lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Sidang DUN : Pelancongan Miliki Lebih 300 Ribu Pengikut Di Media Sosial
Sidang DUN : Pelancongan Miliki Lebih 300 Ribu Pengikut Di Media Sosial
KUALA TERENGGANU, 24 November – Kerajaan negeri kini giat menggunakan media sosial sebagai platform mempromosikan produk pelancongan tempatan bagi menambah lagi kehadiran pelancong ke negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa  Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata, tindakan ini secara tidak langsung akan membawa lebih ramai pelancong apabila mereka tertarik dengan posting-posting yang dimuatnaik. Jelas beliau, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan rakan media lain dalam mengetengahkan ‘page’ pelbagai keunikan seni budaya Terengganu. “Sebagai contoh, ‘page’ media sosial di Instagram dan Facebook bertemakan pelancongan dan budaya Terengganu seperti ‘Page’ Facebook ‘Amazing Terengganu’ dengan ‘like’ mencecah 200 ribu serta ‘Amazing Terengganu dengan 78 ribu pengikut di Instagram. “Dua ‘page’ tersebut beserta enam lagi profil di platform media sosial lain menggabungkan pengikut aktif seramai 300 ribu, memberi potensi pengembangan seni budaya negeri untuk disebar luas ke setiap lapisan masyarakat. “Manakala itu, Program FB Live Terengganu Comey melalui medium page rasmi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (SUKTRA) mengutarakan lagu-lagu rakyat dan perkongsian maklumat seni budaya dan akan mengetengahkan penggiat seni budaya Terengganu,” katanya. Beliau berkata ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Malah menurut Ariffin, media sosial menjadikan usaha untuk mempromosikan pelancongan domestik ini menjadi lebih mudah apabila kebanyakan masyarakat pada hari ini sudah mula menyedari kepentingan media sosial dalam menyebarkan maklumat. "Strategi ini  terbukti berkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun 2020, Terengganu antara tiga negeri yang mencatat jumlah pelancong tertinggi di Malaysia dari Jun hingga Ogos 2020. "Ia dinilai dari kaedah kadar purata penginapan di hotel yang dikeluarkan oleh Persatuan Hotel Malaysia.  "Ini termasuk penilaian jangka masa tinggal pelancong berada di negeri ini dan juga perbelanjaan mereka sepanjang berada di Terengganu," katanya. Tambah Ariffin lagi, dalam tempoh Pendemik COVID-19, program seperti ‘Merakam Pengalaman’ dan juga ‘Pelita Raya Online’ telah dan akan diadakan dengan menggunakan platform digital sebagai teras kepada program. “Penghasilan video dokumentari seperti Rodat juga dihasilkan sebagai saluran maklumat kepada orang ramai dan seterusnya di sebar luas ke media sosial terpilih,” ulasnya lagi.
24 Nov 20
279
Sidang DUN: Generasi Al-Fateh Lahirkan Pemimpin Masa Depan
Sidang DUN: Generasi Al-Fateh Lahirkan Pemimpin Masa Depan
KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri telah menggariskan beberapa langkah untuk menyediakan golongan belia seawal usia 11 tahun untuk menjadi pemimpin masa hadapan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia akan dilaksanakan melalui Pelan Strategik Portfolio Pembangunan Belia Sukan dan NGO Negeri untuk tempoh lima  tahun bermula 2021 hingga 2025. Katanya, antara program yang dirancang termasuklah pembangunan Generasi Al-Fateh atau Generasi Muda Terengganu Sejahtera (GMTS). "Ia terbahagi kepada lima peringkat iaitu TUNAS (berumur 11-12 tahun) melalui Program School Potential Talent (SPT), DIDIK (berumur 13-15 tahun) melalui Program Teen Potential Talent 1 (TPT1) dan T-Volt Junior 1. "Peringkat seterusnya, BAKAT (berumur 16-19 tahun) melalui Program Teen Potentail Talent 2 (TPT2) dan T-Volt Junior 2, ELIT (berumur 20-25 tahun) melalui Program ADUN Belia serta Program High Potential Talent (HPT) dan T-VOLT, Program T-Mahir dan Program Rakan Muda. "Yang kelima ialah IKON (berumur 26-30 tahun) melalui Program Mentor-Mentee, Anugerah WIRA, Anugerah BAKTI dan Anugerah PUTRA," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas  Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet), hari ini. Justeru itu, pihaknya tidak mempunyai perancangan khusus dalam usaha untuk mempersiapkan belia untuk menyertai pilihanraya dan menjadi pemimpin politik seawal usia 18 tahun. Jelas beliau, program ini adalah rangka usaha sama oleh Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Negeri, Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Majlis Belia Negeri. Menurut Wan Sukairi lagi, program  ini bersasarkan kepada empat fokus utama iaitu Kepimpinan dan Teladan, Pendidikan dan Pembangunan Insan, Ekonomi dan Usahawan serta Sosial dan Masyarakat.  
24 Nov 20
675
Sidang DUN : Portal e-Learning Perkasa Pendidikan Norma Baharu
Sidang DUN : Portal e-Learning Perkasa Pendidikan Norma Baharu
KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu telah mengambil beberapa langkah yang proaktif bagi memperkasakan sektor pendidikan di Terengganu selaras dengan budaya norma baharu. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, Portal e-Learning Terengganu yang dilancarkan pada bulan Mei 2020 lalu sehingga 3 November 2020, mencatatkan 67 aktiviti secara dalam talian melibatkan 20,876 orang peserta. Katanya, antara aktivitinya adalah meliputi penganjurkan pelbagai webinar, bengkel, sesi perkongsian dan kursus secara dalam talian melalui portal tersebut. “Terdapat banyak bahan pengajaran dan pembelajaran yang dibangunkan oleh guru-guru ditempatkan dalam portal berkenaan yang boleh diakses oleh semua guru dan murid-murid sekolah rendah dan menengah di negeri Terengganu. “Pada masa sama, kerajaan turut menggalakkan bahan pembelajaran (softcopy) kepada murid murid menggunakan kemudahan media sosial seperti aplikasi Telegram, Whatsapp, e-mel dan lain-lain lagi. “Bekalan bahan pembelajaran (hardcopy) secara fizikal kepada murid-murid melalui serahan tangan atau dipungut di stesen-stesen yang disediakan oleh pihak sekolah. Contoh, seperti SMK Pengkalan Berangan yang menyediakan bahan-bahan pembelajaran di sebuah pondok di luar pagar sekolah untuk diakses oleh murid-murid atau penjaga,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet) semalam. Satiful turut berkata, Jabatan Pendidikan Negeri juga bekerjasama dengan radio Terengganu FM untuk mengadakan sesi bersama sama Guru AKRAM Bahasa Melayu, Sejarah dan Sains yang bersiaran semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
24 Nov 20
316
Enam Keluarga Mangsa Banjir Dipindahkan
Enam Keluarga Mangsa Banjir Dipindahkan
KUALA TERENGGANU, 24 November – Enam keluarga mangsa banjir di Kampung Binjai susulan hujan lebat sejak semalam telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Chendering. Pegawai Daerah Kuala Terengganu yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah berkata, anggota Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Terengganu telah memindahkan 15 orang mangsa berusia lingkungan lima hingga 74 tahun. “Pihak Pengurusan Bencana Daerah Kuala Terengganu telah mengenalpasti kawasan berpotensi untuk naik air dan memulakan operasi pemindahan sekitar 8.30 malam hasil hujan lebat berkala bermula dari awal pagi kira-kira jam 6.00 sehingga 11.00 malam dengan kenaikan air kira-kira 1.3 meter (3 kaki), “Pihak kami sentiasa bersedia di kawasan ini kerana air melimpah dari bukit Cerun Binjai tertumpu di sini (Kampung Binjai) kemudian mengalir ke muara Kuala Ibai. “Mangsa di PPS turut menjalankan saringan oleh anggota Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas di sini,” katanya ketika ditemubual pemberita di SK Chendering, malam semalam. Mengulas tentang Pengurusan Bencana Daerah Kuala Terengganu, Ariffin berkata, pertubuhan tersebut diuruskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dipengerusi Pegawai Daerah dan dianggotai jabatan-jabatan berkenaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Terengganu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain lagi. Dalam pada itu, mangsa iaitu sepasang suami isteri warga emas, Mohd Harun Awang, 71, dan Ngah Ali, 74, mereka berkata, air banjir mula menaiki kediaman mereka pada jam 2.00 petang. “Bomba datang dengan bot untuk ambil kami sekitar jam 10 malam, air banjir naik di dapur kami setakat peha, tapi sebahagian barang sudah diangkat ke tempat selamat oleh snaak saudara berdekatan. “Mujur pihak penyelamat datang dengan bot sebab kita orang tua dah tak boleh selamat apa-apa,” kata Harun.  
23 Nov 20
764
Waspada, Hujan Lebat Berterusan
Waspada, Hujan Lebat Berterusan
KUALA TERENGGANU, 23 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan notis amaran cuaca buruk dengan hujan lebat di seluruh Terengganu. Kenyataan itu memaklumkan, hujan lebat dijangka berterusan sehingga esok. Manakala di Kelantan, daerah Kota Bharu, Bachok, Machang, Kuala Krai dan Pasir Puteh juga mengalami cuaca sama.  Kenyataan terbabit turut mengeluarkan amaran cuaca peringkat waspada bagi Tumpat, Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah Amaran cuaca peringkat waspada itu turut membabitkan beberapa daerah di Pahang iaitu, Bera, Jerantut, Temerloh dan Rompin.  
23 Nov 20
1933
Belanjawan 2021 : Kawasan Perdagangan Bebas Diwujudkan
Belanjawan 2021 : Kawasan Perdagangan Bebas Diwujudkan
KUALA TERENGGANU, 23 November - Bagi menggalakkan lagi aktiviti import dan eksport serta pergudangan dan perniagaan secara pukal, kerajaan negeri bakal mewujudkan kawasan perdagangan bebas di Teluk Kalong, Kemaman. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha melalui anak syarikat kerajaan, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) turut berpeluang merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan masyarakat setempat. "Bagi memenuhi keperluan pelabur-pelabur baharu seperti Emerald USA dan Malaysia Phosphates, Pelabuhan Kemaman juga akan diperbesarkan. "Ini kerana pada masa sekarang kadar purata pengendalian kargo di Dermaga Timur adalah melebihi 50 peratus kapasiti iaitu bersamaan dengan 4 juta metrik tan kargo setahun dan dijangka melebihi 14 juta metrik tan kargo pada tahun 2024; melangkaui kapasiti kemudahan sedia ada. "Diharapkan pembesaran ini dapat memenuhi keperluan pelabur-pelabur baharu," katanya  ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas mengenai kemajuan perkhidmatan kesihatan pula, beliau berkata ia telah berkembang sebanyak 13 peratus dalam kumpulan Terengganu Incorporated di bawah Kumpulan Medic Iman. "Ia juga dilihat maju setapak lagi apabila kita bakal menyaksikan Pusat Jantung akan dibuka di Kuala Terengganu Specialist Hospital, dalam suku pertama tahun 2021. Kerajaan Negeri juga akan membina hospital baharu di Chukai, Kemaman dengan kapasiti sebanyak 150 katil dan pembesaran Kuantan Medical Centre serta Kelana Jaya Medical Centre. "Selain itu, pengambilalihan dan pembesaran Tawau Specialist Hospital dengan kapasiti sebanyak 75 katil akan dilaksanakan dalam suku kedua tahun 2021," jelasnya.
23 Nov 20
732
Sidang DUN : UC TATI Cadang Buka Kampus Di Kuala Terengganu
Sidang DUN : UC TATI Cadang Buka Kampus Di Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kolej Universiti TATI (UC TATI) merancang untuk membuka kampus baharu di Kuala Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, UC TATI sekarang ini sedang berusaha untuk mewujudkan kampus yang menawarkan kursus bersesuaian dengan persekitaran bandar raya ini. “Perancangan tersebut merupakan salah satu usaha untuk menambah bilangan pelajar dan berdikari dari segi sumber kewangan di mana ketika ini UC TATI masih bergantung kepada sumber kewangan kerajaan negeri,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Hilmi Harun (PAS-Manir) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini. Satiful berkata, UC TATI juga giat mengadakan kempen dan promosi secara atas talian dan turun padang untuk menarik lebih ramai pelajar menyambung pengajian di kolej universiti tersebut. “Seperti universiti-universiti teknikal lain, masalah kekurangan pelajar antaranya disebabkan pelajar lepasan SPM khususnya tidak berminat untuk memilih jurusan membabitkan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM),” ujarnya. Justeru katanya, pelbagai usaha dirancang oleh pentadbiran UC TATI antaranya akan menambah kursus diploma atau ijazah yang menjadi keperluan dan diminati pelajar. Sementara itu katanya, sekiranya mampu menarik 3,000 pelajar UC TATI mampu berdikari dan tidak lagi bergantung kepada kerajaan negeri. “Kapasiti pelajar di kampus sedia ada adalah sebanyak 3,500 hingga 5,000 pelajar. Sekarang ini, kita mempunyai seramai 1,305 pelajar dan sedang berusaha untuk menambah bilangan  pelajar dari semasa ke semasa,” ujarnya.  
23 Nov 20
720
Belanjawan 2021: Tabung Perumahan, RM50 Juta Disediakan
Belanjawan 2021: Tabung Perumahan, RM50 Juta Disediakan
KUALA TERENGGANU, 23 November - Dalam menjamin kesejahteraan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) di Terengganu, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif mewujudkan Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu bermula tahun hadapan. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif tersebut merupakan salah satu manifesto kerajaan negeri yang bertujuan untuk membantu rakyat membina rumah atas tanah sendiri dengan lebih mudah. "Bagi menjayakan tabung pinjaman ini dan merealisasikan manifesto Kerajaan Negeri, sebanyak RM50 juta akan diperuntukkan," katanya ketika berucap membentang Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Tambahnya, Terengganu turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan tiga projek perumahan baharu melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) iaitu Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Gasing, Marang, PPR Bukit Puteri, Besut dan Projek Program Pemajuan Kawasan di Mak Kemas, Marang melibatkan kos sebanyak RM166.5 juta. Dalam usaha mencapai sasaran 20,000 Rumah Mampu Milik (RMM) di Terengganu, kerajaan negeri juga berusaha menyediakan lebih banyak Rumah Darul Iman (RAHMAN) untuk golongan B40 melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) selain Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS) bagi membaik pulih rumah yang mengalami kerosakan di seluruh DUN Negeri Terengganu.  
23 Nov 20
2930
Belanjawan 2021 : Pusat Terapi Autisme Dibina
Belanjawan 2021 : Pusat Terapi Autisme Dibina
KUALA TERENGGANU, 23 November - Terengganu bakal memiliki Pusat Rawatan dan Terapi Austisme sendiri selepas kerajaan negeri bersetuju meluluskan pembinaannya. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pusat ‘Baitul Ummi’ dan ‘Raudhatul Jannah’ juga akan dibina dengan peruntukan RM1.4 juta. "Kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah pusat jagaan harian warga emas Baitul Ummi, khusus untuk golongan wanita di Kuala Terengganu dan menubuhkan Terengganu Autism Care and Therapy Centre (TACTC). "Kerajaan Negeri juga akan memulakan operasi Raudhatul Jannah, bagi melindungi golongan wanita dan kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi rumah tangga," katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, bagi memastikan institusi keluarga di Terengganu terjamin pula, kerajaan negeri memberi perhatian penuh kepada Program Pemutihan 4P (Perintah Pengesahan dan Pendaftaran Perkahwinan). "Sebanyak RM145 ribu diperuntukkan untuk program pemutihan status perkahwinan rakyat Terengganu. "Selain itu, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM200 ribu untuk pembukaan tiga buah taska baharu di premis jabatan seluruh negeri Terengganu," jelasnya.
23 Nov 20
1148
Sidang DUN : PEUTER Jadi Pemudahcara
Sidang DUN : PEUTER Jadi Pemudahcara
KUALA TERENGGANU, 23 November - Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) bertekad untuk menjadi peneraju utama bagi memudahcara antara agensi berkaitan dengan para usahawan dalam usaha membangunkan usahawan negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sejak ditubuhkan 23 April 2014, sebanyak 39 agensi keusahawanan pusat dan negeri telah menganggotai PEUTER. “PEUTER dibawah kelolaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu berperanan untuk menyelaras dan mengumpul maklumat berkait aktiviti keusahawan yang dilaksanakan khusus di negeri ini terutamanya membabitkan pembiayaan, geran perniagaan, latihan dan promosi,” ujarnya.  Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) mengenai objektif penubuhan PEUTER dan pencapaian sejak ianya ditubuhkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Katanya, antara pencapaian PEUTER bagi tahun ini iaitu sehingga 31 Oktober lalu, seramai 12,304 usahawan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) menikmati pembiayaan berjumlah RM130,783,494 yang diperuntukkan oleh agensi berkaitan di bawah PEUTER.  “Manakala, 713 PKS memperoleh geran berjumlah RM3,326,151 sementara untuk latihan pula sebanyak 123 program melibatkan 4,363 usahawan dan promosi 43 program dengan 6,697 usahawan,” ujarnya. Sementara itu katanya, dalam usaha membantu usahawan PKS yang terjejas ekoran COVID-19, Bantuan Pembiayaan COVID-19 berjumlah RM4.3 juta dikeluarkan kepada 327 usahawan. “YPU juga turut memberi insentif menerusi pengecualian sewa kepada lebih 100 penyewa premis yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000 dalam tempoh April hingga Mei 2020,” ujarnya.  
23 Nov 20
583