lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Mahu Tindakan Drastik Kawal Hasil Perikanan
Terengganu Mahu Tindakan Drastik Kawal Hasil Perikanan
MARANG, 19 Disember-  Kerajaan Terengganu menggesa tindakan drastik dilaksanakan pihak-pihak berkuasa bagi menyekat aktiviti penjualan hasil perikanan negeri di tengah laut. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim, menjelaskan bahawa kerajaan negeri memandang serius isu berkenaan serta telah menggerakkan gabungan agensi di peringkat negeri untuk membawa masalah tersebut ke peringkat Persekutuan. "Kerajaan negeri telah panggil pihak berkuasa antaranya Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Jabatan Perikanan dan kami disahkan berlakunya penjualan ikan-ikan bernilai tinggi di tengah-tengah laut dan dibawa ke negara asing iaitu vietnam menyebabkan kadar pendaratan hasil ikan di Terengganu masih rendah. "Ini turut dibuktikan apabila majoriti bot-bot nelayan Vietnam yang dilesenkan atas nama pemilik tempatan didapati mendaratkan hasil tangkapan bernilai rendah di pelabuhan Chendering," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Agihan Bantuan Nelayan Kawasan Marang di Dewan Tok Guru, Kampung Rusila, Marang, hari ini. Hadir sama, Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh. Jelas Dr. Azman, masalah tersebut turut membabitkan kelonggaran penguatkuasaan terhadap nelayan asing yang berkerja dengan pemilik bot tempatan. "Kita sudah ada undang-undang tetapi penguatkuasaan ini yang perlu, kerana kita tengok bagaimana kelonggaran penguatkuasaan berlaku apabila ada lebih 1000 nelayan asing yang berkerja di Terengganu, tetapi yang mempunyai pas lawatan kerja sementara hanyalah 24 orang. "Bagaimana pemilik bot tempatan boleh menggaji nelayan asing, namun dalam masa sama mereka tidak mempunyai pas lawatan kerja sementara serta mereka boleh naik ke darat bergaul dengan masyarakat tempatan, dalam keadaan mereka  sebenarnya tidak dibenarkan jejak bumi Malaysia tanpa dokumen-dokumen yang diperlukan tadi," katanya. Tambahnya, di peringkat pusat ahli parlimen Marang turut memberi jaminan akan berbincang dengan menteri berkaitan supaya isu terbabit diambil perhatian dengan serius oleh semua pihak. "Kalau kita hendak industri perikanan kita melonjak naik ke hadapan, memang kita perlu ambil satu tindakan drastik dan berani serta sanggup ambil risiko," katanya. Dalam majlis berkenaan, seramai 250 nelayan Kuala Marang menerima sumbangan berupa beras dan barangan keperluan bagi membantu meringankan beban mereka di musim tengkujuh.  
19 Dec 20
820
MPKK Padang Kubu Guna Traktor Bantu Mangsa Banjir
MPKK Padang Kubu Guna Traktor Bantu Mangsa Banjir
  KEMAMAN, 18 Disember - Demi memastikan penduduk yang terjejas banjir mendapat barangan keperluan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Kubu di sini mengambil inisiatif menggunakan traktor untuk membuat penghantaran bekalan mereka. Setiausaha MPKK Kampung Padang Kubu, Sudin Muda berkata ia berikutan laluan utama ke kampung tersebut terputus hubungan, setelah dinaiki air banjir, pagi tadi. "Pihak kami terpaksa gunakan traktor untuk menghantar pelbagai barangan bantuan kepada 50 mangsa banjir daripada 15 keluarga di kampung itu. "Kesemua mangsa tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana kediaman mangsa terletak di kawasan yang agak tinggi,"katanya kepada pemberita di sini hari ini. Tambahnya lagi, pihak MPKK akan memantau keadaan mangsa dari semasa ke semasa.  "Kita perlu pastikan mereka tidak terputus makanan kerana terperangkap di dalam rumah ketika ini," ujar Sudin. Setakat ini, terdapat seramai 142 mangsa banjir daripada 42 keluarga ditempatkan ke PPS terdekat, iaitu Balai Raya Kampung Padang Kubu.
18 Dec 20
566
Lebih 2,000 Penduduk Hulu Kemaman Terputus Hubungan
Lebih 2,000 Penduduk Hulu Kemaman Terputus Hubungan
  KEMAMAN, 18 Disember- Lebih 2,000 penduduk di Hulu Kemaman terputus hubungan hari ini apabila jalan raya menjadi laluan penghubung utama mereka dilimpahi air sungai. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Abdul Razak Ibrahim berkata hujan lebat yang berterusan  menyebabkan limpahan air Sungai Tebak mula menenggelami jalan di beberapa lokasi mulai 7.30 pagi tadi. "Hasil tinjauan saya pagi ini mendapati penduduk di beberapa kampung seperti Seberang Tayor, Kampung Batu 16 dan Kampung Batu 14 Tebak tidak boleh keluar kerana paras air yang agak tinggi di jalan tersebut. "Saya juga berharap penduduk tidak mengambil risiko untuk melalui jalan itu walaupun dengan kenderaan pacuan empat roda kerana arusnya agak deras dan ini boleh membahayakan keselamatan mereka," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. Sementara itu, orang ramai di Kampung Tebak yang ingin ke Bandar Chukai terpaksa berpatah balik kerana laluan utama di Seberang Tayor tidak boleh dilalui.  
18 Dec 20
719
Terengganu Lancar Tahun Melawat Kenyir 2021
Terengganu Lancar Tahun Melawat Kenyir 2021
KUALA TERENGGANU,17 Disember - Bagi melonjakkan sektor pelancongan negeri, Terengganu hari ini mengumumkan 2021 sebagai Tahun Melawat Kenyir (TMK2021). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memilih Tasik Kenyir kerana destinasi ekopelancongan tersohor itu mempunyai pelbagai produk yang digemari pengunjung. “Produk yang boleh diterokai oleh pelancong seperti Santuari Kelah, Kenyir Elephant Conservation Village (KECV), Taman Herba, Taman Orkid, Air Terjun Lasir dan Sungai Saok, Gua Bewah dan Gua Taat, Zon Bebas Tasik Kenyir dan pelbagai lagi. “TMK2021 yang julung-julung kali diadakan ini akan dimeriahkan lagi dengan pelbagai program menarik sepanjang tahun sekali gus memperkukuhkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan wajib sekiranya berkunjung ke Terengganu. “Acara-acara yang dirancang telah memfokuskan pelbagai lapisan masyarakat dan akan menarik lebih ramai peminat sukan lasak kerana ekologi yang terdapat di Tasik Kenyir membuka ruang acara sebegini dilaksanakan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Ariffin Deraman. Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran TMK2021 juga antara lain untuk merancakkan kembali ekonomi pemain pelancongan yang terbantut dek penangan COVID-19.  “Dengan adanya penganjuran sebegini yang diatur secara berpanjangan dan penekanan kepada pelancongan komuniti setempat (community based tourism). “Ia juga akan memberi impak positif kepada penggiat pelancongan yang terdiri daripada pengusaha bot laju, pengusaha rumah bot dan pengusaha kedai makan dan juga komuniti setempat,” tambah beliau.
17 Dec 20
2231
Pesakit Perlu Ikut Nasihat Hospital - Kak Zah
Pesakit Perlu Ikut Nasihat Hospital - Kak Zah
MARANG, 17 Disember - Pesakit kronik yang memerlukan rawatan segera perlulah mengikuti nasihat seperti mana yang disarankan oleh pihak hospital atau pakar. Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata pesakit perlu mengutamakan kesihatan diri dengan merujuk kepada pihak yang lebih pakar seperti hospital daripada tempat lain. Menurutnya lagi, ahli keluarga dan masyarakat juga perlu sentiasa memberikan sokongan serta dorongan kepada pesakit yang menghidap sakit kronik seperti barah atau kanser agar emosi dan semangat mereka terus kuat. Keadaan salah seorang pesakit terlantar yang menghidap masalah saraf Ucapnya ketika menziarahi lima orang pesakit kronik di kawasan Dewan Undagan Negeri (DUN) Rhu Rendang bersama-sama agensi dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Kampung Rhu Muda, Alur Tuman, serta Kampung Baru Rhu Muda. Antara jabatan yang hadir adalah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Marang, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM), Tabung Darul Iman (TDI), dan Norlan United. Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, tujuan ziarah ini bertujuan memberikan bantuan seperti bantuan perubatan, bantuan pembedahan, katil, bantuan am bulanan, sewa rumah dan sebagainya. To' Puan Seri Tuan Faizah memberikan sedikit sumbangan kepada pesakit kanser "Mereka yang diziarahi kebanyakannya terdiri daripada mereka yang di luar kemampuan, dan terpaksa menampung kos-kos perubatan yang besar. "Jabatan ini hadir bagi memberikan bantuan yang selayaknya agar beban mereka dapat dikurangkan di samping menunjukkan kecaknaan pihak kerajaan kepada masyarakat." katanya. Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu juga turut memberikan sedikit sumbangan kewangan bersama-sama keperluan asas yang diserahkan daripada pihak Norlan United.  
17 Dec 20
116
Polis Lancar Ops Lampu Isyarat Merah
Polis Lancar Ops Lampu Isyarat Merah
KUALA LUMPUR, 16 Disember  - Polis Diraja Malaysia melaksanakan Ops Lampu Isyarat Merah di seluruh negara mulai semalam. Ia susulan ramai pengguna jalan raya didapati tidak mematuhi peraturan lalu lintas terutamanya tidak memberhentikan kenderaan di lampu isyarat merah. Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, operasi sehingga 31 Disember itu bertujuan mengesan mereka yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah, terutamanya dalam kalangan penunggang motosikal, termasuk penghantar makanan atau barangan serta pemandu kenderaan lain. "Tindakan saman serta merta akan diambil atau direkodkan butiran kenderaan terlibat bagi tindakan susulan. "Kami memandang serius sikap dan trend pemanduan ini yang boleh menyebabkan kemalangan serta menimbulkan kegusaran kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan semalam. Beliau berkata statistik penguatkuasaan yang melibatkan kesalahan melanggar lampu isyarat merah pada tahun lepas merekodkan 69,267 saman, dengan motosikal mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu 32,657 diikuti kereta (29,873), lori (2,808) dan 3,929 lain-lain kenderaan. Bagi tempoh sejak Januari hingga Nov pula 52,170 saman dikeluarkan dengan kenderaan motosikal mencatatkan saman tertinggi iaitu 26,764 diikuti kereta (20,751), lori (2,208) dan 2,447 lain-lain kenderaan. Azisman berkata mana-mana individu yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah boleh diambil tindakan di bawah Kaedah 17 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan. - BERNAMA  
16 Dec 20
2860
Warung Roti Canai Dikelilingi Sawah Padi
Warung Roti Canai Dikelilingi Sawah Padi
KUALA NERUS, 16 Disember - Idea membina gerai di tengah-tengah sawah padi di Kampung Padang Maras, Batu Rakit, di sini pernah diperlekehkan sebagai kerja pelik dan tidak masuk akal satu masa dahulu. Bagaimanapun, tohmahan itu tidak mematahkan semangat pemilik Warung Roti Canai Pok Ripin, Mat Ariffin Taib, 69 untuk berniaga bersama isteri dan dibantu empat orang anaknya. Menurut Mat Ariffin, orang ramai yang hadir ke gerai tersebut kebanyakkannya kerana tertarik dengan persekitaran warung yang dikelilingi sawah padi menghijau, udara nyaman dan permandangan indah. "Walaupun baru dibuka tiga bulan lalu, sambutan orang ramai terhadap warung ini diluar jangkaan, kami menerima kunjungan sekitar 500 pelanggan setiap hari dan jumlahnya bertambah sekali ganda apabila hari minggu," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam. Sementara itu, aanak pemilik warung, Zakaria Mat Ariffin, 26, berkata sudah hampir 30 tahun ayahnya berniaga roti canai sejak di tapak asal warung berhampiran Pasar Maras. "Ketika itu hanya pelanggan tetap dan orang-orang kampung yang datang membeli," jelasnya. Katanya, sebaik berpindah ke tapak baru pada awal Oktober lalu, pelanggan yang dikunjung di luar jangkaan, bukan sahaja di kalangan penduduk setempat, malah ada yang tinggal di Pahang dan Kuala Lumpur. “Walaupun di tapak baru, ayah masih mengekalkan harga lama iaitu hanya RM1, masing-masing  untuk roti canai kosong, nasi lemak, mee goreng dan pelbagai jenis air. “Faktor itu juga membuatkan kedai ayah semakin hari semakin dikenali ramai, sehinggakan terpaksa menunggu meja kosong untuk menikmati makanan,” jelasnya. Menurutnya, hasrat akan datang cukup besar kerana dia bersama adik-beradik yang lain mahu meluaskan perniagaan ayah mereka dengan membuka kiosk-kiosk baharu. "Ada juga yang bercadang menambah lain-lain perkhidmatan, termasuk pakej berbasikal mengelilingi kawasan sawah dan membina pondok rehat untuk bergambar. "Saya berasa bangga walaupun warung milik ayah hanya dibina menggunakan kayu terpakai yang dibeli hasil sumbangan adik-beradik dan hasil carian kayu di hutan, kini Warung Pok Ripin menjadi sebutan ramai," tambahnya.  
16 Dec 20
7358
Hasrat Nelayan Miliki Tanah Akhirnya Tertunai
Hasrat Nelayan Miliki Tanah Akhirnya Tertunai
KEMAMAN, 16 Disember – “Umur sudah mencecah 66 tahun, saya yang tidak pernah dapat tanah, tetapi setelah tunggu lebih 20 tahun, alhamdullilah Kerajaan Negeri telah realisasikan hasrat ini,” luah seorang nelayan, Abd Ghani Ismail, setelah menerima Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Sivik, Kemasik, Kemaman, pagi tadi. Abd Ghani atau lebih mesra disapa Pok Ya, berkata sangat menghargai usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dan kerajaan Terengganu atas pemberian hak milik tanah tersebut. “Sekarang saya tinggal di Kampung Baru Kiri, insya-Allah harapan supaya dimurahkan rezeki bagi mendirikan rumah ini memandangkan saya seorang nelayan, tapi sekali lagi saya nak berterima kasih kepada ADUN Kemasik dan Majlis Daerah Kemaman,” katanya. Sementara itu, seorang lagi penerima dari Kampung Baru Kemasik, Suriyani Abdullah, 43, yang mewakili suaminya, Mat Zawan Muhammad, mengakui gembira dan tidak percaya kerana mendapat hak milik tanah sendiri. “Inilah satu tanah pertama yang pernah dapat, saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Terengganu. “Selama ini pun tiada rumah tetap, tapi dengan tanah ini akhirnya dapat dirikan rumah sendiri. Hasil manifesto ini boleh dikatakan sebagai jadi sungguh,” ujar Suriyani yang juga ibu kepada empat orang anak. Sementara itu, Saiful Azmi berkata, penghargaan diberikan kepada Pegawai Daerah dan seluruh kakitangan Pejabat Daerah atas usaha dalam memastikan hasrat kerajaan disempurnakan secepat mungkin. “Kerajaan negeri telah menjanjikan 20 manifesto, sehingga sekarang sebahagian daripada 18 manifesto telah dilaksanakan atau sedang berjalan, usaha RTB ini adalah bukti proses merealisasikan sedang diteruskan. “Bagi DUN Kemasik terdapat tujuh RTB bagi tapak kediaman, dan hari ini adalah RTB keenam yang dapat disempurnakan. Harapan supaya baki satu lagi akan dapat direalisaiskan pada suku pertama tahun hadapan," katanya ketika ditemubual pemberita.  
16 Dec 20
401
Bantuan Banjir RM500 Disalur Sebelum 15 Januari
Bantuan Banjir RM500 Disalur Sebelum 15 Januari
KUALA TERENGGANU, 16 Disember - Kerajaan negeri memberi jaminan bantuan kecemasan sekali bayaran berjumlah RM500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas berikutan bencana banjir baru-baru ini akan dibuat sebelum 15 Januari depan. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, bayaran itu akan diberikan kepada mangsa yang berdaftar dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Hanafiah berkata, kerajaan negeri melalui Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang diketuai Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman kini dalam proses akhir untuk mengemaskini data mangsa banjir yang terkesan. "Jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan negeri untuk bantuan kecemasan itu bergantung kepada data yang kini sedang dikemaskini. "Saya sudah maklum kepada semua pegawai daerah supaya sebelum berakhir 30 Disember ini nama-nama kita akan angkat dan pembayaran boleh dibuat sebelum 15 Januari agar mangsa banjir dapat menerima bantuan disaat mereka benar-benar memerlukan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan ExxonMobil di Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu, Hanafiah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang meluluskan bantuan RM500 kepada mangsa banjir. “Sementara itu mangsa banjir lumpur di Kemaman pula akan menerima bantuan kecemasan sekali bayaran daripada tabung dana khas berjumlah RM1,000 satu keluarga,” ujarnya.  
16 Dec 20
2571
Hujan Lebat Dijangka Landa Terengganu Esok
Hujan Lebat Dijangka Landa Terengganu Esok
KUALA TERENGGANU, 15 Disember - Hujan lebat diramal berlaku di beberapa kawasan di Malaysia termasuk Terengganu mulai esok. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, amaran cuaca waspada itu dijangka berlarutan sehingga Jumaat ini. Amaran sama turut dikeluarkan kepada negeri Kelantan dan Sabah. Hujan lebat yang diramal di Sabah dijangka berlaku di Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat bermula Jumaat sehingga Sabtu  
15 Dec 20
2569