lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Belanjawan 2021 : RM10 Juta Bina Mahkamah Tinggi Kemaman
Belanjawan 2021 : RM10 Juta Bina Mahkamah Tinggi Kemaman
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM10 juta bagi pembinaan Mahkamah Tinggi Syariah di daerah kemaman. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan untuk menaik taraf infrastruktur mahkamah syariah di negeri ini. "Kerajaan Negeri sebagai permulaan, akan membina Kompleks Mahkamah Tinggi Syariah di Kemaman dengan peruntukan sebanyak RM10 juta," katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Terdahulu, Ahmad Samsuri turut mengumumkan  sejumlah RM300 ribu diperuntukkan bagi usaha memperkasakan program pelaksanaan syariah secara berperingkat melalui penerangan, kempen, penguatkuasaan undang-undang, pemulihan dan seminar berkaitan syariah kepada semua lapisan masyarakat. "Sejajar dengan matlamat untuk menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang sejahtera, kerajaan negeri berhasrat untuk memartabatkan institusi perundangan syariah di Negeri Terengganu," tambah beliau.
23 Nov 20
405
Sidang DUN : Tiga Strategi Utama Pacu Sektor Pelancongan Yang Terjejas
Sidang DUN : Tiga Strategi Utama Pacu Sektor Pelancongan Yang Terjejas
  KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu telah merangka Pelan Pemulihan COVID-19 dengan pendekatan tiga strategi utama bagi menyelamatkan industri pelancongan ekoran daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman negeri berkata, tiga strategi utama ini adalah menangani impak COVID-19 terhadap sektor pelancongan, melestari pelancongan dalam tempoh COVID-19 dan juga memacu pertumbuhan sektor pelancongan negeri. “Pelan pemulihan ini terbukti berkesan dengan statistik kedatangan pelancong ke  Terengganu selepas pandemik COVID-19 dengan pertambahan kedatangan pelancong ke produk-produk pelancongan seperti di pulau-pulau, Tasik Kenyir, Zoo Kemaman, Taman Tamadun Islam, Lata Kolam Air Deru EcoPark dan lain-lain “Data Kadar Purata Penginapan (Average Occupancy Rate) yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) juga menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soal bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato’ Rozi Mamat di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas(Bajet), hari ini. Katanya lagi, selain tiga strategi Pelan Pemulihan COVID-19, pelbagai program aktiviti dan promosi pelancongan telah diadakan, dalam usaha untuk mengembalikan kerancakan ekonomi dalam sektor pelancongan di negeri ini semasa tempoh PKP sehinggalah PKPP . “Kita memberi keyakinan kepada pelancong-pelancong yang sektor pelancongan negeri Terengganu seperti produk pelancongan hotel dan tempat penginapan dan lain-lain adalah selamat dari COVID-19 (building safety confidence) apabila berakhirnya Perintah Kawalan Perjalanan. “Aktiviti promosi di media cetak dan elektronik serta meningkatkan penggunaan media sosial rasmi Beautiful Terengganu Malaysia di facebook, instagram, telegram, twitter, youtube dan We Chat diteruskan termasuk menggunakan sepenuhnya platform teknologi maklumat. “Dan seterusnya menjadikan media sebagai media rasmi rakan strategik dan banyak lagi langkah-langkah yang telah diambil bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri ini,”katanya.  
23 Nov 20
388
Sidang DUN : RM57 Juta Atasi Hakisan Pantai Teluk Lipat
Sidang DUN : RM57 Juta Atasi Hakisan Pantai Teluk Lipat
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM57 juta bagi menyelesaikan masalah hakisan pantai yang berlaku di Pantai Teluk Lipat, Dungun sejak beberapa tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh berkata, peruntukan itu antaranya melibatkan kerja-kerja penyuburan pantai serta pembaikian struktur awam seperti laluan pejalan kaki yang rosak akibat hakisan. “Projek ini dijangka siap akhir Ogos 2022 di mana kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja tersebut telah pun dilantik,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) mengenai status terkini dan langkah yang diambil kerajaan negeri bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Teluk Lipat di Dungun, Pantai Rhu Rendang (Marang) dan kawasan pantai di sekitar Kuala Nerus pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Mamad Puteh. Sementara itu katanya, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Rhu Rendang sebagai penyelesaian jangkamasa sederhana yang dijangka dilaksanakan awal tahun hadapan. “Cadangan projek yang melibatkan kerja- kerja penyuburan pantai sepanjang 2.5 kilometer ini sedang di peringkat penyediaan reka bentuk terperinci oleh JPS. Bagi Pantai Kuala Nerus pula, beliau berkata JPS Negeri Terengganu sedang melaksanakan projek kawalan hakisan pantai di kawasan Kampung Telipot, Kuala Nerus. “Projek yang menelan biaya sebanyak RM 6.147 juta ini melibatkan kerja-kerja penyuburan pantai sepanjang 500 meter dan dijangka siap pada Ogos 2021,” ujarnya.
23 Nov 20
1523
Belanjawan 2021 : RM25.5 Juta Rancakkan Pembinaan Rumah
Belanjawan 2021 : RM25.5 Juta Rancakkan Pembinaan Rumah
KUALA TERENGGANU, 23 November – Peruntukan sebanyak RM25.5 juta bakal merancakkan lagi pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, projek itu adalah kesinambungan daripada tahun-tahun terdahulu bagi mencapai sasaran 20,000 RMM. "Melalui kerjasama dengan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan memperuntukkan sebanyak RM25.5 juta bagi menyediakan lebih banyak Rumah Darul Iman (RAHMAN) untuk golongan B40 termasuklah pelaksanaan dua projek baharu iaitu RMM Bukit Gasing II, Marang dan RPMM Bukit Tumbuh, Kuala Nerus," katanya. Ahmad Samsuri. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Menurut beliau, pihaknya juga prihatin dengan keadaan rumah rakyat yang kurang berkemampuan. “Untuk itu, kita memberi peruntukan sebanyak RM16 juta dalam projek Perumahan Terengganuku Sejahtera bagi membaik pulih rumah yang rosak,” tambah beliau.
23 Nov 20
1498
Sidang DUN : RM85,000 Naik Taraf Mahkamah Syariah
Sidang DUN : RM85,000 Naik Taraf Mahkamah Syariah
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM85,000 bagi proses pembaikian seluruh Mahkamah Syariah daerah tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, peruntukan tambahan itu diluluskan selepas kerajaan negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) dan Perbendaharaan mengadakan satu siri lawatan ke seluruh Mahkamah Syariah di Terengganu. “Tujuannya meninjau secara terperinci keperluan infrastruktur dan juga cadangan pembangunan bagi Mahkamah Syariah secara menyeluruh,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Muhammad Khalil Abdul Hadi (PAS-Batu Burok) mengenai sejauh mana tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri dalam membuat penambahbaikan Mahkamah Syariah dari segi pembangunan dan penstrukturan di seluruh Negeri Terengganu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Dari segi penstrukturan pula katanya, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu sedang menyediakan satu kertas cadangan bagi menaiktaraf tiga peringkat mahkamah melibatkan yang sedia ada iaitu Mahkamah Rendah Syariah Daerah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah dengan ditambah satu lagi tingkatan mahkamah yang lebih atas. “Tujuan penstrukturan dibuat untuk memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan hak dan pembelaan dengan lebih meluas,” ujarnya.
23 Nov 20
1471
Belanjawan 2021 : Bayaran Cukai Pintu Terus Dikecualikan
Belanjawan 2021 : Bayaran Cukai Pintu Terus Dikecualikan
KUALA TERENGGANU, 23 November – Pengecualikan bayaran cukai pintu rumah kediaman yang dimulakan pada 2019 diteruskan tahun hadapan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan RM13 juta bagi tujuan itu. "Memahami kesempitan rakyat ketika pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri akan meneruskan pengecualian bayaran Cukai Taksiran untuk rumah kediaman yang menelan belanja melebihi RM13 juta pada tahun ini.,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.
23 Nov 20
4211
Sidang DUN : Enam Projek Melon Manis Telah Beroperasi
Sidang DUN : Enam Projek Melon Manis Telah Beroperasi
KUALA TERENGGANU, 23 November - Pengoperasian Projek penanaman Melon Manis Terengganu (MMT) di Ladang Rimbunan Kaseh kini sedang berjalan dengan penggunaan sebanyak enam buah Struktur Perlindungan Hujan (SPH) bermula pada awal April 2020. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata projek ini dibawah seliaan Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) dengan usahasama MCT Agriculture Sdn Bhd bermula pada April 2020 di kawasan pertanian dengan keluasan 8.462 hektar “Sehingga Ogos 2020, jumlah penanaman pokok MMT adalah sebanyak 26,000 pokok telah ditanam dengan anggaran hasil pendapatan sehingga Oktober 2020  sebanyak 10.172 tan yang bernilai RM80,000 . “Setakat ini terdapat sepuluh orang pekerja tempatan terdiiri daripada seorang Pengurus Ladang, Seorang Penyelia dan lapan orang Pekerja Am dimana meraka merupakan peserta Rumah Rimbunan Kaseh,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas(Bajet), hari ini. Sementara itu, kerajaan negeri turut mengambil langkah untuk mengoptimumkan prasana yang ada di Ladang Rimbunan Kaseh yang mana 20 Struktur Perlindungan Hujan (SPH) lagi sedang dalam proses membaikpulih dan dijangka akan siap sepenuhnya untuk penanaman pada akhir Januari 2021. “Kesemua 26 buah SPH akan mula beroperasi sepenuhnya pada Februari 2021 dengan anggaran penanaman keseluruhan adalah sebanyak 53,000 pokok. Manakala tangki ikan sebanyak 400 buah tidak dapat digunakan untuk penternakan ikan disebabkan oleh masalah air, TADC mencadangkan untuk membuat projek tanaman buah Markisa menggunakan kaedah hidroponik.  “TADC juga telah mengeluarkan modal bagi kerja-kerja membaikpulih, kos tenaga kerja, memasang CCTV, menaiktaraf, membaiki paip, menambah tangki graviti dan sistem pembesaran auto menggunakan teknologi digital serta kos input-input pertanian telah menelan belanja lebih kurang RM600,000.00 (penggunaan teknologi baru sistem penanaman),”ujarnya ketika menjawab soalan tambahan daripada ADUN Rantau Abang, Alias Harun.  
23 Nov 20
510
Belanjawan 2021 : Pengecualian Bayaran Lesen Peniaga Kecil, Penjaja
Belanjawan 2021 : Pengecualian Bayaran Lesen Peniaga Kecil, Penjaja
KUALA TERENGGANU, 23 November – Bayaran lesen perniagaan untuk peniaga kecil dan penjaja di Terengganu tidak akan dikutip sepanjang tahun 2021. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memahami tekanan yang dihadapi oleh golongan terbabit lebih-lebih dalam tempoh COVID-19. "Dengan ini kerajaan negeri mengumumkan tiada kutipan lesen peniaga kecil dan penjaja bagi tahun 2021. Kita mengharapkan dengan inisiatif ini dapat merancakkan lagi ekonomi Negeri Terengganu dan membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para peniaga dan penjaja,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Menurut beliau, golongan warga emas tidak akan dipinggirkan apabila program Pencen Rakyat diperkenalkan bermula tahun depan. “Bayaran sebanyak RM600 setahun bakal memberi manfaat kepada golongan terbabit,” ujarnya.  Sementara itu, Ahmad Samsuri turut memaklumkan, kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan Tunai Cakna Rakyat Terengganu bernilai RM200 kepada golongan B40. “Bantuan ‘one-off’ itu akan memberi manfaat kepada 48,500 isi rumah dengan jumlah RM9.7 juta,” jelasnya yang memaklumkan ketiga-tiga bantuan tersebut adalah inisiatif khas COVID-19.
23 Nov 20
2150
Sidang DUN : Rantaian Ekonomi Projek Dipantau
Sidang DUN : Rantaian Ekonomi Projek Dipantau
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kawalan dan pemantauan terhadap keseluruhan rantaian ekonomi bagi projek yang akan dilaksanakan kelak antara usaha dan penambahbaikan dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, langkah itu bagi memanfaatkan sepenuhnya industri petroleum termasuk sektor hiliran bagi kepentingan rakyat dan negeri ini. Jelasnya, PETRONAS sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menambah nilai kepada sumber hidrokarbon negara dalam sektor hiliran dan petrokimia yang berpotensi tinggi di negeri ini melalui beberapa projek mengikut kesesuaian. “Bagi industri petroleum dan gas sedia ada, kerajaan negeri dengan kerjasama PETRONAS sentiasa berusaha memastikan rantaian ekonomi sehingga kepada produk akhir berasaskan petroleum dan gas dihasilkan di dalam negeri ini. “Produk-produk lain yang mengguna pakai bahan mentah daripada gas dan petroleum dan gas juga boleh berkembang  seperti yang dapat dilihat di Taman Biopolimer Kertih yang terletak bersebelahan dengan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih (KIPC),” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Katanya, bagi syarikat anak tempatan pula, kerajaan negeri memanfaatkan peranan Terengganu Petroleum Council (TPC) untuk membida tender-tender yang dikeluarkan oleh pihak PETRONAS. “TPC diwujudkan di bawah seliaan Terengganu Inc yang menjadi payung kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh anak- anak negeri Terengganu dan saling bekerjasama untuk mendapatkan kerja-kerja kontrak yang ditawarkan. “Peranan TPC yang menjadi medium kerajaan negeri bagi memastikan kedaulatan Negeri Terengganu sebagai pengeluar minyak dan gas yang utama di Malaysia dapat dilindungi haknya dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri,” ujarnya. Dalam pada itu katanya, kerjasama secara 'smart partnership dengan PETRONAS secara berterusan dengan memperkasakan Jawatankuasa Kerja Bersama Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS atau Joint Working Committee (JWC) yang mempunyai objektif bagi pengukuhan hubungan dua hala dan penjajaran kepentingan di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS melalui saluran kerjasama rasmi untuk merealisasikan lanjutan faedah bersama daripada pembangunan petroleum di negeri ini. “Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan rakyat tempatan menerusi penetapan syarat sebanyak 70 peratus daripada pekerja dalam mana-mana perusahaan di kawasan perindustrian di negeri ini perlulah terdiri daripada rakyat negeri Terengganu. “Secara tidak langsung pelaksanaan projek berpotensi tinggi dalam sektor hiliran dan petrokimia ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan memberi keutamaan kepada rakyat Terengganu,” jelasnya. Katanya, peluang pekerjaan yang tersedia akan ditambah nilai dengan latihan bagi memastikan tenaga kerja ini berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri. “Dengan penambahbaikan berterusan secara komprehensif dan kerjasama secara 'smart partnership dengan PETRONAS, kerajaan negeri yakin usaha ini akan memberikan hasil yang positif serta manfaat jangka panjang kepada rakyat dan Terengganu terutamanya menerusi pertambahan peluang pekerjaan dan perniagaan,” ujarnya.  
23 Nov 20
367
Belanjawan 2021 Terengganu Peruntuk RM1.375 Bilion
Belanjawan 2021 Terengganu Peruntuk RM1.375 Bilion
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan Terengganu mengumumkan peruntukan RM1.375 bilion bagi perbelanjaan mengurus dalam Belanjawan 2021 berbanding anggaran hasil yang bakal diperoleh sebanyak RM1.25 bilion dengan defisit RM125 juta. Bertemakan 'Melestarikan Kesejahteraan Bersama', belanjawan kali ini didokong dengan lima teras utama iaitu meneguhkan pelaksanaan agenda Islam dan pembangunan modal insan, menjana semula ekonomi dan pendapatan rakyat, menjamin kesejahteraan keluarga dan sosial, mendigitalisasikan perkhidmatan awam dan melestarikan alam sekitar. Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, demi kesejahteraan penduduk, kerajaan mencadangkan peruntukan sebanyak RM1.375 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala perbelanjaan pembangunan dan Kumpulan Wang Bekalan Air masing-masing sebanyak RM615 juta dan RM20.17 juta. “Sementara itu, pendapatan hasil cukai adalah sebanyak RM58.56 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM130.64 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM1.06 bilion termasuk RM933.33 juta royalti petroleum,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.
23 Nov 20
964