lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Bayaran Pinjaman Rumah Tak Lebih RM300 Sebulan
Bayaran Pinjaman Rumah Tak Lebih RM300 Sebulan
KUALA NERUS, 29 November - Bayaran balik pinjaman Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu dijamin tidak melebihi RM300 sebulan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pihaknya kini sedang memperincikan perkara itu dengan pelbagai pihak termasuk pihak bank. Katanya, kelulusan maksima dan bagaimana untuk memohon sama ada melalui bank atau melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Unit Perumahan) akan dimaklumkan kemudian. “Kerajaan mewujudkan tabung ini bagi memudahkan urusan rakyat memiliki rumah sendiri, di mana sebelum ini diakui agak sukar mendapat kelulusan bank kerana tidak cukup syarat terutama berkaitan tangga gaji. “Dengan kaedah yang diperkenalkan itu, mana-mana isi rumah yang belum memiliki rumah sendiri, mempunyai tanah dan berpendapatan RM5,000 ke bawah layak memohon,” katanya. Beliau berkata demikian ketika meninjau kemajuan Projek Rumah Pangsapuri Mampu Milik (RPMM) di Kampung Tok Jembal, di sini, hari ini. Dalam pembentangan Belanjawan 2021 Terengganu baru-baru ini, kerajaan meluluskan peruntukan RM50 juta bagi tujuan itu dan ia termaktub dalam manisfesto PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. Berkaitan projek RPMM itu, Dr Alias memberitahu, kemajuan projek 160 unit rumah setinggi empat tingkat membabitkan lima blok itu hanya 30 peratus kurang ena peratus daripada sasaran awal. Katanya, ia mengalami kelewatan berbanding jangkaan siap pada Mei tahun depan. “Alasan diberikan, berdepan dengan musim tengkujuh dan Perintah Kawalan Pergerakan. “Disebabkan itu, kita memberikan tempoh lanjutan pembinaan sehingga September tahun depan,” katanya. Menurutnya, sebagai pilihan dan untuk menjimatkan masa, pihak kontraktor mengunakan Sistem Bina Berindustri atau turut dikenali Rumah Pasang Siap. “Difahamkan langkah itu mampu menjimatkan masa sehingga tujuh kali ganda berbanding secara konvensional,” katanya.  
29 Nov 20
9946
Kembara Prihatin Negara Sasar Santuni Sejuta Individu
Kembara Prihatin Negara Sasar Santuni Sejuta Individu
MARANG, 29 November - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan sejuta individu mendapat manfaat daripada Program Kembara Prihatin Negara dalam usaha menyantuni rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.  Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, bagi mencapai hasrat itu pihaknya akan menjelajah ke 108 daerah di seluruh negara dan mengharapkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada aktiviti dijalankan sepanjang satu tahun pelaksanaan. “Terengganu adalah negeri yang ke-11 kita laksanakan program ini di mana program kembara bertumpu di kawasan-kawasan tumpuan awam seperti pasar tani, pasar pagi, kompleks niaga, pusat komuniti setempat dan lain-lain. “Kita turut menyantuni kumpulan sasar yang berada di kawasan pedalaman menerusi kereta dan van bergerak dengan membuka kaunter untuk memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan yang berada di bawah kementerian,” ujarnya. Siti Zailah menyantuni warga emas. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Mula Kerja (Kick Off) Kembara Prihatin Negara Peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu di Pusat Khidmat Setempat (OKU) Sungai Kerak, di sini hari ini. Siti Zailah turut menyeru NGO dan syarikat korporat untuk bersama dengan pihaknya bagi bersama-sama membantu golongan yang memerlukan. “Selain daripada program yang sedia ada, program Kembara Prihatin ini memudahkan lagi untuk kita beri perkhidmatan kepada rakyat dan kita mengharapkan masyarakat di luar sana ambil peluang ini. “Apabila kita turun ke daerah-daerah bagi mereka yang berada jauh di pedalaman, inilah ruang untuk mereka bertanya, ambil borang bantuan dan sebagainya kerana semua disediakan malah pegawai kita sentiasa bersedia untuk membantu,” ujarnya. Sementara itu beliau berkata, KPWKM turut mengadakan Ziarah Prihatin terhadap klien-klien yang berada dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendekati dan melihat sendiri keadaan masyarakat.
29 Nov 20
753
Peruntukan Kecemasan Tangani Hakisan Pengkalan Maras
Peruntukan Kecemasan Tangani Hakisan Pengkalan Maras
SETIU, 27 November - Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM800 ribu bagi menangani hakisan pantai yang semakin kritikal di Pengkalan Maras. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata kelulusan peruntukan kecemasan itu memberi sedikit kelegaan kepada penduduk di sana. "Pemakluman Menteri KASA kepada saya seusai sesi penggulungan untuk meluluskan peruntukan darurat yang bernilai RM800 ribu bagi menyelesaikan masalah hakisan tersebut amatlah melegakan penduduk setempat. "Ini jelas menzahirkan Kerajaan amat prihatin akan keperluan rakyat dengan segera meluluskan peruntukan darurat," katanya ketika ditemu ramah oleh wartawan. Pada Isnin yang lalu, beliau sekali lagi membangkitkan isu hakisan tersebut dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2021. "Saya sekali lagi memanjangkan kebimbangan rakyat di parlimen Setiu berkenaan hakisan yang semakin kritikal di Pengkalan Maras kepada Menteri KASA "Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas usaha Kerajaan yang telah mengambil langkah proaktif dalam membantu rakyat," tambah beliau lagi   
27 Nov 20
2785
Lebih Peluang Berucap Bukti Muafakat
Lebih Peluang Berucap Bukti Muafakat
  Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 27 November - Wakil-wakil Umno dan Barisan Nasional (BN) lebih banyak  diberi peluang untuk berucap dalam Persidangan Mesyuarat  Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 23 hingga 25 November yang lalu membuktikan Muafakat Nasional di antara parti PAS dan BN di negeri ini. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, ini membuktikan bahawa tiada pilih kasih berlaku di antara dua parti tersebut. “Dalam perbahasan Rang Undang-undang  Perbekalan  ataupun Bajet 2021, saya telah memberi peluang setakat masa yang ada  kepada 12 orang Ahli Yang Berhormat (YB) membahaskan Rang Undang-undang ini. "Saya dapati tujuh orang daripada bukan kerajaan  dan lima orang sahaja yang sempat daripada sebelah kerajaan. “Ini  sebenarnya menggambarkan semangat Muafakat  Nasional. Kalau dalam persidangan yang lepas, zaman saya dulu memang tidak banyak peluang Ahli Parlimen daripada Bukan Kerajaan pada waktu  itu mendapat peluang sepertimana yang ada sekarang ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam ucapan beliau pada hari ketiga Persidangan mesyuarat Kali Ketiga Penggal ketiga DUN Terengganu ke-14 di U2, Wisma Darul Iman pada hari Rabu, 25 November yang lalu. Justeru itu, beliau berharap Ahli YB mengambil perhatian dengan pendekatan yang dibuat oleh DUN. Selain itu, Dato’ Yahaya menambah, di negeri Terengganu terdapat beberapa pilihan dalam soal pemakaian Ahli YB yang hadir dalam sidang DUN. “Yang pertama adalah berpakaian ‘Lounge Suit’ lengkap yang sama warna, bertali leher dan boleh bersongkok ataupun berkopiah dan yang kedua boleh pakai ‘Mandarin Collar’ sama tetapi tidak bertali leher leher  dan boleh bersongkok ataupun berkopiah “Dan yang ketiga ialah pakaian kebangsaan sama ada bersongkok atau berserban lengkap. sebab itu saya nak pastikan selepas ini perkara ini tidak berbangkit ada pelbagai kaedah cara berpakaian,” ujarnya. Sementara itu, beliau juga mengajak semua Ahli YB sama-sama berganding bahu membantu rakyat yang terjejas banjir. “Saya mendapat maklumat di sesetengah kawasan sekarang ini berlaku banjir  dan ada yang telah dipindahkan. “Jadi marilah kita berdoa semoga rakyat negeri kita  dilindungi Allah SWT  daripada malapetaka banjir, insya Allah semuanya selamat,” tambahnya.
27 Nov 20
286
TDM Kembali Tersenarai Sekuriti Patuh Syariah
TDM Kembali Tersenarai Sekuriti Patuh Syariah
KUALA TERENGGANU, 27 November - Anak syarikat kerajaan Terengganu, TDM Berhad dimasukkan semula ke dalam senarai sekuriti Patuh Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bersama dengan 34 syarikat perladangan lain yang telah berada dalam senarai. Senarai-senarai sekuriti Patuh Syariah terkini yang diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) SC berkuat kuasa hari ini. Pengerusi TDM Berhad, Raja Dato' Idris Raja Kamarudin berkata, pengiktirafan itu mengukuhkan lagi jaminan kepada pelabur dan pihak berkepentingan bahawa perniagaan syarikat adalah mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Metodologi Saringan Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. "Pada tahun 2015, Kumpulan TDM dikecualikan daripada senarai Patuh Syariah kerana tidak mematuhi tanda aras berasaskan aktiviti yang disemak semula di mana had yang dibenarkan diperketatkan kepada lima peratus daripada 10 peratus. "Pada bulan Oktober 2018, TDM telah menyusun 'IDR Note' dan 'Credit Linked Note' mengikut tetapan tanda aras yang disemak semula. "Hari ini, TDM dengan bangganya merupakan salah satu daripada 715 saham patuh Syariah di Bursa Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Menurut beliau, Kumpulan TDM kini memberikan fokus kepada strategi dan pelan kesinambungan perniagaan untuk mengembangkan perniagaan syarikat. "Dengan pengambilalihan TDM-YT Plantation Sdn Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai THP-YT Plantation Sdn Bhd, TDM kini memiliki dan menguruskan 17 ladang kelapa sawit, tiga buah kilang, tiga kilang Bio-Organik dan tiga loji Biogas yang terletak di Terengganu dan Indonesia. "Kumpulan juga aktif dalam bidang penjagaan kesihatan melalui anak syarikat, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMIHealthcare), yang menguruskan empat hospital pakar iaitu Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTSH), Kuantan Medical Centre (KMC), Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) and Taman Desa Medical Centre (TDMC)," tambah beliau.  
27 Nov 20
619
Kompleks Sukan Hulu Terengganu Siap 70 Peratus
Kompleks Sukan Hulu Terengganu Siap 70 Peratus
HULU TERENGGANU, 26 November - Pembinaan Kompleks Sukan Hulu Terengganu di Telemong, di sini yang menelan belanja hampir RM5.4 juta kini hampir 70 peratus siap. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek yang dibiayai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu mula dibina pada Mac tahun lalu kini dalam fasa terakhir pembinaan. Katanya,  jika dilihat pada fizikal pembinaan kompleks itu ia dijangka siap sepenuhnya April tahun depan. “Apabila siap kelak, kompleks yang mampu menampung muatan 500 sehingga 700 penonton itu turut dilengkapi astaka, padang bola sepak, gelangang futsal, bola tampar, sepak takraw, dewan serbaguna, tandas dan surau. “Saya berharap pihak yang diberi tanggungjawab dapat menyiapkan projek itu dalam tempoh ditetapkan walaupun terpaksa berdepan dengan musim tengkujuh dan penularan wabak COVID-19,” katanya. Beliau berkata demikian ketika turun padang meninjau perkembangan projek kompleks itu di sini hari ini. Terdahulu, Wan Sukairi melawat proses membuat Peralatan Pelindungan Diri (PPE) oleh pelajar Institut Kemahiran Belia Negara Wakaf Tapai, Marang dengan kerjasama Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Terengganu. Katanya, beliau berharap apa yang dilaksanakan Haluan itu dapat dicontohi pihak luar, agar bersama-sama tampil membantu barisan hadapan menyalurkan PPE atau kelengkapan berkaitan. “Pihaknya ada dimaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan sebanyak mungkin kelengkapan itu, kerana PPE adalah pakaian pakai buang, sentiasa diperlukan selagi adanya Covid-19. “Difahamkan sehingga kini,  pihak haluan sudah menyumbangkan hampir 30,000 PPE melibatkan kos hampir RM100,000 kepada pihak berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan pasukan barisan hadapan di Sabah,” katanya.  
26 Nov 20
6697
'NGO Membantu Mangsa Banjir Perlu Patuhi SOP'
'NGO Membantu Mangsa Banjir Perlu Patuhi SOP'
KUALA TERENGGANU, 26 November - Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak yang ingin membantu mangsa-mangsa banjir diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, tindakan itu adalah perancangan jangka panjang Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (SPBN) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19. "Apabila mangsa balik ke rumah masing-masing selepas banjir surut, NGO atau sesiapa sahaja yang ingin membantu membersihkan rumah mereka tidak boleh bergotong-royong secara terlalu ramai dibimbangi menyebabkan penularan pandemik. "Kita boleh beri, tetapi mengikut had yang sesuai," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu tinjauan paras air semasa di Tasik Kenyir, hari ini. Jelasnya, SPBN berdepan cabaran besar dalam melaksanakan norma baharu di Pusat Pemindahan Banjir (PPS). "Kita boleh atasi dari segi bilangan mangsa, cuma apabila hujan lebat anggota kita mengalami kesukarang untuk melaksanakan pematuhan SOP seperti mengambil suhu badan dan sebagainya sebelum masuk ke PPS. Walaupun begitu kita cuba atasinya dari masa ke masa. "Apabila mangsa yang dipindahkan agak ramai sekaligus, itu adalah cabaran semasa, dari segi 'main power' juga perlu ditingkatkan dan pematuhan SOP agak sukar untuk dilaksanakan sepenuhnya tetapi kita berusaha ke arah itu sebaik mungkin,"katanya. Oleh itu, katanya SPBN mengambil tindakan pencegahan awal dan sentiasa mewara-warakan kepada masyarakat untuk sentiasa bermunajat serta berdoa supaya keadaan tidak semakin memburuk. "Kita juga sentiasa memaklumkan penduduk di kawasan-kawasan berisiko sebab kalau mereka berpindah awal, kita dapat uruskan secara berperingkat, "Kita jangkakan SPBN di negeri-negeri lain juga menghadapi cabaran sama kerana ini adalah tahun pertama kita menguruskan banjir dalam norma baharu bagi mengekang Covid-19.      
26 Nov 20
438
Tasik Kenyir Masih Di Paras Normal, Tapi...
Tasik Kenyir Masih Di Paras Normal, Tapi...
KUALA TERENGGANU, 26 November- Tinjauan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman ke Tasik Kenyir, hari ini memperlihatkan paras semasa air di tasik berkenaan adalah setinggi 137.44 meter, iaitu berada pada paras normal. Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman menyatakan, keadaan di lokasi tersebut dan daerah Hulu Terengganu masih dalam keadaan terkawal. "Namun, jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, sama ada lewat petang ini atau malam ini terdapat kebarangkalian Terengganu akan menerima komposisi hujan yang banyak terutama di Hulu Terengganu.  "Jadi, pihak Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (SPBN) di Hulu Terengganu telah bersiap siaga di kawasan-kawasan yang berisiko bajir di sini," katanya. Jelasnya, walaupun keadaan di daerah-daerah lain dilihat semakin pulih, masyarakat di minta berjaga-jaga. "MetMalaysia juga memaklumkan, kita dijangka akan menerima empat ke enam episod hujan lebat sepanjang musim dan Terengganu telah menerima dua gelombang hujan lebat yang berakhir semalam. Ada kebarangkalian untuk kita menerima sekitar dua lagi gelombang hujan lebat pada awal Disember nanti. "Sebelum ini, semua daerah terlibat banjir kecuali Hulu Terengganu. Namun kita tahu, mengikut rekod situasi sebelum ini, apabila Hulu Terengganu banjir, implikasinya akan lebih besar dan terus ke daerah-daerah lain, jadi semua harus berjaga-jaga," katanya. Pasukan APM sedang melakukan persediaan di Tasik Kenyir.  
26 Nov 20
1273
Potong Paip Demi Keselamatan Pengguna Jalan Raya
Potong Paip Demi Keselamatan Pengguna Jalan Raya
KEMAMAN, 26 November - Beberapa batang paip dipotong di laluan susur keluar Jambatan Bukit Kuang di sini dipotong bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya berada dalam keadaan baik. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, kerja keras pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Kemaman, Jabatan Bomba & Penyelamat Kemaman, Roadcare dan semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku itu sangat dihargai. "Alhamdulillah, hari ini kita dapat memotong paip yang dikatakan tersumbat akibat daripada pembuangan sisa-sisa makanan, pasir dan sebagainya menyebabkan air bertakung di atas jalan. "Insya-Allah selepas daripada ini jika berlaku hujan lebat, air di atas jalan tidak akan bertakung lagi dan keselamatan pengguna jalan raya di sini akan terjamin," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas selesai memotong empat batang paip oleh pekerja Roadcare dengan menggunakan jentera bomba.
26 Nov 20
401
Strategi ‘Holistik’ Banteras Dadah
Strategi ‘Holistik’ Banteras Dadah
KUALA TERENGGANU, 26 November – Kerajaan negeri melaksanakan strategi secara holistik selaras dengan manifesto pada PRU-14 lalu bagi menangani masalah penagihan dadah dalam kalangan rakyat Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerjasama berterusan dengan beberapa badan berkuasa termasuk Agensi Anti dadah Kebangsaan (AADK) turut diperhebatkan bagi menyelesaikan masalah ini bermula daripada akar umbi. Katanya, peningkatan masalah penagihan dadah dalam kalangan belia pula memerlukan satu jalan yang komprehensif serta melibatkan semua pihak dan anggota masyarakat. “Di pihak kerajaan, peranan turut dimainkan oleh Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang melaksanakan inisiatif ‘street dakwah’ memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya dadah. “Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah juga dalam perancangan untuk mengadakan program 'Bual Bicara' dengan menjemput pegawai daripada AADK atau menampilkan ikon yang telah berjaya bebas daripada dadah atau membuat hebahan tentang bahaya dadah. “Manakala di peringkat Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), satu modul bersepadu bagi menangani masalah sosial termasuk penagihan dadah dalam kalangan belia turut dibangunkan, insya-Allah ini usaha kerajaan,” katanya ketika ditemui UPDI selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman semalam. Dalam perkembangan sama, Mohd Nor memaklumkan, usaha membasmi najis dadah tidak terhenti setakat itu selepas Pusat Pemulihan Dadah Holistik Terengganu yang juga antara manifesto kerajaan negeri mula beroperasi Januari depan di Kem Chador, Marang. “Insya-Allah jika tiada halangan, kita akan bermula dengan pengambilan 100 pelatih dengan kerjasama (AADK) Terengganu dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kebangsaan. “Dalam konteks pemilihan pelatih, kita tidak akan memaksa mereka  untuk berubah sebaliknya menggunakan pendekatan  kerohanian dan mendalami ilmu agama, mengaji al-Quran, pentingnya solat apabila pelatih ke pusat itu kelak. “Modul pusat tersebut diketuai TSIS dengan penglibatan pakar-pakar dan pensyarah universiti, dan ia telah siap untuk digunapakai tahun depan,” tambah beliau.
26 Nov 20
519