Artikel "Utama" Terkini
Koperasi Pengusaha Getah Tingkat Pendapatan Pekebun Kecil
KUALA NERUS, 8 November - Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mahu agar usaha menambah pendapatan dan mengoptimumkan penggunaan tanah pekebun kecil getah diberi penekanan sepenuhnya.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, selaras dengan itu konsep Pembangunan Komuniti Pekebun Kecil Getah diperkenalkan melibatkan penyatuan pengurusan tanah pekebun kecil termasuk kawasan tanah terbiar.
“Matlamat utama ialah mewujudkan koperasi bagi membolehkan pekebun kecil menambah pendapatan melalui pengurusan teknologi huluan sehingga hiliran, memendekkan rantaian bekalan (supply chain), penjualan hasil getah dan tanaman sampingan melalui sistem perladangan kontrak (contract farming) dan elemen pembangunan kebun getah secara integrasi dengan ternakan dan tanaman secara berkelompok,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Koperasi Pengusaha Getah Kuala Nerus Berhad di Duyong Marina& Resort, Pulau Duyong, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Dato’ Dr. Zairossani Mohd Nor.
Katanya, koperasi yang ditubuhkan berperanan sebagai pembeli dan penjual getah berlesen termasuk mengurus pengeluaran lateks yang berkekalan bagi keperluan industri.
“Produk nilai tambah juga dilaksanakan sebagai pendapatan tambahan kepada pekebun kecil.
“Berdasarkan kajian, kaedah ini mampu membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil sehingga 30 peratus berbanding kebergantungan terhadap hasil getah semata-mata,” ujarnya.
Justeru katanya, semua pihak termasuk LGM, koperasi dan peserta projek yang terdiri daripada pekebun kecil perlu memainkan peranan masing-masing.
“ Adalah diharapkan dengan pelancaran koperasi di Kuala Nerus ini, taraf hidup pekebun kecil getah dapat ditingkatkan ke tahap yang membanggakan,” ujarnya.
08 Nov 20
690
Sukan Motocross Bakal Gegarkan Bumi Jabi
SETIU, 8 November – Sukan lasak motocross bakal mengegarkan bumi Jabi selepas litar sukan terbabit yang bernilai RM10,000 siap dibina di Kuala Kubang di sini dalam beberapa masa lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, penganjuran sukan itu turut mampu meningkatkan ekonomi penduduk sekitar.
"Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi ialah sebuah pekan kecil dengan kuasa beli penduduknya yang terhad. Kedai makan, restoran, kedai runcit, kedai sate dan lain-lain lagi dah banyak wujud di Jabi.
"Dengan jumlah pelanggan tempatan yang terhad, kita merancang pelbagai program supaya Jabi menjadi tumpuan pengunjung dari luar.
"Sebelum ini kita buat Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Terengganu, Himpunan Lembu Sado Pantai Timur, Karnival Dun Jabi dan beberapa program lagi. Dengan wujudnya program bersaiz mega sebegini, Pekan Jabi dilimpahi pengunjung.
"Kesan ekonomi sangat ketara. Kedai satay dan kedai makan penuh orang. Stesen minyak penuh kereta. Homestay dan hotel bajet tak cukup bilik dan macam-macam lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah melakukan lawatan ke tapak litar motocross yang masih dalam penyelenggaran semalam.
Turut bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Kubang, Aziz Rashid.
Dalam masa yang sama, Dr Azman turut bercadang untuk menghidupkan kembali acara Tebu Mountain Challenge dan mensasarkan dijadikan ia suatu acara bertaraf antarabangsa.
08 Nov 20
533
PKPB : Usah Panik, Bekalan Barangan Mencukupi
DUNGUN, 8 November – Kerajaan negeri menyeru rakyat supaya bertenang dan tidak panik tentang kekurangan bekalan barangan dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, perkara itu bukan pengalaman pertama negeri menghadapi cabaran tersebut kerana sudah melalu ujian getir yang sama pada pertengahan tahun ini.
“Orang ramai tidak perlu risau kerana semua barang keperluan mencukupi. Beberapa jabatan kerajaan negeri termasuk di Wisma Negeri dan agensi lain sedang berbincang langkah dan strategi dalam menghadapi ujian ini.
“Jika di Ketengah Jaya, tiada masalah kekurangan barangan kerana Pegawai Daerah di sini merupakan pengerusi jawatankuasa bencana daerah yang akan pastikan barangan dapat disalurkan ke dalam kawasan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pemberian bantuan kepada penduduk yang dikenakan PKPB di Ketengah Jaya, Mukim Rasau hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang.
Mengulas tentang inisiatif bantuan kawasan tersebut, Hanafiah berkata, pusingan kedua penyerahan bantuan barangan basah dan keperluan harian kepada 932 orang penerima terdiri daripada mereka yang dikuarantin di rumah beserta keluarga masing-masing.
“Fokus kita kepada mereka yang dikuarantin dan memakai gelang kerana tidak boleh keluar untuk beli barangan harian. Namun begitu, kedai-kedai di sini masih dibuka untuk orang lain.
“Antara kawasan yang terlibat dalam bantuan iaitu Kerteh Satu, Kertih Enam, Kerteh Lima dan Kerteh Empat di mana bantuan diberi kepada wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung untuk disalurkan kepada penerima sekali setiap empat hari.
“Buat masa sekarang, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia di Ketengah Jaya sedang giat membuat saringan, saya dimaklumkan kira-kira lebih 3,000 orang telah menjalani saringan.
“Kerja ini akan diteruskan sehingga mencapai matlamat kerana penduduk kawasan Ketengah Jaya kira-kira 17,000 ribu orang. Jika didapati mereka yang disyaki negative atau kena kuarantin Insya-Allah kita akan tambahkan bantuan,” ulasnya lagi.
Tegasnya, masyarakat khususnya di seluruh Terengganu diingatkan agar sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) untuk bersama-sama memutuskan rangkaian COVID-19.
08 Nov 20
450
Gol Sanjar Bawa Terengganu FC Ke Suku Akhir
KUALA TERENGGANU, 7 November- Terengganu Football Club (Terengganu FC) memulakan saingan TM Piala Malaysia 2020 dengan langkah kanan apabila menang tipis 1-0 ke atas Petaling Jaya City (PJ City) di laman sendiri, semalam.
Gol tunggal perlawanan berpunca daripada kesilapan pertahanan import The Phoneix, Kim Bong Jin yang menolak lemah bola kepada Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-36.
Penyerang Khazakhstan itu mudah menyempurnakan peluang satu lawan satu berhadapan penjaga gol lawan, Kalamullah Alhafiz sekaligus menyaksikan Terengganu FC muncul pasukan terakhir layak ke suku akhir.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, perlawanan dimulakan lewat hampir setengah jam apabila Malaysian Football League (MFL) tidak berpuas hati dengan garisan padang tersebut dan terpaksa menunggu sehingga dicat semula.
Dalam cuaca hujan, skuad kendalian Nafuzi Zain memulakan permainan dengan menguasai bola seawal minit pertama wisel ditiupkan.
Tuan rumah yang nyata dahagakan gol awal melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan.
Bermula pada minit ke-17, Faris Ramli sempat melakukan rembatan dari luar kotak penalti namun hanya melepasi gawang pelawat.
PJ City mula mengorak langkah dengan serangan balas dan pemain tengah, Gurusamy berpeluang meledakkan gol awal pada minit ke-23, tetapi pantas dinafikan Rahadiazli Rahalim yang cemerlang di gawang tuan rumah.
Seminit kemudian, Lee Tuck pula cuba melepaskan rembatan dari sisi kiri kotak penalti sayangnya ditepis keluar. Kedua-dua pasukan saling merebut penguasaan bola namun sukar menembusi kubu pertahanan masing-masing.
Bersambung babak kedua, Terengganu FC dan PJ City terus buntu mencipta gol dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
08 Nov 20
801
SOP PKPB Di Terengganu Berpandu MKN
KUALA TERENGGANU, 7 November - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Terengganu bermula Isnin ini akan dikuatkuasakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebarang perubahan terhadap garis panduan tersebut akan dibuat mengikut keadaan.
"Garis panduan atau SOP adalah berdasarkan arahan sedia ada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti diumumkan, namun akan dikemaskini berdasarkan situasi semasa.
"Oleh itu, rakyat dinasihatkan untuk terus mematuhi arahan dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini daripada Kerajaan Negeri dan MKN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob memaklumkan, (PKPB) kini diperluaskan ke tujuh negeri termasuk Terengganu bermula 9 November hingga 6 Disember.
"Atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) PKPB dilaksanakan di seluruh negeri semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan bagi membolehkan saringan bersasar untuk mengekang pandemik COVID-19," jelasnya.
Menurut Ismail Sabri, pergerakan keluar masuk atau merentas negeri tidak dibenarkan kecuali bagi kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran polis.
“Bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran majikan. Hanya 2 orang sahaja dari rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.
“Manakala, individu berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak. Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz ditutup,” katanya.
07 Nov 20
17729
PKPB Turut Dikenakan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 November - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini diperluaskan ke tujuh negeri termasuk Terengganu bermula 9 November hingga 6 Disember.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) pelaksanaan PKPB di seluruh negeri semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan bagi membolehkan saringan bersasar untuk mengekang pandemik COVID-19.
"Sidang khas hari ini mendengar pembentangan KKM berhubung peningkatan kes positif COVID-19 di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.
"PKPB ini dilaksanakan selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
07 Nov 20
4343
Debaran Kian Terasa, Nafuzi Anggap Ibarat Perlawanan Akhir
KUALA TERENGGANU, 7 November- Menjelang beberapa jam sebelum sepak mula aksi Piala Malaysia 2020 antara Terengganu Football Club (Terengganu FC) dan Petaling Jaya City (PJ City) malam ini, debaran kedua-dua pasukan semakin memuncak.
Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain menyifatkan pertemuan pusingan pertama ini ibarat perlawanan akhir dan pasukannya akan memberikan sepenuh komitmen untuk memperagakan aksi terbaik.
"Walaupun kita menang dalam pertemuan semasa Liga Super, tetapi Piala Malaysia ini berbeza sama sekali. Bukan laluan mudah untuk dihadapi dengan PJ City sering membuat kejutan bertemu pasukan besar.
"Bagi saya, mungkin kelebihan kita biasa beraksi di tempat sendiri, tetapi sekarang kita beraksi tanpa penonton dan dari segi sokongan moral oleh penyokong tidak jauh berbeza," katanya ketika ditemui pemberita di padang latihan Terengganu FC, baru-baru ini.
Di atas kertas, Sang Penyu memiliki kelebihan dari segi pemilihan pemain import yang lebih ramai selain majoriti pemain tidak berdepan kecederaan.
"Bagi saya, saya fokus dengan kemenangan perlawanan pertama dan selepas itu baru kita akan fikirkan dengan siapa kita bertemu," katanya yang amat mengharapkan doa daripada semua penyokong kepada seluruh pasukan.
07 Nov 20
664
'Pelajari, Hayati dan Contohi Rasulullah'
KUALA TERENGGANU, 7 November- Dakwah bukan semata-mata mengajak orang lain ke arah kebaikan, namun ia juga merupakan ajakan kepada diri para daie itu sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah mengingatkan semua individu agar mempelajari, menghayati dan mencontohi segala pengajaran yang ditinggalkan Rasulullah SAW.
"Kita telah mendengar penjelasan bagaimana besarnya peranan seorang 'Home Manager' dan keluarganya serta keperluan dakwah daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK). Sudah tentu kerajaan negeri menyambut baik segala usaha yang murni bagi membentuk masyarakat negeri ini mencapai redha Allah SWT.
"Dakwah yang pertama adalah kepada diri kita, rumah kita, anak-anak kita. Jangan kerana kita sibuk kita mengabaikan rumah tangga kita," katanya ketika berucap sewaktu merasmikan Program Bulan Dakwah 2020 di Dewan Kompleks Ibu Tunggal, Chendering, hari ini.
Turut hadir, Pengurus Permodalan YPK, Faizal Harun dan Penolong Pengarah YADIM Terengganu,Nasrul Hadi Saidin.
Jelasnya, tugas sebagai 'home manager' yang diuruskan YPK merupakan peluang untuk mendidik ahli keluarga samada majikan atau keluarga sendiri dengan mempamerkan akhlak yang baik.
"Dengan ini, akhirnya kita juga akan jadi pendakwah," katanya.
Dalam pada itu, Nasrul Hadi turut memaklumkan, YADIM berhasrat melahirkan sejumlah program berkesan dengan pelbagai strategi antaranya program 'touch n go' untuk mendapatkan rakan kolaborasi seperti gotong-royong bersama masyarakat dan sebagainya.
"Bersempena dengan program bulan dakwah, ini antara yang kita laksanakan. Hasrat kami biarlah dapat masuk semua lapangan dan peringkat.
"Kami amat mengharapkan sokongan dari kerajaan dan tuan-tuan, sertailah sukarelawan YADIM supaya dapat menjadi laluan dakwah kami," jelasnya.
Program berkenaan dianjurkan kedua pihak terbabit dengan penglibatan sekitar 100 peserta terdiri di kalangan 'home manager' di negeri Terengganu.
07 Nov 20
242
Aktiviti Keagamaan Di Mukim Rasau Dihentikan
DUNGUN, 7 November - Beberapa aktiviti keagamaan di mukim Rasau, di sini dihentikan sementara bermula hari ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 20 November ini.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, aktiviti-aktiviti tersebut adalah seperti kuliah agama dan program melibatkan perhimpunan ramai jemaah di masjid serta surau.
“Aktiviti-aktiviti keagamaan lain di mukim Rasau kita terpaksa dihentikan dahulu buat sementara waktu ini bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya kepada ketika dihubungi pemberita semalam.
Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun memaklumkan, ibadah solat Jumaat akan diteruskan seperti biasa dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum ini.
“Kita menggunapakai keputusan yang diputuskan bersama oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu sebelum ini.
“Ia SOP yang telah ditetapkan iaitu dihadkan kepada seramai 40 jemaah sahaja bagi sesebuah masjid dengan ada penjarakan fizikal antara setiap jemaah.
“Bagi solat lima waktu pula hanya imam dan bilal yang bertugas sahaja yang dibenarkan untuk berada di masjid dengan dihadkan enam orang bagi setiap waktu,” tambah beliau.
Untuk rekod, terdapat empat buah masjid dalam mukim Rasau iaitu Masjid Felda Kerteh 1, Masjid Felda Kerteh 2, Masjid Felda Kerteh 3 dan Masjid Felda Kerteh 4.
07 Nov 20
817
Belanjawan 2021 : Belanjawan Kita Semua - MB
KUALA TERENGGANU, 7 November – Kerajaan Terengganu menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam adalah ‘belanjawan kita semua’.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bajet bertemakan 'Teguh Kita, Menang Bersama' telah mengemukakan matlamat, strategi dan inisiatif yang merangkumi semua isu dan segmen masyarakat.
“Saya percaya, belanjawan ini adalah hasil daripada pendekatan yang inklusif dan strategik oleh kerajaan melalui sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk merentas semua negeri dan parti politik.
“Secara ringkasnya, kita dapat melihat usaha Kerajaan memelihara kebajikan rakyat melalui pengawalan dan pencegahan COVID-19, pengukuhan aliran tunai isi rumah, jaminan peluang pekerjaan, serta menjana semula sektor ekonomi dan perniagaan yang telah terkesan teruk.
“Dalam masa yang sama tidak meninggalkan usaha memperkasakan agenda Bumiputera dan Islam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jambatan Sungai Marang.
Menurut Ahmad Samsuri, belanjawan tersebut juga menumpukan inisiatif kepada golongan yang berpendapatan rendah dan terjejas terutamanya golongan B40, termasuklah kepada peniaga kecil, petani, nelayan dan pelbagai kelompok kecil sektor ekonomi.
“Begitu juga dengan kesinambungan pelaksanaan inisiatif pembangunan infrastruktur kemudahan dan fasiliti dalam menempuh cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0),” jelasnya.
Katanya lagi, pihaknya mengucapkan terima kasih atas pengumuman untuk menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang.
“Saya juga menyeru rakyat Terengganu, untuk mengambil manfaat daripada pelbagai inisiatif Belanjawan 2021, terutamanya dalam menjamin kesejahteraan hidup, kelangsungan perniagaan, dan ketahanan ekonomi rakyat,” tambah beliau.
07 Nov 20
561