lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Tandas Awam Rantau Abang Terima Pengiktirafan Tandas Bersih
Tandas Awam Rantau Abang Terima Pengiktirafan Tandas Bersih
KUALA TERENGGANU, 20 November- Tandas Awam Rantau Abang, Dungun dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 bagi Kategori Kawasan Pelancongan bersempena dengan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2020. Menurut kenyataan Majlis Perbandaran Dungun (MPD), ianya bukan kejayaan kali pertama kerana pelbagai anugerah telah berjaya dibawa pulang oleh MPD sebelum ini.  "Antaranya pernah dinobatkan sebagai Tandas Terbaik sempena ASEAN Public Toilet Standard 2019 — 2021 dan naib juara Kategori Pelancongan Peringkat Kebangsaan 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak ," ujarnya seperti yang dipetik dalam laman Facebook rasmi MPD. Kenyataan tersebut turut memaklumkan, Tandas Awam Rantau Abang yang terletak sebelah kawasan pelancongan Pusat Informasi Penyu Rantau Abang juga diiktiraf sebagai Tandas Pelancongan dan merangkul Anugerah Perak bagi Kategori Tandas Awam milik Pihak Berkuasa Tempatan (Bandaraya/Perbandaran) oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan. 
20 Nov 20
1475
PKPB Di Terengganu Tamat Esok
PKPB Di Terengganu Tamat Esok
KUALA TERENGGANU, 20 November - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Terengganu akan ditamatkan bermula esok. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata,  penamatan itu bukan bermakna Terengganu bebas sepenuhnya. "Negeri-negeri ditamatkan PKPB masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Rujuk kembali prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP," katanya dalam kenyataan media hari ini. Pada 15 November lalu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri bagi memohon pelaksanaan PKPB di seluruh Terengganu itu ditamatkan lebih awal. Mengulas lanjut Ahmad Samsuri memaklumkan, usaha itu tidak terhenti setakat itu apabila pada beberapa hari selepas itu beliau sekali lagi mengutarakan kedudukan terkini COVID-19 di Terengganu. “Saya juga memberi alasan kenapa PKPB dapat ditamatkan lebih awal daripada jadual asal dalam Mesyuarat MKN secara atas talian yang dipengerusikan Perdana Menteri dari pejabat beliau," jelasnya.
20 Nov 20
1664
Rakyat Kuala Terengganu, Paling Subur Di Malaysia
Rakyat Kuala Terengganu, Paling Subur Di Malaysia
PUTRAJAYA, 20 November- Laporan Perangkaan Penting Malaysia 2020 diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menunjukkan Kuala Terengganu sebagai rakyat paling subur di negara ini. Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, daerah pentadbiran ibu negeri Terengganu itu merekodkan kadar kelahiran kasar tertinggi sepanjang tahun lepas. “Ia mencatatkan 26.6 kelahiran bagi setiap seribu penduduk, manakala daerah Kinabatangan di Sabah pula merekodkan kadar paling rendah di Malaysia iaitu 3.5 kelahiran,” jelas beliau. Laporan terbaharu yang dibentangkan itu mengandungi statistik data kelahiran dan kematian mengikut ciri-ciri demografi Malaysia, negeri dan daerah pentadbiran bagi tahun 2019 lalu. Berdasarkan perangkaan itu, bilangan kelahiran hidup ialah 487,957, menurun 2.8 peratus berbanding 501,945 pada 2018 dan angka 2019 adalah paling rendah dalam tempoh sedekad. “Sejumlah 7,862 bayi kembar dua dan 144 bayi pula kembar tiga,” kata Mohd. Uzir sambil merujuk laporan itu menjadi input utama penggubalan dasar perancangan program kerajaan. Selari dengan penurunan kadar kelahiran itu jelas beliau, purata umur ibu bagi bayi hidup pertama juga naik 0.1 tahun daripada 27.8 tahun pada 2018 kepada 27.9 tahun pada 2019. Kadar kesuburan pada tahun lalu namun masih kekal pada 1.8 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun iaitu di bawah paras penggantian yang sepatutnya iaitu 2.1 anak. Sebelas negeri merekodkan kadar kesuburan di bawah 2.1 iaitu Perlis, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing 2.0, Melaka, Perak dan Labuan pula 1.8 serta Kuala Lumpur 1.7. Ini diikuti Selangor dan Sarawak masing-masing 1.6, Sabah 1.4 dan paling rendah ialah Pulau Pinang 1.3. Trend itu juga selari negara maju seperti Australia, Britain dan Amerika Syarikat. Mohd. Uzir menambah, jumlah kematian tahun lalu ialah 173,746 kematian iaitu peningkatan 1.0 peratus berbanding sebanyak 172,031 kematian direkodkan pada tahun sebelumnya. -UTUSAN ONLINE
20 Nov 20
4192
Internet Percuma Di Pusat Kuarantin
Internet Percuma Di Pusat Kuarantin
MARANG , 19 November - Kerajaan negeri bersetuju memasang internet percuma membabitkan peruntukan RM5,000 di pusat kuarantin di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai dalam tempoh terdekat. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu memudahkan individu dikuarantin mendapatkan informasi semasa secara mudah. "Pada masa yang sama ia juga dapat menghilangkan rasa bosan dan tekanan sepanjang berada di pusat kuarantin. "Saya berharap seramai 160 individu yang masih berada di pusat itu bersabar dan mengetahui masing-masing merindui keluarga terutama yang mempunyai anak kecil," katanya. Hanafiah Mat. Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Person Under Surveillance di pusat kuarantin itu, di sini semalam. Mengulas tentang pusat kuarantin tersebut, Hanafiah berkata, beliau berpuashati dengan tahap pengurusan yang diselia barisan hadapan sejak dibuka ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. "Difahamkan mereka yang terlibat diberi makan lima kali sehari selain dibekalkan barangan kelengkapan diri lain," katanya
19 Nov 20
686
Terengganu Beri Wang Pencen Untuk Warga Emas
Terengganu Beri Wang Pencen Untuk Warga Emas
KUALA TERENGGANU, 18 November - Terengganu bakal melengkapkan pelaksanaan manifesto pemberian pencen rakyat sebanyak RM50 sebulan kepada warga emas yang layak selepas sesi pemilihan selesai. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sedang mengedarkan borang permohonan Pencen Rakyat Warga Emas tersebut bagi diisi mereka yang layak. Katanya, penerima akan ditentukan melalui analisa data yang di pejabat daerah. "Bakal penerima pencen itu pastinya bukan penerima bantuan bulanan daripada mana-mana agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Perkeso dan penerima pencen sedia ada. "Hanya dibuka kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas yang tiada sumber pendapatan tetap. "Selain itu, dalam satu keluarga, seorang warga emas yang layak akan menerima manfaat tersebut," katanya. Hanafiah Mat. Beliau berkata demikian  selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Person Under Surveillance di Pusat Kuarantin COVID-19 di Akademi Bomba dan Penyelamat di Wakaf Tapai, di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Hanafiah memaklumkan analisa data dijangka mengambil masa enam bulan untuk diselesaikan. "Selepas itu ia akan dibawa kepada mesyuarat mingguan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri untuk mendapat persetujuan dan kelulusan. "Apa yang dilaksana itu adalah termaktub dalam Manifesto Pilihan Raya lalu yang menjanjikan sumbangan bulanan sebanyak RM600 setahun atau RM50 sebulan," tambah beliau.
18 Nov 20
9218
Banjir Bukan Pesta Main Air
Banjir Bukan Pesta Main Air
HULU TERENGGANU, 18 November - "Jangan jadikan banjir sebagai pesta untuk bermain air dan ibu bapa tolong awasi pergerakan anak-anak anda. Itu peringatan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd, selepas beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak semalam. "Ia perlu diubah kerana banjir bukannya pesta bermain air terutama untuk anak-anak kerana boleh mengundang padah jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. "Sepanjang tinjauan saya pada hari ini, didapati ramai kanak-kanak bermain air banjir tanpa rasa takut terutama berhampiran sungai dan ini menakutkan jika dibawa arus yang deras. "Oleh itu, saya minta ibu bapa tolong pantau pergerakan anak-anak mereka sebelum terjadi kejadian yang tidak diingini," ujarnya kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke Madrasah Addiniah Azzakiah, di Kampung Lubok Periuk, Ajil di sini hari ini. Menurutnya, kejadian lemas yang sentiasa berlaku sebelum ini perlu dijadikan iktibar supaya ia tidak berulang. "Keselamatan perlu diutamakan kerana nyawa tidak boleh ditukar ganti. "Walaupun penduduk kawasan yang terjejas sudah biasa dengan situasi ini namun mereka tetap perlu waspada," kata beliau.    
18 Nov 20
885
PKPB : MB Terengganu Jumpa PM
PKPB : MB Terengganu Jumpa PM
KUALA TERENGGANU, 18 November – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri bagi memohon pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Terngganu itu ditamatkan lebih awal. Ahmad Samsuri berkata, langkah pencegahan yang dilaksanakan bermula pada 9 November itu sangat memberi kesan kepada rakyat. “Sebaik sahaja diumumkan PKPB di seluruh Negeri Terengganu, saya telah mengambil langkah mengadakan perbincangan di peringkat Majlis Keselamatan Negeri Terengganu bersama agensi-agensi berkaitan. “Selain itu, untuk memastikan penularan dapat dikawal sebaik mungkin, saya bersama rakan-rakan pentadbiran dan Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia dan lain-lain telah bekerja keras mencari jalan untuk mengumpul maklumat terkini supaya PKPB di Terengganu dapat ditamatkan. “Berbekalkan data terakhir itu, saya telah bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Ahad 15 November lepas dan mengemukakan fakta berkaitan kawalan COVID-19 di Terengganu, memohon supaya PKPB di Terengganu dapat ditamatkan. Terima kasih kepada beliau yang sangat prihatin untuk mempertimbangkan hal ini dengan membawa dalam mesyuarat di Putrajaya,” katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini. Mengulas lanjut Ahmad Samsuri memaklumkan, usaha itu tidak terhenti setakat itu apabila pada hari ini beliau sekali lagi mengutarakan kedudukan terkini COVID-19 di Terengganu. “Saya juga memberi alasan kenapa PKPB dapat ditamatkan lebih awal daripada jadual asal dalam Mesyuarat MKN secara atas talian yang dipengerusikan Perdana Menteri dari pejabat beliau. “Kita akan terus berusaha dan berdoa agar dalam tempoh beberapa hari lagi satu keputusan dapat dibuat, insya-Allah,” tambah beliau.
18 Nov 20
1969
Tetap Berniaga Walaupun Kedai Dinaiki Air
Tetap Berniaga Walaupun Kedai Dinaiki Air
  HULU TERENGGANU, 18 November -Walaupun musim banjir menjadi satu musibah buat penduduk yang terlibat, namun ia tetap terselit kisah yang memberi inspirasi. Ketika paras air banjir mencecah 0.3 meter, ia tidak menjadi halangan Engku Hasmah Engku Kamaruzaman, 45, tetap berniaga di kedai runcitnya sekaligus menguruskan warung kopi di Kampung Nibong, Telemong. Kata ibu kepada sembilan anak ini, perniagaan perlu diteruskan kerana penduduk perlu mendapatkan keperluan di kedainya di samping untuk mencari rezeki buat mereka sekeluarga. "Setakat ini, saya masih meneruskan operasi kedua-duanya kerana keadaan masih selamat untuk berniaga. "Selagi keadaan selamat dan stok bahan mentah mencukupi, saya akan terus berniaga. Kebetulan pula, stok barang runcit sudah dibeli dari awal,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini. Katanya, kedai yang diusahakannya masih dibuka memandangkan paras air masih paras lutut dan akan menutup kedai sekiranya paras air meningkat sehingga membahayakan keselamatan. Engku Hasmah juga berkata, tiada masalah untuknya menyediakan makanan walaupun premisnya dibanjiri air kerana ruangan memasak berada pada tempat tinggi. "Lagipun saya hanya menyediakan air minuman kerana kuih-muih yang ada dihantar oleh penduduk kampung untuk dijual. “Apapun, saya tetap mementingkan aspek kebersihan. Lagipun, ia hanya ‘air lalu’ yang dibawa arus deras (banjir), bukannya air bertakung seperti di sesetengah kawasan. “Ini agak agak menyeronokkan juga, malah menawarkan pengalaman unik kerana dapat menikmati hidangan dalam persekitaran banjir. Ada yang tidak melepas peluang merakam gambar dan video kenangan,” katanya.    
18 Nov 20
1274
APM Terus Pantau Keadaan Banjir, Paras Air Sungai
APM Terus Pantau Keadaan Banjir, Paras Air Sungai
KUALA TERENGGANU,18 November – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri terus memantau perkembangan banjir dan kenaikan paras air sungai di Terengganu. Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan, pihaknya telah meninjau kenaikan air pasang di hiliran sungai, Kuala Terengganu semalam dan hasil pemantauan mendapati kenaikan paras air tersebut ialah fasa awal musim tengkujuh seperti dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada petang semalam. “MetMalaysia telah menjangkakan notis amaran cuaca buruk (amaran jingga), hasil pemantauan APMM di sekitar Terengganu mendapati waktu kemuncak air pasang dengan peningkatan 2.4 meter pada jam 11 malam ini. “Namun begitu, alhamdullilah hujan lebat telah berhenti pada lewat petang sehingga malam ini dan tiada pemindahan yang berlaku di kawasan berdekatan. Kesiapsiagaan pasukan APMM di seluruh negeri sedang giat dengan pemantauan berterusan. “Pihak kami turut bekerjasama dan memaklumkan semua daerah dan sekretariat pengurusan bencana setiap daerah untuk bersiap sedia jika ada hujan lebat kerana kebarangkalian boleh berlaku pemindahan pada bila-bila masa,” katanya. Beliau berkata demikian selepas kerja pemantauan air pasang di Jeti Losong Ferry dan di Pulau Warisan, malam semalam. Mengulas berkenaan kawasan berisiko untuk dinaiki air, beliau berkata, Hulu Terengganu, Hulu Besut, Setiu, Kemaman dan Dungun adalah diantara kawasan yang diberi tumpuan atas faktor seperti komposisi air di hulu tidak dapat mengalir keluar laut.  “Terutama di kawasan berhampiran sungai seperti di Losong, Pulau Sekati, Pulau Rusa dan Manir.  “Pihak berkuasa menasihati penduduk terutama di kawasan berisiko seperti di tepi sungai untuk bertindak awal atas sebab potensi kenaikan air dan memindahkan kenderaan mereka ke kawasan selamat,” ulasnya.
18 Nov 20
381
Apa Nasib Nafuzi?
Apa Nasib Nafuzi?
DUNGUN, 18 November - Desas-desus tentang ramai pemain import dan tempatan bakal melangkah keluar daripada Terengganu Football Club (Terengganu FC) turut mengundang persoalan berkaitan ke mana hala tuju pengendali pasukan itu, Nafuzi Zain pada musim depan. Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim ketika ditemui media di Dungun semalam memberi jaminan, bekas pemain kebangsaan itu akan terus mengemudi pasukan bagi musim 2021. "Oleh kerana kita hendak mengekalkan DNA Terengganu, saya boleh jamin Nafuzi akan terus bersama Terengganu FC," katanya. Tambahnya, PBSNT turut berpuas hati apabila Skuad Penyu berjaya menempatkan diri di kedudukan tiga terbaik pada saingan CIMB-Liga Super Malaysia 2020 lalu. "Kita berjaya mencapai sasaran dan kita sudah berada pada landasan yang betul sebenarnya. Pemain tempatan kita, pada saya telah mencapai apa yang PBSNT inginkan daripada 'road map' yang telah kita susun sepanjang tahun ini. "Dari sudut keserasian seumpamanya, sebenarnya kita mampu untuk membentuk mereka dengan cepat. Yang paling penting, mereka sedia untuk dibimbing dan melakukan perubahan. Jadi saya melihat Terenganu tidak kurang bakat cuma mereka mesti sedia untuk belajar dan sedia untuk ditegur, meningkatkan diri sendiri," katanya.  Beliau juga percaya, Terengganu FC akan memberi tumpuan yang baik dalam saingan Piala AFC walaupun dengan berlaku sedikit perubahan pada pasukan di musim hadapan. "Saya percaya pihak jurulatih telah membuat satu keutamaan untuk membentuk pasukan yang mampu beraksi dengan baik untuk AFC," tambah beliau.    
18 Nov 20
1698