lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Penyanyi, Pemuzik Yang Tercicir  Dari Senarai Royalti Diminta Hubungi MyIPO
Penyanyi, Pemuzik Yang Tercicir  Dari Senarai Royalti Diminta Hubungi MyIPO
HULU TERENGGANU, 11 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengalu-alukan penyanyi dan pemuzik rakaman yang tercicir dari senarai pembayaran awal royalti muzik  menghubungi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata, mana-mana yang bernaung di bawah badan pelesenan Recording Performers Malaysia (RPM) dan Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) boleh berbuat demikian secepat mungkin untuk tindakan seterusnya. Katanya, ia mungkin berlaku keciciran di pihak pengurusan di Jabatan Insolvensi dan pertubuhan yang menguruskannya  kerana menghadapi kekangan kerana ketiadaan rekod. "Kami di KPDNHEP memang sentiasa peka dan memahami keresahan penggiat industri seni yang terkesan kerana hilang punca pendapatan akibat pandemik COVID-19.  "Walaupun KPDNHEP melalui agensinya, MyIPO hanya sebagai pemudahcara atau badan perantara dalam isu ini, kami memandang serius permasalahan yang membelenggu penggiat seni tempatan ini,"ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tanah runtuh di Kampung Pasir Nering, hari ini. Tambah Rosol, bayaran awal tunggakan royalti  kira-kira 1,000 penyanyi dan pemuzik rakaman hanya dapat dibuat pada Januari 2021, kerana tertakluk kepada prosedur kewangan kerajaan yang dilaksanakan pada setiap akhir tahun. "Mereka akan menikmati bayaran awal tunggakan royalti berkenaan yang akan dibayar oleh Music Rights Malaysia (MRM) kepada RPM dan PRISM melalui Jabatan Insolvensi (MDI) selaku badan penyelia PRISM, selepas ia dibubarkan pada November 2018," ujarnya. Justeru itu, katanya, adalah tidak adil mengatakan kerajaan main-main atau melewatkan pembayaran tunggakan royalti muzik itu kerana hakikatnya ia terpaksa dibayar pada Januari berikutan tertakluk kepada prosedur kewangan kerajaan.  “Jadi apabila berjaya menemui jalan penyelesaian pada mesyuarat Rabu lalu di MyIPO, kita putuskan untuk salurkan bayaran awal dahulu RM500 kepada ahli RPM dan PRISM yang terlibat dan bakinya akan kita bayar selepas selesai mendapatkan jumlah bayaran yang tepat.  "Ini kerana bayaran bagi setiap ahli adalah berbeza mengikut kadar pengunaan dan penyiaran karya mereka di stesen radio dan televisyen tempatan,” katanya.    
11 Dec 20
487
Pok Wel Teruja Terima Geran Tanah
Pok Wel Teruja Terima Geran Tanah
KEMAMAN, 11 Disember - Pok Wel atau nama sebenarnya Mohd Azir Jusoh, 62, gembira kerana menerima geran Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan Fasa Satu Bujal semalam. Katanya, berkat kesabaran setelah 15 tahun dinafikan hak memiliki tanah akhirnya menemui noktah. "Alhamdulillah, Pok Wel amat gembira dan berterima kasih kepada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh dan juga Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat yang mewakili kerajaan negeri. "15 tahun Pok Wel tunggu saat ini dan akhirnya boleh juga geran tanah Bujal ni. "Kita kena istiqamah dan paling penting adalah sabar dalam setiap apa yang menimpa kita," katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Geran RTB Terkilan Fasa Satu Bujal. Turut hadir dimajlis tersebut adalah Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohd Sophian Abu Bakar beserta pegawainya, Pegawai Penyelaras DUN Kijal Ustaz Hazri Jusoh bersama kakitangannya dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Air Putih, Yang Berhormat Cikgu Ab. Razak Ibrahim. Majlis Perasmian oleh YB Hj. Hanafiah Mat. Majlis tersebut diadakan di Kampung Desa Makmur Bujal dengan dihadiri 72 orang peserta.. Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasan Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang mewakili Menteri Besar Terengganu. Tetamu dan para peserta RTB Terkilan Bujal  
11 Dec 20
2041
Individu Dari Zon Merah Diminta Hubungi Jabatan Kesihatan
Individu Dari Zon Merah Diminta Hubungi Jabatan Kesihatan
KUALA TERENGGANU, 11 Disember  - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) meminta semua yang bergerak masuk ke Terengganu khususnya dari zon merah untuk menghubungi pihak berkaitan bagi penilaian risiko Covid-19. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia susulan kebenaran rentas daerah dan negeri yang bermula 7 Disember lepas. Katanya, sebagai langkah kawalan, mereka ini diminta menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) atau Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah dan menyediakan borang deklarasi yang perlu dilengkapkan. "Sejak 7 Disember  kami mengesan ramai juga kontak rapat kepada kes positif atau kluster dari luar Terengganu. Juga kes positif dikesan yang bergerak masuk ke Terengganu.  "Kita menjangkakan peningkatan kes ekoran kebenaran ini dan negeri bersebelahan Terengganu juga menunjukkan peningkatan kes dan situasi ini merisaukan kita.   "Jadi kita mesti ambil langkah berjaga-jaga untuk 'protect' Terengganu yang situasi Covid 19 masih terkawal. Jika tidak, ini bakal mengundang kluster baharu di Terengganu," ujarnya kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi Facebook miliknya hari ini. Tambahnya, ada  yang masuk dari zon merah tetapi terus ke Klinik Kesihatan untuk membuat saringan tanpa singgah di mana-mana perhentian. "Mereka dikesan positif dan terus dimasukkan ke Hospital. Sikap begini sangat baik dan patut dipuji kerana ia membantu mengelakkan penularan dalam komuniti dan patut dicontohi oleh pengembara lain,"ujarnya lagi.    
11 Dec 20
10328
72 Penduduk Bujal Kembali Dapat Hak Tanah
72 Penduduk Bujal Kembali Dapat Hak Tanah
KEMAMAN, 10 Disember – Seramai 72 penduduk Kampung Bujal di sini kembali mendapat tanah mereka selepas proses penyerahan hak milik tertangguh lebih 16 tahun. Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, setelah pelbagai peristiwa pahit dilalui para penerima terbabit kini dapat memajukan kembali tanah yang diperolehi. "Terima kasih kepada para pemohon kerana bersabar, diharapkan agar pemohon seterusnya memahami urusan berkaitan hak milik tanah ini kerana perkara tersebut memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit. “Syukur kepada Allah SWT kerana hari ini kerajaan Terengganu dapat memberi geran tanah terkilan kepada 72 orang di Kijal pada majlis fasa pertama ini.  “Bagi Fasa kedua, sebahagian kecil lagi masih berada di Pejabat tanah disini dalam proses melengkapkan maklumat untuk dibawa kepada PTG dan terus ke Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMKN), saya harap dalam tiga atau empat bulan insya-Allah dapat menyerahkan kepada 62 permohonan berbaki ini,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok Terkilan Bagi Tapak Bangunan Kediaman di Desa Makmur Bujal, Kijal, Kemaman hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar. Menurut seorang penerima, Zaitun Che Ku Abdul, 59, dia menyuarakan rasa syukur dan lega atas pengembalian hak tanah yang ditunggu sejak 16 tahun lalu. "Terima kasih kepada Yang Berhormat dan kerajaan dalam usaha ini. Dulu rumah diruntuh tapi sekarang ini rumah baharu akan dibina untuk keluarga," kata ibu kepada tiga orang anak itu. Sementara itu, Samsudin Abdullah, 71, berkata, dia gembira setelah hak yang dinafikan kini dikembalikan dan berterima kasih terhadap usaha kerajaan dalam memperjuangkan perkara tersebut. “Syukur kepada Allah SWT dan terima kasih atas usaha kerajaan negeri, belum pernah saya miliki tanah sebelum ini,  walaupun sudah berusia tua, diharapkan supaya masjid dapat didirikan kembali di Kampung Bujal bagi kegunaan bakal penduduk di sini. "Insya-Allah tanah akan dimanfaatkan untuk membina rumah bagi kemudahan anak-anak saya," tambahnya.  
10 Dec 20
660
Bot Karam, Tiga Nelayan Hilang Sumber Pendapatan
Bot Karam, Tiga Nelayan Hilang Sumber Pendapatan
KEMAMAN, 10 Disember - Tiga nelayan di Chukai di sini hilang sumber pendapatan selepas bot mereka karam dalam sekelip mata. Juragan bot, Rozak Mohd, 64, berkata mereka sebelum ini bergantung pada pekerjaan itu bagi menyara keluarga. Namun kini katanya, ia memberi beban kerana mereka tidak lagi dapat turun ke laut bagi mencari rezeki. "Kami bertiga mempunyai tanggungan sendiri. Kami tiada duit untuk menampung perbelanjaan untuk keluarga. "Tambahan pula musim begini, bulan Januari nanti pula anak-anak akan ke sekolah, sudah tentu ia memerlukan kewangan yang secukupnya untuk itu," ujarnya ketika ditemui pemberita baru-baru ini di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai. Rozak yang tinggal di Kampung Paya Berenjut mengharapkan agar ada jalan atau bentuk bantuan daripada kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban yang sedang mereka hadapi Dalam kejadian pada 29 November lalu itu, Rozak bagaimanapun berkata dia bersama dua lagi rakannya Hamzah Bakar, 67, dan Mohd Rodi Ibrahim, 51 terselamat. "Kejadian malang itu berlaku pada jam 9.40 pagi ketika kami sedang leka mencari rezeki. "Kejadian berlaku sekelip mata, kami tidak sempat berbuat apa-apa. Ketika itu kami memakai jaket keselamatan mengambil keputusan terjun ke laut. "Setengah jam menunggu akhirnya kami diselamatkan oleh bot nelayan lain yang lalu di kawasan itu," jelasnya. Bot dinaiki mereka dikatakan tenggelam di Laut Kepala Geliga yang dianggarkan sejauh dua batu nautika daripada darat.    
10 Dec 20
258
Dulu Hobi, Kini Jana Rezeki Lumayan
Dulu Hobi, Kini Jana Rezeki Lumayan
HULU TERENGGANU, 10 Disember - Bermula sekadar hobi atau suka-suka bagi mengisi masa lapang, kini Mohd Azree Mohd Razali 40, dari Kampung Lubuk Periuk bergelar usahawan ternakan ikan kelah merah yang berjaya. Pernah berkhidmat di  sektor perkilangan dan perkhidmatan perkomputeran di Melaka selama 12 tahun, usahawan akuakultur ini berkata pilihannya tidak menjadi sia-sia setelah memilih untuk pulang ke kampung dan seterusnya berjinak dalam bidang ini. “Pada mulanya saya kembali ke kampung halaman untuk meneruskan hobi dan minat ayah mencari dan menjual spesis ikan kelah merah kepada pengusaha ikan hiasan atau untuk dijadikan hidangan mewah. "Akan tetapi apabila saya melihat populasi ikan ini makin berkurangan akibat beberapa faktor terutama pencemaran sungai dan tangkapan berlebihan, saya mula terfikir untuk menternaknya secara serius,"ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui, baru-baru ini.   Justeru itu katanya, dia  mengambil keputusan memulakan perusahaan itu secara serius kira-kira tiga tahun lalu dengan modal serta bantuan kelengkapan hampir RM100,000 selepas menimba ilmu serta teknik pembiakan ikan kelah daripada pihak yang berpengalaman. “Alhamdullilah projek saya ini mendapat sokongan dan peralatan daripada pihak Jabatan Perikanan seperti mesin pam air dan tangki yang bertujuan mengurangkan kadar kematian khususnya anak ikan yang memerlukan pengaliran air bersih semulajadi selain penjagaannya tersendiri," ujarnya. Menurut Azree, dia cukup berterima kasih kepada Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI Glami Lemi) Negeri Sembilan yang banyak memberi banyak tunjuk ajar dan maklumat terkini sehingga ke hari ini. Kini, dia memiliki empat kolah kecil serta tangki bersaiz sederhana yang di tambah baik ini juga digunakan untuk menampung sementara induk ikan terpilih ketika proses pengasingan dilaksana. Tambahnya lagi, peminat peminat kebanyakannya suka membela dari kecil, dan jumlah permintaan sekarang mencecah sehingga 10,000 ekor sebulan. Jumlah induk yang ada sekarang ni aktif sekitar 300 ekor dan dijangka sehingga akhir tahun ni saya ada stok induk sehingga 500 ekor. "Anak ikan berukuran sekitar tiga inci ini dijual dengan harga RM8 hingga RM9 seekor secara borong,"kata Azree.    Sementara itu , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim  berkata, Azree merupakan satu satunya usahawan penternakan ikan kelah di daerah Ajil sentiasa konsisten serta komitted dalam perlaksanaan projeknya. "Oleh sebab itu, kami di peringkat DUN Ajil melantik dia sebagai ikon belia bagi sektor Akuakultur dan Peladangan bagi memberi semangat pada belia lain menceburi bidang yang sama. “Nasihat saya kepada belia ialah rebutlah peluang yang disediakan oleh kerajaan dan bayar balik jasa ibu bapa kita,” katanya yang meluangkan masa meninjau perkembangan ternakan ikan kelah tersebut.
10 Dec 20
5466
Primula Beach Hotel Ambil Langkah Pencegahan COVID-19
Primula Beach Hotel Ambil Langkah Pencegahan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Primula Beach Hotel melaksanakan operasi sanitasi membabitkan bangunan dan persekitaran hotel secara berkala. bagi meningkatkan keyakinan pelancong datang ke Terengganu. Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata program itu bertujuan untuk memastikan Primula Beach Hotel kekal selamat dan bersih agar dapat memberikan keyakinan kepada orang ramai untuk menginap di hotel yang merupakan salah satu anak syarikat kerajaan negeri Terengganu. Katanya, ia juga bagi memberikan kesedaran kepada umum untuk sentiasa mengamalkan SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. “Kami telah mengambil inisiatif dalam mencegah penularan wabak COVID-19 dengan menganjurkan program sanitasi  Primula Beach Hotel secara berperingkat dengan kerjasama oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu. “Antara kawasan hotel yang terlibat adalah kawasan yang melibatkan tumpuan orang ramai seperti Kawasan Lobi Hotel, Bayu Restaurant,Anjung Bistro, Kuala Kopi Launge,Bayu Launge,Dewan Seminar, Bilik Tetamu dan sekitarnya,”katanya ketika dihubungi. Seramai 17 orang anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Terengganu yang diketuai oleh Puan Rozizah Ibni Hajar,Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nor mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Hiliran dan juga Pegawai Bomba Kanan II mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Kota telah turut serta program kali ini. Tambah Suaibah, pihak hotel berharap dengan penganjuran program seperti ini,  dapat bersama-sama membendung wabak Covid-19 daripada terus menular dan memberikan kepercayaan kepada awam untuk mengunjungi Primula Beach Hotel tanpa rasa ragu. "Pekerja kami juga melakukan kerja nyah cemar dan sanitasi secara berterusan di semua bilik dan kemudahan hotel sejak PKP lagi selain mematuhi garis panduan ketat diarahkan kerajaan sebagai langkah berjaga-jaga,”katanya.  
09 Dec 20
1122
Ayu Gadis ‘Pencinta’ Lembu
Ayu Gadis ‘Pencinta’ Lembu
  HULU TERENGGANU, 9 Disember - Di kala remaja seusianya masih mencari identiti diri, Nur Hidayu Rosli, 20, tidak kisah bergelumang dengan najis lembu malah pernah digelar gadis lembu kerana menguruskan ternakan itu yang menjadi minatnya sejak kecil. Anak bongsu daripada lima beradik itu menganggap 10 ekor lembu peliharaannya sebagai teman terbaik sejak kecil lagi dan pernah terluka ketika menyelamat salah seekor lembunya yang terbelit tali di bawah rumah.  “Saya tak kisah tanggapan orang ramai malah bangga menceburi bidang ini.Memang ada yang kata saya berkawan dengan lembu dan banyak menghabiskan masa dengan haiwan kesayangan tapi ada juga yang memuji. "Saya tidak kekok melakukan kerja menguruskan lembu seperti memberi makan dan membersihkan najis malah sanggup mencerut rumput  untuk memberi makan tanpa rasa penat atau segan. “Rutin setiap hari, jam 10 pagi akan mengheret lembu-lembu ini ke padang rumput sejauh 200 meter dan akan jenguk dua kali sebelum membawa pulang pada lewat petang,”katanya yang lebih mesra denggan panggilan Ayu ketika ditemui di kampung Pantai Ali, Kuala Berang. Dia yang turut dibantu oleh abang, Muhammad Faizal, 27, berkata bidang penternakan lembu sudah sebati dengannya sejak berusia enam tahun kerana selalu mengikut arwah ayah dan setelah kehilangan tonggak keluarganya akibat kanser hati pada bulan Mac 2020, dia mengambil alih tugas berkenaan dengan rela hati. “Soal jantina tidak menjadi penghalang, apa yang penting minat dan kesanggupan untuk bergelumang dengan najis dan bau busuk lembu. “Keluarga tidak pernah memaksa melakukan kerja menguruskan lembu termasuk memberi makan dan membersihkan najis di kandang sebaliknya ia dilakukan kerana minat sebelum keluarga memberi kepercayaan kepada saya menguruskan ternakan,”ujarnya lagi. Setiap lembunya mempunyai nama tersendiri seperti Kembang, Jantan, Merah, Siti dan Sor merupakan kesayangan Ayu sejak kecil  malah pernah menangis apabila Sor kemalangan ketika berusia tiga bulan yang mengakibatkan rahang patah. “Setelah pihak klinik mengatakan Sor tidak ada harapan untuk pulih, saya dan mak mula merawatnya dengan mengikat kain di sekeliling rahang dan memberikan daun kayu untuk di makan. “Syukur Alhamdulillah, akhirnya Sor sudah normal seperti biasa dan kami cukup gembira melihatnya,”katanya yang bercita-cita menjadi penternak wanita berjaya satu hari nanti. Sementara itu, Zaini  berkata, dia bangga dengan kecekapan anak perempuan bongsunya  menguruskan lembu di ladang seperti orang lelaki. Jelasnya lagi, dia tidak kisah dengan cemuhan dan tanggapan masyarakat sekeliling terhadap Ayu kerana sebagai ibu, dia lebih mengenali anak sendiri. “Ayu merupakan anak yang baik, dia buat semua untuk saya dan tidak semua orang seusianya yang sanggup mengurus lembu di ladang, cukup lasak namun anak saya mampu melakukannya dengan baik dan ia sesuatu yang membanggakan. “Dia sanggup korbankan cita-citanya dan peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam Diploma Senibina di UiTM Machang dengan alasan kalau dia tiada siapa yang nak uruskan ternakan, mak kan tak sihat. “Hatinya cukup penyayang terutama kepada binatang, dan sekarang Ayu turut membela 13 ekor kucing di rumah termasuk binantang lain,”ujar Zaini lagi. Sebagai ibu, Zaini yakin Ayu mampu  pergi jauh dalam bidang ini selain berharap pembabitan anaknya itu dapat membuka mata masyarakat terutama golongan wanita untuk turut sama menceburi bidang ini. “Saya bangga dengan kesanggupan anak menguruskan lembu di kandang kerana saya sedia maklum dengan cabaran yang ada walaupun dia masih remaja. “Bukan semua wanita mampu dan sanggup menguruskan lembu di kandang tetapi apabila dia mampu melakukannya dengan baik, ia sesuatu yang membanggakan,” katanya.  
09 Dec 20
5002
Setiu Model Pembangunan Tanah Terbiar
Setiu Model Pembangunan Tanah Terbiar
SETIU, 8 Disember – Daerah Setiu bakal dijadikan sebagai model membangunkan tanah terbiar dengan pelbagai aktiviti pertanian. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, terdapat lebih 1,000 hektar tanah terbiar yang boleh dimajukan menjadi tanah produktif dengan mengeluarkan hasil pertanian. Katanya, tanah-tanah tersebut mempunyai pemilik namun tidak diusahakan selama tiga tahun berturut-turut. "Bayangkan dengan keluasan tersebut jika ditanam dengan benda yang boleh memberi manfaat, berapa banyak hasil yang kita akan dapat. Contohnya Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pengkalan Aman, Setiu ada 27 hektar tanah yang telah diberi milik melalui proses RTB daripada tahun 2000 dan ke atas, namun 2020 ini tidak sampai 20 peratus daripada tanah telah diusahakan.  "Kita bekerja bersungguh-sungguh menunaikan hasrat rakyat untuk memiliki tanah tapi dalam masa yang sama ia perlu ada gabung jalin daripada bawah yang bersungguh-sungguh mengusahakannya. Akhirnya, ia memberi pulangan hasil kepada keluarga kita sendiri. "Kita akan jadikan RTB di Pengkalan Aman sebagai ‘pilot’ projek bagi memajukan tanah terbiar. Antaranya kita akan tanam dengan tanaman kontan dan juga mangga harum manis," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Suratan Hakmilik (Geran) dan Borang 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Daerah Setiu di Dewan Serbaguna Sungai Tarom, baru-baru ini. Mengulas lanjut, beliau berkata, tanaman harum manis sangat subur jika ditanam di kawasan-kawasan berkenaan. Ini kerana kadar kemanisan buah harum manis yang ditanam di Rhu Tapai telah mendapat bacaan brix meter sehingga 23 berbanding di Perlis hanya 22. "Ia membuktikan bahawa harum manis ini mampu ditanam di kawasan tanah beris. "Sebenarnya tanah yang tidak dimajukan ini mengikut Kanun Tanah Negara ada peruntukan hak yang membolehkan kita rampas semula tapi kerajaan negeri bukan mahu merampas. "Yang kita mahukan adalah berpakat fikir cari jalan, buat kajian, panggil jumpa berbincang apa sebab dan apa faktor yang menyebabkan tanah ini terbiar," jelasnya. Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 253 orang telah menerima geran dan 104 penerima jadual 5A. "Jadi bukan semua di kalangan rakyat kita bernasib baik untuk mendapat tanah. Maka yang boleh tanah ini tidak dimanfaatkan ia menjadi satu kerugian, sekiranya memerlukan bantuan teknikal dan sebagainya jabatan-jabatan sedia membantu," katanya. Beliau turut menegaskan kepada penerima jadual 5A supaya menjelaskan bayaran sebelum habis tempoh. "Ini kerana ia akan merumitkan lagi keadaan untuk proses seterusnya. Jangan dibandingkan dengan harga tanah zaman dahulu kerana ia bergantung kepada penilaian tanah semasa," jelasnya.
08 Dec 20
1394
Skuad Banjir Hulur Bantuan, Bersih Rumah Penduduk
Skuad Banjir Hulur Bantuan, Bersih Rumah Penduduk
KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Skuad Banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang menghulurkan pelbagai bantuan pasca banjir kepada mangsa yang terjejas dalam gelombang ketiga banjiir baru-baru ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata skuad yang ditubuhkan oleh Pusat ADUN Ladang itu dianggotai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Muslimat, Pemuda dan Ameerah DUN tersebut.  "Sudah dua hari mereka bekerja, membersih rumah-rumah yang telah terlibat dengan banjir, bersih semua barang-barang yang ditenggelami air, banyak juga barang terpaksa dibuang kerana sudah rosak dan tidak boleh digunakan seperti tilam," katanya. Tengku Hassan berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sedang meninjau kerja-kerja membersih rumah-rumah di Bukit Kecil yang teruk ditenggelami air semalam. Katanya lagi, skuad tersebut turut menghulurkan makanan tengah hari dan juga barang-barang keperluan dapur. "Jika ada lagi keperluan yang nak kita bantu, insya-Allah kita akan bantu," ujarnya lagi.  
08 Dec 20
279