Artikel "Utama" Terkini
JPKK, Status Quo Parti Kerajaan Dikekalkan
BESUT, 12 November – Status quo parti kerajaan dikekalkan dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang mula berjalan tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, penyusunan terbaharu dengan lima kuota tambahan turut diadakan bagi meraikan rakan-rakan daripada Perikatan Nasional (PN).
"Telah diputuskan supaya ‘rumah’ yang ada sekarang ini tidak dirobohkan tetapi dalam masa yang sama kita meraikan rakan-rakan daripada parti PN," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Taklimat JPKK kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Daerah Besut di Kota Putera Square baru-baru ini.
Jelasnya, beberapa negeri lain juga bakal membuat langkah sama bagi meneruskan kemenangan yang ada sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15 dijalankan.
"Dikekalkan itu bukan bermakna mengekalkan individu tetapi dikekalkan komposisi. Kita menjemput rakan PN untuk mengisi kuota tambahan ini dengan memberikan tiga kepada UMNO dan dua untuk Bersatu di Terengganu," ujarnya.
Sementara itu menurutnya, kerajaan Persekutuan telah menetapkan syarat, sesebuah parti yang boleh menyertai JPKK di suatu lokasi mestilah parti yang mempunyai cawangan di lokaliti terbabit.
"Kalau tiada cawangan maka tidak termasuklah dalam kategori yang perlu dijemput dan diundang untuk sama-sama menyertai JPKK.
"Tetapi di negeri Terengganu kita berlapang dada dan tidaklah 'stick' sangat mesti ada cawangan. Cukuplah sekadar ada orang dan mereka bersedia untuk berkhidmat. Dipersilakan sebab lima kuota tambahan memang kita peruntukkan kepada rakan kita," tambah beliau.
Untuk rekod, penjenamaan semula Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri akan bermula pada 1 Januari 2021.
12 Nov 20
1871
Exco Bincang Benar Kuliah Agama Di Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 12 November - Kebenaran untuk mengadakan pengajian agama di masjid dan surau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) turut dibincangkan dalam mesyuarat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, penangguhan aktiviti atau kuliah agama itu sememangnya memberi kesan kepada banyak pihak.
"Saya pernah sebut kepada pihak pejabat agama supaya dicadang dan dipanjangkan kepada pihak yang berkenaan agar aktiviti pengajian diteruskan di masjid dan surau.
"Saya memang rasa sedih dengan keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) tetapi akur dan mentaati keputusan pihak penguasa agama.
"Hari ini, saya telah menyuarakan cadangan saya dalam mesyuarat exco supaya dipanjangkan oleh beberapa ahli MMKN dalam mesyuarat MAIDAM," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim dan ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Ustaz Mohd Rozi Bidin berhubung isu terbabit.
Jelas Hishamuddin, kerajaan negeri melalui Mohd Nor sentiasa memainkan peranan bagi merungkai segala kemelut.
"Dalam pertemuan itu, pihak MAIDAM memaklumkan keputusan (penangguhan kuliah agama) tidak akan berlanjutan sehingga tamat tempoh PKPB, sebaliknya ia akan dinilai berdasarkan kes COVID-19 di Terengganu.
"Keputusan untuk perkara itu secara pentadbirannya akan dikeluarkan secara telus oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui pesuruhjayanya," tambah beliau.
11 Nov 20
3508
Waspada Hadapi Musim Banjir - Maliaman
HULU TERENGGANU, 11 November - Penduduk di sekitar Hulu Terengganu diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap keselamatan keluarga mereka ketika perubahan angin monson yang boleh mengakibatkan banjir di kawasan yang berisiko.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata,pPenduduk yang tinggal di kawasan rendah diminta bersiap sedia untuk menghadapi banjir ekoran hujan lebat ketika ini.
“Kebiasaannya pada setiap hujung tahun merupakan musim tengkujuh di Pantai Timur. Melihat kepada keadaan cuaca dan hujan yang sentiasa turun dalam seminggu ini, saya berpesan kepada seluruh rakyat di daerah ini khususnya agar bersedia dan berwaspada bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan melanda terutamanya mereka yang terlibat dengan kawasan berisiko banjir.
“Oleh itu, masyarakat khususnya di kawasan berisiko banjir dan kawasan rendah terutama di kawasan berhampiran sungai disarankan supaya lebih berjaga-jaga serta berpindah awal di pusat pemindahan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita nasihatkan semua penduduk di kawasan berisiko banjir dan kawasan rendah terutama di kawasan berhampiran sungai supaya lebih berjaga-jaga.Pastikan anak-anak kecil tidak bermain air, mandi di sungai terutama pada musim hujan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika meninjau hakisan tanah di Kampung Machang, pagi ini.
Tambahnya, jika air mulai melimpah dari sungai dan membanjiri kawasan kampung, maka ibu bapa perlu lebih peka, jaga keselamatan anak-anak dan jangan sesekali membiarkan mereka bermain dengan air banjir, sungai, parit besar dan sebagainya yang berisiko.
“Pihak keselamatan akan sentiasa memantau keadaan paras air sungai dan sentiasa menyalurkan maklumat terkini mengenai perkembangan semasa banjir di negeri ini.
“Saya berharap, seluruh rakyat tidak mengambil mudah terhadap setiap arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa terutamanya melibatkan arahan untuk berpindah. Apabila arahan berpindah dikeluarkan, hendaklah semua pihak mengambil langkah segera untuk berpindah dan berpindah awal di pusat pemindahan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.
11 Nov 20
372
Usahawan Disaran Agresif Rebut Peluang Dana RM4.6 Bilion
KUALA TERENGGANU, 11 November - Golongan usahawan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya bumiputera disaran lebih agresif merebut peluang yang disediakan kerajaan menerusi peruntukan RM4.6 bilion untuk merancakkan lagi pembangunan PKS.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pengumuman kerajaan pada Belanjawan 2021 Jumaat lalu dilihat berupaya membantu meringankan beban yang dialami usahawan yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.
Justeru, beliau menyeru semua golongan usahawan merebut dan memanfaatkan peluang peruntukan tersebut supaya sektor PKS dapat terus berkembang pada masa depan.Katanya, keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan itu menerusi peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan 2021 perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Usahawan di negeri ini khususnya perlu merebut peluang kerana banyak peruntukan yang disediakan kerajaan untuk bantu usahawan, malah boleh dikatanya Bajet 2021 sangat memberi tumpuan kepada usahawan yang terkesan akibat COVID-19.
“Terima kasih banyak kepada pihak kerajaan kerana bidang keusahawanan ini dijadikan antara bidang utama yang diberi penekanan dalam pembentangan bajet kali ini dan kita sangat bertuah kerana kerajaan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi untuk bidang keusahawanan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Katanya, difahamkan daripada jumlah tersebut sebanyak RM510 juta diperuntukkan bagi tujuan pembiayaan kepada PKS dan PKS mikro Bumiputera melalui TEKUN dan PUNB.
“Sebanyak RM800 juta melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank.
“Sementara RM2 bilion diperuntukkan bagi membantu pembiayaan PKS Bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan RM1.3 bilion lagi untuk pelbagai program peningkatan kapasiti termasuk pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk Bumiputera,” ujarnya.
11 Nov 20
4633
Cadang Bina Jalan dan Jambatan Ke Madrasah Darul Zahraa- Dr Mamad
HULU TERENGGANU, 11 November - Kerajaan negeri akan mencadangkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membina infrastruktur jalan dan jambatan menghala ke Madrasah Darul Zahraa milik Ustaz Muhammad Abdullah @ Ustaz Mad Kecik.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri ,Dr Mamad Putih berkata, usaha telah dilakukan bagi mendapatkan infrastruktur berbentuk jalan dan jambatan ke madrasah ini.
"Kita sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukan dan kita cadangkan kepada JPS kerana belum ada jalan dan jambatan yang sebaiknya untuk digunakan ke Madrasah Darul Zahraa ini.
"Jambatan yang sedia ada bermasalah apabila hujan kerana ianya akan ditenggelami air sungai," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak cadangan jalan dan jambatan ke Madrasah Darul Zahraa milik Ustaz Muhammad Abdullah @ Ustaz Mad Kecik di Kampung Kuala Dura, Kuala Berang baru-baru ini.
Menurut beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kuala Berang berkata kos kesemua ini kemungkinan menelan belanja dalam RM500 ribu.
"Jambatan sementara yang sedia ada, berada dalam kawasan tanah milik individu. Kita akan buat jalan sama ada jalan 'crusher run' dulu, atau jalan 'premix', yang dianggarkan bernilai sekitar RM500 ribu," katanya.
Turut hadir, Pegawai JPS Hulu Terengganu, Roslan, Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Safari Abu, dan Guru Madrasah Nasrun Abdullah.
11 Nov 20
701
Sidang DUN Terengganu Disingkatkan Kepada Dua Hari
KUALA TERENGGANU, 11 November - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang dijadualkan pada 23 hingga 26 November ini disingkatkan kepada dua hari iaitu pada 23 dan 24 November.
Yang Dipertua (YDP) Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, ia selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat minggu iaitu bermula 9 November hingga 6 Disember.
Katanya, persidangan itu akan dilangsungkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti saranan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Antaranya, mesti ada perjarakan sosial, memakai pelitup muka, hanya Ketua Jabatan dibenarkan hadir dan dibenarkan duduk di kerusi pemerhati, manakala pemerhati tidak dibenarkan hadir.
“Pada masa sama, petugas media akan turut dihadkan bergantung kepada keluasan bilik media,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Berdasarkan jadual hari pertama, persidangan DUN akan dimulakan dengan ucapan YDP DUN, kemudiannya sesi soal jawab lisan dan seterusnya perbentangan Bajet 2021 yang akan disampaikan Menteri Besar, Dato’ Sri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pada hari berikutnya, dibenarkan sesi soal jawab, sesi perbahasan yang dihadkan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan kemudian diakhiri sesi pergulungan pada sebelah petang.
11 Nov 20
412
Kerajaan Pastikan Bekalan Vaksin Mencukupi- Amzad
KUALA TERENGGANU, 11 November - Kerajaan Malaysia menerusi kaedah diplomasi sains antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melaksanakan pendekatan pelbagai hala (multi-proged approach) bagi membolehkan negara memperolehi jaminan askes kepada bekalan vaksin Covid-19 yang sedang giat dibangunkan di seluruh dunia.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, jaminan akses awal dan aspek kecukupan pembekalan vaksin adalah sangat penting bagi menjamin bekalan vaksin Covid-19 dapat disediakan kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia.
Menurutnya, vaksin yang telah dikenal pasti hendaklah selamat dan keberkesanannya terbukti.
“Berdasarkan senarai vaksin Covid-19 daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertarikh 3 November 2020, terdapat 202 calon vaksin sedang dibangunkan dengan 10 daripadanya berada dalam ujian klinikal fasa tiga.
“Menerusi pendekatan pelbagai hala daripada diplomasi sains ini, beberapa rundingan telah dan sedang dimuktamadkan dengan pembangun vaksin di seluruh dunia termasuklah bersama kerajaan China, Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (COVAX) dan syarikat farmaseutikal luar negara yang lain,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata demikian ketika menjawab soalan parlimen pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 tahun 2020, di Dewan Rakyat, semalam.
Tambahnya, kerajaan turut mengalu-alukan penglibatan entiti-entiti swasta dalam urusan perolehan vaksin dan mendirikan fasiliti pembuatan vaksin termasuk melalui pendekatan kerjasama awam-swasta (Public Private Partnership) sebagaimana telah dibincangkan di dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara, Julai lalu.
“Pemilihan syarikat farmaseutikal tempatan yang memenuhi syarat Amalan Perkilangan Baik (GMP) mengikut standard Pharmaceutical Inspection Co-operation Scheme (PIC/S) akan dilakukan secara telus mengikut keupayaan untuk membeli vaksin (finished product) atau mengilang pembotolan (fill and finish) produk.
“Pemilihan pengilang yang telah memenuhi standard ini sangat penting bagi memastikan aspek pemindahan teknologi boleh berjalan dengan lancar,” jelasnya yang memaklumkan MOSTI juga sedang giat dalam perancangan untuk membangunkan Roadmap Pembangunan Vaksin Negara.
“Pelbagai sesi libat urus telah dan sedang diadakan yang akan melibatkan pelbagai pemegang taruh seperti agensi kerajaan, universiti tempatan, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat tempatan yang mempunyai potensi dalam pembangunan vaksin manusia daripada peringkat penyelidikan sehingga pembuatan vaksin di jangka masa panjang.
“Bagi tujuan penyelarasan dalam memastikan bekalan vaksin Covid-19 diperolehi dengan segera, selamat dan sempurna, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan COVID-19 (JKJAV) telah ditubuhkan melalui persetujuan Jemaah Menteri pada 21 Oktober 2020," katanya.
Jawatankuasa Khas tersebut dipengerusikan bersama oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Seri Dr Adham Baba yang bertindak sebagai Jawatankuasa Induk dalam merancang, melaksana dan memantau keseluruhan strategi untuk pembekalan vaksin Covid-19.
Dalqam jawapan yang dikemukan, Amzad menjangkakan bahawa bekalan vaksin Covid-19 itu mungkin akan diperoleh pada suku pertama tahun 2021.
Menurutnya, kewajaran pertama adalah untuk tiga peratus populasi negara yang terdiri daripada para petugas ‘frontliners’ (barisan hadapan), meliputi sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan imigresen termasuk akses vaksin kepada masyarakat di luar bandar dan pendalaman yang tidak berkemampuan juga akan diperhalusi.
11 Nov 20
543
YADIM, DUAT Seiring
KUALA NERUS,11 November - Yayasan dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) merupakan dua badan kerajaan yang mempunyai agenda yang sama iaitu dakwah.
YADIM merupakan agensi kerajaan diperingkat persekutuan manakala DUAT merupakan agensi kerajaan peringkat Negeri Terengganu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, kedua-duanya akan terus bekerjasama untuk menggerakkan program-program dakwah dari pelbagai sudut di tengah-tengah masyarakat sama ada di bandar mahupun di ceruk-ceruk kampung di seluruh Terengganu.
Ustaz Ridzuan menyampaikan ucapan perasmian
"Saya percaya dengan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh Yang Di Pertua YADIM yang baru, telah berkunjung ke Wisma Darul Iman bagi mengadakan suatu kerjasama yang strategik untuk memastikan gerak kerja dakwah ini terus diperkasa," ujar beliau lagi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bulan Dakwah 2020 Sempena Maulidur Rasul Peringkat Kg Banggol Donas Anjuran YADIM di Dewan Mina, Taman Cikgu Ismail Yusof 2, Kampung Banggol Donas, 7 November lepas.
Turut Hadir, Penolong Pengarah YADIM Negeri Terengganu, Ustaz Nasrul Hadi Saidin dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banggol Donas, Rosli Bidin.
"Mudah-mudahan dengan usaha yang berterusan ini, akan dapat membantu Kerajaan Negeri Terengganu ke arah membina negeri yang maju, berkat dan sejahtera," tambah beliau.
11 Nov 20
444
Lapan Pelumba TSG Terima Geran Tanah
KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Kerajaan Terengganu telah menganugerahkan geran tanah kepada lapan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) sebagai menghargai jasa mereka mengharumkan nama negeri di persada antarabangsa.
Penerima pemberian tersebut ialah Muhammad Zulhilmie Afif Ahmad Zamri, Mohd Harrif Saleh, Muhd Shaiful Anuar Azis,Mohd Nor Umardi Rosdi, Muhamad Adeq Husainie Othman, Mohd Shahrul Mat Amin, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan kapten pasukan, Mohd Zamri Saleh.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, sumbangan tersebut adalah penghargaan kepada kejayaan TSG secara umumnya dalam melonjakkan nama Terengganu ke mata dunia.
"Penganugerahan tanah itu merupakan satu komitmen sedia ada kerajaan negeri yang memang sudah lama diberi sebelum ini, bukan baru lagi.
"Para pelumba ini telah begitu lama membawa naik nama Terengganu ke peringkat antarabangsa dan kesannya sedikit sebanyak turut memperkenalkan Terengganu kepada pelabur-pelabur daripada luar untuk datang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pelumba dan Barisan Penaja Pasukan TSG di Primula Beach Hotel, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah, timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim serta Ketua Polis Terengganu, DCP Dato' Roslee Chik.
Hadir sama, Tengku Seri Bijaya Raja Pengarah Tanah dan Galian Terengganu merangkap Pengarah Eksekutif TSG serta Ketua Pegawai Eksekutif TSG, YM Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood.
Dr. Samsuri turut berpandangan, pelaburan kerajaan negeri kepada TSG sepanjang 10 tahun penubuhan pasukan itu merupakan sesuatu yang berbaloi.
"Pada saya, ia telah melonjakkan nama Terengganu di peringkat antarabangsa. Ia berkait dengan perkara-perkara lain seperti pelaburan asing yang datang telah mengenali negeri kerana TSG dan kaitan ini kadangkala sukar diukur dengan cara yang mudah tetapi, pada saya ia satu pelaburan yang berbaloi.
"Itu adalah jasa mereka yang saya rasa wajar dihargai oleh kerajaan kerana ia berkait dengan memperkenalkan nama negeri ke peringkat antarabangsa," katanya.
Setiap pelumba yang terpilih diambil kira daripada pencapaian mereka sejak tahun 2016 hingga tahun 2020 ketika mewakili TSG di persada dunia.
Para pelumba terbabit masing-masing menerima satu lot tanah kediaman Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di seluruh negeri.
11 Nov 20
318
ADUN AJIL Hargai Pengorbanan 'Hero' Negara
HULU TERENGGANU, 10 November – Pengorbanan besar setiap anggota keselamatan, petugas kesihatan, Bomba dan agensi-agensi lain berhadapan cabaran ketika melaksanakan tugas masing-masing dalam mengekang gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 ini sewajarnya dihargai oleh rakyat Malaysia.
Bagi merakamkan ucapan terima kasih kepada wira dan wirawati negara yang bertungkus-lumus berkhidmat selama ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil,Maliaman Kassim telah mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan bekalan makanan khususnya kepada anggota polis dan RELA yang terlibat dalam penugasan sekatan jalan raya disekitar Pekan Ajil, Hulu Terengganu.
Beliau berkata, usaha itu bertitik tolak untuk meringankan kepayahan dilalui petugas barisan hadapan yang memainkan peranan penting dalam menangani dan menghentikan penularan wabak pandemik COVID-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di hampir semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan dilaksanakan bermula 9 November hingga 6 Disember.
“Penyaluran bantuan makanan itu bertujuan menyuntik semangat anggota PDRM dan RELA untuk terus memberi perkhidmatan terbaik sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.Sumbangan berkenaan akan dilakukan secara konsisten selepas ini membabitkan pemberian kepada semua barisan hadapan di sekitar Hulu Terengganu.
"Kami akan menyalurkan sumbangan makanan ini untuk pastikan anggota barisan hadapan terus bersemangat. Jumlah pek makanan itu juga akan ditambah sekiranya terdapat permintaan tinggi," katanya ketika mewakilkan Pegawai Khasnya menyerahkan sumbangan di Pondok Sekatan jalan raya Pekan Ajil hari ini.
Tambah Maliaman, pengorbanan mereka sepanjang PKP dilaksanakan wajar dihargai dan diiktiraf oleh semua lapisan masyarakat kerana mereka ini berisiko terdedah kepada jangkitan wabak Covid-19 kerana perlu bergerak setiap hari bagi menjaga keselamatan, namun mereka menjalankan kewajipan masing-masing.
10 Nov 20
1157