lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Belanjawan 2021 : RM42.8 Juta Untuk Tabung Pendidikan
Belanjawan 2021 : RM42.8 Juta Untuk Tabung Pendidikan
KUALA TERENGGANU, 23 November – Kerajaan negeri memperuntukkan RM42.8 juta untuk Tabung Pendidikan Terengganu Sejahtera dalam usaha memastikan Terengganu terus unggul dalam bidang akademik. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dana tersebut meliputi biasiswa kepada pelajar cemerlang di beberapa peringkat pengajian. "Kerajaan negeri akan meneruskan pemberian biasiswa dan pinjaman di bawah Yayasan Terengganu melalui Tabung Pendidikan Terengganu Sejahtera dengan peruntukan sebanyak RM42.8 juta. "Merangkumi Biasiswa Pelajar Cemerlang Ijazah Pertama, Sarjana dan PhD; Kursus Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Sijil Pentauliahan Penjaga Jentera Elektrik (Chargeman), Pinjaman Tabung Siswa Terengganu dan Pinjaman Latihan Kemahiran," katanya Ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk Program Kecemerlangan Pendidikan bagi membantu pelajar-pelajar yang menghadapi peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan STPM. "Tambahan pula, sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi bantuan per kapita sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan pusat pendidikan agama yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). "Bagi memberi motivasi kepada para pelajar sekolah untuk mempunyai semangat dan cita-cita untuk menyambung pelajaran ke peringkat menara gading, kerajaan negeri akan melaksanakan program dan latihan seperti Lambaian Menara Gading, Teknik Pembelajaran, Seminar Kepimpinan, Latihan Kerohanian dan Kecergasan serta motivasi dengan peruntukan sebanyak RM600 ribu," jelasnya. Ahmad Samsuri turut memaklumkan, bagi memperkasakan institusi pendidikan dengan pelaksanaan pembelajaran berkualiti, pengupayaan warga pendidik dan pentadbir berprestasi tinggi, penyediaan infrastruktur yang lengkap, pembentukan persekitaran islamik, serta penglibatan awam dan swasta, kerajaan negeri akan melancarkan Pelan Kecemerlangan Pendidikan Terengganu 2021-2025.
24 Nov 20
638
Sidang DUN: Pelaksanaan PITAS 2030  Beri Impak Positif
Sidang DUN: Pelaksanaan PITAS 2030  Beri Impak Positif
  KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri komited dalam melaksanakan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 yang  memberi impak positif kepada rakyat Terengganu yang terjejas akibat Covid-19.  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengajian Tinggi negeri, Dr Alias Razak berkata, dalam menghadapi penularan wabak Covid-19, pihaknya sentiasa peka dalam menyelesaikan masalah rakyat. "Dasar ini turut memberi kesan jangka pendek dalam sosio-ekonomi negeri Terengganu.   "Sebagai contoh, sektor pertanian Terengganu merekodkan pertumbuhan 5.8 peratus sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri apabila mencatat 3.3 peratus pada 2019 berbanding -2.5 peratus pada 2018.  "Dalam sektor pelancongan pula,  PITAS 2030 merangka program Community Based Tourism (CBT) yang memberi pulangan secara terus kepada rakyat daripada aktiviti dan produk pelancongan. "Ia terbukti menguntungkan komuniti apabila kedatangan pelancong ke Terengganu meningkat naik sebanyak 146 peratus semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soal lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas(Bajet), hari ini. Tambah beliau lagi, pengamalan norma baru akibat pandemik Covid-19 telah mempercepatkan era pendigitalan dalam perniagaan. Katanya, antara elemen digital yang telah dilaksanakan adalah e-payment untuk CBT di Pulau Redang.  "Ia memudahkan dan menggalakkan pelancong yang datang untuk berbelanja dan seterusnya ia memberi pulangan kepada komuniti," ujarnya.
24 Nov 20
332
Tambah Kerusi DUN Ikut Jumlah Pengundi
Tambah Kerusi DUN Ikut Jumlah Pengundi
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa agar menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu mengikut jumlah pengundi. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Haji Yahaya Ali berkata, sudah tiba masanya bagi negeri itu untuk menerima hak yang sepatutnya. "Saya berpendapat sudah sampai masanya kajian dan usaha-usaha yang lebih bersungguh-sungguh perlu dibuat untuk menambah kerusi DUN. "Supaya mengikut demografi penduduk dan kemudahan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertugas mengikut jumlah pengundi yang munasabah dan lain-lain prinsip yang disyorkan oleh pihak SPR," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pembukaan Persidangan Mesyuarat Kali Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 14 di U2, Wisma Darul Iman, semalam. Menurutnya, kedudukan kerusi yang ada dalam DUN Terengganu iaitu sebanyak 32 dan penambahan satu kerusi iaitu ADUN Wanita yang dilantik. "Tambahan kerusi kepada DUN kita yang terakhir berlaku pada tahun 1984 iaitu 36 tahun yang lalu dan tiada lagi pertambahan kerusi berlaku selepas itu," jelasnya.
24 Nov 20
1314
Aktiviti Agama, Kemasyarakatan Dibenar Berjalan Semula
Aktiviti Agama, Kemasyarakatan Dibenar Berjalan Semula
KUALA TERENGGANU, 24 November - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan berjalan di masjid dan surau di negeri ini berkuatkusa serta merta. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda berkata, kebenaran itu adalah selaras dengan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Terengganu pada 21 November lalu. "Semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid dan surau dibenarkan serta merta. "Berkaitan had umur minima yang dibenarkan menunaikan solat jemaah di masjid dan surau diturunkan kepada 12 daripada 15 tahun sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. Osman Muda. Menurutnya lagi, jawatankuasa masjid dan surau dikehendaki memastikan ahli Jemaah yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa.   "Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengharapkan agar semua pihak termasuk rakyat jelata mematuhi segala arahan dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa," tambah beliau.
24 Nov 20
1066
'Kali Pertama Dipindahkan Undang Berbagai Rasa'
'Kali Pertama Dipindahkan Undang Berbagai Rasa'
KUALA TERENGGANU, 24 November – Penempatan seramai 10 buah keluarga yang berjumlah 25 orang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering mendapat reaksi yang pelbagai. Namun,rata-rata daripada mangsa yang ditempatkan di PPS tersebut bersyukur dan berterima kasih atas kemudahan asas yang disediakan oleh pihak berkuasa. Seorang mangsa yang tinggal di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai, Maimun Ali, 53 mengatakan perasaannya bercampur baur kerana ini merupakan pengalaman yang pertama kali beliau rasai. “Rasa teruja ada dan rasa bimbang juga ada kerana kita bimbang dengan keselamatan rumah. “Tapi, alhamdulillah barang-barang di rumah semua telah diangkat ke tingkat atas dan saudara yang terdekat ada untuk menjaga rumah tersebut,” katanya. Manakala bagi Tuan Kalsum Abu Bakar, 70 merasa bimbang akan keselamatan keluarga dan rumah yang diitinggalkan. “Di rumah ada cucu yang tidak berpindah ke sini kerana ingin menjaga rumah dan ada yang tumpang tinggal di rumah saudara yang berdekatan," katanya ketika di temu bual oleh wartawan. Turut memeberikan respon sama sepasang suami isteri Mohd Harun Awang, 70 dan Ngah Ali, 74 yang berkongsi pengalaman diselamatkan oleh pihak bomba menaiki bot penyelamat. Sementara itu, pengamal perubatan, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah telah datang ke PPS tersebut bagi menemui mangsa banjir di situ. Beliau yang juga isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, turut menghulurkan sumbangan berupa bekalan makanan dan pakaian kepada mangsa. 
24 Nov 20
336
Sidang DUN: Wujud 'Task Force' Bagi Pemutihan Lot Industri
Sidang DUN: Wujud 'Task Force' Bagi Pemutihan Lot Industri
KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri telah bersetuju melaksanakan proses pemutihan atau pelucutan hak terhadap lot-lot industri yang tidak dibangunkan, terbiar dan melanggar syarat di kawasan perindustrian yang diberi milik di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, bagi menjalankan tindakan pemutihan tersebut, kerajaan negeri akan mewujudkan satu Jawatankuasa 'Task Force' untuk memantau dan mengemaskini maklumat dan data-data serta proses tindakan pelucutan hak. Katanya, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh Pengarah Tanah dan Galian Terengganu sebagai Pengerusi, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri,  Pengarah PLAN Malaysia, semua Pentadbir Tanah dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan.  “Di peringkat Jawatankuasa Task Force, proses pemutihan ini  melibatkan situasi pelanggaran syarat nyata tanah setelah pemberi milikan yang sepatutnya dibangunkan dalam tempoh ditetapkan. “Ini termasuk pelucutan hak disebabkan oleh tunggakkan sewa atau cukai tanah yang membolehkan Pentadbiran Tanah Daerah untuk memulakan prosiding bagi tujuan pelucutan hak tanah tersebut. Ini adalah selaras dengan peruntukan undang-undang melalui Kanun Tanah Negara (KTN) (Akta 56/1965) Seksyen 127 iaitu tanggungan untuk pelucuthakan kerana pelanggaran syarat dan Seksyen 100 pelucuthakan kerana tunggakan sewa atau cukai tanah,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas(Bajet) hari ini. Tambahnya lagi, fungsi dan peranan Jawatankuasa Task Force ini juga memantau dan mengemaskini maklumat dan cita-cita industri yang bermasalah di semua kawasan perindustrian negeri Terengganu termasuk mengkaji dan menentukan keadaan pelucutan hak mengikut perundangan yang berkuatkuasa. “Mereka juga akan melaksanakan tindakan perlucutan hak ke atas lot-lot industri yang tidak dibangunkan, tidak menjelaskan bayaran premium dan sebab sebab lain yang membolehkan pelucutan hak tanah. “Di samping itu, Jawatankuasa Task Force ini juga telah mengenal pasti lot-lot industri dan telah meneliti situasi pembangunan dan pengoperasian kilang-kilang  oleh syarikat-syarikat yang telah diluluskan pemberi milikan sama ada aktif atau tidak aktif di semua daerah,”ujarnya.  
24 Nov 20
459
Sidang DUN : GLC Perkasa Industri Pertanian
Sidang DUN : GLC Perkasa Industri Pertanian
KUALA TERENGGANU, 24 November – Kerajaan negeri sentiasa melibatkan beberapa Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Terengganu Agrotech Development Corp Sdn. Bhd. Syarikat (TADC), Ladang Rakyat dan Kumpulan TDM Berhad dalam mempergiatkan lagi sektor serta infrastruktur pertanian. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, TADC sedang giat mengoptimumkan penggunaan aset-aset seperti Reban Ayam Tertutup Bukit Lawang, Setiu, dan Projek Pilot Contract Farming Penanaman Rumput Napier. “Sebagai contoh, hasil kerjasama TADC dengan pengusaha ayam kampong MARDI pula sehingga dari Ogos sehingga kini, sebanyak 12,000 ekor ayam telah mula diternak untuk dijadikan baka bagi tujuan penetasan. “Selain itu, TADC turut memajukan pusat pembenihan ikan di Setiu dan pilot projek kontrak penanaman napier dua ekar dimana hasil pertama sebanyak 5.8 tan yang bernilai RM1200 dengan harga RM200 per metrik tan dijual boleh menjana sumber pendapatan tambahan dengan penjagaan minima. “GLC tersebut turut berperanan menyelesaikan isu pemasaran hasil pertanian ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pembukaan pasar borong di Telaga Papan, katanya ketika sesi soalan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini,” katanya. Menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Dr Azman berkata, TDM pula terlibat dalam penanaman nenas MD2 sebanyak 500,000 pokok yang ditanam secara integrasi dengan ladang sawit belum matang di Jerangau. “Ladang rakyat turut telibat dengan penternakan lembu baka Kedah Kelantan dalam lingkungan 2,000 ekor. “Insya-Allah dengan peranan GLC Terengganu tersebut merealisasikan pelan besar bagi menjadikan Terengganu sebuah negeri pengeluar makanan,” katanya lagi.
24 Nov 20
407
Sidang DUN : Etika Pemakaian Patuh Syariah Perlu Diperkasa – Zuraida
Sidang DUN : Etika Pemakaian Patuh Syariah Perlu Diperkasa – Zuraida
KUALA TERENGGANU, 24 November – Kerajaan negeri digesa supaya memperkasakan etika pemakaian patuh syariah dalam kalangan penduduk di negeri ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, satu program  perlu dirangka selari dengan peruntukkan RM 3.75 juta untuk Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) dan Modul Itqan Itsani, iaitu dengan pemerkasaan etika pakaian patuh syariah. Menurut Zuraida lagi, hal itu penting kerana tuntutan menutup aurat dengan sempurna sama ada kepada kaum lelaki atau wanita merupakan kewajipan bagi setiap muslim seperti yang disebut dengan jelas dalam surah An Nur ayat 31 dan surah Al Ahzab ayat 59.  “Lebih manis lagi sekiranya lambang ataupun syiar Islam ini bermula dengan  kakitangan Wisma Darul Iman yang menjadi pusat pentadbiran utama kerajaan negeri Terengganu. “Termasuklah sektor perhotelan, pelancongan, perniagaan dan sukan dengan menambah baik peraturan berpakaian yang selari dengan syariat. “Hal ini penting untuk mempamerkan imej Islam di negeri Terengganu. Selari dengan usaha ini, pengaruh budaya luar yang negatif kepada penduduk setempat terutamanya di kawasan tumpuan pelancong dapat dibendung,” ujarnya. Zuraida berkata demikian semasa membahas Belanjawan 2021 Negeri Terengganu di Dewan Undangan Negeri Terengganu, pagi tadi. Beliau juga berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk mengislahkan Terengganu dengan lebih serius dengan pemerintahan negeri maju, berkat dan sejahtera. “Dalam Belanjawan 2021, Teras yang pertama adalah untuk meneguhkan pelaksanaan agenda Islam. Jelas bahawa kerajaan terus komited dalam menjadikan Terengganu sebagai ikon pentadbiran Islam dan terus menarik perhatian negeri lain sebagai model terbaik dalam menerajui sebuah kerajaan. “Justeru, saya memohon supaya diadakan satu kempen menyeluruh dan berterusan berkaitan pemakaian yang patuh syariah dalam kalangan kakitangan awam dan swasta di seluruh negeri Terengganu,” tambahnya.
24 Nov 20
906
Banjir Di Terengganu, 192 Mangsa Dipindahkan
Banjir Di Terengganu, 192 Mangsa Dipindahkan
KUALA TERENGGANU, 24 November - Seramai 192 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu apabila tiga daerah di negeri ini dilanda banjir berikutan hujan lebat malam tadi. Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sehingga jam 8 pagi ini, empat PPS telah diaktifkan bagi menempatkan 57 keluarga dari daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun. “Daerah Kuala Nerus merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 151 orang daripada 46 keluarga yang kini ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan Balai Raya Alor Damat. “Di daerah Kuala Terengganu pula, seramai 15 mangsa melibatkan lima keluarga telah dipindahkan ke SK Chendering, sementara seramai 22 mangsa daripada enam keluarga telah ditempatkan di PPS Dewan Sivik Seberang Pintasan, Dungun,” ujarnya. Menurut beliau, kesemua mangsa mula dipindahkan secara berperingkat sejak malam tadi susulan hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan kediaman mereka dinaiki air. “Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) sentiasa bersiap siaga termasuk melakukan pemantauan dari semasa ke samasa terutamanya di kawasan berisiko,” ujarnya.  
24 Nov 20
925
Sidang DUN: Kampung Budaya Terima 24,753 Pengunjung
Sidang DUN: Kampung Budaya Terima 24,753 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 24 November - Kampung Budaya Terengganu berjaya merekodkan 24,753 kehadiran  pengunjung sejak dibuka 4 September tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata ia merupakan produk baharu pelancongan negeri menerima impak yang besar dengan kehadiran pelancong dan pengunjung ke negeri Terengganu. "Selain daripada itu juga, Kampung Budaya Terengganu juga turut memberikan impak kepada produk pelancongan negeri yang sedia ada seperti Muzium Negeri Terengganu dan Taman Tamadun Islam. "Ini kita dapat lihat dengan pertambahan pengunjung ke dua-dua lokasi berkenaan," ujarnya. Beliau berkata ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Tambah beliau, kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri telah memberikan peluang penjanaan ekonomi setempat. "Pengusaha pengusaha Industri Kecil Sedehana (IKS). Batik, Songket dan pengusaha makanan dan penduduk sekitarnya turut menerima tempias dengan kehadiran mereka,"katanya.
24 Nov 20
661