Artikel "Utama" Terkini
Belanjawan 2021: Bantuan Tambahan RM200 Bagi Rakyat Berpendapatan Rendah
KUALA TERENGGANU, 23 November- Seramai 48,500 isi rumah golongan berpendapatan rendah (B40) akan menerima bantuan tambahan berjumlah RM200 daripada kerajaan negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan secara one-off itu melibatkan peruntukan berjumlah RM9.7 juta di bawah program Cakna Rakyat Terengganu.
"Selain itu, bantuan bagi menyokong kumpulan isi rumah B40 serta golongan yang ditimpa musibah kesihatan dan bencana turut diperuntukkan melalui bantuan persekolahan sebanyak RM7 juta dan RM5 juta bagi Tabung Darul Iman.
"Kerajaan Negeri juga memahami tekanan yang dihadapi oleh peniaga kecil dan penjaja. Dengan ini, kerajaan negeri mengumumkan tiada kutipan lesen peniaga kecil dan penjaja bagi tahun 2021," katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM3.5 juta bagi Tabung Pemulihan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) sebagai sokongan kepada pengusaha-pengusaha kecil negeri itu.
"Kita mengharapkan dengan inisiatif ini dapat merancakkan lagi ekonomi Negeri Terengganu dan membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para peniaga dan penjaja," katanya.
23 Nov 20
3540
Terengganu Diiktiraf Negeri Berprestasi Baik
KUALA TERENGGANU, 23 November - Terengganu tersenarai antara tujuh negeri yang merekodkan prestasi yang lebih baik pada tahun 2019 dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus pada tahun 2018.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini menjadikan nilai KDNK kita meningkat daripada RM34.8 bilion pada tahun 2018 kepada RM36.0 bilion pada tahun 2019.
“Sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal menjadi penyumbang terbesar dengan nilai RM18.5 bilion dan RM13.1 bilion masing-masing.
“Walaupun begitu, kita tidak wajar untuk berasa selesa dengan kedudukan tersebut memandangkan pertumbuhan KDNK kita masih di bawah paras nasional,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Wisma Darul Iman hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata hampir semua sektor ekonomi di Terengganu mencatatkan pertumbuhan positif.
“Sektor pembinaan dan sektor pertanian merekodkan pertumbuhan paling memberangsangkan iaitu masing-masing daripada -9.2 peratus dan -2.5 peratus pada tahun 2018 kepada 0.4 peratus dan 6.0 peratus pada tahun 2019,” tambah beliau.
23 Nov 20
2646
Belanjawan 2021: Latihan Kemahiran Percuma Bagi Golongan Terjejas
KUALA TERENGGANU, 23 November- Memahami kebimbangan rakyat yang berdepan isu pengangguran akibat pandemik Covid-19, kerajaan Terengganu menawarkan peluang kepada rakyat negeri itu untuk mendapatkan latihan kemahiran secara percuma bagi meningkatkan tahap kemahiran diri serta meneroka bidang baru.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penawaran tersebut merupakan strategi jangka masa panjang kerajaan negeri bagi meningkatkan kemahiran pekerja dalam bidang yang diceburi.
"Sebanyak RM7.52 juta diperuntukkan di bawah inisiatif ini bagi meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehgajian golongan graduan, penganggur dan pekerja yang terjejas akibat diberhentikan, diberikan cuti tanpa gaji dan dipotong gaji.
"Bagi meningkatkan dan melatih semula kemahiran golongan ini, program perantisan, latihan keusahawanan dan kursus jangka pendek akan dilaksanakan secara usaha sama dengan pelbagai pihak," katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, sebanyak lapan inisiatif diwujudkan antaranya ialah Terengganu Young Executive Program (TYEP), iaitu program latihan perantisan sebagai laluan kerjaya sebelum ke pasaran kerja.
Selain itu, latihan industri dan peluang pekerjaan kepada anak Terengganu terutamanya dalam bidang kemahiran, termasuk kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) akan turut diadakan melalui T-JOB.
"Terengganu juga akan memperkasakan pusat kemahiran seperti TESDEC dan TATIUC bagi menjadikan Terengganu sebagai hub untuk pekerja mahir dan profesional dalam bidang-bidang strategik melalui Terengganu Training Program (TTP).
"Kita juga berusaha membangunkan keusahawanan T-VET dan membimbing bakal usahawan dalam penyediaan rancangan perniagaan dan kemahiran komunikasi dalam Kursus Keusahawanan Terengganu di bawah seliaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU)," katanya.
Inisiatif-inisiatif lain yang akan dilaksanakan kerajaan negeri ialah Program Jati Diri Generasi Sejahtera oleh Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Terengganu Skill Enhancement Program for School Leavers (TSEP-S), Program Transformasi Pekerja Itqan melibatkan ikon anak Terengganu di perantauan yang berjaya dalam bidang masing-masing serta Karnival Pekerjaan 2021 bagiu dapat dimanfaatkan sepenuhnya rakyat Terengganu.
23 Nov 20
510
Belanjawan 2021: Terengganu Suntik 'Tonik' Buat Pengusaha Kecil
KUALA TERENGGANU, 23 November - Para peniaga Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di Terengganu bakal menerima suntikan baru apabila kerajaan negeri mengumumkan Pusat Bersepadu Pemasaran PKS dalam pembentangan Belanjawan 2021, hari ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, pemerkasaan tersebut bukan sekadar berbentuk latihan kemahiran kepada peniaga-peniaga sebagaimana sebelum ini.
"Inisiatif ini adalah bagi mempercepatkan proses pemulihan PKS dan pertumbuhan ekonomi negeri. Ia sebagai sokongan kepada program-program latihan pemasaran sedia ada.
"Pemilik PKS akan ditawarkan pilihan pakej yang sesuai dengan yuran yang rendah untuk memasarkan barangan dan perkhidmatan mereka dengan lebih berkesan yang akan diurus oleh tenaga pakar dalam bidang pemasaran terutamanya pemasaran digital," katanya ketika berucap pada pembentangan berkenaan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, inisiatif terbabit melibatkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta termasuk RM400 ribu bagi menaik taraf aplikasi GanuShop.
23 Nov 20
289
Belanjawan 2021: Terengganu Tubuh Jawatankuasa Adaptasi COVID-19
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan Terengganu akan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengadaptasi kesan pandemik COVID-19 kepada negeri tersebut.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, penubuhan jawatankuasa itu adalah bagi merencana pendekatan baharu dalam menghadapi COVID-19 di Terengganu.
"Iaitu daripada bertindak balas (response) terhadap impak kepada penyesuaian (adaptation) dengan keadaan memandangkan pandemik COVID-19 ini tiada ketentuan mengenai penghujungnya.
"Jawatankuasa ini akan melibatkan pelbagai Agensi Negeri dan Persekutuan serta berperanan untuk mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri sebarang keputusan dan tindakan yang boleh serta perlu diambil bagi tujuan (i) mempromosikan kesihatan dan pembudayaan kebiasaan baharu, (ii) menjamin ketersediaan dan kebolehcapaian keperluan asas dan (iii) melestarikan kemandirian individu, isi rumah dan perniagaan.
"Peruntukan sebanyak RM100 ribu digunakan bagi melaksanakan kempen norma baharu,” katanya sewaktu membentangkan Bajet Terengganu 2021 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
23 Nov 20
387
Sidang DUN : MB Hadir Bertongkat
KUALA TERENGGANU, 23 November – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hadir ke Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini dalam keadaan bertongkat.
Beliau yang masih dalam tempoh rawatan dan penyembuhan dijangka membentangkan Belanjawan 2021 pada pukul 11.10 pagi nanti.
Belanjawan itu menjadi tumpuan ramai lebih-lebih dalam keadaan dunia dilanda wabak COVID-19.
Difahamkan beberapa inisiatif khas akan diumum Ahmad Samsuri khusus bagi membantu rakyat yang terjejas dalam sektor ekonomi dan pertanian.
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 Terengganu yang bermula hari ini akan berlangsung selama tiga hari sehingga 25 November.
23 Nov 20
338
Pasang ‘Bollard’ Kerana Landskap Rosak
KUALA TERENGGANU, 22 November – Kerosakan landskap di Taman Awam Lagun Kuala Ibai di sini menjadi punca lapan unit ‘bollard’ dipasang.
Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Shahidan Embok menegaskan, langkah memasang ‘bollard’ akan menghalang kenderaan daripada memasuki kawasan landskap pusat rehat dan rekreasi tersebut.
“Banyak landskap lembut dan kejur telah rosak disebabkan kenderaan pengunjung.
“Selain untuk mengelakkan kenderaan yang memasuki kawasan itu dihempap pokok dalam musim tengkujuh sebagaimana terjadi di kawasan lain sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Mengulas lanjut, Shahidan walau bagaimanapun menjelaskan pemasangan empat daripada lapan ‘bollard’ itu hanyalah bersifat sementara.
“Ia bersifat sementara dan kekal, empat kekal dan empat lagi boleh dipindah bagi membolehkan kenderaan penyelamat dan penyelenggaran untuk memasuki kawasan tersebut,” tambah beliau.
Semalam, pemasangan ‘bollard’ itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.
Perkara itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Muhammad Khalil mengadakan perbincangan segera dengan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar bagi mencari penyelesaian terbaik dalam isu terbabit.
“Perkara ini diberi perhatian yang serius oleh pihak kami dan semoga penyelesaian yang diperolehi akan menguntungkan semua pihak,” jelasnya.
Difahamkan empat 'bollard' sementara telah dipindahkan manakala selebihnya masih dikekalkan.
22 Nov 20
1100
Sidang DUN Terengganu Dilanjutkan Kepada Tiga Hari
KUALA TERENGGANU, 22 November - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas Terengganu yang bermula esok akan berlangsung selama tiga hari sehingga 25 November.
Yang Di-Pertua DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali memaklumkan, sebelum ini sidang DUN dijadualkan selama dua hari iaitu pada 23 dan 24 November kerana negeri berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tempoh hari.
"Oleh kerana Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan menamatkan PKPB di Terengganu semalam, maka kita telah memutuskan untuk menambah sehari lagi persidangan iaitu 25 November mengambil keperluan kepada ahli-ahli DUN memperolehi lebih masa untuk perbahasan.
"Walau bagaimanapun, kerana keadaan pandemik ini tidak menentu dan berubah dari masa ke masa, kita tidak mengadakan persidangan penuh selama empat hari sebagaimana jadual asal Sidang DUN Terengganu,
Jelasnya, beliau menggunakan budi bicara sebagai Yang Di Pertua DUN dalam peruntukan perkara 7(3) Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan, untuk meminda dan membuat kesesuaian hari persidangan tersebut.
"Sebenarnya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, perhimpunan berskala besar juga tidak digalakkan dan kita mengambil kira saranan berkenaan dalam memutuskan perkara ini," katanya.
Tambahnya, kenyataan media yang dikeluarkan pada 11 November lalu terbatal oleh pindaan itu.
Bagaimanapun, pihak DUN tetap dengan keputusan bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat dan Ketua-Ketua Jabatan sahaja yang dibenarkan hadir serta semua jemputan diminta mematuhi Prosedur Kendalian Standard yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
22 Nov 20
385
Belanjawan Terengganu 2021 Akan Dibentangkan Esok
KUALA TERENGGANU, 22 November- Belanjawan Terengganu 2021 (Bajet 2021) akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini esok.
Persidangan itu dijangka berlangsung selama tiga hari mulai esok, 23 November mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti saranan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan bersiaran secara langsung melalui TV Darul Iman kira-kira jam 9.00 pagi bagi membentangkan Bajet itu.
Orang ramai boleh melayarinya melalui laman https://www.trdi.my/.
22 Nov 20
1709
KETENGAH Tawar Kursus Jangka Pendek Secara Percuma
DUNGUN, 20 November - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menawarkan kursus jangka masa pendek iaitu Kursus Penyeliaan dan Operasi Ladang Kelapa Sawit (KPOLKS) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran(JPK) di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Pengerusinya, Dato' Razali Idris berkata kursus ini diberikan secara percuma kepada belia berusia antara 17 tahun hingga 35 tahun.
Katanya, tujuan utama kursus ini ditawarkan adalah untuk melahirkan generasi baru yang berkemahiran tinggi dalam bidang
penyeliaan dan operasi ladang kelapa sawit serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga asing.
"Kursus ini dijalankan selama tiga bulan dan terdapat empat sesi kemasukan setahun. Pengambilan pertama adalah untuk kemasukan sesi Januari, Mac, Jun dan Ogos.
"Yuran pengajian dan penginapan adalah percuma sepanjang kursus termasuk menerima wang saku RM300 sebulan," ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kursus ini akan dikendalikan oleh Pusat Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Kolej Ketengah dengan kerjasama Ketengah Holding Sdn.Bhd.(KHSB) iaitu syarikat di bawah KETENGAH.
Menurut Razali lagi, sebaik sahaja
tamat kursus, perantis akan terus ditawarkan kontrak pekerjaan selama dua tahun di ladang-ladang kelapa sawit milik KHSB dengan bayaran gaji bulanan RM2,000 dan ke atas bergantung kepada produktiviti.
Tambahnya, antara syarat utama adalah mesti warganegara Malaysia dan keutamaan diberikan kepada penduduk di Wilayah Ketengah.
" Pemohon mestilah berumur diantara 17 hingga 35 tahun, tamat tingkatan tiga serta lulus Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
"Sekiranya tidak lulus peperiksaan itu, pemohon mestilah mempunyai pengalaman kerja di sektor perladangan kelapa sawit selama setahun serta boleh membaca dan menulis,"ujar beliau lagi.
Orang ramai yang berminat untuk mengikuti KPOLKS, boleh melawati laman sesawang Kolej Ketengah di www.kolejketengah.edu.my dan
untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi Kolej Ketengah ditalian 011-62548080.
20 Nov 20
15941