Artikel "Utama" Terkini
Belanjawan 2021: Ambil Kira Keperluan Rakyat
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 25 November - Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Besar ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 sudah tentu mengambil kira keperluan rakyat negeri ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, bajet itu akan membantu menjana semula ekonomi dan pendapatan masyarakat yang terjejas akibat virus maut..
"Saya yakin pembentangan bajet kali pertama dalam suasana cabaran COVID-19 ini sudah tentu akan mengambil kira soal kesejahteraan rakyat.
"Terutama menjana semula ekonomi dan pendapatan rakyat yang terjejas akibat COVID-19," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa pembukaan Persidangan Mesyuarat Kali Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 14 di U2, Wisma Darul Iman, pada kelmarin.
Menurutnya, penyesuaian dengan norma baharu dalam menguruskan kepentingan ekonomi rakyat seperti 'gig economy' dan pemerkasaan 'upskill' dan 'reskill' kepada golongan sasar sudah tentu dalam pertimbangan kerajaan.
Dalam pada itu menurutnya, pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kini sedang mengumpul dokumen lama bagi menerbitkan buku 'Sejarah Dewan Undangan Negeri Terengganu' yang ditubuhkan sejak tahun 1959 hingga sekarang.
"Saya berharap buku ini boleh dilancarkan pada tahun hadapan, insya-Allah," jelasnya.
Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar meletakkan setinggi-tinggi kebergantungan kepada Allah S.W.T dengan doa dan penuh kerendahan diri kepadaNya.
"Semoga negara dan negeri kita dibebaskan dari ujian COVID-19 ini dan perjalanan hidup kita termasuk ekonomi, pulih seperti sediakala, bahkan lebih maju selepas ini, Insya-Allah," ujar Dato' Yahaya.
25 Nov 20
215
TDM Untung RM27.7 Juta Bagi Suku Ketiga
KUALA TERENGGANU, 25 November - Anak syarikat milik kerajaan negeri, TDM Berhad (TDM) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM27.7 juta pada untuk suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2020.
Pengerusi TDM Berhad, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, ia menunjukkan peningkatan lebih dari 100 peratus berbanding suku ketiga tahun lalu.
Katanya, ia telah disumbangkan oleh bahagian perladangan dengan jumlah tanaman yang lebih tinggi dan harga CPO purata yang lebih baik.
“Pendapatan Kumpulan juga telah meningkat lebih tinggi sebanyak 15 peratus iaitu RM121.4 juta berbanding suku sebelumnya. Pada suku tersebut, pembelian tandan buah kelapa sawit luar meningkat kepada 62 peratus berbanding suku tahun lalu dan ini telah membantu meningkatkan jumlah CPO serta kadar penggunaan kilang.
“Perniagaan bahagian perladangan TDM di Malaysia mencatatkan EBITDA sebanyak RM38 juta pada suku tersebut, berbanding RM12.5 juta pada suku yang sama tahun lalu.
“Pengambilalihan TDM-YT Plantation Sdn Bhd (TDM-YT) telah menyumbang kepada peningkatan jumlah penjualan CPO dan PK pada suku tersebut. Pihak pengurusan telah mengenal pasti Pelan Penciptaan Nilai untuk TDM-YT dan kini melaksanakan rancangan untuk meningkatkan prestasi ladang tersebut. Pengambilalihan ini telah memberi sumbangan positif kepada prestasi TDM,” kata Raja Dato’ Idris dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, bahagian penjagaan kesihatan pula semakin pulih daripada kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac 2020.
Ia dibuktikan dengan pendapatan RM49.9 juta atau lebih rendah sebanyak 15 peratus berbanding suku sebelumnya.
“Pada suku ketiga, bahagian ini mencatat EBITDA yang lebih rendah sebanyak RM7.6 juta, berbanding EBITDA sebanyak RM8.6 juta pada suku yang sama tahun lalu.
“Walaupun bahagian ini mencatatkan pendapatan yang lebih rendah sebanyak 15 peratus berbanding suku sebelumnya, TDM didorong dengan pemulihan yang baik berbanding suku kedua 2020, di mana jumlah pesakit dalam dan luar berbanding suku kedua 2020 meningkat masing-masing sebanyak 65 peratus dan 28 peratus,” katanya lagi.
Justeru itu, Raja Dato’ Idris berkata, TDM akan tetap fokus dalam meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan kos pengeluaran untuk perniagaan bahagian Perladangan.
“Pengambilalihan TDM-YT baru-baru ini adalah salah satu inisiatif utama dalam usaha syarikat untuk meningkatkan pengeluaran dan meningkatkan profil usia keseluruhan Kumpulan.
“Kami telah merumuskan beberapa strategi bagi mengatasi cabaran melalui pelan kesinambungan perniagaan dan pemulihan perniagaan. Secara keseluruhannya, TDM tetap optimis bagi mencapai prestasi operasi yang memuaskan pada tahun kewangan semasa," ujar beliau.
25 Nov 20
2995
Sidang DUN : Cipta Program, Tarik Remaja Imarah Masjid
KUALA TERENGGANU, 25 November - Golongan pendakwah dan agensi berkaitan perlu mengadakan program yang mampu menarik anak muda untuk mengimarahkan masjid dan surau.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pengurus dakwah seperti ahli jawatankuasa serta pegawai masjid perlu memiliki pemikiran kreatif dan semangat yang kuat dalam mendekati golongan muda.
“Peranan pejabat agama dan agensi berkaitan juga penting untuk menaikkan semangat dan minat jawatankuasa serta pegawai masjid bagi mengadakan dan menyusun program yang mampu menarik anak muda ke masjid.
“Kita juga menggalakkan agensi yang ada hubungan dengan belia dan beliawanis seperti NGO Belia, Urusetia Belia dan Sukan, Urusetia Wanita dan Beliawanis mengadakan program di masjid untuk mendekatkan anak muda dengan masjid.
“Pendekatan kesedaran yang ditonjolkan semua pihak sedikit sebanyak membantu kerajaan dalam memastikan insitusi masjid dan surau diimarahkan terutama sekali daripada golongan muda,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-14, hari ini.
Katanya, setiap muslim mesti memiliki rasa tanggungjawab untuk melaksanakan dakwah di mana-mana sahaja sama ada berada dalam mana-mana agensi yang berkaitan dakwah ataupun luar bidang dakwah.
25 Nov 20
183
657 Penduduk Terjejas Banjir Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 November - Terengganu mencatatkan 657 penduduk terjejas banjir melibatkan 23 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan, fasa kedua pengurusan banjir sehingga pagi Rabu merekodkan tujuh daerah terkesan kecuali di Hulu Terengganu.
"Besut dan Kemaman hanya dibuka satu PPS manakala di Dungun paling terkesan merekodkan tujuh PPS melibatkan 34 keluarga dan 131 penduduk terjejas dipindahkan.
"Walaubagaimanapun, analisa berdasarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) jika berlaku pengurangan kadar hujan kebarangkalian PPS untuk ditutup tetapi hanya satu atau dua.
"Jika didapati hujan berterusan mungkin akan berlaku kenaikan tapi tidak mendadak," Katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau PPS di Sekolah Kebangsaan Atas Tol, Marang di sini hari ini.
Mengulas tentang cabaran norma baru dalam pengurusan PPS, perkara tersebut telah dijangka hasil latihan 'table talk' pada awal oktober lalu.
Katanya, salah satu cabaran Prosedur Operasi Standard (SOP) iaitu penjarakan lebih dua meter antara khemah.
"Bilangan keluarga tidak begitu besar dan penambahan kelas terpaksa dibuka kerana perlu dijarakkan. Contohnya, pada tahun lepas di SK Atas Tol hanya tingkat bawah digunakan manakala tahun ini tingkat dua dan tiga.
"Cabaran seterusnya, PPS seperti di sekolah dan balai raya memerlukan semua kemasukan melalui pintu masuk pertama dimana petugas akan melakukan saringan suhu dan mengikuti SOP ditetapkan.
"Walau bagaimanapun, bila hujan berterusan cabaran kepada petugas terpaksa hadapi hujan, namun begitu pihak sekretariat memikirkan penambahbaikan seperti khemah dan keperluan lain," katanya.
25 Nov 20
464
Belanjawan, Tangani Masalah Pengangguran Belia
KUALA TERENGGANU, 24 November – Belanjawan 2021 Terengganu yang diluluskan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diyakini mampu menangani masalah pengangguran belia.
Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Mohd Nasir Abdul Razak berkata, wabak COVID-19 telah mengakibatkan ramai rakyat terutamanya golongan muda terjejas.
Justeru katanya, ia memerlukan beberapa langkah proaktif daripada kerajaan negeri bagi mengurangkan beban yang ditanggung mereka.
“Alhamdulillah, beberapa inisiatif latihan kemahiran bakal mencetuskan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Kita mengharapkan peruntukkan sejumlah RM7.52 juta dengan lapan inisiatif untuk latihan kemahiran dan peluang pekerjaan dapat memberikan impak kepada anak muda Terengganu.
“Di samping peruntukkan bagi golongan usahawan serta petani yang cukup bermakna,” katanya Ketika dihubungi media hari ini.
Mohd Nasir.
Dalam perkembangan sama, beliau gembira dengan pengumuman Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri berkenaan dua lagi manifesto yang akan dilaksanakan pada 2021.
“Dua lagi manifesto akan dijayakan tahun depan, iaitu Pencen Rakyat untuk warga emas sebanyak RM600 setahun dan juga Tabung Perumahan Rakyat Terengganu sebanyak RM50 juta.
“Ini menjadikan 17 daripada 20 manifesto PAS Terengganu telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam masa hampir tiga tahun.
“Bahkan kerajaan negeri juga telah meneruskan peruntukan khas kepada ADUN Bukan Kerajaan sebanyak RM 250 ribu bagi seorang ADUN. Inilah bukti permuafakatan antara PAS dan UMNO di Terengganu,” tambah beliau.
25 Nov 20
192
ADUN Telemong Cadang Dr Azman Diberi Anugerah 'Hero Pertanian'
KUALA TERENGGANU, 25 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato’ Rozi Mamat mencadangkan supaya Dr Azman Ibrahim dianugerahkan ‘Hero Pertanian’.
ADUN daripada UMNO itu berkata, kecaknaan dan kerja kuat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri itu wajar dipuji.
“Sepatutnya usaha dan kerja kuat sebegini diberi anugerah ‘Hero Pertanian’, ‘The Hero Agriculture Terengganu,” katanya ketika sesi soalan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-14 hari ini.
Dr Azman.
Rozi ketika sesi itu turut mengemukakan cadangan supaya diwujudkan satu pusat pengumpulan hasil pertanian di Hulu Terengganu.
“Ini bagi memudahkan para petani, kerana sebelum ini hasil tani dihantar ke Setiu, memberi sedikit kesukaran kepada mereka kerana jarak yang jauh,” katanya.
Cadangan tersebut kemudiannya dipersetujui oleh Dr Azman.
“Insya-Allah saya luluskan dengan segera pusat pengumpulan di Hulu Terengganu,” jelas Dr Azman
25 Nov 20
4525
SMK Kuala Besut Juara Dunia KWN Global Summit 2020
BESUT, 25 November – Lima pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut (SMKKB) Terengganu telah berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di persada global apabila menjadi johan antarabangsa dalam pertandingan Kid Witness News (KWN) Global Summit 2020.
Pertandingan peringkat akhir telah berlangsung secara atas talian dengan hanya tiga buah negara terpilih iaitu negara tuan rumah Jepun, Vietnam dan SMKKB yang mewakili Malaysia.
Program anjuran Panasonic tersebut sepatutnya dilangsungkan di Osaka, Jepun, tetapi diadakan secara alam maya akibat pandemik COVID-19. Pada peringkat awal, sebanyak 150 video telah dihantar daripada peserta di serata dunia.
Ketua Unit Inovasi SMKKB Faizul Abd Rahman berkata, dalam pertandingan akhir yang berlangsung pada Isnin baru-baru ini, pihaknya menampilkan lima peserta terdiri daripada tiga pelajar tingkatan lima dan dua pelajar tingkatan dua mewakili sekolah tersebut.
“Pelajar-pelajar tersebut ialah Muhammad Afiq Muhammad Ridzuan, 17, Umar Hamzah, 17, Mohamad Aqif Azfar Mohamad Azhar, 14, Mohamad Aqib Azfar Mohamad Azhar, 14, dan Nik Muhammad Izzul Iman Nik Mawardi, 17, manakala Mohd Masrur Afdie Matzuki, 17, menjadi pelakon utama dalam video pendek tersebut.
“Menerusi pertandingan itu, SMKKB atau lebih dikenali KuBEST mencipta video pendek yang berjudul "Mark Roso: The Island Boy", yang mengisahkan kehidupan seorang pelajar yang membantu mencari sumber ekonomi keluarganya dengan bekerja sebagai pemandu bot di Pulau Perhentian pada hujung minggu dan cuti sekolah.
Mengulas lanjut, Faizul memaklumkan, beliau selaku ketua unit dibantu oleh empat guru lain iaitu Azriwati Shadzul Bakri , Wan Zul Asri, Rohaya Husin dan Zurawati Abu Bakar.
“Memang terbaik, sebuah sekolah harian biasa di perkampungan nelayan sememangnya hebat dan berbakat luar biasa dan mendapat sokongan penuh guru-guru, Jabatan Pendidikan Daerah Besut dan pemimpin tempatan dalam usaha merealisasikan impian agar sentiasa hebat dalam kurikulum dan juga kokurikulum.
Pertandingan selama enam jam sejak jam 9 pagi berlangsung di sekolah itu dan hanya disaksikan oleh sebahagian guru-guru yang berkaitan sahaja kerana mengikut SOP.
Untuk rekod, sekolah tersebut pernah dinobatkan sebagai juara dunia dalam pertandingan Kempen Kesedaran Nuklear “Third International Conference on Human Resource Development for Nuclear Power Programmes: Meeting Challenges to Ensure the Future Nuclear Workforce Capability” yang berlangsung di Korea Selatan, pada 2018.- KitaReporters
25 Nov 20
1147
Jalan Kampung Buluh Ke Kampung Dusun Ditutup
HULU TERENGGANU, 24 November - Laluan T 174 Jalan Kampung (Kg) Buluh - Pasir Nering - Dusun di Kilometer (KM) 4.0 sehingga KM 4.1 ditutup kepada semua lalu lintas akibat mendapan jalan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah, Alif Zuwairi Baharuddin berkata, penutupan itu melibatkan laluan sepanjang 100 meter bermula pada hari ini dan akan dibuka semula pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.
"Sehubungan dengan itu, papan tanda lalu lintas akan dipasang di tapak untuk panduan pengguna jalan raya mematuhi tanda arah dan papan tanda keselamatan yang disediakan.
"Kerjasama sepenuhnya daripada semua pengguna jalan raya amat diharapkan," ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Jelasnya, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif T134 Jalan Gaung - Jenagor untuk ke Kg. Pasir Nering dan Kg Dusun.
Untuk maklumat lanjut, boleh berhubung dengan pejabat JKR Daerah Hulu Terengganu, di talian 09-6811900 atau faks 09-6811896.
24 Nov 20
4964
Sidang DUN : Langkah Efektif Selesai Serangan Gajah
KUALA TERENGGANU, 25 November – Kerajaan negeri memandang serius dan akan mengambil beberapa langkah bagi menyelesaikan masalah serangan gajah liar ke atas kebun para petani.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri melalui Tabung Amanah Hidupan Liar dengan kerjasama Jabatan Perhilitan Negeri menangani ancaman gajah melalui tembakan dan lampu LED.
“Selain itu, sistem pagar elektrik gajah komuniti (SPEGKOM) turut diwujudkan sepanjang 33KM di seluruh Terengganu
“Tiga Sistem Pagar Elektrik Gajah Komuniti (SPEGKOM) Kekal di Kampung Pelong, Setiu (33 km), di Kampung Payong hingga Kg. Chalok Barat, Setiu (25 km) dan di Kampung Lawit hingga Kampung Belukar Bukit, Hulu Terengganu (29 km).
“Manakala cadangan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk pembinaan dua SPEGKOM kekal di Kampung Air Putih hingga Kampung Teladas (12 km) dan di Kampung Ban Ho hingga Cerul (15 km).
“Dengan populasi gajah liar sekitar 180 sahaja, usaha tertumpu seperti di Dungun, Hulu Besut, Kemaman dan Setiu iaitu diantara kawasan tumpuan haiwan liar," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim pada Sesi soalan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman, semalam.
Mengulas mengenai hasil pelaksanaan operasi kawalan gajah dan operasi tangkap pindah gajah, Dr Azman memberitahu, hasil 25 operasi dari Januari hingga September 2020, tiga ekor gajah ditangkap di Kemaman, Setiu dan Hulu Terengganu.
“Walau bagaimanapun, tindakan tangkap dan pindah merupakan jalan terakhir kerana kosnya yang tinggi dan mengambil masa yang lama," katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan, Tabung Bencana Pertanian telah disampaikan kepada kepada sembilan pekebun di Kampung Padang Star di Hulu Terengganu pada 2019, manakala tahun 2020 melibatkan bantuan serangan gajah di Setiu.
24 Nov 20
452
Terengganu FC Sah Lepas Semua Pemain Import
KUALA TERENGGANU, 24 November - Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mengesahkan semua lima pemain import pasukan itu musim ini tiada lagi dalam senarai bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata semua pemain terbabit dilepaskan selepas dipanggil berbincang bersama walaupun pasukan masih memerlukan khidmat dua daripada mereka.
"Ya, kita sudah membuat keputusan tidak menyambung kontrak lima pemain import berkenaan bagi menghadapi saingan Liga M dan Piala AFC musim depan. Keputusan ini dibuat selepas perbincangan lanjut dengan pihak pengurusan dan jurulatih.
"Sebab utama kontrak mereka tidak disambung adalah berkaitan dengan perancangan pasukan dan faktor kewangan," katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Sabri berkata pihaknya sebenarnya masih berminat menggunakan khidmat bekas kapten pasukan, Lee Tuck dan pemain tengah, Sanjar Shaakhmedov namun terpaksa dilepaskan akibat kekangan kewangan.
"Musim depan kita menyasarkan penjimatan perbelanjaan antara 20 hingga 30 peratus. Sebab itu kita perlu mengambil pemain berdasarkan kemampuan kewangan kita bagi mengelak masalah lain timbul," katanya.
Dengan perkembangan itu bermakna pemain kelahiran Shaakhmedov dari Uzbekistan dan Babacar Diallo (Senegal) mengikut jejak Tuck (England), Muhammad Faris Ramli (Singapura) dan Dominique Da Sylva (Mauritania) tidak disambung kontrak.
Difahamkan Tuck bakal diikat pasukan Pahang selama dua musim manakala Shaakhmedov pula menerima tawaran daripada kelab di Korea Selatan dan tiga lagi belum dikenalpasti. - Berita Harian.
24 Nov 20
2030