lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Taja 12 Pelajar Lanjut Pengajian Di Jordan
Terengganu Taja 12 Pelajar Lanjut Pengajian Di Jordan
KUALA TERENGGANU, 26 November - Seramai 12 pelajar mendapat penajaan Yayasan Terengganu (YT) berjumlah RM8.4 juta untuk melanjutkan pengajian di Jordan.  Pengarah YT, Ishamudin Hashim memaklumkan, sembilan pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan dua dalam bidang pergigian di Jordan Universiti Of Science Teknologi (JUST). Jelasnya, seorang lagi pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang perbankan Islam di Universiti Yarmouk, Jordan.  "Sembilan pelajar dalam bidang perubatan akan mengikuti pengajian enam tahun, dua lagi pelajar dalam bidang pergigian akan menamatkan tempoh pengajian dalam tempoh lima tahun, manakala pelajar dalam bidang perbankan Islam selama empat tahun," ujarnya. Ishamudin berkata demikian pada sidang media di pejabatnya, hari ini. Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pendidikan) YT, Dr Hashim Azmi Che Noh.  Tambah Ishamudin, kesemua pelajar berkenaan sudah berlepas ke Jordan Selasa lalu. Mengulas lanjut, beliau berkata, penghantaran 12 pelajar ke Jordan adalah sebahagian penajaan di bawah Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang peringkat persediaan serta ijazah pertama dalam dan luar negara yang diperuntukkan kerajaan negeri sebanyak RM10 juta tahun ini.  "Tahun lalu, YT menaja seramai 13 pelajar ke Jordan bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Perubatan, Perbankan Islam dan Pengajian Islam. "Tiga lagi pelajar mendapat penajaan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pergigian di Mesir dan semua pelajar itu kini berada di tahun kedua," jelasnya.
26 Nov 20
848
Golden Pharos Terengganu Menang Anugerah CSR Terbaik Malaysia
Golden Pharos Terengganu Menang Anugerah CSR Terbaik Malaysia
KUALA TERENGGANU, 26 November - Golden Pharos Bhd (GPB), syarikat pembalakan milik Kerajaan Negeri Terengganu, mengungguli anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Laporan Kelestarian Terbaik anjuran CSR Malaysia. GPB yang memenangi anugerah tersebut bagi kategori pembalakan dan kilang papan berdiri setanding dengan syarikat terkemuka negara seperti Tenaga Nasional Bhd, Gerbang Alaf Restaurant Sdn Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor Bhd dan Bank Rakyat. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Nadza Abdul berkata, penganugerahan tersebut merupakan satu lagi kejayaan buat Kumpulan GPB apabila berjaya terpilih dan bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi yang lain. “Kemenangan ini merupakan satu mercu tanda kepada syarikat untuk terus menjalankan CSR selari dengan polisi syarikat yang turut menekankan kelestarian alam semula jadi. “Penganugerahan Laporan Kelestarian 2019 terbaik yang diterima oleh GPB membuktikan bahawa kita komited bagi memastikan alam semula jadi terpelihara dan ia juga satu cabaran yang lebih besar di masa hadapan untuk membuat yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Sebelum ini GPB turut mencatatkan sejarah di kalangan anak-anak syarikat milik Kerajaan Negeri Terengganu apabila tercalon sebagai syarikat ketiga terbaik dalam Laporan Kelestarian di seluruh Asia bersama-sama dengan syarikat Sunway Construction Group Bhd, Singapore Exchange Limit dan New World Development Company Limited dari Hong Kong di Majlis Anugerah Asia Sustainability Reporting Awards 2019.
26 Nov 20
898
UMT Duduki Senarai 200 Universiti Terbaik Asia
UMT Duduki Senarai 200 Universiti Terbaik Asia
  KUALA TERENGGANU, 26 November - Universiti Malaysia Terengganu (UMT),berjaya menduduki senarai 200 universiti terbaik Asia berdasarkan Laporan QS Asia University Rankings 2021. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan,  QS Asia University Rankings menilai universiti di Asia melalui 11 petunjuk diantaranya reputasi, penyelidikan dan pengantarabangsaan. Naib Canselor UMT, Profesor Dato' Dr. Nor Aieni  Mokhtar berkata, UMT melonjak kepada kedudukan 195 iaitu meningkat sebanyak 48 tangga berbanding penarafan tahun lepas.  Katanya, kedudukan UMT di kalangan 200 universiti terbaik Asia dilihat mampu menarik lebih ramai pelajar antarabangsa, meningkatkan kolobrasi bersama penyelidik luar negara dan memperluaskan jaringan kerjasama dengan industri. Di samping itu, pencapaian ini menonjolkan keterlihatan citra UMT di peta dunia. “Ini merupakan pencapaian terbaik UMT sepanjang penubuhannya dan apa yang lebih membanggakan, UMT menunjukkan peningkatan ketara bagi 10 daripada 11 petunjuk yang dinilai.  “Pencapaian ini juga memberi gambaran bahawa UMT diiktiraf oleh akademia antarabangsa dan juga industri memandangkan penarafan QS melibatkan tinjauan daripada kedua-dua pihak. “Pencapaian ini merupakan satu pengiktirafan kepada hasil usaha warga UMT yang menunjukkan budaya kerja yang tinggi mutunya disamping komited di dalam memastikan strategi PSUMT yang direncana dapat dilaksanakan dengan baik.   ,”ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Tambahnya, kedudukan 195 Asia ini dicapai seiring dengan sasaran kedudukan 200 Asia seperti yang ditetapkan di dalam Pelan Strategik UMT 2018-2022 (PSUMT) bagi tahun 2020.  Beliau turut berkata,  pemerkasaan berterusan terhadap penyelidikan, pengajaran, pengantarabangsaan dan citra universiti akan terus menjadi tumpuan utama UMT. “Ia bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan penarafan tetapi juga pemegang-pemegang taruh yang lain seperti mana terkandung di dalam pelan strategik universiti.  “UMT percaya perlu ada keseimbangan di antara pencapaian di dalam penarafan antarabangsa dan juga keperluan memenuhi matlamat utama penubuhan sesebuah universiti dalam penyebaran dan penciptaan ilmu,”tambahnya.  
26 Nov 20
655
'Kita Di Landasan Yang Betul'
'Kita Di Landasan Yang Betul'
KUALA TERENGGANU, 25 November - Situasi pandemik COVID-19 yang melanda banyak menjejaskan peluang ekonomi masyarakat dan meningkatkan pengangguran. Namun begitu, Terengganu menegaskan bahawa kerajaan negeri berada di landasan yang betul untuk mengurangkan kadar pengangguran di negeri itu. Pengerusi jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menjelaskan, penubuhan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu atau 'Terengganu Human Resource Development Center' (THRDC) banyak membantu usaha-usaha menyelesaikan kadar pengangguran dalam negeri. "Jika kita meilhat data Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2018, kadar pengangguran di Terengganu adalah sebanyak 4.8 peratus dan menurun kepada 3.5 peratus pada tahun lalu. "Manakala, bagi suku pertama 2020, kadar menurun kepada 3.3 peratus tetapi pada suku kedua iaitu selepas pandemik COVID-19, ia meningkat kepada 3.8 peratus," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi terakhir Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, bagi menangani masalah penggangguran di negeri Terengganu, beberapa tindakan bersepadu telah diambil kerajaan negeri melalui kerjasama pelbagai pihak. "Antaranya, kita berkerja rapat dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana mereka adalah salah satu agensi yang menguruskan dana bantuan kerajaan Persekutuan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Malaysia bagi membantu golongan yang kehilangan pekerjaan.  "Kita juga bercadang mengadakan karnival kerjaya pada Oktober lalu tetapi ditangguhkan. Namun, bagi program itu kita ditawarkan lebih 80 majikan dengan hampir 10,000 kekosongan jawatan dan sekiranya ia dilaksanakan nanti akan membantu mengurangkan kadar pengangguran negeri," katanya.
25 Nov 20
395
Sidang DUN : 40 Ekar Untuk Penternak Ikan
Sidang DUN : 40 Ekar Untuk Penternak Ikan
KUALA TERENGGANU, 25 November – Terengganu menyediakan kawasan kira-kira 40 ekar di Bukit Keluang, Besut dan Laguna, Setiu bagi menyelesaikan isu pembinaan kolam dan sangkar ternakan ikan tasik secara haram dalam kawasan tanah milik kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri mahu menyelesaikan hal ini dalam keadaan harmoni dan bukannya untuk menghukum rakyat. “Kepada pegusaha dan penternak yang terlibat boleh memohon Lesen Menduduki Sementara (LMS), manfaat wang yang ada dalam dasar ini, syarat-syarat tertakluk kepada pandangan jabatan teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perikanan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soal lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet), hari ini. Dr Azman turut memberitahu, berdasarkan rekod terdapat 1,037 sangkar di Terengganu. "Yang ada kelulusan LMS 180 sangkar, 48 sangkar LMS tamat tempoh dan sebanyak 674 sangkar masih dalam proses kelulusan," jelasnya. Katanya, kerajaan terpaksa bertindak tegas sekiranya berlaku lagi percebohan tanah milik kerajaan bagi menjaga kepentingan bersama. “Mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM400,000 dan penjara kurang dari  5 tahun,” katanya  
25 Nov 20
2076
Laksana Inisiatif Atasi Gangguan Bekalan Air
Laksana Inisiatif Atasi Gangguan Bekalan Air
KUALA TERENGGANU, 25 November - Kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengatasi gangguan bekalan air kepada penduduk terutama di musim perayaan. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh, berkata bagi kawasan Kuala Terengganu dan Marang, pelaksanaan projek Bekalan Air Kuala Terengganu Utara  Katanya, projek ini akan meningkatkan kapasiti bekalan air tambahan sebanyak 20 MLD di Pulau Bahagia yang dijangka akan beroperasi pada Februari 2021. "Ia akan melibatkan kawasan Manir, Pulau Bahagia dan sebahagian Hulu Telemong.Manakala tambahan 44 MLD di Losong yang dijangka siap pada April 2021. "Sementara itu, kapasiti tambahan sebanyak 120 MLD untuk bekalan air kawasan Terengganu Utara yang dijangka siap pada April 2022,"ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas(Bajet), hari ini. Tambah Dr Mamad lagi, projek bekalan air Kemaman juga sedang dilaksanakan dengan tambahan kapasiti kepada rekabentuk asal iaitu 220 MLD yang mana kapasiti asal loji air Bukit Sah ialah 180 MLD. Bagi daerah Dungun dan Hulu Terengganu, beliau berkata, bekalan tambahan boleh diperolehi daripada loji air Kemudi. "Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah meluluskan projek menaiktaraf loji air Kenyir sebanyak 20 MLD bagi membantu daerah Hulu Terengganu dan Setiu. "Kerajaan negeri juga melaksanakan projek mengaktifkan semula loji air Sungai Tong 1 dan akan membuka semula loji air Kemudu bagi mengatasi masalah bekalan air di Setiu," ujarnya lagi. Tambah Dr Mamad, loji air Bukit Bunga Lama juga akan diaktifkan semula bagi menambah kapasiti bekalan air di Besut. "Ini termasuklah kerja-kerja menaiktaraf sistem agihan dari semasa ke semasa," jelasnya.    
25 Nov 20
700
Sidang DUN: Kadar Pengangguran Terengganu Masih Rendah
Sidang DUN: Kadar Pengangguran Terengganu Masih Rendah
KUALA TERENGGANU, 25 November- Kadar pengangguran di Terengganu masih rendah jika dibandingkan dengan kadar penganguran Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pada tahun 2018 kadar pengangguran di Terengganu adalah 4.8 peratus. "Kemudian pada tahun 2019 terus menurun kepada 3.5 peratus dan suku pertama tahun ini 3.3 peratus, lebih rendah daripada kadar pengangguran Malaysia iaitu 3.5 peratus. "Bagaimanapun akibat  berdepan penularan wabak COVID-19 pada Suku Kedua 2020, kadar pengangguran Terengganu meningkat kepada 3.8 peratus, tetapi masih lebih rendah daripada kadar pengangguran Malaysia iaitu 5.1peratus," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soal lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, hari ini. Katanya, ia adalah petanda Terengganu sedang menuju ke satu arah yang betul dan kerajaan akan terus menggembleng tenaga berkolaborasi dengan pelbagai pemegang taruh dalam sektor pekerjaan. "Ini bagi memastikan rakyat Terengganu dapat menikmati pembangunan dalam bentuk peluang pekerjaan yang baik," jelasnya. Sementara itu katanya, kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (T-HRDC) telah mengadakan kolaborasi erat bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Terengganu bagi membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan ekoran COVID-19. "T-HRDC juga membantu majikan mendapatkan pelbagai insentif  Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi membolehkan mereka mengambil pekerja baru disamping mengelak mereka daripada membuang pekerja sedia ada. “Selain membantu institusi latihan mendapatkan penempatan kerja dan dana latihan melalui kerjasama dengan majikan dan persatuan industri,” ujarnya. Menurut beliau, setakat ini kerajaan negeri melalui T-HRDC telah menjalinkan kolaborasi dengan lebih 20 agensi antaranya PERKESO, Jabatan Tenaga Kerja, Jobs Msia, Jabatan Statistik Malaysia, UC TATI, TESDEC,  KKYT, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) serta Terengganu O&G Council ( TOGC). Katanya, sebanyak 500 peluang pekerjaan juga telah dikenal pasti melalui program penempatan pekerjaan yang dijalankan. "Di mana T-HRDC telah menemui sendiri majikan-majikan yang memerlukan pekerja dan berunding agar mengambil anak-anak Terengganu sebagai pekerja," tambah beliau.  
25 Nov 20
383
AKPK Sambut Baik Inisiatif Pelan Literasi Kewangan Terengganu
AKPK Sambut Baik Inisiatif Pelan Literasi Kewangan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 November - Inisiatif kerajaan negeri mewujudkan literasi kewangan Terengganu bagi membantu rakyat menguruskan kewangan secara berhemah disambut baik Agensi Kewangan dan Pengurusan Kredit (AKPK) Terengganu. Ketua Cawangan AKPK Terengganu, Junainah Ahmad Esa menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai batu loncatan ataupun kesinambungan atas usaha untuk meluaskan lagi rangkuman pendidikan kewangan di kalangan rakyat Terengganu. "Dengan sokongan kerajaan melalui inisiatif ini, kita yakin bahawa literasi kewangan akan berkembang di seluruh negeri. Usaha ini diperkenalkan tepat pada masanya sebab suasana pasca COVID-19 ini memperlihatkan masyarakat memang menghadapi cabaran kewangan yang besar terutama ketika berdepan keadaan ketidaktentuan ini. "AKPK sebagai agensi utama yang diberi mandat untuk melaksanakan program membudayakan pengurusan kewangan berhemat di kalangan masyarakat amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi merealisasikan hasrat murni ini," katanya ketika di temui Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini, semalam. Jelasnya, dengan adanya usaha yang mampan dan bersepadu daripada kerajaan negeri, AKPK secara tidak langsung akan dapat memperluaskan pembudayaan pengurusan kewangan baik dengan sokongan yang kukuh. "Maknanya, kita akan mendapat kerjasama daripada lebih banyak agensi-agensi dengan sokongan kerajaan negeri.  “Peningkatan literasi kewangan di kalangan masyarakat juga memerlukan penglibatan daripada agensi-agensi lain yang kita lihat mampu untuk memberi nilai tambah kepada pelaksanaan program ini demi mencapai hasil seperti yang diharapkan," katanya. Tambah Junainah, rakyat Terengganu perlu mengambil peluang melibatkan diri dalam menjayakan inisiatif tersebut. "Rakyat Terengganu amat beruntung dengan inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri dan perlu mengambil peluang sepenuhnya dengan melibatkan diri dalam program-program literasi kewangan yang bakal dilaksanakan kelak. "Ilmu itu sangat penting dan menjadi 'game changer' dalam hidup kerana dengan ilmu baru kita boleh merubah nasib. Ilmu literasi kewangan akan membekalkan masyarakat dengan kesedaran, ilmu, kemahiran, sikap dan tabiat yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak. Keputusan kewangan yang kita ambil hari ini boleh memberi impak kepada kesejahteraan kehidupan hari esok,” katanya.      
25 Nov 20
1026
Sidang DUN Kini Ada Jurubahasa Isyarat
Sidang DUN Kini Ada Jurubahasa Isyarat
KUALA TERENGGANU, 25 November – Terengganu terus mengorak langkah ke hadapan dalam memartabat dan melancarkan penyaluran maklumat kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) apabila jurubahasa isyarat digunakan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN). Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, buat pertama kalinya siaran langsung persidangan itu menggunakan khidmat jurubahasa isyarat melalui Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT). “Pembaharuan yang bermula hari ini itu disifatkan satu sejarah kepada golongan OKU di negeri ini bagi membolehkan mereka mengikuti perkembangan persidangan negeri secara langsung. "Buat masa ini jurubahasa isyarat ini akan bersama siaran selama tiga jam melalui siaran langsung di TV Darul Iman bermula jam 9.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari, selepas ini insya-Allah kita akan gunakan mereka," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Sementara itu, Presiden POPT,  Tengku Arman Haris Tengku Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memudahkan golongan OKU pekak dan bisu mengikuti isu terkini negeri “Supaya kami tahu apa yang berlaku dalam negeri Terengganu kerana daripada kami ada yang tidak mampu membaca, yang pasti semua kami tidak boleh mendengar. “Jadi, inisaitif ini adalah yang pertama kali diadakan di Terengganu membuatkan kami rasa sangat gembira, teruja dan dihargai, dalam masa yang sama kami boleh menyumbang untuk kemajuan Terengganu “Terima kasih kerajaan negeri kerana memanfaatkan kami, kami juga mahu hidup sama taraf seperti masyarakat normal lain,” tambahnya.
25 Nov 20
701
Sidang DUN : Ganding Bahu Bantu Rakyat Tanpa Kira Sempadan Politik
Sidang DUN : Ganding Bahu Bantu Rakyat Tanpa Kira Sempadan Politik
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 25 November - Seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu diingatkan agar bersama berganding bahu membantu rakyat di negeri ini tanpa mengira sempadan politik. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, ia adalah untuk meringankan beban yang ditanggung masyarakat yang terjejas akibat Covid-19 yang melanda di seluruh negara. "Pepatah Melayu (mengatakan) 'yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing' wajar diambil iktibar oleh semua Ahli Yang Berhormat sebagai pemimpin untuk bersatu bagi menggerakkan rakyat menghadapi pandemik ini. "Terutama dalam membantu 'frontliners' menghadapi isu global yang mengancam nyawa ini," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap semasa pembukaan Persidangan Mesyuarat Kali Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 14 di U2, Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua 'frontliners' samada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia Polis, Tentera bertungkus lumus berkorban nyawa demi menyelamatkan nyawa. "Sepanjang persidangan ini, saya berharap semua Yang Berhormat dapat mematuhi SOP seperti biasa walau pun kita telah melepasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersepadu (PKPB). "YB mesti sentiasa membuat penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan membersihkan tangan sebagai langkah keselamatan serta bilik persidangan di DUN kita, telah melalui proses sanitasi sebelum persidangan bermula," tambah Yahaya.
25 Nov 20
309