lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

YPU Agih RM96,000 Bantu Peniaga Kecil
YPU Agih RM96,000 Bantu Peniaga Kecil
KUALA TERENGGANU, 20 Disember- Sebanyak RM96,000 diperuntukkan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sebagai bantuan kepada peniaga dan penjaja kecil di negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Nurkhuzaini bin Ab Rahman memaklumkan, bantuan tersebut merupakan satu lagi kaedah yang dilaksanakn YPU supaya dapat membantu usahawan diperingkat bawah. "Dari segi bantuan memang kita nampak kecil apabila dibahagikan kepada 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada. Namun, jumlah penerima  mengikut pertimbangan DUN terbabit untuk mengenal pasti apa yang diperlukan oleh peniaga-peniaga di kawasan mereka dengan jumlah RM3,000 yang diperoleh. "YPU tidak tunggu banyak dahulu baru beri. Dengan dana yang ada, ambil dahulu dengan tujuan menyebar luaskan bantuan-bantuan yang ada sebelum bantuan yang lebih besar diperoleh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Perniagaan Kepada Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Terengganu anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu di Primula Beach Hotel, hari ini. Tambahnya, melalui penilaian pihak YPU, terdapat usahawan dari segmen tertentu ada yang mula pulih selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kali kedua ini. "Tetapi, ada lagi usahawan yang masih cari rentak. Untuk mereka, kita buka pintu YPU untuk datang berbincang tentang keperluan mereka melalui khidmat yang ada. Kita juga telah berbincang dengan agensi-agensi yang mempunyai bantuan PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) untuk memohon bantuan bagi negeri Terengganu antaranya, Agro Bank yang menjadi salah satu agensi yang menerima amanah dana tersebut,  "Bagi bantuan Covid-19 pula, sebagaimana yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 iaitu sebanyak RM3.5 juta, ia akan diproses pada tahun hadapan," katanya.        
20 Dec 20
1003
Serah Katil, Kerusi Roda Bantu Pesakit Terlantar
Serah Katil, Kerusi Roda Bantu Pesakit Terlantar
MARANG, 21 Disember - Sebanyak lima buah katil pesakit dan sepuluh kerusi roda telah diserahkan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang yang memerlukan di mana rata-rata antara mereka adalah pesakit terlantar dan tidak dapat menguruskan diri sendiri. Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria ketika dihubungi berkata, katil ini akan digunakan untuk orang ramai secara wakaf dan bergilir-gilir bergantung keadaan semasa pesakit. "Lima unit katil ini diserahkan dibawah kelolaan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Rhu Rendang bersama-sama 10 buah kerusi roda yang disumbang khas oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merangkap ADUN Rhu Rendang. "Beliau yang juga wakil rakyat di sini sentiasa mengambil berat hal masyarakat di sini dalam memberikan sumbangan dan bantuan keperluan yang diperlukan bagi meringankan beban penduduk yang memerlukan," katanya. Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng menjelaskan ini adalah usaha PKM untuk membantu sementara menunggu bantuan daripada jabatan dan agensi terbabit. "Ini kerana, kita juga memahami proses dan prosedur, atau mungkin kekangan dari jabatan yang terpasa menghadapi tempoh-tempoh tertentu bagi meyalurkan bantuan. "Penerima pula adalah mereka yang betul-betul memerlukan berdasarkan maklumat daripada kunjungan dan siasatan yang dibuat sendiri bersama-sama agensi sebelum ini. "Ada juga jenis penyakit yang memang dinasihatkan oleh doktor tentang keperluan katil ini, di mana keperluan katil ini merupakan keutamaan bagi mereka."katanya Beliau berkata demikian selepas  selesai menyerahkan sumbangan katil dan kerusi roda bersama-sama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Kampung Rhu Renggeh, Seberang Marang, serta Sungai Kerak.  
20 Dec 20
564
Hargai Nyawa, Elakkan Bahaya Ketika Banjir
Hargai Nyawa, Elakkan Bahaya Ketika Banjir
HULU TERENGGANU, 20 Disember - Orang ramai di daerah ini dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak menjadikan banjir sebagai satu pesta. Ketua Polis Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata, nasihat itu diberikan bagi mencegah sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Katanya, ini kerana pihaknya mendapati setiap kali berlakunya banjir, ada penduduk sekitar menjadikannya seolah-olah satu temasya air yang menyeronokkan tanpa menghiraukan bahaya yang ada di sekitar. "Tinjauan yang dilakukan oleh pihak polis, ramai kanak-kanak yang bermain air tanpa pengawasan orang dewasa. "Walaupun mungkin bagi sesetengah penduduk di sini mereka telah biasa dengan banjir dan menganggap kawasan rumah mereka tidak berbahaya namun kita tidak tahu arus yang deras boleh membahayakan nyawa anak-anak mereka. "Kita ingatkan kepada ibu bapa pastikan keselamatan anak-anak dan cegah mereka dari main banjir di kawasan berbahaya," katanya kepada pemberita di sini. Dalam pada itu Adli berkata, banjir yang berlaku di daerah itu berpunca daripada hujan berterusan sejak Khamis lepas ekoran limpahan air Sungai Berang dan air Sungai Telemong. "Sehingga kini pasukan operasi banjir daerah  telah melancarkan operasi bencana bagi menyelamat dan memberikan bantuan kepada semua mangsa bencana bersama-sama dengan agensi-agensi yang terlibat," ujarnya. Setakat hari ini jumlah pusat pemindahan telah dicatatkan adalah sebanyak lima buah melibatkan seramai 355 mangsa yang telah dipindahkan.  
20 Dec 20
764
Bomba Kuala Berang Pujuk Ibu Muda Enggan Pindah
Bomba Kuala Berang Pujuk Ibu Muda Enggan Pindah
HULU TERENGGANU, 20 Disember -  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengambil masa hampir setengah jam memujuk seorang ibu dan tiga anaknya yang terjejas banjir untuk berpindah ke pusat pemindahan pagi semalam. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata, pihaknya mendapati mereka enggan meninggalkan kediaman dengan alasan rumah tidak dinaiki air dan belum melakukan sebarang persiapan untuk berpindah. Katanya, beliau bimbang akan keselamatan penduduk kerana hujan lebat terus melanda daerah ini selain peningkatan paras air yang boleh membahayakan nyawa. "Kami mendapat panggilan daripada Setiausaha MPKK untuk menghantar makanan kepada keluarga ini kerana terputus bekalan apabila jalan utama mula dinaiki air pada 2 petang. "Oleh itu, kami mengambil inisiatif untuk mendekati mereka dengan memujuk dan memberi nasihat supaya berpindah ke Kompleks Qaseh OKB bagi mengelakkan kesulitan jika air semakin tinggi," katanya. Tinjauan bersama anggota bomba di kawasan terbabit mendapati terdapat kawasan rendah yang dinaiki air setinggi 1.5 meter dan boleh membahayakan nyawa penduduk.  
20 Dec 20
1565
Masalah Banjir Teluk Kalong Diajukan Ke Kerajaan Pusat
Masalah Banjir Teluk Kalong Diajukan Ke Kerajaan Pusat
KEMAMAN, 20 Disember – Masalah banjir di Teluk Kalong terutamanya di kawasan Rumah Mampu Milik (RMM) akan diusulkan kepada kerajaan pusat bagi tindakan lanjut. Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, isu tersebut dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat, hasil lawatan dan pemantauan keadaan serta mangsa banjir di DUN Kijal. “Isu yang melibatkan lebih 2,000 penghuni, perlu dibawa ke peringkat pusat berkenaan takungan air atau saliran yang tidak mampu menampung aliran air keluar yang banyak, menyebabkan limpahan di tali air berhampiran kawasan perumahan terbabit. “Saya telah bersetuju dengan ADUN Chukai untuk kita susuli perkara ini kepada menteri berkenaan urusan kerja raya bagi melihat tindakan yang boleh diambil. “Insya-Allah, saya akan membawa usul ini pada hari rabu depan dalam mesyuarat kabinet,” katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian selepas lawatan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir di Pengkalan Ranggon, Kertih, malam semalam. Tambah Dr Mohd Khairuddin, anggaran peruntukan RM1.6 juta diperlukan dan beliau sebagai menteri mewakili negeri Terengganu akan menunaikan tanggungjawab yang diberi untuk menjaga negeri. Sementara itu, beliau turut menasihati rakyat agar berhati-hati dan mengikut arahan yang disampaikan oleh pemimpin negeri seperti dan parlimen bagi memastikan keselamatan nyawa serta harta benda. “Pihak kerajaan Perikatan Nasional juga sentiasa prihatin terhadap situasi yang berlaku dan akan memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang terkesan tanpa gagal,” ujarnya.
19 Dec 20
2502
Kerajaan Pusat Dan Negeri Berkerjasama Hadapi Musibah Banjir
Kerajaan Pusat Dan Negeri Berkerjasama Hadapi Musibah Banjir
KEMAMAN, 20 Disember – Barisan kepimpinan negeri daripada peringkat pusat sehingga ke Dewan Undangan Negeri (DUN) giat berganding bahu dalam memastikan keselamatan dan kebajikan buat mangsa banjir di daerah Kemaman. Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, berkata, lawatan kerja tersebut diadakan di kawasan terjejas dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekitar DUN Kijal dan Kemasik. “Antaranya pihak kami telah melawat salah satu PPS di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ranggon, buat sementara waktu usaha sama melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam memastikan bantuan keperluan harian disalurkan. “Kita akan pantau keadaan dari semasa ke semasa tentang keperluan rakyat Terengganu, saya akan pastikan sebarang perkembangan dan inisiatif baharu disampaikan kepada kementerian berkenaan,” katanya ketika ditemubual pemberita, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili. Tambah beliau lagi, jentera penyelamat dan kakitangan yang terdiri daripada pihak NADMA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta di peringkat negeri, DUN, Parlimen dan Exco sentiasa memberi tumpuan ketika musim banjir ini. “Ini kerana isu melibatkan keselamatan nyawa dan kerosakan benda tinggi risikonya. Rekod-rekod kita turut menunjukkan bahawa persediaan bagi bencana ini ditahap yang tinggi,” ujarnya. Mengulas lanjut mengenai situasi banjir di Kemaman, beliau berkata, setakat jam 10 malam, seramai 4962 mangsa terkesan terdiri daripada 1199 keluarga dan 24 PPS telah dibuka. Menemubual seorang mangsa di PPS tersebut, Ibrahim Mohd, 78, menceritakan keadaan rumahnya dipenuhi air sehingga paras betis di Damansara, Kertih pada jam 1 pagi. Ibrahim yang mendiami rumah bersama seorang anaknya, berkata, dia memang tidak sedar langsung air naik kerana tidur ketika hujan turun pada malam itu. “Barang pun ada yang sempat naik ada yang tidak, nasib baik anak yang tinggal bersama kejutkan pada awal pagi tadi,” katanya.
19 Dec 20
646
Terengganu Monsoon Surfing Popularkan Marang
Terengganu Monsoon Surfing Popularkan Marang
Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Kelab Motor Terengganu telah menganjurkan Terengganu Monsoon Surfing 2020 bertempat di Pulau Kekabu, Marang pada 17 hingga 19 Disember 2020. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata program itu merupakan penganjuran pertama kali bersesuaian dengan musim monsoon dengan menampilkan aktiviti luncur air di lokasi Pulau Kekabu, Marang. “Terengganu Monsoon Surfing 2020 yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terenggau dengan diuruskan oleh Kelab Motor Terengganu bertujuan bagi menggalakkan industri pelancongan Negeri Terengganu semasa musim monsoon ini yang menjadikan Terengganu, khususnya Daerah Marang sebagai satu destinasi pilihan bagi pelancongan dalam dan luar negeri. “Ini juga dapat menepis tanggapan ramai yang mengatakan Terengganu bukanlah sebuah destinasi pelancongan yang sesuai apabila tibanya musim monsoon, malah dengan adanya aktiviti seperti ini dapat menggalakkan lagi orang ramai untuk berkunjung, bukan hanya sebagai peserta malah sebagai tontonan kepada semua,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Terengganu Monsoon Surfing 2020 Kekabu Surf Competition. Hadir sama, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu Encik Mohd Huzairil Nizam Ibrahim. Selain itu, beliau berkata, Terengganu Monsoon Surfing 2020 ini melibatkan penyertaan seramai 65 orang dari Terengganu, Pahang, Langkawi dan Johor yang mana ada diantara mereka adalah Atlit Malaysia di peringkat SEA Games dan juga peluncur professional. “Penganjuran ini juga sentiasa memastikan segala SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara semasa tempoh PKPP dan PKPB ini dipatuhi oleh peserta malah pengunjung yang datang menyaksikan acara ini. “Melihat kepada penganjuran ini, Pulau Kekabu dilihat sebagai lokasi yang terbaik dan berpotensi untuk penganjuran program sebegini pada masa hadapan dan mampu menjadi acara identiti kepada Daerah Marang, maka Terengganu Monsoon Surfing ini akan dianjurkan lagi pada tahun 2021 dengan skala yang lebih besar. Ujarnya. Ia bukan sahaja dapat mempromosikan kempen Beautiful Terengganu Malaysia malah, apabila tiba musim monsoon, Terengganu tetap menjadi pilihan destinasi pelancongan.
19 Dec 20
1020
5,776 Mangsa Banjir Di Terengganu
5,776 Mangsa Banjir Di Terengganu
  KUALA TERENGGANU, 19 Disember - Banjir di Terengganu semakin buruk dengan  berikutan hujan berterusan di kebanyakan kawasan di negeri berkenaan. Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat daripada 5,420 kepada 5, 776 membabitkan 1,478 keluarga di empat daerah sehingga jam 2 petang tadi. Susulan peningkatan itu, 46 pusat penempatan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan semua mangsa di empat daerah terbabit. Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah mangsa dijangka meningkat susulan hujan lebat masih berlaku di beberapa daerah. "Kemaman yang terjejas teruk terus menyaksikan peningkatan jumlah mangsa apabila seramai 4,279 orang daripada 1,135 keluarga terjejas banjir di seluruh daerah ini. "Seramai 710 mangsa daripada 245 keluarga pula terjejas di Hulu Terengganu dan mereka kini ditempatkan di 13 PPS di sekitar daerah itu,” katanya. Tambahnya lagi, beberapa lembangan sungai utama menunjukkan trend peningkatan dan ada sebahagiannya di hulu berlaku penurunan.    
19 Dec 20
4736
Tetap Berniaga Demi Keperluan Mangsa Banjir
Tetap Berniaga Demi Keperluan Mangsa Banjir
HULU TERENGGANU, 19 Disember - Seorang suri rumah tetap berniaga ikan dan sayur di lokasi banjir bagi membantu penduduk yang terkandas. Raja Anisah Raja Bongsu, 46, sanggup membuka gerai berhadapan rumahnya walaupun digenangi air hampir paras lutut susulan hujan lebat berterusan sejak Khamis lepas. Katanya, ini kerana ramai penduduk sukar untuk mendapatkan bekalan makanan akibat bencana itu. "Hampir 50 kilogram bekalan ikan dibekalkan setiap hari di samping sayur-sayuran dan barangan keperluan lain. "Saya jual ikan ni sebab nak mudahkan orang kampung dapatkan bekalan ikan segar walaupun mereka terkandas kerana ramai penduduk yang keluar meredah air banjir untuk membeli ikan. "Ikan yang saya jual ini adalah ikan segar seperti Selar, Kembung, Kerisi dan Selayang yang dibawa dari Kuala Terengganu. Saya menjual ikan dengan harga berpatutan dari RM10 hingga RM17 bergantung kepada jenis ikan,"ujarnya. Dia yang bermula berniaga di lokasi berkenaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut dibantu tiga anaknya yang berusia 25 hingga 29 tahun. "Malah, pelanggan gembira dengan tindakan saya kerana memudahkan mereka untuk mendapat bekalan makanan ketika waktu ini," katanya.
19 Dec 20
366
Kampung Teris Jadi Model Ladang Buluh Januari 2021
Kampung Teris Jadi Model Ladang Buluh Januari 2021
HULU TERENGGANU, 19 Disember - Kampung Teris bakal menjadi perintis bagi projek model ladang buluh pertama di Malaysia dengan kos sebanyak RM5 juta yang akan dilaksanakan pada Januari 2021. Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia akan melibatkan tanah seluas 15 hektar milik Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC). Katanya, projek berkenaan bakal menjadi pusat rujukan semua pihak di samping berpotensi sebagai pusat eko-pelancongan buluh di Malaysia.  "Untuk permulaan kita akan tanam lima spesies buluh iaitu betung, beting, beti, semantan dan hitam.  "Jika pembangunan ladang buluh dapat diusahakan dan diuruskan secara mampan, ia mampu menjadi salah satu sumber pendapatan baharu kepada pertumbuhan ekonomi negara.  "Melalui penubuhan model buluh ini kita bukan sahaja dapat menghasilkan sumber pokok induk yang berkualiti, bahkan menjamin ketersediaan bahan mentah bagi kegunaan pihak industri buluh di samping sebagai sumber alternatif kayu di Malaysia," katanya.  Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan permeteraian memorandum perjanjian (MoA) projek Model Ladang Buluh di TTITC hari ini. Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar;  Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan & Komoditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mad Zaidi Mohd. Karli; Pengerusi TTITC, Muhyidin Abdul Rashid di samping Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Mohd. Kheiruddin Mohd. Rani.  Tambah beliau, tempoh kematangan buluh adalah singkat berbanding pokok kayu. "Buluh memiliki tempoh matang singkat antara empat ke lima tahun berbanding tempoh matang pokok kayu yang sekurang-kurangnya 15 tahun," ujarnya. Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan menawarkan pinjaman mudah sebanyak RM500 juta kepada pihak industri, koperasi dan agensi yang berminat mengusahakan penanaman buluh secara komersial.  "Bagi setiap satu hektar, pengusaha dijangka boleh mendapat hasil sehingga RM36,000 selepas tempoh matang empat tahun," katanya. 
19 Dec 20
1236