lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Waladun Soleh Bakal Lahir Generasi Genius al-Quran
Waladun Soleh Bakal Lahir Generasi Genius al-Quran
KUALA TERENGGANU, 15 Disember - Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT)  menyasarkan sekurang-kurangnya 1,600 ibu mengandung di negeri ini dapat mengikuti Program Waladun Soleh yang mula diperkenalkan pihak itu bermula pertengahan September lalu. Waladun Soleh adalah program stimulasi janin atau kaedah pendengaran audio bunyi-bunyian asas surah-surah al-Quran kepada kandungan seawal usia tiga bulan. Mendapat kerjasama Al-Baghdadi Prenatal Education bertujuan melahirkan lebih ramai  generasi genius al-Quran pada masa akan datang. Pengarah YPKT Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, program itu menumpukan sekurang-kurangnya 200 ibu mengandung di setiap daerah atau 1,600 ibu mengandung di Terengganu yang mendapat manfaat. Katanya, pihaknya mula perkenalkannya pada September lalu melibatkan ibu mengandung di daerah Hulu Terengganu, seterusnya Dungun dan Kemaman. "Bagi daerah seterusnya terpaksa ditangguhkan buat seketika  akibat penularan wabak Covid-19 yang semakin meruncing "Pemilihan peserta, pihak kami lebih mengutamakan ibu bapa kanak-kanak Taska Permata Keluarga (TPK) untuk menyertai program secara bersiri itu," katanya. Menurutnya, istimewanya program tanpa bayaran itu, mampu memberi pendedahan terkini dan tepat kaedah mendidik anak bermula daripada janin mengikut ajaran islam. "Tatacara modul yang dibangunkan itu tidak lari daripada parameter syariah. Yang lebih pasti barakah daripada program itu dapat melahirkan sebuah keluarga sakinah dan mawaddah. "Testimoni peserta sangat membanggakan kerana masing-masing mengakui apa yang diikuti itu sangat menyeronokkan, rasa teruja, tenang dan mudah untuk dipratikkan ketika berada di rumah. "Oleh itu bakal ibu sewajarnya merebut peluang itu kerana bukan sahaja percuma malah dapat berkongsi pengalaman bersama bakal ibu-ibu lain," katanya.  
15 Dec 20
470
Kes Adib Akan Selesai Tidak Lama Lagi
Kes Adib Akan Selesai Tidak Lama Lagi
KUALA LUMPUR, 14 Disember - Kes berkaitan dengan kematian seorang anggota bomba, Muhammad Adib Muhammad Kasim, akibat rusuhan pada 27 November 2018 akan berakhir tidak lama lagi. Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Zainuddin Hamzah, berkata kes yang telah menjadi polemik politik tersebut kini telah berada di fasa akhir siasatan.  "Saya dah jelaskan dalam dewan ini (tempoh hari bahawa) beberapa orang telah ditangkap dan dibawa ke mahkamah. "Penyebab kematian (Allahyarham Adib) akan dimaklumkan selepas segala siasatan selesai dijalankan," ujar beliau dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini. Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer telah bangkit mencelah ketika sesi soal jawab lisan bagi bertanyakan tempoh masa dan bentuk hukuman yang akan dijatuhkan kepada pembunuh Allahyarham Adib. "Kita akan bawa (kes ini) kepada Peguam negara untuk menentukan (bentuk hukuman yang sesuai)," tambah beliau. Muhammad Adib, 24, yang bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya cedera teruk dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya dan meninggal dunia selepas 21 hari menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). Pada 4 Ogos yang lalu, Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah membuka semula siasatan berkenaan kes ini dan telah menahan 12 orang suspek dibawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan.
14 Dec 20
425
KTS Perkenal Rawatan Kesihatan Di Rumah Serendah RM30
KTS Perkenal Rawatan Kesihatan Di Rumah Serendah RM30
KUALA TERENGGANU, 14 Disember - Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTSH) terus meluaskan rangkaian perkhidmatannya apabila menawarkan servis penjagaan kesihatan terus ke rumah (KTSH Homecare) pada harga serendah RM30. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kelebihan utama KTSH Homecare adalah perkhidmatan rawatannya dilakukan secara menyeluruh dan mengutamakan kualiti. “Dalam erti kata lain, apa yang ditawarkan di KTSH, juga boleh dilaksanakan di rumah, antaranya konsultasi pakar, fisioterapi, farmasi, dietetik dan nutrisi, serta perkhidmatan ambulans. “Juga ada perkhidmatan lain seperti penjagaan sebelum dan selepas bersalin, penjagaan Orang Kurang Upaya, pesakit terlantar, warga emas, rawatan selepas pembedahan dan sewaan alatan bantuan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran ‘KTSH Homecare’  di ruang legar KTSH di sini hari ini. Hadir sama, Pengurus Besar KTSH, Salina Long dan Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin. Menurut Dr Alias, seramai 10 jururawat terlatih dan beberapa pegawai perubatan serta doktor pakar sedia berkhidmat sekiranya mana-mana pesakit yang tinggal di kawasan Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang memerlukan rawatan. “Harga rawatan yang dikenakan sangat berpatutan serendah RM30 atau bergantung kepada jenis penyakit dan tempoh perkhidmatan yang dikendalikan. "Apa yang diperkenalkan bermula akhir tahun lalu itu, amat bersesuaian dengan perubahan kehidupan kepada norma baru kerana kebanyakan masyarakat hari ini, tidak digalakkan berada di kawasan berisiko. "Berdasarkan rekod sehingga November lalu, seramai 700 individu yang menghidapi pelbagai penyakit telah menerima perkhidmatan KTSH Homecare,” katanya. Untuk rekod, KTSH merupakan anak syarikat kerajaan negeri di bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad dan ia di bawah kelolaan Kumpulan Medic Iman (KMI Healthcare)  
14 Dec 20
3999
Kaum Wanita Diseru Kuasai Silat
Kaum Wanita Diseru Kuasai Silat
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 14 Disember - Golongan wanita diseru supaya menguasai ilmu persilatan bagi mempertahankan diri daripada berhadapan dengan situasi yang membahayakan keselamatan diri. Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, langkah itu juga mampu menangkis tanggapan bahawa wanita adalah golongan yang lemah dan mudah diambil kesempatan. "Berita ragut, rogol dan bunuh sering kali terjadi kepada kaum hawa, mereka dijadikan sasaran kerana dianggap lemah dan mudah diambil kesempatan. "Justeru, kita lihat seni silat boleh mempertahankan diri dan keluarga termasuk di kalangan wanita, golongan wanita pada hari ini mesti menjadikan dunia seni silat ini sebahagian rutin kehidupan mereka," jelasnya. Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kenaikkan Bengkung Pusaka Gayong Peringkat Negeri 2020 Zon1 di Madrasah Darul Iman, Bukit Payung baru-baru ini. Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menggunakan seni warisan melayu itu hanya untuk bermegah-megah dan mencari lawan. “Tetapi gunakanlah ia untuk mempertahankan diri dalam keadaan suasana masyarakat sekarang ini. "Saya juga berharap seni mempertahankan diri itu menjadi satu perkara yang penting dalam kehidupan anak-anak muda agar mereka tidak menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah," tambah beliau.
14 Dec 20
1005
Tunggu 20 Tahun Untuk Guna Jalan Bertar
Tunggu 20 Tahun Untuk Guna Jalan Bertar
MARANG, 14 Disember - Kesulitan penduduk Kampung Tertak Batu yang terpaksa menggunakan jalan berbatu hampir 20 tahun di kawasan berbukit dan cerung akhirnya berakhir apabila jalan tersebut diturap tar sepenuhnya untuk kegunaan penduduk sekitar. Menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)  Tertak Batu, Zulkifli Taha, penduduk sekitar menunggu sejak sekian lama untuk menggunakan jalan yang selesa dan tidak berdebu. "Walaupun jalan yang diturap ini hanya sepanjang 200 meter, tetapi dengan keadaan jalan yang berbukit dan berbatu sebelum ini menyebabkan banyak terjadinya risiko keselamatan kepada penduduk. Keadaan jalan sebelum yang digunakan oleh penduduk "Lebih kurang lima hingga enam buah rumah, adalah pengguna tetap jalan ini dimana mereka akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada kemudahan jalan tersebut "Sebelum ini jalan yang dipohon hanya dibina menggunakan batu kisaran dan sering kali rosak menyebabkan kesukaran penduduk untuk keluar masuk menggunakan jalan tersebut,"katanya. Beliau berkata ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman, semalam Jalan itu dibina dibawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS) berjumlah RM37, 000 melalui Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.  
14 Dec 20
2219
Barang Cukup, Tidak Perlu Pembelian Panik
Barang Cukup, Tidak Perlu Pembelian Panik
HULU TERENGGANU, 13 Disember - Orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik susulan terdapat ramalan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia pada awal tahun hadapan. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato' Rosol Wahid berkata pihaknya yakin rakyat lebih bijak dalam membuat penilaian sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertengahan Mac tahun ini. "Jika kita lihat pada awal diumumkan PKP telah berlakunya pembelian panik dan ia berubah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan seterusnya PKPP yang mana rakyat mula tidak panik melakukan pembelian sehinggalah sekarang. "Pegawai KPDNHEP akan melaporkan kepada saya setiap hari tentang  barangan dalam pasaran berserta dengan harganya. "Tidak perlu bimbang kerana pihak kita memang pantau barang apa yang berkurangan atau barang mana yang naik harga,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke ladang Fertigasi di Kampung Pela, Ajil, hari ini. Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, beliau percaya ramalan bahawa kes COVID-19 akan menjadi serius tidak berlaku. "Lagipun tahun depan Malaysia dijangka akan dapat vaksin jadi perkara itu tidak akan berlaku," ujarnya lagi. Terdahulu, seorang pakar dari China meramalkan kes penularan COVID-19 di Malaysia menjadi lebih serius dengan bakal mencecah sehingga 187,997 kes menjelang 25 Januari tahun depan Sementara itu, dalam lawatan kali ini, beliau turut mempertimbangkan permohonan peruntukan hampir RM30,000 untuk baikpulih sistem paip air bukit di Pusat Tanaman Fertigasi berkenaan.  
13 Dec 20
559
6,267 Rakyat Terengganu Dapat Manfaat Tabung Darul Iman
6,267 Rakyat Terengganu Dapat Manfaat Tabung Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 13 Disember - Seramai 6,267 penduduk di Terengganu yang ditimpa musibah dan menghidap penyakit kronik mendapat manfaat daripada Tabung Darul Iaman (TDI). Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia membabitkan perbelanjaan lebih RM5.3 juta sepanjang tempoh 10 bulan tahun ini. Katanya, daripada jumlah itu bantuan paling banyak dibelanjakan adalah Bantuan Sara Diri Tahunan iaitu RM2.4 juta. "Manakala bantuan yang sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Penyakit Kronik pula memberi manfaat kepada 4,438 penerima yang merupakan penghidap penyakit kronik seperti kanser, jantung, kegagalan buah pinggang dan strok. "Bagi bantuan musibah, seramai 174 orang mendapat bantuan ini melibatkan peruntukan RM1.6 juta manakala bantuan susu dan lampin pakai buang pula diberikan kepada 1,428 penerima dengan jumlah bayaran RM960,646. "Tetapi bantuan masuk hospital atau bil hospital pula tidak disediakan kerana Tabung Darul Iman hanya menyediakan Bantuan Perubatan melalui Surat Jaminan (GL). Bantuan perubatan ini adalah melibatkan bantuan implan, peralatan perubatan dan ubat-ubatan yang tidak disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya. Dalam pada itu, Hanafiah berkata, seramai 227 pesakit mendapat manfaat Bantuan Perubatan melibatkan peruntukan RM322,475 dalam tempoh sama tahun ini. "Tabung Darul Iman adalah gabungan daripada tiga tabung sedia ada iaitu Tabung Darul Iman, Tabung Bantuan Penyakit Kronik dan Dana Kebajikan Sosial Perubatan yang bertujuan mengurus dan menyelaras bantuan secara sistematik dan efisien," katanya.  
13 Dec 20
3840
Operasi Buang 300 Iklan 'Ah Long'
Operasi Buang 300 Iklan 'Ah Long'
MARANG, 13 Disember - Lebih 300 iklan tanpa lesen yang ditampal di serata tempat di sekitar Marang ditanggalkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam Operasi Menurunkan Iklan, malam semalam. Jumlah itu sekali gus membuktikan kegiatan berkenaan semakin menjadi-jadi walaupun menyedari tidakan itu menyalahi undang-undang. Operasi sama turut membuang sepanduk, 'bunting', poster pinjaman wang tidak berlesen di berkenaan. Inisiatif itu diketuai oleh Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar) bersama-sama Penguatkuasa Majlis Daerah Marang, Keselamatan Negeri, Ameerah dan Pemuda. Pengarah Skuad Amar Negeri, Yusuf Abdul Hadi berkata, operasi itu telah diadakan di kesemua empat buah DUN iaitu Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Alur Limbat dan Bukit Payong dengan dibantu oleh Pemuda dan Ameerah. "Usaha ini adalah ekoran daripada aduan yang diterima daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dun di beberapa kawasan di sekitar Marang sehingga menimbulkan pelbagai masalah.   "Ini juga adalah salah satu usaha bagi mengelakkan keterlanjuran masyarakat daripada berterusan menjadi mangsa kepada ceti haram sehingga membahayakan keselamatan diri dan keluarga,"katanya. Katanya, pesanan kami kepada masyarakat, adalah elakkan daripada pinjama Ah Long bukan sahaja daripada poster dan sepanduk tetapi juga dengan teknik online seperti 'scammer'. "Di peringkat permulaan kebiasaanya mereka menawarkan dengan taburan janji-janji manis. Semua pihak perlu ambil berat tentang pinjaman ah long kerana boleh menjejaskan masyarakat terutamanya orang susah,"katanya. Menurutnya lagi terdapat pelbagai agensi dan jabatan yang boleh membantu mereka yang memerlukan seperti tabung usahawan daripada Yayasan Pembangunan Usahawan, Bantuan Bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) dan sebagainya. Seramai 30 orang sukarelawan skuad Amar telah terlibat dalam operasi yang bermula seawal jam 8.00 malam.    
13 Dec 20
166
Galak Belia Ternak Arnab
Galak Belia Ternak Arnab
HULU TERENGGANU, 12 Disember - Golongan belia di negeri ini digalakkan menceburi bidang pertanian dan penternakan sebagai pekerjaan yang memberi pendapatan lumayan. Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Amirullah Othman berkata, bidang pengeluaran makanan dan pertanian adalah penting untuk masa depan negara dan golongan muda perlu mengambil peluang yang disediakan sebagai salah satu cabang kerjaya. "Saya berharap agar golongan belia di negeri ini tidak melepaskan peluang yang ada demi masa depan mereka sendiri. "Kerajaan sering menyediakan ruang dan terpulang kepada mereka untuk mengambil inisiatif membangunkannya secara berkesan," ujarnya ketika ditemui di Kursus Asas Penternakan Arnab di RestHouse Kuala Berang, hari ini. Majlis perasmian Kursus anjuran Majlis Belia Hulu Terengganu (MBDHT) telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato' Rosol Wahid. Seminar bagi menggalakkan penyertaan golongan muda dan memberi panduan serta dorongan kepada mereka untuk terbabit dalam sektor penternakan arnab. berjaya menarik 72 peserta dari Kelantan, Pahang dan Terengganu. Sementara itu, Rosol berkata penternakan arnab mampu menjadi satu prospek baharu dalam bidang pertanian. Beliau turut yakin masa depan industri ternakan arnab pedaging dan hiasan amat cerah serta mampu memberi pulangan yang menguntungkan, sekiranya diusahakan dengan skala besar. "Permintaan terhadap daging arnab semakin meningkat dan ia mampu menjadi alternatif kepada sumber protein selain lembu dan kambing. "Hasil pendapatan pun lumayan dan saya difahamkan seekor arnab hidup dijual RM12 sekilo, daging RM35 sekilo dan tanpa tulang RM45 sekilo," katanya.
12 Dec 20
978
Hulu Terengganu Bukan Lagi Zon Hijau
Hulu Terengganu Bukan Lagi Zon Hijau
HULU TERENGGANU, 12 Disember - Satu-satunya daerah di Terengganu yang sebelum ini bebas daripada jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) akhirnya dikategorikan sebagai zon kuning selepas satu kes baharu dikenal pasti di sini, hari ini. Perkara itu dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui laman sosial Facebooknya. Menurut kenyataan tersebut, kes baharu iaitu kes 249 merupakan kes import B dan didaftarkan di mukim Penghulu Diman, Hulu Terengganu.  "Kes merupakan pesakit terlantar dan mempunyai sejarah perubatan penyakit darah tinggi, diabetes dan angin ahmar.  "Kes dibawa ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) pada 11 Disember 2020 dengan masalah pernafasan dan seterusnya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut. "Berdasarkan kepada keadaan klinikal semasa, kes telah dimasukkan ke ICU dan diberikan alat bantuan pernafasan,"ujar kenyataan itu hari ini. Menurut kenyataan itu lagi pada hari ini Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah merekodkan pertambahan enam kes baru Covid-19 menjadikan terdapat 13 kes Covid-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 250 kes. Susulan itu, bagi membendung penularan tempatan dan menjaga zon hijau di negeri ini, individu yang memasuki Terengganu digalakkan hadir ke klinik kesihatan dan hospital berdekatan untuk menjalani penilaian risiko oleh petugas kesihatan.  Arahan untuk tindakan seterusnya bergantung kepada hasil penilaian tersebut. - Gambar fail.
12 Dec 20
19420