa untuk memberikan pengecualian kepada calon-calon yang tidak menepati syarat-syarat.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, prestasi MPKK Terengganu dalam tempoh dua tahun lebih berkhidmat ini agak terkedepan.
"Saya yakin sebahagian besar daripada MPKK yang sedia ada boleh dikekalkan untuk meneruskan khidmat paling paling kurang dalam tempoh dua tahun lagi nanti," tambah beliau
10 Nov 20
1880
Kerajaan Komited Tambah Pendapatan Pekebun Kecil Getah
KUALA NERUS, 10 November - Kerajaan Pusat melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyarankan agar usaha menambah pendapatan pekebun kecil getah diberi penekanan utama dan penggunaan tanah pekebun kecil getah dioptimumkan sepenuhnya.
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, selaras dengan saranan tersebut, konsep Pembangunan Komuniti Pekebun Kecil Getah diperkenalkan melibatkan penyatuan pengurusan tanah pekebun kecil termasuk kawasan tanah terbiar.
Matlamat utama adalah mewujudkan koperasi bagi membolehkan pekebun kecil menambah pendapatan melalui pengurusan teknologi huluan sehingga hiliran, memendekkan rantaian bekalan (supply chain), penjualan hasil getah dan tanaman sampingan melalui sistem perladangan kontrak (contract farming) dan elemen pembangunan kebun getah secara integrasi dengan ternakan dan tanaman secara berkelompok.
”Koperasi yang ditubuhkan berperanan sebagai pembeli dan penjual getah berlesen termasuk mengurus pengeluaran lateks yang berkekalan (sustainable) bagi keperluan industri.
”Produk nilai tambah (value added product) juga dilaksanakan sebagai pendapatan tambahan kepada pekebun kecil. Berdasarkan kajian, kaedah ini mampu membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil sehingga 30 peratus berbanding kebergantungan terhadap hasil getah semata-mata,” ujar beliau pada Majlis Pelancaran Koperasi Pengusaha Getah Kuala Nerus Berhad di sini kelmarin.
”Semua pihak melibatkan Lembaga Getah Malaysia (LGM), koperasi dan peserta projek yang terdiri daripada pekebun kecil perlu memainkan peranan masing-masing. Adalah diharapkan dengan pelancaran koperasi di Kuala Nerus ini, taraf hidup pekebun kecil getah dapat ditingkatkan ke tahap yang membanggakan,” ujarnya lagi.
Oleh : Faiz Ali Amal Media
09 Nov 20
123
Akad Nikah Hanya Di JHEAT, Pejabat Agama Daerah
KUALA TERENGGANU, 9 November – Majlis akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini hanya boleh diadakan di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Pejabat Agama Daerah (PAD).
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, arahan yang berkuatkuasa serta merta itu bertujuan menjaga keselamatan orang ramai dan memudahkan pemantauan pematuhan tatacara.
“Pelaksanaan di premis persendirian, masjid, surau atau tempat-tempat awam yang lain adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan khas daripada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju' Orang lslam Negeri Terengganu melalui borang A.
"Pegawai Agama Daerah akan menentukan jurunikah dan waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual yang akan disusun oleh pihak PAD dengan mengambil kira perbincangan dengan pihak pemohon," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kehadiran orang ke majlis perlu diminimakan iaitu tidak melebihi 15 orang dewasa dan keutamaan kepada yang berkeperluan untuk hadir seperti seorang jurunikah, pengantin lelaki, pengantin perempuan, seorang wali, serta masing- masing dua orang saksi bagi pengantin lelaki dan pengantin perempuan.
Menurut Mat Azmi, tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dipendekkan dan tidak melebihi 30 minit.
“Individu yang mengalami gejala seperti batuk, selsema, demam dan sesak nafas tidak dibenarkan hadir dalam majlis tersebut termasuk kanak-kanak dan warga emas berisiko.
"Semua yang hadir pada majlis akad nikah berkenaan hendaklah didaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon di dalam borang B dan diserahkan kepada PAD atau wakilnya dan perlu menggunakan hand sanitizer (penyahkuman) sebelum dan selepas majlis akad nikah," ujarnya.
Sementara itu katanya, upacara adat istiadat dalam majlis tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali.
"Jika mana-mana pihak yang tidak mematuhi tatacara ini, PAD atau wakilnya dengan kuasa Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju' Orang lslam Negeri Terengganu boleh menangguhkan majlis tersebut.
"Dokumentasi yang berkaitan majlis akad nikah seperti pendaftaran dan pengeluaran sijil perakuan nikah hendaklah ditangguhkan dan disempurnakan selepas tamat tempoh PKPB," jelasnya.
09 Nov 20
6402
Kanak-Kanak Taska Belajar Guna TV Pintar
KUALA TERENGGANU, 9 November - Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM700,000 bagi menyediakan sistem pembelajaran terkini, TS Kids atau TV Pintar di 68 Taska Permata Keluarga (TPK) mulai Januari tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, melalui peruntukan yang ada itu pihaknya terlebih dahulu akan menyediakan kemudahan berkenaan di taska-taska terpilih secara berperingkat.
Katanya, sekiranya semua berjalan lancar, peruntukan itu akan ditambah bagi membolehkan seluruh kanak-kanak di 68 taska milik Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dapat merasai pembelajaran TS Kids.
“Saya lihat apa yang bakal diperkenalkan kepada kanak-kanak itu sangat berkesan kerana bukan sahaja dapat belajar secara berdepan, malah boleh sentuh, lukis, menulis dan padam.
“Boleh juga berinteraksi secara maya antara kanak-kanak di taska lain dan pastinya kanak-kanak sangat teruja untuk mencuba,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengadakan lawatan ke TPK Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Program), Kamarulzaman Awang berkata, TS Kids adalah program yang ditambah baik daripada skrin sesentuh kepada TV Pintar yang lebih mesra kanak-kanak.
“Kemudahan itu boleh sentuh, melukis dan pandam, malah boleh berinteraksi secara dalam talian antara guru dan kanak-kanak di taska lain menggunakan aplikasi Google Meet.
“Apa yang mahu dilaksanakan itu pastinya boleh menguatkan daya ingatkan kanak-kanak berbanding kaedah kad imbas yang biasa digunakan sebelum ini,” katanya.
Katanya, beliau percaya kaedah itu pastinya diminati kanak-kanak dan lebih bersemangat untuk meneroka ilmu.
“Lebih penting, lebih berdisplin, fokus serta mampu duduk diam kerana teruja mendengar suara, melihat setiap pergerakan gambar atau abjad apabila disentuh guru atau rakan,” katanya.
09 Nov 20
1240
PKPB : Solat Jumaat Dan Fardu Dibenarkan Bersyarat
KUALA TERENGGANU, 8 November - Solat fardu dan solat Jumaat dengan kehadiran jemaah mengikut kapasiti saiz masjid serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sahaja dibenarkan di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan penguatkuasaan kerajaan bagi menangani penularan wabak COVID-19.
Beliau berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sudah memperkenankan semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid dan surau tidak dibenarkan sepanjang PKPB dikuatkuasakan.
"Bagi masjid dan surau yang berada di zon merah, sembahyang fardu lima waktu berjemaah di masjid dibenarkan tiga orang sahaja terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid dan pegawai masjid secara bergilir-gilir, manakala solat jumaat tidak dibenarkan sama sekali," ujarnya dalam satu kenyataan pada hari ini.
Tambahnya, sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke masa tertakluk kepada arahan pihak berkuasa yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.
Osman berkata, Sultan Terengganu turut berdoa agar semua rakyat jelata mampu menghadapi saat sukar ini dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.
"Baginda mengharapkan semua rakyat jelata tidak mengambil ringan akan arahan pihak berkuasa dalam menghadapi wabak COVID-19 dan mereka perlu mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.
08 Nov 20
9772
'Home Manager' Terima Permintaan Dari Luar Negara
KUALA TERENGGANU, 8 November – Pelaksanaan program 'Home Manager' berjaya mencuri tumpuan ramai apabila mendapat permintaan yang menggalakkan termasuk daripada luar negara.
Ketua Penolong Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Mohd Fauzy Abdul Ghani berkata, statistik penyertaan ahli program Kakitangan Pengurus Kediaman (Home Manager) mencatatkan jumlah penglibatan memberangsangkan iaitu seramai 222 orang setakat Oktober 2020.
Katanya, jumlah tersebut juga mengatasi bilangan pekerja asing (pembantu rumah) iaitu 35 orang manakala bilangan ‘Home Manager’ seramai 231 orang pada tahun 2019, sekali gus membantu golongan miskin, belia-beliawanis dan ibu tunggal dalam meningkatkan taraf hidup juga pendapatan keluarga.
“Permintaan untuk perkhidmatan ‘Home Manager’ melalui kiriman e-mel daripada peminta warga Malaysia yang menetap di luar negara.
“Kita menerima panggilan daripada Dubai dan Brunei untuk mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah, sesuai kerana orang Malaysia yang bekerja di sana memerlukan kepakaran dan tenaga kerja yang memahami budaya sama.
“Walau bagaimanapun, pihak Yayasan masih tidak bersedia lagi dalam menunaikan permintaan tersebut kerana kita hanya memfokuskan di dalam Terengganu sahaja buat masa sekarang,” katanya ketika ditemubual selepas Program Bulan Dakwah 2020 di Dewan Kompleks Ibu Tunggal, Chendering, semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Terengganu, Nasrul Hadi Saidin.
Mengulas mengenai Program Bulan Dakwah 2020, Zuraida berkata, inisiatif tersebut wajar diteruskan dan diperkembangkan lagi menerusi pelbagai peringkat supaya masyarakat dapat didekatkan dengan ilmu agama khususnya kepada kaum wanita.
“Saya berterima kasih kepada pihak YADIM atas penganjuran ini dengan kerjasama kerajaan negeri yang melibatkan kakitangan ‘Home Manager’ pada hari ini.
“Ini penting kerana ilmu agama berperanan sebagai banteng kepada kaum hawa. Oleh itu, program seperti ini memberi ilmu kepada semua khususnya kepada supaya wanita Terengganu terus dimartabatkan,” ujarnya.
08 Nov 20
1178
Dasar Wanita Terengganu Dalam Fasa Akhir
KUALA TERENGGANU, 8 November – Kerajaan negeri kini berada dalam fasa akhir merangka Dasar Wanita Negeri Terengganu.
Dasar berkenaan akan menjadi panduan untuk melahirkan wanita berilmu yang mampu memacu keluarga, masyarakat dan pentadbiran negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, analisis semula dan persiapan sedang giat dijalankan bagi memastikan panduan tersebut bertepatan dengan Pelan Induk Strategi Terengganu Sejahtera (PITAS).
“Insya-Allah, perancangan dasar ini dilancarkan tahun hadapan sempena dengan Hari Saidina Aisyah pada hari Himpunan Wanita Terengganu.
“Dasar ini memperjuangkan tentang kebajikan dan bagaimana wanita berkelayakan dapat menjadi sebagai pembuat dasar dan orang penting dalam kerajaan pentadbiran. Bakat dan potensi wanita juga akan diketengahkan dan diperkembangkan supaya dapat berperanan dan membantu dalam pelbagai sektor dan agensi kerajaan.
“Kita mahu golongan wanita di Terengganu berilmu supaya menjadi benteng dan melalui dasar ini, seperti mempelbagaikan program berilmu. Fokus turut diberi kepada golongan ibu tunggal, anak-anak dan sebagainya dalam mencari kaedah dalam kita melestarikan pembangunan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Bulan Dakwah 2020, Bicara Dakwah Rasullulah “Fikh Keluarga Syurgawi di Kompleks Ibu Tunggal, Chendering kelmarin.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Mohd Fauzy Abdul Ghani dan Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Terengganu, Nasrul Hadi Saidin.
Mengulas lanjut tentang pelaksanaan dasar tersebut, beliau berkata, langkah dokumentasi dan pembukuan akan dibuat untuk disalurkan kepada pelbagai peringkat dan agensi kerajaan.
“Contohnya, penerangan dasar tersebut kepada pelbagai jabatan dan agensi seperti Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTs), Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) dan lain-lain lagi adalah penting supaya setiap lapisan masyarakat faham tentang hala tuju wanita di Terengganu,” ujarnya.
08 Nov 20
548