Artikel "Utama" Terkini
Parkir Mydin 'Mall' Kekal Percuma
KUALA TERENGGANU, 15 November – Kerajaan negeri menegaskan parkir di Pasar Raya Mydin Bukit Besar di sini, kekal sebagai tempat letak kereta tidak berbayar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak menegaskan, kewujudan meter parkir digital di lokasi tersebut adalah salah faham antara pihak swasta yang menguruskan tempat letak kereta berbayar dengan Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT).
“Kawasan luar pasar raya mydin memang bukan kawasan berbayar.
Mesin parkir digital yang ditempatkan di kawasan Mydin.
“Berlaku salah faham antara pihak swasta dengan MBKT, walau bagaimanapun perkara ini sudah dalam tindakan MBKT, insya-Allah akan selesai seperti asal, maaf atas segala kesulitan,” katanya Ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai kewujudan beberapa mesin parkir digital di Kawasan terbabit yang menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat.
Difahamkan, mesin tersebut telah dialihkan oleh MBKT dan syarikat Vista Summerose Sdn. Bhd. selaku pengendali parkir berbayar.
Selepas meter parkir digital dipindahkan.
15 Nov 20
10591
Belut Baruh, Rezeki Empat Sekawan
MARANG, 15 November – Bergelumang dengan lumpur untuk menangkap belut adalah mainan biasa bagi empat sahabat dari Kampung Seberang Marang di sini.
Mohd Aqid Islam Fikri, Mohd Ariff Farhan Akmal, Mohd Adam Adha Faiza dan Mohd Adam Ashraf Nasir yang merupakan pelajar darjah lima dan empat di Sekolah Kebangsaan Seberang Marang gemar menangkap belut di kawasan baruh berdekatan rumah mereka.
Sejak penutupan sekolah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mereka berempat semakin rancak melakukan aktiviti itu yang turut memberi pulangan untuk simpanan masa depan.
Bapa kepada Adam Adha, Mohd Faiza Abdul Kadir, 40, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu mula berjinak dengan hobi tersebut ketika melihat bapa dan abangnya pergi ke baruh pada setiap pagi.
“Budak-budak ini belajar daripada kita (ayah dan abang), kemudian Adam kian bersemangat dan mengajak kawannya yang lain untuk tangkap sama-sama terutamanya selepas hujan. Itu masa paling sesuai memburu belut," katanya ketila ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini..
Bapanya yang juga seorang buruh berkata, setiap petang sekitar pukul 5, mereka memasang batang tukil (sejenis alat menangkap belut), yang dahulunya biasa diperbuat daripada buluh, berisi umpan cebisan ikan sepat.
“Kemudian, pada awal pagi jam 7, Adam dan rakan-rakannya akan mengumpul hasil dalam perangkap tersebut.
“Sekarang saya guna paip PVC dan dipasang oleh Adam dan Abangnya, setakat ini mereka ada kira-kira 30 batang.
“Mana yang mati kami makan, tapi belut ditangkap yang masih hidup Adam Adha sendiri akan jual kepada pengusaha restoran berhampiran yang membeli. Harganya pun Adam letak sendiri iaitu 1 kilogram RM20.
“Bergantung kepada rezeki, kadang-kadang hasil boleh mencecah sampai 4 ke 5 kilogram dalam satu hari terutamanya pada musim ini.
“Jadi boleh lah budak budak ni dapat hasil sambil sekolah tutup ini sebagai aktiviti bermanfaat sampingan," ulasnya.
Mengulas lanjut berkenaan hobi anaknya, Faiza berkata, dia tidak risau kerana kawasan baruh cetek dan sentiasa dikerumuni oleh pemancing dan orang kampung yang ingin melihat aksi mereka.
15 Nov 20
1458
Sheikh Nuruddin Terkejut Dengan Sikap Kerajaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 November - Sheikh Nuruddin Al-Banjari terkejut dengan layanan kerajaan Terengganu terhadap golongan ulama yang bertandang dan berada di negeri itu.
Pendakwah terkenal itu berkata, daripada beberapa negeri yang pernah dikunjunginya, beliau merasakan Terengganu mempunyai aura luar biasa.
"Walaupun Menteri Besarnya, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sakit, tetapi beliau tetap menjemput saya datang, mereka siapkan kami dua buah velfire, mereka memandu untuk kami dan kereta itu (bukan kereta kerajaan) memang mereka siapkan khusus untuk tetamu dan orang agama," katanya selepas bertandang ke Terengganu baru-baru ini.
Menurutnya lagi, orang ramai boleh melihat keadaan tenang di Terengganu dan ia berpunca daripada sikap kerajaan yang memuliakan golongan agamawan serta ulama.
"Saya juga dijemput kerajaan melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah untuk berbincang beberapa perkara bersama kumpulan kami.
"Ikram dan takzim mereka kepada tetamu sangat ketara, prinsip dan asas ini insya-Allah tidak akan dipandang kosong oleh Allah SWT," jelasnya.
Katanya lagi, beliau juga terkejut dengan sambutan masyarakat Terengganu terhadap kuliah-kuliah yang dianjurkan.
"Sewaktu saya berkuliah di daerah-daerah dan masjid-masjid, bukan setakat mendapat sambutan, tetapi hubungan kami juga kami sangat mesra walaupun dalam keadaan menjaga prosedur operasi standard (SOP)," tambah beliau.
15 Nov 20
10536
160 Peruncit Terpilih Sedia Bekalan Musim Tengkujuh
KUALA TERENGGANU, 15 November- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melantik peruncit dan pemborong terpilih sebagai pusat penyimpanan stok bekalan tambahan bagi menghadapi musim tengkujuh yang bakal tiba.
Timbalan Menteri KPDNHEP, Dato' Rosol Wahid memaklumkan, langkah itu sebagai persediaan menghadapi bencana banjir yang dijangkakan bermula pada November ini.
"Rakyat tidak perlu bimbang akan musim tengkujuh yang akan berlaku terutama di pantai timur. Bukan KPDNHEP sahaja semua pihak dalam keadaan siap sedia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pejabat-pejabat daerah dan negeri-negeri telah bersedia.
"Kita telah melantik peruncit dan pemborong daerah terpilih yang akan menyediakan stok barang melebihi 30 peratus daripada stok biasa. Di Terengganu sahaja, sebanyak 160 peruncit dan 74 pemborong telah dilantik dan ini memberi keyakinan kepada rakyat dengan keberadaan barang keperluan dan pengguna tidak perlu risau dengan kenaikan harga," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita slepas melakukan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Deepavali 2020 di Mydin Gong Badak, hari ini.
Tambahnya, dalam skim kawalan bermula 9 November sehingga 17 November itu, sebanyak 26 kes tidak patuh SHMMP telah direkodkan.
"Sebanyak 24 kes tidak memaparkan tanda harga dan dua kes menjual barang melebihi harga kawalan dan KPDNHEP telah mengeluarkan kompaun bernilai RM5,847," katanya.
Dalam SHMMP 2020,KPDNHEP telah menetapkan harga maksimum bagi 20 jenis barang keperluan harian sepanjang perayaan Deepavali termasuk dua barangan baharu iaitu timun dan kacang panjang.
Sepanjang dilaksanakan, penguatkuasa kementerian telah melakukan pemantauan ke lebib 8,300 premis untuk pematuhan harga di seluruh negara.
15 Nov 20
219
Exco Terengganu Dinobat Hero Pelancongan Malaysia
KUALA TERENGGANU, 14 November - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dinobatkan sebagai Hero Pelancongan Malaysia sempena Sidang Kemuncak Emas Pelancongan Malaysia 2020 yang berlangsung semalam.
Ariffin dalam satu kenyataan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama pegawai dan kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) serta Jabatan dan Agensi kerajaan yang terlibat.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur Alhamdulillah dan jutaan terima kasih kepada Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) atas ‘Anugerah Malaysia Tourism Heroes’ yang diberikan kepada saya.
“Anugerah ini adalah hasil kerjasama daripada semua pihak yang turut terlibat dan juga pemain-pemain industri pelancongan yang banyak membantu dan memberi sokongan, ini adalah hadiah untuk Negeri Terengganu hasil daripada kerjasama semua pihak.
“Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan dan ditambah baik dalam usaha meningkatkan lagi produktiviti dan memacu pembangunan negeri,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memberi komitmen untuk terus mengangkat industri pelancongan Terengganu ke tahap tertinggi
“Akhir sekali, saya mendoakan agar Terengganu terus maju dalam usaha merealisasikan misi untuk mencapai status ‘Negeri Terengganu Negeri Pelancongan’,” tambah beliau.
Sidang Kemuncak Emas Pelancongan Malaysia 2020 berlangsung dari 11 hingga 13 November 2020 di platform digital maya http://www.MTCSummit.com.
14 Nov 20
4520
Warga Asing Disyaki Rogol Remaja OKU
HULU TERENGGANU, 13 November - Dua lelaki warga Myanmar ditahan kerana disyaki merogol remaja perempuan kelainan upaya (OKU) di sebuah rumah kongsi di sebuah kampung, Ajil, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20-an ditahan di dua lokasi berasingan di daerah ini sekitar jam 10 hingga 11 malam tadi.
"Siasatan awal mendapati suspek telah memperdaya mangsa berusia 23 tahun berstatus pekak dan bisu yang ketika itu berada di ruang dapur untuk pergi ke rumah kongsi mereka yang jaraknya lebih kurang 50 meter rumah mangsa.
"Kejadian disedari oleh keluarga mangsa apabila mangsa balik dalam keadaan menangis sebelum menceritakan apa yang telah berlaku.
"Keluarga mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Ajil pada jam 7.30 petang semalam," ujarnya kepada pemberita hari ini.
Beliau juga berkata, kedua-dua suspek telah dibawa ke mahkamah Majistret Marang pagi tadi untuk permohonan reman dan telah diluluskan selama tujuh hari sehingga 19 November hadapan.
"Siasatan lanjut bermula hari ini," ujarnya.
Menurut Mohd Adli lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
13 Nov 20
5362
Mayat Reput Ditemui Dalam Ladang Kelapa Sawit
HULU TERENGGANU, 13 November - Seorang lelaki dalam keadaan lengkap berpakaian ditemui mati dalam pacuan empat roda Nisan Navara di ladang kelapa sawit di Kampung Cherang Nibong, petang tadi.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 5 petang memaklumkan menemui lelaki itu dalam keadaan mereput di tempat duduk pemandu.
"Hasil siasatan awal di lokasi, pihak polis dapati mayat ini telah mereput dan dianggarkan hampir tiga minggu telah meninggal dunia.
"Identiti mangsa telah dikenalpasti iaitu lelaki melayu berusia 31 tahun yang berasal dari Kampung Tok Randok, Ajil dan mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat," katanya di sidang media di lokasi penemuan, hari ini.
Terdahulu, Mohd Adli berkata pihaknya ada menerima satu laporan oleh pemilik pacuan empat roda ini telah dilarikan dan siasatan untuk mengesan Navara tersebut telah dijalankan dan pada hari ini telah dijumpai dilokasi ini.
"Kenderaan ini dilarikan apabila pemiliknya bawa si mati ke Balai Polis Ajil tiga minggu lalu untuk diserahkan kepada pihak polis kerana terlibat dalam aktiviti penagihan dadah.
"Si mati kemudiannya melarikan kenderaan ketika pengadu yang merupakan abang iparnya di dalam balai," ujarnya lagi.
Sementara itu, Yusoff Mat Noh, 60, yang menjumpai mangsa berkata pada mulanya dia menyangka pemandunya sedang berehat pada kali pertama melihatnya pada hari Selasa lepas.
Katanya, kenderaan berhenti dalam ladang kelapa sawit ini merupakan perkara biasa sebab itu dia menganggap tiada apa-apa walaupun telah melihatnya ketika itu.
"Pada hari ini, setelah melihat kenderaan tersebut masih tidak bergerak, saya menghampirinya dan terkejut melihat lelaki berkenaan telah meninggal serta dihurung lalat.
"Saya terus memaklumkan kepada kepimpinan kampung yang kemudiannya hubungi pihak polis," katanya.
13 Nov 20
5211
JENDELA Bakal Selesaikan Isu Internet Setiu
SETIU, 13 November - Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan pada bulan Ogos lalu bakal menyelesaikan masalah rangkaian internet di Setiu.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata penduduk di luar bandar khususnya di Parlimen Setiu akan menikmati rangkaian 4G sama seperti di kawasan bandar.
"Jalur lebar di sesetengah kawasan Setiu masih lagi menggunakan rangkaian 2G dan 3G sedangkan pembangunan infrastruktur komunikasi ini merupakan keperluan yang amat penting.
"Inisiatif ini membolehkan penduduk luar bandar mendapatkan perkhidmatan 4G sebagai platform penambahbaikan komunikasi digital serta liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi," ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau juga berterima kasih kepada pihak Kerajaan atas jawapan yang lengkap berkenaan masalah rangkaian internet di Setiu serta usaha-usaha yang akan dilaksanakan.
"Jawapan menteri melalui jawapan lisan berkenaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) memberi berita gembira untuk rakyat Setiu.
"Melalui inisiatif JENDELA, bagi Kawasan Parlimen Setiu, sebanyak 1,322 premis akan dinaik taraf capaian kepada gentian optik. Selain itu, 13 menara kamunikasi baru bakal dibina serta 57 pemancar komunikasi di menara sedia ada turut dinaik taraf," tambah beliau lagi.
JENDELA merupakan inisiatif Kerajaan dalam meningkatkan kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara.
Fasa pertama inisiatif ini akan dimulakan dengan mengembangkan rangkaian 4G di Malaysia dari 91.8 peratus ke 96.9 peratus, terutamanya di kawasan yang mempunyai penempatan yang padat.
13 Nov 20
432
Ujian Mungkin Sama, Tetapi Peritnya Berbeza
KUALA TERENGGANU, 13 November - Hampir seminggu sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kembali dilaksanakan di seluruh negara, rata-rata peniaga di Pasar Kedai Payang merasai kesannya.
Pengusaha beca, Omar Awang, 75, memaklumkan bahawa suasana di lokasi membeli-belah itu semakin sunyi sejak empat hari lalu.
"Hari ini, sudah empat jam saya menunggu namun masih tiada pelanggan.
"Sewaktu rakyat Malaysia boleh merentas negeri dahulu, bolehlah dapat RM20 hingga RM30 sehari, sekarang tiada langsung," katanya ketika ditemui di sana dalam tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), petang semalam.
Hal itu turut diakui pekerja kedai produk songket, Siti Nordiana Ibrahim, 20.
Jelasnya, semenjak PKPB dilaksanakan, bilangan pengunjung ke Pasar Kedai Payang berkurangan mendadak.
"Memang sunyi dan tiada orang datang, apatah lagi hendak membeli. Mujur, kami ada juga menjual secara dalam talian, tetapi masih kurang sambutan.
"Produk songket memang mengharapkan pembelian daripada pengunjung luar dan sebelum ini kita mendapatkan jualan sehingga mencecah RM500 sehari," katanya.
Sementara itu, peniaga kedai kain pasang dan sutera, Ani Liyana Jalil,26 juga mengatakan, sebelum ini, kedai-kedai di lokasi terkenal itu sentiasa memperoleh jualan.
"Setakat ini, waktu sekarang yang dirasakan paling teruk, bulan Ramadan pun tidak begini.
"Tiada orang langsung yang masuk ke kedai," katanya.
Bagi pengusaha kedai peralatan tembaga dan dapur, Ahmad Bakar, 68, yang telah hampir 20 tahun berniaga di situ, kekurangan pelanggan terutama dari luar negeri memang memberi kesan.
"Sekarang orang kurang, namun sekurang-kurangnya ada sedikit orang tempatan yang membeli.
"Alhamdulillah, saya masih memperoleh jualan sekitar RM200 hingga RM300 sehari. Jika ada pelancong sebelum ini, bolehlah dapat sehingga RM600 sehari," katanya.
13 Nov 20
3766
Hanafiah Hargai Petugas Barisan Hadapan
KEMAMAN, 12 November - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang hingga kini masih bertungkus-lumus mengawal penularan wabak COVID-19 dalam negara.
"Terima kasih atas segala pengorbanan yang telah kalian lakukan demi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terjaga.
"Semoga Allah SWT jualah yang akan membalas segala jasa-jasa yang telah kalian kerjakan, selamat bertugas!" katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata demikian selepas menyampaikan 61 bungkusan KFC dan minuman kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di Pusat Kuarantin, Darul Iman Terengganu Centre (DITC), Teluk Kalong, hari ini.
Sebelum itu, Hanafiah melalui kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai turut menyerahkan bekalan air mineral, biskut dan roti kepada petugas barisan hadapan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Jambatan Geliga.
12 Nov 20
200