Artikel "Utama" Terkini
COVID-19 Di Terengganu Terkawal
KUALA TERENGGANU, 1 Disember – Situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri ini dilaporkan masih terkawal dengan hanya dua kluster aktif berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sehingga 29 November.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, dua kluster aktif tersebut iaitu kluster Makekar (mukim Rasau) dan kluster Kerengge (Marang) daripada keseluruhan sembilan kluster yang telah direkodkan sehingga kelmarin di Terengganu.
“Sebahagian besar sudah tamat terutama di mukim Rasau dimana telah kembali ke zon hijau dan tiada lagi zon merah dan jingga di dalam negeri.
“Manakala Zon kuning di daerah Marang terutamanya di Merchang, Rusila dan Pulau Kerengge (kluster Kerengge) dengan 8 kes aktif berada dalam wad ditambah dengan satu lagi kes baharu pada 29 November menjadikan keseluruhan 237 kes positif COVID-19 dengan satu kematian.
“Sejak 12 Mac lalu, gelombang pertama di Terengganu merekodkan 114 kes akibat penularan daripada kluster Sri Petaling manakala gelombang kedua melibatkan 123 kes tempias daripada negeri berisiko seperti Sabah, Selangor dan lain-lain,” katanya ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman, pagi semalam.
Mengulas mengenai musibah banjir dalam norma baharu, beliau berkata, tiada kes dilaporkan daripada 40 lebih Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka sehingga akhir bulan november.
“Ini adalah hasil Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan garis panduan agensi dan jabatan negeri dari peringkat awal bagi membendung penularan kerana risiko kesempitan dan kesesakan di PPS perlu diatasi.” ulasnya.
Apabila ditanya mengenai kes denggi sehingga akhir bulan November, Dr Nor Azimi berkata, terdapat penurunan sebanyak 27.7 peratus berbanding kes pada tahun lepas.
“379 kes direkodkan sehingga 21 November, penurunan ini hasil daripada kawalan kendiri seperti gotong-royong oleh masyarakat dan pelbagai jabatan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta pihak berkuasa tempatan.
“Harapan supaya usaha dan kerjasama dalam menjaga kebersihan dan pembasmian takungan air terutamanya musim hujan renyai ini terus dipergiatkan demi komuniti sejagat,” katanya lagi.
01 Dec 20
488
Pendapatan Golden Pharos Melonjak 36 Peratus
KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Pendapatan syarikat pembalakan milik Kerajaan Negeri Terengganu, Golden Pharos Bhd (GPB) melonjak naik sebanyak 36 peratus kepada RM18.8 juta pada suku ketiga tahun 2020 berbanding RM13.8 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Nadza Abdul berkata, peningkatan itu direkodkan selepas syarikat mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.6 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2020.
"Pengeluaran balak yang meningkat, peningkatan prestasi pemprosesan kayu balak, penggunaan pakej stimulasi yang efektif dalam menangani isu ekonomi syarikat ketika berlakunya pandemik COVID-19.
"Dalam suku ketiga tahun ini, segmen pembalakan meningkat sebanyak 72 peratus kepada 10,716 hektar per tan berbanding 6,246 hektar per tan tahun lalu.
"Peningkatan ini berikutan ketidaklewatan kelulusan lesen penebangan balak, pengurusan kontraktor penebangan yang berkesan dan cuaca yang baik sepanjang tempoh aktiviti pembalakan diadakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, jelasnya, berdasarkan kepada peningkatan balak yang ditebang, sektor perkayuan dan venir juga meningkat.
"Di mana pendapatan bagi sektor tersebut meningkat sebanyak 14 peratus dan keuntungan sebelum cukai adalah 203 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu," ujarnya.
Nadza Abdul menjelaskan, GPB juga mendapat manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri di mana syarikat tersebut menerima program subsidi berjumlah RM1.4 juta bagi keenam-enam syarikat di bawah GPB bermula Mac sehingga September 2020.
“Syarikat menganggarkan kerugian sebanyak RM24 juta akibat daripada pandemik. Tetapi dengan pakej rangsangan ekonomi serta pengurangan kos yang dijalankan oleh syarikat, kami optimis bahawa tahun ini sebenarnya adalah tahun yang lebih baik berbanding tahun 2019,” katanya.
01 Dec 20
3283
12 Tahun Hidup Tanpa Elektrik, Air
SETIU, 1 Disember - Fatimah Ismail, 54, terpaksa mendiami rumah usang bersama dua lagi anaknya tanpa bekalan elektrik dan air sejak 12 tahun lalu akibat kesempitan hidup.
Lebih menyedihkan apabila rumah berusia 25 tahun di Kampung Pandu, Wakaf Chagak itu sering mengalami kebocoran atap dan berkeadaan sangat kotor.
Fatimah berkata, selepas bercerai dengan suaminya pada 2010, kehidupan dia bersama dua lagi anaknya semakin tidak terurus.
"Muhamad Shahmil Yahaya, 18, baru mendapat kerja melalui bapa saudaranya dengan menjadi nelayan di Tanjung Dawai, Kedah, manakala Muhamad Farid Yahaya, 21, pula baru hilang kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini dan menyebabkan pendapatan kami tidak menentu.
"Pendapatan Shahmil dan saya hanya kerja pembantu di Kedai Roti Canai tidak seberapa namun cukup untuk kami makan minum, kini kami hanya bergantung harap kepada anak bongsu saya Shahmil.
"Tiga orang tinggal di rumah buruk dan sempit ini. Kami hanya mampu menagih simpati daripada beberapa individu prihatin yang ada memberi sumbangan makanan," katanya ketika ditemui di kampung Pantai Batu Rakit baru-baru ini.
Sementara itu, Shahmil turut berkongsi keperitan hidup mereka membesar dengan serba daif serta terpinggir daripada masyarakat.
"Ketika bersekolah saya membuat ulang kaji dan kerja sekolah hanya bercahayakan pelita. Sejak lahir saya dibesarkan di dalam 'kegelapan' dengan kehidupan yang daif di rumah ini tetapi saya bersabar kerana inilah syurga saya.
"Saya tidak akan meninggalkan ibu saya yang kini sering jatuh sakit dan tua. Saya akan jaga mereka sehingga akhir hayat saya.
Menyedari penderitaan mereka sekeluarga, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, kesukaran keluarga terbabit telah diselesaikan segera.
“Syukur Alhamdulillah mereka tiga beranak telah berpindah ke rumah sewa di Pantai Batu Rakit, saya dan team akan bayar sewa rumah setiap bulan dan kami membeli tilam, rak baju, rak pinggang, tong gas, barangan harian dapur dan sedikit sumbangan duit,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman baru-baru ini.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menziarah rumah mereka di Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus atau menghubungi saudara Fadol di talian 019-9569913 (bahagian pengurusan bayaran sewa rumah) atau boleh salurkan sumbangan melalui Kelab Sahabat Cakna (1301-0006296-71-2) Bank Muamalat.
01 Dec 20
941
Dapur Rakyat Ringan Beban Mangsa Banjir
KEMAMAN, 1 Disember - Program Dapur Rakyat yang diusahakan kerajaan negeri berjaya meringankan beban mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim yang mengambil inisiatif dan bertindak cepat bagi membantu mangsa banjir.
"Saya difahamkan lebih RM5,000 dibelanjakan bagi menyediakan makan tengah hari untuk diagihkan kepada mangsa banjir, semalam. Setiap rumah di Kampung Teladas dan Kampung Air Putih menerima lima bungkus nasi putih berlauk gulai daging.
"Ia diadakan bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas teruk dan masih belum sempat untuk memasak. Kebanyakan daripada mereka terpaksa menumpukan pada proses membersihkan rumah. Insya-Allah, hari ini pula sekali lagi kita akan adakan dapur rakyat ini dan akan diagihkan kepada mangsa banjir di Felda Seberang Tayor.
"Mereka yang terjejas juga menerima sumbangan beras dan barangan dapur. Segala bentuk bantuan dan sumbangan akan disalurkan secara berperingkat mengikut keadaan dan situasi semasa," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Dalam perkembangan sama, Hanafiah turut melahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada semua pihak termasuk seluruh agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) ataupun sebagainya yang turut sama menyumbang sama ada berbentuk tenaga, barangan ataupun kewangan.
"Namun begitu, cuaca masih tidak menentu. Saya mengharapkan semua pihak terus berada dalam siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang mungkin boleh berlaku di musim tengkujuh ini," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Terengganu.
01 Dec 20
298
Kerajaan Tanggung RM200,000 Kecualikan Bayaran Lesen
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri akan menanggung kos sebanyak RM200,000 selepas bersetuju mengecualikan bayaran lesen perniagaan untuk peniaga kecil dan penjaja selama setahun bermula Januari depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pengecualian itu telah diumumkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa membentangkan Belanjawan 2021 minggu lalu.
“Insentif ini akan memberi manfaat kepada peniaga kecil yang memiliki lesen perniagaan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri ini.
“Kita memahami tekanan yang dihadapi oleh golongan terbabit lebih-lebih dalam tempoh COVID-19, justeru dengan tiadanya kutipan lesen peniaga kecil dan penjaja bagi tahun 2021, diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para peniaga dan penjaja sekali gus merancakkan lagi ekonomi Negeri Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersiaran secara langsung di TV Darul Iman, hari ini.
Dr Alias.
Mengulas mengenai rungutan peniaga yang meminta kerajaan mengecualikan bayaran sewa premis perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, beliau berkata perkara berkenaan akan dikaji lebih terperinci.
“Apabila kita buat sesuatu pengecualian itu, pertimbangan sewajarnya perlu dibuat kerana membabitkan kos yang akan ditanggung oleh kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan,” ujarnya.
Sebelum ini katanya, kerajaan negeri telah kehilangan hasil kira-kira RM5 juta ketika mengecualian bayaran sewa premis perniagaan dan moratorium dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
30 Nov 20
1404
70 Anggota APM Turun 'Basuh' Kemaman
MARANG, 30 November - Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan, seramai 70 anggota agensi berkenaan dikerahkan turun ke daerah Kemaman hari ini untuk membantu mangsa banjir.
"Tujuannya adalah untuk bantuan pembersihan pasca banjir secara spesifik di kawasan Air Putih, Teladas dan Tebak kerana semalam kita dapat makluman daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), bahawa rumah yang terjejas banjir di sana lebih kurang 175 buah.
"Sebahagiannya sudah dicuci dengan bantuan Jabatan Amal Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan-pertubuhan berkaitan, namun masih ada lagi yang belum selesai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui sewaktu melakukan tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terakhir yang masih di buka di Terengganu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, hari ini.
Tambahnya, beliau turut dimaklumkan Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) bahawa sukarelawan T-VOLT juga akan digerakkan bagi membantu mangsa pasca banjir jika diperlukan.
"Setakat ini, bagi pembersihan semalam kita mengutamakan tempat-tempat tumpuan awam seperti masjid, balai raya, tadika dan sebagainya dalam proses pembersihan.
"Hari ini, bantuan ke rumah penduduk pula bersama logistik sekali seperti water jet dan sebagainya," katanya.
Foto: APM Terengganu.
30 Nov 20
370
16,051 Penerima Baharu Kad Sejahtera
KUALA TERENGGANU, 30 November – Kerajaan negeri telah mengenalpasti 16,051 penerima baharu bantuan Kad Sejahtera bagi fasa kedua.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata pemilihan pada kali ini diuruskan oleh Terengganu Staregic & Integrity Institute (TSIS) sebagai agensi pelaksana program.
"Untuk status terkini pelaksanaan program kad sejahtera fasa dua, pihak TSIS telah mengambil perjalanan yang dijangka selesai sepenuhnya pada akhir Disember ini dan penerima boleh menggunakan kad tersebut pada awal Januari 2021.
"Satu dokumen perjanjian baharu telah disediakan dengan pihak penyedia perkhidmatan iaitu Selfcare Sdn. Bhd yang kini dalam semakan akhir oleh pejabat penasihat undang-undang negeri," ujarnya.
Beliau berkata kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas bersiaran langsung di TV Darul Iman, di sini hari ini.
Terdahulu, pelaksanaan kad sejahtera fasa pertama bermula pada Julai 2019 hingga Julai 2020 telah memberi manfaat kepada 12,126 penerima di seluruh negeri Terengganu.
30 Nov 20
2160
JKM Pertimbang Tambah 8,000 Peluang Kerja
MARANG, 30 November - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Malaysia sedang mempertimbangkan kewajaran pertambahan sekurang-kurangnya 8,000 peluang pekerjaan dalam usaha pengstrukturan semula Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Timbalan Menteri kementerian itu, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pertambahan itu bertujuan memenuhi keperluan terdesak terutama ketika berdepan dengan musim tengkujuh di mana-mana negeri yang sering dilanda banjir, termasuk Terengganu..
"Melalui belanjawan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia baru-baru ini, kerajaan bercadang untuk meluluskan 50,000 jawatan secara kontrak melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pihak kementerian kami juga telah memohon sebanyak 8,000 jawatan untuk keperluan masyarakat.
"Itu juga mungkin perlu ditambah lagi kerana saya melihat banyak isu-isu yang memerlukan tambahan tenaga kerja yang melibatkan kumpulan sasar di bawah Kementeria Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,"katanya
Lawatan bersama di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Marang
Menurut Siti Zailah, pihaknya juga memahami bahawa tenaga JKM kini agak terhad di mana mereka bukan sahaja menguruskan permohonan dan kerja di pejabat, tetapi mereka juga perlu membuat siasatan terhadap kes aduan dan menjaga keperluan di pusat-pusat perpindahan sementara.
"Oleh itu, kita juga sangat mengharapkan kerjasama dalam kerajaan dan juga sokongan daripada sukarelawan-sukarelawan serta daripada semua pihak untuk bersama-sama kita memastikan keperluan terutama di musim bencana dapat diberikan secara terbaik kepada rakyat yang memerlukan,"katanya..
Beliau berkata ketika hadir melawat Depoh Simpanan Keperluan Bencana Marang bersempena pelancaran program Kembara Perihatin Negara peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, semalam.
Turut hadir adalah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional, Alias Harun, ADUN Wanita Terengganu, YB Zuraida Md Noor, dan Pengarah JKM Negeri Terengganu, Zuhaimi Omar.
Ziarah dan penyerahan kerusi roda kepada penduduk setempat yang uzur
Sementara itu, dalam aktiviti ziarah yang dilakukan di beberapa rumah penduduk sekitar, beliau menjelaskan bahawa tujuan program turun padang ini adalah bertujuan untuk melihat sendiri keadaan dan perkembangan semasa klien di bawah JKM.
"Setinggi penghargaan kepada kakitangan JKM, sukarelawan dan semua pihak yang bergitu tekun serta perihatin terhadap kebajikan rakyat terutama golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan terlantar khususnya yang perlu dibantu sepanjang masa.
"Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu melalui Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang di mana saya dimaklumkan bahawa satu inisiatif telah diambil untuk membaik pulih rumah seorang penduduk yang merupakan penerima bantuan JKM."
30 Nov 20
361
Hanafiah, Sukarelawan Bersih Rumah Mangsa Banjir
KEMAMAN, 29 November – Hanafiah Mat bersama 200 sukarelawan daripada Pengurusan Kecemasan Bencana Khidmat Malaysia yang terdiri daripada Jabatan Amal Kemaman, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman dan Pakat 4x4 turun padang membersihkan rumah mangsa banjir dan Tabika Kemas di Kampung Teladas, Air Putih di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu berkata, misi berkenaan turut melibatkan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan (DUN) Air Putih, Pejabat Daerah Kemaman, Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Syarikat Air Terengganu (SATU) dan RELA.
“Mangsa yang terjejas dalam bah kali ini hampir 1,000 penduduk dan banyak rumah kotor kesan daripada banjir.
“Banjir yang kian surut di sini menyaksikan penduduk mula pulang ke rumah masing masing. Namun cabaran mereka kini adalah untuk membersihkan kediaman yang terjejas akibat bencana itu. Sehubungan itu kita mengambil inisiatif bagi meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui media semasa operasi pembersihan.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu menjelaskan, pihaknya akan mengagihkan makanan percuma ke setiap rumah mangsa banjir esok bagi meringankan beban mereka yang terlibat.
“Kita akan buat dapur bergerak, jadi setiap rumah saya akan sediakan nasi dalam lima hingga enam bungkus satu keluarga, mereka tak perlu masak tengah hari, insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Hanafiah berkata, beliau dimaklumkan hanya satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka di seluruh Terengganu.
“Satu PPS di Marang, iaitu di SMK Merchang dengan melibatkan tiga keluarga atau lapan mangsa,” tambah beliau.
29 Nov 20
2349
'Banjir Kepala Air' Di Air Putih
KEMAMAN, 30 November - Banjir yang melanda Kampung Air Putih dan sekitarnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih dikatakan sebagai 'banjir kepala air' kerana ianya naik secara mendadak selepas hujan lebat seharian baru-baru ini.
Seorang mangsa yang ditemui, Abdulmin Ambing, 49, memberitahu, air bercampur lumpur yang naik secara tiba-tiba membuatkan beliau dan keluarganya tergamam.
"Air mengalir dengan laju dan memenuhi ruang dapur dengan cepat sekali.
"Keadaan menjadi kelam kabut, saya dan keluarga terus keluar dari rumah dan pergi ke tempat yang lebih tinggi untuk menyelamatkan diri.
"Nasib baik ianya berlaku pada siang hari kalau malam hari tak tahu lah macam mana," katanya.
Abdulmin Ambing.
Abdulmin berkongsi pengalamannya ketika ditemui oleh Urusetia Penerangan Darul Iman di Kampung Air Putih kelmarin.
Sehingga kini hanya tinggal lima orang mangsa banjir daripada jumlah keseluruhan iaitu 1,380 orang mangsa di 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kelmarin yang masih tidak dibenarkan pulang iaitu di PPS Kampung Pasir Gajah di atas faktor keselamatan.
Operasi pembersihan rumah yang terkesan melibatkan kira-kira 300 buah rumah mangsa sedang giat dijalankan dengan bantuan agensi kerajaan iaitu bomba, Anggota Penyelamat Malaysia (APAM), Pejabat Daerah, Pejabat Kesihatan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dari Jabatan Amal Kemaman.
29 Nov 20
896